Ahad, 15 Mac 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kata Hj. Hadi: Ahli PAS Dah Sejuta...

Posted: 15 Mar 2015 01:30 AM PDT


Kata macam-macam, tapi ahli PAS sudah sejuta'

PAS hari ini menolak dakwaan bahawa sokongan pada parti Islam itu merosot ekoran pelbagai kritikan diterimanya akhir-akhir ini.

Malah, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awan, keanggotaan parti itu kini sudah mencecah lebih sejuta orang, termasuk penyertaan terkini 8,000 anggota baru.

"Dalam keadaan orang sibuk kata pada PAS macam-macam, sebaliknya terbaru kita telah meluluskan keahlian baru seramai 8,000 orang.

"Ini menjadikan keahlian PAS sudah mencecah seramai 1,000,300 orang," menurut status Facebook pemimpin nombor satu PAS itu.

Kenyataan itu juga menyebut ramai golongan muda berpendidikan tinggi menjadi golongan teramai menyertai PAS.

"Ini menunjukkan perjuangan kita ada kemajuan, makin hari bertambah ramai orang yang menyertai PAS," katanya.

Hadi juga berkata mereka masih mendapat sokongan bukan Islam walaupun "dikepung dan disekat dengan pelbagai cara oleh Umno". -mk

ULASAN GB

Tak tahu apa lagi kita nak cakap apabila Presiden PAS dihinggapi dengan "sindrom penafian", bahawa sokongan masyarakat terutama bukan Islam terhadap PAS sudah merudum seperti dilaporkan sebelum ini.

Penyakit ini biasanya dibawa oleh pemimpin UMNO yang akan berhujjah ramai yang sertai UMNO walaupun UMNO dilanda pelbagai kritikan dan masalah. Tak sangka pula Presiden PAS juga mengamalkan sikap itu tanpa mahu bertindak melakukan koreksi terhadap apa yang menimpa PAS hari itu. Itu sebab agaknya Haji Hadi berdiam diri terhadap pelbagai isu yang melanda PAS seperti isu percubaan membakar kereta AJK PAS Pusat, Dr Mohd Hatta, isu Dr Dzulkefly ditumbuk waktu suboh, isu perpecahan yang melanda PAS, dan lain-lain.

Haji Hadi akan mencari hujjah untuk menjustifikasikan apa jua keadaan negatif yang menimpa PAS, sama kes dengan isu pengeluaran watikan untuk menjadi calon PAS di dalam PRU13 dulu dengan melemparkan fitnah pil kuda dan komunis, merendahkan kebolehan Dr Wan Azizah, Presiden PKR di Parlimen kerana nak mempertahankan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dan seumpamanya.

Kini dinyatakan pula kononnya ahli PAS bertambah.... mungkin laporan dari Setiausaha Agong untuk beliau menyatakan begitu.

Katakanlah benar ahli PAS bertamabah beribu-ribu seperti didakwa, apakah kerana ia faktor "menyokong ulama"? Atau kerana penyertaan itu adalah kerana "golongan muda" mahu menyelamatkan PAS daripada hanyut akibat dari sikap ulama yang sekarang ini dilihat sebagai kumpulan elit yang tidak boleh ditefur dan tidak boleh disentuh?

Allah saja Yang Maha Tahu. Namun "ekangkuhan" dengan sindrom penafian Presiden PAS itu amat mengecewakan. Ia tidak lansung membawa kebaikan kepada PAS.

Sebagai penutup GB perturunkan satu anekdot ringkas mengenai kisah Hassan Al-Basri, seorang ulama terkemuka pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah saw. di bawah ini.

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hasan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan. Di sisi mereka terletak sebotol arak.

Kemudian Hasan berbisik dalam hati,
"Alangkah buruk akhlak orang itu dan baiknya kalau dia seperti aku!".

Tiba-tiba Hasan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas karena karam.

Enam dari tujuh penumpang itu berhasil diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hasan al-Basri dan berkata,
"Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang".

Bagaimanapun Hasan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata padanya,
"Tuan, sebenarnya perempuan yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya sendiri, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan anggur atau arak".

Hasan al-Basri terpegun lalu berkata,
"Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi dari bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya dari tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan".

Lelaki itu menjawab,
"Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan".

Semenjak itu, Hasan al-Basri semakin dan selalu merendahkan hati bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.
···

Jika Allah membukakan pintu solat tahajud untuk kita, janganlah lantas kita memandang rendah saudara seiman yang sedang tertidur nyenyak.
···

Jika Allah membukakan pintu puasa sunat, janganlah lantas kita memandang rendah saudara seiman yang tidak ikut berpuasa sunat.
···

Boleh jadi orang yang gemar tidur dan jarang melakukan puasa sunat itu lebih dekat dengan Allah, daripada diri kita. Ilmu Allah sangat amatlah luas...
···

Jangan pernah ujub & sombong pada amalanmu.


saudaraku molek cerita ni boleh jadi Pengubat jiwa agar kita terhindar dri
sifat mazmumah walau sehebat manusia.
moga kita trhindar dr sikap bangga diri,sombong,ujub dgn amalan kita sendiri. sekali2 jgn prnah brkata

"Aku lebih baik drpd kau"

Jika Hassan Al-Basry, ulama yang terkenal itu boleh menerima kritikan dan teguran apakah yang menghalang Haji Hadi, Naib Ketua Ulama Sedunia dan sekalian ulama dalam PAS daripada menjadi sepertinya?

PAS Kota Tinggi Calonkan Husam Musa Sebagai Presiden PAS -updated

Posted: 14 Mar 2015 10:52 PM PDT


Pas Kota Tinggi calonkan Husam lawan Presiden

JOHOR BAHRU - Pas kawasan Kota Tinggi hari ini mencalonkan Datuk Husam Musa sebagai calon Presiden sekaligus menyaksikan kerusi yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mendapat tentangan selepas sebelum ini Pas Kota Bharu mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketua Penerangan Pas Johor, Onn Jaafar dalam satu kenyataan berkata, Pas Kota Tinggi yang mengadakan Mesyuarat Agong kali ke 28 pada hari ini sebulat suara memutuskan untuk memberi pencalonan tersebut kepada Naib Presiden Pas itu.

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Gerakan P156 Taman Hijrah di sini telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Hanipa Maidin.

Turut berlangsung hari ini, mesyuarat Pas Kawasan Parit Sulong yang akan memutuskan calon Presiden Pas selepas mesyuarat pada minggu hadapan.

Perkara itu disahkan Yang Dipertuanya, Khairuddin Abdul Rahim yang memberitahu, pihaknya masih mengharapkan pimpinan yang sedia ada terus menerajui parti berkenaan baik di peringkat pusat mahu pun negeri.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Aminolhuda Hassan menegaskan di peringkat negeri, pihaknya tidak mempengaruhi atau menetapkan sebarang ketetapan untuk perwakilan dari negeri ini mengundi atau mencalonkan sesiapa. -SH


Dua lagi kawasan calonkan selain Hadi sebagai presiden PAS

Selepas PAS kawasan Kota Baru menamakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon presiden PAS yang baru, PAS kawasan Kota Tinggi pula hari ini mencalonkan Datuk Husam Musa untuk jawatan tersebut.

Pencalonan Husam disahkan seorang pemimpin negeri Johor ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"Sah," katanya ketika ditanya sama ada benar Husam dicalonkan untuk jawatan itu dalam mesyuarat agung kawasan itu hari ini.

Sementara itu, satu lagi kawasan, Parit Sulong, juga tidak menamakan penyandang presiden sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyerahkan pencalonan kepada jawatankuasa yang dipilih untuk membuat keputusan.

Jawatankuasa PAS kawasan Parit Sulong yang akan bersidang awal minggu depan itu juga dijangka akan mencalonkan pemimpin selain dari Hadi sebagai calon presiden.

Perkembangan terbaru ini menjadikan Hadi tidak mendapat pencalonan dari 3 kawasan pertama yang mengadakan mesyuarat agung ketika PAS dilanda perpecahan yang terbesar selepas 1982 apabila bekas presiden PAS Tan Sri Asri Muda diketepikan oleh parti Islam itu.

"Mesyuarat memberikan amanah kepada jawatankuasa yang baru dipilih untuk membuat pencalonan selepas dibahaskan dan diundi oleh perwakilan," kata Khairudin Abdul Rahim, yang dipertua PAS Parit Sulong kepada The Malaysian Insider.

Beliau tidak dapat mengesahkan siapa yang akan dicalonkan kerana ia akan diputuskan mesyuarat jawatankuasa minggu depan.

"Rasanya kita akan calonkan tokoh yang lain, namun kita mahukan tokoh yang akan bertanding, bukan menarik diri selepas dicalonkan," kata Khairudin membayangkan kecenderungan menamakan calon selain Hadi.

Pada Selasa, Tuan Ibrahim menolak pencalonan PAS Kota Baru mengatakan beliau tidak layak menggantikan tempat Hadi.

Menyifatkan pencalonan itu satu kejutan, beliau berkata, "Seperti yang saya katakan kepada para wartawan yang bertanyakan hal ini hari ini, 'Kalau Husam berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan Hadi, saya yang berketinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang Hadi dari segi kepimpinan'."

Menurut Khairudin, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan PAS Kota Tinggi selepas ini.

"Mungkin kita akan membuat sidang media bersama bagi memaklumkan keputusan," kata Khairudin kepada The Malaysian Insider.

Sehingga kini, PAS Kota Tinggi tidak boleh dihubungi untuk mengesahkan pencalonan itu namun berita mengenainya sudah disebarkan melalui beberapa kumpulan perbincangan di media sosial Whatsapp dan Facebook.

Sementara itu, Khairudin mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Parit Sulong selepas menang dengan majoriti besar mengalahkan pencabarnya.

Turut menang ialah timbalan dan naib yang dipertua kawasan yang menang tanpa bertanding.

Hampir kesemua AJK yang terpilih juga merupakan pasukan yang menyokong Khairudin.

Parit Sulong dan Kota Tinggi ialah kawasan yang kedua dan ketiga mengadakan mesyuarat agung selepas Kota Bharu dalam siri mesyuarat agung PAS peringkat kawasan menjelang muktamar yang akan diadakan di Kuala Selangor Jun nanti.
-TMI


Biografi Husam Musa


Datuk Paduka Husam Musa merupakan ahli politik Malaysia berketurunan Melayu yang pernah memegang Exco Kerajaan Negeri Kelantan memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan semasa TG Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar. Husam Musa merupakan calon PAS yang pernah bertanding pada PRU 13 dikerusi Parlimen Putrajaya menentang lawannya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Latarbelakang

Datuk Paduka Husam Musa dilahirkan pada 14 Oktober 1959 di Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan.

Pendidikan

Beliau belajar di Sekolah Rendah Kota, Kota Bharu (1965-1971). Kemudian di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu (1972-1975). Seterusnya di Maktab Sultan Ismail (1976-1979).Bachelor of Economics (BEc), University of Malaya, Kuala Lumpur.(1980-1983) dan mengikuti kursus Bahasa Arab di Jordan (1987).

Politik

Husam Musa menjadi Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan (1990-1993).
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan (1993-1999).
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (1985-1987).
Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan (1996-1999) dan Naib YDP PAS Kawasan Kota Bharu (1999).
Antara jawatan parti PAS yang disandang ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. YDP PAS Kawasan Kubang Kerian. Sekarang menjawat Naib Presiden PAS (2005-09) dan (2011 - sekarang)

Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Kubang Kerian (1999 - 2004) setelah menang dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999.

Beliau satu ketika dilihat berpotensi menggantikan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lalu Husam Musa bertanding di peringkat negeri Kelantan. Beliau menjadi Adun Kijang, Kelantan Darul Naim (2004 - 08) selepas menang Pilihan Raya Umum Malaysia 2004. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau menjadi menjadi Adun Salor.

Dalam kerajaan PAS di Kelantan semasa TG Nik Aziz Nik Mat menjadi menteri Besar, Husam Musa ditugaskan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan Darul Naim (2004 - 08).

Selanjutnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri dan Panel Penasihat PENGASIH.

Membantu Perkembangan dan Perancangan strategik Ekonomi, Sosial dan Politik di Negeri Kelantan berasaskan Al-Quran dan Sunnah.

Kecemerlangan syarikat PMBK Sawit dan Kelantan Golden Trade adalah hasil nasihat dan pengurusan YB Dato Haji Husam Musa

YB Dato Haji Husam Musa adalah orang kuat di belakang pengenalan dan perkembangan Dinar Emas dan Dirham Perak Kelantan yang kini diterajui oleh Kelantan Golden Trade.

Program Anak Muda Tamu Ramadhan yang bermula pada 1 Ramadahan 2011 dan berakhir dengan program Tadarrus Al Quran Perdana Kelantan adalah hasil gerak kerja YB Dato Haji Husam Musa.

Beliau mewujudkan Program Salor Juara dan Salor Bistari untuk rakyat di dalam Dun Salor

Beliau juga mewujudkan Siaran Tayangan Skrin Besar acara bolasepak dan kuliah tok guru

YB Dato Haji Husam Musa juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatan Kuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, yang ditubuhkan khas untuk menerajui isu Tuntutan Royalti Petroleum dan Gas Negeri Kelantan antara Kerajaan Negeri Kelantan dan PETRONAS, kes ini masih berjalan di mahkamah Malaysia.

Kerajaan negeri Kelantan menuntut antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri Kelantan menerima royalti minyak sebanyak 5 % daripada hasil perolehan petroleum.

Dato Husam Musa pernah meraih anugerah Newsmaker of the Year 2003 di malaysiakini.com.

APA KATA TGNA TENTANG HUSAM


KOTA BHARU, 22 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan desas desus bahawa Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan seperti dilapor media Umno BN semalam.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pagi ini, Nik Aziz memberitahu, Husam juga tidak pernah menghantar surat meletak jawatan sepeti yang didakwa.

Media kerajaan semalam melaporkan Nik Aziz memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran kerana didakwa mahu meletakkan jawatan.

Menurut Nik Aziz, Husam diberi cuti rehat ekoran beliau perlu menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Husam ujarnya ada bertemu dengan beliau di pejabatnya minggu lalu untuk memberitahu bahawa doktor menasihatkan beliau masuk hospital dan berehat selama lima hari kerana masaalah tulang belakangnya.

"Itu lah sebenarnya tak lebih tak kurang. Masalah nak undur langsung tak timbul, baik dalam kepala dia, baik dalam kepala saya.

"Saya baru terbaca sebuah surat khabar hari ini, saya rasa amat terkejut di atas laporan sebuah akhbar hari ini muka depan, tajuk dia Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal,"ujarnya.

Nik Aziz berkata, tiada sebab Husam mahu melepaskan semua jawatannya termasuk sebagai anggota exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio perancangan ekonomi dan kewangan.

"Kalau benar sekalipun Husam memohon untuk melepaskan jawatannya, saya tetap tidak akan mengizinkannya, kerana kebijaksanaan dia telah berjaya menyelesaikan pelbagai masaalah rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun politik Malaysia,"ujarnya.

"Husam ni saya nak sebut, Allah Taala buat dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia, budaknya cerdik, pengalamannya banyak, dan pemikirannya jauh ke depan.

"Dan sekarang ni rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam termasuk dengan mengambil tanah Felcra, termasuk mengadakan kifalah yang banyak sehingga dapat dimanafaatkan oleh wasi…OKU dan ramai lagi yang terima banyak manfaat hasil pemikiran Husam.

Sebelum ni, tambahnya beliau tidak pernah menyebut perkara itu, (keistimewaan Husam) sebab takut perasaan anggota exco lain berkecil hati, lagipun exco lain mempunyai portfolio masing-masing.

Tetapi, sambungnya portfolio kewangan yang dipegang oleh Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan dan rakyatnya.


"Tiba-tiba orang kita suka buat cerita (Husam letak jawatan) letak muka depan ni akan mengguriskan hati orang sakit.

"Sudahlah dia sakit, macam ni boleh menambahkan kerisauan dia, rungsing,"ujarnya lagi.

Perkara itu katanya tidak seharusnya berlaku apa lagi sekarang umat Islam berada dalam bulan haji, iaitu bulan Zulhijjah.

Sambungnya, sebagai umat Islam setiap orang dikehendaki membuat kebajikan, puasa sunat, sembahyang sunat, menderma kerana bulan ni bulan Allah Taala di mana bulan ini Allah telah menurunkan malaikat dari langit ke bumi untuk memimpin manusia menuju ke syurga.

"Tetapi dukacitanya wartawan kita masih suka mengkrobek hal peribadi orang, termasuk menuduh orang-orang tertentu dengan sesuatu yang mengejutkan.

"Wartawan kita suka mencari benda panas walaupun perkara tu tak betul tetapi panas, dia fikir untuk melariskan jualan akhbar dia, dia tak fikir ianya boleh melukakan hati orang lain, fikiran orang tergugat, dia tak kira. Ini suatu perkara yang dukacita dalam masyarakat wartawan kita.

Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan kenapa wartawan Melayu bersifat sedemikian yang lebih mementingkan sensasi dari kebenaran sehinggakan pada masa yang sama beliau mempersoalkan wartawan berkenaan tidak mendapat kursus atau bagaimana.

"Adakah wartawan ni hanya pandai ambil kalam… kertas dan tulis tulis… tiada kursus ke wartawan ni…apa ni lagu ni, malu kita pada wartawan cina, wartawan cina lebih pandai pada wartawan kita,"sambungnya lagi.

Datuk Husam Musa ketika dihubungi Harakahdaily bagaimanapun hanya menasihatkan semua agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaru itu.

"Harap semua jangan bimbang, baca posting saya dalam (blog) cetusan hati," katanya melalui khidmat pesanan ringkas, SMS.
-harakahdaily (22/11/2009)


Buat masa ini Dato Husam Musa belum dapat dihbungi kerana berada di Turki untuk Lawatan Kerja. Foto ini petikan dari facebooknya.

Dua "Ulama" Sudah Mahu Berentap Jawatan Timbalan Presiden PAS!

Posted: 14 Mar 2015 08:30 AM PDT


Nik Amar sedia tanding jawatan nombor dua

KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bakal mempertimbangkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas jika dicalonkan.

Namun begitu, menurutnya, ia terpulang kepada perwakilan untuk menentukannya memandangkan setakat ini Pas Kawasan Kota Bharu sahaja yang sudah adakan mesyuarat, minggu lalu.

"Setakat ini tidak ada lagi (pencalonan), terlalu awal untuk mengulas perkara ini," katanya kepada media di JKR10, di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Pas Pusat yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan kepimpinan pusat serta negeri parti Islam itu.

Mengulas dakwaan Pengerusi Biro Undang Undang DAP, Gobind Singh Deo bahawa draf pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dikemukakan ketika mesyuarat PR adalah baharu secara keseluruhannya, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, menafikannya.

Beliau sebaliknya menjelaskan, pemimpin DAP itu mungkin melihat perkara tersebut dari sudut format pindaan yang dilakukan terhadap beberapa klausa terutama mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam tersebut kepada orang bukan Islam.

"Beliau melihat dari sudut format, format rang undang-undang itu memang kelihatan seperti baharu tetapi sebenarnya itu adalah pindaan kepada undang-undang diluluskan pada 1993.

"Cuma format berbeza dengan pindaan biasa dan kita pun telah bincangkan dengan penasihat undang-undang sendiri, ia tidak menjadi masalah, aspek isunya sangat teknikal," katanya.

Beliau turut ditanya mengenai kesediaan Pas untuk menangguhkan pelaksanaan enakmen tersebut sebagaimana dicadangkan parti komponen PR, namun katanya, tiada perkara yang menyebabkan pembentangan tersebut perlu ditangguhkan.

"Pindaan yang besar hanya tiga dan yang lain itu taktikal sahaja, pada kita (Pas), inilah (pindaan baharu) yang lebih baik, yang asal mungkin ada kepayahan sedikit, maka kali ini kita mempermudah. Alhamdulillah, (pindaan) sudah sedia untuk dibentangkan 18 Mac nanti," katanya. -SH


Tuan Ibrahim sedia tanding timbalan presiden

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada Muktamar PAS tahun ini sekiranya mendapat pencalonan dari mana-mana kawasan untuk jawatan itu.

Beliau berkata dua elemen utama yang menjadi tumpuannya sebelum bersetuju untuk bertanding mana-mana jawatan ialah keperluan dan kemampuannya menggalas amanah tersebut.

"Dulu (dalam muktamar) sebelum ini pun, memang ada cadangan untuk saya bertanding jawatan seperti timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat.

"Namun ketika itu, dengan kemampuan saya, cukup jadi naib presiden, namun kali ini jika ada pencalonan (untuk jawatan timbalan presiden), saya akan tengok...saya akan istikharah," katanya dalam sidang media sempena pengumuman program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ketiga dekat Rusila di Marang.

Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada muktamar tahunan PAS ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini.

Ditanya berhubung tindakannya menolak pencalonan dari PAS Kota Bharu untuk bertanding jawatan presiden, Tuan Ibrahim berkata ia berikutan tiada keperluan untuk menukar presiden ketika ini, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ketika dunia mengangkat beliau, kita anggota PAS sepatutnya lebih memberi sokongan kepada beliau dengan begitu banyak kejayaan yang dicapai sepanjang kepimpinannya.

"Namun saya hormati pencalonan dari kawasan (Kota Bharu) itu, saya melihat keikhlasannya dan pandangan dari mana-mana kawasan (untuk muktamar) itu adalah demokrasi dalam parti," katanya.

Ini berikutan sebelum ini Yang Dipertua PAS Kota Baharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pernah mencadangkan nama Tuan Ibrahim sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS dan yakin Abdul Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali telah menyatakan keyakinan tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Abdul Hadi buat masa ini.

Ketika ini, jawatan timbalan presiden PAS disandang oleh Mohamad Sabu (atas) manakala Abdul Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002.
-BERNAMA


ULASAN GB

Belum apa-apa dua "ulama" ini sudah tawar diri untuk jawatan timbalan presiden.

Nampaknya sudah mula nak berentap sesama sendiri. PAS Kawasan Kota Bharu sebelum ini telah mencalonkan TITM sebagai presiden untuk mencabar Haji Hadi, tetapi TITM telah menolaknya, tiba-tiba buat kenyataan sedia untuk bertanding untuk nombnor 2.

Dato Wan Abdul Rahim agak terkejut dengan sikap TITM tersebut dan terus "menegur"nya.


Sepatutnya sebagai seorang Islam apatah lagi berstatus ulama, kita "tidak meminta untuk dicalonkan" apa-apa jawatan. Kita sepatutnya menunggu pencalonan kemudian beristikharah samada mahu menerimanya atau tidak. Bukankah begitu?

Seseorang muslim jugatidak sepatutnya bercita-cita untuk memegang mana-mana bahagian mas'uliyyah kerana imarah adalah taklif dan bebenan tangungjawab dan bukan satu tasyrif atau keistimewaan.

Ini berdasarkan kepada hadith

Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Wahai Abd al-Rahman, janganlah kamu meminta jawatan, sebab jika kamu diberi jawatan kerana permintaan maka tanggungjawabnya akan dibebankan kepadamu. Namun jika kamu dilantik tanpa permintaan, maka kamu akan diberi pertolongan." (Bukhari, Muslim)

Begitulah juga apa yang disampaikan oleh seorang tokoh pemuda dari Kedah yang ramai mengkategorikan beliau sebagai pro-ulamak.


Hukum kebenaran dan keadilan berjalan.... nampaknya kumpulan ulama berantakan sesama sendiri..... ahli PAS akan tolak mereka yang mendatangkan persepsi "gila jawatan" walaupun bergelar ulama...

Tiada ulasan: