Rabu, 25 Mac 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pusat Berita Bersepadu RTM membazir wang – Nur Jazlan

Posted: 25 Mar 2015 02:42 AM PDT

 
Pembinaan tidak mengikut keperluan dan mencapai objektif projek kerana ada bangunan tetapi tiada peralatan.


nur jazlan



KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pembinaan Pusat Berita Bersepadu di bawah seliaan RTM yang dilabel sebagai tidak bermutu.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pembinaan pusat itu tidak mengikut keperluan mahupun objektif projek tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati "pembinaan pusat berita itu hanya bangunan siap tanpa peralatan di dalamnya bagi menjadikannya sebagai pusat berita."

"Sekarang ini, pusat berita itu hanya digunakan sebagai pejabat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat projek pembinaan Pusat Berita Bersepadu RTM di Parlimen hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, audit Jabatan Audit Negara dari November hingga Disember 2013 mendapati, kontraktor utama telah dianugerahkan semula kontrak walaupun gagal dalam penilaian teknikal peringkat kedua.

"Kualiti kerja pembinaan juga kurang memuaskan," tegasnya.

Nur Jazlan berkata, PAC turut tidak berpuas hati dari segi dana yang dikeluarkan untuk membina bangunan tersebut yang disifatkannya sebagai "membawa kepada pembaziran kerana membina bangunan tanpa peralatan."

"Mereka disediakan dana sebanyak RM90 juta untuk pembinaan bangunan itu dan sekarang minta penambahan RM126 juta bagi pengisian peralatan yang membolehkan pusat itu berfungsi sebagai pusat berita."

Hudud: Najib diberi tempoh 48 jam nyatakan pendirian

Posted: 25 Mar 2015 02:40 AM PDT

Lim_Kit_Siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang memberi tempoh 48 jam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan pendirian Ahli Parlimen UMNO-BN berhubung rang undang-undang (RUU) persendirian pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Najib diberi tempoh 48 jam sehingga mesyuarat Kabinet Jumaat ini untuk menyatakan pendirian mereka mengenai pembentangan RUU persendirian Hadi Awang bagi membolehkan hudud dilaksana di Kelantan.

"Jika beliau terus mengalami penyakit 'kesukaran dalam fasa permulaan sesuatu projek (labour pains)' selepas tujuh hari dan tidak dapat mengisytiharkan pendirian jelas bahawa UMNO-BN menentang rang RUU persendirian Hadi, maka senario politik baru mengambil tempat.

"Senario politik baru di mana kedua-dua belah pihak (BN dan PR) dirosakkan oleh konspirator UG (kerajaan perpaduan) UMNO yang membuat persepakatan menggunakan pelaksanaan hudud untuk menjejaskan kestabilan, memisahkan dan memusnahkan PR," kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Tambahnya persoalan utama sekarang ini apakah Ahli Parlimen kedua-dua belah pihak lebih memilih mengambil pendirian untuk 'Selamatkan Malaysia' demi mempertahankan Perlembagaan dalam satu gabungan baru melangkaui BN dan PR.

Semalam, Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai menggesa Najib membuat pendirian segera berhubung RUJ mengenai pelaksanaan hudud.

Pada 19 Mac, Liow turut mendakwa bahawa Najib akan mengumumkannya Jumaat lalu, namun sehingga hari ini Presiden UMNO itu masih tetap mendiamkan diri.

"Enam hari telah berlalu begitu saja dan terus mengalami 'labour pains' tanpa apa-apa tanda bahawa Najib akan membuka mulut mengenai isu ini," tegas Kit Siang.

Minggu lalu, 13 parti komponen BN mencapai kata sepakat menentang rRUU persendirian tersebut kerana tidak sesuai dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia selain memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, pelaburan asing dan pembangunan. – Roketkini.com


Penduduk Sandakan dinafi hak rawatan radioterapi dan onkologi

Posted: 25 Mar 2015 02:38 AM PDT

Stephen Wong

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyelar tindakan kerajaan yang menafikan hak penduduk Sandakan untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap warga.

Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt berkata, jawapan Kementerian Kesihatan bahawa mereka tidak merancang untuk menubuhkan pusat khidmat rawatan radioterapi dan onkologi di Hospital Sandakan tidak munasabah sama sekali.

"Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahya mendakwa berdasarkan bilangan pesakit di Sabah, perkara ini adalah 'tidak serius'.

"Jadi semua kemudahan rawatan berkaitan ditempatkan di Kota Kinabalu sahaja.

"Jawapan kementerian ini bukan saja mengecewakan saya tapi seluruh rakyat Sabah terutamanya di bahagian pantai timur negeri ini (Sandakan) kerana hak mendapatkan rawatan sepatutnya dinikmati setiap warga.

"Kerajaan tidak boleh bersikap berat sebelah dan prejudis antara bahagian Timur dan Barat Sabah, begitu juga dengan pedalaman mahupun bandar," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hilmi menerusi jawapan Parlimen kepada pertanyaan Stephen menyatakan, 4,000 penderita kanser di Malaysia adalah dari Sabah dan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan antara tiga hingga lapan minggu.

Manakala semua perkhidmatan rawatan radioterapi dan nuklear hanya tertumpu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Pakar Likas.

"Mungkin kerajaan sendiri tidak tahu kesukaran dihadapi pesakit kanser yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di Kota Kinabalu, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pedalaman Sabah.

"Mereka terpaksa menunggu beberapa minggu untuk mendapatkan rawatan.

"Tambah menyedihkan, pesakit yang datang dari kawasan luar bandar biasanya dibelenggu kemiskinan, kekurangan pengangkutan awam dan tiada penginapan di Kota Kinabalu," ujar Stephen.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes pnghidap kanser di Malaysia meningkat dari 32,000 pada tahun 2008 kepada 37,000 pada 2012. – Roketkini.com


Putus hubungan dengan Hadi bukan penyelesaian terbaik - Salahuddin

Posted: 24 Mar 2015 06:48 PM PDT

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic



SHAH ALAM: Langkah DAP memutuskan semua hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran tindakan 'unilateral' ulama itu bersabit isu hudud, bukan jalan penyelesaian terbaik untuk menangani pertikaian membabitkan kedua-dua parti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, walaupun DAP sukar menerima hasrat PAS mahu melaksanakan hudud di Kelantan, sewajarnya isu berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

"Saya masih yakin dan percaya melalui pengalaman suka duka bersama PR, sebesar mana dan sekusut mana pun masalah yang pernah didepani, medan atau platform terbaik untuk berbincang dan membuat keputusan secara kolektif ialah Mesyuarat Majlis Tertinggi PR.

"Oleh yang demikian saya yakin rakan-rakan dalam PR akan berusaha untuk kita mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincang dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Salahuddin berkata, tindakan DAP yang mahu memutuskan hubungan dengan Hadi dan pada masa sama ingin kekal bersama PR, adalah sesuatu yang sangat rumit dan sukar diterima.

"Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah presiden saya dan presiden lebih satu juta ahli PAS. Adalah rumit dan sukar bagi saya untuk menerima keputusan DAP yang mahu memutuskan hubungan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) tetapi mahu terus kekal dengan PAS dan PR," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu enggan mengulas lanjut dan memaklumkan masih belum membaca kenyataan rakan sekutunya itu.

DAP terdahulu mengumumkan untuk memutuskan semua hubungan dengan Hadi, namun tidak akan keluar daripada PR buat masa ini.

Keputusan tersebut yang dibuat setelah perbincangan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), malam tadi, adalah disebabkan ketidakjujuran ulama berkenaan bersabit isu hudud, selain beberapa isu lain yang didakwa sebagai 'pengkhianatan' terhadap PR.  

Hadi juga diseru meninggalkan PR sekiranya masih bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sekiranya ahli Parlimen Marang itu masih mahu meneruskannya, beliau harus melaksanakannya sebagai ahli Parlimen dan bukan sebagai anggota PR.

Isu jet baru: Jangan heret nama baik Agong, perincikan penggunaan semua jet

Posted: 24 Mar 2015 06:36 PM PDT

Oleh: Rafizi Ramli


Saya kesal kerana maklumbalas pertama dari Jabatan Perdana Menteri berhubung kontroversi pembelian jet peribadi ("private jet") baru adalah dengan mengheret nama baik DYMM Yang DiPertuan Agong, kononnya pembelian ini perlu untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong.

Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang DiPertuan Agong terlibat di dalam lawatan-lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan Perdana Menteri sendiri.

newjet1

Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan YB Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Dato' Seri Najib Tun Razak. Itu kos operasi sahaja tidak termasuk kos pembelian dan sewa beli jet-jet peribadi kerajaan.

Oleh itu, jika benar jet peribadi baru ini diperlukan untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong seperti yang didakwa Jabatan Perdana Menteri, saya mencabar Dato' Seri Najib Tun Razak memperincikan setiap perjalanan jet-jet peribadi milik kerajaan dan siapakah yang menggunakan jet-jet peribadi ini termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ319) yang sedia ada?

Berapa kali sebulan jet-jet ini digunakan hingga jumlah jet yang sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi?

Alasan Jabatan Perdana Menteri bahawa pembelian ini perlu untuk menggantikan jet BBJ (Boeing Business Jet) yang telah lama juga tidak boleh diterimapakai.

Tempoh boleh guna sebuah jet Boeing komersil adalah di antara 20 hingga 25 tahun bila disenggara mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan.

Jet BBJ yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak pun digunakan sekerap jet komersil kerana hanya digunakan sekali-sekala untuk keperluan rasmi kerajaan.

Oleh yang demikian, alasan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diterima rakyat kerana masih belum menjawab di mana kewajaran membeli satu lagi jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri beliau.

Saya menasihati Perdana Menteri berterus terang sahaja dan tidak menggunakan pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak dari menjawab isu ini.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan


Azmin: PR perlu benar Hadi beri penjelasan

Posted: 24 Mar 2015 06:33 PM PDT

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) perlu memberi peluang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan ketegasan parti Islam itu melaksanakan Undang-Undang Hudud.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata PR perlu berlaku adil kepada Abdul Hadi dan membenarkannya memperincikan pendirian PAS untuk tetap melaksanakan hudud meskipun timbul perbezaan pendapat.

PAKATAN RAKYAT"Saya rasa kita boleh selesaikan masalah berbangkit ini melalui perbincangan kerana itulah semangat PR.

"Saya rasa Hadi perlu hadir dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR untuk menjelaskan isu yang dibangkitkanJawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan PKR sebelum ini bagi mengetahui kenapa keputusan itu diambil bersendirian, bukan secara sepakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Hijrah di Selangor di Dewan Jubli Perak, dekat sini hari ini.

Mohamed Azmin yakin tidak akan berlaku perpecahan dalam gabungan PR dan segala masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

"Sebahagian besar ahli PAS pun mahu PR diteruskan, apa-apa pun bincanglah kerana kekuatan PR sentiasa berdasarkan perbincangan dan muafakat," katanya lagi.EZY


MB: Rizab meningkat RM226 juta dalam tempoh 2 bulan

Posted: 24 Mar 2015 05:10 PM PDT

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Kumpulan wang disatukan meningkat sebanyak RM226 juta dalam tempoh dua bulan menjadikan rizab negeri berjumlah RM3.4 bilion sehingga 28 Februari 2015.

Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata simpanan yang semakin kukuh itu perlu diterjemahkan untuk manfaat rakyat bagi memastikan mereka turut sama menikmati hasil negeri.

"Namun seperti yang ditegaskan berulang kali, apa maknanya kalau Kerajaan Negeri mencatatkan pertumbuhan yang begitu tinggi, simpanan yang kukuh tetapi tidak dapat dikongsi oleh rakyat.

"Tidak ada maknanya kerajaan dan pimpinan kaya kalau rakyat susah, sebab itulah kita lancarkan pelbagai program supaya kekayaan ini dapat dikongsi dengan rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Hijrah Selangor di Dewan Jubli Perak, dekat sini hari ini.

Mohamed Azmin memaklumkan perkara peningkatan simpanan rizab itu berdasarkan Mesyuarat Tertinggi Kewangan Negeri Selangor pagi tadi.



NGO Cina tekan hudud, PM perlu masa

Posted: 24 Mar 2015 05:08 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Lebih 30 gabungan utama persatuan masyarakat Cina meningkatkan bantahan terhadap hudud ketika orang ramai menanti-nantikan pengumuman rasmi Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Kumpulan tersebut, antaranya disertai Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Gabungan Guru Sekolah China (Jiao Zong), bersama MCA menolak hudud atas alasan ia "menghakis demokrasi dan menimbulkan kezaliman."

Perkara itu termasuk dalam pengisytiharan lima perkara yang diumumkan selepas pertemuan mereka dengan parti utama BN itu di Kuala Lumpur petang ini.

Perisytiharan itu termasuklah:

- mereka akan terus mempertahankan demokrasi mengikut lunas-lunas undang-undang sivil dan perlembagaan persekutuan sebagai asas berdirinya Malaysia;

- mereka bersetuju bahawa semua undang-undang mesti melayan setiap warga dengan adil dan saksama dan menjaga kepentingan semua etnik;

- menyokong dasar wasatiyyah perdana menteri, dan juga, mendukung bantahan MCA terhadap hudud yang bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam sidang media itu, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perdana menteri memerlukan lebih masa untuk menyatakan pendirian BN.

"Saya percaya BN telah bermesyuarat dan mereka akan mengeluarkan kenyataan bersama nanti. Kami hanya menunggu kenyataan muktamad daripada perdana menteri," katanya.

Sementara itu, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (kiri) pula berkata hudud itu isu yang rumit tetapi "kita mesti bersandarkan pada fakta bahawa perlembagaan itu tertinggi."

"Saya fikir kita mahu pastikan pendirian BN tidak hanya mencerminkan pandangan-pandangan dalam BN tetapi mengambil kira perlembagaan persekutuan itu tertinggi dan juga Islam sebagai agama persekutuan," katanya di Kuala Lumpur.

Apabila ditanya pendirian perdana menteri, Khairy enggan mengulas tetapi meminta media merujuk terus kepada Najib.

Perdana menteri juga hadir di majlis perasmian Hari Sukan Kebangsaan buat kali pertama di kompleks beli-belah Pavillion tetapi tidak mengadakan sidang akhbar.
 
 

Rakyat menunggu penuh harapan harga minyak turun April ini

Posted: 24 Mar 2015 05:03 PM PDT



Oleh Joe Leong


Kejatuhan minyak mentah yang diniagakan Amerika (US-traded) minggu lalu, pada nilai terendah dalam tempoh 6 tahun, dan hakikat bahawa secara umumnya harga itu lebih rendah pada bulan ini berbanding Februari barangkali memberi harapan kepara rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan menetapkan harga yang lebih rendah bagi RON95, RON97 dan diesel untuk April.

Baru sahaja sebahagian peniaga merasa yakin bahawa harga minyak mentah berada di paras terendah, ia terus menjunam pada minggu lalu, dengan tanda terus menunjukkan bekalan yang melebihi permintaan, menyebabkan pelabur terus menjadikan harga minyak mentah diniagakan Amerika merosot di paras terendah bagi tempoh enam tahun.

"Penjualan itu menyangkal pendapat ramai pedagang dan penganalisis di Wall Street yang skeptikal dengan rally pada Februari, yang berpunca daripada pengurangan aktiviti menggerudi dan permintaan minyak yang meningkat di Amerika," kata satu laporan oleh the Wall Street Journal.

Pada 16 Mac, penghantaran minyak mentah bagi April menurun 2.1 peratus kepada US$43.88 segelen di New York Mercantile Exchange, menurun kelima berturut-turut dalam sesi dagangan dan tahap terendh sejak Mac 2009.

Pada masa sama, garis panduan global, Brent pula memurun 2.2 peratus, pada harga US$53.44 segelen di ICE Futures Eropah – nilai terendah bagi tempoh enam minggu.

Jika dibuat perbandingan dengan bulan lalu, harga minyak Brent meningkat kepada US$62.58 segelen pada 27 Februari, manakala minyak mentah Amerika meningkat kepada US$49.76 segelen.

Mengulas kepada trend harga terbaru ini, laman Oilprice.com berkata, pengeluar mungkin merasakan mereka hampir keluar darpada kebuntuan, namun tahap pengeluaran daripada minyak syal Amerika telah menghalang rally daripada berlaku.

"Penurunan nampaknya akan berlaku. Selepas hampir dua bulan dengan kenaikan sederhana, menjelang pertangahan Mac ia akan kembali melemah. Harga Brent menunjukkan sedikit keteguhan, namun tanda aras WTI – yang merupakan penanda utama bagi minyak mentah Amerika Utara – menurun ke tahap terendah bagi tempoh enam tahun," kata laporan itu lagi.

Harga minyak global mengalami kemerosotan sejak Jun 2014 ekoran pengeluaran yang berlebihan dan tidak menunjukkan tanda pemilihan, yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia yakin bahawa harga petrol akan lebih murah pada tahun ini.


Namun, penasihat Menteri Petroleum Arab Saudi Dr Ibrahim Al-Muhanna berkata, berbanding lebihan pengeluaran yang menyebabkan pasaran yang tidak seimbang, spekulasi berlebihan yang menjadi punca sebenar keadaan ini.

Beliau berkata, Thomas Friedman dan ahli teori konspirasi lain yang perlu dipersalahkan berhubung kejatuhan harga minyak.

"Kejatuhan harga baru-baru ini sebahagian besarnya ekoran jangkaan dan persepsi tentang bekalan dan permintaan pada masa depan…dan kepercayaan lazim terhadap teori konspirasi yang tidak benar," Al-Muhanna dilaporkan berkata, ketika berucap di mesyuarat Institute of International Finance baru-baru ini.

Beliau mendakwa, gambaran yang diberikan media berhubung keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk tidak mengubah kuota pengeluarannya telah diputar belit sehingga di luar kawalan.

"Teori konspirasi beralih sepenuhnya. Daripada menentang Russia dan/atau Iran, kepada menjejaskan pengeluaran minyak syal Amerika. Dan ada yang mengatakan OPEC sudah tiada! Ia seperti merenung logamaya. Semuanya mengarut, namun Ia memeberi impak kepada harga minyak," katanya lagi.

Pada tahun lalu, kerajaan Malaysia memutuskan untuk memansuhkan subsudi minyak dan menggunakan sistem apungan terurus bagi menetapkan harga petrol secara bulanan. Pengumuman seterusnya dijangka pada 31 Mac ini.

Keputusan penting itu kemungkinan besar akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet minggu ini berdasarkan cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal-ehwal Pengguna, dan dengan rundingan bersama Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran berhubung kos barangan dalam negara serta kadar tukaran wang, dalam menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

Harga pada bulan Februari adalah RM1.70 seliter bagi RON95, dan RM2 bagi RON97. Harga itu jatuh 21 sen (RON95) dan 11 sen (RON97) berbanding Januari.

Namun, harga meningkat bagi bulan Mac, dengan RM1.95 seliter bagi RON95 dan RM2.25 seliter bagi RON97. Diesel pula dijual pada harga RM1.95 seliter.

Dengan kebimbangan meluas terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini, rakyat Malaysia tentunya berharap harga minyak akan sedikit menurun pada tahun hadapan, agar dapat mengurangkan beban kewangan yang dijangka semakin berat bagi setiap lapisan masyarakat.


Pendirian DAP bercanggah prinsip bersama PR

Posted: 24 Mar 2015 05:00 PM PDT


Mahfuz Omar Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
 
KUALA LUMPUR - Pucuk pimpinan DAP tidak sewajarnya membangkitkan semula perbalahan antara mereka dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam krisis menteri besar Selangor pada tahun lalu.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun DAP tidak berpuas hati dengan mana-mana pemimpin Pas, namun sepatutnya parti itu berjiwa besar untuk mendepani perbezaan pendapat antara mereka.

"Bagi saya barisan di hadapan DAP adalah pemimpin senior, yang mempunyai pengalaman yang lama dalam politik.

"Jadi sepatutnya mereka berjiwa sebagai negarawan yang bersedia untuk berhubungan dengan semua orang walaupun kita ada sedikit perbezaan tertentu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini yang menggesa Abdul Hadi meninggalkan PR susulan beberapa tindakannya mengenai undang-undang hudud dan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) telah membelakangi keputusan Majlis Pimpinan PR.

Tambah Mahfuz lagi, pendirian Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam yang memutuskan untuk menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi itu juga bercanggah dengan prinsip bersama dalam PR.

"Saya fikir ia sudah bercanggah dengan prinsip bersama kita, Majlis Pimpinan PR ini mesti diwakili oleh pimpinan tertinggi parti," ujarnya.

Sehubungan itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pas berkata, beliau akan meminta Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali menetapkan mesyuarat khas berhubung pendirian DAP itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad pula menyifatkan pendirian CEC DAP yang disuarakan Guan Eng itu adalah masalah peribadi antara Abdul Hadi dan parti itu.

"Ia masalah dengan personaliti dan perlu lihat bagaimana ia akan ditangani," katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, tiada keperluan untuk menyingkirkan Abdul Hadi kerana DAP boleh bekerjasama dengan pemimpin Pas selain Abdul Hadi.

"Pas dengan presiden bukan satu. Pas ialah Pas dan presiden ialah presiden," katanya lagi.


Tidak wajar serang jabatan kerajaan kerana GST

Posted: 24 Mar 2015 04:56 PM PDT

SINAR HARIAN


Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
 
 
 
KUALA LUMPUR - Seramai 25 individu ditahan reman selama dua hari bermula semalam berhubung demonstrasi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kompleks Kastam di Kelana Jaya, semalam.
  
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kumpulan itu tidak sepatutnya menyerang jabatan kerajaan bagi mendapatkan maklumat tentang GST.
   
"Tindakan tersebut adalah tidak rasional untuk mendapatkan penjelasan dengan "menawan" pejabat kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.
  
Khalid bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah sebenar yang ditahan kerana terlibat dalam demonstrasi itu.
  
Difahamkan, antara yang ditahan adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.
  
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata seramai 90,000 orang di seluruh negara telah menjadi ahli Community Policing atau Kepolisan Komuniti.
  
"Bersempena memperingati hari polis yang ke-208 esok Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan 'Community Policing', iaitu 'Pasukan voluntary' yang diwujudkan oleh masyarakat sendiri.
  
"Ini dianggap sebagai salah satu strategi polis dalam mendekatkan orang ramai dalam membantu mengawal jenayah," tambah Khalid.
   
Mengulas mengenai majlis persidangan PJP, KP, Komander dan komandan, Khalid berkata sebanyak tiga perkara utama telah dibincangkan iaitu masalah berkaitan ketenteraman awam, jenayah dan persepsi masyarakat, dan integriti pegawai dan anggota PDRM. - Bernama

DAP putus dengan Pas bukan Presiden sahaja

Posted: 24 Mar 2015 04:54 PM PDT


Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
 
 
KUALA LUMPUR - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti memutuskan hubungan baik yang terjalin dengan Pas selama ini.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, presiden adalah pimpinan utama parti dan tindakan menggesa Abdul Hadi keluar PR akan melemahkan Pas dalam PR.

"Abdul Hadi adalah Presiden kepada semua ahli Pas. Pemuda Pas adalah sayap utama menjaga kepentingan pemimpin dan ahli Pas.

"Saya sangat kecewa dengan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden kami. Kami Pemuda Pas mahu Pas kuat bersama PR. Bagaimana Pas boleh kuat bersama PR tanpa Presiden kami? Memutuskan hubungan dengan Presiden Pas adalah umpama memutuskan hubungan dengan Pas," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Putus dengan bapa, kawan dengan anak]

Guan Eng hari ini mengumumkan  memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi ekoran kedegilan Abdul Hadi salam meneruskan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Suhaizan berkata, beliau lebih selesa memilih langkah optimis dalam mencari penyelesaian kemelut dua parti ini.

"Sebesar mana pun masalah pasti ada penyelesaiannya. Mari kita lihat masa depan Pakatan Rakyat yang cerah. Mari kita mencari titik temu bagi menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda Pas sangat optimis bahawa adanya jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Berdamailah. Kerana rakyat Malaysia mahu kita semua berdamai," katanya.


Detik cemas diculik militan IS selama 8 jam

Posted: 24 Mar 2015 04:51 PM PDT


IS Gambar hiasan
 
 
 
KUALA LUMPUR – Seorang sukarelawan yang menyertai misi bantuan ke Syria September 2013 lalu berkongsi detik cemas apabila rombongannya diculik kumpulan militan IS selama lapan jam dan melihat sendiri salah seorang rakannya ditembak mati.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia, Mustapa Mansor, meskipun detik cemas itu sudah berlalu setahun setengah, namun situasi itu masih segar diingatkannya.

"Ketika itu dengan keadaan kepala bersarung kain hitam macam menanti hukuman mati. Bila-bila masa saja kami boleh ditembak atau disembelih," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media Empat Tahun Tragedi Kemanusiaan Syria, di sini, semalam.

Mustafa berkata, rombongan misi kemanusiaan Syria Care Malaysia yang disertainya itu ditahan oleh sekelompok militan IS ketika dalam perjalanan menyerahkan bantuan.

"Rombongan kami menaiki dua van dan sebuah kereta. Sampai di satu tempat, kami ditahan sekelompok lelaki bersenjata bertopeng. Salah seorang dari rakan kami dari Syria, kalau tak silap namanya Abu Ubaidah, cuba untuk berbincang namun lama-kelamaan, keadaan semakin serius.

Beliau berkata, apabila mahu menunjukkan pasport, pasport mereka diambil dan salah seorang anggota IS masuk dalam van dan memandu van tersebut.

"Berlaku pertengkaran dan Abu Ubaidah ditendang masuk ke dalam bonet. Kemudian van itu bergerak lagi dan sampai satu tempat, dia dikeluarkan dari bonet.

"Kemudian mereka bergaduh lagi dan saya lihat Abu Ubaidah sudah berdarah-darah dan dalam jarak lebih kurang 10 meter, saya lihat militan IS itu menembak mati Abu Ubaidah.

"Kami hanya mampu melihat dari dalam van yang berkunci," katanya.

Meneruskan ceritanya, Mustafa memberitahu beliau dan beberapa rakan dalam rombongan itu termasuk Ketua Pasukan Perubatan Palestine Reconstruction Team (PRT), Dr Ardi Irawan Tanjung dipaksa berpindah ke sebuah lori sebanyak dua kali sebelum tiba di sebuah kawasan dan ditempatkan dalam sebuah bilik.

"Kami diperiksa dan jam saya turut dirampas. Ketika itu terfikir, takkan pejuang Islam merompak?

"Tapi dalam bilik itu kami dibenarkan menunaikan solat sebelum kami berlapan dibebaskan dengan pertukaran tiga militan IS yang berjaya ditangkap pejuang rakyat Syria itu," katanya yang masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat Syria selepas kejadian itu

Tiada ulasan: