Selasa, 21 Oktober 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


"Touch a dog" dan bodohkan orang Islam (21/10/14)

Posted: 20 Oct 2014 08:09 PM PDT


Program "I want to touch a dog" yang kononnya bermaksud membawa kempen "awareness" atau kesedaran terhadap haiwan anjing kepada masyarakat Islam ternyata telah mengundang kontroversi. Ada yang mengatakan bahawa memang ia sengaja mahu mengundang kontroversi. Ia terus didebatkan sampai hari ini.
Menurut laporan 800 telah hadir dan hampir separuh Non Muslim, hairan juga kempen yang bermaksud memberi kesedaran kepada masyarakat Islam turut menarik minat yang bukan Islam? Atau apa sebenarnya agendanya?

Apa pun sesungguhnya rata-rata masyarakat Islam di Malaysia bukannya asing pun dengan anjing ini. Lantaran Malaysia sebuah Negara berbilang kaum, masyarakat Islam memang telah terdedah kepadanya, ada jiran bukan Islam yang membelanya, anjing-anjing terbiar banyak berkeliaran di ceruk bandar dan kampung, malah pihak keselamatan Polis dan Tentera selain Kastam juga punya Unit anjingnya.
Dan rata-rata masyarakat Islam sedar dan tahu akan hukum-hakam berkaitan dengan haiwan ini. Disekolah rendah lagi, dalam kelas Pengajian Islam mereka sudah diajar, tambah lagi jika ke sekolah agama selain didikan dari ibu-bapa kaum keluarga masing-masing. Lebih-lebih lagi dengan dunia ICT hari ini tiada soalan tanpa jawapan cuma dihujung jari sahaja.

Anggapan seolah-olah program ini telah membuka mata masyarakat Islam berkenaan hukum-hakam anjing ini seakan meletakkan taraf pendidikan masyarakat Islam berkenaan agama mereka sendiri begitu rendah dan jahil sekali.
Penganjuran program ini memberi gambaran seolah umat Islam di Malaysia ini benci anjing dan tidak tahu bahawa Islam sebenarnya tidak mengajar umat Islam berbuat demikian.

Jahil atau tidak seorang Islam, pada asasnya rata-rata mereka tahu pantang-larang berkenaan anjing. Budak kecil di sekolah rendah pun ada pengetahuan berkenaannya. Oleh kerana ianya melibatkan peraturan yang rumit dan boleh mencetuskan kesusahan apabila mahu melaksanakan ibaat ritual harian maka umat Islam yang umumnya bermazhab Syafiee dididik sejak kecil untuk menjauhkan diri dari haiwan ini. Namun tidak seperti khinzir mereka tahu ada kelonggaran yang membenar mereka menyentuhnya dan ada adab yang perlu dipatuhi kiranya berada pada status najis.
Untuk memberi didikan darihal hukum dan peraturan berkenaan menyentuh haiwan ini bolehlah diterima dan malah digalakkan tetapi pada waktu yang sama membawa haiwan-haiwan ini untuk disentuh dan dibelai, seolah menjadikan masyarakat Melayu Islam ini "orang buta" yang tidak mengenali sussuk rupa sang gajah.

Lantaran itu saya faham mengapa ramai yang terpanggil mengkritik penganjuran program ini. Malah difahamkan pihak MAIS dan Ustaz yang diundang memberi penerangan pun rupanya tidak tahu bahawa majlis ini turut melibatkan program menyentuh dan membelai haiwan ini secara terbuka.
Ternyata penganjur sebenarnya telah lebih mencetuskan kontroversi dan meletakkan Islam sebagai bahan senda-gurau dan terbuka untuk diperlekehkan khususnya oleh masyarakat lain hasil inisiatif dangkal beliau. Bijak sungguh penganjur.

 

 

 

Tiada ulasan: