Sabtu, 28 Februari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Haji Hadi Wajar Dilantik Mursyidul Am PAS, Lepaskan Jawatan Presiden

Posted: 28 Feb 2015 06:37 AM PST

KELAB GREENBOC



PAS Batu mahu Abdul Hadi jadi Mursyidul Am

Di tengah-tengah kemelut PAS dengan PasMa tiba-tiba ada satu bahagiannya menyarankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi presiden.

PAS Kawasan Batu melalui Yang Dipertuanya, Ishak Surin mahu Abdul Hadi berbuat demikian pada pemilihan Muktamar PAS ke 61 Mei ini.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti Islam terbesar itu.

"Saranan ini tidak bermaksud PAS Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik PAS ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Ishak seterusnya memberitahu, sesuai dengan kedudukan Abdul Hadi di peringkat antarabangsa selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa PAS menangani pelbagai isu dalaman, tempatan dan antarabangsa, lapor MalaysiaGazette.

PAS Kawasan Batu juga bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh Perlembagaan PAS dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu PAS pada pemilihan kali ini, katanya.

"Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka PAS Kawasan Batu mohon Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya sesuatu yang positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS," ujarnya.

Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am PAS diwujudkan pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji Yusuf Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.

Tempat kosong yang ditinggalkan oleh Yusuf itu kemudiannya diisi oleh Fadzil Mohd. Noor sebagai Presiden.

Setelah Yusuf Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Nik Aziz.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Batu berkeyakinan penuh, jika diterima saranan itu, kepimpinan Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan mendapat limpahan redha Allah. -FMT


SARAN TG ABDUL HADI BERI LALUAN TOKOH BAHARU ISI KERUSI PRESIDEN, PERKASAKAN MSU JADI MURSYIDUL AM PAS

1. Pas Kawasan Batu menyarankan agar Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi Presiden pada pemilihan Muktamar Pas ke 61, Mei ini, bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti Islam terbesar ini.

2. Saranan ini tidak bermaksud Pas Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik Pas ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

3. Sesuai dengan kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi di peringkat antarabangsa selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa Pas menangani pelbagai isu dalaman, tempatan dan antarabangsa.

4. Pas Kawasan Batu juga bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh Perlembagaan Pas dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu Pas pada pemilihan kali ini.

5. Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka Pas Kawasan Batu mohon Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya sesuatu yg positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yg dibawa oleh Pas.

6. Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am Pas diwujudkan pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji Yusuf Ar Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.

7. Tempat kosong yg ditinggalkan oleh Hj Yusuf Ar Rawa itu kemudiannya diisi oleh Tuan Guru Dato' Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden. Setelah Hj Yusuf Ar Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

8. Sehubungan itu, Pas Kawasan Batu berkeyakinan penuh, jika diterima saranan ini, kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan mendapat limpahan redha Allah SWT.

KENYATAAN MEDIA,
HAJI ISHAK BIN SURIN
Yang DiPertua Pas
Kawasan Batu, Kuala Lumpur
26 Februari 2015

ULASAN GB

Alhamdulillah.

GB sudah lama mengusulkan supaya TGHH diangkat menjadi Mursyidul Am PAS, iaitu sebelum TG Nik Aziz kembali ke rahmatullah lagi. Di dalam satu entri pada 26 Ogos 2014 GB telah menulis "Haji Hadi Perlu Diangkat Mursyidul Am PAS, Lepaskan Jawatan Presiden." Petikan ulasan GB ketika itu:

Haji Abdul Hadi, dengan kedudukannya di peringkat dunia sudah diakui sebagai Naib Presiden Majlis Ulamak Sedunia, beliau hendaklah diangkat menjadi Mursyidul Am PAS menggantikan TG Nik Aziz yang kelihatan sudah uzur. Dengan kedudukan itu beliau akan menentukan dasar perjuangan PAS dan institusi Majlis Syura Ulama di dalam PAS dapat diperkasakan.

Jawatan "Presiden" parti hendaklah digalas oleh orang lain. Ia memerlukan pemimpin yang boleh bekerjasama dengan semua pihak di dalam Pakatan Rakyat, tidak bermuka-muka dan tidak hanya memenuhi aspirasi orang-orang tertentu di dalam parti. Soalnya siapa? Ramai yang masih layak. Ustaz Ahmad Awang, Ust Abd Ghani Shamduddin... diantara nama-nama yang boleh dicalonkan.

Perubahan perlu dilakukan. Ahli-ahli PAS perlu berani untuk melakukannya!

Kemudian dalam pada itu ada pula yang tak mahu TGHH lepas kan jawatan Presiden sekalipun nanti dilantik menjadi Mursyidul Am. Cukup takut dia orang lain menjadi Presiden PAS. Apakah agaknya baginya cuma Haji Hadi saja seorang yang berstatus ulamak? Orang lain tak boleh jadi pemimpin utama PAS? Itu bukan lagi wala namanya, tetapi TAKSUB melampau.


Jika demikian Haji Hadi hendak juga dijadikan Presiden walaupun telah dilantik sebagai Mursyidul Am, lebih baik Hj Hadi dilantik juga memegang jawatan-jawatan Ketua Ulamak, Ketua Pemuda & Ketua Muslimat jika takut keputusan-keptusan mesyuarat J/K PAS Pusat tidak memihak kepada kehendak mereka!

Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor sendiri menyatakan bahawa jawatan Presiden PAS tidak semestinya dipegang oleh seorang yang berstatus ulamak.


Semuga kata-kata Allahyarham tersebut menjadi kenyataan...

Tanda Tergolek Makin Dekat...

Posted: 28 Feb 2015 06:34 AM PST

shahbudindotcom


Ketua-ketua Bahagian UMNO seluruh negara dijangka akan berhimpun untuk menyatakan solidariti kepada Perdana Menteri, Najib Razak pada 8 Mac depan, iaitu sehari sebelum majlis pembukaan Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong.

Menurut Ketua Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee, seramai 170 daripada 191 Ketua Bahagian sudah menyatakan kesediaan untuk hadir dan ia bertujuan untuk membuktikan kepada pembangkang dan juga pihak luar bahawa mereka sentiasa menyokong Najib.

Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Najib masih mempunyai sokongan yang kuat, jadi mereka perlu berhenti menyerang BN, katanya lagi.

Jika mengikut logik dan hukum akal, adanya perhimpunan solidariti ini tidak lain menunjukkan bahawa kedudukan Najib sedang atau semakin goyang sekarang ini.

Hanya pokok yang sudah hendak tumbang saja perlu diletakkan penongkat atau sokongan, manakala pokok yang masih kukuh biasanya tidak memerlukan apa-apa bantuan untuk terus tegak berdiri.

Begitulah juga sebenarnya kedudukan Najib sekarang. Apabila sudah ada usaha mengadakan perhimpunan mempertahankan kedudukannya, bermakna makin goyanglah kerusi yang didudukinya itu.

Lihat saja di zaman Pak Lah dulu, berbagai perhimpunan atau gerakan telah diadakan untuk menyatakan sokongan dan mempertahankan kedudukannya, namun akhirnya tergolek juga.

Bahkan lagi banyak pernyataan sokongan dizahirkan, ia secara tidak langsung menandakan semakin terhakisnya sokongan yang diterima.

Akhirnya, sama ada pokok akan tumbang kerana asakan yang makin kuat atau kayu yang menjadi penongkat atau sokongan itu akan patah disebabkan tidak mampu lagi menjadi penahan yang kukuh.

Yang penting sebenarnya ialah apakah pokok yang mahu dipertahankan itu masih kuat atau sudah menghampiri tarikh matinya. Jika pokok itu cukup kuat, ia bukan saja tidak memerlukan penongkat, bahkan dedalu hinggap pun tidak menjejaskan hayatnya.

Sebab itu, usaha mengumpulkan ketua-ketua bahagian menyokong atau menyatakan solidariti kepada Najib bukan saja membuang masa, malah juga sia-sia.

Selain ianya mengesahkan kedudukan Najib makin bergoyang, umum juga tahu bahawa ini adalah perhimpunan "cari makan" semata-mata. Semua orang tahu, ketua bahagian adalah mereka yang berkepentingan dengan Perdana Menteri dari segi jawatan, kedudukan, projek dan sumber rezeki.

Sudah tentu mereka ini sanggup berbuat saja untuk mempertahankan kenikmatan yang sedang dikecapi sekarang. Tetapi adakah ketua-ketua bahagian ini benar-benar mewakili naluri dan isi hati seluruh ahli UMNO yang berjumlah 3.4 juta orang itu?

Lebih dari itu, adakah juga ketua-ketua bahagian ini mampu memastikan undi dalam pilihanraya nanti benar-benar memihak kepada BN?

Adakah Mahathir  akan tiba-tiba berhenti menyerang Najib kerana solidariti 170 ketua bahagian itu?

Begitu juga, apakah rating sokongan Najib yang kian merudum sehingga 44 peratus berbanding 48 peratus sebelum ini dapat ditingkatkan semula?

Secara umumnya juga, penolakan terhadap Najib merangkumi banyak isu dan masalah - dalam parti dan luar parti, dalam kerajaan dan luar kerajaan serta seribu satu macam lainnya yang tidak mungkin mampu ditangani dengan sekadar menghimpunkan seramai 170 ketua bahagian saja.

Tetapi seperti pokok tadi,  bila mula diletakkan penongkat atau sokongan, biasanya ia adalah tanda tidak lagi kuat akar umbinya atau sudah hendak tumbang menyembah bumi.

Pokok yang sudah diletakkan penongkat juga jarang dapat bertahan lama berbanding pokok-pokok lain yang tidak diletakkan apa-apa kayu penyokong.

Tiada apa-apa yang perlu dilakukan, selain meraikan 8 Mac ini sebagai tanda awal tergoleknya Najib makin dekat...

Jangan main tarik tali, kata Saravanan kepada Palanivel

Posted: 28 Feb 2015 06:28 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
GEORGETOWN: Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan menggesa Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel untuk tidak terus bermain tarik tali, sebaliknya segera menetapkan tarikh pemilihan semula semua jawatan dalam parti berkenaan.
 
Beliau berkata Palanivel sepatutnya memutuskan tarikh pemilihan semula parti itu terlebih dulu seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum bertindak mempertahankan jawatan berkenaan.
 
"Apabila ada arahan (pemilihan semula), dia (Palanivel) dengan kadar segera (perlu) tetapkan tarikh, terus buat pemilihan dan kemudiannya lantik semua jawatankuasa yang beliau hendak.
 
"Tak perlulah pusing seluruh negara, tetapkan tarikh dulu. Ini bukan hal rumah tangga beliau, ini hal parti. Kalau hendak mempertahankan jawatan, tetapkan tarikh dulu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan Piala FA antara Sungai Ara FC dan MISC-MIFA, di Stadium Bandaraya di George Town, malam tadi.
 
Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan 3 naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.
 
Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Ulama bukan tiket dapat pujian, jawatan’

Posted: 28 Feb 2015 06:26 AM PST

AHMAD AWANG


ULASAN Bhgn 2 Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan PR atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?

Yang dilihat, ianya dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat ia menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.

Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program liqa', neqad, ijtima' dan multaqa itu sendiri adalah tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?

Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.

Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.

Harapan ahli supaya Multaqa Ulama II bebas dari politiking yang sebegini dan persidangan ini akan mengeluarkan usul mengutuk tadbir urus kerajaan Umno-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah guna kuasa yang terang dan nyata.

Harapan ahli supaya multaqa ini menjadi pendorong untuk meningkatkan usaha menjatuhkan Umno-BN supaya Islam boleh bebas membangun. Dengan itu juga saf yang telah sengaja direnggangkan oleh golongan tak bertanggungjawab dapat dirapatkan kembali.

Tetapi tidak demikian. Agenda perubahan bagaikan hilang dengan tiupan bayu dan alunan lagu "perpaduan Melayu" yang di mainkan Umno dan konco-konconya terutama selepoas musibah "tsunami kecil" di Kelantan pada akhir tahun lalu.

Maka yang tinggal hanya perbalahan dalaman PAS dan Pakatan Rakyat. Adakah golongan Ulama PAS sudah hilang fokusnya dan tidak mampu memimpin perubahan ke arah keadilan dan negara berkebajikan?

Ingatan buat golongan ulama

Saya sebagai mantan ahli Majlis Syura Ulama (MSU) berbelas tahun merasa dukacita dan kesal ia tidak menzahirkan kehebatan dan kepimpinan ulama sepertimana yang saya harapkan.

Saya tertanya-tanya apakah tokoh multaqa yang lebih sepuluh orang pembentang dan pembahas itu terlupa pada perintah Allah seperti yang terkandung dalam firmannya yang bermaksud:

"Maka berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkan lah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal." ( Surah Ali Imran ayat 159)

Hadis Rasulullah SAW: "Al-Ulama' warasatul anbiayaa" atau ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan.

Ia sebaliknya merupakan amanah dan wawasan yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh mereka yang digelar ulama. Supaya mereka akan ke depan memimpin masyarakat dengan ilmu dan ketaqwaan.

Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan "saya ulama", tetapi sebaliknya diperolehi dan dimenangi melalui proses perjuangan bersama rakyat sehingga kelebihan seseorang ulama terserlah.

Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah SAW yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama dunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya.

Pada masa yang sama, hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah. Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya.

Ilmu bukan pada sijil, ijazah

Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan rasmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan juhala' (orang yang jahil).

Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah universiti, tetapi terletak pada hujah keilmuan dan intelektual. Oleh itu segala yang ingin diusahakan perlu dikemukakan dan dihujahkan dengan jelas dan tersusun.

Jangan dituntut ketaatan atau wala' dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat.

Jangan perlekehkan mereka yang tidak berpendidikan agama secara rasmi, sedangkan mereka mungkin memahami banyak persoalan dengan lebih mantap. Didikan yang telah mereka perolehi adalah didikan amali haraki bersama perjuangan Islam yang dipimpin ulama' muktabar.

Adalah diharapkan bahawa golongan ulama akan membebaskan diri mereka dari amalan 'politiking' sempit dan sebaliknya membina imej mereka sebagai badan yang bebas dari kepentingan jawatan dan pangkat atau kepentingan duniawi.

Mereka perlu memperlihatkan ulama' sebagai kumpulan ilmuan yang memimpin arus perubahan dengan menentang kezaliman dan penyelewengan.

Dengan itu mereka akan diterima sebagai pemimpin ummah dan melayakkan diri ke status 'warasatul anbiyaa'. Zahirkan ketajaman keilmuan dengan membedah permasalahan kontemporari dan mengemukakan penyelesaiannya sambil menjadi pihak yang berdiri teguh di pihak keadilan dan kebenaran.

Itulah proses yang dimulakan pada 1982 apabila konsep kepimpinan ulama mula-mula diutarakan dengan tertubuhnya Majlis Syura Ulama. Proses ini masih lagi dalam perlaksanaannya dan MSU itu sendiri perlu terus diperkasakan. Jangan golongan ulama' hilang fokus.

Bahagian 1: Multaqa PAS 'bagai simbah minyak ke api'


AHMAD AWANG seorang tokoh ulama PAS yang disegani. Selain berpengalaman sebagai ahli akademik dan birokrat agama dalam kerajaan, beliau pernah memimpin Persatuan Ulama Malaysia (PUM) selama 17 tahun.

'AG ada kuasa untuk ringan hukuman mati'

Posted: 28 Feb 2015 06:24 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Lembaga Pengampunan Selangor mempunyai kuasa untuk meringankan hukuman mati terhadap Sirul Azhar Umar kepada penjara seumur hidup.

Perbezaan antara kedua-duanya ialah AG boleh melakukannya tanpa menunggu rayuan dari Sirul manakala Lembaga Pengampunan memerlukan Sirul atau wakilnya untuk mengemukakan rayuan terlebih dahulu.

Seorang peguam kanan kes jenayah yang tidak mahu disebut namanya berkata, perkara itu tidak perlu dirujuk semula kepada Mahkamah Persekutuan kerana prosiding di mahkamah tertinggi itu telah pun berakhir.

"Peguam Negara mempunyai kuasa untuk meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup. Beliau mempunyai budi bicara untuk berbuat demikian dan ia tidak semestinya melalui mahkamah memandangkan Mahkamah Persekutuan telah pun membuat keputusan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata kerajaan sedang menimbang untuk meringankan hukuman mati terhadap Sirul Azhar kepada penjara seumur hidup untuk memudahkan ekstradisinya.
 
Sirul kini sedang ditahan di pusat tahanan imigresen di Villawood, Sydney.

Pihak berkuasa Malaysia menghadapi masalah apabila permintaan mereka untuk mengekstradisi Sirul tidak dapat dilayan oleh Australia yang undang-undangnya melarang penghantaran pulang orang menghadapi hukuman mati di negara asal mereka.

Hudud: ADUN PKR mohon pencerahan pimpinan parti

Posted: 28 Feb 2015 06:22 AM PST

Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: ADUN tunggal PKR di Kelantan, Roslan Puteh akan mendapatkan mandat daripada parti beliau sama ada untuk menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri bulan depan. 
 
ADUN Guchil itu dijangka memohon "pencerahan" daripada pimpinan PKR mengenai pendirian rasmi yang harus diambil beliau apabila pindaan itu dibentangkan pada 18 Mac. 
 
"Hari Ahad hingga Selasa saya akan bersama MB Selangor (Azmin Ali) ke Sarawak. Dalam  kesempatan itu saya akan tanya pendirian yg harus saya ambil semasa pembentangan (DUN) nanti." kata beliau kepada Antarapos. 
 
"Secara peribadi sebagai seorang muslim saya wajib menyokong hukum hudud dilaksana," tambah Roslan.
 
Pendirian Roslan pada sidang DUN itu akan menjadi petanda jelas sama ada PKR menyokong atau menolak hasrat PAS melaksanakan hudud di Kelantan, setelah memerintah negeri itu lebih 20 tahun. 
 
Beberapa pemimpin PKR sebelum ini mempertikaikan hasrat kerajaan negeri Kelantan melaksanakan hudud dengan mengambil pendirian yang mirip dengan DAP. 
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya, umpamanya, menggesa kerajaan negeri Kelantan supaya mengutamakan kebajikan rakyat Kelantan berbanding hudud. 
 
"Kenapa PAS beria-ria mahu melaksanakan hudud tetapi mengetepikan objektif yang penting dalam Islam? Sudah pasti ada agenda politik di sebaliknya," kata beliau baru-baru ini.
 
Sebarang kegagalan PKR memberikan sokongan kepada PAS di DUN Kelantan dan seterusnya di Parlimen mengenai rang undang-undang hudud akan merapuhkan lagi hubungan dua parti itu di dalam Pakatan Rakyat.
 
Keadaan itu dijangka menambah tekanan ke atas PAS untuk memikirkan masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang. 
 
"Dia (Roslan) kena runding dengan pembawa usul dan saya percaya beliau selaku seorang wakil rakyat dia ada kebijaksanaan untuk membuat satu tindakan yang mematuhi kehendak rakyat dan juga parti," kata Naib Presiden PKR Tian Chua kepada Antarapos.
 
Ditanya sama ada PKR sudah membuat sebarang keputusan mengenai rang undang-undang itu, Tian berkata:
 
"Kita sedang berbincang."
 
Sabtu lalu, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri akan membentangkan membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) itu apabila ia bersidang dari 16 hingga 19 Mac depan.
 
Sidang DUN itu tetap akan berlangsung meskipun ia bertembung dengn kempen pilihan raya kecil DUN Chempaka pada 22 Mac. 
 
Kerusi DUN itu kosong apabilan penyandangnya, bekas menteri besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia baru-baru ini.

Persatuan: 'Sistem dua wajah' punca kos perubatan tinggi

Posted: 28 Feb 2015 06:19 AM PST

MALAYSIAKINI



Persatuan Farmasi Malaysia berpandangan bahawa kontroversi yang timbul mengenai usaha memisahkan fungsi klinik dan farmasi dalam mengeluarkan ubat kini jauh tersasar daripada perkara pokok.

Timbalan presidenya, Amrahi Buang memberitahu Malaysiakini, pemisahan fungsi mendispens ubat (DS) itu sendiri tidak mungkin boleh berlaku dalam sistem kesihatan sedia ada.

Jelasnya, "sistem dua wajah" melibatkan sektor kerajaan dan swasta pada masa inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada kepincangan yang berlaku sehingga menyebabkan jurang kos rawatan, kata Amrahi.

"Di sektor swasta tiada kawalan (ke atas harga ubat), maka kena betulkan dulu sistem ini. Bila kita ada sistem, semua akan dapat faedah," katanya.

Ketua pegawai farmasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya itu menjelaskan, masalah kawalan ke atas sektor tersebut menyebabkan harga ubat melambung tinggi – malah sehingga sepuluh kali ganda.

"Kalau tidak teratur, kos rawatan akan meningkat. Kenapa? Cuba selesaikan perkara pokok - tiada kawalan.

"Kalau hendak buat pemisahan mendispens (DS), masih jauh perjalanannya. Kerajaan kena kawal sektor swasta supaya menjadi sebahagian daripada sistem.

Kurang kawalan

"Sekarang ada dua wajah, kerajaan dan swasta yang kurang kawalan," katanya yang berharap agar sistem itu akan membolehkan perkhidmatan kesihatan diakses oleh semua pihak.

Beliau merumuskan tujuan itu seperti berikut:
  • Perlindungan kesihatan universal – memberi akses kesihatan kepada semua rakyat di semua pusat rawatan.
  • Tabung pembiayaan penjagaan kesihatan nasional – ditadbir kerajaan atau badan berkanun.
  • Kawalan harga ubat – Harga yang sama di hospital swasta dan kerajaan, atau sekurang-kurangnya mematuhi harga disarankan.
Jelasnya lagi, sistem yang teratur itu juga akan membolehkan pengamal perubatan dan farmasi menentukan fi yang setimpal.

"Sistem ini akan tentukan piawainya," katanya lagi, mengulas mengenai kebimbangan para pengamal perubatan bahawa pelaksanaannya akan menjejaskan periuk nasi mereka.

Katanya lagi, bantahan ke atas DS yang ditimbulkan daripada kumpulan pengamal perubatan itu juga hanya berdasarkan andaian.

Tambahnya, beliau yakin bahawa bantahan yang disuarakan dari kelompok pengamal perubatan itu berpunca daripada andaian semata-mata.

RUU Akta Farmasi

Malah, rang undang-undang Akta Farmasi yang memperuntukkan pelaksanaan tersebut juga tidak mungkin akan dapat dibentangkan pada bulan Mac.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam juga sudah berulang kali menegaskan perkara yang sama, katanya.

Beliau juga berharap agar kumpulan pengamal perubatan itu akan dapat menyertai perbincangan bersama mereka untuk membetulkan "sistem dua wajah" itu.

Kumpulan pengamal perubatan tersebut, bagaimanapun tetap dengan pendirian mereka untuk meneliti terlebih dahulu deraf tersebut sebelum menyertai apa-apa pertemuan dengan kementerian.

"Kami mahu menganalisis faktanya, barulah ada perbincangan.

"Tidak ada mana-mana doktor yang sudah melihat Rang Undang-Undang Akta Farmasi ini, termasuk MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) atau MMC (Majlis Perubatan Malaysia).

"Maka, kami mahu deraf ini dikemukakan kepada kami terlebih dahulu sebelum perjumpaan," kenyataan itu dipetik.
 

Terima Jika Musuh Mahu Berdamai, Kata Hadi

Posted: 28 Feb 2015 06:13 AM PST

RAKYATNEWS


alt


 
MARANG  - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus tutup mulut terhadap cadangan penggabungan UMNO dan PAS seperti disaran beberapa pihak demi kesinambungan agama dan bangsa Melayu.

Beliau yang ditemui pemberita malam tadi enggan mengulas apabila ditanya mengenai cadangan yang sentiasa tenggelam timbul itu.

Hadi hadir dalam program sambutan Jubli Perak  25 tahun di Universiti Industri Selangor (UNISEL) di Shah Alam.

Bagaimanapun dalam ucapannya, beliau  berkata pendamaian menjadi keutamaan dalam memelihara kepentingan masyarakat seluruhnya.

"Jika ada pemimpin negara yang yang salahgunakan kuasa, maka Allah izinkan berperang dengan penuh adab, dengan cara tak boleh bunuh wanita, tak boleh bunuh paderi dan sami, tak boleh musnahkan kebun dan tanaman, semua itu perlu dijaga.

"Dan pendamaian perlu diutamakan, jika pihak musuh mahu berdamai, kita kena terima," katanya dalam program tersebut yang dianjurkan Gerakan Mahasiswa Islam (GAMIS).

Tidak dapat dipastikan siapakah 'musuh' dimaksudkan Presiden PAS itu tetapi parti itu sebelum ini kerap melabel UMNO sebagai musuh yang harus ditentang.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya menyambut positif berhubung penggabungan kedua-dua parti itu.

Begitu juga dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyatakan penggubungan PAS dan UMNO memerlukan jiwa yang kental dalam membuat keputusan itu.

Namum, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tidak akan bekerjasama untuk bergabung dengan UMNO berikutan parti itu dikatakan menolak hukum Hudud yang ungin dilaksanakan PAS.

‘Hudud bukan agenda utama PasMa’

Posted: 28 Feb 2015 06:07 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Walaupun pertikaian mengenai isu hudud masih lagi berlanjutan antara PAS dan DAP, namun bagi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), perkara itu sedikit pun tidak menjejaskan NGO tersebut.

Ini kerana, PasMa - sebuah NGO yang dianggotai oleh ahli PAS – berpandangan bahawa perkara itu bukan agenda utama pertubuhan tersebut, kata Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Sehubungan itu, katanya, PasMa (PasMa) tidak menetapkan sebarang pendirian dalam mana-mana isu yang melibatkan Pakatan Rakyat termasuk hudud.

Katanya, ia kerana fokus utama pertubuhan itu adalah untuk memastikan pemimpin Pakatan dapat mencapai kata sepakat terhadap mana-mana isu yang berbangkit.

"Apa-apa isu sama ada isu hudud atau persempadanan semula (pilihan raya), kita nak pimpinan Pakatan mencapai persetujuan, konsesus. Kita tak terlibat untuk buat keputusan terhadap isu yang spesifik.

"Kita tak letak pendirian kita pada hudud," katanya kepada pemberita selepas majlis makan anjuran PasMa Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita apakah pendirian PasMa berhubung hasrat kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu.

Kerajaan Kelantan akan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 16 hingga 19 Mac ini.

Bagaimanapun, perkara itu sehingga kini mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya dari Pakatan iaitu DAP.

Sementara itu, mengulas mengenai Multaqa Ulama PAS minggu lalu yang dilihat sebagai medan untuk menghentam PasMa dengan pelbagai gelaran yang diberikan, bekas exco Kedah itu berkata, beliau tidak hirau dengan perkara tersebut.

Ini kerana, katanya, pelbagai gelaran telah diterima sejak awal penubuhan PasMa.

Malah, katanya, segala perkara yang dibincangkan di dalam multaqa itu hanyalah cadangan daripada sayap parti dan bukan ketetapan PAS Pusat.

"Multaqa bukan ketetapan PAS tetapi cadangan daripada salah satu sayap PAS. Kita anggap itu cadangan kerana d peringkat akhirnya ialah di PAS Pusat atau muktamar. Multaqa baru cadangan.

"Masa mula-mula ditubuhkan lagi, dah banyak gelaran diberi, itu (gelaran syaitan dan gila) tak heran. Macam-macam gelaran dah diberi pada kita dah," katanya lagi.

Terdahulu, kira-kira 300 ahli PasMa dari seluruh negara menghadiri majlis makan malam anjuran PasMa Selangor untuk mengutip dana bagi membiayai aktiviti pertubuhan itu.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, aktivis Hishamuddin Rais dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Saman saya dulu, Rafizi cabar Najib

Posted: 28 Feb 2015 05:57 AM PST

MALAYSIAKINI


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, dalam nada yang provokatif, mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menyamannya terlebih dahulu sebelum mengugut untuk menyaman orang lain.

Rafizi berkata demikian sebagai reaksi kepada Najib yang mengancam untuk menyaman organ rasmi PAS, Harakah yang mempersoalkan sama ada kekayaan anak tiri perdana menteri itu, Riza Aziz telah mendapat manfaat daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Bukan sahaja saya terkejut kerana kelakuan sebegitu tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini (mengancam untuk menyaman orang lain).

"Saya lebih terkejut kerana Datuk Seri Najib belum lagi menyaman saya walaupun pernah mengugut untuk berbuat begitu baru-baru ini," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatan Khairuddin dalam Umno gugur

Posted: 28 Feb 2015 05:53 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Datuk Khairuddin Abu Hassan, yang mendapat perhatian selepas membuat aduan polis terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), digugurkan jawatannya dalam Umno.

Berita itu disampaikan oleh rakannya yang menonton rancangan berita di televisyen malam tadi, katanya kepada Malaysiakini.

"(Saya) tidak dimaklumkan langsung. Kawan (saya) kata (berita itu) keluar TV3," katanya.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas beliau didapati telah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Surat kepada Khairuddin bulan lalu dilaporkan ditandatangani oleh setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya sama ada pengguguran jawatannya itu berkaitan isu 1MDB, Khairuddin berkata: "Tidak berani hendak buat spekulasi.

"Tetapi kenapa (saya) tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab dan tidak dipanggil ke ibu pejabat Umno untuk memberi pencerahan?"

Tindakan terhadap Khairuddun, yang sering menjadi sorotan media sewaktu kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2000, dipercayai susulan masalah kewangan yang dihadapinya.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Bagaimanapun beliau masih seorang ahli Umno dan layak menyertai mesyuarat parti tetapi tidak boleh dilantik walau boleh mengundi.

Dalam kenyataan bertulisnya, beliau juga menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan itu kerana masalah hutangnya dalam proses penyelesaian

"Saya tidak terkejut langsung dengan berita jawatan saya telah dilucutkan oleh Umno disebabkan oleh kes jaminan korporat saya. Hakikatnya, (ia) sedang dalam fasa penyelesaian oleh pihak peguam," katanya.

"Namun saya amat hairan dengan sikap ibu pejabat Umno Malaysia yang tidak pernah memanggil saya untuk memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar kes tersebut yang hakikatnya sedang selesai."

Khairuddin, yang beristerikan pelakon terkenal Umie Aida di Mekah, menegaskan beliau akan terus berkempen untuk "menegakkan kebenaran dan melawan rasuah secara habis-habisan."

"Saya seorang yang amat kental dalam perjuangan... Untuk kepentingan rakyat, saya tidak akan berganjak daripada landasan ini walaupun terpaksa menempuhi pelbagai tekanan politik," tambahnya.

Beliau, yang merancang ke Mekah hari ini, akan menjelaskan kedudukannya dalam parti selepas pulang dari tanah suci.

Disember lalu, Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB, syarikat pelaburan nasional yang berdepan dengan pembayaran hutang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Bayar lebih harga minyak esok? Salahkan 1MDB

Posted: 28 Feb 2015 05:49 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pemansuhan sistem subsidi bahan api bukan hanya membuat pengguna terdedah kepada turun naik harga minyak mentah global tetapi juga ketidakstabilan nilai ringgit sepertimana ramai yang akan rasainya melalui harga bahan api esok.

Walaupun kerajaan hanya dijangka mengumumkan harga runcit bahan api rasmi untuk Mac malam ini, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli telah memberi amaran bahawa ia akan menjadi lebih tinggi.

Rafizi berkata kenaikan kecil dalam harga minyak mentah dunia, menjadi lebih teruk dengan ringgit yang lemah yang sebahagiannya disebabkan oleh masalah lebih RM40 bilion hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimiliki kerajaan.

"Oleh itu, turun naik ringgit mempunyai kesan yang terus kepada harga minyak yang dibayar oleh rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, kadar matawang ringgit kini jatuh ke paras terburuk sejak krisis kewangan Asia 1998.

"Jika Datuk Seri Najib menyalahkan pasaran minyak mentah dunia akibat turun naik harga minyak, maka beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada turun naik kadar matawang ringgit.

"Kenaikan harga petrol dan diesel yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam bulan-bulan mendatang adalah akibat kegagalan beliau sebagai perdana menteri dan menteri kewangan. kata Rafizi.

1MDB dimiliki oleh Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib, dan beliau juga adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat tersebut.

Negara kini menggunakan sistem apungan terurus di mana harga purata minyak untuk bulan semasa digunakan sebagai penanda aras untuk menentukan harga runcit bahan api bulan seterusnya.

Oleh itu, turun naik nilai ringgit mempunyai kesan yang terus kepada harga minyak yang dibayar oleh rakyat.

"Ini menimbulkan kesulitan kepada rakyat kerana kejatuhan harga minyak bermula dari September 2014 diiringi dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding AS.

"Nilai ringgit yang kini didagangkan pada tukaran sekitar RM3.60 bagi setiap AS$1 telah susut sebanyak 10 peratus dalam tempoh enam bulan berbanding tempoh asal sekitar RM3.30 bagi setiap AS$1," kata Rafizi

Harga RON95, RON97 dan diesel naik 25 sen

Posted: 28 Feb 2015 05:46 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Selepas harganya menurun sejak beberapa bulan lalu, harga bagi RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 25 sen, berkuatkuasa tengah malam ini.

Mulai 1 Mac, harga baru RON95 ialah RM1.95 seliter, RON97 (RM2.25 seliter) dan diesel (RM1.95 seliter).

"Harga baru ini akan berkuatkuasa  bagi bulan Mac 201," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan, katanya, akan mengikuti perkembangan harga kos produk dan kadar pertukaran matawang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.

Bulan lepas, harga RON95 turun ke paras terendah sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009, didorong oleh kejatuhan mendadak harga minyak dunia, yang kini agak bertambah baik.

Harga bahan api tertakluk kepada sistem apungan terurus sejak Disember tahun lalu selepas kerajaan menghapuskan sistem subsidi.

Pada masa itu, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM2.26, RM2.46 dan RM2.23 selitar.

Pada 1 Januari, bagaimanapun, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM1.91, RM2.11 dan RM1.93 seliter dan bulan lepas harganya terus menurun.

Tiada ulasan: