Selasa, 24 Mac 2015

.

.


Kemukakan RUU persendirian membelakang Raja-raja?

Posted: 23 Mar 2015 08:56 PM PDT

ULAS KATA                                                                                     

Abdul Hadi silap?
Dua faktor kenapa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) (Hudud) menjadi celaru dan sukar untuk reda kini, pertama kerana pembentangan RUU Hudud itu dalam DUN Kelantan pada 18 Mac lalu dibuat dalam keadaan tidak kemas, tidak penuh cermat menyebabkan masih ada kecacatan-kecataan atau kekabur (khilaf) kepada RUU berkenaan.

Kedua, sebaik ia diluluskan oleh DUN Kelantan, Presiden Pas Abdul Hadi Awang pula semacam seperti dikejar hantu "Kak Limah" terus menghantar notis untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian (private bill) di parlimen.

Tidak diketahui apakah penghantaran notis oleh Abdul Hadi itu dibincang dalam kominiti ahli parlimen Pas ataupun tidak. Apakah ketua whip, Mahfuz Omar diberi tahu ataupun dilanggar atas alasan Mahfuz hanya ketua Penerangan yang kedudukannya jauh lebih rendah daripada Presiden atau Mursyidul Am.  Namun dari segi prosuder Mahfuz harus diberi tahu dan perlu mendapat persetujuan kerana di parlimen kedudukannya lebih tinggi daripada Abdul Hadi.

Dua keadaan ini menyebabkan perkembangan Hudud menjadi selesema, tidak sihat dan menjadi penuh kontroversi. Gara-gara pembentangan itu tidak kemas dari aspek teknikal dan perundangan maka Hudud Pas dikecam banyak pihak. Bukan sahaja golongan akademik, perundangan, aktivis sosial, pejuangan hak asasi tetapi rakan-rakan sekutu mereka juga menolak, PKR dan DAP mempertikaikan tindakan Pas itu.

DAP dengan jelas menyatakan tidak setuju dan beranggapa apa dilakukan Pas itu sebagai khianati janji, dan perbuatan menikam dari belakang. Sementara PKR lebih berlunak sedikit dengan mengatakan mereka tidak menolak Hudud, cuma tidak berkenan dengan cara Pas mengemukakan undang-undang berkenaan. Namun kesimpulannya DAP dan PKR menolak atau tidak bersetuju dengan Pas.

Ketergesaan dalam tindakan Pas itu menyebabkan beberapa keperluan asas, fakta-fakta pokok dan implikasi daripada tidakan itu tidak difikir secara mendalam. Tundingan mengatakan rancangan melaksanakan Hudud itu sengaja dihalang oleh bukan Islam kurang tepat dan tidak bijaksana. Gara-gara itu maka timbulah seruan dan kecaman agar orang bukan Islam (khasnya DAP, Gerakan dan MCA) jangan sebut dan sentuh soal Hudud kerana mereka tidak ada hak, Hudud adalah mutlak hak Islam.

Kecaman itu kasar bunyinya, dan kurang bijaksana serta tidak menggambarkan negara ini sebuah negara dibangunkan dengan kerjasama berbagai-bagai kaum seperti mana yang sudah diikrarkan. Di sinilah keterlupaan orang Melayu, tidak kira Pas waima Umno bahawa mereka bukan mempunyai kuasa besar, tetapi hanya memiliki kelebihan sekitar 20% hingga 30% sahaja. Bukan 100%.

Perkara perlu difikirkan ialah hasrat untuk melaksanakan Hudud itu membabitkan pindaan akta tertentu dan perkara (fasal) dalam Perlembagaan yang memerlukan sokongan padu. Yang jelasnya ada satu akta yang terlibat, Akta 335 mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah 1965, dan Perkara 76A(1) ini kuasa untuk melaksanakan Hudud kepada negeri Kelantan.

Apabila ia melibatkan persetujuan parlimen maka semua ahli parlimen sebagai anggota legislatif terbabit dan berhak untuk membahaskannya. Hak ini dijamin oleh parlimen tanpa mengira atau mengasingkan apakah seseorang ahli parlimen itu beragama Islam atau tidak, berbangsa Melayu ataupun tidak. Inilah kuasa dan keistimewaan parlimen dalam sistem demokrasi. Dalam parlimen tidak ada batas dan retorik mengenai ketuanan negara, kononnya negara ini hak Melayu?

Atas hakikat itu maka semua ahli parlimen ada right bercakap mengenai Hudud. Mungkin mereka tidak berhak mempertikaikan keperluan Hudud dan kewajiban melaksanakannya dari konteks Islam, tetapi dalam sudut perundangan dan perlembagaan mereka berhak dan kedudukan mereka sama tinggi dan sama rendah dengan ahli parlimen Melayu dan bergama Islam. Perkara ini kena difahami sedalam-dalamnya bagi mengelakkkan kita membuat tafsiran silap terhadap hak dan kewajiban ahli-ahli parlimen dan meremehkan kuasa parlimen yang kita sendiri dokong.

Di sini seeloknya orang Islam terutamanya Pas dan Umno tidak mudah menafikan hak ahli parlimen untuk bercakap mengenai implikasi Hudud dari konteks perlembagaan itu. Mereka perlu diberi penerangan secara baik dan memohon agar bersetuju bagi memudahkan hasrat itu. Apabila berkeras dan bengis melarang agar mereka jangan campur, (kerana mengharap kepada Umno saja), menjadikan mereka liar dan hilang tolenrasi. Apa yang berlalu kepada DAP sudah jelas hakikat ini.

Saya tidak nampak kalau ahli parlimen bukan Islam tidak faham mengenai status dan perkara ini. Mereka semua adalah cerdik pandai, terdiri daripada ahli profesional dan bukan kelas ustaz "juzu amma", mereka tentu tahu apakah sudut yang boleh mereka pertikaikan dan mana yang tidak boleh dipertikaikan. Mana yang relevan dipersoalkan dan mana yang tidak. Saya rasa mereka bertindak bukan berdasarkan emosi, tetapi kepada fakta dan sejarah yang akurat.

Berbalik kepada tindakan Abdul Hadi tadi, kesilapannya ialah tidak berbincang dengan rakan mereka yang profesional sebelum menghantar notis RUU Persendirian (private bill) itu. Tindakan bersedirian dan tergesa-gesa itu seolah-olah Abdul Hadi ada pilihan dan sokongan lain dan tidak mengharapkan kepada kerjasama anggota parlimen DAP dan PKR lagi. Dalam hal ini nampaknya beliau percaya dan yakin dengan bantuan dan jaminan politik daripada Umno.

Apakah benar begitu? Mendengar kepada ulasan para pemimpin Umno, misalnya daripada Teuku Adnan Teuku Mansor, Mohamed Nazri Aziz, Jazlan Mohamad dan lainnya, menunjukkan mereka tidak bersedia menyokong Pas dalam masalah Hudud ini. Walaupun semua 12 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Umno melaung menyatakan "setujuuuuu"... dengan Hudud, tetapi wakil mereka, Md Alwi Che Amat yang membahas dengan memberi isyarat mengenai kegagalan Pas mendapat persetujuan parlimen nanti, apabila menyatakan pembentangan (enakmen pindaan Hudud) itu tidak mengikut roadmap dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal Persekutuan membawa pengertian mencurigakan.

Apakah makna dan erti kata-kata Alwi itu?

Jika diperhatikan kepada roadmap dikemukakan atau disarankan oleh Jawatankuasa Teknikal Persekutuan itu lebih berperaturan dan lunak, berbanding dengan apa dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan. Jawatakuasa Teknikal Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Sheikh Ghazali itu mahu kerajaan negeri menumpukan terlebih dahulu pelaksanaan undang-undang jenayah yang terletak di bawah kuasa negeri yang melibatkan empat jenis hukuman, zina, qazaf, minum arak dan murtad.

Justeru sebelum pindaan atau pembaikian Kanun Jenayah Syariah II (1993) dilakukan kerajaan Kelantan atau Pas itu hendaklah menumpukan kepada perubahan bidang kuasa di bawah Mahkamah Syariah 1965 terlebih dahulu. Hari ini kerana ketidakpatuhan kerajaan Pas kepada roadmap dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal Persekutuan itu menyebabkan timbul kesangsian apakah pindaan bagi membolehkan Hudud dilaksanakan diterima perlimen atau pun tidak.

Pada mulanya RUU persendirian untuk meminda akta mengenai Mahkamah Syariah itu akan dibawa oleh menteri bukannya oleh wakil Pas. Bagaimana pun menteri tidak bersedia untuk mengemukakan usul berkenaan kerana kedegilan Pas khasnya Pas Kelantan yang mahu terus perkara Hudud dibentang di parlimen.

Ada satu akta dan satu fasal (perkara) dalam perlembagaan yang perlu dipinda, Akta 335. Mungkin pindaan akta ini tidak ada masalah kerana ia hanya memerlukan simple majoriti (122), tetapi untuk meminda Perkara 76A(1) mungkin menjadi masalah kerana ia melibatkan Perlembagaan dimana memerlukan sokongan 2/3 di parlimen.

Dalam konotasi lain apa dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal berkenaan, dapatkan tali dahulu sebelum hendak tangkap beruk.

Persoalannya apakah Abdul Hadi tidak diberi taklimat jelas mengenai perkembangan dan implikasi ini sebelum beliau mengemukakan notis kepada parlimen untuk membawa usul persendirian itu?

Dalam hal ini, memandangkan Mahkamah Syariah atau hal ehwal mengenai agama Islam berada dibawah bidang kuasa Raja-Raja, adalah satu kesilapan dilakukan Pas apabila mereka tidak terlebih dahulu memaklumkan apa yang hendak dilakukan itu kepada Raja-Raja.

Harus diingat pindaan Akta 335 dan Perkara 76A(1) itu terpakai bukan sahaja untuk negeri Kelantan sebaliknya terpakai untuk seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan Malaysia. Maka adalah wajar dan patut kalau maksud itu juga disampaimaklumkan kepada kesemua Raja dan Sultan yang ada.

Apakah dengan tidak memaklumkan kepada Raja-Raja itu tidak boleh dianggap cadangan untuk membawa usul persendirian oleh Abdul Hadi mengenai Hudud itu tidak boleh dianggap sebagai membelakangi Raja-Raja dan Sultan?

Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa RUU Hudud itu pernah hendak dibentangkan dalam persidangan majlis raja-raja, tetapi ia ditolak. Bukankah itu telah memberi gambaran yang Raja-Raja tidak memberi perkenan? Sediakan untuk melakukan sesuatu yang tidak diperkenakan raja hendak dilakukan.

Apakah penolakan itu tidak dapat difahami oleh Pas dan Abdul Hadi Awang? Atau Abdul Hadi tidak diberi tahu langsung mengenai perkembangan ini. Apakah tugas dan tanggungjawab Ahmad Yaakub sebagai MB Kelantan orang yang membawa usul Hudud itu dan Mohd Amar Nik Abdullah sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Teknikal bersama, tidak memaklumkan perkara itu kepada Abdul Hadi Awang?

Dan apakah perkara sepenting ini tidak ada dalam pengetahuan Takiyuddin Hassan yang merupakan Penolong Setiausaha Agung dan juga yang dianggap mahir dalam perundangan?

Ataupun dalam kes ini, berlaku kealpaan ataupun sikap kurang cakna, sehingga maruah dan daya intelektual presiden boleh tercemar? Apakah ia sengaja dilakukan untuk menjatuhkan martabat presiden? Atau pun Abdul Hadi sedang mengadakan ujikaji untuk melihat sikap sulatan dan raja sejaun mana mereka ambil berat kepada hukum Islam?  Walahu'alam.
[wm.kl.9:54 am 24/03/15] 

Tiada ulasan: