Selasa, 21 April 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Wajah "ekstrem" mula wujud dalam PAS

Posted: 21 Apr 2015 12:32 AM PDT

   Sikap yang ditunjukkan Pemuda PAS Pulau Pinang dan kawasan Permatang Pauh dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh adalah wajah baharu parti Islam itu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti, kata Khalid Samad.

 "Inilah wajah baharu PAS dalam konteks hubungan dengan Pakatan Rakyat jika kumpulan baharu dipilih sebagai Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar PAS ke 61 Jun nanti.

   "Merekalah yang akan menggantikan wajah-wajah seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa dan pimpinan lain yang digelar 'Jebon' dan 'Parasit'," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

 Pemuda Pulau Pinang pimpinan Yusni Mat Piah dan kawasan Permatang Pauh pimpinan Omar Osman mengambil sikap tidak memberikan kerjasama kepada PKR dalam menghadapi PRK akan datang, walaupun PAS Pusat memutuskan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PKR di situ. Sokongan kepada PKR untuk memilih calon mereka dinyatakan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan memberi kata dua sehingga hari penamaan calon, 25 April supaya PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu enakmen jenayah syariah Kelantan.

"Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala' pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat," kata Khalid.

 "Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana," kata Khalid yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

 Bagi Khalid, sikap ditunjukkan PAS Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang adalah wajah "ekstrem" yang mula wujud selepas muktamar pada 2011 lalu. - Baca lagi di sini

Nilai sebuah perjuangan : Dulu berukhwah, kini fitnah dan berpecah

Posted: 20 Apr 2015 09:00 PM PDT

Salahudin Ayub, YB Aminolhuda Hassan, Hj Dzulkifly Ahmad, Hj Khairudin Abd Rahim dan Onn Jaafar adalah antara sahabat akrab sejak saya menyertai PAS pada tahun 1986. Kami membina karier dari bawah. Menampal poster, naikkan bendera atas pokok, kutip derma jihad dan kerja kerja asas sebagai aktivis parti. BerUsrah dan bertamrin bersama sama. Kami wujudkan Pusat Tarbiyyah Amaliyyah yang di ketuai sendiri oleh Aminolhuda bagi memperkasa tarbiyyah pemuda.

 Bintang Salahudin lebih cerah dari saya; namun saya tahu keperitan yang beliau hadapi sewaktu beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor sepenuh masa dengan elaun RM300 sebulan. Acapkali kesempitan wang, hingga susu anak pun tidak mampu di beli. Dia tidak lupa diri bila jadi Ahli Parlimen. Selalu membantu saya terutamanya menjelang hariraya dan naik sekolah. Kalau jumpa dia akan tanya secara berseloroh, ' duit belanja ada? Lantas hulur sejumlah wang kepada saya kerana dia pernah alami keperitan dalam hidupnya. Dia mahu berkongsi sedikit keselesaan dengan rakannya yang lain.

  Sejak zaman Al Marhum Ismail Ibrahim sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, kami adalah exco Pemuda PAS. Aminolhuda akan singgah dan tumpangkan saya untuk pergi bermesyuarat di Batu Pahat. Beliau sahabat yang ambil berat mengenai saya. Tidak berkira orangnya. Hj Khairudin, meskipun engineer; sebahagian besar gajinya adalah untuk jamaah. Sanggup jual kuih dan buka kedai makan nak tampung kos operasi Dewan Pemuda. Kadangkala nak tuang minyak kereta pun tak ada duit. 

 Dzulkifli Ahmad, saya anggap arkitek parti di Johor. Pemikiran dan cara bekerjanya hebat. Seorang perancang parti yang work smart. Bangunan PAS Johor yang sedang berdiri megah waktu ini adalah hasil 'buah tangannya'.

 Apapun yang orang perkatakan mengenai Onn Jaafar, beliau adalah aktivis parti yang gigih. Walau dikata loklak, ceroi dan lain lain, kerja buatnya selesai sebagaimana arahan. Jika kita ni jam 1 pagi dah tidur; beliau masih menampal poster dan macam macam dilakukan hingga ke dinihari sejak 20 tahun dulu lagi. ' Ana ni tak reti bagi kuliah, tukang tampal poster pun tak pe lah'. Guraunya menceriakan kami.

 Ukhuwwah yang terbina mengeratkan kami. Walau ada yang sudah berjawatan penting dalam parti dan bergelar YB, hubungan kekal terpelihara. Justeru, bila ada fitnah yang disebarkan, kami sama sama hadapi, walau terasa pedihnya. Menitik air mata mengingatinya.

 Sekarang musim pemilihan parti, pilu tetap terasa bila kawan baik berubah sikap kerana berbeza pandangan. Seperti kata Dato' Mahfuz Omar, ' saya mengenali Salahudin sudah sekian lama. Sembahyang sunat dia lebih banyak dari saya. Tapi, bila orang fitnah dia baru baru ini(ada ceritanya) saya sangat terasa. Di mana letaknya akhlak kita?'.

 Mahalnya nilai sebuah persahabatan. Jangan kerana jawatan dan berbeza pandangan, kita bersengketa dan berpecah. Hilang segala galanya meskipun di pupuk sekian lama.

 Moga Allah pelihara persaudaraan ini hingga ke akhir hayat.

 ■ Mazlan Aliman ialah AJK Pas Pusat. ■ 20 April 2015

Kita mahukan perubahan

Posted: 20 Apr 2015 05:43 PM PDT


  Blog ini telah mengadakan undian untuk calon Presiden dan Timbalan Presiden PAS bagi pengunjung blog sebulan yang lalu. 

 Bagi calon presiden saya telah meletakan 3 nama popular iaitu : Hj Hadi, Husam Musa dan Ahmad Awang.

 Sementara Timbalan presiden 3 nama popular saya letakan : Hj Mat Sabu, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nik Amar.

 Awal subuh 18 April lalu pengundian telah tamat tempohnya dan agak menarik jika dilihat keputusan pencalonan seperti berikut:

 Presiden PAS - Jumlah pengundi 3595


 Hj Hadi : 680 18%
 Husam Musa : 2384 66%
 Ahmad Awang : 531 14%

 Nampaknya pengunjung blog al-Husseyn ramai yang memberikan sokongan kepada Husam.

 Walaupun pencabar Hj Hadi saya pecahkan kepada dua orang, namun ia dilihat tidak dapat membantu melonjakan undian kepada Hj Hadi. Bahkan Ahmad Awang mengikutinya hampir dibelakangnya.

 Andainya undian pencabar Hj Hadi tidak dipecahkan, maksud saya kalau Hj Hadi lawan Husam secara satu lawan satu, tentunya Hj Hadi akan ketinggalan jauh tercurut dibelakang Husam!

 Ini jelas menunjukan pengunjung blog ini cenderung kepada perubahan pucuk pimpinan tertinggi yang selama ini tidak pernah dicabar.

 Walaupun di peringkat  pencalonan kawasan-kawasan Hj Hadi kini agak kedepan mendahului Husam dan Ahmad Awang dalam pencalonan kawasan-kawasan, Hj Hadi sepatutnya menyedari hakikat pencalonan kawasan-kawasan setakad ini telah menunjukan ramai mahukan perubahan dimana sebelum ini jawatan presiden tidak pernah dicabar dan Hj Hadi menang mudah tanpa bertanding.

   Kesemua posisi dalam PAS, termasuk Presiden boleh ditandingi oleh mana-mana ahli jika ada cukup pencalonan. Wajib ditunaikan hak memilih itu kepada ahli. Pemilihan kesemua posisi, termasuk presiden adalah dibenarkan oleh perlembagaan PAS tapi malangnya, ada pihak yang cuba mengharamkan hak ini dengan memanipulasi hujah Islam.   

 Adanya suara-suara dari beberapa pemimpin kalangan Ulama yang menyatakan supaya jawatan presiden tidak dicabar, namun orangramai tetap mahukan pembaharuan.

 Sungguhpun pengundian melalui blog ini bukan menggambarkan kecenderungan sebenar perwakilan yang akan membuat pemilihan di Muktamar PAS nanti, namun sedikit sebanyak ianya mencerminkan kehendak ramai.

 Timbalan Presiden PAS - Jumlah pengundi 3322


 Hj Mat Sabu :  2367 71%
 Tuan Ibrahim Tuan Man : 891 26%
 Nik Amar : 64 1%

   Pertandingan untuk Timbalan Presiden nampaknya Hj Mohamad Sabu sangat popular dan Nik Amar ketinggalan jauh di belakang. Walaupun begitu pada realiti pencalonan kawasan, Mat Sabu merupakan calon yang paling tidak popular setakad ini. Walau apa pun adalah diharapkan undian yang diputuskan melalui blog ini akan menjadi kenyataan menjelang Muktamar PAS ke-61 nanti. Kita mahukan perubahan! 

Tiada ulasan: