Isnin, 20 April 2015

.

.


Pembersihan puak dalam Pas

Posted: 20 Apr 2015 02:04 AM PDT

BUKA MATA                                                                                

Saya tidak mahu menyamakan apa yang sedang berlaku dalam Pas waktu ini adalah satu proses pembersihan etnik. Iya, ia jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Bosnia-Hazegovina kira-kira 10 tahun lalu dimana Bosnia Serb melakukan "ethnic cleansing" pembataian ke atas warga Bosniaks (Bosnian Muslim) atas perasaan benci kepada keagamaan dan perkauman. Tidak.

Tetapi kaedah atau pun emosi yang sedang berbuak-buak dalam sesetenhgah orang dalam Pas kini, sama dengan apa yang berlaku di Bosnia itu, iaitu perasaan atau apa dinamakan kegilaan untuk menghapuskan satu kumpulan dan menobatkan satu kumpulan yang lain bagi menguasai Pas sepenuhnya. Tindakan ini sesungguh kejam dan tidak berhati perut. Biarlah saya menamakan apa yang sedang berlaku kini sebagai proses "menghapuskan puak" (group cleansing) dalam Pas.



Sedar atau tidak, setuju atau tidak, inilah hakikat yang sedang berlaku dalam parti agama itu yang perlu diambil perhatian oleh semua orang. Mereka yang menolak hakikat ini sengaja membutakan mati dan hati mereka. Pastinya proses yang rancak berjalan ini sangat disukai oleh musuh Pas kerana ia membawa laba untung buat mereka.

Puak yang hendak dihapuskan ialah puak yang digelar dengan berbagai-bagai gelaran jelek yang tidak tersenarai sebagai ahli Syurga. Puak yang dinama dan dianggap bukan ahli Syurga ialah berfahaman sekular, profesional, penyokong liberalisme dan pluralisme, puak yang anti Hudud, puak yang berbaik-baik dengan kafir dan puak ini juga dinamakan sebagai puak anti ulama.

Manakala puak yang sedang melakukan atau menggerakkan proses penghapusan ethnik ini, untuk mengambil alih kuasa di semua aspek dalam Pas, ialah puak digelar dengan nama-nama tersenarai sebagai ahli Syurga seperti Ansorullah, mujahid, pencinta sunah, pengamal Quran dan Hadith, ahli fakeh, pengamal sunnah menyimpan janggut, menginaikan misai, memakai juban dan serban. Puak ini dikenali dengan puak agamawan atau pun ustaz atau pun al ulama yang menggunakan istilah-istilah Arab dalam menganjurkan program parti dengan berlapikkan elemen keagamaan.

Proses ini sebenarnya dilakukan beberapa tahun lalu, tetapi ia ketara dalam mesyuarat Pas kawasan ketika ini yang sedang bersiap sedia untuk berhadapan dengan muktamar pada Jun nanti. Dijangkakan pada Jun nanti proses itu akan tercapai sepenuhnya.

Proses pembersihan ini sedang berlangsung dan ia hampir mencapai ke klimeknya. Taktik digunakan ialah menerusi mesyuarat Pas kawasan yang berlangsung kini. Sebelum itu menerusi beberapa lantikan sebagai mengisi badan-badan tertentu tanpa dirujuk kepada parti dengan sewajarnya dan dibuat secara ad hoc.

Tampaknya ia berjalan secara sistemetik sekali dan berjaya mencapai matlamat. Sudah lebih separuh daripada 186 kawasan Pas mengadakan mesyuarat, keputusan-keputusan yang dicapai memberi indikator jelas berlakunya proses tersebut dan satu demi satu puak sekular sudah tewas atau terpinggir. Selain dibuang menerusi mesyuarat, puak bukan ahli Syurga itu juga ditekan secara pyskologis.

Proses pembersihan puak ini berlaku di semua negeri, kecuali Johor, yang terjadi disebaliknya. Ahli Pas Johor tidak mudah terpengaruh dengan agenda berkenaan dan bersikap demokratik. Mungkin kerana negeri Johor berdekatan dengan republik Singapura, pengaruh pemodenan negara berkenaan menyerap ke dalam Pas menyebabkan politik Pas sedikit advance atau pun tidak mudah menjadi pandir dengan slogan.

Negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Melaka yang dilihat negeri di mana ahli dan penyokong Pas tidak otordoks dan fanatik seperti Kelantan, Kedah dan (tambah-tambahnya) Terengganu juga terikut sama. Ini mengejutkan dan gerakan penghapusan ini akan berjaya kerana mendapat sokongan menyeluruh.

Proses ini memberi kesan besar kepada kepimpinan Pas untuk masa hadapan. Pemerhati sedang menantikan apakah Pas mampu mengolah parti itu dengan satu puak yang sama aliran pemikiran, stail dan budaya politik tanpa ada campur puak-puak yang berfikiran terbuka yang dianggap berketrampilan dalam politik dan gerakan massa?

Kesuksesan pembersihan puak ini dapat disahkan apabila hampir 80% pencalonan yang dibuat oleh mesyuartat Pas kawasan mencalonkan puak sejenis mereka sahaja, iaini golongan yang meletakkan diri mereka dalam gelung atau bingkai ustaz atau pun ulama yang memakai tanda di kepala berkopiah putih dan serban.

Untuk jawatan presiden, Pas kawasan mengekalkan Abdul Hadi Awang yang menjadi ikonik puak berkenaan. Beliau kini sudah mendapat 60 pencalonan, sementara dua lagi calon lain Husam Musa hanya mendapat sembilan (9) pencalonan dan Ahmad Awang hanya tiga (3) pencalonan. Dengan tinggal kurang 30 kawasan lagi yang belum bermesyuarat adalah dijangka Abdul Hadi menguasai 70% pencalonan untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya kini dan proses group cleansing itu berjaya.

Mungkin pencalonan diterima Abdul Hadi itu tidak memberi gambaran proses pembersihan puak itu berlaku. Sewajarnya kalau Pas terus mencadangkannya kerana beliau nampak tidak mahu berundur. Tetapi pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja Pas menjelaskan kedudukan itu.

Pencalonan Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini jauh mengatasi pencalonan untuk Mohamad Sabu, serta pencalonan tiga nama untuk mengisi jawatan naib presiden, Idris Ahmad, Nasarudin Hassan dan Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan akan perkara ini. Tuan Ibrahim, Idris Ahmad, Nasarudin Hassan dan Mohd Amar Nik Abdullah adalah mereka yang dikategorikan sebagai ahli Syurga.

Kalau bukan atas dasar hendak melakukan pembersihan puak, kenapa Mohamad Sabu hendak diganti dengan Tuan Ibrahim Tuan Man. Mungkin proses pencalonan itu masih boleh diterima, tetapi bila dilancarkan kempen menyerang peribadi Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin lain ia menunjukkan rancangan itu disusunatur demikian rupa.Tindakan memakan daging saudara sendiri itulah yang dikatakan tindakan group cleansing ini tidak berhati perut dan sama dengan golongan Serbs.

Melihat kepada mood pencalonan dan rancaknya proses pembersihan ini, sudah pasti golongan bukan disenarai sebagai ahli Syurga akan tewas. Manakala golongan ahli Syurga akan menang dengan mudah dan jaya.

Gerakan golongan ahli Syurga ini juga agresif menjalani kempen, membuat tohmohan dan provokasi dalam media massa dan kumpulan WhatsApp, ia menyerlahkan akan kesungguhan golongan ini hendak membersihkan golongan sepuak lagi dari Pas.

Sementara itu golongan bukan ahli Syurga hanya mendiamkan diri. Tidak ada apa-apa pakatan dibuat sesama mereka untuk mempertahankan diri. Mereka seolah-olah kesal dan menyerahkan kepada takdir dan menjadi serba salah sama ada hendak melawan atau mendiamkan diri. Apakah mereka sudah tahu apa yang berlaku dalam Pas itu tidak dapat diatasi? Apakah kerana sikap presiden dan musyidul am yang berpihak menjadi mereka malas dan lemah? Barang kali kata-kata Ahmad Awang tidak ada guna betanding kerana berlaku kempen secara kotor menjadi azimatnya.

Dengan situasi hari ini memberi gambaran, bahawa golongan yang tidak disenaraikan ahli Syugra, akan mengambil jalan sendiri selepas Jun nanti. Walaupun mereka tidak menunjukkan persepkatan tetapi permahaman politik mereka bergerak ke arah itu. Boleh jadi dan elok kalau mereka tidak akan menerima pencalonan dan akan memberi kemenangan percuma kepada golongan ahli Syurga sebagai jalan tengah. Soalnya ke manakah mereka selepas ini? Kita akan bincangkan di masa lain.

Dan apakah setelah golongan ahli disenaraikan ahli Syurga menguasai Pas sepenuhnya mereka akan membawa Pas lebih maju daripada hari ini, khasnya menang besar dalam pilihan raya umum ke-14? Harapnya begitulah, termasuk juga akan mengatur tapak yang jelas untuk berkerjasama dengan Umno demi agama, bangsa dan negara yang kini menjadi tagline baru kepada Pas bawaan ahli disenaraikan ahli Syurga.  [wm.kl.10:42 an 29/04/15]

Tiada ulasan: