DIALOG RAKYAT |
- Empat borang pencalonan PRK DUN Chempaka dibeli - SPR
- PAS tidak arah ahli sertai himpunan #KitaLawan esok
- 'Pihak ketiga cuba tingkatkan konflik PAS?'
- Laporan: Najib dijangka 'tumbang' lebih awal
- Anak Anwar seru semua demo di Sogo
- Isu 1MDB: Najib Saman Tony Pua
- Dilarang sertai #Kita lawan – Guan Eng
- Pernikahan anak PM dijadual 28, 29 Mac
- Adi Putra Kecewa 'Dianaktirikan'
- Mengendalikan Insiden MH370 Pengalaman Yang Memeritkan - Tiong Lai
- Ini macam punya bapak pun ada
- 1MDB : Khairuddin cadang juruaudit antarabangsa bebas kaji 1MDB
- Blogger pro-Umno mungkin muflis gagal bayar ganti rugi AirAsia
- Dilabel ‘pelacur politik’, wanita takut ceburi politik, kata aktivis DAP
- Pelaksanaan GST Perlu Berlandaskan Islam
- Akta Pencegahan Jenayah Dibentang Di Parlimen
- Kawasan pelupusan sampah di Slim River terbakar
- Kehadiran Anwar Ibrahim ke sidang Dewan Rakyat
- Sirul patut ceritakan sahaja semuanya
- Nurul nuha: Kami tak sangka ini berlaku
- Harap ada khabar MH370 selepas setahun hilang
Empat borang pencalonan PRK DUN Chempaka dibeli - SPR Posted: 06 Mar 2015 07:57 AM PST BERNAMA KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan mengesahkan empat borang pencalonan telah dibeli beberapa individu menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, pada 10 Mac ini. Pengarahnya Mohamad Mahmud berkata jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari sebelum Selasa depan. "Berdasarkan rekod PRK di Kelantan sebelum ini, jumlah borang yang dibeli individu yang ingin bertanding adalah sehingga 20 borang pencalonan," katanya pada Khamis. Mohamad berkata PRK DUN Pengkalan Kubor September tahun lepas menyaksikan sejumlah 20 borang pencalonan dibeli dan ia menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan seorang calon Bebas. Sementara itu, Naib Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan, Sharif Mahmood, 59, berkata beliau membeli satu borang bagi membolehkan beliau bertanding dalam PRK DUN Chempaka sebagai calon Bebas. "Saya mengambil keputusan menawarkan diri untuk bertanding bagi menyuburkan sistem demokrasi di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Sharif berkata keputusan untuk bertanding bagi memberi pilihan kepada rakyat di DUN Chempaka memilih calon terbaik. "Saya melihat banyak lagi yang perlu dibangunkan di DUN Chempaka. Jika ada calon yang mesra dengan kerajaan pusat saya yakin usaha itu lebih lancar dan rakyat juga yang akan mendapat manfaatnya," katanya. SPR menetapkan PRK DUN Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon pada 10 Mac. Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas. Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Mursyidul Am PAS itu menang dengan majoriti 6,500 undi menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak. | |||
PAS tidak arah ahli sertai himpunan #KitaLawan esok Posted: 06 Mar 2015 06:54 AM PST THE MALAYSIAN INSIDER Tiada arahan yang dikeluarkan PAS kepada ahli parti dan penyokongnya supaya menyertai Himpunan #KitaLawan anjuran Gabungan Anak Muda Malaysia yang dijadualkan berlangsung esok di hadapan pusat membeli belah Sogo di ibu kota, menurut laporan portal Suara TV. Ia disahkan setiausaha akhbar kepada presiden PAS, Ahmad Shamsuri Muhktar yang berkata, setakat ini tidak ada kenyataan akhbar dikeluarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan himpunan tersebut. "Sehingga kini tiada kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden. "Presiden akan mengeluarkan kenyataan mengenainya sebentar lagi," beliau dipetik berkata portal tersebut. Penafian itu susulan tersebarnya kenyataan media dikatakan dibuat presiden PAS menyatakan sokongan terhadap himpunan yang bertujuan membantah sistem kehakiman negara petang esok. Dalam kenyataan media yang disahkan palsu itu, ia menyeru kepimpinan dan ahli PAS turun menyertai himpunan solidariti Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bersama PKR dan DAP. Petikan kenyataan media itu juga menyatakan, PAS sebagai pertubuhan politik bermatlamat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berterusan mendukung kezaliman dan kemungkaran. Pada 15 Februari lalu, pada satu sidang media himpunan #KitaLawan, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gerakan itu mengemukakan empat tuntutan termasuk agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dengan segera kerana didakwa terlibat dalam konspirasi politik perbicaraan kes Anwar. Selain itu, mereka juga sedia menggembleng semangat dan anak muda Malaysia terus berjuang sehingga kerajaan Umno-BN tumbang, serta menuntut reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin kebebasan dan kewibawaan institusi kehakiman. Manakala resolusi keempat mereka ialah menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat yang berjawatan dan yang mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13 lalu agar turut menyertai Himpunan Rakyat yang dijadualkan bulan depan. | |||
'Pihak ketiga cuba tingkatkan konflik PAS?' Posted: 06 Mar 2015 06:48 AM PST MALAYSIAKINI Sesetengah pemimpin PAS percaya bahawa tindakan keganasan terhadap ahli-ahli PAS baru-baru ini adalah satu petanda bahawa ada pihak ketiga yang cuba untuk meningkatkan konflik antara ahli parti itu. Ahli jawatankuasa pusat PAS, Khalid Samad percaya serangan ke atas rakannya Dr Dzulkefly Ahmad, semalam tidak membabitkan sesiapa dari PAS. Ketika dihubungi Malaysiakini, Khalid berkata, beliau tidak percaya ada ahli PAS yang berkelakuan sedemikian. Sebaliknya, kata beliau, ia boleh jadi kerja pihak ketiga yang cuba untuk meningkatkan konflik antara ahli PAS, terutamanya menjelang pemilihan parti itu. Katanya, ini kerana "sentiasa ada kemungkinan" wujud gangguan pihak ketiga, terutama sejak debat dalaman parti itu, telah terdedah di media sosial. Oleh itu, katanya, tidak mustahil ada pihak yang akan mengambil kesempatan daripada keadaan itu. Pandangan ini juga turut dipersetujui oleh Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, yang berkata ada pihak ketiga yang cuba untuk memecahkan PAS dengan mengambil kesempatan daripada perbezaan pendapat antara ahli parti. Katanya, beliau tidak menuduh sesiapa, tetapi percaya mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden itu ialah mereka yang mempunyai niat untuk memecah belahkan PAS. Menurutnya lagi, perbezaan pendapat akan sentiasa wujud dalam mana-mana parti politik. Sebaliknya, pengarah pilihan raya PAS Hatta Ramli, berharap serangan terhadap Dzulkefly itu, dan juga kejadian keretanya dibakar, tidak ada sebarang kaitan. "Saya juga berharap ia tidak berkaitan dengan keadaan politik semasa, sama ada dalam negara atau dalam PAS," kata Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai. Hatta berkata, apabila keretanya dibakar, beliau tidak membuat sebarang rujukan kepada mana-mana situasi politik, tetapi hanya bergantung kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan. Beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan rapi dan menentukan pelakunya (dalam kes Dzulkefly) bagi meyakinkan semua orang bahawa ia adalah satu insiden terpencil. Sebelum ini, kereta pacuan empat roda Hatta telah dibakar di hadapan rumahnya bulan lepas oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam insiden terbaru semalam, Dzulkefly diserang oleh individu yang tidak dikenali ketika ia pulang dari solat subuh. | |||
Laporan: Najib dijangka 'tumbang' lebih awal Posted: 06 Mar 2015 06:39 AM PST MALAYSIAKINI Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang kini dihimpit pelbagai kontroversi, dijangka berundur daripada kerusi perdana menteri lebih awal daripada tempoh setahun yang diramalkan, lapor The Economist. Laporan itu muncul susulan kontroversi demi kontroversi yang semakin berlarutan melanda kepemimpinan beliau, khususnya hutang syarikat pelaburan nasional 1Malaysia Development Bhd (1MDB). "Beberapa pihak merasakan bahawa musuh beliau dalam Umno - sekarang dikatakan menyokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - perlu menunggu setahun lagi untuk mendapat sokongan penuh untuk mencabar kepimpinan. "Tetapi mereka boleh memilih bergerak lebih awal daripada itu," lapor mingguan niaga berpengaruh itu lagi. Menurut The Economist lagi, desas-desus pergolakan dalam kerajaan mula mengendur Rabu lalu apabila Pejabat Perdana Menteri menyatakan kabinet yakin 1MDB tidak melalukan sebarang salah laku. Kenyataan ini dikeluarkan selepas kabinet memanggil 1MDB dan syarikat yang mengauditnya, Deloitte, menjelaskan urus niaganya. Perdana menteri juga mengarahkan Jabatan Audit Negara menyiasat akaun 1MDB dan bertegas akan mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku. "Bagaimanapun, perdana menteri berada dalam kedudukan nyawa-nyawa ikan sejak pilihan raya umum 2013," laporan majalah dipetik. Popularitinya juga menurun kepada 44 peratus, kedudukan kedua terendah sejak beliau mengambil alihan jawatan tertinggi itu pada 2009. 1MDB berhutang sebanyak RM42 bilion, termasuk bon RM11 bilion. Baru-baru ia hampir-hampir gagal membayar balik pinjamannya RM2 bilion di beberapa buah bank tempatan. Susulan itu, timbul spekulasi ia memerlukan suntikan RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan. Syarikat ini dilaporkan akan dibubarkan selepas ia berjaya menyelesaikan bebanan hutangnya. | |||
Anak Anwar seru semua demo di Sogo Posted: 06 Mar 2015 06:33 AM PST MALAYSIAKINI Kira-kira 24 jam menjelang demonstrasi pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, anak-anak ketua pembangkang itu merayu kepada penyokongnya agar menyertai acara itu esok. Dengan penuh bersemangat, Nurul Iman dan Nurul Nuha menyeru masyarakat "bersuara menentang penindasan." Dalam video di laman rasmi Kita Lawan di Facebook, Nurul Iman berkata esok hari ke-26 bapanya dipenjarakan sebagai "tahanan politik nombor satu" di Malaysia. "Solidariti ini bukan hanya untuk papa, bukan hanya untuk Anwar Ibrahim tetapi perjuangan ini adalah demi Malaysia yang lebih baik," katanya. | |||
Isu 1MDB: Najib Saman Tony Pua Posted: 06 Mar 2015 06:27 AM PST Rakaman ucapan mengandungi perkataan-perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan individu yang dikenali sebagai "Prime Minister" dalam perkataan-perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepada Najib KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas kapasiti peribadinya, telah memfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dan seorang lagi berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Najib, 61, memfailkan saman itu pada Khamis di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Hafarizam Wan and Aisha Mubarak dan menamakan Pua, 42, dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 51, sebagai defendan pertama dan kedua. Media memperoleh writ saman itu pada Jumaat. Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan menyerahkan writ saman itu kepada peguam kedua-dua defendan pada Jumaat, lapor mStar Online. Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa pada 13 November tahun lepas, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP telah memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh defendan kedua sendiri dan/atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat di bawah tajuk "Tony Pua: Najib is Creating the Biggest Scandal Ever in the History of Malaysia". Perdana Menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya juga telah dikongsi oleh defendan pertama dan/atau ejen-ejennya di laman facebooknya dan juga defendan kedua dan/atau ejen-ejennya di laman facebook Mediarakyat. Beliau berkata sehingga 2 Mac lepas sebanyak 194,979 rakaman itu ditonton di laman YouTube Mediarakyat manakala 200,709 pengguna facebook mengikuti rakaman itu di laman facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna fabeook Mediarakyat mengikuti rakaman itu. Najib berkata berdasarkan fakta itu, sejumlah besar pengguna internet telah menonton rakaman itu dan mendengar perkataan-perkataan fitnah yang telah dinyatakan oleh Pua. Katanya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan-perkataan yang merujuk dan berkaitan dengannya yang memfitnahnya dan individu yang dikenali sebagai "Prime Minister" dalam perkataan-perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepadanya (Najib). Beliau mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu dalam erti kata biasa atau lazim antaranya membawa maksud plaintif telah merompak duit rakyat berkaitan urusniaga 1MDB dan oleh itu plaintif adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam. Najib yang juga Presiden UMNO berkata perkataan-perkataan fitnah itu merupakan fitnah yang amat serius dan menyebabkannya (Najib) dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh kawan-kawan, kenalan dan masyarakat awam di dalam negara dan di peringkat antarabangsa dan juga menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dan pihak antarabangsa dengan plaintif. Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya yang akan berterusan selama bertahun-tahun lamanya kerana rakaman ucapan itu boleh diakases secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula. Najib mendakwa defendan pertama dan kedua tidak mengambil sebarang langkah untuk menghubunginya bagi mengesahkan kebenaran perkataan-perkatan fitnah itu sebelum menerbitkannya. Plaintif berkata beliau melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan kepada kedua-dua defendan pada 21 November tahun lepas tetapi mereka masih meneruskan penerbitan perkataan-perkataan fitnah yang sama kepadanya. Sehubungan itu Najib menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejennya daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya. Najib juga menuntut supaya Pua dan Chan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akhbar dan majalah yang akan dikenal pasti oleh plaintif dalam bentuk dan istilah yang akan ditetapkan oleh plaintif. Beliau juga menuntut defendan pertama mengeluarkan rakaman ucapan daripada laman facebooknya dan defendan kedua dari YouTube mediarakyat, laman web Mediarakyat dan facebook Mediarakyat dengan serta merta daripada tarikh penghakiman. | |||
Dilarang sertai #Kita lawan – Guan Eng Posted: 06 Mar 2015 06:22 AM PST Semua ADUN PKR Pulau Pinang berada di kawasan sendiri, keutamaan harus diberi kepada rakyat. GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan semua wakil rakyatnya berada di kawasan masing-masing esok, sekaligus tidak menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawan dijadual di hadapan kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kesemua Adun Pakatan Rakyat perlu berada di kawasan masing-masing untuk majlis Program Penghargaan Warga Emas. Katanya, perhimpunan #KitaLawan hanya dianjurkan oleh sayap Pemuda, dan oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau harus memberi keutamaan kepada projek rakyat. "Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan esok merupakan pelancaran Program Penghargaan Warga Emas di semua kawasan. Semua wakil rakyat telah diarah supaya berada di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah skim perumahan awam dan mampu milik di Jalan SP Chelliah. Guan Eng berkata, beliau sendiri juga mempunyai program di kawasannya di Air Putih pagi esok dan tidak akan menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur itu yang mahu diadakan oleh PKR bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor. Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008. Pada 27 Februari lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengikut lunas undang-undang untuk menganjurkan perhimpunan itu. | |||
Pernikahan anak PM dijadual 28, 29 Mac Posted: 06 Mar 2015 06:17 AM PST MALAYSIAKINI Majlis perkahwinan anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa Najib, bersama tunangnya Daniyar Kessikbayev disahkan akan berlangsung pada 28 dan 29 Mac ini. Majlis perkahwinan anak sulung Datuk Seri Najib Razak pada 28 Mac untuk tetamu kenamaan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), satu sumber yang dekat dengan kabinet memberitahu Malaysiakini minggu ini. Selain itu, Malaysiakini juga melihat kad undangan perkahwinan Nooryana, 26, bersama Daniyar, 27, yang diadakan keesokannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Menurut kad jemputan pada 29 Mac, majlis persandingan itu akan diadakan antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang. Spekulasi mengenai majlis perkahwinan anak sulung Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor mula diperkatakan di kalangan pengguna Internet awal minggu lalu. Ia menjadi buah mulut apabila gambar-gambar yang dikatakan kad jemputan perkahwinan mereka untuk barisan orang kenamaan tersebar di media sosial, termasuk beberapa blog. Pejabat Perdana Menteri setakat ini membisu apabila ditanya mengenai majlis perkahwinan yang bermula 7.50 malam 28 Mac. Ibu Daniyar juga enggan mengesah atau menafikan mengenai perkahwinan tersebut. Dalam reaksi melalui emel kepada Malaysiakini minggu lepas, Maira Kessikbayev melalui jurucakapnya di New York berkata: "Kami tidak ada komen pada masa ini." Nooryana dan Daniyar dilaporkan bertemu di Amerika Syarikat, sewaktu pasangan itu melanjutkan pelajaran di universiti. Bakal menantu perdana menteri juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev, abang kepada bapa tiri Daniyar. Majlis perkahwinan mereka dikatakan turut akan dibuat di kawasan Parlimen Najib di Pekan, Pahang. Majlis bertandang ke Kazakhstan dijangka diadakan selepas majlis perkahwinan di Malaysia. Bagaimanapun butirannya belum dapat disahkan. Pertunangan Nooryana dan Daniyar diadakan di kompleks Perdana Putra di Putrajaya pada 17 Jun 2011 dengan perbelanjaan RM409,767. Pendedahan itu menimbulkan kontroversi apabila pemimpin PKR Rafizi Ramli mendakwa Pejabat Perdana Menteri (PMO) menanggung kos tersebut - RM522 seorang bagi 36 tetamu kenamaan (VIP), dan RM359.60 seorang 862 tetamu lagi. Caj pengendalian majlis itu RM81,000, dakwa ahli parlimen itu lagi. Bagaimanapun PMO menafikan kos itu ditanggungnya, malah berkata ia dibayar oleh Najib sendiri. | |||
Adi Putra Kecewa 'Dianaktirikan' Posted: 06 Mar 2015 05:58 AM PST Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK PETALING JAYA: Selepas dua siri pendedahan mStar Online mengenai perkembangan terbaharu genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, banyak pihak mula tertanya-tanya mengapa remaja dengan kebolehan luar biasa itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Malah timbul pelbagai pandangan yang turut mempersoalkan sistem pendidikan negara kerana dilihat tidak mempunyai modul pembelajaran khas bagi golongan genius sepertinya. Rata-rata melahirkan kebimbangan kerana tidak mahu kisah beberapa kanak-kanak dan remaja pintar yang dilahirkan di negara ini hanyut dan gagal dalam kehidupan mereka kerana kurangnya bimbingan. Kepada mStar Online, Adi Putra yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-16 pada Januari lalu meluahkan kekecewaannya kerana tidak diiktiraf di negara sendiri sedangkan banyak pihak dari luar negara begitu menghargai bakat dan kebolehan luar biasanya. Menurut Adi Putra, sepanjang tempoh sedekad selepas kisah mengenainya didedahkan media, tiada pihak yang tampil membantu beliau dan keluarga khususnya mengenai masa depan akademiknya. Jauh di sudut hati, Adi Putra tertanya-tanya mengenai punca disebalik 'sekatan' yang mungkin wujud terhadapnya daripada terus menerima bantuan daripada pelbagai pihak. "Kecewa juga sebenarnya, sebab Adi tak (dapat bantuan). Memang niat Adi nak sambung belajar. Rasa kecewa sebab ada yang dapat ke luar negara, dapat melanjutkan pelajaran, tapi kenapa Adi tak dapat? kecewa sebab itulah. "Adi kecewa sebab tahu ramai lagi yang macam Adi. Ramai lagi kanak-kanak yang extra ordinary kat Malaysia ni dalam bidang masing-masing. "Tapi bila Adi tengok ramai yang ke luar negara, dapat tawaran daripada kerajaan, NGO untuk bawa mereka ini ke luar negara, Adi jadi kecewa…pernah terfikir kenapa Adi tak dapat semua itu," katanya. Cerita Adi Putra lagi, mungkin 'kesilapan' yang dilakukannya kira-kira sepuluh tahun lalu menjadi penyebab mengapa nasibnya tidak terbela. Jelas Adi Putra, beliau pernah menolak untuk dilantik menjadi ikon sebuah program kecemerlangan akademik. "Masa itu Adi tanya mana modul? Sebab Adi fikir cuma nak sambung belajar...jadi Adi tanya modul. Tapi mereka suruh sign (tandatangan) dulu dan nanti baru cipta modul. "Adi terfikir mana ada undang-undang yang mengatakan sign dulu baru dapat tengok benda kan (modul). Jadi Adi tolak tawaran tu. Sejak daripada itu Adi sudah tak dapat perhatian," katanya. Bagaimanapun katanya, beliau tidak menerima sebarang pengiktiran atau sijil kelayakan sungguhpun berjaya menamatkan pengajiannya pada ketika itu. Tambah Adi Putra lagi, pelbagai pihak pernah menabur janji untuk membantunya melanjutkan pelajaran. "Terlalu banyak pihak yang janji nak bawa Adi pergi sana sini, nak bagi dana untuk sambung belajar…tapi akhirnya (tak ada). "Tapi kalau ada tawaran pun, buat masa sekarang ini Adi perlu katakan tidak juga. Adi perlu tanggung keluarga dahulu," katanya. Mengimbau kembali ketika zaman namanya masih dijulang, Adi Putra mengakui pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di dua buah universiti terkemuka dunia ketika berusia enam tahun. "Masih ingat lagi masa berumur enam tahun, Adi ada dapat tawaran daripada University of Oxford dan Harvard University. "Adi kecil sangat, tambahan pula tawaran itu hanya untuk Adi dan keluarga tak boleh ikut ke sana. "Jadi Adi fikir i can't do this. Memang tak boleh nak hidup seorang diri kat sana. Adi baru berumur enam tahun... jadi masa itu Adi tolak," katanya. Ditanya mengenai harapannya terhadap masa depan perkembangan akademik khususnya bidang matematik di Malaysia, Adi Putra yang pernah melancarkan buku matematik pertamanya pada 2011 mahu formula-formulanya digunakan dalam sistem pendidikan negara. Menurut Adi Putra, beliau masih tertanya-tertanya mengapa pihak berwajib tidak pernah berminat untuk mengkaji formula matematik ciptaanya sedangkan ia diiktiraf sebagai rujukan di negara luar. "Harapan Adi mungkin mereka boleh ambil formula-formula ini. I'm not saying it's (modul matematik sedia ada) bad. Banyak perkara bagus, sistem kita memang bagus sebenarnya, memang dah diiktiraf pun. "Tapi mungkin ada benda lagi yang boleh diperbaiki. Sebagai contoh buku Seni Matematik Islam tulisan Adi, kerajaan Malaysia tak gunakan buku itu tapi ia digunakan oleh kerajaan Brunei. Mereka gunakan sebagai buku rujukan di sekolah rendah dan menengah," katanya. Selain itu tambah remaja tinggi lampai berkenaan, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya, Abdul Ghanid Abdul Wahid dan Serihana Elias serta ahli keluarganya yang sering memberi sokongan dan galakan. Jelas Adi Putra lagi tanpa sokongan orang sekelilingnya, ilmu matematik yang dianugerahkan kepadanya mungkin tidak dapat dikongsi dengan orang luar. | |||
Mengendalikan Insiden MH370 Pengalaman Yang Memeritkan - Tiong Lai Posted: 06 Mar 2015 05:54 AM PST MSTAR ONLINE "Perasaan saya adalah ia amat memeritkan," kata Tiong Lai yang mengambil alih tugas sebagai peneraju ketika siasatan sedang berjalan daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah dilantik sebagai menteri yang memegang portfolio itu pada 25 Jun tahun lepas. Hishammuddin menyandang portfolio pengangkutan buat sementara setelah jawatan itu kosong selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Tiong Lai dirundung emosi malah sejak hari pertama insiden terbabit semasa beliau bertemu waris mereka yang berada di dalam penerbangan itu, di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8 Mac, yang diselubungi suasana menyayat hati. "Malah pada hari pertama lagi ia amat memeritkan untuk menerima bahawa sebuah kapal terbang telahpun hilang dan saya dapat memahami perasaan waris mereka," katanya di sini, Jumaat ketika ditanya pengalaman peribadi beliau dalam mengendalikan insiden berkenaan, pada sidang media bersempena ulang tahun pertama kehilangan pesawat itu. Penerbangan MH370 yang membawa 12 kru dan 227 penumpang, hilang daripada paparan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 8 Mac. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Tiong Lai turut mengimbas semula pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pertama dilantik sebagai Menteri Pengangkutan. "Perkara pertama yang beliau maklumkan kepada saya adalah tugas sulung saya untuk membantu negara ini mencari MH370, menggunakan apa juga hubungan dan sumber yang saya ada, dan pergi ke China, Australia dan dapatkan bantuan antarabangsa," katanya sambil mengenang kembali amanah yang dipertanggungjawabkan itu. "Saya terbang di China, pergi ke Australia, kemudian ke Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat majlis ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Asean. Kami turut mendapatkan bantuan dunia untuk sama-sama mencari MH370," katanya, sambil berikrar untuk terus berusaha keras. | |||
Posted: 06 Mar 2015 05:51 AM PST Hasrol Azhar didakwa mendera anak sulungnya, Mutafin Azman, dengan menyepak mangsa di sebuah rumah pangsa. KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pengawal keselamatan yang menyepak anaknya berusia lapan tahun yang hendak menunaikan solat hari ini dibalas dengan hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini. Majistret Zuraini Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasrol Azhar Rahmat, 36, setelah dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, 14 Jan lepas. Ketika menjatuhkan hukuman, Zuraini sempat menasihati Hasrol Azhar supaya mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. "Saya memandang berat kes ini kerana setiap hari ada kes dera anak yang dibawa ke mahkamah. Walaupun anak sendiri tidak boleh pukul," katanya. Hasrol Azhar didakwa mendera anak sulungnya, Mutafin Azman, 8, dengan menyepak mangsa di sebuah rumah pangsa, Wangsa Maju di sini, kira-kira pukul 7.19 malam, 3 Dis lalu. Tertuduh yang turut mempunyai dua lagi anak berusia empat dan dua tahun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya. Menurut fakta kes, tertuduh menyepak anaknya menggunakan kaki sewaktu mangsa hendak membentang sejadah bagi menunaikan solat Maghrib. Perlakuan itu diketahui kakak tertuduh, Rabayah Rahmat, 38, pada 5 petang, 7 Jan lepas yang kemudiannya turut dimaklumkan oleh mangsa bahawa dirinya sering didera tertuduh. Mutafin Azman kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut, manakala bapanya ditangkap pihak polis. Ketika rayuan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan selain memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya. "Saya juga mahu mohon hukuman ringan kerana anak-anak sedang menunggu saya di luar sana," katanya, lapor Bernama. Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar tertuduh insaf selain dapat menjadi iktibar kepada masyarakat. | |||
1MDB : Khairuddin cadang juruaudit antarabangsa bebas kaji 1MDB Posted: 06 Mar 2015 05:45 AM PST Bagaimana kabinet telah mempunyai keyakinan tiada bentuk salah laku?Adalah tidak adil bagi kabinet untuk membentuk pendapat tersebut sebelum audit sebenar dijalankan PETALING JAYA : Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencadangkan agar juruaudit antarabangsa bebas dilantik bagi mengkaji laporan audit tahunan Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut prosedur dan piawaian garis panduan audit antarabangsa. Khairuddin berkata, walaupun 1MDB dan juruauditnya telah dipanggil untuk memberi taklimat kepada kabinet pada Rabu lalu, beliau berpendapat terlalu awal untuk menyatakan bahawa kabinet yakin tiada unsur salahlaku dalam audit akaun 1MDB. "1MDB dan juruauditnya baru dipanggil untuk memberi taklimat dan akaun 1MDB belum diperiksa serta diaudit semula secara mendalam. "Bagaimana kabinet boleh yakin bahawa tiada salah laku?Adalah tidak adil bagi kabinet untuk membentuk pendapat tersebut sebelum audit sebenar dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Semalam, Pengerusi Jawatankasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed menyambut baik arahan kabinet agar Jabatan Audit Negara mengaudit 1MDB. Nur Jazlan turut berharap tiada campur tangan mana-mana pihak sewaktu siasatan Jabatan Audit Negara. Jabatan itu juga harus menentukan skop pengauditan tanpa membelakangkan lima perkara yang PAC mahu jabatan berkenaan tumpukan, pintanya. Katanya lagi, lima perkara itu adalah sumber dana kewangan berjumlah RM2 bilion yang diperoleh 1MDB dalam menjelaskan pinjamannya terhadap beberapa bank tempatan, suntikan dana kewangan baru daripada Kementerian Kewangan (MoF) berjumlah RM3 bilion dan perjanjian pelaburan 1MDB dalam syarikat Petrosaudi. Seterusnya, wang hasil pelaburan 1MDB di Pulau Cayman sama ada sudah dibawa balik ke Malaysia dan perubahan firma audit antarabangsa untuk meluluskan akaun 1MDB. Khairuddin menambah, pada hakikatnya rakyat amat risau dengan cara pentadbiran dan perbelanjaan dana 1MDB melibatkan berbillion ringgit yang tidak telus. Katanya, sekiranya kegagalan berlaku ke atas 1MDB, situasi itu pasti akan memberi satu kesan yang amat buruk kepada sistem ekonomi negara yang akhirnya akan membebankan rakyat. Khairuddin turut menyokong lima asas yang dicadangkan oleh Nur Jazlan dan 1MDB tidak pernah menjawab akaun miliknya secara telus selama ini. "Apabila persoalan rakyat tidak dijawab secara telus dan konkrit ianya sudah pasti akan meninggalkan satu persepsi negatif.. Apa susah sangat bagi 1MDB menjawab secara telus serta jujur akan semua soalan dari rakyat jelata? "Setakat ini Arul Kanda hanya membuat kenyataan yang memutarbelitkan fakta semata-mata membuatkan rakyat semakin keliru," katanya. | |||
Blogger pro-Umno mungkin muflis gagal bayar ganti rugi AirAsia Posted: 05 Mar 2015 04:34 PM PST OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA Blogger pro-Umno Salahuddin Hisham mungkin diisytihar muflis jika gagal membayar ganti rugi kepada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd, yang memperolehi penghakiman terhadapnya dalam satu kes saman fitnah. Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, ia meneruskan tindakan memfailkan prosiding kebankrapan terhadap Salahuddin kerana gagal membayar RM5 juta bagi ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur September lalu memberikan jumlah tersebut kepada AirAsia selepas Salahuddin didapati bersalah atas tindakannya. AirAsia juga memperoleh injunksi terhadap penulis blog itu supaya tidak mengulangi perkataan fitnah tersebut. Bagaimanapun, butiran saman tersebut masih belum diperolehi. Pada awal Januari, seorang lagi blogger Amizudin Ahmat, diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana tindakan menghina melalui penerbitan artikel berunsur fitnah terhadap bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim. Amizudin, 44, dipenjara kerana gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu, yang mendapatinya bersalah melakukan penghinaan. Rais pada 2011 memperoleh perintah injunksi terhadap penerbitan artikel di blog Amizudin tetapi ia tidak dipatuhi. Mahkamah Tinggi pada 2012 memutuskan Amizudin bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah tersebut. | |||
Dilabel ‘pelacur politik’, wanita takut ceburi politik, kata aktivis DAP Posted: 05 Mar 2015 04:29 PM PST DAP OLEH YASMIN RAMLAN Wanita sering dilabel sebagai 'pelacur politik' apabila mereka mengambil keputusan menceburi bidang politik, kata aktivis muda DAP Syefura Othman. Ia merupakan salah satu faktor tidak ramai wanita yang ingin menceburi bidang tersebut disebabkan gelaran yang akan dilabelkan umum. "Ada rupa, berperwatakan menarik dan kemudiannya menceburi bidang politik, dan kemudian dilabelkan sebagai pelacur politik. "Disebabkan persepsi orang (umum), wanita khususnya golongan muda, takut ke depan untuk bersuara. "Mereka (wanita) takut kerana mereka perlu berlawan dalam politik yang didominasi kaum lelaki," katanya pada forum sempena Hari Wanita, ' Cabaran Wanita Malaysia Pada Masa Kini' di Rumah Gerakbudaya, Petaling Jaya malam tadi. Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac. Oleh itu, Syefura, 26, juga dikenali sebagai Rara berkata hak kesamarataan di Malaysia masih belum dicapai kerana kurangnya suara wanita dalam politik. Katanya, sama ada dalam sektor swasta, kerajaan mahupun politik, tidak mengira parti, perlu memberi ruang kepada wanita untuk bersuara. "Tidak kira parti apa pun, mereka perlu memberi ruang pada wanita untuk bertanding. "Bagaimana hendak mencapai kesamarataan itu kalau suara wanita masih kurang? Contohnya, DAP sendiri bercadang supaya 30% suara wanita perlu ada," katanya. Dalam forum itu, Syefura turut menyelar dakwaan yang beliau dijadikan sebagai 'tokenisme' untuk parti DAP. "Mungkin ia terjadi secara kebetulan dan mungkin juga kami memerlukan satu sama lain. "Pada asalnya saya menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengikut demonstrasi jalanan dan kemudian saya menyertai parti. Saya tidak katakan DAP menggunakan saya sebagai token," katanya. Katanya, beliau menggunakan DAP sebagai platform baginya sebagai seorang wanita muda untuk menyumbang sesuatu pada rakyat. "Contohnya seperti sekarang, saya menjadi koordinator untuk acara di Kelantan di mana mereka (DAP) menghantar saya ke Kelantan untuk buat kerja. "Bukan sekadar untuk jual muka dan masuk surat khabar semata-mata," katanya. Sebelum ini, keputusan Syefura menjadi ahli seumur hidup parti tersebut menjadi bualan hangat umum apabila orang ramai memberi pelbagai reaksi terhadap wanita muda yang tampil dengan imej bertudung tetapi memilih DAP, parti yang lebih sinonim dengan kaum Cina. Namun, Syefura sebelum ini berkata beliau tidak pernah melihat DAP sebagai parti Cina sebaliknya mengagumi polisi parti berkenaan yang disifatkan begitu terbuka dan stabil berbanding PKR mahupun PAS . | |||
Pelaksanaan GST Perlu Berlandaskan Islam Posted: 05 Mar 2015 04:12 PM PST RAKYATNEWS BACHOK - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April depan adalah harus. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dibuat dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-106 yang bersidang pada 21 hingga 22 Oktober tahun lalu. Katanya, keputusan hukum pelaksanaan cukai berkenaan dikeluarkan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab memberi pemahaman yang salah kepada masyarakat | |||
Akta Pencegahan Jenayah Dibentang Di Parlimen Posted: 05 Mar 2015 04:09 PM PST RAKYATNEWS KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat bulan ini akan menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan Negara Islam (IS). zahid"Semalam Kabinet telah mendengar pembentangan draf rang undang-undang ini daripada Peguam Negara dan minggu depan ia akan dimuktamadkan sebelum saya membuat pembentangan di Dewan Rakyat," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Majlis Aspresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Kelantan, Khamis. Menurutnya, akta itu adalah undang-undang pencegahan daripada berlakunya sesuatu keganasan dan anggota IS rakyat Malaysia atau negara lain yang berada di negara ini akan dikenakan tindakan mengikut POTA. | |||
Kawasan pelupusan sampah di Slim River terbakar Posted: 05 Mar 2015 04:06 PM PST MALAYSIAKINI Lebih 1.6 hektar kawasan pelupusan sampah di Kampung Penderas, Slim River terbakar mengakibatkan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memadam kebakaran yang bermula pada jam 7.08 malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Md Zin Mohd Faaidin berkata dua jentera bersama lima anggota dikejar ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran pada 8 malam. "Namun, kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 9.58 malam. Tindakan pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki dua nozel 'fix monitor' air tangki dan pili bomba," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau tidak menolak kemungkinan cuaca panas merupakan antara faktor selain terdapat pelbagai bahan api di tapak pelupusan sampah itu. Turut terbakar, hari ini ialah tempat pelupusan sampah yang terletak bersebelahan Pusat Insinerator Pulau Pangkor di Sungai Pinang Kecil. Pasuka bomba yang menerima panggilan pada 6.42 pagi berhubung kejadian itu, tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 7.30 pagi.- Bernama | |||
Kehadiran Anwar Ibrahim ke sidang Dewan Rakyat Posted: 05 Mar 2015 04:03 PM PST Oleh Dr Afif Bahardin Pemuda Keadilan tegas dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, seorang tahanan politik. Penahanan beliau merupakan satu kes ketidakadilan yang nyata di negara kita. Malah, badan hak asasi manusia seperti Amnesty International turut mengklasifikasikan Anwar sebagai "prisoner of conscience". Pengarahnya, Richard Bennett mengeluarkan kenyataan keputusan pemenjaraan melibatkan Anwar bermotifkan politik. Selain itu, pendakwaan ke atasnya mengikut Kanun Keseksaan hanya satu helah untuk melakukan penindasan politik. Penolakan permohonannya menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang adalah satu lagi bentuk pencabulan hak dan mencemari amalan demokrasi di negara kita. Anwar sewajarnya dibenarkan menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-13 yang akan bersidang pada 9 April 2015. Proses rayuan pengampunan ke atasnya yang disabit dengan kesalahan meliwat dan dihukum 5 tahun penjara sudah bermula dengan penyerahan petisyen oleh isteri dan anak-anaknya kepada wakil Istana Negara pada petang Isnin 24 Februari, 2015. Perkara 48 (4)(c) dalam Perlembagaan menjelaskan seseorang ahli Parlimen hanya hilang kelayakan setelah petisyen yang dikemukakan itu ditolak. Anwar wakil bagi seluruh masyarakat di Permatang Pauh dan seluruh rakyat Malaysia sebagai ketua pembangkang. Maka, permohonannya wajar dipertimbangkan semula agar beliau dapat hadir dan membahaskan ucapan pembukaan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua pembangkang. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi tidak wajar berselindung di sebalik penjawat awam dengan menggunakan mereka untuk menolak permohonan pihak Anwar untuk menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat ini. Kenyataan tiada negara yang pernah membenarkan tahanan politik menghadiri sidang Parlimen, menunjukkan kecetekan minda sesetengah individu dalam urusan ini. Beberapa keadaan, di mana seseorang ahli Parlimen yang dipenjarakan hadir ke mahkamah pernah berlaku. Sebagai contohnya, pada 11 Oktober, 2011, sebuah mahkamah Ukraine menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara kepada ketua pembangkang Ukraine, Yulia Tymoshenko selepas mendapati beliau bersalah dalam menyalahgunakan jawatannya semasa menjadi broker urus janji gas 2009 dengan Rusia, tetapi beliau dibenarkan menghadiri sidang parlimen negara tersebut. Perkara ini hak seorang tahanan politik selagi mana tidak ada undang-undang atau keputusan akhir untuk menggugurkan kelayakan beliau sebagai seorang ahli Parlimen. Tindakan terbaru menteri ini, bukti jelas Umno dan Barisan Nasional (BN) sememangnya memilih untuk menjayakan konspirasi politik yang jahat ini demi menafikan hak Anwar untuk mewakili rakyat Malaysia. Hakikatnya Umno dan BN terlalu takut untuk berdepan dengan beliau dan ini usaha untuk menyekat beliau daripada menyuarakan kritikan ke atas pentadbiran kerajaan BN hari ini. Pemuda PKR mencabar menteri dalam negeri tampil ke khalayak mengemukakan hujah dan alasan penolakan permohonan Anwar menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat. | |||
Sirul patut ceritakan sahaja semuanya Posted: 05 Mar 2015 03:50 PM PST Oleh V Shuman Hidup pastinya indah buat seorang Sirul Azhar Umar – lelaki yang melarikan diri selepas membunuh seorang perempuan dengan kejam, namun masih boleh menikmati kehidupan.Hidup di negara luar untuk melepaskan diri daripada hukuman mati di tanah air. Mendapat akses internet dan telefon ketika dalam tahanan. Malah, dapat menikmati makanan kegemaran hasil tangan ibu. Kepada mereka yang terkejut selepas membaca peranggan di atas, begitulah bagaimana seorang pembunuh yang didapati bersalah menjalankan kehidupannya di Australia. Beliau kini berada di pusat tahanan Villawood di Sidney, selepas meninggalkan Malaysia Oktober lalu. The Rakyat Post melaporkan, ibu Sirul, Piah Samad yang berusia 74 tahun akan menghantar makanan kegemarannya, sambal ikan bilis jika mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa Australia. Laporan yang dipetik daripada Harakahdaily itu juga berkata, Piah juga membawa makanan kegemarannya yang lain iaitu rendang limpa, namun tidak mendapat pelepasan pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sidney. Ibunya dilaporkan dalam keadaan bersemangat, berkata: "Tak apalah, nanti kita masak yang lain." Piah juga memasak kari kepala ikan untuk rombongan yang mengiringinya – tujuh orang termasuk anaknya Nuriatin Umar, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan seorang peguam. "Sirul ni budak baik, kerja dia jaga menteri. Semua tempat dia pergi. Dia tak de cerita apa pun kat makcik sehinggalah dia ditangkap," katanya menurut Harakahdaily. Kini, tiada lagi sebab untuk Sirul kembali ke Malaysia (bukanlah beliau berniat untuk pulang pada asalnya). Sehingga kini, masih belum jelas bagaimana seorang bekas komando polis mampu hidup di luar negara sejak Oktober 2014. Tidak diketahui siapa yang mendanai "pelarian" dan hidupnya di sana. Kini selepas tempat tinggalnya sudah terjamin, beliau masih dapat menikmati keselesaan seperti di rumah sendiri, semuanya atas jasa PAS. Ya, parti yang sama yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat, yang dahulunya menghentam Sirul dan pasangannya Azilah Hadri sebagai pembunuh kejam, berikutan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan tahun-tahun selepasnya. Kini, mereka bersungguh-sungguh berbuat baik kepadanya dan keluarga, dengan harapan beliau akan mendedahkan sesuatu yang menggemparkan, seterusnya meruntuhkan pentadbiran sekarang dan membolehkan PR mengambil alih Putrajaya. Persoalannya, adakah Sirul akan mendedahkan apa-apa yang mampu meredakan spekulasi bertahun-tahun lamanya? Atau beliau hanya mengambil kesempatan terhadap PAS dan media antarabangsa? Bukankah beliau adalah orang yang didapati bersalah melakukan antara pembunuhan paling dahsyat yang pernah berlaku di Malaysia, dan malah dunia? Jika Sirul benar-benar serius menebus "dosanya", beliau patut berhenti mengarut tentang tele-persidangan yang tidak pernah terjadi, dan dedahkan sahaja semua perkara. Tanpa mengira apa yang akan berlaku selepas itu. Jika beliau cukup "jantan" untuk menembak seorang perempuan yang mengandung dan mengebom mayatnya sehingga hancur berkecai, beliau juga sepatutnya berani untuk mengaku dan menceritakan segalanya kepada media. | |||
Nurul nuha: Kami tak sangka ini berlaku Posted: 05 Mar 2015 03:46 PM PST Nurul Nuha Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM SHAH ALAM - "Kami tak sangka keputusan dibuat secepat ini kerana petisyen pengampunan masih diputuskan!" demikian ujar Anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha Anwar bagi mengulas penolakan permohonan Anwar untuk hadir ke persidangan Parlimen menjelang Isnin depan."Kami sekeluarga amat hampa dengan keputusan yang telah dibuat. Penolakan ini dibuat tanpa alasan kukuh," katanya kepada Sinar Online. Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dalam satu surat yang dihantar kepada Peguam Anwar, N Surendran tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Parlimen. Bagaimanapun keputusan tersebut didapati bercanggah dengan Fasal 48 (4) (c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Anwar masih kekal sebagai ahli Parlimen selagi petisyen pengampunan yang dibawa oleh keluarga Anwar tidak diselesaikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Menjelaskan kepada Sinar Online hari ini, Nurul Nuha turut menegaskan bahawa kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh masih dikekalkan berikutan keputusan petisyen masih belum diumumkan. "Dewan Rakyat kata ayah kami masih lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, dia masih berhak hadir ke persidangan," katanya lagi. | |||
Harap ada khabar MH370 selepas setahun hilang Posted: 05 Mar 2015 03:44 PM PST SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Beberapa hari menjelang genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, syarikat penerbangan itu terus menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini. MAS akan memperingati ulang tahun pertama dengan program khas tertutup di pinggir Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga anak kapal MH370 dan kakitangan MAS. "Kami mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan dan sahabat dalam pesawat malang itu...keluarga anggota-anggota anak kapal telah melahirkan hasrat bahawa program untuk mengenang pemergian orang tersayang yang mereka sertai adalah secara tertutup. "Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan diri kami dan pihak berkuasa berkaitan mengenai obligasi - tugas dan kewajipan moral - untuk meneruskan usaha mencari jawapan dan merumuskan kesimpulan yang muktamad," kata MAS dalam dalam satu kenyataan. Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014. MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo. Pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap telah terkorban. Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari pesawat itu tetap menjadi keutamaan. Mengetahui bahawa tidak semua kakitangan dapat menghadiri program perjumpaan tertutup Ahad ini, MAS berkata ia akan mengedar pin batik kepada kakitangannya sebagai tanda mengingati pemergian rakan-rakan. "Kami juga mengeluarkan lencana digital dengan reka bentuk yang sama dan hashtag "Always in my heart"," kata MAS yang kini melaksanakan pelan pemulihan bagi menyelamatkan masa depan syarikat penerbangan itu. Selain MH370, Penerbangan MH17 yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, mengorbankan kesemua 298 orang dalam pesawat. Dalam masa kurang enam bulan, MAS mengalami dua insiden tragik, kehilangan lebih 500 nyawa dan hampir 30 anggota kru kanan dalam apa yang boleh disifatkan sebagai peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan. MAS menyatakan bahawa ulang tahun pada Ahad ini adalah signifikan kerana peristiwa yang menyelubungi MH370 telah meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan terhadap perniagaan dan reputasinya. "Tetapi yang lebih penting, kami kehilangan rakan-rakan tersayang pada hari itu," kata MAS dan menambah bahawa walaupun misteri kehilangan MH370 tidak terjawab walaupun ahli keluarga menuntut jawapannya, kebajikan ahli keluarga diberi perhatian dalam setiap tindakan yang diambil oleh MAS sebagai sebuah syarikat sejak mengetahui kehilangan pesawat itu. "Kami sendiri tidak dapat memberikan jawapan. Kami menyokong siasatan tetapi kami tidak mengarahkannya ataupun mengetahui hasil siasatan. "Kami melihat pencarian di Lautan Hindi dari jauh, sama seperti orang lain... kami tidak boleh menetapkan bila atau dari mana maklumat disalurkan," kata MAS. MAS berkata, ia secara langsung telah menyediakan bantuan kewangan dan menubuhkan Pusat Sokongan Keluarga di Kuala Lumpur dan Pusat Bantuan Keluarga di Kuala Lumpur dan Beijing, selain bantuan dalam bentuk khidmat kaunseling. Usaha ini, kata syarikat penerbangan itu, akan diteruskan selepas ini. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan