• Isu MB Selangor
1 / 1
SHAH ALAM - Krisis perebutan kerusi Menteri Besar Selangor tercetus dengan 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pada PRK Kajang Mac lepas, bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

27 JANUARI: Wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai Adun kawasan Kajang bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada PRK kawasan itu.

Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi Dun Kajang selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwatnya, lalu
isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipertaruhkan untuk kerusi itu.
  
26 FEBRUARI: Abdul Khalid mewakili Kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang tertangguh sejak 2008.

Tindakan itu mengecewakan pimpinan PKR yang mendakwa Abdul Khalid tidak membincangkan mengenai perkara tersebut dengan mereka.
  
 26 JUN: Abdul Khalid gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan parti apabila tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam.

21 JULAI: PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.
  
22 JULAI: Abdul Khalid dalam kenyataan media berkata walaupun menghormati keputusan PKR yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai penggantinya, namun segala tatacara pelantikan perlu dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Abdul Khalid berkata sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
  
25 JULAI: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor atas alasan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
  
1 OGOS: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyuarakan sokongan penuh parti itu terhadap cadangan meletakkan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
  
4 OGOS: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan nota setebal lebih 40 muka surat mengenai dakwaan salah laku Abdul Khalid seperti isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana.

 5 OGOS: Lembaga Disiplin PKR hantar surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid mengenai keengganannya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
  
6 & 8 OGOS: Abdul Khalid membalas surat tunjuk sebab.

9 OGOS: PKR memecat Abdul Khalid daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
  
Abdul Khalid dalam kenyataan media kemudian memberitahu bahawa beliau menerima keputusan PKR yang memecatnya daripada parti walaupun beliau mendakwa tindakan itu salah dan cacat dari segi undang-undang.
  
10 OGOS: Abdul Khalid memberitahu pemberita bahawa beliau akan meneruskan tugasannya seperti biasa sehingga mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor diadakan pada 11 Ogos.
  
11 OGOS: Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi memaklumkan pemecatannya daripada PKR selain membincangkan kemelut jawatan Menteri Besar.
  
11 OGOS: Dalam sidang media khas kemudiannya, Abdul Khalid mengumumkan bahawa beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
  
Menteri Besar itu turut menyarankan supaya anggota Exco yang tidak menyokong kepimpinan beliau supaya meletak jawatan. Beliau juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri secara individu bagi mengetahui sokongan dan pendirian mereka terhadap kepimpinan beliau.

12 OGOS: Empat anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada Pas berkata akan terus berkhidmat di bawah pentadbiran Abdul Khalid seperti yang diarahkan pucuk pimpinan parti itu.

Enam anggota Exco daripada DAP dan PKR dalam kenyataan bersama berkata mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat  Kerajaan Negeri (MMKN).
  
Selain itu, keenam-enam Exco itu dilaporkan berkata dalam urusan yang membabitkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik. Mereka juga berkata Abdul Khalid dan MMKN tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.

12 OGOS: Abdul Khalid mengumumkan telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon perkenan untuk memecat enam anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR yang tidak menyokong pentadbirannya.

Keenam-enam Exco terbabit dalam sidang media bagaimanapun bertekad untuk datang ke pejabat masing-masing di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam esok kerana menganggap pemecatan itu tidak sah berikutan belum mendapat perkenan Sultan Selangor.
  
13 OGOS: Abdul Khalid mempengerusikan mesyuarat MMKN dengan dihadiri empat anggota Exco kerajaan negeri daripada Pas dan tiga pegawai ex-officio.
  
13 OGOS: Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Abdul Khalid mengumumkan pemecatan lima anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR dibuat secara sah dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa semalam (12 Ogos).

Beliau turut mengesahkan surat pemecatan kepada seorang Exco daripada PKR Rodziah Ismail masih belum dihantar kerana Adun Batu Tiga itu dikatakan berada di luar negara.
 
Abdul Khalid juga berkata jumlah korum yang menghadiri mesyuarat MMKN memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah.
  
14 OGOS: Abdul Khalid mengesahkan pihaknya telah menerima surat peletakan jawatan daripada Rodziah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa hari ini (14 Ogos).
  
14 OGOS: Dr Wan Azizah pada sidang akhbar di Subang Jaya hari ini mengumumkan beliau mendapat sokongan majoriti daripada 30 Adun Pakatan Rakyat termasuk dirinya untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.

Turut menyatakan sokongan kepada Presiden PKR itu ialah Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin, kedua-duanya daripada Pas.
  
Abdul Khalid bagaimanapun dalam satu kenyataan berkata dakwaan Dr Wan Azizah itu perlu diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya di Dun Selangor, sebagaimana yang termaktub mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

14 OGOS: PAS Selangor dalam satu kenyataan memberi tempoh 24 jam kepada Hasnul dan Saari untuk menarik balik pendirian mereka yang menyokong Dr Wan Azizah atau berdepan dengan tindakan disiplin daripada parti.

15 OGOS: Sultan Selangor telah menitahkan Abdul Khalid  supaya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman mengenai jawatan menteri besar sehingga baginda pulang ke tanah air pada 27 Ogos ini.

17 OGOS: Pas mengumumkan tidak menyokong lagi kepimpinan Abdul Khalid dan mencalonkan dua nama, Dr Wan Azizah dan Timbalan PKR Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

17 OGOS:  Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang bermesyuarat kemudiannya memutuskan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

20 OGOS: PKR dipanggil oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 Ogos ini berhubung aduan Abdul Khalid yang menuntut ROS menyiasat sama ada keputusan lembaga disiplin dan majlis pimpinan pusat PKR memecat beliau dari parti pada 9 Ogos lepas melanggar perlembagaan parti.
  
21 OGOS: Pas Selangor mengumumkan tidak bercadang untuk meletakkan mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

23 OGOS: Abdul Khalid berkata beliau akan memutuskan tarikh untuk menghadap Sultan Selangor berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar pada Isnin ini.

24 OGOS: PKR mengakui wujud situasi ketidaktentuan dalam PR berikutan masih belum menerima sokongan sepenuhnya daripada Pas berhubung keputusan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

24 OGOS: Anwar berkata kelemahan Abdul Khalid dalam menangani masalah perbandaran di Selangor merupakan sebab utama beliau perlu melepaskan jawatan sebagai menteri besar.

25 OGOS: Abdul Khalid mengesahkan beliau akan menghadap Sultan Selangor pada 26 Ogos bagi mendapat nasihat dan pandangan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor.
  
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat berkata 13 Adun Pas Selangor tidak akan menandatangani surat akuan bersumpah yang diminta oleh PKR bagi mengesahkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

26 OGOS: Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

Dalam sidang media kemudian, Abdul Khalid memaklumkan bahawa beliau telah memohon untuk meletak jawatan sebagai menteri besar tetapi Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatannya itu sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Abdul Khalid berkata baginda menitahkan pemimpin Pakatan Rakyat - Pas, PKR dan DAP - supaya mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor.
  
Ini bagi memudahkan baginda menentukan dan memberi perkenan kepada calon yang berkelayakan untuk dilantik sebagai menteri besar. - Bernama