Khamis, 26 Mac 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Putrajaya enggan dedah kos, penumpang jet peribadi kerajaan di Indianapolis

Posted: 26 Mar 2015 03:51 AM PDT

OLEH MD IZWAN


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menafikan pesawat 9M-NAA tersebut digunakan, tetapi tidak mendedahkan kos penerbangan yang terbabit dan siapa penumpang di dalamnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mac, 2015.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menafikan pesawat 9M-NAA tersebut digunakan, tetapi tidak mendedahkan kos penerbangan yang terbabit dan siapa penumpang di dalamnya. – Gambar fail The Malaysian Insider. 



Putrajaya enggan mendedahkan kos dan individu yang menggunakan jet peribadi milik kerajaan yang didakwa berada di Indianapolis tahun lepas, walaupun pembangkang mendakwa pesawat tersebut digunakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam satu jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menafikan pesawat 9M-NAA tersebut digunakan, tetapi tidak mendedahkan kos penerbangan yang terbabit dan siapa penumpang di dalamnya.

"Penumpang-penumpang yang menaiki pesawat eksekutif kerajaan 9M-NAA pada tempoh tersebut merupakan mereka yang berkelayakan untuk menaikinya.


"Kos penerbangan yang digunakan sepanjang tempoh tersebut tidak melebihi kelayakan Perdana Menteri," katanya menjawab soalan dari ahli Parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming. Nga bertanya siapakah individu yang berada dalam jet tersebut sepanjang 25 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015.

Isu jet 9M-NAA berkenaan sebelum ini menimbulkan persoalan apabila menurut semakan perjalanan di laman www.flightradar24.com, ia berada di Indianapolis selama 6 hari itu sebelum berlepas ke Los Angeles, New York, London, Dubai dan destinasi terakhir, Bangkok.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 25 Disember 2014 dilaporkan berada di Hawaii.

Beliau pulang dua hari kemudian kerana negara pada waktu itu dilanda banjir besar, tetapi  tidak dengan pesawatnya, sehinggalah dilaporkan ia digunakan oleh individu lain.

Kerajaan tubuh pasukan petugas khas Putrajaya siasat 1MDB

Posted: 26 Mar 2015 02:39 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Putrajaya menubuhkan sebuah pasukan petugas khas kerajaan bagi menyiasat operasi dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk meneliti hutangnya yang dipercayai mencecah RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beliau akan menjadi sebahagian daripada pasukan petugas itu, yang juga akan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas. Kami melihat perkara ini secara keseluruhannya, termasuk hutang 1MDB," katanya dalam ucapan penggulungan di Parlimen semalam.

Pasukan ini berbeza daripada yang ditubuhkan terdahulu yang diumumkan Peguam Negara (AG), terdiri daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan polis yang akan melihat ke dalam urusan 1MDB susulan laporan yang dibuat terhadapnya.

Selain daripada pasukan petugas kerajaan tersebut, Husni juga mengumumkan kerajaan meminta CIMB Group, sebagai "pihak ketiga", melaksanakan penilaian terhadap 1MDB, yang merupakan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi Tawaran Awam Permulaannya (IPO).

"Jadi, kita juga akan melihat berapa 1MDB boleh dinilaikan, bagaimana menggunakan tanah yang dimilikinya, dan usaha sama, dan banyak lagi, yang kami percaya, akan menyelesaikan masalah aliran tunai 1MDB," katanya.

Adik Najib, Datuk Seri Nazir Razak, merupakan pengerusi CIMB Group.

Husni mengulangi tanggapannya sebelum ini yang isu utama 1MDB yang dibebani hutang itu ialah masalah aliran tunai, sambil mengatakan masalah syarikat akan diselesaikan sebaik sahaja IPO itu dilancarkan, dijangka pada suku kedua tahun ini untuk aset loji tenaganya.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan prinsipalnya selagi ia hutang jangka panjang. Tetapi faedahnya... kami yakin sebaik sahaja IPO dibuat, faedah itu akan berkurangan.

"Dengan hasil dari tanah itu yang boleh dijual dan dari usaha sama itu, kami berharap untuk bukan hanya membayar balik faedah tetapi juga hutangnya," katanya.

Reuters melaporkan pada Disember, IPO itu bertujuan membantu pelabur negara itu mengurangkan satu beban hutang yang melebihi AS$11 bilion (RM40 bilion).

Rancangan untuk jualan itu ditangguhkan beberapa kali, menurut pegawai bank, disebabkan proses due diligence dan rundingan pembiayaan semula hutang yang lebih lama daripada yang dijangkakan.


Bagaimanapun, pengkritik dana pelaburan strategik itu berkata, IPO itu tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah aliran tunai 1MDB, kerana ia hanya mampu menjana kira-kira RM18 bilion berbanding hutangnya yang berjumlah RM42 bilion. - The Malaysian Insider


PRU-14: DAP Hilang Undi PAS?

Posted: 26 Mar 2015 02:31 AM PDT


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
 
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
 
 
 
KUALA LUMPUR: Akibat sikap DAP yang menentang keras pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, parti itu mungkin kehilangan undi daripada ahli dan penyokong PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Peringatan keras itu dibuat Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan berterusan kepimpinan DAP memfitnah dan menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah tindakan provokatif melampau terhadap PAS.

"Saya bimbang dengan tindakan berterusan DAP menyerang, memfitnah dan menghina presiden PAS dan terlalu keras menentang usaha mendaulatkan undang-undang Islam boleh menyebabkan hilangnya segala alasan syarie beragama untuk ahli PAS bekerjasama dan mengundi DAP dalam pilihanraya.

"Saya menasihatkan DAP agar lebih berhemah dan tidak lagi meneruskan kenyataan provokatif terhadap PAS khususnya presiden PAS jika PR masih diharapkan menjadi medium bersama menentang segala ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengingatkan DAP bahawa kerjasama politik yang terjalin antara mereka dalam pakatan pembangkang dibuat berdasarkan prinsip yang dibenarkan Islam.

"Bagaimanapun isu hudud yang dibangkitkan DAP memperlihatkan wajahnya yang sebenar dalam menentang sebarang usaha mendaulatkan undang-undang Islam sehingga melupakan prinsip bersama pakatan iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.

"Perlu diingat bahawa PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam. Kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam.

"Begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihanraya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam," katanya.

Selain itu, Mohd Khairuddin turut mempersoalkan layanan tidak adil DAP terhadap PAS khususnya berhubung 'langkah Kajang' yang dicipta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Peliknya tindakan bersendiri PKR dalam 'langkah Kajang' tidak pula dikatakan membelakangi pakatan.

"Memecat Tan Sri (Abdul) Khalid (Ibrahim) untuk membuangnya daripada jawatan menteri besar tanpa persetujuan bersama PAS tidak pula dikira khianat," katanya.

Isu hudud menjadi punca keretakan hubungan tiga komponen pembangkang apabila DAP dan PKR membantah tindakan PAS dalam menegakkan undang-undang Islam itu.

Pada 18 Mac lalu, Hadi menyerahkan notis pemberitahuan mengenai hudud kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Notis berkenaan dihantar sehari sebelum undang-undang hudud itu diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu.

Dilaporkan Hadi dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat pada April ini bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dilaksanakan di Kelantan.

"Dengar Dahulu" - Hadi

Posted: 26 Mar 2015 02:26 AM PDT


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK


Abdul Hadi Awang
 
 
 
KUALA LUMPUR: Selepas tidak diiktiraf dan dihina oleh parti sekutunya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya tampil menjelaskan kontoversi berhubung pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 di Kelantan.

Bagaimanapun, penjelasan presiden PAS itu dilihat bakal menimbulkan pertikaian baharu apabila menyatakan bahawa rang undang-undang (RUU) persendirian yang akan dikemukakannya di Dewan Rakyat bukanlah rang undang-undang hudud.

"Apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi  Private Members Bill  (RUU persendirian) nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.

"Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian menerusi surat terbuka kepada umat Islam dengan tajuk 'isu hudud yang dikelirukan' di sini.

Pada Selasa lalu, DAP menuduh Hadi bersikap tidak bermaruah apabila menjalinkan kerjasama dengan Umno untuk melanggari kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menggesa supaya Hadi meninggalkan Pakatan Rakyat jika mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung hudud di Dewan Rakyat.

Lebih parah apabila DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi namun pada masa sama mahu meneruskan komitmen mereka dalam pakatan pembangkang.

Menerusi surat terbuka itu lagi, Hadi berkata kandungan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu sudah mengambil kira beberapa cabaran utama.


'Tolak hudud sebahagian sikap Islamophobia'

Posted: 26 Mar 2015 02:21 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penentangan ke atas hudud merupakan salah satu daripada sikap Islamophobia.

Beliau yang juga anak kepada presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sikap itu aneh kerana golongan yang menentang hudud dapat menerima hukuman mati di mahkamah sivil.

"Hududophobia ialah sebahagian daripada Islamophobia yang melanda masyarakat dunia hari ini.

"Ada yang mengecam Hudud dengan alasan ianya adalah undang-undang kejam dan melanggar hak asasi manusia.

"Peliknya mereka boleh menerima pula hukuman mati di atas kerusi elektrik dan gantung sampai mati," katanya dalam satu kenyataan.

Muuhammad Khalil juga membayangkan bahawa PAS tetapi akan mendapat sokongan dengan melaksanakan hudud.

"Ada yang mempertikaikan isu hudud tidak perlu diberikan keutamaan kerana khuatir pengundi tak akan memberikan undi kepada PAS dalam pilihanraya nanti.

"Akan tetapi peningkatan keahlian PAS mutakhir ini sehingga sudah menjangkau 1 juta ahli menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia menghormati PAS," katanya.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan ketegasan PAS dalam prinsip Islam dan sikap hormat kepada kedudukan orang bukan Islam.


Tak benar harga rokok RM17 lepas GST

Posted: 26 Mar 2015 02:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


British American Tobacco (BAT) Malaysia menafikan dakwaan harga rokoknya naik sehingga kepada RM17.50 sekotak selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimulakan minggu depan.

"Setelah semakan semula, BAT Malaysia ingin tegaskan bahawa senarai harga ini adalah palsu dan kami akan membuat laporan polis berhubung perkara ini," menurut kenyataan syarikat gergasi rokok itu semalam.

Senarai palsu di Internet itu antaranya mendakwa beberapa jenama popular rokok naik harga sebanyak RM2.50 sekotak kepada RM14 hingga RM17.50 sekotak mengikut jenama.

Harga rokok terkini antara RM12 hingga RM14 bagi 20 batang selepas kali terakhir dinaikkan November tahun lalu.

BAT, pengeluar jenama popular Dunhill, itu turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan senarai harga palsu itu. 


'Kematian ke-6 dalam 3 bulan, polis mesti jawab'

Posted: 26 Mar 2015 02:12 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kematian banduan Mohd Zafari Mohd Yunus dalam lokap adalah yang keenam dalam tempoh hanya tiga bulan dalam tahun 2015 dan Suaram menggesa pihak polis mendedahkan hasil bedah siasat awal.

"Kebiasaannya, apabila berlaku kes kematian dalam tahanan, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil siasatan awal kes dan menyatakan bedah siasat akan dijalankan.

"Bagaimanapun, pihak polis tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil bedah siasat yang dilakukan kepada setiap mangsa kematian dalam tahanan.

 "Adalah sangat baik sekiranya pihak polis memaklumkan kepada orang awam berkaitan hasil siasatan terkini berkaitan kematian dalam tahanan, khususnya keputusan laporan bedah siasat.

"Ini demi mengelakkan daripada berlakunya penipuan dan kekaburan maklumat," kata badan hak asasi manusia itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Mac 2015, Mohd Zafari telah disabitkan atas tuduhan melakukan rompakan pada tahun 2013.

Dia kemudiannya telah dibawa ke pusat tahanan Ipoh selepas dijatuhi hukuman pada hari itu, iaitu lapan tahun penjara dan tiga sebatan rotan.

Pada hari yang sama semasa dalam tahanan, mangsa dikatakan telah jatuh semasa ke tandas dan mengalami kecederaan di bahagian belakang kepalanya, dan telah dibawa ke hospital.

Mohd Zafari meninggal dunia pada jam 1.25 pagi keesokan harinya di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Suaram berkata keluarga si mati telah dilaporkan membuat laporan polis dan meminta untuk melihat rakaman CCTV yang polis mengakui ada.

NGO itu berkata pihak keluarga mempunyai hak untuk melihat rakaman CCTV itu, dan berharap pihak polis akan menggunakan rakaman itu sebagai sebahagian keterangan dalam siasatan.

"Suaram menggesa agar pihak polis berlaku telus dalam setiap kes kematian dalam tahanan yang berlaku.

"Tindakan pihak polis tidak bercakap benar atau memberikan maklumat yang sahih adalah sesuatu yang tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab," kata NGO itu.

Sebagai contohnya, kata Suaram, ialah apabila polis mendakwa berlaku "kematian secara tiba-tiba" dalam kes Syed Mohd Azlan, tetapi dalam sijil kematian yang dikeluarkan pihak Hospital Sultan Ismail, tertulis dia mati disebabkan hentakan benda tumpul di dada.

Murid dikesan miliki dadah

Posted: 26 Mar 2015 02:10 AM PDT


dadah
 
 
 
KOTA BHARU -  Mencacatkan catatan pada draf jenayah indeks dikeluarkan polis apabila murid sekolah rendah dikesan terbabit dengan kesalahan memiliki dadah dalam tempoh Januari hingga Mac, tahun ini.
Keadaan itu berbeza berbanding tahun lalu apabila tidak ada seorang pun murid dari sekolah rendah yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah dalam tempoh terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, sejajar dengan itu, di samping membanteras jenayah dalam kalangan masyarakat umum, pihaknya akan memberi lebih tumpuan kepada usaha memerangi jenayah dalam kalangan pelajar sekolah sepanjang, tahun ini.

Katanya, mereka yang berada dalam kelompok remaja dan belia semakin banyak terlibat dengan kes-kes jenayah kekerasan harta benda dan dadah serta memerlukan pemerhatian pihak berkuasa.

"Pelbagai kempen dan program membanteras jenayah kalangan pelajar dan murid akan diadakan contohnya Program Saya Benci Dadah yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, bulan lalu. Program-program seperti akan diperbanyak dan diperhebatkan pada tahun ini.

"Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim sendiri adalah penaung kepada Kelab Bola Sepak Young Worriors negeri Kelantan membuktikan keseriusan dan komitmen polis," katanya selepas Sambutan Hari Polis Ke-208 Tahun 2015 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, semalam.

Sambutan tahun ini bertema "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada" dan seramai 50 anggota dan pegawai menerima surat penghargaan di atas jasa dan khidmat cemerlang mereka.

Dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sejumlah 15 kes bersama 17 tangkapan membabitkan pelajar sekolah menengah dan rendah terbabit dengan gejala dadah dan satu kes dengan dua tangkapan membabitkan pelajar sekolah rendah. Jumlah itu, bagaimanapun lebih rendah berbanding 20 kes bersamaan 21 tangkapan dalam tempoh sama, tahun lalu.


Hudud bukan GST @ 1MDB

Posted: 26 Mar 2015 02:06 AM PDT


SUMPAH saya tidak kenal Aisyah Tajuddin. Walaupun sering mengikuti siaran radio BFM – ketika terperangkap dalam kesesakan pulang dari pejabat – tidak pernah sekali saya mendengar suara gadis itu di udara.

Tetapi setakat rencana ini ditulis (semalam), 378,868 orang telah mengikuti dan meluahkan perasaan terhadap pengacara berkenaan, bukan kerana suaranya di udara, tetapi kerana videonya yang dimuat naik di alam siber.

Semuanya gara-gara kenyataannya dalam video 1 minit 55 saat itu yang dianggap mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Umat Islam marah dan menganggap pengacara berkenaan telah mempersenda agama Islam.

Seperti yang dilaporkan media, Aisyah dalam video berkenaan turut mempersoalkan rakyat negara ini yang bergaduh mengenai agama dan bangsa tetapi ekonomi negara merosot dan hutang meningkat.

Dalam video berkenaan dia menyindir pelaksanaan hukum hudud dengan membuka bungkusan nasi lemak tetapi di dalamnya kosong sambil mengibarkan bendera negeri Kelantan.

Begitulah tidak pekanya pengacara berkenaan! Maka tidak menghairankan sekiranya dia dikecam hebat di alam maya, sehingga ada ugutan untuk membunuh dan merogolnya.

Video kontroversi itu telah ditarik balik oleh stesen radio swasta berkenaan, dan pengacara manis manja itu telah disoal siasat oleh polis, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina agama. Setakat ini belum diketahui apa penghujung soal siasat tersebut.

Aisyah sendiri telah memohon maaf dan menyatakan rasa kesal mengenai video tersebut. Menerusi kenyataan media, dia mengakui ini pengalaman pahit buat diri dan keluarga.

Saya tidak tahu orang lain, tetapi secara peribadi saya memaafkan Aisyah. Semoga ini menjadi pengajaran buatnya untuk tidak lagi dengan mudah mempersenda agama. Mudah-mudahan ALLAH mengampuni dia.

Perihal orang yang mengugut untuk membunuh dan merogol gadis ini, pada hemat saya itu hanya terlebih emosi. Kalau benar sayangkan hukum Islam, pasti mereka tidak melakukan ugutan tersebut sebab merogol jelas bercanggah dengan hukum agama!

Saya lebih menyalahkan BFM. Stesen radio bisnes itu sepatutnya peka dengan isu-isu yang menyangkut hal-hal sensitif, lebih-lebih lagi hal agama. Menurut kenyataan stesen swasta itu Aisyah bukan pengacara tetap dan hanya pengacara pengganti program 'BMF Kupas'.

Apakah penerbit program, juga pemilik stesen tersebut, tidak mencium kontroversi sebelum mengudarakan isu berkenaan?

Menurut kenyataan stesen berkenaan, seperti yang disiarkan media: "...sebahagian daripada penonton menganggap kami mempersoalkan hukum hudud sedangkan kami tidak berniat sedemikian. Kami hanya mengajak penonton supaya mempertimbangkan beberapa persoalan mengenai pelaksanaannya..."

Semua orang tahu membincangkan mengenai pelaksanaan hudud sama jugalah seperti perbincangan mengenai hukum hudud itu sendiri. Apa perlunya perbincangan terbuka itu disiarkan, sedangkan – mohon maaf – mungkin stesen berkenaan sendiri pun tidak betul-betul memahami hudud!

Lagi pun dengan menyiarkan perbincangan mengenai hudud, dan komen-komen dibuka untuk penonton, isu tersebut dengan sendirinya akan ikut disertai oleh mereka yang bukan Islam dan langsung tidak tahu tentang hukum ALLAH.

Apabila orang yang tidak faham mengenai hudud memberi pandangan mengenai isu yang mereka tidak arif, sudah pasti hukum ALLAH akan diperlekeh. Tambah buruk lagi sekiranya yang tidak tahu hudud memberi komen secara emosional, tentu sekali mereka akhirnya menghina hukum Islam.

Memang seperti yang dijelaskan oleh BFM pihaknya tidak berniat untuk mempersoalkan hukum hudud. Tetapi dengan menghebahkan program tersebut di udara, stesen berkenaan sebenarnya telah memberi laluan untuk penonton mengkritik hudud.

Hudud, dan lain-lain hukum agama, tidak sepatutnya dikupas secara terbuka kepada semua orang, termasuk orang kafir, lebih-lebih lagi jika yang tukang kupas itu sendiri pun tidak betul-betul memahami isu yang hendak dikupas.

Kalau pun memang ada niat suci mana-mana pihak untuk membincangkan isu ini, biarlah ia dilakukan secara tertutup dan dikendalikan oleh mereka yang betul-betul pakar dalam hukum syariah.

BFM sebagai stesen berwibawa dan dengan audiens yang luas sepatutnya lebih peka dan tidak dengan suka-suka menyiarkan isu agama. Hudud bukan seperti GST atau 1MDB yang siapa sahaja boleh membincang dan mengkritik.


'Ayah saya, Mr Os masih sihat'

Posted: 26 Mar 2015 01:48 AM PDT


Mr Os Gambar Mr Os yang dikongsi di laman sosial
 
 
 
"MINTA tolong kawan-kawan sebarkan. Ayah saya Mr Os masih lagi sihat walafiat. He's just going through minor surgery (Beliau hanya menjalani pembedahan kecil)," kata anak perempuan Mr Os, Syafiqa Hayra di laman mikro Twitter.

Semalam, media sosial kecoh seketika dengan khabar angin mengatakan pelawak terkenal, Mr Os telah meninggal dunia.

Sementara itu, tinjauan Sinar Online di media sosial mendapati, turut terdapat perkongsian salinan paparan dari aplikasi Whatsapp yang mengatakan Mr Os meninggal dunia, namun dinafikan oleh seorang lelaki dipercayai anak Mr Os.

"Bapak aku belum meninggal lagi la," kata lelaki tersebut.

Realitinya, Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, 54, sihat dan baru sahaja menjalani pembedahan akibat penyakit tonsil.

"Alhamdulillah rasa bertambah segar sikit badan teman hari ini. Terima kasih pada yang mendoakan..aaminn ya rob...pada yg dah ter'share' berita-berita palsu tu teman dah maafkan," tulis Mr Os di laman Facebook beliau.

"Kome pun maafkan la juga kesian kat dia, barang yang dah lepas jangan dikenang cuma jadikanlah ikhtibar bila nak share sesuatu berita tu pastikan kesahihannya dulu," tegasnya.

SKMM akan siasat laporan kaitkan Majlis Raja-Raja

Posted: 26 Mar 2015 01:45 AM PDT

SINAR HARIAN


Hudud
 
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat laporan sebuah portal berita yang cuba mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan isu hudud.   

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dakwaan itu tidak benar dan menggesa rakyat supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tersebar khususnya di media sosial.

"Perkara itu tidak benar...ada orang cuba palitkan Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.

"Setiap perkara yang tersebar mesti mendapat pengesahan. Jangan cepat percaya apa yang tersebar terutamanya dalam media sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 kementerian itu di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas nafi hudud dibawa ke Majlis Raja-raja]

Beliau diminta mengulas sama ada SKMM akan melakukan siasatan ke atas sebuah portal berita yang mengeluarkan satu laporan semalam yang mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan isu berkenaan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini berkata  laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jalan Travers pagi tadi bagi menafikan ia mengeluarkan kenyataan berkenaan. - Bernama


MP 'naik angin' bangunan baru DBKL RM300 juta

Posted: 26 Mar 2015 01:40 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Cadangan pembinaan sebuah bangunan baru untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menelan belanja RM300 juta, membuat seorang ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan 'naik angin'.

"Ini adalah gila. Mengapa kita perlu menghabiskan begitu banyak wang untuk sebuah bangunan baru bagi majlis tempatan?

"Bukankah lebih baik jika kerajaan menggunakan wang itu untuk membina lebih banyak rumah pangsa kos rendah?" tulis MP Seputeh Teresa Kok di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan di Parlimen bagi soalannya semalam, oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Jawapan bertulis itu menyebut pembangunan semula Menara DBKL 2 akan melibatkan peruntukan RM300 juta, dengan RM1 juta diperuntukan bagi kerja penyediaan reka bentuknya.

"Pelantikan konsultan/kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan menara DBKL 2 ini sebenarnya belum dibuat kerana ia masih di peringkat perancangan.

"Sekiranya dilaksanakan, projek ini dijangka siap selepas tahun 2020," kata menteri itu.

 
Novemberl lalu, The Star melaporkan bahawa projek itu membabitkan perobohan bangunan 12 tingkat DBKL sekarang dan bangunan baru itu akan dibina di tapak tersebut.

Reka bentuk yang dicadangkan - yang dipilih daripada satu peraduan - mempunyai empat menara, termasuk Menara 1 yang sedia ada dan sebuah menara baru pencakar langit setinggi 57 tingkat. Menara 1 adalah bangunan yang diwartakan sebagai bangunan warisan.

PM beri jawapan sebaris soalan pinjaman 1MDB

Posted: 26 Mar 2015 01:38 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Abdul Razak enggan melayan soalan di Dewan Rakyat berhubung butiran mengenai pinjaman 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dari bank-bank tempatan.

Soalan dari Rafizi Ramli (PKR-Pandan) menuntut butiran, sehingga Januari 2015, serta hasil penemuan audit pematuhan Bank Negara bagi setiap bank.

Bagaimanapun, Najib memberi jawapan bertulis sebaris mengenainya, iaitu sehingga Januari 2015, hutang 1MDB kepada bank-bank tempatan adalah RM5.037 bilion.

Merupakan 12 peratus daripada jumlah hutang 1MDB, ia membayangkan bahawa ia bukan satu risiko sistemik kepada sistem perbankan Malaysia.

Sebelum itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) telah berkata bahawa ujian tekanan menunjukkan 1MDB tidak akan menjejaskan ekonomi.

Menteri kabinet Khairy Jamaluddin juga pernah dilaporkan berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai risiko sistemik, beliau percaya 1MDB tidak akan menjadi lubang hitam yang menelan bank-bank Malaysia jika ia gagal membayar hutangnya.

Sementara itu, Rafizi memberitahu pemberita bahawa dengan memilih untuk diam mengenai penemuan audit itu, Najib sebenarnya menunjukkan bahawa Bank Negara telah membangkitkan isu-isu serius mengenai proses kelulusan pinjaman itu.

Rafizi (menjelaskan bahawa soalannya bertujuan untuk mencungkil hasil audit pematuhan Bank Negara terhadap pinjaman yang diberikan oleh Maybank, RHB dan Ambank.

Menurutnya lagi, beliau telah diberi maklumat bahawa Bank Negara telah membangkitkan isu-isu serius dengan Ambank berhubung proses kelulusan pinjaman yang diberikan kepada 1MDB.

Katanya, isu terpenting bukanlah sangat mengenai jumlahnya kepada kepada sistem perbankan tetapi dakwaan mengenai kekurangan urus tadbir yang selanjutnya boleh menjejaskan kredibiliti perbankan dan kewangan, ekoran skandal 1MDB setakat ini.

Hakikat bahawa menterinya enggan menjawab, tambah Rafizi, hanya boleh mengesahkan bahawa dakwaan itu mempunyai beberapa kebenaran.
 
 

Hadi: Muslim 'kakaktua' tolak hudud

Posted: 26 Mar 2015 01:36 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam.

Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti "Siyasah Syari'yyah", "Maqasid Syari'ah", "Fiqh Aulawiyyat", "Maslahah" dan lain-lain.

Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya.

Namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.

"Hudud" adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari'at.

Mereka menganggap hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif.

Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno: menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.

Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu 'ain.

Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya Taisir al-Fiqh lil Muslim al-Mu'asir di halaman 102 menjelaskan: Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa:

1) Kalangan yang berpegang kepada nas juzi'i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.

2) Kalangan yang menyalahgunakan Siyasah Syar'iyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.

3) Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.

Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasulullah SAW yang bersifat ma'sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.

1) Siyasah Syari'yyah


Perkataan "siyasah" daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara' dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain.

(Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).

Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.

2) Maqasid Syari'ah


"Maqasid" bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan.

Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara' dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.

(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasid, Al Syatibi dalam kitab Al Muwafaqat, jilid 2, muka surat 391 dan Ibnu 'Asyur, muka surat 19)

Contohnya, apabila khalifah Umar tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak.

Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah SAW: "Hukuman hudud ditolak (kerana adanya syubuhat."

Ditolak hukuman hudud ini pula, bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan.

Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.

Maqasid Syari'ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang hudud. Maqasid Syari'ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat.

Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.

Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya. Mengikut kaedah: al-Umur bi Maqasidaha (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya)

3) Fiqh Aulawiyyat

Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).

Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) akidah agama, (2) nyawa, (3) akal, (4) keturunan dan (5) harta.

Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta.

Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.

Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.

Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.

"Aulawiyyat" itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.

Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.

Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam. (Lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syar'iyyah halaman 284-297)

4) Maslahah


"Maslahah" dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan. Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan:

i) Maslahah Mu'atabarah

Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.

ii) Maslahah Mulghah

Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.

iii) Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah

Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.

Melaksanakan syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.

Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan

Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.

Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.

Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman (dari UIA dan pakar syariah negara Brunei Darussalam), al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad (mantan penasihat undang-undang Kelantan dan exco kerajaan negeri) dan Datuk Daud Mohamad (kadi besar Kelantan).

Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Kelantan, ia terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 dan DUN Terengganu pada 2000.

Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.

Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, di samping melaksanakan proses pendidikan mengenai EKJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya.

Maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.

Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan-pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.

Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill (rang undang-undang persendirian) nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam Akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.

Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

Firman Allah: "Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah, dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafsu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.

"Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat).

"Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin."



ABDUL HADI AWANG presiden PAS dan ahli parlimen Marang. Artikel ini asalnya surat terbuka beliau kepada masyarakat Islam.

Larang pamer salib: PKR tunggu jawapan MARA

Posted: 26 Mar 2015 01:30 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih belum menjawab surat daripada PKR Sarawak tahun lepas yang mahu tahu sama ada peraturan melarang kegiatan bukan Islam di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditarik balik.

Surat itu dihantar ekoran aduan daripada ibu bapa Kristian bahawa anak mereka dilarang memakai atau mempamerkan salib dan lambang Kristian termasuk Bible di sekolah itu.

Pelajar bukan Islam di sekolah itu juga dikatakan perlu mendapatkan kebenaran untuk hadir kegiatan keagamaan di luar kampus.

"Saya tidak terima sebarang jawapan daripada MARA.

"Boleh jadi mereka sudah tarik balik peraturan itu atau cuba sembunyikan sesuatu," kata ketua PKR Sarawak Baru Bian dalam sidang media semalam.

Baru Bian (kanan), yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan, sebelum ini mengugut untuk menyaman MARA.

Beliau mendakwa tindakan maktab itu bertentangan dengan perlembagaan kerana MRSM bukan sebuah institusi agama dan terbuka kepada pelajar bukan Islam.

Pengetua MRSM Betong sebelum ini berkata mereka tidak mengamalkan diskriminasi terhadap pelajar.

Bagaimanapun, pengetua sekarang mengakui larangan itu berlaku.

Kontroversi itu terkandung dalam peraturan nombor sembilan buku panduan MRSM untuk pelajar baru yang menyebut bahawa kesemua kegiatan keagamaannya kecuali Islam.

Peraturan itu juga melarang lambang keagamaan bukan Islam dipamerkan.


Tiada ulasan: