• Majlis Menandatangani "Heads Of Agreement" Pelaksanaan MoU Antara Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri Selangor Berhubung Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Selangor. - Foto ihsan FB Khalid Ibrahim Majlis Menandatangani "Heads Of Agreement" Pelaksanaan MoU Antara Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri Selangor Berhubung Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Selangor. - Foto ihsan FB Khalid Ibrahim
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pemeteraian Perjanjian Dasar Induk penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya meskipun berlaku pertukaran Menteri Besar di negeri itu.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata perjanjian itu telah melalui proses yang sah melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Beliau yakin ia bukan dibuat atas dasar individu memandangkan hala tuju pemeteraian perjanjian itu juga jelas untuk menyelesaikan isu bekalan air yang berlarutan sejak 2008 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Jika misalnya berlaku pertukaran Menteri Besar dan perjanjian itu ingin ditarik balik, akan ada implikasi dari segi undang-undang kerana ia adalah satu perjanjian yang sah.
"Dalam perjanjian itu pasti ada syarat-syarat jelas jika terdapat mana-mana pihak ingin menarik diri, tindakan boleh dikenakan atau perlu membayar ganti rugi," katanya kepada Bernama.
Pada Jumaat, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di negeri itu.
Kerajaan Persekutuan diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili manakala kerajaan Selangor diwakili Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Perjanjian itu adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 26 Feb lepas berkaitan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) dan Sistem Agihan.
Mengulas mengenai pemilihan tarikh pemeteraian perjanjian itu di tengah-tengah kemelut perebutan jawatan Menteri Besar di Selangor, Ahmad Martadha berkata ia bukanlah ditandatangani dalam keadaan terburu-buru.
"Soal pertukaran Menteri Besar di Selangor tidak ada kaitan dengan perjanjian itu kerana perbincangan mengenai penyelesaian isu air di negeri itu telah lama dibuat antara kedua-dua pihak.
"Kita perlu ingat bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ada pejabat dan pegawai undang-undang mereka, jadi perjanjian yang penting untuk kesejahteraan rakyat tidak akan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa," katanya.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia S. Piarapakaran berkata semua halangan terhadap penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Lembah Klang telah dapat diselesaikan menerusi pemeteraian perjanjian itu.
"Perjanjian ini penting dalam memastikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berjalan lancar dan sempurna, tambahan Selangor adalah sebuah zon pesat membangun dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi," katanya.
Bagaimanapun, Piarapakaran menyarankan beberapa langkah harus dilaksanakan bagi menangani kekurangan air di Selangor untuk jangka masa pendek dan sederhana sebelum hasil perjanjian dapat dirasai pada 2017.
Antaranya ialah dengan memperkenalkan sistem prarawatan untuk mengurangkan kandungan ammonia dalam air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi dan LRA Batu 11 Cheras.
Piarapakaran berkata melalui sistem itu, kandungan ammonia boleh dikawal dalam kuantiti boleh dirawat oleh kedua-dua LRA berkenaan, selain daripada kos pelaburan yang lebih berpatutan tanpa risiko tambahan.
Katanya, pemantauan empangan Sungai Selangor juga perlu diperketatkan dan pada masa yang sama tahap kritikal empangan dinaikkan kepada aras 50 peratus.
Beliau berkata tahap kritikal semasa ditetapkan kerajaan Selangor adalah pada aras 30 peratus dan ia tidak bersesuaian memandangkan empangan itu membekalkan keperluan air mentah hampir 60 peratus di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Apabila aras air di empangan lebih rendah daripada 30 peratus, kualiti air mentah juga akan terjejas. Jika berlaku gangguan atau perubahan kepada taburan hujan, fungsi empangan akan lebih terjejas seperti situasi sekarang," katanya.
Alternatif lain yang boleh dilaksanakan termasuklah menambah kolam takungan berdekatan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Bukit Tampoi bagi meningkatkan kuantiti air mentah di samping mengurangkan kehilangan air mentah dalam pengaliran semasa musim kering, katanya. - Bernama