Isnin, 23 Mac 2015

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Sentiasa waspada jenayah ragut

Posted: 23 Mar 2015 05:32 AM PDT

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR

INGAT sebelum kena, hemat sebelum habis. Barangkali inilah peribahasa yang tepat untuk
mengingatkan kita supaya sentiasa berhati-hati dengan suasana dan persekitaran terutama kejadian jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Peribahasa ini membawa maksud bahawa kita perlu berikhtiar dengan bersungguh-sungguh supaya tidak menyesal pada kemudian hari.

Merujuk kepada Kamus Dewan, jenayah bermaksud sesuatu perbuatan jahat seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain yang salah di sisi undang-undang, manakala ragut bererti menarik sama ada menyentak, merabut atau mencabut dengan paksa atau dengan kekuatan.
Jenayah ragut sering dikaitkan dengan barang berharga seperti beg tangan dan perbuatan ini salah serta tanpa kerelaan mangsa.

Sasaran penjenayah terdiri daripada golongan yang lemah seperti wanita dan warga emas di samping kanak-kanak yang dipakaikan barang kemas.

Jenayah ini semakin hari semakin bertambah. Apakah undang-undang dalam membanteras perbuatan jahat ini sudah tidak ditakuti atau peluang untuk meragut semakin terbuka serta mudah? Mungkinkah sikap masyarakat yang masih leka dan lalai itu perlu disedarkan pada kadar segera?
Indeks jenayah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, kes jenayah ragut di ibu kota meningkat 195 peratus tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada tahun 2013.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 632 kes direkodkan berbanding 214 kes tahun 2013, sekali gus menjadi penyumbang kepada kadar indeks jenayah secara keseluruhan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Januari lalu .

Peningkatan kes hampir 200 peratus itu merupakan satu angka yang sangat besar dan perlu dipandang serius oleh semua pihak, terutamanya orang awam. Mereka boleh menjadi sasaran seterusnya pada bila-bila masa sekiranya tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut Tajudin, walaupun kadar indeks jenayah di Kuala Lumpur secara keseluruhannya menurun sebanyak 11.9 peratus iaitu 20,940 kes berbanding 23,758 kes direkodkan pada tahun 2013, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha dan memperbanyakkan lagi rondaan serta aktiviti cegah jenayah ragut pada masa akan datang.

Selain usaha secara fizikal, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan usaha melalui media sosial dan digital.

Contohnya, melalui laman web www.rmp.gov.my, pihak polis mengeluarkan amaran berjaga-jaga dan sentiasa waspada terhadap jenayah ragut ini.

Sikap tidak mengambil berat mengenai aspek keselamatan diri dan harta benda boleh membawa padah kepada diri sendiri.

Matlamat penjenayah kes ragut hanya untuk mendapatkan barang berharga dengan cepat dan mudah.

Oleh itu, mereka akan mencari peluang-peluang yang terhidang untuk melakukan jenayah ini. Sebagai contoh, berjalan seorang diri di tempat yang sunyi dan gelap akan memudahkan lagi perbuatan jahat ini.

Desakan hidup

Peragut-peragut ini tidak memikirkan soal keselamatan diri mangsa dan diri sendiri. Apa yang penting, mereka dapat apa yang mereka mahukan walaupun sedikit.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mariani Md. Nor menjelaskan, pelbagai faktor menjadi sebab dan punca kepada jenayah ragut ini.

"Desakan hidup adalah antara penyebab, khususnya kepada golongan muda yang banyak menganggur, apatah lagi mereka tinggal di ibu kota yang serba-serbi memerlukan wang.

"Kos sara hidup yang tinggi dicampur dengan status kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka bertindak di luar batasan normal.

"Bagi golongan belia yang tinggal di luar bandar pula, keciciran dalam aspek pendidikan menyebabkan mereka sukar untuk mendapat kerja apabila merantau ke bandar. Kedatangan mereka ke ibu kota juga tanpa hala tuju yang jelas," jelasnya.

Menurut Mariani, peragut lazimnya melakukan aktiviti ini bukan kerana keseronokan tetapi ia disebabkan untuk mendapatkan apa sahaja barangan berharga yang boleh ditukar ganti menjadi wang bagi menampung keperluan hidup.

Ditanya mengenai faktor kelekaan dan ketidakpekaan masyarakat terhadap jenayah jalanan ini, Dekan Fakulti Pendidikan UM itu sangat bersetuju dengan faktor tersebut.

Tambahnya, kesibukan orang ramai untuk mengejar masa dalam melakukan rutin harian menambahkan kealpaan mereka terhadap keadaan sekeliling.

"Penjenayah jalanan seperti ini tidak memerlukan perancangan yang rapi sebelum bertindak. Apa sahaja peluang yang terhidang akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

"Ditambah pula dengan topi keledar yang mempunyai pelindung gelap, ia memudahkan usaha mereka untuk melakukan aktiviti jenayah ini," ujarnya lagi.

Mariani mengakui bahawa wanita sememangnya suka pada barang perhiasan. Namun, perbuatan mempamerkan barang perhiasan seperti barang kemas, beg tangan dan telefon bimbit boleh mengundang padah, terutamanya di tempat-tempat yang sering menjadi sasaran peragut.

Mariani menasihati orang ramai terutama wanita yang sering menjadi mangsa ragut supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, pastikan agar laluan yang diambil itu selamat dan elakkan berjalan seorang diri di tempat sunyi dan gelap.

"Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan menyediakan infrastruktur yang mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti memasang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), menyediakan kemudahan lampu di kawasan yang gelap, meletakkan papan tanda amaran dan sebagainya," jelasnya.

Semoga tahun 2015 ini menjadikan kita sebagai masyarakat yang bertamadun dan berilmu, sekali gus sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta bertindak dengan lebih bijak dalam usaha membanteras jenayah ragut.

Tiada ulasan: