ganguan air Gambar hiasan. - Sumber Internet
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor hari ini menyangkal dakwaan berlaku gangguan bekalan air selama 36 jam di seluruh Selangor.
 
Dakwaan itu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.
 
Exco Selangor, Zaidy Abdul Talib dalam satu kenyataan berkata, pihak tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat palsu dengan niat menimbulkan panik dalam kalangan pengguna.

"Maklumat yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp itu sama sekali tidak benar.
 
"Pihak kerajaan negeri menyeru semua pengguna agar tidak membuat spekulasi atau sengaja mencipta berita palsu yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan orang awam khususnya pengguna di Selangor," katanya.
 
Maklumat palsu yang tersebar itu menyebut: "Minta perhatian kepada semua. Sila tadah air secukupnya (malam ini) kerana esok bekalan air akan ditutup selama 36 jam seluruh Selangor. Sudah diumumkan di radio Sinar tadi."