Jumaat, 24 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


'Bukan Azhar Idrus, jangan percaya'

Posted: 24 Oct 2014 01:05 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Penyebaran video lucah seorang lelaki yang didakwa mirip penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus adalah cubaan untuk menjatuhkan ulama, kata pembantunya, Zulkifli Wahab.

Zulkifli sekali gus menafikan dakwaan bahawa lelaki dalam video yang tersebar itu adalah Azhar Idrus, lapor Sinar Harian dan Berita Harian, hari ini.

"Bukan (dia), jangan percaya. Itu adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bukan sahaja Ustaz Azhar, tetapi juga golongan ulama di negara ini," katanya seperti dilaporkan kedua-dua akhbar itu.

Zulkifli turut mengaitkan video itu dengan program menyentuh anjing yang berlangsung baru-baru ini.

"Tengok sajalah program I Want to Touch A Dog, itu juga usaha kotor menjatuhkan golongan ulama dan ilmuan Islam, selain memesongkan akidah umat Islam dan meruntuhkan keteguhan Islam negara ini," katanya lagi.

Sementara itu, Sinar melaporkan usaha mendapatkan komen Azhar di Kuala Terengganu gagal.

Beliau dilaporkan bergegas keluar dari pintu belakang Masjid At-Taqwa Batu Enam, Kuala Terengganu diiringi pengikut dan anggota Unit Amal.

Ayuh berhijrah tinggalkan kezaliman tajaan BN

Posted: 24 Oct 2014 12:55 AM PDT

MOHAMAD NOOR MOHAMAD


BADAN Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan Selamat menyambut ketibaan 1hb Muharram 1436H, dengan harapan semua warga Wilayah Persekutuan berada dalam keadaan diredhai oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukannya hanya sekadar fakta di dalam lipatan sejarah,  tetapi memberikan signifikan yang sangat besar kepada suatu perjuangan untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama makhluk kepada pengabdian kepada Allah SWT yang menciptakan sekalian alam ini.

Penghijrahan adalah suatu yang penting untuk mengubah kehidupan manusia dalam keadaan dan suasana yang biasa inikan pula dalam keadaan yang tertindas dan terdesak.

Sejak Malaysia diperintah oleh Umno-BN, kehidupan rakyat semakin tidak menjadi keutamaan pemerintah. Bukan sahaja sedikit demi sedikit bahkan kezaliman dan penindasan dilakukan dalam skala yang lebih besar dan lebih 'terancang'.

Yang terkini,  kenaikan harga minyak adalah satu rompakan dalam skala yang besar terhadap pemilikan rakyat dengan menggunakan istilah yang memukaukan 'rasionalisasi subsidi'. Ia datang dalam bentuk pakej rompakan yang menyelinap masuk setiap ruang liang roma kehidupan rakyat bermula daripada harga secawan teh sehinggalah sebesar-besar barangan. Ia adalah sebahagian kecil daripada timbunan permasalah yang melanda rakyat Malaysia sekarang ini.

Di Wilayah Persekutuan sahaja, senarai kezaliman menjadi semakin panjang termasuklah yang terbaru kezaliman ke atas penduduk kampung Chubadak (Sudah lupa isu Kg Berembang?). Itu masih lagi belum menyentuh berkenaan kemiskinan kota yang menghimpit hampir semua warga kota.

Isu-isu baru seumpama IWTAD dicipta bagi melekakan warga kota daripada penderitaan yang dialami yang mengakibatkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dan isu yang paling terkini ialah isu bagaimana isu yang tidak pernah terlintas di benak pemikiran warga kota iaitu isu runtuhnya dinding flat Jalan Loke Yew yang memberikan isyarat kepada kebanyakan penghuni kediaman seumpamanya betapa 'istana' mereka tidak lagi berada dalam kondisi yang selamat strukturnya. DBKL perlu segera prihatin mengambil tindakan yang sewajarnya demi kesejahteraan warga kota.

Kezaliman seumpama ini tidak harus dibiarkan, 'Penghijrahan' minda dan kertas undi mesti dilakukan supaya kita tidak terus berada di dalam ' kubang kekotoran' yang lama.

Pensyair Arab pernah menukilkan "Panah yang berada dibusur tidak ada nilainya sehinggalah ia berhijrah ke sasarannya". Begitu juga "Air yang bertakung yang tidak  mengalir (berhijrah) pasti akan membiakkan penyakit dan kemudaratan".

PAS Wilayah Persekutuan amatlah berbesar hati sekiranya anda semua turut berhijrah bersama-sama kami untuk memerdekakan minda kita daripada terus dibelenggu oleh era taqlid buta kezaliman yang menjerumuskan kita ke lembah kegelapan. – HARAKAHDAILY

(*) Mohamad Noor Mohamad ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

'Perumahan kawasan bukit perlu kajian risiko tanah'

Posted: 24 Oct 2014 12:49 AM PDT

MALAYSIAKINI


Pihak berkuasa digesa agar tidak membenarkan projek perumahan di kawasan berbukit tanpa kajian risiko struktur tanah yang terperinci terlebih dahulu, kata pakar Geologi Struktur dan Tektonik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mustaffa Kamal Shuib.
  
Mustaffa Kamal berkata kajian itu penting bagi memastikan jenis bangunan yang dibina bersesuaian dengan struktur tanah di kawasan itu agar keselamatan penghuni untuk jangka masa panjang lebih terjamin.
  
"Kebanyakan tanah di negara ini bersifat lempung iaitu mudah menyerap air dan sekiranya hujan lebat berlaku akan menyebabkan tanah menjadi tepu dan hilang sifat kohesifnya sehingga berlakunya tanah runtuh," katanya kepada Bernama.
  
Mustaffa Kamal berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh di Apartment Teratai dekat Bukit Beruntung yang berlaku Isnin lepas.
  
Katanya pemotongan cerun di kawasan berbukit bagi membangunkan projek perumahan juga boleh menyebabkan struktur tanah tidak stabil dalam jangka masa panjang.
  
"Setiap projek perumahan pasti akan melibatkan pemotongan cerun di kawasan berbukit dan perkara ini secara tidak langsung telah mengganggu alam semula jadinya yang pasti akan menyebabkan kawasan tersebut tidak stabil dalam jangka masa panjang," katanya.  
  
Justeru, Mustaffa Kamal berkata pemaju perlu sentiasa bertanggungjawab dengan melakukan pemantauan berkala di projek perumahan walaupun selepas ia siap dan berpenghuni bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berlaku.
  
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Jamaludin Non berkata pemotongan cerun bagi membina bangunan di
tapak projek perumahan perlu menepati reka bentuknya melalui penilaian oleh jurutera profesional.
  
"Selain itu, sekiranya mempunyai kawasan cerun di kawasan itu, pihak pemaju perlu membina dinding konkrit yang dilengkapi dengan laluan pengaliran air dari atas ke bawah bagi memastikan tanah tidak mengalami tekanan di bahagian bawah," katanya.
  
Beliau menjelaskan apabila melakukan kajian terhadap struktur tanah, pihak pemaju perlu mengambil kira kajian pada keseluruhan kawasan itu dan bukan hanya
tertumpu kepada kawasan cerun yang berpotensi berlakunya tanah runtuh.

"Jika tapak projek perumahan terutamanya berdekatan dengan kawasan cerun itu disahkan selamat, ia bukan bermakna tiada tanah runtuh pada masa akan datang. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pembangunan di kawasan berdekatan yang mungkin akan menyebabkan air kembali mengalir ke sana dan menyebabkan tanah runtuh.
  
"Sebab itulah penelitian perlu dibuat di keseluruhan kawasan bukan hanya tertumpu kepada tapak projek perumahan sahaja sebelum mendapatkan kelulusan daripada pakar dan pihak berkuasa tempatan bagi membenarkan projek itu dilaksanakan," katanya.
  
Dalam pada itu, ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, June Leow berkata pihaknya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Wilayah serta Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk membaiki kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
  
"Ia bagi mengukuhkan semula tanah yang terjejas akibat pengaliran air dan mengurangkan risiko berlakunya tanah runtuh.
  
"Oleh sebab ada kabel elektrik berdekatan kawasan terjejas, kami juga akan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad untuk melakukan penyelenggaraan bagi memastikan kawasan itu selamat," katanya.
  
Leow berkata pihaknya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak dan berharap kawasan terjejas akan dibaiki secepat mungkin.
  
Sehingga kini, sebanyak 219 keluarga membabitkan 860 penduduk yang menetap di dua blok Apartmen berkenaan terlibat dalam insiden kira-kira 10 pagi, Isnin.
  
Mereka kini ditempatkan di tiga penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Sekolah Kebangsaan Taman Bunga 2 dan Sekolah Menengah Taman Bunga Raya 1.- Bernama

MB: Lebih RM700,000 baiki kerosakan di Pandamaran

Posted: 24 Oct 2014 12:46 AM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Kerajaan Selangor bersetuju untuk membaiki kerosakan rumah di dua kampung dan flat serta jeti akibat ribut taufan di Pandamaran, Klang Selasa lalu dianggarkan mencecah sehingga RM753,000.

Kejadian angin kencang itu merosakkan rumah penduduk di Kampung Pandamaran, Kampung Pandamaran Jaya, flat PKNS Pandamaran Jaya dan flat Pandamaran Permai Indah dan jeti nelayan Pandamaran di Sungai Aur.

Dalam kenyataannya, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bersetuju membaik pulih bumbung dan mengganti tangki air di flat Pandamaran Permai Indah.

"Kos pembaikan untuk kerja-kerja ini melibatkan kos RM600,000," katanya selepas mesyuarat exco yang bersidang semalam meneliti maklumbalas Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Daerah dan tanah Klang mengenai bencana itu.

Azmin berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula akan menampung kerja-kerja pembaikan di flat PKNS Pandamaran Jaya yang dijangka siap esok.

Sementara Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS) pula akan membina semula jeti nelayan Sungai Aur yang dianggarkan mencecah RM30,000.

Malah, Majlis Perbandaran Klang juga akan membersihkan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan pembersihan pokok-pokok yang tumbang akibat bencana angin kencang itu dengan kos dianggarkan RM73,000.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan sumbangan saguhati untuk membaikpulih kerosakan yang melibatkan kerangka kayu dan penggantian bumbung bagi lebih 40 buah rumah mengikut tahap kerosakan yang akan dinilai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

"Kos untuk maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000," katanya yang juga ADUN Bukit Antarabangsa.

Pada Selasa lalu, ribut taufan melanda Pandamaran mengakibatkan kira-kira 40 buah rumah mengalami kerosakan.

Sebelum itu, pada 14 Oktober lalu, angin puting beliung melanda Pendang, Kedah yang merosakkan lapan buah rumah dan menumbangkan beberapa batang pokok.
 

Umat Islam sambut tahun baru 1436 Hijrah esok

Posted: 24 Oct 2014 12:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


Umat Islam akan menyambut tahun baru 1436 Hijrah esok dan masyarakat Islam di negara ini sekali lagi memperbaharui azam dan tekad untuk memajukan diri selaras dengan tuntutan syariat.
  
'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' yang menjadi tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini dilihat bertepatan dengan keadaan masa kini apabila umat Islam berhadapan pelbagai cabaran termasuk perbezaan pemahaman soal agama sehingga menimbulkan percanggahan pendapat dalam banyak perkara.
  
Khuatir akan hal itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) Ahmad Fazrin Yahaya mengingatkan masyarakat Islam supaya kembali kepada al-Quran dan sunah sebelum perbezaan pendapat menjadi barah dalam penyatuan ummah.
  
Beliau berkata pada masa ini percanggahan pendapat dalam masalah agama timbul kerana umat Islam bergantung kepada logik akal tanpa menjadikan al-Quran dan sunah sebagai asas merungkai permasalahan.
  
Konteks ini, katanya bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak sesat selama mana kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu al-Quran dan sunah".

Justeru Ahmad Fazrin berkata pihak bertanggungjawab perlu proaktif menyemarakkan program keagamaan termasuk mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai kekeliruan pendapat berkenaan hukum bagi melahirkan masyarakat Islam celik agama.
  
"Jangan menunggu sehingga sesuatu hal berlaku baru nak mengeluarkan kenyataan, sebaliknya umat Islam perlu terus dididik untuk menitikberatkan kepentingan mempelajari ilmu agama agar sentiasa berada pada landasan syariat yang sebenarnya," katanya kepada Bernama.
  
Ahmad Fazrin berkata pengurusan khilaf (perbezaan pendapat) perlu dilakukan bagi memastikan setiap isu berkaitan agama dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
  
"Dalam hal ini, pihak berkuasa agama perlu mengangkat isu menguruskan khilaf ini, sekaligus mengambil contoh bagaimana para ulama dahulu menguruskan pertembungan dan perbezaan pendapat sesama mereka," katanya.
  
Pandangan sama dikongsi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Mohammad Fazril Mohd Saleh yang menyatakan bahawa umat Islam di negara ini perlu menerapkan konsep kesepakatan ummah dalam menangani isu-isu semasa.

Menurutnya, umat Islam harus bertindak lebih bijak apabila berhadapan dengan pelbagai permasalahan kompleks melibatkan sensitiviti agama, dan dalam masa sama menyelesaikannya tanpa perlu bertelagah.

Mengambil contoh isu penggunaan kalimah Allah, status halal coklat keluaran Cadbury Malaysia dan penganjuran program 'I Want To Touch A Dog', Mohammad Fazril berkata umat Islam tidak seharusnya cepat melatah mahupun bertelagah sesama sendiri bila wujud perbezaan pemahaman.
  
"Sebaliknya, kita perlu menyelesaikan masalah ini dengan cara yang betul mengikut syariat Islam supaya penganut agama lain tidak mempunyai persepsi negatif terhadap agama Islam," katanya.
  
Dalam pada itu, Mohammad Fazril mengajak golongan belia Islam untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama yang kukuh bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan perubahan dunia globalisasi yang kian mencabar.
  
Beliau berkata golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara juga harus menjadi ikon terbaik dalam membentuk jati diri belia Islam yang sejati pada masa akan datang.
  
Untuk itu, Mohammad Fazril berharap akan lahir lebih ramai ulama atau ilmuan Islam dalam kalangan belia yang berkredibel bagi membimbing golongan muda berfikir tanpa melampaui batasan agama Islam.- Bernama
 

'Hentikan 'pendakwaan politik' pada Anwar'

Posted: 24 Oct 2014 12:43 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


NGO hak asasi antarabangsa menggesa kerajaan supaya menghentikan "pendakwaan bermotifkan politik" terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch bagi Asia, Phil Robertson berkata, pendakwaan terhadap Anwar yang menurutnya untuk sesuatu yang tidak boleh dianggap sebagai jenayah, menunjukkan sejauhmana kerajaan bersedia lakukan untuk menghapuskan lawan politik.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia perlu menggugurkan kes mereka terhadap Anwar atau berdepan risiko mempersendakan sistem keadilan jenayah di negara ini.

Dalam satu kenyataan kenyataan hari ini, beliau mendakwa undang-undang liwat seperti artikel 377, bertentangan dengan standard undang-undang antarabangsa yang menurutnya telah diterima secara meluas.

Beliau menarik perhatian bahawa artikel 377 Kanun Keseksaan telah digunakan hanya tujuh kali sejak tahun 1938 (dengan memetik kajian oleh Women's Candidacy Initiative), di mana empat daripadanya membabitkan Anwar.

Anwar dibebaskan daripada tuduhan liwat keduanya, tetapi keputusan itu dibatalkan selepas kerajaan membuat rayuan.

Ketua Umum PKR itu kini merayu keputusan tersebut, dan mendakwa pasukan peguamnya menjadi sasaran Akta Hasutan untuk menghalang pembelaannya. 


Rizalman dihantar ke NZ hari ini

Posted: 24 Oct 2014 12:38 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Luar Malaysia mengesahkan bekas diplomat Muhammad Rizalman Ismail yang berdepan dakwaan melakukan serangan seksual dihantar balik ke Wellington, New Zealand hari ini.

Dalam kenyataan kementerian itu, dua anggota polis New Zealand dan dua pegawai tentera daripada Malaysia akan mengiringi Muhammad Rizalman dalam ekstradisinya.

Bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akhirnya kembali untuk diadili, berikutan permintaan rasmi untuk mengekstradisi Rizalman yang dibuat oleh kerajaan New Zealand pada 3 Oktober lalu.

Kementerian Luar berkata pihaknya yakin Muhammad Rizalman akan diberikan perbicaraan yang adil oleh mahkamah di New Zealand.

Jurucakap rasmi Wisma Putra memberitahu pemberita bahawa Rizalman berada dalam pesawat Malaysia Airline System MH133 yang berlepas jam 8.55 pagi ini dan dijangka sampai di Auckland sebelum tengah malam (waktu Malaysia kira-kira jam 7 malam).

Lima maut dalam kemalangan di Kota Tinggi

Posted: 24 Oct 2014 12:37 AM PDT

MALAYSIAKINI


Lima maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di KM61.2, Jalan Johor Bahru-Mersing, di Kota Tinggi malam tadi.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Low Hang Seng berkata mangsa yang terbunuh adalah pemandu dan penumpang kereta Perodua Kenari iaitu Rosmah Muda, 28, dan adiknya Fatimah, 24, serta pemandu dan penumpang Poton Wira iaitu Mohamad Shafie Pecek, 21, Mohamad Fayad Abdul Rahman, 21 dan Mohd Nizam Hassan, 29.
  
"Mangsa yang cedera parah pula adalah Nur Shafiqah, 14, yang merupakan adik kepada Rosmah dan Fatimah. Dia kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT)," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Low berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 10.40 malam apabila Proton Wira yang dinaiki Mohamad Shafie, Mohamad Fayad dan Mohd Nizam dari arah Kota Tinggi menghala ke Mersing itu berlanggar dengan Perodua Kenari yang datang dari arah bertentangan.
  
Difahamkan, ketiga-tiga sahabat itu dalam perjalanan pulang ke Felda Tenggaroh, di Kota Tinggi selepas menjamu selera di bandar Kota Tinggi.

Tiga beradik perempuan yang beralamat di Jalan Haji Arifin, Endau, Mersing, itu pula dalam perjalanan bagi tugasan mengandam pasangan pengantin di Felda Air Tawar 3, di Kota Tinggi.
  
Katanya, berikutan perlanggaran itu Rosmah, Fatimah dan Mohamad Fayad mati di tempat kejadian manakala Mohamad Shafie dan Mohd Nizam meninggal dunia di HKT.

Kesemua mayat dibawa ke HKT untuk bedah siasat. - Bernama

P Pinang haram pendatang jadi tukang masak gerai

Posted: 24 Oct 2014 12:35 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Kerajaan negeri Pulau Pinang meneruskan rancangan kontroversinya dengan mengharamkan golongan pendatang daripada bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja makanan di negeri itu.

Anggota exco, Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dicapai berdasarkan hasil tinjauan yang didakwa memberi sokongan ke atas cadangan berkenaan.

Katanya, tinjauan yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang itu menunjukkan 86 peratus responden setuju dengan objektif mengekalkan keaslian makanan Pulau Pinang.

Menurut Chow, tinjauan dijalankan ke atas 8,272 orang warga Pulau Pinang, 6,493 pelancong tempatan dan 45 orang pelancong asing, bermula 25 Julai hingga 31 Ogos.

"Menurut tinjauan, 86.02 peratus setuju jika Majlis Perbandaran percent agreed jika Majlis Perbandaran Pulau Pinang menarik balik lesen gerai penjaja yang menggaji tukang masak warga asing, dan hanya 13.98 peratus menolak idea itu," kata Chow dalam satu sidang media hari ini.

Chow berkata, satu pelekat dengan slogan "Makanan Pulau Pinang paling bagus" akan diberikan kepada kedai yang mematuhi dasar terbabit.

Ketua Menteri Lim Guan Eng pula berkata, dasar tersebut hanya akan dilaksanakan tahun depan, apabila ketetapan baru itu dimasukkan dalam syarat permohonan lesen.

Dasar berkenaan akan dikuatkuasakan ke atas semua penjaja gerai dan juga penjual makanan di pusat membeli belah.

Syarat berkenaan bagaimanapun dikecualikan kepada pengusaha restoran.

"Penjaja akan diberi tempoh peralihan setahun untuk mematuhi dasar itu sepenuhnya.

"Warga asing boleh membantu tukang masak atau membantu membersihkan gerai tetapi tukang masak utama mesti orang tempatan," kata Lim.

Siswa UM teruskan pidato Anwar walau dilarang

Posted: 24 Oct 2014 12:33 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) akan meneruskan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus itu Isnin depan walaupun dilarang pengurusan kampus.

Larangan itu dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof seperti yang dilapor akhbar Berita Harian hari ini.

"Kita akan teruskan," kata Presiden PMUM, Fahmi Zainol kepada Malaysiakini mengulas larangan itu.

Isu solat Jumaat: Peguam sokong hukuman

Posted: 24 Oct 2014 12:21 AM PDT


Roshdan Rafie Roshdan Rafie
 
 
SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menguatkuasakan hukuman kepada lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali disokong Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Timbalannya, Roshdan Rafie, berkata, dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 sendiri telah memperuntukkan denda sebanyak RM1,000 serta penjara selama setahun bagi kesalahan berkenaan.

"Tidak ada masalah bagi Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang ini dalam masa terdekat," katanya, semalam.

Menurutnya, masyarakat perlu mengubah perspektif negatif berhubung hukuman seperti dinyatakan dalam enakmen itu kerana sebarang hukuman yang bakal dikenakan mengikut prosedur betul.

"Bila mendengar dipenjarakan selama setahun, semua ingat bila ditangkap terus dimasukkan dalam penjara. Itu semua tanggapan salah. Sebelum dikenakan hukuman, individu yang didapati bersalah boleh mengemukakan bukti dan membela diri.

"Undang-undang ini tegas tetapi tidak kejam kepada orang Islam kerana dalam agama Islam telah dinyatakan tentang kesalahan serta dosa orang yang meninggalkan solat Jumaat ini," katanya.

Roshdan berkata, negeri-negeri lain perlu menjadikan contoh dalam menguatkuasakan undang-undang Islam.

"Kita lihat sendiri apabila hari Jumaat, lelaki Islam ramai di pusat beli belah dan kedai-kedai makan tanpa segan silu tidak menunaikan kewajipan menunaikan solat Jumaat," katanya.

Ketika diminta mengulas tindakan kumpulan peguam Lawyers for Liberty yang menyatakan tindakan Kerajaan Kelantan itu bertentangan dan melanggar perlembagaan negara berkaitan kebebasan individu, Roshdan berkata, peraturan dalam Islam tidak patut dipertikaikan tanpa memahami agama itu.

"Jangan cuba menjadikan agama sebagai bahan politik... Islam itu mudah dan tidak menindas umatnya," katanya.

Bicara kes saman Anwar-KJ 7,8 Mei depan

Posted: 24 Oct 2014 12:17 AM PDT

SINAR HARIAN

Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan dua hari bermula 7 Mei 2015 untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pesuruhjaya Kehakiman S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam J. Leela mewakili Anwar dan peguam Lew Cho Kang mewakili Khairy.

Cho Kang ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 7 dan 8 Mei untuk perbicaraan selepas tarikh sebelum ini pada 4 dan 5 Disember dilapangkan, manakala 6 April ditetapkan untuk pengurusan kes.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008.

Pada 20 Oktober lepas, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Khairy untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Oktober tahun lepas, yang tidak membenarkan Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau untuk meminda pernyataan pembelaannya dalam kes saman itu.

Beliau memfailkan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lepas menolak rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaan itu. - Bernama

Tiada ulasan: