Jumaat, 6 Mac 2015

.

.


Formula memantapkan Pas menjadi kapal yang kuat

Posted: 06 Mar 2015 01:45 AM PST

KHUTBAH                                                                                                           

Hendaklah saya bercakap secubit saja di hari Jumaat nan mulia ini fasal parti agama Pas yang keadaanya kini agak panas sedikit kini. Wap yang bergelora dalam parti itu bukan sahaja kerana parti itu akan mengadakan pemilihan dalam muktamar pada Jun nanti, tetapi ekoran perkembangan sekitarnya menghangatkan keadaan, dan ada persoalan yang menyimpulkan tebal dalam kepala.

Abdul Hadi menanti sendukan nasi daripada Husam.
Pertembungan penyokong dua pihak dalam parti itu masih berterusan. Ibarat kumpulan kertuk dan rebana, para pemain kedua-dua kumpulan sedang giat memperkemaskan rebana dan kertuk masing-masing. Belira atau lidah kertuk perlu dirisik halus dan licin untuk menghasilkan suara yang mersik dan nyaring memanah kalahkan suara kertuk lawan.

Begitu juga ikatan dan tali taut rebana perlu diterikkan agar belulang tegang dan bila dipalu ia mengeluarkan bunyi gemuruh bergema jauh mengambusi bunyi rebana lawan.

Masing-masing puak sedang berlatih, mengiramakan rebana atau kertuk masing-masing biar ia unik dan pelik untuk menarik hati orang ramai dan pengadil. Acara lobi atau pun perang sarang juga diadakan oleh penyokong kedua-dua puak itu.  Dalam permainan tradisional itu aksi atau pun aktiviti inilah menyegarkan budaya itu yang ada kalanya juga membawa kepada perbalahan sampai bengkak bengkik dan menitiskan darah ke bumi pertiwi.

Demikian suasana dan kegiatan ini tampaknya terbawa-bawa di sekitar Pas, hangat dan satu segi meriah menandakan Pas parti yang besar dan matang.

Ia ditambah hangat dengan beberapa insiden yang berlaku membabitkan ahli dan pemimpin parti agama itu. Kejadian cubaan hendak membakar kereta Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Mohd Hatta Ramli dan juga serangan dan tumbukan ke atas Ahli Jawatankuasa Pas Dr Dzulkifli Ahmad, adalah dua kejadian yang memanaskan keadaan dan dikesali.

Walaupun kejadian itu dinafikan melibatkan ahli Pas, tetapi penafian itu tidak boleh ditolak begitu saja. Dakwaan awal itu hanya sebagai kenyataan politik untuk menjaga maruah parti saja. Siasatan secara terperinci termasuk juga sembahyang hajat mungkin perlu dilakukan untuk mencari pelaku sebenarnya.

Jika diukur kepada sikap agresif ahli-ahli Pas mutakhir ini, kejadian yang menimpa dua ahli Pas itu ia tidak mustahil kalau melibatkan ahli Pas. Kalau ada ahli parti yang sanggup ke Syria untuk menyertai IS, kemudian bangga dengan mati syahid, apa lagi dengan ahli Pas di tanah air dengan aksi-aksi seperti apa yang berlaku itu, ia hanya perkara kecil dan simple sahaja di mana boleh berlaku bila-bila masa saja dan ke atas sesiapa saja.

Namun kita berdoa dan berharap dua insiden menimpa ahli Pas itu bukan angkara ahli Pas. Bagaimana pun dua kejadian lain yang kurang enak didengar dan menyerlahkan sikap tidak bermoral dan profesional jelas membabitkan ahli Pas.

Dua kejadian itu ialah pertengkaran dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas bulan lalu sehingga menyebabkan Hanifa Maidin keluar daripada dewan mesyuarat kerana tidak tahan dengan "serangan" ke atasnya yang cuba hendak memperkatakan sesuatu mengikut haknya sebagai ahli jawatankuasa, tetapi dimarahi. Hanifa dilaporkan ditumbuk belakangnya oleh ahli mesyuarat yang lain.

Satu kejadian lagi ialah penyebaran rakaman suara dikatakan suara Mohamad Sabu yang merancang hendak menjatuhkan presiden parti. Pendedahan tidak bermoral itu telah meletakkan Pas berada dalam satu peperangan media baru yang cukup hebat. Apakah Pas akan berhadapan dengan suasana skandal seperti mana skandal "Water Gate" di Amerika Syarikat dimana puncanya kerana tersebarnya rakaman strategi kempen dilakukan salah seorang calon presiden yang mendedahkan menggunakan wang negara untuk belanja kempennya.

Kedua kejadian itu tidak boleh dinafikan ia melibatkan ahli Pas. Sebab mustahil orang yang menumbuk belakang Hanifa Maidin dalam mesyuarat Jawatankuasa kerja itu mereka adalah ahli IS yang menyusuk masuk ke dalam Pas. Tidak mungkin? Begitu juga yang mengedarkan rakaman dikatakan suara Mohamad Sabu itu, mereka juga ahli Pas, kerana majlis atau ucapan dikatakan suara Mohamad Sabu itu bersama dengan ahli-ahli Pas. Ertinya yang bertindak mengakses dan menyebar dan menumbuk itu adalah ahli Pas.

Keadaan dan situasi itulah menyebabkan Pas menjadi sedikit panas waktu ini. Bagi sesetengah pemerhati menyifatkan Pas sudah dirasuki "gengsterisme". Apa yang berlaku diluar kebiasaan ini dan amalan tradisi parti itu menyebabkan orang terheran dan bertanya-tanya apa yang akan terjadi kepada Pas.

Tetapi sebenarnya ia tidak menghairankan kerana keadaan membentuk mereka jadi demikian. Pendirian, pegangan dan sikap pemimpin Pas juga seperti menghalalkan hal-hal sebegitu berlaku dalam parti mereka. Pas sangat berlembut dengan mereka yang ketara ingin merusakkan parti berkenaan atas nama mempertahankan sesuatu gagasan dan sosok bersifat peribadi. Keadaan ini jelas apabila tidak ada tindakan tegas daripada Pas kepada pelakunya.

Saya percaya keadaan-keadaan sedemikian berlaku kerana timbul rasa kesal dan bimbang daripada setengah ahli Pas yang sayangkan kepada Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas. Mereka takut Abdul Hadi hilang dari kedudukannya sekarang ini. Rasa sayang dan hormat yang tinggi kepada Abdul Hadi menjadikan setengah mereka kurang siuman. Bagi mereka Abdul Hadi adalah naungan mereka dalam Pas, bukannya perjuangan dan perlembagaan parti.

Cakap-cakap dan gesaan oleh sesetengah pihak dan individu agar Abdul Hadi berundur menimbulkan kemarahan dan menghangatkan keadaan . Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa Abdul Hadi bukan presiden Pas seumur hidup.

Jadi untuk mempertahankan Abdul Hadi maka mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk aksi tidak syarie dan melakukan aksi-aksi "babarian" diluar kebiasaan Pas. Semua itu adalah terjemahan yang mereka begitu menyayangi kepada Abdul Hadi. Abdul Hadi tentu merasa bangga dan simpati dengan pendokongnya dimana sekiranya beliau ada keinginan untuk berundur, tetapi dibatalkan kerana asakan dan sokongan itu.

Keadaan yang berlaku dalam Pas tidak baik kepada parti berkenaan. Ia merosakan reputasi Pas sebagai sebuah parti agama yang mempunyai potensi untuk menjadi pengganti kepada Umno. Dengan apa yang berlaku muasir ini orang sudah mempertikaikan akan integriti Pas sebagai parti yang mulia. Jika dibuat sukatan kepercayaan dan harapan daripada kalangan bukan Islam kepada Pas mungkin sokongannya menyusup berbanding sebelum ini, khususnya menjelang pilihan raya 1999 dan 2013.

Justeru Pas harus melakukan sesuatu. Gerak tindakan segera perlu dilakukan. Kesilapan yang berlaku harus diperbetulkan. Semua pihak perlu berkompromi atas maslahat menjaga integriti dan masa depan parti. Dalam hal ini saya ada formula kecil untuk ini, dan saya jamin kalau formula ini berlaku keadaan Pas akan kembali aman dan ia boleh mengembalikan Pas ke tapak sebagai parti yang dihormati oleh semua pihak.

Dalam penelitian dan kajian saya dari segi sosiopolitik Pas berkaitan orang nombor satunya, Abdul Hadi saya tidak kira beliau respons kepada keadaan dan suasana di luar atau dalam Pas kini yang sudah kurang senang dengannya. Lantaran itu beliau sama sekali tidak akan akur, apa lagi ikhlas untuk mengambil sikap gentlemen berundur dari memimpin parti. Abdul Hadi tidak redha dengan keadaan dan berundur baginya sebagai mengakui kalah.

Sekiranya ada mana-mana pihak sedang mengatur rancangan menekan Abdul Hadi dengan harapan dia merasa tertekan kemudian berundur secara suka rela, rancangan itu adalah tidak membawa kejayaan. Spekulasi atau analisis mengatakan Abdul Hadi akan berundur bila ada tekanan salah. Dengan mengenali sifat yang dimilikinya, tekanan menjadikan beliau lebih ghairah untuk melawan. Abdul Hadi adalah besi.

Makanya, jalan lain yang lebih harmoni dan apolegetik perlu diambil. Pihak lain yang tidak senang dengan keberadaan Abdul Hadi disitu harus berkorban dengan tidak meneruskan niat mereka. Tidak ada guna kalau Abdul Hadi diserang, sedangkan dengan serangan itu ia merosakkan parti. Biarlah mereka mengambil jalan "profesional" mengaku kalah daripada menentang Abdul Hadi. Abdul Hadi perlu dikekalkan sebagai presiden Pas. Diulang beliau perlu dikekal sebagai presiden Pas sekiranya semua pihak dalam Pas ingin berkompromi.

Sekiranya kepercayaan masih ada untuk Abdul Hadi terus memimpin Pas, maka Pas perlu menguatkan struktur Pas di peringkat bawahan. Maksudnya Pas kena perkuatkan atau menyediakan seorang timbalan presiden yang boleh dipercayai dan disukai oleh Abdul Hadi dan diterima orang-orangnya yang sebenarnya juga adalah ahli Pas yang bersaudara. Dengan memiliki seorang timbalan boleh bekerja dengannya ia akan menenangkan Abdul Hadi kemudian memperkasakan Pas sebagai sebuah parti tunggak dalam Pakatan seementara Anwar Ibrahim berihat dalam penjara.

Cadangan ini bukan bermakna timbalan sekarang, Mohamad Sabu tidak boleh bekerja dengan Abdul Hadi atau Mohamad Sabu tidak mencapai piawaian yang sepatutnya, tetapi persepsi yang dilontar dan ditepek ke atas timbalan presiden itu sudah merosakan reputasi beliau sebagai timbalan presiden.  Perubahan penjawat itu juga bagi meletakkan semula Pas atas landasan dan parti yang utuh. Antara sosok yang dilihat dapat mengganti tempat Mohamad sebagai gandingan Abdul Hadi ialah Husam Musa.

Sekiranya Pas hendak dibahagikan dua kumpulan, konsevertif dan liberal-profesional (prolib) atau apa sahaja nama pun, dengan meletakkan orang seperti Husam Musa di tempat orang nombor dua dilihat ada kepaduan golongan dalam Pas. Abdul Hadi boleh terus menjadi tunggak golongan konsevertif ulama, manakala Husam mewakili golongan prolib.

Mungkin saya tersalah membuat jangkaan ini. Sebenarnya Abdul Hadi bukan seorang presiden yang babil dan tolol sangat. Beliau masih waras. Tetapi disebabkan beliau melepaskan persekitaran dirinya kepada golongan yang menguasainya dengan matlamat tertentu menjadikan beliau tepu kepada pandangan-pandangan ikhlas selain daripada golongan itu. Abdul Hadi masih diterima sebagai seorang pemimpin berilmu dan fakeh dalam agama. Tunggu lagi bagi melengkapkan dirinya sebagai pemimpin sebuah gerakan sosial seperti Pas beliau memerlukan asoib yang memiliki ilmu profesional.

Hakikat ini semacam difahami oleh Abdul Hadi dan beliau sendiri ingin mengekalkan paksi Pas seperti mana yang telah dibangunkan Allahyarham Fadzil Mohd Noor dan diterima pakai oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dua kali beliau telah mewakili kepada Husam Musa untuk menggantinya dalam kuliah, satu di Kedah dan satu di Perak. Apakah langkah Abdul Hadi itu sebagai satu latihan buat Husam atau pun satu suaikenal agar Husam dipilih sebagai timbalannya dalam muktamar Jun depan? Bagi hemat saya ada sesuatu yang hendak dihantarkan Abdul Hadi dengan memberi laluan kepada Husam itu.

Ada logiknya kalau beliau membuat keputusan itu. Terima atau tidak, dan telah menjadi catatan sejarah hanya Husam sahaja yang meletakkan kepercayaan dan keyakinan Abdul Hadi boleh menjadi perdana menteri daripada Pas. Penegasan Husam pada penggulungan di muktamar di Shah Alam empat atau lima tahun lepas yang beliau mahu melihat Abdul Hadi akan menjadi PM walaupun sehari bukan satu omongan kosong ataupun ejekkan tetapi ia satu cita-cita yang rasional.

Mengapa tidak, seandainya dalam pilihan raya umum akan datang Pakatan Rakyat ditakdir mendapat kuasa untuk memerintah, sementara Anwar masih dalam penjara, maka Abdul Hadi lah pemimpin paling senior dalam Pakatan Rakyat. Bukankah ketika itu Abdul Hadi boleh ditunjuki oleh Pakatan Rakyat untuk menjadi PM. Dan kalau formula ini boleh membawa Pas ke situ kenapa ahli Pas harus meragui dan menolaknya?

Atas landasan itu saya rasa molek kalau Abdul Hadi mengajak seluruh ahli Pas bertaut kembali, memperkukuh ikatan sauh kapal bagi meneruskan pelayaran yang kini sudah hampir separuh perjalanan. Dengan adanya orang berkebolehan seperti Husam yang menjadi simbol penyatuan dua golongan dalam Pas, tidak mustahil kapal Pas akan sampai ke destinasi yang ditujuinya kandati pun pernah tertebuk di tengah jalan. [wm.kl.5:20 pm 06/03/15]

Najib berdepan dengan hari-hari merah sebelum Jun

Posted: 05 Mar 2015 11:44 PM PST

LONGKARAN SORE                                                                                          

Keresahan Najib Razak tentang kedudukannya sebagai Perdana Menteri kini semakin jelas. PM itu sudah tidak dapat menyembunyikan dirinya umpama berdepan dengan malam dingin tetapi memiliki selimut yang pendek. Selimut Najib kini menjadikan serba salah, tarik ke kepala nampak kaki, selindung kaki nampak kepala. Kepala yang separuh botak akan dipangkah nyamuk.

Najib berdepan hari merah.
Kalau sebelum ini beliau oleh cool, tidak mengambil kisah terhadap apa-apa yang dilemparkan kepadanya, tetapi kini tidak begitu lagi. Najib benar-benar kepanasan bagaikan cacing terdedah di bawah cahaya suria.

Tindakan mahkamah yang diambil terhadap beberapa pihak dan individu yang membangkitkan soal kedudukannya serta kelemahan dalam menguruskan negara terutamanya berhubung isu dalam 1MDB, menjadikan Najib sudah ketidak cukupan ruang untuk berselindung. Telinganya juga sudah habis pekak untuk tidak mendengar apa yang diperkatakan mengenai 1MDB.

Baru-baru ini dia menyaman protol berita Pas Harakahdialy kerana menganggap portal parti agama itu telah menabur fitnah terhadapnya. Hari ini ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula disaman oleh Najib berkaitan isu yang sama.

Apakah Najib atau penasihatnya berfikir dia boleh selamat dengan tindakan mahkamah itu. Rafizi Ramli juga mencabar Najib menyamannya atas perkara sama, tetapi masih belum dibuat Najib. Nampaknya Najib tidak belajar daripada kesilapan Anwar Ibrahim yang kehilangan jawatan timbalan perdana menteri tahun 1998 apabila cuba melindungi masalahnya dengan membawa ke mahkamah dan pihak polis.

Asakan dan pendedahan berhubung 1MDB menjadikan Najib sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Menyulitkan lagi Najib apabila dia mengetahui isu 1MDB bukan saja digerakkan oleh pihak Pakatan Rakyat tetapi ia turut sama dimainkan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. 1MDB merupakan isu kedua menghantuk kepala Najib selepas isu pembunuhan Altantuya.

Isu keborosan dan kekuasaan isterinya Rosmah Mansor tidak dianggap sebagai serius kerana beliau takut untuk bertindak ke atas Rosmah dan beliau akan dibentak kalau menganggap Rosmah sebagai liabiliti kepadanya.

Seperti kata penganalisis Najib tidak takut pendedakan dan asakan dari luar Umno tetapi asakan dari dalam menyebabkan perdana menteri itu tidak lena tidur. Hulubalang Najib juga yang selama ini mempertahan dan menutup rapat dinding kemaluan Najib sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Apabila api masalah Najib semakin membesar mereka juga harus mendiamkan diri untuk tidak dikatakan bodoh.

Tengkoklah Ahmad Maslan, antara hulubalang Najib juga kini sudah diam dan kehilangan dalih untuk mempertahankan Najib. Zahid Hamid setukang promotor tepuk juga menghadapi masalah sama. Kata-kata indah atau pun kehebatan Tun Razak yang sering dijaja menjadi brand Najib juga sudah tidak laku lagi.

Pemenjaraan Anwar Ibrahim selama lima tahun tidak menguntungkan Najib, bahkan pemejaraan itu dijadikan ruang terbuka (memudahkan) para pengkritikan dalamannya bagi menyerang beliau. 

 Najib kini benar-benar dihantui pita penghabisan yang sudah direntangkan oleh para pengasaknya dimana beliau perlu meninggalkan takhta sebelum Jun ini.

Sebulan selepas pelasanaan cukai GST adalah hari-hari merah buat Najib Razak. [wm.kl.3:29 pm 06/03/15]

Maza, Kazim perlu sedar peranan media massa

Posted: 05 Mar 2015 06:13 AM PST

NOTA MALAM                                                                                                       

Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kazim Elias tidak patut bergeseran pendapat dan mendedahkan kepada umum tentang ketidaksetujuan mereka mengenai sesuatu mauduk. Sebagai orang yang berada dalam kelas tersendiri mereka seharusnya menjadi model kepada orang ramai.

Kazim Elias
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Maza orang tahu dan kenal siapa dirinya. Seorang ulama yang berfikir terbuka, progresif, telus dan tegas dengan ilmu dan amalannya.

Begitu juga dengan Kazim Elias dia merupakan seorang penceramah agama yang hebat dan diminati ramai terutamanya kaum Hawa. Kaum Hawa dan jantan tua tidak kering gusi mendengar ceramahnya.

Beliau juga pernah dijemput oleh Umno untuk berada dalam parti itu menjadi inti sebagai menarik perhatian dan mendendengkan Umno sebagai parti agama.

Jemputan Kazim itu menunjukkan Umno menghormati dan meletakkan Kazim sebagai seorang yang boleh membawa perubahan (agama) dalam Umno. Umno mengira Kazim akan menjadi tokoh pembaharuan agama. Bagaimana Kazim tidak teruja dengan jemputan itu dan lebih senang menjadi penceramah bebas. Beliau menjadi ahli MT beberapa jam sahaja kemudian menolak.

Maza sendiri dihormati oleh semua pemuka parti politik. Dia dilihat "semakan" maksudnya sefahaman dalam ilmu agama (tahkid siasah Islam) dengan Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tokguru sangat menghormati Maza. Beliau juga beliau diterima baik oleh bekas PM Dr Mahathir Mohammad. Pandangan disuarakan berhubung Islam didengari oleh Mahathir.

Dari segi pengaruh, pendeknya kedua "insanul kamil" ini sama hebat dan berada pada martabat  tersendiri.

Dengan martabat dan penghormatan yang diperolehi itu, apabila mereka "berseleheng" dalam sesuatu perkara dan ia pula dipertontonkan kepada umum, ia adalah sesuatu yang kurang manis. Tidak molek kalau orang dianggap ulama, dan memang pun ada pamor itu, bergaduh dalam media massa yang akan dibaca oleh semua jenis dan kelas manusia.

Bukan bermakna ulama tidak boleh bergaduh, boleh. Para ulama yang memahami mengenai proses pengembangan ilmu sangat tahu amalan ini. Perbezaan pendapat akan memantapkan sesuatu pegangan. Tetapi harus difahami mereka bergaduh dalam kelambu. Bergaduh bukan hendak menunjukkan kehebatan ilmu, tetapi mencari natijah hakiki. Itulah amalan dan tradisi budaya para ilmu terdahulu.

Mereka juga senantiasa sedar dan insaf dengan tanggungjawab mereka dan juga kemuliaan status mereka sebagai al ulama. Tetapi kalau pergaduhan mereka itu sampai dirakam dan dipamerkan kepada khalayak ia sesuatu yang tidak patut dan wajar sekali. Lebih tidak patut lagi kalau aksi pergaduhan itu dijadikan bukti oleh pihak tertentu untuk menunjukkan bahawa sesama ulama "mujtahid" pun tidak sehaluan.

Para ilmuan biasanya bergaduh dalam kamar dengan membawa berbagai kitab rujukan dan mereka membahas dengan penuh disiplin. Bukan berjam-jam tetapi ada kalanya berbulan-bulan. Paling-paling mereka membuka perbahasan itu, itupun untuk menebarkan ilmu kepada anak murid masing-masing sebagai saksi. Mereka bukan bergaduh menerusi media, berbalas kata dan tembak dalam media seperti apa yang berlaku kini.

Dr Maza dan Kazim harus sedar dan tahu apa yang media massa mahukan daripada mereka. Media tidak ikhlas untuk memperbetulkan (kekeliruan) mereka walaupun ia menampakkan sebagai peranan untuk mendamaikan. Sebenarnya tidak. Media massa ada agendanya tersendiri. Sesuatu organisasi media itu tidak boleh dinafikan ada agendanya. Dan media yang selamanya membenci Islam suka kalau ada ulama sebangsa bertikam lidah dan saling menempelak antara satu sama lain seperti apa yang berlaku antara Kazim dan Maza itu.

Perbezaan kepala ulama lebih memudahkan perpecahan dalam kalangan pengikut, apa lagi kalau kedua ulama mempunyai pengikut fanatik dan otordoks ia lebih bahaya. Apa yang berlaku di sesetengah negara di Timur Tengah, sampai berbunuh sesama sendiri mereka bukan merebut kekayaan tetapi kerana berseleheng dalam pandangan dan pendapat dalam aspek agama. 

Saya sangat menyakin baik Maza atau Kazim tahu akan hakikat ini dan mereka juga bukanlah orang yang suka kepada publisiti berlebihan. Hendaknya perselisihan mereka berhubung sesuatu yang salah faham itu dihentikan segera. Mereka harus meletakkan soal maruah agama dan bangsa itu di hadapan mereka, dan tolak ke tepilah ego untuk tidak mengalah.

Ulama yang tinggi ilmunya persis padi, makin menguning makan tunduk, bukan lalang begitu berbunga terus menegakkan diri sedangkan hasilnya tidak ada guna.

Selepas ini kalau boleh jangan ada lagi kenyataan balas antara mereka berdua. Kazim hendaklah akur kepada larangan Maza agar tidak berceramah di Perlis, dan Maza sebelum hendak menuduh Kazim suka membuat riwayat atau (hadith palsu) harus gantung kata-katanya dulu. Perlu melihat dan fikir apakah implikasi tutur bicaranya itu dan cuba memahami mantik Kazim.

Demikian juga dengan Kazim sebelum membuat perumpamaan atau pun mantik bagi memahamkan orang mengenai Islam atau akhlak Rasulullah, harus berhati-hati jangan sampai tersalah membuat mantik. Jangan kerana kita ustaz moden, ustaz IT kita bebas untuk membuat perumpamaan baru yang kontras dengan kisah sebenar.

Lantaran "kertebolahan" itu, akhirnya terjadi seperti bidalan kata, "rosak santan kerana pulut, rosak badan kerana mulut". Kepada kedua orang bertaraf ulama dan ustaz ini pohon maaf atas nota malam ini. [wm.kl.9:48 pm 05/03/15]

Tiada ulasan: