Rabu, 11 Mac 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Hutang naik mendadak, kini RM740 bilion

Posted: 11 Mar 2015 07:19 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Hutang luar negara Malaysia meningkat mendadak sebanyak tiga kali ganda kepada RM740 bilion dalam suku ketiga tahun lepas daripada RM196 bilion pada akhir tahun sebelumnya.

Dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PKR-Selayang), Kementerian Kewangan berkata kenaikan tinggi itu akibat "takrifan baru" hutang luar negara.

Kementerian juga berkata dua pertiga tambahan hutang itu akibat ramai warga asing membeli bon Malaysia, yang kini dianggap sebahagian hutang luar negara.

Hal ini, Leong berkata bahaya pinjaman yang dibuat oleh syarikat tempatan daripada syarikat asing, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana sejumlah besar hutang RM42 bilion yang dilaporkan terhutang kepada entiti asing.

"Hal ini di mana syarikat seperti 1MDB jatuh, dan hutang luar negeri yang besar ini mewakili syarikat tersebut mempunyai hutang dengan pihak asing," katanya.

Jumlah terkini turut didedahkan bahawa htang kerajaan pusat mencecah RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).


Tuan Ibrahim diseru tarik balik penolakan

Posted: 11 Mar 2015 07:17 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Seorang tokoh ulama dalam PAS merayu kepada Tuan Ibrahim Tuan Man agar menimbang semula hasratnya menolak pencalonan kerusi presiden.

Ahmad Awang, bekas pesuruhjaya PAS Perak yang pernah menganggotai Majlis Syura, berkata naib presiden PAS itu harus mengutamakan jamaah dan tidak wajar menghampakan ahli akar umbi.

"Beliau kena menghargai ahli-ahli yang melihat seorang yang mempunyai wibawa untuk mengambil tempat jawatan presiden," katanya.

"Nasihat saya, pertimbangkan semula, jangan hampakan harapan orang. Mungkin ramai akan calonkan beliau lagi," tambahnya, yang pernah memegang jawatan naib presiden PAS.

Tidak sampai 24 jam selepas pencalonannya dibuat oleh PAS Kota Bharu, Tuan Ibrahim menolaknya dengan menyatakan ikrarnya untuk terus mendukung kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Biarlah orang lain kata 'tidak bersetuju' dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak berkata begitu," katanya semalam.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Ahmad (kanan) berkata Tuan Ibrahim seorang calon yang layak menerajui PAS kerana beliau mempunyai latar belakang pendidikan agama dan masih muda.

Berbanding pemimpin atasan lain dalam PAS, bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dilihat mewakili kepemimpinan ulama, kata Ahmad.

"Beliau seorang (bekas) pensyarah pendidikan Islam dan berkelulusan (pengajian) Islam. Orang melihat beliau tetap mewakili kepimpinan ulama," katanya, yang lama memimpin Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua lagi naib presiden PAS, Husam Musa dan Salahuddin Ayub, bukan berpendidikan agama.

Ahmad menambah, masih awal untuk Tuan Ibrahim membuat keputusan menolak pencalonan itu kerana mesyuarat kawasan baru sahaja bermula.

"Nasihat saya, eloklah jangan menolak. Beliau kena fikir (kepentingan) jamaah. PAS ada lebih 100 kawasan. (Mesyuarat) ini baru bermula.

"Jangan terus berkata 'tidak layak'. Kalau (menolak) macam itu, (pencalonan) naib presiden pun tidak payah (ambil). Naib-naib presiden atau timbalan presiden - mereka ini pemimpin yang layak jadi presiden," katanya.

Ditanya sama ada beliau berminat menerajui PAS, Ahmad berkata beliau mahu pemimpin lebih muda sedangkan beliau sendiri sudah berusia 79 tahun.


Petisyen White House: Kenapa sekejap ada, sekejap tak ada?

Posted: 11 Mar 2015 07:06 AM PDT

WHITE HOUSE

  Oleh ANAK MAMI DI PERANTAUAN


Ada banyak persoalan tentang petisyen kepada White House bagi meminta Amerika menjadikan isu tahanan politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai isu penting dalam hubungan dua halanya dengan Malaysia.

Ini termasuklah 'kenapa mahu Amerika campur tangan urusan dalam negara?' yang menjadi pokok persoalan petisyen anti-Anwar dan pro-BN yang satu lagi di laman web White House itu.

Ya, kalau-kalau anda tak sedar, ada dua petisyen: Petisyen pro-Anwar dimulakan oleh bekas Duta Besar Amerika John Malott; manakala petisyen yang satu lagi itu entah kutu pro-BN mana lah yang bikin.

Dan ada semacam satu perlumbaan antara kedua-dua kempen memungut tandatangan ini, kerana kedua-duanya perlu melepasi takat 100,000 tandatangan untuk diambil serius oleh pihak White House.

Malangnya, kutu-kutu yang bikin petisyen pro-BN sudah cuba memintas sistem dan menambah bilangan tandatangan secara salah.

Ini disedari pengurus sistem tersebut di White House yang memantau perlumbaan antara dua petisyen ini yang merupakan antara beberapa petisyen mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat melalui laman Facebooknya.

Maka menyedari semacam ada yang tidak kena dengan tandatangan tersebut, mereka telah membuang kedua-dua petisyen sekali dalam rangka menyiasat dan menyaring tandatangan palsu yang telah digunakan oleh kutu-kutu BN bagi merancakkan petisyen mereka.

Ketika portal The Rakyat Post melaporkan bahawa bilangan tandatangan di petisyen pro-BN itu telah memintas petisyen pro-Anwar, bilangan tandatangan di petisyen pro-BN telah mencecah lebih 60 ribu.

Tiba-tiba, hari ini, selepas Kedutaan Amerika memaklumkan bahawa pihak White House telah menyaring kesemua tandatangan palsu, petisyen pro-BN itu hanya mempunyai sekitar 12 ribu tandatangan sahaja.

Pada masa yang sama, petisyen pro-Anwar telah kembali beroperasi dengan tiada langsung pengurangan bilangan tandatangan, kerana tidak wujud sebarang pemalsuan. Malah, ia berjaya pula mencecah takat 100,000 tandatangan tiga jam selepas ia kembali beroperasi pada tengah malam semalam.

Juak-juak dan kutu-kutu Umno/BN jenuh meroyan tiga suku nyawa menuduh kononnya Red Bean Army digunakan untuk menambah bilangan tandatangan petisyen pro-Anwar, maka sebab itu ia dibuang oleh White House.

Penyudahnya, petisyen dia sendiri yang dibuktikan penuh dengan tandatangan palsu, dan kini dia hanya ada sekitar 12 ribu tandatangan. Malu jenis ini, nak sorok muka di mana? Memang kalau bukan kerjanya menipu, memutarbelit dan menyalahguna, bukan BN lah namanya.

Ini juga menimbulkan persoalan kepada demikian banyak lagi petisyen dan pungutan suara oleh pihak BN yang dibuat secara menipu begini.

Begini jugakah mereka mewujudkan pengundi-pengundi hantu, dengan membawa masuk warga asing di Sabah dan diberikan kerakyatan? Dengan cara musllihat begini jugakah BN menipu kita dengan angka dan bilangan sokongan mereka yang kononnya ramai?

Terbukti dalam pilihanraya lalu, meski mendapat hanya 47% undi popular mereka masih kekal sebagai kerajaan.

Dan kini pula mereka sanggup menipu tandatangan, hanya untuk menunjukkan kononnya orang ramai sudah tidak percaya dan tidak lagi menuntut keadilan buat Anwar.

Cukuplah dengan menipu makcik-pakcik di Felda yang hanya tengok televisyen kerajaan dan baca surat khabar milik Umno. Takkan sistem White House pun kau nak kelentong? – Roketkini.com


Tabah dan sabarnya keluarga Anwar

Posted: 11 Mar 2015 07:01 AM PDT




Oleh ABD SHUKUR HARUN


TOKOH penting tanah air – Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih terus diingati, sementara DS Anwar Ibrahim yang kini merengkuk dalam penjara akan juga terus diingati.

Diingati bukan semata-mata kerana nama besar mereka, tetapi juga terutamanya kerana usaha mereka menjadi besar.

Mereka berjuang untuk menegakkan Islam yang di dalamnya juga merangkumi perjuangan menegakkan keadilan. Untuk itu, saya teringat kata-kata Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor bahawa, "Apabila kita bersama memperjuangkan kebenaran dan keadilan maka itu bermakna kita sudah menang".

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dikenang sebagai pelaksana politik Islam dengan konsep 'Muwajahah Silmiyah' – politik cara damai - sementara Allahyarham Ustaz Fadzil juga berjuang atas konsep yang sama, di samping mencetuskan idea membina jambatan antara PAS dengan parti lain menerusi Tahaluf Siasi.

Sementara itu, DS Anwar Ibrahim berjuang menentang kezaliman untuk menegakkan kezaliman di lapangan sejak zaman remajanya lagi. Beliau telah membayar dengan mahalnya harga perjuangan ini dengan merengkuk di dalam penjara Sungai Buloh.

Sebab itu ketiga-tiga tokoh ini akan terus diingati walaupun Allahyarham Ustaz Fadzil dan Tuan Guru Nik Abd Aziz telah mengadap Ilahi, sementara DS Anwar Ibrahim di dalam penjara.

Demikianlah kehidupan dan perjuangan dan inilah yang menentukan seseorang itu sama ada memberi manfaat kepada orang lain, atau sebaliknya.

Tiga tokoh yang saya sebutkan tadi ternyata iaitu kehidupan dan perjuangan mereka telah memberi manfaat kepada orang lain dan inilah yang dituntut oleh Islam kepada umatnya. Di sinilah terletak kehebatan perjuangan tiga tokoh pemimpin itu, justeru mereka telah memberi manfaat kepada orang lain.

Tepatlah juga apa yang disebut oleh okoh pejuang hak asasi terkenal, terkenal, Nelson Mandela: "Real leaders must be ready to sacrifice all for the freedom of their people."

Sementara itu, saya dengan penuh simpati dapat merasakan duka nestapa isteri DS Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-nya dalam menghadapi situasi yang sedemikian rupa.

Kita kagum dengan ketabahan dan kesabaran Wan Azizah dan anak-anaknya, justeru sebagai insan biasa, bukan mudah menghadapi situasi yang begini. Tetapi seperti kata Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, "Kezaliman itu ada, tetapi tidak akan kekal. Lambat atau tidak ia akan berakhir juga".

Menurut hemat saya, keluarga Anwar ini adalah keluarga luar biasa, kerana berdepan dengan cabaran berat yang sedmikian rupa, tetapi masih sabar dan tabah.

Bayangkan bagaimana keluarga ini menghadapi situasi seberat ini, berpisah lagi bertahun-tahun antara anak-anak dan ayah, antara isteri dan suami. Tetapi itulah harga perjuangan yang telah mereka bayar dengan mahalnya. Namun perlu diingaat bahawa perjuangan itu tidak pernah sia-sia.

Kali terakhir saya bertemu DS Anwar - beberapa hari sebelum beliau dijatuhkan hukuman penjara - ketika saya menghadiri Pesta Buku Selangor di Shah Alam.

Saya makan semeja dengannya dan kelihatan beliau tenang saja. Saya bertanya kepadanya,
"Bagaimana menghadapi keadaan ini." Beliau menjawan dengan suara bergetar, "Setakat ini saya diberikan kekuatan oleh Allah untuk tabah dan sabar. Insya-Allah. Doakanlah."

Kini ternyata walaupun DS Anwar merengkuk dalam penjara kali kedua, rakyat yang mengerti akan nilai perjuangannya untuk menentang kezaliman dan menuntut kezaliman. Himpunan rakyat di ibu negara minggu lalu, malah di luar negara membuktikan hal ini.

"Saya akan bawa mesej rakyat yang berkumpul hari ini kepada Anwar di penjara," kata Datuk Seri Wan Azizah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata dengan berkumpulnya rakyat untuk menuntut kebebasan DS Seri Anwar, ia menunjukkan rakyat belum lupa lagi kepada Anwar.

"Orang tidak lupa Anwar. Hari ini kita lihat lautan manusia menentang kezaliman," katanya kepada penyokong Anwar yang berkumpul di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Seramai 10,000 penyokong Anwar berkumpul di hadapan Kompleks Sogo menyokong desakan supaya Anwar dibebaskan.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata perjuangan oleh penyokong Anwar bukan untuk Anwar saja tetapi untuk rakyat menentang kezaliman.

"Kita akan terus menentang kezaliman dan seperti kata Anwar sebelum masuk penjara, "We Never Surrender"," ujarnya.

Nurul Izzah berkata, ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah perlu diberikan ruang yang selesa selepas mengharungi perjuangan reformasi sejak 17 tahun lalu.

Di sini, nampaknya, isteri dan anak-anak Anwar berpadu bersama rakyat prihatin untuk meneruskan perjuangan tokoh ini.

"Sudah 17 tahun Dr Wan Azizah mengharungi perjuangan ini," kata Nurul Izzah lagi dan menyambung, "Adik-adik kami sudah dewasa. Kalau Nurul Hana pada 1998 hanya 6 tahun, tetapi sekarang dapat membantu dengan lebih aktif."

Sementara itu, seorang lagi anak Anwar mengumumkan pelancaran satu inisiatif kebangkitan bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang dipanggil "March to Freedom".

Nurul Nuha berkata, kempen itu ialah kesinambungan perjuangan untuk membebaskan Anwar dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli akan menjadi ketua sekretariat kempen "March to Freedom" itu. Perincian tentangnya akan diumumkan kemudian setelah sekretariat itu dibentuk.

"Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan serta penyokong di dalam dan luar negara," kata beliau.

Naampaknya rakyat prihatin turut berjuang untuk menentang kezaliman, kalau tidak jadilah seperti apa yang dikatakan oleh Napoleon Bonaparte: "The worls suffer a lot. Not because of the violonce of bad pepople, but because of the silence of good peope."

Tidak ada manusia – sama ada yang berkuasa atau yang tidak berkuasa - yang tahu akan masa depannya, justeru semuanya dalam ketentuan Allah s.w.t. dan semua insan akan kembali kepada-Nya

Kes pukul: Isteri Awie beri keterangan esok

Posted: 11 Mar 2015 06:55 AM PDT

SINAR HARIAN


Awie Awie
ISTERI penyanyi rock Awie, Rozana Misbun akan memberi keterangan di Mahkamah Majistret esok pada perbicaraan kes suaminya yang didakwa mencederakannya.
  
Selepas prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene memberitahu media bahawa pihak pendakwaan akan memanggil dua orang saksi untuk memberi keterangan esok termasuk Rozana.

Rozana yang berkemeja putih dan berseluar hitam hadir di mahkamah hari ini.
  
Pada 4 Julai tahun lepas, Awie, 47, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana, 37, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.
  
Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
  
Terdahulu saksi ketiga, Sarjan Nasir Mohamad, 54, dari bahagian pentadbiran jabatan audio dan video makmal forensik Polis Diraja Malaysia dalam keterangannya berkata bahawa beliau menerima satu sampul surat yang mengandungi sebuah telefon bimbit untuk dianalisis pada 9 September tahun lepas.
 
"Saya memeriksa telefon tersebut dan mendapati terdapat satu 'simcard' dan satu kad memori jenama Transcend.

  
"Saya kemudiannya mencatatkan butiran barang itu di borang akuan terima barang kes bagi memastikan barang kes yang akan diserahkan kepada juruanalisis berdasarkan apa yang tertulis di borang itu," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Ai Rene.
  
Nasir berkata, pada hari sama, beliau menyerahkan barang kes yang diletakkan di dalam sampul surat plastik bertutup itu kepada Inspektor Latifah Abdul Aziz, 34, yang bertugas sebagai juruanalisis imej alat elektronik di makmal forensik yang sama.          

Semasa disoal balas peguam Hazman Harun yang mewakili Awie, Nasir menafikan mengetahui keputusan analisis ke atas telefon bimbit itu kerana ia hanya diketahui oleh Latifah.   

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Ayuni Izzaty Sulaiman bersambung esok. - Bernama


Coklat Cadbury tertera gambar babi?

Posted: 11 Mar 2015 06:51 AM PDT


Coklat Cadbury tertera gambar babi? Coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang didakwa tertera gambar babi.
 
 
 
SHAH ALAM - Cadbury Malaysia hari ini menafikan bahawa coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang tertera gambar babi adalah keluarannya.
 
Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran berkata, produk tersebut adalah produk import dan bukan dihasilkan di Malaysia.
 
"Produk ini diimport pihak ketiga yang bebas mengimport mana-mana produk keluaran luar negara. 
 
"Pengimportan atau pembelian mana-mana coklat keluaran Cadbury oleh pihak ketiga adalah di luar kawalan pihak Cadbury Malaysia dan kami tidak mempunyai hak untuk menyekat mahupun mengawal mana-mana pihak yang ingin membeli dan menjual produk-produk tersebut.
 
"Sekiranya pengguna ingin maklumat lanjut tentang produk tersebut sila hubungi pihak penjual," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Jelas Zalina coklat Cadbury keluaran Malaysia adalah dijamin halal oleh itu beliau menasihati pengguna agar hanya memilih coklat Cadbury keluaran Malaysia bagi mengelak berlakunya sebarang pembelian yang mengelirukan.
 
"Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk berkenaan. 
 
"Jadi nasihat kami, pengguna harus memilih Coklat Cadbury keluaran Malaysia," jelasnya.
 
Terdahulu, seorang pengguna telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya di media sosial apabila, terbeli coklat Cadbury bergambar babi baru-baru ini.
 
 

Tweet KPN bukan ada motif politik

Posted: 11 Mar 2015 06:46 AM PDT

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
 
 
 
KUALA LUMPUR - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan melalui akaun Twitternya bukan bertujuan menakutkan pihak tertentu atau bermotifkan politik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap profesional, tidak memihak dan sentiasa mengekalkan undang-undang serta ketenteraman awam, mencegah dan mengesan penjenayah dengan pendekatan tanpa gentar atau pilih kasih.

"Sehubungan itu PDRM memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan yang diambil melalui Twitter dengan mengambil kira perkara-perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan orang awam dan kejayaan dicapai oleh PDRM," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) mengenai kesesuaian tindakan Ketua Polis Negara menggunakan Twitter untuk mengeluarkan arahan bagi mengambil tindakan menahan individu.

Ahmad Zahid berkata, hebahan sebegitu tidak menyalahi sebarang undang-undang serta peraturan yang sedia ada dan mudah serta cepat disebarkan kepada masyarakat umum.

Beliau berkata, PDRM memandang serius kerana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan telah menggunakan media sosial untuk mempengaruhi atau menghasut pihak ketiga sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Justeru itu, semua pihak perlu menitikberatkan langkah pengawalan dan waspada bagi mengelak tercetusnya sentimen perkauman dan keagamaan," katanya. - Bernama

Ketua Audit Negara mesti lebih cergas, segera siasat 1MDB

Posted: 11 Mar 2015 06:35 AM PDT



Oleh LIM KIT SIANG 


Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mesti lebih cergas menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, kerana enam hari tanpa sebarang usaha menyiasat skandal RM42 bilion 1MDB adalah satu kelalaian tugas yang amat berat.

Rakyat Malaysia ingin mengetahui sebab kenapa Ketua Audit Negara tidak segera bertindak menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan beliau hari Rabu lalu untuk memeriksa kira-kira 1MDB secara bebas.

Rakyat Malaysia masih ingat akan alasan-alasan lemah dan tidak boleh diterima yang diberikan Ambrin November lalu tentang kenapa beliau tidak mengaudit akaun 1MDB.

Dalam satu sidang media pada 12 November 2014, bersempena penerbitan laporan audit siri ketiga, Ambrin berkata bahawa akaun 1MDB telah diaudit oleh salah satu daripada empat firma audit terbesar, maka tidak ada sebab untuk pihak memeriksa kira-kira 1MDB memandangkan kerja tersebut jenuh kerana melibatkan pemeriksaan dokumen dan sebagainya.

("My answer is as far as their accounts are concerned, it has already been audited by one of the big four (audit firms), so there is no reason why we should ask them to open up their books because auditing financial statements is very laborious (with) examination of documents and things like that.")

Ambrin dikritik hebat kerana telah menuding jari ke arah The Big Four, dan diberitahu bahawa sekiranya juruaudit tidak boleh berbuat salah, tidak akan wujud skandal kewangan di dunia ini.

Sebagai Ketua Audit Negara, Ambrin juga dimalukan apabila diperingatkan bahawa banyak skandal kewangan terjadi walaupun menggunakan khidmat firma audit terkemuka, seperti:
*Enron yang diaudit oleh Andersen;

*BBMB diaudit oleh Touche Ross (yang kemudiannya diambil oleh Deloitte, yang kini merupakan juruaudit 1MDB), dan Deloitte juga merupakan juruaudit dalam skandal Transmile;

*Lehman Brothers, anak emas bank pelaburan yang jatuh bankrap pada 2008 walaupun diaudit oleh salah satu daripada The Big Four, Ernst & Young

Malah sebenarnya 1MDB telah melalui tiga daripada empat firma The Big Four dalam tempoh lima tahun – mulanya Ernst & Young, yang berhenti tanpa meluluskan walau satu pun set akaun, kemudian diikuti KPMG yang berhenti lewat 2013 tanpa meluluskan sebarang akaun, dan kini Deloitte.

Adakah sebab-sebab pemberhentian dua daripada empat firma The Big Four yang menjadi juruaudit 1MDB dijelaskan kepada Kabinet Rabu lalu, yang menyebabkan Kabinet begitu yakin bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesilapan?

Ternyata tidak, kerana jika sebaliknya pastilah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan pada Jumaat malam, dan menumpukan secara spesifik bahawa "beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada syarikat pelaburan dana strategik itu adalah berkait transaksi yang dibuat sejak 2009, yang tidak dimasukkan ke dalam akaun 2013 seperti yang diaudit oleh Deloitte".

Ini pasti merupakan tugasan paling mencabar buat Ambrin sebagai Ketua Audit Negara kerana beliau secara hakikatnya akan mengaudit Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, dan bukan setakat 1.4 juta penjawat awam dalam siri laporan auditnya sehingga sekarang, dan dalam proses tersebut menentukan masa depan Perdana Menteri keenam Malaysia!

Ini juga adalah satu sebab kenapa Najib mesti segera melepaskan portfolionya sebagai Menteri Kewangan, bagi mengurangkan komplikasi percanggahan kepentingan dalam skandal 1MDB.

Tetapi ini bukan alasan untuk kegagalan Ambrin bertindak pantas mengaudit akaun 1MDB dalam tempoh enam hari lalu, serta kegagalannya untuk menyatakan ruang lingkup dan terma rujukan siasatan audit 1MDB serta jangkawaktu baginya melengkapkan audit tersebut.

Atau adakah tiadanya tindakan dari Ambrin sepanjang enam hari lalu adalah kerana tidak ada arahan bertulis daripada Perdana Menteri walaupun pejabatnya telah mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada hari Rabu bahawa 'sebagai langkah lanjutan, Perdana Menteri telah memaklumkan Kabinet bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk memeriksa kira-kira 1MDB secara bebas'.

Daripada kenyataan PMO itu, Ketua Audit seharusnya sudah menerima arahan bertulis daripada Perdana Menteri sebelum mesyuarat Kabinet Rabu lalu untuk menyemak akaun 1MDB, kecualilah jika PMO tidak memberitahu perkara sebenar!

Atau adakah kita sedang melihat semula apa yang terjadi dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja pendatang asing di Sabah (RCIIIS), di mana telah diumumkan sebuah Jawatankuasa Kerja akan menyusul laporan yang telah dikemukakan, tetapi Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang diumumkan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCIIIS, tidak pun mendapat surat lantikannya sehinggalah dua bulan kemudian.

Adakah Ambrin akan terpaksa menunggu dua bulan lagi sebelum mendapat arahan daripada Perdana Menteri untuk memeriksa kira-kira 1MDB?

Malah, soalan yang patut ditanya ialah sama ada Ambrin harus menunggu arahan Najib untuk mengaudit akaun 1MDB?

Jawapannya pastilah tidak. Ketua Audit Negara tidak perlu berlengah dan harus segera bertindak mengaudit akaun 1MDB, tidak kiralah beliau mendapat arahan Perdana Menteri atau sebaliknya.
Sama juga halnya dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Adakah pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamad akan mendengar cakap Perdana Menteri yang mahu PAC menantikan laporan audit 1MDB oleh Ketua Audit Negara, atau menurut cakap Timbalan Perdana Menteri yang mahu PAC memeriksa kira-kira 1MDB dengan segera?

Nur Jazlan dan PAC tidak perlu mendengar cakap Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana
Menteri, tetapi seharusnya dipandu arah oleh mandat parlimen dan tanggungjawab yang digariskan oleh Peraturan Dewan Rakyat 77(1)(a) untuk melaksanakan siasatan terhadap akaun Persekutuan dan pembahagian dana seperti yang diluluskan Parlimen bagi perbelanjaan awam("the accounts of the Federation and the appropriation of the sums granted by Parliament to meet the public expenditure") ; 77(1)(b) akaun pihak berkuasa awam dan badan-badan lain yang menguruskan dana awam seperti yang dibentangkan kepada Dewan ("such accounts of public authorities and other bodies administering public funds as may be laid before the House") dan 77(1)(d) hal-hal lain yang dirasakan sesuai oleh Jawatankusa, atau yang dirujuk kepada Jawatankuasa oleh Dewan ("such other matters as the Committee may think fit, or which may be referred to the Committee by the House".)

Jelas sekali bahawa PAC mempunyai kuasa penuh di bawah Peraturan 77 untuk memeriksa akaun 1MDB sekiranya ia rasakan sesuai – i.e. sekiranya ahli-ahli PAS dari Umno, MCA dan Gerakan bersedia meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan parti, dan bersetuju dengan lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam PAC untuk melancarkan siasatan segera ke atas akaun 1MDB!

Tetapi adakah ahli-ahli PAC dari Umno, MCA dan Gerakan bersedia untuk mendahulukan kepentingan negara dalam memutuskan supaya PAC segera menyiasat akaun 1MDB? – Roketkini.com

Berbohong di Dewan Rakyat, Shahidan Kassim digesa pohon maaf

Posted: 11 Mar 2015 06:31 AM PDT

nga kor ming 2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim digesa memohon maaf kerana berbohong dalam Dewan Rakyat.

Dalam perbahasan Parlimen hari ini, Shahidan mengatakan isu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri yang jelas menghasut perkauman sudah selesai dan sudah ditutup kesnya.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menyanggah kenyataan Shahidan dan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu pembohongan terbuka dan menghina kemuliaan Parlimen.

"Saya terkejut Shahidan boleh bohong secara terbuka kepada Parlimen. Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Beliau cuba mengelirukan sidang Dewan Rakyat dan cuba memesongkan fakta. Bagaimana seorang menteri boleh berbohong sebegitu rupa?" soal beliau.

Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping memberitahu kepada sidang media di lobi Parlimen bahawa isu Ismail Sabri masih lagi dalam siasatan polis berikutan 32 laporan terhadap menteri itu telah dibuat di seluruh negara.

Bahkan, menurut beliau Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi sendiri menjamin siasatan akan dijalankan dan rujukan juga dibuat kepada Pejabat Peguam Negara mengenai isu Ismail Sabri.

"Jelas ada percanggahan fakta antara Kementerian Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," kata Nga.

Justeru itu, Nga bersama-sama Ahli Parlimen Bruas Ngeh Koo Ham serta Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad mendesak Shahidan memohon maaf secara terbuka.

"Shahidan harus minta maaf secara terbuka kepada Parlimen atas keterlanjuran berbohong dan kelirukan dewan.

"Pembohongan ini tidak boleh diterima daripada seorang menteri kerajaan," tegasnya lagi.

Ismail Sabri sebelum ini telah menjadi tajuk berita utama pelbagai media kerana keculaparannya menyeru orang Melayu memboikot perniagaan Cina di samping memfitnah keluarga Ngeh Koo Ham sebagai anti-Islam.

Beliau juga bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan apabila mengatakan orang Cina ambil kesempatan untuk menindas orang Melayu di Malaysia. – Roketkini.com


Isu Paul Phua: Shahidan Kassim tak faham soalan, tanya lain jawab lain

Posted: 11 Mar 2015 06:29 AM PDT

SUFI4356

Roketkini.com
 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyelar jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung isu Paul Phua Wei Seng yang bukan saja mengelirukan malah langsung tidak menjawab soalan.

"Dalam pertanyaan lisan Dewan Rakyat semalam, saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menyatakan berapa kalikah Phua terlibat dalam projek yang membabitkan keselamatan negara.

"Tapi yang jawapan saya terima dari Shahidan (mewakili Jabatan Perdana Menteri) adalah kerajaan tidak bercadang untuk mendedahkan sebarang maklumat yang berkaitan Phua dalam urusan keselamatan kerana ia adalah rahsia besar dan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Shahidan ni faham soalan atau tidak? Mengapa soalan saya ditolak? Saya tanya berapa kalikah Phua terlibat dalam projek keselamatan negara dan bukannya maklumat tentang urusan keselamatan negara," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Phua yang berasal dari Sarawak baru-baru ini telah ditahan oleh Federal Bureau of Investigation (FBI) kerana terlibat dengan perjudian haram di Caesar's Palace Hotel Las Vegas.

Beliau sebelum ini pernah ditahan dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

Namun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas itu membuat satu tindakan yang amat memeranjatkan apabila beliau menulis surat kepada FBI untuk mempertahankan integriti Phua.

Dalam suratnya kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano itu, Zahid juga menafikan bahawa Phua ialah ahli kongsi gelap 14K dan memohon agar beliau dibenarkan pulang ke Malaysia.

Zahid turut mendakwa bahawa Phua telah beberapa kali membantu Kerajaan Persekutuan dalam projek berkaitan keselamatan negara. -Roketkini.com


DAP undang CEO 1MDB Arul Kanda jadi panel forum awam

Posted: 11 Mar 2015 06:24 AM PDT

arul_1mdb

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP mengundang Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kandasamy untuk menjadi salah seorang panelis forum awam berkait skandal RM42 bilion hutang syarikat itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, forum tersebut dicadangkan sebagai respon terhadap kenyataan Arul sebelum ini yang mahu bekerjasama dalam memajukan 1MDB.

"Arul kata mahu bekerjasama. Ia satu usaha yang baik. Ini adalah peluang kepadanya untuk laksanakan apa yang dikatakannya ketika mengalu-alukan 'penelitian awam'.

"(Jika benar) beliau tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, ini peluang beliau.

"Dalam forum itu, Arul akan diberi sebanyak mana masa yang dia mahu, untuk jelaskan apa sebenarnya yang berlaku dalam pengurusan 1MDB," kata Tony.

Forum "1MDB: Berakhirnya Sebuah Kejatuhan" akan diadakan di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya, itu akan dihadiri Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Tony sendiri.

Menurut Tony, ia dianjurkan khusus untuk membincangkan skandal dan konspirasi terbesar syarikat milik Kementerian Kewangan itu..

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah, forum yang dijadualkan 15 Mac itu nanti akan memberikan ruang besar kepada Arul.

Selain Arul, Tony juga secara terbuka mengajak bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Sharol Halimi untuk turut serta dalam forum tersebut.

"Mereka berdua adalah orang utama dalam isu 1MDB, kita undang secara terbuka kepada mereka untuk bincang dalam satu forum.

"Kita harap mereka dapat datang, kerana Arul berkata penelitian awam akan memperkuatkan 1MDB dan pentadbirannya," ujar Tony lagi.

1MDB sebelum ini menjadi kontroversi hangat apabila media tempatan dan antarabangsa bertalu-talu mendedahkan skandal demi skandal mengaitkan keterlibatan keluarga Perdana Menteri Najib Tun Razak, taikun muda Taek Jho Low yang dikenali "Paus Parti", dan juga Pejabat Perdana Menteri. – Roketkini.com


Emma sedia terima lamaran Zizan

Posted: 10 Mar 2015 10:43 PM PDT


Zizan Razak dan Emma Maembong
 
 
 
"SIAPALAH saya untuk hukum dia lama-lama. Sebelum ini pun saya tidak pernah beri sebarang kenyataan yang memang tidak ada ruang langsung atau pintu hati saya tertutup buat dia," jelas aktres Emma Maembong mengenai kisah cintanya dengan pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak.

Sebelum ini, nama pasangan popular ini sering menjadi tumpuan lantaran kisah cintanya yang sering dilanda kontroversi.

Mengulas lebih lanjut, pelakon Hantu Wefie itu bagaimanapun mengakui tidak serik bercinta lagi, tetapi menyerahkannya kepada takdir ALLAH.

"Kalau ada jodoh pada masa hadapan dan pada masa sama dia mengajak saya berkahwin, maka saya akan terima. Tak payah bercinta lama-lama.

"Tapi buat sementara waktu biarlah dulu perkara ini berlalu lagi pun saya kini tak mahu menaruh harapan padanya," katanya ketika ditemui pada Sesi Tayangan Eksklusif Episod Akhir Suamiku Encik Sotong di The Strand Mall, Kota Damansara, kelmarin.

Pada masa sama, Emma memberitahu, apa yang berlaku tidak menjadi halangan buat dirinya menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya dan Zizan masih lagi berhubung dan saya tak pernah cakap kami bermusuh disebabkan perkara ini.


"Sekarang masing-masing sibuk fokus dengan karier seni. Apa pun yang berlaku, kehidupan mesti diteruskan," ulasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Emma memberitahu, dia baharu tamat menjalani penggambaran drama bersiri Isteri Separuh Masa arahan Micheal Ang yang bakal bersiaran mulai 16 Mac ini.


Nik Abduh sokong Ahmad Fathan

Posted: 10 Mar 2015 10:41 PM PDT


Nik Abduh sokong Ahmad Fathan Nik Abduh (tengah) ketika berbincang sesuatu dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah (kanan) dengan Setiausaha Pas Negeri, Zulkifli Mamat.
 
 
 
KOTA BHARU – Walaupun calon PRK Dun Chempaka bukan terdiri daripada keluarganya, namun Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tetap memberi sepenuh sokongan kepada Ahmad Fathan Mahmood sebagai calon bagi PRK Dun Chempaka kali ini.

Menurutnya, pemilihan tersebut adalah yang terbaik bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat Dun tersebut yang digalas arwah bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau ditanya mengenai pencalonan Ahmad Fathan yang dikatakan bukan dari keluarganya, Nik Mohamad Abduh berkata, itu bukan satu isu memandangkan ramai pemimpin yang layak dan telah dipilih oleh kepimpinan tertinggi Pas.

"Pada saya Dun ini yang layak, malah Ustaz Fathan pun terdiri daripada kepimpinan parti di Pengkalan Chepa, malah saya sokong hingga dua ratus peratus," katanya kepada media di pusat penamaan calon di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, semalam.

Menurutnya, beliau dan arwah Tok Guru tidak pernah meletakkan sesebuah tempat itu sebagai kawasan kepimpinan tradisi keluarga, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi untuk menentukan di mana dan siapa yang layak menjadi pemimpin di sesebuah tempat.

"Sebab itu bila saya ke Pasir Mas pun perkara biasa bagi parti, semuanya kepimpinan yang tentukan, itu tradisi yang lebih terbuka, kalau main isu keluarga ini ia akan jadi tertutup, dan itu bukan ajaran agama," katanya.


Petisyen kepada Obama capai sasaran

Posted: 10 Mar 2015 10:30 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Petisyen pada White House menggesa pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, muncul semula di talian sejurus sebelum tengah malam, dan berjaya mencapai sasaran mengutip 100,000 tandatangan awal pagi ini 
 
Sehingga jam 8 pagi ini, jumlah tandatangan yang diperolehi untuk petisyen tersebut ialah 106,419 - sehari menjelang tarikh akhir pada 12 Mac.
 
Petisyen Pro-Anwar itu diusahakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott, dikeluar dari lamanweb White House semalam kerana "melanggar terma peserta".
 
Ia telah digantung selama 14 jam ketika ia memerlukan kira-kira 4,000 lagi tandatangan untuk mencapai sasarannya.
 
Tarikh akhir bagi petisyen itu adalah esok, 12 Mac. Ia memerlukan 100,000 tandatangan untuk mewajarkan tindak balas daripada Presiden Amerika Syarikat.
 
Petisyen itu telah dilancarkan pada 10 Februari - hari Anwar dijatuhkan hukuman lima tahun penjara selepas disabitkan dengan tuduhan kes liwat.
 
Malott memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak menerima sebarang pemberitahuan dari Rumah Putih mengenai penggantungan petisyennya.
 
Manakala petisyen balas yang menggesa pentadbiran Obama supaya tidak campur tangan dalam badan kehakiman Malaysia telah digantung awal pagi ini oleh laman web White House.
 
Malott berkata beliau tidak meminta petisyen itu diturunkan.
 
 

Projek Phua dengan kerajaan 'rahsia besar'

Posted: 10 Mar 2015 10:22 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan tidak akan mendedahkan projek-projek keselamatan Malaysia yang dikendalikan oleh raja judi Paul Phua Wei Sang, kini ditahan di Amerika Syarikat, kata Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam jawapan bertulisnya di Parlimen, menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sebarang maklumat mengenai perkara tersebut dikelaskan sebagai "rahsia besar" bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).


Haron Din dilantik mursyidul am PAS

Posted: 10 Mar 2015 10:20 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Majlis Syura PAS melantik Dr Haron Din sebagai musyidul am yang baru menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia bulan lalu.

Perkara tersebut diumumkan oleh penolong setiausaha agung PAS, lapor Bernama.


'Kerajaan suntik RM900 juta lagi buat 1MDB'

Posted: 10 Mar 2015 10:17 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan menyuntik dana RM900 juta kepada syarikat yang dilanda kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa pengetahuan umum, dakwa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

MP Pandan Rafizi Ramli mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu ketua-ketua Umno dalam satu pertemuan tertutup, Ahad lalu, yang kerajaan bercadang menyuntik sekurang-kurangnya RM900 juta ke dalam 1MDB bagi memperbaiki aliran tunainya.

Sementara MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa laporan Singapore Business Times pagi ini menyatakan yang kerajaan Malaysia memberikan pinjaman sebanyak USD373 juta kepada 1MDB sewaktu badan pengurusan dana itu dilanda kontroversi.


Emas lebih murah di Lebuh Penang

Posted: 10 Mar 2015 10:07 PM PDT



Emas lebih murah di Lebuh Penang Sebuah kedai yang menjual emas di Lebuh Campbell.



GEORGETOWN - Emas 916 dijual dengan harga berlainan di kedai emas di Pulau Pinang iaitu antara RM135 hingga RM170 segram, namun tinjauan Sinar Harian mendapati emas paling murah boleh didapati di kedai sepanjang Lebuh Penang.

Seorang pengusaha kedai emas di Lebuh Penang yang ditemui, Yuva Balan Sivasamy, 59, berkata, kualiti emas 916 adalah sama dijual di mana-mana kedai emas di Pulau Pinang kerana pengilangnya juga adalah sama.

Begitu pun, apa yang berbeza adalah margin keuntungan yang ditetapkan setiap peniaga.

Dia yang mengusahakan VKN Jewellers & MD Sdn Bhd, berkata walaupun keuntungan minimum diperoleh, pihaknya memberi keutamaan kepada kepuasan pelanggan.

"Inilah antara strategi perniagaan yang digunakan selama lebih 20 tahun bagi menarik pelanggan yang tetap untuk sepanjang masa walaupun harga emas turun atau naik.

"Bagi kaum India, nilai emas dilihat dari aspek kebudayaan dan keagamaan. Apa sahaja festival atau perayaan, emas adalah barangan keperluan untuk dibeli. Permintaan sepanjang masa membuatkan peniaga emas di Lebuh Penang tiada keperluan untuk menjual barangan kemas pada harga tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Emas murah di Kuala Pilah ]

Ketika ditanya sama ada kadar upah boleh mempengaruhi harga emas, Yuva Balan berkata, peniaga tidak boleh mengenakan kadar upah sewenang-wenang ataupun lebih 50 peratus daripada harga emas yang dijual untuk barangan kemas direka dalam bentuk yang biasa.

"Kadar upah bergantung kepada reka bentuk barangan kemas dan berat emas yang dibeli tetapi kos upah tidak akan melebihi 50 peratus daripada harga emas kecuali ia adalah barangan kemas yang mempunyai reka bentuk eksklusif," katanya.

Katanya, harga emas secara purata untuk tempoh dua tahun ini memang dijual pada harga murah berbanding sebelumnya.

"Sebagai peniaga, emas yang dibeli pada harga tinggi dahulu terpaksa dijual pada harga pasaran, namun dengan pelanggan sepanjang masa, kos itu dapat diatasi," katanya.


Bendahari Pemuda Pas dipanggil polis

Posted: 10 Mar 2015 10:03 PM PDT


Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
 
 
 
SHAH ALAM – Belum selesai isu pemimpin PKR dipanggil pihak berkuasa berikutan isu Himpunan #kitalawan, kali ini Bendahari Pemuda Pas, Fakhrulrazi Mokhtar pula dilaporkan ditahan pihak berkuasa.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, Fakhrulrazi akan dipanggil ke Balai Polis Dang Wangi untuk diambil keterangan berkenaan himpunan yang diadakan pada Sabtu lepas.

"Polis telah memanggil Ustaz Fakhrulrazi datang ke balai kerana isu himpunan #kitalawan. Hari ini dia akan ke balai pada jam 11.30 pagi.

"Dan kemungkinan akan ditahan seperti Nik Nazmi," katanya menerusi aplikasi  Whatsapp.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli ditahan polis selepas membuat laporan isu yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semalam.

Penahanan Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada jam kira-kira 7:30 petang semalam.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifliditahanpada Sabtu lepas, bagi membantu siasatan.


Rumah Kapten Tok Gajah ditembak

Posted: 10 Mar 2015 09:58 PM PDT


Pengajaran berguna Tok Gajah Mohd Razman Roslan
 
 
 
KUANTAN - Rumah Ketua Pasukan Tok Gajah, Mohd Razman Roslan,31, ditembak dalam kjadian kira-kira jam 12.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu cermin belakang kenderaan pelbagai guna(MPV) miliknya pecah di Lorong Kubang Buaya 35, di sini tengah malam tadi.

Ketika itu Razman yang tinggal di Lorong Kubang Buaya 35 dekat sini sedang tidur bersama semua keluarga sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan di luar kediamannya.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tiada kecederaan dilaporkan namun hanya cermin belakang MPV Toyota Vellfire milik pemain berkenaan pecah.

"Kita menerima laporan tengah malam tadi sebelum mengerahkan anggota untuk melakukan siasatan terperinci berkaitan kejadian itu.

"Siasatal awal kemungkinan kemungkinan suspek melepas tembakan lebih daripada satu kali dan kita masih menyiasat motif kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dibimbangi akan menganggu siasatan polis.


Shafee dibayar RM1,000 lawan Anwar

Posted: 10 Mar 2015 09:55 PM PDT


Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
 
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan mendedahkan bayaran untuk mengendalikan kes Liwat II kepada pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya RM1,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, pendedahan itu dibuat setelah beberapa kali isu bayaran itu dibangkitkan di Dewan Rakyat selepas mendapat kebenaran daripada Shafee dan Jabatan Peguam Negara.

"Sudah disebut sebelum ini bahawa nilai itu tidak boleh didedahkan. Tapi boleh didedahkan dengan persetujuan Tan Sri Shafee dan Jabatan Peguam Negara.

"Dengan persetujuan dua-dua pihak, bayaran adalah RM1,000," katanya kepada Dewan Rakyat, hari ini.

Er Teck Hwa (DAP-Bakri), membangkitkan jumlah perbelanjaan yang dibayar kepada Shafee sepanjang kes Liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.


Tiada ulasan: