Isnin, 9 Mac 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Geng rompak bertelekung dipenjara

Posted: 09 Mar 2015 08:00 AM PDT


Geng rompak bertelekung dipenjara 6 bulan  
Nurul Suhada (tengah) dihukum penjara selepas mengaku salah merompak seorang pengusaha butik pengantin.



KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal empat anak dihukum penjara enam tahun enam bulan selepas mengaku salah merompak berkumpulan dan bersenjata parang serta pistol, di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 27, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak pengusaha butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 48, di rumah kedai di Kampung Landak, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.

Dalam rompakan itu, tertuduh melarikan gelang emas berlian; gelang emas tulisan jawi nama Asuwah; komputer riba; beg tangan yang dijual; beberapa helai jubah; beg tangan Coach mengandungi resit dan RM150 serta beg tangan Celline mengandungi kad pengenalan, Mykid, surat, buku cek, cermin mata Bonia yang keseluruhannya bernilai RM20,000.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus agar hukumannya diringankan kerana dia mempunyai anak kecil yang masih bersekolah.

"Saya juga baru sahaja melahirkan anak keempat di dalam penjara, dua bulan lalu dan sudah bercerai dengan suami pada 2013," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari bagaimanapun memohon hukuman berat mengambil kira jenayah rompakan bersenjata yang semakin berleluasa.

Mangsa turut memberitahu mahkamah, dia takut untuk membuka kedai pada waktu malam. 
Kes rompakan tersebut juga disiarkan Sinar Harian, tahun lalu.

Dalam kejadian lalu itu, mangsa bersama anaknya yang berusia 10 tahun berada di dalam kedai dan datang tertuduh bersama seorang lagi perempuan dengan memakai telekung sembahyang bertanyakan barangan dan pakaian pengantin.

Mereka mencuba pakaian dan perempuan tersebut keluar serta masuk semula bersama seorang lelaki. Lelaki itu kemudian mengeluarkan sebilah pedang dan pistol lalu mengacukan ke arah mangsa. 
Mereka mengugut dan menyuruh mangsa membuka barang kemas yang dipakai.

Mangsa ketakutan, tertuduh kemudian membuka gelang yang dipakai Asuwah sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta bersama barangan yang dirompak dan disimpan di sebuah bilik di rumah inap di Kampung Air Tawar, Cherang Ruku, Pasir Puteh.

KB kawasan PAS pertama calon pencabar Hadi?

Posted: 09 Mar 2015 07:48 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ura-ura tersebar bahawa Kota Bharu akan menjadi kawasan pertama PAS yang mencalonkan pencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden.

Bagaimanapun keputusan muktamad hanya akan diketahui malam ini apabila selesai mesyuarat jawatankuasanya bagi memutuskan perkara itu.

Setakat ini, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (bawah) disebut-sebut bakal dicalonkan bagi berdepan Hadi yang sudah menerajui PAS hampir 15 tahun selepas pemergian allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Pemimpin kanan bahagian itu ketika dihubungi enggan mendedahkan siapa tokoh yang bermain di fikiran mereka tetapi hanya menjelaskan "bukan (naib presiden) Datuk Husam Musa".

Mesyuarat agung tahunan kawasan itu sebelum ini memberi mandat kepada anggota jawatankuasa pusatnya untuk memutuskan pencalonan jawatan tertinggi untuk pemilihan PAS Jun ini.

Sidang media dijadual diadakan pada jam 10 malam ini di Pejabat PAS Kawasan Kota Bharu.

Menurut perlembagaan, seseorang anggota PAS memerlukan dua pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding.

Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan.

Pemilihan PAS dijadualkan berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini. 


Selepas damai, Asri-Kazim ceramah bersama?

Posted: 09 Mar 2015 07:47 AM PDT

MALAYSIAKINI


 



Kemungkinan pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias beserta mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin, akan berganding bahu dalam menyampaikan ceramah dalam majlis anjuran Yayasan Kebajikan Islam Darul Ridzuan (Kadir).

Namun pengerusi Kadir, Datuk Azhar Ahmad, berkata perkara itu masih dalam perancangan.

"Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) turut minta kami untuk menganjurkan majlis itu dan kita akan cuba aturkannya dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Pada masa yang sama beliau bersyukur dan gembira apabila kedua-dua tokoh tersebut bertemu dan berbincang dalam suasana santai di Kangar, Perlis semalam, setelah timbul perbezaan pendapat antara mereka sebelum ini.

"Kami dari Kadir sangat seronok dan senang hati melihat masalah kedua-dua ulama kita ini akhirnya dapat diselesaikan dengan baik mengikut lunas-lunas agama kita," katanya.

Media melaporkan pertemuan kedua-duanya turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu Azhar berkata Kadir akan menganjurkan program 'Malam Cinta Rasul, Kerian Berselawat' di Stadium Mini Bagan Serai pada Khamis ini.

Beliau berkata majlis itu dijangka disertai Tokoh Selawat Nusantara, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf dan menteri besar Perak.

"Ini adalah kali ketiga Tokoh Selawat Nusantara itu hadir ke Perak. Kali pertama pada tahun 2012 iaitu di Program Perak Berselawat di Dataran Ipoh yang berjaya menarik 15,000 hadirin.

"Kali kedua pula pada April 2014 di Stadium TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) Lumut bersempena Hari Tentera Laut yang berjaya menarik hampir 20,000 orang," katanya.

Azhar berkata kali ini pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 20,000 pengunjung bukan sahaja dari Daerah Kerian malah dari kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah.

"Programnya akan bermula esok dengan pengisian seperti karnival jualan, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan nasyid.

"Kemuncak program adalah pada malam 12 Mac dan pengunjung dinasihat datang seawal mungkin bagi mengelak kesesakan lalu lintas," katanya dan menambah para pengunjung disaran membawa sejadah serta memakai jubah putih bagi lelaki dan bertelekung bagi wanita.

Program bakal bermula 9 malam. - Bernama


1MDB: Muhyiddin patut ganti Najib, kata PAS

Posted: 09 Mar 2015 07:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


 



Datuk Seri Najib Abdul Razak didesak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan sementara menunggu selesai siasatan terhadap syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa juga berkata perdana menteri harus berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dilanda hutang RM42 bilion, sehingga siasatan itu selesai.

Bercakap kepada media selepas membuat aduan polis terhadap 1MDB di Kuala Lumpur hari ini, Husam berkata penting bagi Najib berbuat demikian bagi melancarkan proses siasatan.

"Dalam tempoh ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menggantikan tempat Najib," katanya di luar balai polis Dang Wangi.

Tambahnya, dalam laporan polis, beliau menggesa pihak berwajib menyiasat bayaran RM2.6 bilion (AS$700 juta) yang dibuat oleh 1MDB kepada syarikat Good Star Ltd di kepulauan Seychelles.

Husam berkata pihak berkuasa harus menyiasat Najib sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan juga pihak pengurusan syarikat terbabit.


Nik Nazmi cabar penahanan reman di Mahkamah Tinggi

Posted: 09 Mar 2015 07:30 AM PDT

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Nik Nazmi ditahan semalaman di lokap balai polis Jinjang, sebelum polis menerima perintah reman daripada majistret pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider, 9 Mac, 2015.Nik Nazmi ditahan semalaman di lokap balai polis Jinjang, sebelum polis menerima perintah reman daripada majistret pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider. 



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi mencabar keputusan majistret membenarkan polis menahan beliau selama tiga hari lagi.

Peguamnya, Eric Paulsen berkata, permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

"Kami akan melakukan tindakan susulan memastikan semakan itu didengar sebelum reman itu tamat tempoh," katanya kepada The Malaysian Insider.


Polis menangkap Nik Nazmi semalam di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan dia ditahan semalaman di lokap balai polis Jinjang.

Pagi ini, pegawai penyiasat membawa Nik Nazmi di hadapan majistret yang membenarkan permohonan menahan reman exco Selangor yang juga ketua pemuda PKR itu bagi membantu siasatan. Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi direkodkan kenyataan. Terdahulu hari ini, DAP mengutuk penahanan Nik Nazmi mengatakan ia tidak munasabah dan satu penyalahgunaan kuasa.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa menteri dalam negeri dan perdana menteri campur tangan memastikan Nik Nazmi dibebaskan serta-merta.

"Mengapa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ditahan untuk siasatan kerana membuat ucapan hasutan menyeru orang Melayu memboikot usahawan Cina?

"Apa yang Ismail katakan menyebabkan perselisihan dan perpecahan; ia jauh lebih teruk daripada apa yang dikatakan dilakukan Nik Nazmi," kata Lim pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut hadir berkata, perintah lanjutan reman itu tidak perlu kerana polis boleh menyiasat Nik Nazmi tanpa menahannya.

"Seorang ahli majlis kerajaan negeri tidak sepatutnya ditahan reman selama tiga hari. Beliau tidak bahaya. Beliau hanya mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman," kata Guan Eng.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak mengutuk polis kerana penahanan Nik Nazmi bertentangan Akta Perhimpunan Aman dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan untuk semua rakyat.

"Penahanan Nik Nazmi bercanggah prinsip demokrasi... tangkapannya sama sekali tidak perlu dan tidak logik.

"Tahanan reman ialah untuk membantu siasatan, bukan untuk menghukum. Nik Nazmi sukarela dan dengan penuh tanggungjawab bekerjasama dengan pihak polis," katanya, menggesa Putrajaya tidak menggunakan institusinya sebagai alat menghalalkan tindakan.

"Kami tidak diam dan akan terus berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan. Percayalah," katanya.

Laporan interim MH370 tak masuk akal, kata Dr Mahathir

Posted: 09 Mar 2015 07:27 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Gambar fail pesawat Boeing penerbangan MH370 di ruang udara Poland. Pesawat itu masih hilang, setahun selepas hilang dari radar kawalan udara. – Gambar Reuters, 9 Mac, 2015.Gambar fail pesawat Boeing penerbangan MH370 di ruang udara Poland. Pesawat itu masih hilang, setahun selepas hilang dari radar kawalan udara. – Gambar Reuters.



Laporan interim kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dikeluarkan Ahad lepas "tidak masuk akal", kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan insiden malang itu dengan wujudnya unsur "mainan teknologi".

Bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu berkata, mustahil pesawat penumpang seberat 230 tan itu berupaya hilang tanpa dapat dikesan, merujuk pesawat Boeing itu yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lepas.

"Amat pelik pesawat berat 230 tan boleh hilang sampai tidak boleh jumpa.


"Saya masih tidak boleh terima segala laporan kerana saya tidak tahu, dalam zaman komunikasi terbaik hari ini, kita tidak tahu mana hilang pesawat itu," katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini. "Saya khuatir ada permainan teknologi dalam perkara ini."

Pasukan bebas yang menyiasat insiden kehilangan pesawat MH370 mengeluarkan satu kenyataan interim pada Ahad, genap setahun selepas kehilangan misteri pesawat tersebut.

Pasukan itu, diketuai bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Kok Soo Chon, mengeluarkan laporan tiga muka surat bertujuan mengelakkan berlaku kemalangan atau insiden serupa pada masa hadapan.

Kok berkata, pasukan penyiasat itu juga turut menemubual kira-kira 120 individu termasuk kakitangan MAS, DCA dan waris keluarga mangsa nahas dan menganalisis semua data dan maklumat yang dikumpul.

Laporan interim penuh dan fakta maklumat berhubung siasatan MH370 boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan iaitu http://www.mot.gov.my.

Awal hari ini, akhbar The Guardian melaporkan, saudara-mara penumpang dan anak kapal MH370 mengkritik laporan interim itu.

Laporan itu berkata mereka hanya mendedahkan satu fakta baharu, iaitu bateri perakam data penerbangan (SSFDR), salah satu daripada 2 kotak hitam, peranti pengesan bawah air (ULB) bagi pesawat itu tamat tempoh kira-kira 14 bulan sebelum pesawat Boeing 777-200ER itu hilang tanpa dikesan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tetapi mereka mempersoalkan kepentingan dapatan itu, memandangkan ULB itu mungkin tidak dapat dikesan pun pada kedalaman Lautan Hindi di mana pesawat itu dikatakan menjunam jatuh.
Sarah Bajc, yang kehilangan pasangannya Philip Wood di atas kapal terbang itu, mengkritik penyiasat kerana hanya menemuramah 120 orang.

Seorang lagi saudara yang enggan namanya disiarkan juga berkata, laporan itu "tidak berguna".
Intan Maizura Othman, yang suaminya pramugara Hazrin Hasnan terlibat dalam kejadian itu berkata, beliau tidak bercadang membaca laporan itu kerana ia tiada gunanya dalam usaha mencari kebenaran.

Putri Mardiana Kunci Mulut Dakwaan Ditangkap Khalwat Kali Kedua

Posted: 09 Mar 2015 07:21 AM PDT


Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI


Putri enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya dia ditangkap khalwat buat kali kedua pada Sabtu lalu.
 
 
 
PETALING JAYA: Pelakon filem Ngangkung, Putri Mardiana Zainal Abidin enggan mengulas mengenai dakwaan ditangkap khalwat buat kali kedua bersama teman lelakinya, Shahrizam Abdullah pada pagi Sabtu lalu.

Putri Mardiana atau lebih mesra dengan sapaan Nina, 33, tidak menjawab panggilan yang dibuat kepadanya sebanyak beberapa kali sebelum menghantar mesej di aplikasi Whatsapp memberitahu dia tidak mempunyai sebarang komen.

"Tiada komen," katanya ringkas kepada mStar Online pada Ahad.

Pasangan itu didakwa dicekup oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 4 pagi di kediaman milik isterinya Shahrizam atau E-Jump di USJ 1, Subang Jaya di sini.

Malah wanita yang dikenali sebagai Nor Hasni Md Hashim itu turut mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

Terdahulu, pasangan berkenaan pertama kali diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Disember tahun lalu di sebuah kondominium dekat Ukay Perdana, Ampang dalam satu siri serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat orang awam.

Nina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ketika itu mendakwa serbuan tersebut sengaja dirancang oleh bekas teman lelakinya dan isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya.

Keluarga Terkilan, Minta Henti Sebar Gambar Allahyarham Harun Salim Bachik

Posted: 09 Mar 2015 07:19 AM PDT

Oleh: KEMALIA OTHMAN


Danial (kiri) dan Syafik sifatkan Allahyarham bapa yang bertanggungjawab.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik terkilan dengan penyebaran gambar arwah ketika menghembuskan nafas terakhir dan menjelaskan ia tidak seperti diperkatakan di laman-laman sosial pada petang Ahad lalu.

Anak keduanya, Danial Al-Rashid, 29, berkata, arwah meninggal dunia secara tenang dipangkuan salah seorang adiknya selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

"Arwah tidak jatuh seperti yang tersebar di Facebook, dia sesak nafas dan berpaut pada tiang hingga adik saya memapah dan memangkunya pada saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir.

"Selepas saya dapat berita tentang itu dan lihat sudah tersebar gambar-gambar arwah serta cerita yang salah. Saya harap orang ramai tidak menyebarkan lagi gambar tersebut," ujarnya kepada mStar Online selepas selesai pengebumian jenazah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi Isnin selepas disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah Jalan Pandan Perdana 8/1.

Dalam pada itu, Danial mengakui, salah satu sebab kesihatan arwah terjejas adalah kerana terlalu kuat bekerja.

Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat lebih parah selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 bersama kumpulan Boboy.

"Antara punca kesihatan dia semakin teruk kerana terlalu kuat bekerja, kami ada paksa dia agar berehat dan dia memberitahu tahun ini akan memperlahankan aktiviti seni.

"Keadaan penyakit asma mula serius lepas menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 lalu dan selepas itu dia sering mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.

Sementara itu, Danial menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan serius apabila bersama keluarga.

Biarpun tidak meninggalkan sebarang pesanan, Danial berkata, tanggungjawab terhadap keluarga kini perlu dipikulnya bersama adik beradik lain.

"Dia kelakar di televisyen sahaja dan kalau di rumah dia seorang yang serius. Dia tidak meninggalkan apa-apa pesanan kepada kami adik beradik, namun secara automatiknya tanggungjawab itu jatuh kepada kami semua," ujarnya.

Sementara itu anak sulungnya, Syafik Al-Rashid, 30, memberitahu telah meminta pihak hospital tidak melakukan sebarang bedah siasat terhadap arwah kerana mengetahui punca kematian tersebut disebabkan penyakit asma yang kritikal.

Katanya, Allahyarham sudah beberapa kali ke hospital untuk menjalani rawatan bagi mengawal penyakit asma itu.

"Kami berpakat adik-beradik tidak mahu arwah ayah menjalani bedah siasat kerana memang mengetahui arwah ayah menghidap penyakit asma.

"Sebelum ini juga, arwah sudah beberapa kali ke hospital untuk dapatkan rawatan," ujarnya.

Allahyarham Harun Salim Bachik menghembuskan nafas terakhir selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, petang Ahad.

Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Pejabat Kesihatan Gunung Semanggol, jam 4.20 petang Ahad. Beliau sebelum ini memang diketahui mengidap asma.

Allahyarham dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Pandan Perdana.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Surianti Mohd Nor, enam orang anak dan tiga orang cucu.

SPRM siasat 1MDB lepas laporan audit siap

Posted: 09 Mar 2015 07:13 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan audit ke atas syarikat itu siap.
 
Ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, mereka perlu menunggu laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum mengambil langkah seterusnya.
 
"Pihak audit akan masuk (siasat), kemudian bentang kepada PAC, dan jika terdapat kes, baru pihak berkuasa akan siasat," kata Kassim ringkas kepada wartawan semasa ditemui selepas majlis Ikrar Integriti di Puspakom, Shah Alam pagi ini.
 
Beliau sebelum itu beberapa kali mengelak daripada memberi komen tentang soalan wartawan berhubung 1MDB.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan siasatan audit dibuat ke atas 1MDB.
 
Perkara itu disokong timbalannya, tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Muhyiddin juga memberi jaminan bahawa dan awam tidak akan digunakan untuk menyelamatkan (bail out) syarikat itu.
 
Beliau juga meminta jabatan audit menyegerakan siasatan itu demi mengembalikan kepercayaan pelabur kepada prospek pelaburan di negara ini.
 
 

Takzir Terengganu pada Islam saja, tegas MB

Posted: 09 Mar 2015 07:12 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan bahawa undang-undang takzir negeri itu, antaranya melibatkan peraturan pakaian, hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja.
 
Beliau justeru menggesa semua pihak termasuk bukan Islam untuk menghormati penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) 2001 melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)
 
"Ini kerana, kita sedar sebaik kita mengumumkan pelaksanaan ini (enakmen jenayah syariah) ramai yang menyuarakan pendapat, di mana ada yang bersetuju dan sebaliknya.
 
"Tetapi saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilaksanakan ini adalah untuk kebaikan umat Islam tanpa menggugat bangsa lain," beliau dipetik sebagai berkata oleh Teganukita.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu DiRaja Malaysia (RAMD) Kem Sri Pantai, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
 
Kenyataan Razif secara tidak langsung mengetepikan gesaan pihak konservatif seperti penceramah Ridhuan Tee Abdullah yang mahu undang-undang itu diperluas kepada bukan Islam.
 
Teganukita juga melaporkan bahawa Razif terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak berhubung perkara itu tetapi "tidak akan tunduk dengan kecaman segelintir pihak yang tidak bersetuju".
 
Terengganu sebelum ini menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 yang antaranya melarang kelakuan tidak senonoh, membonceng tanpa ikatan keluarga, tidak solat Jumaat bagi lelaki dan berpakaian tidak sopan di tempat awam.
 
Ridhuan: Tiada agama benarkan
 
Ridhuan dalam kolumnya di Sinar Harian hari ini mencadangkan supaya undang-undang pemakaian terhadap orang Islam turut dikenakan kepada bukan Islam di Terengganu.
 
Katanya, tindakan itu, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi, harus diambil atas dasar keadilan.
 
"Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh.
 
"Tidak ada agama yang membenarkannya," katanya dalam kolum itu.
 
Ridhuan menolak kritikan yang menyamakan tindakan itu sebagai  "Talibanisasi" kerana ia kemahuan majoriti umat Islam di situ dan bertujuan "memanusiakan manusia".
 
"Jika tidak suka, duduk diam-diam. Majoriti umat Islam tinggal di sini mereka mahukannya, seperti umat Islam di Kelantan mahukan hudud.
 
"Lagipun bukan negeri kamu," katanya lagi dalam tulisan itu. - MALAYSIAKINI
 
 

[BONGKAR] Hassan Malek Itu Sepupu Rosmah Mansor, Itu Sebab Jadi Menteri Penuh

Posted: 09 Mar 2015 01:05 AM PDT

KELAB GREENBOC



 

Bekas setiausaha agung Umno dedah 'skandal' Bank Rakyat dalam buku baharu

Skandal Bank Rakyat RM32 juta yang mendapat perhatian ramai tahun lepas kini diceritakan dalam sebuah buku berjudul "Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat" tulisan Shahbudin Husin, yang dilancarkan hari ini oleh pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Buku yang dikarang penulis blog terkenal itu menampilkan wawancara dengan bekas pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik, yang juga bekas setiausaha agung Umno.

Dalam buku terbaharu Shahbudin ini, beberapa perkara dibongkar melibatkan peranan usahawan permaidani, Deepak Jaikishan dalam skandal Bank Rakyat.

Buku itu mendedahkan hubungan Deepak dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan layanan istimewa diberikan kepada beliau dalam isu pinjaman Bank Rakyat.

Sanusi semasa berucap melancarkan buku itu di Petaling Jaya hari ini, berkata tidak pernah dalam sejarah Umno seorang bekas setiausaha agung dimalukan dan dihina seperti dilakukan terhadap Sabbaruddin.

"Belum pernah daripada 21 bekas setiausaha agung Umno dimalukan dan dihina seperti yang dilakukan ke atas Sabbaruddin," kata Sanusi, yang merupakan menteri semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kontrak Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat berakhir pada 8 April 2014 dan tidak disambung di atas arahan Datuk Seri Hasan Malek.


Hasan, yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, didakwa masuk campur isu penyambungan kontrak Sabbaruddin kerana tidak berpuas hati dengan bekas pengerusi Bank Rakyat tersebut.

Sabbaruddin berkata tujuan buku ini diterbitkan adalah bagi menegakkan keadilan bagi dirinya.

"Saya rasa ini tidak adil kepada saya dan mereka yang terlibat. Beliau (Hasan) menyalahguna kuasa," katanya.

Buku itu mengandungi 26 bab dan diterbitkan Special One Publication.

Antara artikel yang dimuatkan adalah kenyataan Sanusi dan juga Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang membangkitkan skandal tersebut.

Turut hadir pada majlis hari ini bagi menyatakan sokongan adalah bekas ketua pengarang The New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Deepak sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Beliau pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.

Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah.

Penerbitan buku ini dijangka menambah tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah berdepan pelbagai skandal, antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan New York Times mengenai harta pusaka.

Kedudukan Najib juga tidak berada dalam keadaan baik pada ketika bekas perdana menteri, Dr Mahathir juga lantang mengkritik pentadbirannya. -TMI


Sabbaruddin hanya geram dengan Hasan Malek, bukan Rosmah atau pun Najib

Lokasi : Zam Zam Cafe & Satay Club, Damansara, Selangor
Acara : Pelancaran buku "MEMBONGKAR SKANDAL DEEPAK & BANK RAKYAT"
Tarikh : 4/3/2015

Saya masih belum berkesempatan membaca habis buku Membongkar Skandal Deepak dan Bank Rakyat ini tetapi daripada bacaan yang telah saya buat dan melalui kenyataan yang diperolehi daripada Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam sesi sidang media dapat saya membuat rumusan berikut :

1. buku ini tidak bertujuan menjatuhkan kepimpinan Najib Razak

2. Sabbaruddin Chik sendiri tidak mengetahui bahawa Menteri KPDNKK, Hasan Malek ada lah sepupu kepada Rosmah Mansor and the board of directors was not intimidated by Rosmah.

3. Pihak Lembaga Pengarah Bank Rakyat telah menuntut Deepak membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM5 juta sebagai "show of sincerity" dalam membuat pembayaran balik pinjaman berbaki RM32 juta dan baki nya dibayar secara ansuran.

4. Hasan Malek telah mencampuri urusan pentadbiran dengan 'memaksa' Pengerusi Bank Rakyat dan lembaga pengarah untuk menerima pembayaran melalui 120 keping post dated cheques. Cara begini bukan amalan Bank Rakyat dalam menuntut pembayaran semula hutang.

5. Setelah berlaku perselisihan faham mengenai skim bayaran balik pinjaman Deepak, Menteri KPDNKK tidak memperbaharui kontrak Pengerusi Bank Rakyat . Kini setelah hampir setahun setelah kerusi Pengerusi dikosongkan , masih belum ada pengganti yang dilantik oleh Menteri KPDNKK.

6. Jelas Sabbaruddin Chik begitu geram dengan tindakan Menteri KPDNKK memecat beliau tanpa pertemuan empat mata dan tanpa memberi peluang membela diri. Beliau juga kecewa Perdana Menteri yang beliau kenal rapat tidak langsung menunjuk minat untuk mengetahui apa yang berlaku kepada beliau.

Buku ini kini boleh diperolehi dari Pustaka Mukmin, Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan harga RM30 senaskah.
-jinggo-fotopages

LIHAT VIDEO DI SINI


MB: Penahanan Nik Nazmi bercanggah perlembagaan

Posted: 09 Mar 2015 12:57 AM PDT

Oleh: Mohamed Azmin Ali


Saya menerima maklum bahawa YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Negeri Seri Setia dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi telah ditahan oleh pihak polis berikutan himpunan rakyat yang mendesak pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim semalam.

Saya mengutuk sekerasnya penahanan ke atas Saudara Nik Nazmi. Tindakan polis merupakan pencabulan kepada kedaulatan undang-undang yang seharusnya membebaskan seorang anggota Dewan seperti Saudara Nik Nazmi daripada kongkongan kekuasaan.


B_j9-9pVEAAutFn

Justeru itu, penahanan ini adalah tidak sah, menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan. Perhimpunan rakyat semalam telah berlangsung secara teratur, aman dan merupakan hak yang dijamin oleh perlembagaan.

Tidak ada asas undang-undang yang kukuh ke atas penahanan Saudara Nik Nazmi dan Saudara Saifullah Zulkifli selain hanya bermotifkan politik.

Biarpun pihak polis ingin merakamkan kenyataan daripada mereka, namun tidak ada alasan munasabah untuk menahan mereka apatah lagi memandangkan Saudara Nik Nazmi hadir secara sukarela ke Balai Polis pada pagi ini.

Kerajaan Persekutuan dan pihak polis wajar menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menghormati keluhuran perlembagaan serta hak asasi rakyat.

Maka, pihak berkuasa perlu membebaskan Nik Nazmi dengan segera dan tanpa sebarang syarat serta menghentikan siasatan polis yang sedang berjalan kepadanya juga semua pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan mendesak pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

* Mohamed Azmin Ali adalah Dato' Menteri Besar Selangor

Tiada cadangan naikkan umur persaraan

Posted: 09 Mar 2015 12:55 AM PDT

Bagilah masa kita melalui proses umur persaraan 60 tahun dahulu.


Datuk Seri Dr Ali HamsaKUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai rancangan menyambung umur persaraan kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun memandang usia masa kini sudah memadai, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, kerajaan masih belum memulakan perbincangan untuk menaikkan umur persaraan kerana "kita baru sahaja buat semakan mengenai umur persaraan."

"Bagilah masa bagi kita melalui proses umur persaraan 60 tahun dahulu," katanya.

Ali berkata, pada masa sekarang kerajaan akan mengekalkan umur persaraan semasa iaitu 60 tahun.
Ditanya sama ada beliau pernah menerima cadangan berkenaan, Ali berkata beliau hanya mengetahuinya melalui media, lapor Bernama.

Pada Sabtu lalu Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengemukakan cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan umur persaraan kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata, ia berikutan negara maju seperti Singapura, negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat menetapkan umur persaraan kakitangan awam pada 65 tahun.

Tiga kredit boleh masuk Universiti

Posted: 09 Mar 2015 12:53 AM PDT

 
Ia memberi peluang kepada kumpulan sasaran tersebut meneruskan pendidikan tinggi.


Uitm building


PETALING JAYA: Biarpun dengan hanya tiga kredit dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar sudah boleh diterima masuk menyambung pengajian di universiti awam terbesar negara.

Itu berita baik buat lebih 2000 belia yang kebanyakannya daripada keluarga kurang kemampuan memohon melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Jom Masuk UiTM.

Utusan Malaysia melaporkan, langkah tersebut diambil oleh Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang mahu memberi peluang kepada kumpulan sasaran tersebut meneruskan pendidikan tinggi, seterus­nya dapat mengubah nasib keluarga yang terpaksa berdepan kos tinggi di bandar besar.

Menariknya, program turut mendapat perhatian warga Kuala Lumpur dan dari sejauh Miri, Sarawak.
"Kita berharap program sebegini dapat dikembangkan lebih jauh oleh semua UMNO bahagian di Selangor," katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di Dewan Beringin, Seksyen 24, Shah Alam.

Calon-calon yang berjaya mendapat tempat di UiTM menerusi program berkenaan akan menjalani kursus pradiploma sebelum ke peringkat diploma.

Azhari menambah, pihaknya sentiasa komited menganjurkan program pendidikan untuk anak-anak warga bandar raya ini seperti tuisyen percuma menjelang peperiksaan SPM pada tahun lalu.

UiTM ialah universiti ke-sembilan terbaik di Malaysia dan berada di tempat 700+ dalam senarai QS World University Rankings 2013/14.

MCA Johor sedang kenal pasti calon PRU-14

Posted: 09 Mar 2015 12:48 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


MCA Johor telah mula mengorak langkah awal untuk mengenal pasti calon-calon berwibawa yang boleh mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
  
Pengerusinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kesemua 17 bahagian telah dipanggil untuk menyenaraikan senarai calon berkenaan kira-kira dua minggu sebelum Tahun Baru Cina baru-baru ini.
  
Bagaimanapun difahamkan seorang daripada 17 pemimpin bahagian tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
  
"MCA Johor kini sedang dalam proses mengenal pasti siapakah bakal calon kita nanti dan kita telah berbincang mengenai soal itu. Yang penting calon itu mesti yang bermaya, bertenaga, berkaliber, berwibawa, imej yang baik dan diterima baik masyarakat setempat," katanya selepas  Majlis Jamuan Rakyat sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Muar, Ledang dan Bakri di Muar, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pemimpin MCA tempatan.
  
Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden MCA itu berkata lebih penting lagi calon berkenaan boleh menjadi "juara rakyat" dalam menangani isu di tempat masing-masing.
  
"Selain calon, kaedah yang kita guna di setiap lokaliti itu berbeza bagaimana untuk menarik sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional terutama di tempat yang kita tewas," katanya.
  
Beliau berkata ketika ini pihaknya tidak boleh mengumumkan peratusan  calon muda dan lama yang akan diketengahkan itu itu dan ia akan diumumkan bila tiba masanya nanti.
  
Ketika ditanya sokongan masyarakat Cina terhadap BN ketika ini, Wee berkata sokongan kini semakin baik dan masyarakat sudah mengetahui mereka tertipu dengan dakyah pembangkang pada PRU lalu.

"Untuk apa lagi masyarakat Cina untuk menyokong pembangkang yang kini mula berpecah dan tidak sehaluan lagi," katanya.
  
Sementara itu ketika berucap, Mohamed Khaled mahu masyarakat Cina di negeri itu agar bersama-sama kerajaan negeri untuk membantu membangunkan Johor dengan lebih gemilang.
  
"Kerajaan negeri akan selesaikan semua masalah yang dibangkitkan masyarakat Cina dan yang penting marilah kita bersatu dalam semua perkara,"  katanya.-Bernama


 

Dua kali digantung, Surendran tak gentar

Posted: 09 Mar 2015 12:47 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Masa berlalu, MP Padang Serai N Surendran menghabiskan masanya di luar Dewan Rakyat kerana dihukum menjalani dua kali penggantungan selama enam bulan.

Namun, hari ini menandakan kehadiran semula beliau ke Dewan Rakyat dan MP yang lantang itu menyifatkan penggantungannya sebelum ini tidak akan menyekatnya daripada terus bersuara.

"Saya tidak akan mengubah pendekatan saya. Saya tidak sepatutnya digantung pada awal lagi," katanya kepada wartawan.

Penggantungan enam bulan pertama dari sidang Parlimen berlaku pada November 2013 selepas 'bertikam lidah' dengan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas enam hari kembali ke Dewan Rakyat pada Jun tahun lalu, beliau digantung lagi enam bulan susulan berhujah dengan Pandikar.


Bisa penyerang import kian pudar

Posted: 09 Mar 2015 12:39 AM PDT

Bisa penyerang import kian pudar Syamim (kiri) mempamerkan peningkatan persembahan dari masa ke semasa.
 
 
 
GAGAL meraih tiga mata sudah pastinya dirasai pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim apabila diikat seri tanpa jaringan ketika menentang Lions XII di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Namun apa yang lebih mengecewakannya ialah prestasi penyerang import, Edward Junior Wilson yang beraksi bukan sebagai status pemain import malah pemain tempatan lebih berbahaya darinya.

Jelas Irfan Bakti, sebagai pemain import Wilson perlu memberikan lebih dari pemain tempatan, tetapi ia tidak berlaku dalam perlawanan malam ini.

"Saya amat kecewa dengan persembahan dipamerkannya, dia perlu kembali pada prestasi sebenar dan mempertingkatkan permainan pada masa akan datang sekiranya diturunkan beraksi.

"Pemain tempatan lebih  berbahaya darinya, persembahan malam ini jelas memperlihatkan aksi mengecewakan pemain tersebut," katanya ditemui selepas perlawanan.

Wilson diturunkan sebagai kesebelasan utama bergandingan dengan Makeche Ndumba di bahagian depan dilihat gagal memberikan sumbangan untuk mencipta gerakan mahu pun percubaan ke gawang gol Lions XII.

Kawalan bola kurang kemas selain sering kehilangan bola begitu ketara dipamerkan pemain Semen Padang FC ini (2008-2013) walaupun kurang diberikan kawalan ketat pertahanan lawan berbanding aksi Ahmad Syamim Yahya yang semakin mempamerkan aksi berkualiti.

Pemain kelahiran Monvoria, Liberia ini juga gagal menamatkan aksi 90 minit masa perlawanan apabila digantikan dengan pemain baharu The Fifghters, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-60.

Mengulas perlawanan menentang Lions XII, Irfan Bakti memuji tahap disiplin pemain lawan yang sentiasa membantu rakan apabila kubu diserang.

"Mereka beraksi dengan cemerlang, terutamanya penjaga gol, Izwan Mahbub, mungkin bola semua menuju ke arah badannya.

"Kita telah berusaha untuk mencapai tiga mata dengan beberapa peluang yang ada, secara keseluruhan kita memberikan tentangan sengit kepada pelawat," jelasnya.

Selepas berakhir empat perlawanan Liga Super, walaupun gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh, skuad The Fighters itu berjaya memintas Perak di kedudukan teratas liga, selepas Perak turut seri tanpa jaringan berdepan Kelantan, Jumaat lalu.

Felda United yang berkongsi lapan mata dengan Perak, mendahului kedudukan liga dengan kelebihan jaringan.


Nurul Izzah jadi ‘Ketua Pembangkang’

Posted: 09 Mar 2015 12:34 AM PDT


izzah
 
 
 
KUALA LUMPUR -  Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar  akan menjadi 'ketua pembangkang' sekaligus membacakan ucapan ketua pembangkang di Parlimen bagi membahaskan titah Diraja, esok di Dewan Rakyat.

"Saya akan bacakan ucapan ketua pembangkang bagi menyampaikan suara Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam dewan esok.

"Saya tak nampak ada halangan untuk saya mewakili beliau kerana sebelum ini Datuk Saifuddin Nasution juga pernah mewakili Anwar untuk membacakan ucapan ketua pembangkang," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Izzah menjelaskan tiada sebab untuk beliau tidak dapat mewakili bapanya kecuali dihalang oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tidak rasa ada masalah melainkan ada halangan politik lain yang tidak menginginkan perkara itu berlaku," katanya.

Anwar tidak dapat menghadiri sidang Parlimen berikutan menjalani hukuman penjara kerana dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang mengemukakan pengampunan Diraja yang dipohon keluarganya.

Sementara itu, Nurul Izzah menegaskan bahawa pakatan pembangkang tidak akan berhenti berusaha untuk memastikan Anwar dapat menyertai sidang Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.

"Kita terus menerus berusaha agar beliau diberikan ruangan untuk hadir dalam sesi kali ini," tegas beliau.

Sementara itu Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul turut mengesahkan perkara berkenaan.

"Saya akan jumpa Speaker, setakat ini hampir pasti beliau (Izzah) yang akan baca. Sekarang ini kami dalam proses nak maklumkan kepada Speaker yang akan bacakan ucapan adalah Lembah Pantai," kata Ahli Parlimen PKR Sungai Petani itu di lobi Parlimen hari ini.


PKR tuntut polis siasat Jho Low

Posted: 09 Mar 2015 12:31 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
PKR menuntut hartawan Low Taek Jho disiasat susulan dakwaan memintas Bank Negara menggunakan nama "PM" dalam pinjaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan diberi pada Petrosaudi.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Jho Low dan seorang bekas pegawai tinggi 1MDB melanggar Akta Pengubahan Wang Haram dan disiasat atas dakwaan pecah amanah.

"Oleh yang demikian, saya menggesa supaya mereka segera disiasat dan didakwa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

Sehubungan itu, Rafizi berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap individu tersebut esok 10 Mac jam 3 petang di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi supaya kes itu.

Sarawak Report semalam mendedahkan komunikasi e-mel didakwa menunjukkan Low memberitahu bos Petrosaudi bahawa pinjaman itu tidak harus diisytiharkan kepada Bank Negara kerana boleh menyebabkan "kelewatan yang tidak perlu".

Laporan itu sebahagian daripada dakwaan pendedahan berkaitan 1MDB oleh laman pembocor maklumat itu semalam.

Firma guaman Schillings yang mewakili Low semalam berkata pendedahan Sarawak Report adalah "palsu, mengelirukan dan dinafikan oleh pelanggan kami".

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Low menafikan dakwaan bahawa beliau memperoleh AS$700 juta daripada perjanjian antara 1MDB dan firma tenaga Saudi PetroSaudi International.


 

Pakai baju hitam tanda PR protes

Posted: 09 Mar 2015 12:26 AM PDT


Pakai baju hitam tanda PR protes
 
 
 
KUALA LUMPUR - Barisan kepimpinan pembangkang hari ini memilih untuk tidak memakai pakaian rasmi nombor satu ke sidang pembukaan Parlimen sebagai tanda protes terhadap keputusan tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Parlimen hari ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sebab itulah mereka memilih pakaian berwarna hitam sebagai baju rasmi mereka hari ini.

"Memang kita dah pastikan sebelum ini bahawa PR akan mengenakan baju hitam sebagai protes terhadap keputusan dewan yang tidak benarkan Datuk Seri Anwar hadir ke Parlimen sedangkan dia masih Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang yang sah.

"Esok pun kalau contohnya Anwar tidak dibenarkan untuk ucapannya dibacakan, kita akan protes lagi dan ia akan berterusan kepada sehingga keadilan diberi kepada Datuk Seri Anwar," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Sementara ketika ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Mujahid Rawa yang mengenakan pakaian rasmi sekaligus memperlihatkan bertentangan dengan keputusan Pakatan Rakyat, Rafizi berkata, perkara tersebut perlu ditanya sendiri kepada dua ahli Pas itu sendiri.

"Kita tak sempat berbincang dalam mesyuarat PR, cuma kita memaklumkan perkara tersebut kepada whip parti masing-masing.

"DAP Pun telah mengeluarkan arahan yang sama, kalau Pas, itu kena tanya sendiri kepada Datuk Mahfuz dan Datuk Mujahid," ujarnya lagi.

Sementara itu, Nurul Izzah Anwar turut menyatakan perkara yang sama tentang pemakaian baju hitam ke Parlimen, hari ini.

"Kita hormati Agong tapi dalam masa yang sama kita kecewa dengan sistem demokrasi berparlimen yang tidak membenarkan ketua pembangkang hadir ke Parlimen," katanya.

Timbalan Presidennya, Muhamed Azmin Ali pula sempat mengulas isu yang sama namun menyatakan tidak ada apa yang salah memakai baju berwarna hitam kerana tindakan tersebut adalah mengikut surat jemputan yang diberikan.


Najib-Muhyiddin bergeser isu 1MDB?

Posted: 09 Mar 2015 12:24 AM PDT

MALAYSIAKINI


 



1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak Oktober lagi berada dalam masalah besar -- dan kepemimpinan Umno yang dekat dengan presidennya turut dilanda masalah tersebut.

Sejak isu itu dibangkitkan dengan konsisten mulai Oktober, termasuk oleh Dr Mahathir Mohamad, muncul desas-desus penyokong kerajaan di Dewan Rakyat tidak bersedia membelanya.

Kelihatannya, waktu  itu, hanya Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang ghairah membela 1MDB, termasuk memberi jaminan RM7 bilion dari pelaburan pesisir pantai di Cayman Islands akan dipulangkan tahun ini.

Sejak isu ini tidak bertambah reda, malah terus menggugat 1MDB dan Najib, sekumpulan besar pemimpin Umno bahagian menyatakan sokongan kepada presiden mereka dalam satu pertemuan di bangunan Umno semalam.

Tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tidak hadir -- dengan itu membuka spekulasi baru wujudnya pergeseran antara dua pemimpin atasan negara ini.

Muhyiddin pula mengeluarkan kenyataan berani dan tegas Jumaat lalu, sehari selepas Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan kabinet yakin tiada salah laku pada syarikat itu.

Jabatan Audit Negara boleh menyiasat 1MDB sebelum laporan diserahkan kepada jawatankuasa parlimen, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kata PMO lagi.

Tetapi Muhyiddin pula berkata PAC boleh menyiasat kontroversi 1MDB tanpa perlu menunggu hasil audit Jabatan Audit Negara.

Beliau juga mengingatkan bahawa kerajaan tidak bersedia menyelamatkan (bailout) syarikat pelaburan itu yang berhutang RM42 bilion. Timbalan presiden menteri juga tidak bersetuju dengan penjualan tanah projek-projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Menariknya, walaupun kenyataannya dilihat berani dan berbeza daripada PMO, Muhyiddin menegaskan kenyataan tidak bercanggah dengan perdana menteri.

Syed Akbar Ali, penulis blog pro-Umno, membangkitkan persoalan tersebut dan mempertikaikan alasan kononnya lebih 30 orang yang tidak hadir itu, termasuk Muhyiddin, sibuk dengan urusan lain dan mereka dimaklumkan lewat.

Kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diulang ketua Umno Cheras Syed Ali Alhabshee, tokoh yang dilihat dengan penganjuran pertemuan setiakawan dengan presiden petang semalam.

Syed Ali berkata, 31 pemimpin Umno bahagian yang tidak hadir bukan memulaukan acara itu, sebaliknya ada sebab tersendiri, termasuk notis singkat diberikan.

"Jadi kita tidak boleh harapkan kesemua 191 ketua bahagian akan hadir. Apa yang penting 160 orang ada di sana dan ini lebih daripada dua pertiga.

"Mereka semua ini ketua bahagian dan bukan wakil. Kami yang minta untuk berjumpa perdana menteri dan bukan sebaliknya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Syed Akbar juga mendengar desas-desus bahawa Najib keluar lebih awal dalam keadaan tergesa-gesa dan enggan bertemu dengan media. Kenyataan isu 1MDB juga dikeluarkan oleh PMO, tambahnya.

"Presiden jelas sekali mengelak isu ini. Ia bukan sama sekali bukan berita yang baik - buat Najib," katanya hari ini.

Namun, ketua Umno Cheras menafikan kempen boikot oleh Muhyiddin dan lebih 30 pemimpin lain.

"Mereka yang mendakwa adanya pemulauan cuba memprovokasi. Pada masa lepas, Muhyiddin pernah tidak hadir, jadi apa masalahnya?" kata Syed Ali lagi.

Beliau berkata Najib menyatakan komitmen kepada semua yang hadir bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam sebarang penyelewengan urus niaga 1MDB.

"Beliau (Najib) juga sangat terbuka. Ia seumpama pertemuan keluarga. Beliau bercakap dari hatinya dan menyakinkan kita bahawa ia tidak akan disorok. Memang ada komitmen untuk bertindak," katanya.

Syed Ali juga menuduh segelintir orang Umno menari mengikut gendang pembangkang dalam isu 1MDB.


Demo YB di Parlimen pula pagi esok

Posted: 09 Mar 2015 12:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Anggota Parlimen Pakatan Rakyat akan mengadakan protes terhadap penahanan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di depan pintu Parlimen esok pagi.

N Surendran (PKR-Padang Serai) menggelar tindakan itu sebagai keputusan bersama wakil rakyat pembangkang.

Bantahan itu bagi menuntut pembebasan Anwar dan bagi membolehkannya hadir ke sidang dewan kerana beliau masih berstatus ketua pembangkang.

Kumpulan itu bagaimanapun akan hadir ke sidang parlimen pada jam 10 pagi.


Perjanjian air Pusat-S'gor tamat, tak disambung

Posted: 09 Mar 2015 12:19 AM PDT

MAALYSIAKINI



 
 
 
Perjanjian air antara kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan tamat hari ini dan tidak akan disambung, umum Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Azmin berkata kerajaan persekutuan "melanggar syarat perjanjian", justeru membuatkan kerajaan negeri tiada pilihan.

"Apa lagi pilihan yang kita ada?" soalnya.

Keputusan itu dilihat bakal menjejaskan hasrat pusat untuk membina pusat rawatan air Langat 2.

 

'Hadis' roti jala: Ustaz Asri-Kazim berdamai

Posted: 08 Mar 2015 05:35 PM PDT

MALAYSIAKINI


  


Kedua-dua mereka sama muda dan sama popular. Mereka masih bertenaga dan mempunyai penyokong untuk terus bergasak, tetapi itu bukan pilihan.

Malam ini, setelah hampir seminggu, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan penceramah popular Datuk Mohd Kazim Elias memilih untuk berdamai.

Selepas meletus kontroversi 'hadis roti jala' beberapa hari lalu, kedua-dua mereka malam ini masing-masing memuat naik gambar mesra dalam sebuah acara makan malam di Kangar.


Ia antaranya paparkan mereka duduk semeja, bersalaman dan saling berbalas senyuman dalam majlis yagn dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail.

"Minum dan tersenyum."

Begitu Dr Asri menyifatkan pertemuannya dengan Kazim yang sebelum ini ditolaknya sebagai penceramah untuk program sempena keputeraan raja Perlis.

"Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara Muslim di kafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar," tambahnya lagi.

Kazim pula tidak mengulas banyak dan hanya menyifatkan pertemuan di sebuah restoran itu sebagai "santai".

Program itu turut dihadiri Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asri pada 4 Mac memuat naik kandungan surat rasminya yang menolak Kazim, yang pernah ditawar menganggotai Majlis Tertinggi Umno, ekoran didakwa "terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu".

Asri juga memuatkan keratan buku Tuhan Sedang Menguji Kita karya Kazim yang menunjukkan ustaz berstatus 'selebriti' itu berkata nabi pernah menjamu "kurma dicelup tepung" dalam kenduri termurah baginda.

Manakala, menurut buku itu, kenduri Rasulullah yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari.

Kazim, ustaz berstatus selebriti itu kemudian berkata tindakan Asri tidak adil dan memalukannya.

Jelasnya, beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

Budak 7 tahun meninggal tercekik cekodok

Posted: 08 Mar 2015 05:31 PM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang wanita hari ini mendakwa sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Austin Perdana di Johor Baharu gagal menjalankan prosedur kecemasan yang sewajarnya hingga menyebabkan anak lelakinya meninggal dunia akibat tercekik makanan ketika dalam jagaan pusat itu.

Ong Kai Yun, 32, berkata Kee Shao Ming, 7, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Baharu, Jumaat lepas selepas muntah dan pengsan di pusat jagaan itu.

"Saya menerima panggilan telefon pada kira-kira 8 pagi daripada petugas pusat jagaan itu yang memberitahu anak saya muntah dan pengsan.

Petugas itu kemudian menghantar anak saya ke HSI.

"Selepas 12 jam dirawat, pada kira-kira 8 malam doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia akibat tercekik cekodok pisang, sarapan yang saya bekalkan kepada anak saya," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Setia Indah di Johor Baharu, hari ini.

Ong berkata beliau amat kecewa dengan sikap petugas pusat jagaan itu yang tidak memaklumkan kepada pihak hospital mengenai keadaan anaknya ketika makan sebelum kejadian itu berlaku.

Ong dan suaminya, Kee Yong Wen, 43, juga hanya mengetahui anak mereka tercekik cekodok pisang setelah dimaklumkan pihak hospital.

"Petugas itu sepatutnya terus memberitahu pihak hospital bahawa anak kami sedang makan semasa kejadian berlaku, dan tidak cuai tentang perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Ong  membuat satu laporan polis di Balai Polis Setia Indah di Johor Baharu kelmarin dan berharap mendapat penjelasan daripada pihak pusat jagaan mengenai prosedur keselamatan mereka, yang didakwanya sebagai longgar.

Menurutnya beliau menghantar anak lelakinya dan seorang lagi anak perempuannya berusia 8 tahun ke pusat jagaan itu sejak Disember lepas.

Kedua-dua anaknya hanya berada di pusat jagaan berkenaan pada sebelah pagi sebelum bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 5 pada sebelah petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).- Bernama


 

Tiada ulasan: