Jumpa semula selepas 70 tahun Seorang penduduk mengukur batu penanda sempadan mukim yang ditemui sambil diperhatikan oleh Azhar (kiri).
 
 
 
BAGAN SERAI - Selepas 70 tahun, batu persempadanan di antara dua mukim ditemui semula ketika penduduk Kampung Parit Sungai Dungun, di sini bergotong-royong membersihkan kuarters rumah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian untuk dijadikan dewan.

Ketua Kampung Parit Sungai Dungun, Azhar Yaacob berkata, batu pemisah sempadan sepanjang 1.4 meter dan seberat satu tan itu ditemui berhampiran parit utama kampung itu sewaktu kerja-kerja pembersihan kuarters JPS dijalankan menggunakan jengkaut.

Menurutnya, penemuan batu pemisah sempadan di antara Mukim Kuala Kurau dan Mukim Bagan Serai dianggap bersejarah memandangkan kampung itu sememangnya dikenali sebagai kampung persempadanan antara dua mukim itu.

"Sebelum batu pemisah sem ini ditemui semula, agensi kerajaan dan penduduk kampung terpaksa menjadikan parit utama kampung kami iaitu Parit Sungai Dungun sebagai asas penanda persempadanan di antara dua mukim dalam menyelesaikan sebarang masalah melibatkan tanah dan penduduk.

"Penemuan ini bukan sahaja memastikan penduduk kampung dapat mengenal pasti kedudukan penanda persempadanan tepat, malah ia berpotensi menjadi mercu tanda baharu Kampung Parit Sungai Dungun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Parit Sungai Dungun, di sini semalam.

Azhar berkata, pada zaman kini, hampir mustahil untuk menemui batu penanda sempadan yang masih wujud terutama di daerah Kerian.

"Kebiasaannya kita sering melihat dan mengetahui mengenai batu perenggan persempadanan lot rumah.

"Namun, bagi saya penemuan batu penanda sempadan antara mukim agak unik kerana saya sendiri tidak pernah melihat rupa bentuk sebenar batu itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Parit Sungai Dungun merancang untuk memaklumkan penemuan itu kepada agensi kerajaan bertanggungjawab.

Menurutnya, sekiranya mendapat kebenaran pihak berkuasa, pihaknya merancang untuk baik pulih batu penanda sempadan itu dan menanamnya kembali ke lokasi asal.

"Kami rancang jadikan mercu tanda baharu kampung yang sememangnya terkenal dengan keunikan menjadi sempadan antara tiga mukim iaitu Mukim Bagan Serai, Kuala Kurau dan Parit Buntar," katanya.