Jumaat, 24 Oktober 2014

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[MENARIK] 28 Okt: Keputusan Mahkamah Untuk Anwar & Hadi

Posted: 24 Oct 2014 12:05 AM PDT


Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan tidak timbul isu diantara menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 28 Oktober ini.

Anwar dan Hadi akan dihadapkan ke mahkamah pada tarikh yang sama namun tempat yang berbeza.

Menurutnya, kronologi kes di antara Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Presiden PAS adalah sangat berbeza.

"Kes Anwar ini sudah berlangsung selama bertahun-tahun, melibatkan isu-isu tentang keadilan, isu kehakiman dan juga isu pendakwaan yang terpilih.

"Maknanya tabiat kes Anwar ini cukup berliku dan ini berbeza dengan tabiat dan kes Presiden PAS," katanya ketika dihubungi FMT.

Jelasnya, motif hukuman juga tidak sama.

"Anwar sudah sampai ke tahap rayuan yang merupakan jalan terakhir.

"Manakala Presiden saya, dia diminta hadir ke mahkamah mengenai pertuduhan yang dikatakan fitnah terhadapnya," ujar beliau lagi.

Walaubagaimanapun, Mujahid tidak menafikan bahawa Anwar dan Hadi merupakan pemimpin besar di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mujahid turut membayangkan bahawa kemungkinan pemimpin PAS dari Pantai Timur akan turun ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu manakala pemimpin lain akan berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan di Parlimen dan juga memberi sokongan kepada Anwar.

Namun demikian Mujahid tidak menyatakan sama ada beliau akan menghadiri kes Anwar ataupun Hadi.

"Saya belum buat apa-apa keputusan. Implikasi di Kuala Lumpur dan di Terengganu juga berbeza. Kita kena faham.

"Saya berasakan saya kalau dapat hadiri di kedua-dua tempat adalah lebih baik. Tetapi apakan daya saya tidak boleh berada di dua tempat yang sama," ujar beliau.

Pada 28 Oktober ini, Hadi akan menghadiri perbicaraan kes saman fitnah oleh calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada jam 9 pagi. Manakala Anwar akan menghadiri Mahkamah Tinggi Putrajaya bagi tuduhan liwatnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menyatakan beliau akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi mengiringi kes Presiden PAS pada tarikh tersebut. Manakala, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa beliau akan hadir ke Putrajaya bagi memberi sokongan kepada keluarga Anwar Ibrahim. -FMT







IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





[KISAH MASYARAKAT] Insaf Setelah Hamil & Lahirkan Anak Luarnikah..

Posted: 23 Oct 2014 05:55 PM PDT

Suriyani (kanan) menceritakan pengalaman hidupnya kepada salah seorang pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Program Hari Kecemerlangan Baitul Ehsan. Suriyani (kanan) menceritakan pengalaman hidupnya kepada salah seorang pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Program Hari Kecemerlangan Baitul Ehsan.

Sabak Bernam - "Bayangkan saya hamil sewaktu saya tingkatan tiga, macam mana saya nak rahsiakannya daripada ibu bapa sedangkan perut makin membesar," kata Suriyani (bukan nama sebenar), 21.

Suriyani yang kini menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkata, peristiwa lima tahun lalu itu masih segar di ingatan setelah disahkan hamil selepas dirogol seorang lelaki tidak dikenali di sebuah jirat Cina.

Menurutnya, kejadian itu menjadi titik hitam dalam hidupnya selepas dia bersama rakan-rakannya berhibur sambil meneguk minuman keras sebelum dia dipelawa seorang lelaki menaiki sebuah kereta.

"Saya tak sedar apa yang berlaku waktu tu kerana mabuk, sebaik sedar saya dah berada di kubur Cina. Ketika itu rasa dunia ini kelam selepas dirogol dan dibiarkan di kubur," katanya kepada Sinar Harian.

Suriyani memberitahu, sebulan selepas kejadian itu, dia mula merasakan perubahan pada dirinya akibat sering kali ke tandas kerana mengalami muntah yang teruk terutama ketika sedang belajar di dalam kelas.

"Saya merahsiakan kehamilan ini hingga kandungan berusia sembilan bulan sebelum seorang guru kaunseling menegur saya dan meminta saya berdiri sambil menyuruh saya memegang perut.

"Saya hanya menangis dan memberitahu saya mengandung sembilan bulan sebelum dia membawa saya berjumpa dengan pengetua yang baru dua hari melapor diri di sekolah berkenaan," katanya.

Menurut anak bongsu dari tujuh beradik itu, ibu bapanya hanya mengetahui dia hamil setelah dia dimasukkan ke sebuah hospital kerajaan pada 13 Mac 2010 dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki dua hari selepas itu.

"Memang ibu bapa saya amat kecewa selepas mengetahui saya lahirkan anak luar nikah, tapi apa boleh buat, nasi dah jadi bubur, cuma mereka tak putus-putus beri perangsang kepada saya untuk teruskan hidup," katanya.

Bagaimanapun, sikapnya yang suka berfoya-foya dengan rakan-rakan masih diteruskan selepas habis berpantang hinggalah dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan pindah ke sebuah sekolah baharu.

"Saya mula pergi kelab malam dan minum arak sejak tingkatan satu lagi. Semuanya kerana pengaruh rakan-rakan. Saya rasa segala tekanan hilang setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan," katanya.

Menurutnya, dia hanya bersekolah selama dua minggu di sekolah baharu sebelum dia dibawa ibu bapanya menjalani rawatan pemulihan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan Sabak Bernam.

"Pada mulanya memang saya tak nak datang ke sini kerana tak bebas, tapi selepas tinggal beberapa minggu, saya rasa seronok dan jiwa semakin tenang selain tekad untuk berubah," katanya.

Selepas keluar dari pusat perlindungan wanita itu, Suriyani kemudiannya belajar di sebuah sekolah aliran agama swasta dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setahun lewat daripada rakan-rakan seusianya.

"Saya insaf dan bergaul dengan rakan-rakan yang baik di sekolah agama dan kemudiannya menyambung pengajian di sebuah IPT di Melaka dan berhenti sebelum menyambung pengajian peringkat asasi dan ijazah di kolej sekarang," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya dapat menerima dirinya, malah anak yang dilahirkannya itu yang kini berusia lima tahun dijaga baik kakak sulungnya.

"Saya berharap walaupun anak saya bukan anak sah taraf, dia boleh jadi pemimpin yang baik suatu hari nanti.

"Saya sebenarnya malu dengan diri sendiri bagaimana nak bagi tahu dia adalah anak saya, sedangkan dia menganggap saya makciknya, saya harap dia dapat memaafkan kesalahan yang saya lakukan," katanya.

ULASAN GB

Bumi mana tak ditimpa hujan...

Syukur alhamdulillah kerana telah insaf dan diselamatrkan oleh Allah... Semuga kisah ini menjadi iktibar kepada yang lain terutama para remaja di luar sana...

Jangan terpedaya dan terjerat dengan hawa nafsu ... buruk padahnya..







IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





Fitnah & Ancaman Bunuh Penganjur Program Anjing Keterlaluan

Posted: 23 Oct 2014 05:45 AM PDT


Murshid: Jangan melenting kempen sentuh anjing

SHAH ALAM - Penganjuran program 'I Want To Touch A Dog' yang menjadi kontroversi pada minggu lalu disifatkan cuba mencipta provokasi terhadap masyarakat setempat.

Namun, para ilmuan, pihak berkuasa dan masyarakat dinasihatkan tidak melenting dan terlalu emosi ketika berdepan dengan perkara tersebut sehingga ada yang membuat ugutan kekerasan kepada penganjur berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kebijaksanaan masyarakat dan kematangan menghadapi situasi kepelbagaian pendapat, kefahaman dan perbezaan perlu dipandu dengan lunak serta berhemah.

"Para ilmuwan dan orang ramai yang mengecam walaupun berniat baik namun mungkin terlalu emosi sehingga berlebihan dalam melabel, tuduhan dan ancaman.

"Para ilmuwan dan pihak berkuasa sepatutnya tidak melenting, menjadi juara dalam melabel dan mengutuk. Sepatutnya mereka memandu orang ramai untuk tenang berdepan perbezaan pendapat dalam masyarakat awam kerana pandangan selain mazhab Syafie boleh diikuti oleh masyarakat awam di zaman internet dan globalisasi ini.

"Maka untuk menempelak terlalu keras terhadap mereka yang terkeluar dari ijtihad mazhab Syafie seolah-olah mereka menjadi liberal atau terkeluar Islam adalah juga tidak berhemah dalam mendidik masyarakat,"
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan pihak penganjur membuat permohonan maaf kepada pihak berkuasa dan masyarakat atas tindakan kurang bijak tersebut.

"Orang ramai pula, dinasihati tidak mengeruhkan suasana dengan membuat ugutan kekerasan terhadap penganjur dan mereka yang menyertai. Cercaan, makian dan kutukan keras hanya membawa kalian kepada potensi menambah dosa-dosa. Nasihat sahaja mereka dengan baik disertai dalil-dalil yang difahami, bukankah itu lebih enak dan harmoni.

"Penganjur walau niatnya baik mungkin tersalah pendekatan dan tidak teliti dalam penganjuran hingga memilih tajuk dan provokatif sehingga mungkin dilihat mencabar kefahaman awam tentang anjing. Justeru itu, elok penganjur memohon maaf sahaja kepada pihak berkuasa dan masyarakat awam yang terusik dengan tindakan kurang bijak mereka," katanya.

Menurutnya, meskipun tujuan program itu baik namun pelaksanaannya tidak tepat dan tidak berhati-hati serta terlalu terbuka tanpa kawalan dan panduan jelas diberikan kepada para pesertanya.

Menyentuh soal penganjuran tersebut, beliau berpendapat jika program menjelaskan pendirian Islam tentang anjing ia wajar dilaksanakan namun menyentuh anjing beramai-ramai tanpa sebab dan keperluan jelas itu sudah tentu mencipta provokasi terhadap masyarakat setempat.

"Sefaham saya, jika ingin menganjurkan program yang menjelaskan pendirian Islam tentang anjing, keringanan ketika menyelamatkan anjing, Islam rahmat kepada haiwan termasuk anjing, mengajar masyarakat agar tidak membenci anjing tanpa sebab syarie atau sebagainya, program sebegitu adalah boleh dibuat dan wajar diterima.

"Namun jika program menggunakan tema 'saya mahu sentuh anjing' dan seolah-olah majlis menyentuh anjing beramai-ramai tanpa sebab dan keperluan yang jelas kemudian diikuti dengan bergambar, memeluk dan menciumnya dalam kalangan orang Islam, maka itu sudah pastinya mencipta provokasi terhadap masyarakat setempat.

"Walaupun mazhab Maliki menganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis, namun pandangan dan pegangan masyarakat setempat perlu diambil kira.

"Ditambah lagi dengan ijtihad ulama mazhab Syafie yang mengharamkannya sentuhan tanpa sebab yang syarie. Mazhab Hambali turut menganggap anjing sebagai najis yang tidak harus menyentuhnya tanpa sebab yang syarie," katanya. -SH

Penganjur program 'sentuh anjing' terima ancaman bunuh di media sosial

Selepas menerima pujian daripada ramai rakyat Malaysia kerana kerja amalnya, Syed Azmi Alhabshi kini menjadi sasaran ancaman bunuh dan tuduhan murtad daripada orang Melayu-Islam di media sosial.

Kebanyakan orang Melayu sangsi dengan keberaniannya menganjurkan acara untuk mendidik orang ramai mengenai pendirian Islam tentang anjing, menyebarkan nombor telefon bimbitnya atas talian, sementara di aplikasi WhatsApp, mesej dihantar mengatakan dirinya seorang Kristian yang menyamar.

Sebelum ini Syed Azmi mudah untuk dihubungi melalui telefon bimbitnya atau Facebook, kini beliau menghilangkan diri. Tetapi di Facebook, rakan-rakannya, keluarga dan jiran dari Taman Tun Dr Ismail memberikan respons terhadap ancaman bagi pihaknya.

Bagaimanapun, kebanyakan ancaman beliau terima melalui komen terhadap posting di Facebook oleh Ustaz Mohd Kazim Elias yang menyelar acara tersebut.

"Saya dengan pandangan ustaz dan saya rasa penganjur ni jenis buta hati dan cetek ugama dan suka merosakkan ugama dan patut rejam sampai mati. He he," tulis Ghas Ku.

"Meh sini aku bagi sedas pelempang baru ada akal sikit penganjur tu," tulis Hafizzulnaim Samsuddin.

Seorang lagi pengguna Facebook Yusoff Ashaari mengatakan selain daripada mengambil tindakan terhadap Syed Azmi, orang ramai seharusnya mencari wanita-wanita yang mengambil gambar bersama anjing dalam acara tersebut, menarik tudung mereka untuk melihat sama ada mereka menggunakan kalung salib atau menyembunyikan tatu.

"Ustaz, penganjur ni benar-benar anjing," tulis Han Khalief.

Melalui akaun Facebooknya, Kazim menuduh program tersebut sebagai percubaan untuk memperkenalkan idea "liberal" atau "plural" kepada umat Islam dan menambah ianya akan memberi laluan kepada kempen menyentuh dan memakan babi.

Program yang diadakan pada Ahad di Bandar Utama terbukti begitu popular dengan kehadiran hampir 1,000 orang yang mengambil bahagian dan belajar tentang anjing dan pandangan Islam terhadapnya.

Kebanyakan yang hadir mengambil peluang untuk menyentuh anjing daripada pelbagai baka termasuk chow-chow, huski, German Shephard dan poodle dibawa ke acara tersebut oleh pemiliknya.

Sukarelawan di acara tersebut juga menunjukkan bagaimana proses pembersihan dipanggil sertu atau samak yang melibatkan membasuh bahagian berkaitan enam kali dengan air bersih dan sekali dengan tanah.

Bagaimanapun, kebanyakan Melayu – orang alim dan orang biasa merasa tersinggung dengan gambar orang Islam bermesra dan menyentuh anjing.

Di blog popular Sirap Limau, seorang pangguna internet Salsaparila menulis: "Memang celaka bangsat penganjur sial ni. Yang datang pun bodoh bangang takde otak punya orang. Harap-harap nanti mamat sial ni mati la kena gigit anjing."

Sementara mesej WhatsApp dikatakan daripada Majlis Agama Putrajaya disebarkan kepada umum.


Mesej tersebut mendakwa Syed Azmi merupakan seorang Kristian yang mahu menyebarkan ajaran Syiah dan menyamar menjadi ustaz selama setahun.

"Dari sumber yang sahih, dia sudah membayar semua organisasi Melayu Islam yang ada di Malaysia agar rancangan berjalan dengan lancar.

"Tujuannya adalah ingin menyebarkan agama baru seperti Syiah tetapi beliau secara halus dan tidak menampakkan rancangan beliau," tulis mesej tersebut.

Pengguna Facebook Terompah Besi memuat naik mesej sama akan tetapi tidak menyatakan ianya daripada Majlis Agama Putrajaya.

Beliau juga menyelitkan sebaris ayat mengatakan "berkemungkinan ini sebahagian agenda Yahudi untuk mengkristiankan orang-orang Islam di Malaysia dengan cara halus dan menggunakan laluan dari pemimpin DAP."

Sekurang-kurangnya dua laporan polis dilakukan terhadap acara tersebut menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim.

"Laporan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya dengan pengadu mendakwa sensitiviti umat Islam dipersendakan.

"Sudah diputuskan laporan polis itu akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan susulan.
-TMI










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





Tiada ulasan: