Rabu, 22 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Video Rosmah senggol Najib jadi viral di laman sosial, dikritik umum

Posted: 22 Oct 2014 07:47 AM PDT

Oleh Lyn Nasir


KUALA LUMPUR : Video aksi Datin Seri Rosmah Mansor menyenggol bahu Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis rasmi bersama pemimpin Indonesia menjadi viral di laman sosial dan mendapat kritikan hangat orang ramai.

Rosmah singgung

Insiden tersebut berlaku ketika Najib yang diiringi isterinya itu menghadiri upacara mengangkat sumpah Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia ketujuh, di Jakarta Isnin lalu.

Rosmah yang duduk bersebelahan, mengalih pandangan ke arah Najib terlebih dahulu sebelum menyenggol kuat bahu Najib sehingga kejadian itu disedari orang yang duduk bersebelahan mereka.

Malah perlakuan Rosmah itu turut ditayangkan dalam slot berita perdana RTM pada hari yang sama.

Video berdurasi selama tiga saat itu secara jelas memperlihatkan tindakan Rosmah berkenaan sangat memalukan kerana sanggup memperlakukan Najib sedemikian rupa di hadapan umum.

Tingkah laku Rosmah itu bahkan menjadi 'buah mulut' rakyat Malaysia.

Salah seorang pengguna facebook, Terence Yeoh berkata, "tiada apa yang terkejut, rakyat Malaysia sudah tahu siapa 'bos' sejak dulu lagi".

Murni Sootchi pula menyatakan: "punya lah kuat singgung…sekarang tahulah kita macam mana PERMATA dapat peruntukan RM711 juta dalam Bajet 2015″.

Rosmah

Pengguna bernama Bigbosman Bos Buat turut membidas kelakuan Rosmah itu dengan berkata, "apa yang big mama menyasak kat situ..lepas itu buat perangai…menjatuhkan maruah PM je.. kampungan betullah…".

Sarif Sharifuddin pula mempersoal – "agaknya di rumah macam mana yer…(Rosmah)", tulisnya di facebook.

Ada juga yang memberi jolokan Rosmah sebagai 'queen control', 'contoh wanita mithali, 'Malaysia first lady', selain menyifatkan tindakan Rosmah itu sebagai 'memalukan
Malaysia'.

Berarak di London tolak Akta Hasutan

Posted: 22 Oct 2014 07:32 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Pada Sabtu muram di satu sudut di London, sekumpulan penunjuk perasaan tampil dengan nyanyian dan sorakan menggesa pemansuhan Akta Hasutan 1948 segera.

Hampir seratus rakyat Malaysia berkumpul di Suruhanjaya Tinggi Malaysia bagi menyatakan setiakawan dengan perarakan saman Badan Peguam Malaysia dua hari sebelum itu.

Kebanyakan peserta terdiri daripada pelajar, yang mereka membawa plakad dan kain rentang bagi mengetengahkan suara mereka.

Malah pesertanya juga datang daripada pelbagai pelosok United Kingdom, termasuk Leeds, Cardiff, Reading, Bristol, Nottingham, Warwick, York dan Southampton.

Dari Cardiff, mereka bangun seawal jam 4.30 pagi untuk mendapatkan bas ke London.

Daripada Nottingham mereka bergerak seawal jam 5 pagi untuk menaiki kereta api murah.

Daripada Leeds, mengharungi perjalanan lima jam menggunakan bas.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membuat penampilan mengejut dalam acara itu.

Pakatan belum usaha baiki imej

Posted: 22 Oct 2014 07:28 AM PDT


Oleh A Shukur Harun


Seperti yang saya katakan dahulu, politik sangat dinamik sifatnya, ia pantas berubah. Kerana itu, tidak mungkin persepsi masyarakat terhadap perkembangan politik akan terus kekal, tidak berubah.

Dalam hal ini, adakah pemimpin dan pendukung parti politik, khususnya Pakatan Rakyat, sedar dan mengakui hal ini, atau sekadar mengakuinya tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi perubahan ini? Sama-sama kita saksikan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, persepsi pengundi begitu ketara berubah, menyebabkan Barisan Nasional tidak mendapat majoriti di Parlimen, bahkan undi popularnya merosot kepada 48%, sementara Pakatan Rakyat mendapat undi popular 52%, sesuatu yang mengejutkan pelbagai pihak. Ertinya majoriti pengundi menyokong Pakatan Rakyat.

Ini berlaku dalam PRU12 dan PRU13, ketika Pakatan kuku berpadu, tidak ada krisis serius dalam parti komponen baik PAS, PKR mahupun DAP.

Maka, majoriti rakyat memberi sokongan kepada Pakatan, bahkan menaruh harapan Pakatan mampu menggantikan Barisan Nasional memerintah negara di masa depan.

Tetapi dinamik politik merubah segalanya. Lebih-lebih lagi apabila tercetus krisis politik di Selangor selama tujuh bulan di mana gejalanya merebak hampir ke seluruh negara. Maka imej Pakatan Rakyat rosak dan persepsi rakyat terhadapnya menjadi buruk hingga kini. Segalanya berubah.

Saya tertarik dengan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan apabila beliau menyatakan dalam Malaysian Insider bahawa senario politik sekarang berbeza dengan 16 tahun dahulu. Beliau merujuk kepada kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rayuan terakhir kes liwatnya minggu depan:

Pemerhati politik mengingatkan, sebarang harapan bagi demonstrasi jalanan seperti 'Reformasi 1998' adalah tidak produktif.  Mereka memetik lanskap politik yang berbeza, sokongan tidak jelas berikutan perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR) dan keperluan orang ramai untuk maju ke depan daripada hanya berhimpun di keliling Anwar sebagai simbol menentang ketidakadilan. – 20 Oktober, 2014.

Wan Saiful berkata, PKR sepatutnya sedar ia tidak lagi berada dalam kedudukan yang kuat seperti dahulu apabila menerima sokongan rakyat Malaysia dari rakan-rakan mereka dari PAS dan DAP. Kini, katanya,  PKR sedang bergelut dengan sokongan dalaman parti, kerana hubungannya dengan PAS tidak sebaik dahulu.

Sementara itu, pengundi lama merasa kecewa dengan krisis dan 'masam muka' berterusan antara komponen dalam Pakatan Rakyat, generasi baru bosan lagi dengan situasi politik masa kini.

Mereka benci dengan politik perkauman dan ektremis agama yang diketengahkan sesetengah pemimpin politik perkauman dan penyokong mereka, serta NGO yang juga menyokongnya.

Golongan muda ini benci dengan keadaan politik seperti itu. Tetapi malangnya, apabila melihat apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, maka mereka juga amat kecewa.

Hingga kini belum ada sebarang tanda di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat untuk mengambil langkah segera memperkukuh Pakatan, membaik pulih imej dan persepsinya yang tercemar.

Mungkin ada juga di kalangan sesetengah pemimpin Pakatan yang sedar trend pengundian generasi muda yang akan banyak berubah dalam PRU14 akan datang.

Tetapi ramai yang tidak sedar, malah beranggapan trend undian akan sama sahaja tiap kali pilihan raya.

Sebenarnya persepsi generasi muda perlu disedari oleh Pakatan Rakyat, khususnya PAS sendiri yang biasanya banyak bertanding di kawasan pengundi Melayu di bandar dan di luar bandar. Jangan merasa selesa dan tidak mempedulikan perubahan ini.

Trend pengundian generasi muda sudah disebut Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam ucapannya di Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi September lalu. Nada bimbangnya jelas terbayang jika Pakatan Rakyat tidak bersedia dari sekarang untuk menghadapi gelombang cita-rasa anak muda itu.

Katanya, Pemuda PAS sangat sedar kecenderungan kuat di kalangan sebahagian anak muda Malaysia yang menolak politik kerana meluat dengan gelagat sebahagian ahli politik. Kata beliau, mereka tidak mencerminkan kualiti yang diharapkan, termasuklah di dalam Pakatan Rakyat.

Suhaizan juga sedar bahawa generasi muda adalah majoriti rakyat Malaysia. Beliau menyebut, menurut data yang dikemukakan oleh Welsh dan Chang pada tahun 2012, jumlah penduduk di Malaysia berumur di bawah 30 tahun adalah sebanyak 63%.

"Sekiranya kita mahu mengambil usia 40 tahun ke bawah sebagai umur maksima belia di negara kita, maka komposisi anak muda di Malaysia semestinya lebih besar.

Walaupun golongan ini 'tidak gembira' dengan gelagat sesetengah ahli politik, ini tidak bermakna mereka tidak terlibat dalam proses politik," katanya.

Kajian mendapati anak muda semakin terbabit dengan proses politik negara walaupun tidak begitu berminat menyertai parti politik. Kemunculan kumpulan anak muda independen, tanpa hierarki dan ketua, terutamanya dalam siri demonstrasi rakyat, sangat wajar diberikan perhatian malah didampingi untuk memahami suara dan hasrat mereka.

Dengan trend politik yang ada sekarang, generasi muda tidak berminat menyertai sebarang parti politik atas pelbagai sebab yang diketahui. Lebih-lebih lagi apabila sesetengahnya setelah lulus dari pengajian tinggi sukar mendapat kerja – walaupun tidak memilih.

Gaji begitu rendah dan sukar untuk menampung kos hidup yang tinggi. Generasi muda marah apabila menyaksikan jurang miskin kaya semakin melebar.

Semua perubahan ini nampaknya belum banyak menyedarkan pemimpin Pakatan Rakyat, malah masalah dalaman komponen dalam Pakatan itu sendiri belum juga selesai.

Sepatutnya pemimpin Pakatan melupakan perselisihan sesama sendiri dan segera berbincang bersama untuk mebaiki kembali imej dan persepsi rakyat terhadapnya untuk mengelak Pakatan kecundang dalam PRU akan datang.

Saari Kemuka Surat Rayuan Isnin Ini

Posted: 22 Oct 2014 07:21 AM PDT

Oleh: NURUL AIN MOHD HUSSAIN
 
 
Saari Sungib.
 
 
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib akan mengemukakan rayuan berhubung penggantungan keahliaannya kepada Majlis Syura Ulama PAS Isnin ini.

Beliau berkata surat tersebut akan diserahkan sendiri di Pejabat PAS Jalan Raja Laut pada Isnin.

Ditanya sama ada beliau akan merayu agar penggantungan tersebut ditarik balik, Saari berkata: "Saya belum memutuskan apa yang akan dikarang dalam surat rayuan itu nanti. Saya telah berbincang dengan peguam dan beberapa rakan rapat untuk mendapatkan maklum balas dan pendapat mereka dalam isu penggantungan saya ini.

"Insya-Allah dalam hujung minggu ini saya akan menulis surat rayuan tersebut. Perkara yang akan ditulis sudah berada dalam fikiran saya." katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata surat penggantungan itu diterima melalui pos pada 13 Oktober lalu, namun beliau telah menerima salinannya melalui e-mel pada 11 Oktober lalu.

"Dalam surat penggantungan itu, kesalahan yang saya lakukan tidak dinyatakan secara spesifik, namun surat itu memaklumkan saya melakukan kesalahan di bawah perkara 82 (6) Perlembagaan parti.

"Saya juga masih tertanya-tanya mengapa Jawatankuasa PAS pusat tidak menyatakan secara jelas kesalahan tersebut. Apa pun saya akan menjawab surat tunjuk sebab ini dan saya akan serahkannya Isnin ini," katanya.

Sementara itu, usaha menghubungi seorang lagi Adun PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) yang turut digantung keahliaan parti kerana membelakangkan keputusan parti berhubung kemelut calon menteri besar Selangor tidak berhasil.

Pada 11 Oktober lalu, Jawankuasa PAS pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti mengikut fasal fasal 83 (4) (5)  Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar  Selangor.

Tindakan kedua-dua Adun itu dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan.

Dua Maut, Tujuh Parah Dua Kereta Bertembung Di Sandakan

Posted: 22 Oct 2014 07:14 AM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
 
SANDAKAN:  Dua maut dan tujuh lagi parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 26 Jalan Labuk, pada Rabu. 

Dua yang maut ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent di sini adalah budak perempuan yang dianggarkan berusia lapan tahun dan seorang warga Filipina yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supritendan Fadzil Mohd Ali berkata tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada lima lelaki berusia antara lapan hingga 29 tahun dan dua wanita masing-masing berusia 30 dan 40 tahun.

Katanya siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.45 petang apabila Proton Wira yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Batu 32 bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu tidak sempat balik ke laluan asal selepas memotong sebuah kenderaan dihadapan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki sembilan mangsa berkenaan, katanya kepada Bernama pada Rabu.

Fadzil berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Beliau berkata pemandu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis di sini untuk siasatan lanjut.

Tidak boleh ulang program 'I Want To Touch A Dog'

Posted: 22 Oct 2014 07:11 AM PDT

SINAR HARIAN


anjing
 
 
ALOR SETAR - Pihak berkuasa perlu memastikan program 'I Want To Touch A Dog' yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, Ahad lepas, tidak berulang kerana ia secara terang-terangan menghina agama Islam.
  
Pengarah Persatuan Jemaah Pondok-pondok Kedah Ustaz Sobri Osman berkata program itu tidak sepatutnya dianjurkan dan umat Islam yang mengikutinya jelas menunjukkan betapa ceteknya ilmu mereka.
  
"Kita sedia maklum bahawa Mazhab Syafie sudah menjelaskan bahawa anjing itu tergolong dalam kategori berat (najis mughallazah) jadi mengapa perlu mengajak umat Islam memegang benda yang haram sedangkan banyak lagi benda halal yang boleh dipegang," katanya kepada pemberita di sini semalam.
  
Malah, Sobri mencadangkan agar kempen seperti 'Jangan Dekati Anjing' diadakan, jika tujuannya untuk mengajar cara menyamak dengan betul.
  
"Melalui kempen sedemikian, para ilmuan dan ulama boleh memberi penjelasan mengenai hukum halal dan haram," katanya menambah Pejabat Agama negeri perlu membanteras penganjuran program seperti itu daripada berlangsung, pada masa depan.
  
Program berkenaan mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam. - Bernama

Pembalak haram didakwa cuba rasuah polis

Posted: 22 Oct 2014 07:09 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Seorang pengarah urusan sebuah syarikat perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching hari ini atas dakwaan cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis yang menahannya kerana melakukan pembalakan haram.

Ling Sing Ching, 50, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selepas dia mengaku tidak bersalah cuba menawarkan rasuah RM2,000 kepada ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Hakim perbicaraan, Nixon Kennedy Kumbong, dimaklumkan bahawa Ling menawarkan wang tunai itu kepada Mohd Mazlan apabila mereka berdua bertemu di sebuah restoran di Lorong Lapangan Terbang di sini pada 4.45 petang, 4 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ling dituduh melakukan perbuatan itu selepas dia didakwa melakukan aktiviti pembalakan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sarawak.

Nixon menetapkan 24 hingga 26 Nov bagi perbicaraan kes. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada SPRM, Ikhwan Mohd Ibrahim manakala peguam Francis Wee mewakili Ling.

Dalam kes berasingan, seorang sarjan polis berumur 52 tahun mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menerima rasuah RM1,500 daripada seorang pesalah trafik.

Zainudin Samad, yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan, didakwa menerima suapan daripada Rano Paiman, yang sebelum itu disaman kerana memandu secara cuai.

Nixon memerintahkan Zainudin dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjaman sementara menunggu perbicaraan kesnya yang ditetapkan mulai 17 Nov tahun ini.

Ikhwan turut mengendalikan pendakwaan kes ini manakala Zainudin diwakili peguam Abd Rahman Mohd Hazmi.- Bernama
 

Rizalman dihantar ke NZ Jumaat ini

Posted: 22 Oct 2014 07:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas diplomat Muhammad Rizalman Ismail yang berdepan dakwaan melakukan serangan seksual terhadap wanita New Zealand, dijadual dihantar kembali ke negara itu Jumaat ini.

Beliau dijadual berlepas daripada Kuala Lumpur pada Jumaat malam dan sampai ke New Zealand pada Sabtu pagi.

Menurut stuff.co.nz (Fairfax media), Rizalman akan ditemani polis negara kiwi itu dalam pesawat dinaikinya.

Beliau akan berdepan pertuduhan terhadapnya di mahkamah selepas pulang ke Malaysia lima bulan lalu.

Atase tentera di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand itu didakwa membuat serangan seksual terhadap gadis tempatan 22 tahun, Tania Billingsley, selepas memecah masuk rumahnya.

Beliau pada 22 Mei kembali ke Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik.

Uthaya imbas igauan di tirai besi

Posted: 22 Oct 2014 07:03 AM PDT

MALAYSIAKINI





P Uthayakumar memegang hujung berus gigi usang di jari telunjuk beliau dan menunjukkan bagaimana beliau memberus gigi di penjara.

Berus gigi itu sudah bertukar warna kepada perang, kotor dengan berusnya hampir tiada.

"Ia dikongsi oleh hampir lima banduan dalam satu penjara - biasanya lebih dari itu.

"Bila saya minta kepada warden, mereka kata tiada bajet untuk membeli berus gigi," kata Uthayakumar, yang mahu memberitahu segalanya mengenai pengalaman ketika menjadi banduan di Penjara Kajang.

Uthayakumar pernah mengalami pengalaman menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini bersedia untuk pengalaman hampir sama ketika dijatuhkan hukuman di bawah Akta Hasutan.

Pengalaman tersebut menyedarkan beliau yang perkara sama tidak wajar dilalui oleh seteru politiknya sekalipun.

Sewaktu di penjara, Uthaya menulis beberapa surat dan diseludup melalui isteri dan peguamnya - untuk mengadu tentang keadaan penjara.

Beliau antaranya mendakwa warden penjara membenarkan tahanan muda yang dilantik sebagai 'jurulatih' untuk membuli tahanan lain.

Tahanan muda tersebut kemudiannya akan membalas 'keistimewaan' itu dengan mengurut warden-warden penjara secara percuma.

Pemimpin Hindraf ini dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun 2013.

Beliau didapati bersalah menuduh Putrajaya melakukan pembersihan etnik terhadap warganegara berketurunan India.

Pada 17 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan hakim namun mengurangkan hukuman dari 30 bulan kepada 24 bulan.

Menurut Uthayakumar, beliau menghabiskan banyak masa di dalam penjara semata-mata untuk kekal waras.

Semangat aktivisme yang dibawanya bersama ke dalam penjara membantu beliau berbuat demikian.

Bezanya kata Uthayakumar, di dalam penjara, perjuangannya adalah untuk semua orang dan bukan orang India semata-mata.

"Dalam penjara, semua orang dilayan sama rata - sama rata buruknya.

"Dalam penjara ini memang ada semangat 1Malaysia. Ada kesamarataan untuk semua - dalam menerima layanan yang teruk," kata aktivis itu sewaktu diwawancara oleh Malaysiakini.

Perkara yang paling ditakuti oleh tahanan dalam penjara, kata Uthaya bukanlah herdik dan maki hamun oleh warden penjara atau kekasaran fizikal.

Mereka paling risau seandainya mereka jatuh sakit.

Pendakwah perlu lebih kreatif tarik orang muda

Posted: 21 Oct 2014 09:13 PM PDT


Hasanuddin Mohd Yunus Hasanuddin Mohd Yunus
SHAH ALAM - Golongan pendakwah memerlukan pendekatan baharu dalam penyampaian ilmu kepada pendengar khususnya golongan muda di negara ini.

Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan Ikram, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pendakwah perlu lebih kreatif menarik anak muda ke majlis ilmu kerana  tersebut adalah kumpulan yang paling sukar didekati para pendakwah.

Katanya, pendekatan tersebut harus tertumpu dengan cara yang lebih halus dan penyampaian yang lebih santai bagi menarik minat remaja ke arah Islam.

"Kita perlu lebih berfikiran terbuka apabila menyentuh soal pendidikan. Penyampaian ilmu melalui kuliah Subuh atau khutbah Jumaat memang sesuai untuk majlis-majlis tertentu, tetapi apabila melibatkan golongan remaja dan anak muda, pendakwah perlu memikirkan inisiatif berbeza untuk mendekati dan menyampaikan ilmu kepada mereka.

"Pendakwah perlu mendekatkan diri mereka sendiri kepada golongan anak muda ini supaya memudahkan komunikasi dua hala antara keduanya. Ia juga membolehkan pendakwah untuk menyelami dan memahami pemikiran anak muda zaman sekarang," katanya kepada Sinar Online, semalam.

Beliau berkata, tarbiah dan dakwah sama pentingnya dengan sistem pendidikan yang disediakan kepada masyarakat kerana ia adalah sebahagian daripada ilmu yang mengajar dan mendidik masyarakat dari segi rohani dan sahsiah diri.

"Menerusi tarbiah atau dakwah yang dibawa oleh kumpulan pendakwa, golongan penerima dakwah boleh memahami sesuatu ilmu mengikut rasional dan akal fikiran masing-masing.

"Golongan pendakwah boleh menggunakan pendekatan ini (tarbiah) untuk memberi pendidikan yang berkesan kepada golongan penerima dakwah," katanya.

"Apabila golongan penerima dakwah diberikan pendekatan tersebut, golongan itu akan tahu dan sedar bahawa kegiatan yang melibatkan keganasan seperti kumpulan militan itu tidak benar dan dilarang Islam," jelasnya.

Jelasnya lagi, ilmu yang diperoleh menerusi siri dakwah yang diikut membuka peluang kepada golongan tersebut untuk menjadi pendakwah.

"Dakwah ini membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin mendengar dan mempelajari ilmu Islam dengan lebih mendalam.

"Dengan ilmu yang ada, mereka boleh amalkan dan apabila mereka sudah beramal mereka juga boleh menjadi pendakwah dan berdakwah kepada mereka yang lain," tambahnya lagi.

Kepala bangkai penyu ditemui diikat tali

Posted: 21 Oct 2014 09:05 PM PDT

SINAR HARIAN


Foto hiasan Foto hiasan
 
 
DUNGUN - Bangkai seekor penyu agar betina dewasa yang telah reput dan berbau ditemui terapung di perairan Pulau Redang dekat sini, Ahad lepas.
 
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim berkata, bangkai penyu itu dijumpai oleh penguatkuasa perikanan semasa mengadakan rondaan di kawasan berkenaan.
 
"Di kepala penyu tersebut diikat tali dipercayai untuk ditenggelamkan penyu tersebut supaya tidak diketahui pihak berkuasa," katanya, semalam.
 
Menurutnya punca kematian haiwan itu mungkin kerana tersangkut pada pukat dan penyu tersebut ditangkap dan diikat kepalanya serta ditenggelamkan ke dalam laut.
 
Abdul Khalil berkata, pihaknya merasa kesal kerana penyu itu dibunuh dengan begitu kejam.
 
Dalam kejadian lain beliau berkata bangkai seekor penyu yang belum dewasa ditemui mati terdampar di kawasan pantai Pulau Kapas, Marang pada 2 Oktober lepas dan punca kematian tidak diketahui.
 
Abdul Khalil juga menambah, kadar kematian penyu di Terengganu dalam tahun ini agak membimbangkan dan mengikut rekod sehingga 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 39 ekor penyu dijumpai mati berbanding 42 ekor sepanjang tahun lepas. - Bernama

Sikap pemerintah punca militan

Posted: 21 Oct 2014 08:53 PM PDT


Dr Maszlee Malik Dr Maszlee Malik
 
 
SUASANA sistem demokrasi di negara-negara Islam di Asia Barat menjadi punca kepada kewujudan kumpulan militan, demikian menurut Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, sikap hipokrit pemerintah di negara berkenaan menetapkan pendirian mereka terhadap keganasan yang berlaku juga merupakan punca kewujudan militan.

"Sebagai contoh mereka menentang kumpulan militan Negara Islam (IS) kerana membunuh rakyat tetapi tidak ada bezanya dengan rejim Jeneral Abdul Fattah Al-Sisi yang membunuh puluhan ribu rakyat.

"Selain itu, serangan terhadap golongan pro demokrasi yang dilakukan oleh kuasa-kuasa yang ada kepentingan terhadap Israel khususnya menyerang golongan Islamik dan ini adalah usaha untuk melenyapkan sistem demokrasi," katanya.

Jelasnya, suasana demokrasi sebenar mampu meredakan golongan militan daripada terus memberontak.

"Sekiranya demokrasi ini berlangsung dengan baik saya rasa golongan muda tidak akan pergi menyertai kumpulan militan," katanya.

Beliau memberi pandangan bahawa IS hanya simptom kepada punca permasalahan sebenar militan.

"IS hanya simptom, tetapi perlu diperhatikan punca sebenar mengapa wujud kumpulan militan itu sendiri," katanya.

Dr Maszlee turut menyuarakan kebimbangan sekiranya negara-negara Islam bergolak gagal menangani permasalahan yang dihadapi masa depan negara tersebut akan pudar.

Pada masa yang sama, kerajaan digesa menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Beliau berkata, kemenangan kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) perlu dijadikan platform membela nasib negara Islam yang ditindas.

"Kemenangan kerusi tersebut bukan sahaja untuk negara ini tetapi sebagai wakil kepada golongan yang  ditindas (negara-negara Islam) oleh kuasa-kuasa zalim.

Maszlee berkata, Malaysia perlu mengembalikan kelantangan bersuara seperti yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang cukup disegani negara-negara besar dunia.

Tiada ulasan: