Selasa, 21 Oktober 2014

.

.


Diskusi dan kritikan terhadap buku saya, satu penghormatan

Posted: 20 Oct 2014 10:30 PM PDT

SARI BUDI                                                                                                         

Jarang sekali buku saya diberi penghormatan seperti penulis besar dan hebat lain, dengan mendapat sorotan dan ulasan sebegitu rupa. Sepanjang saya menerjunkan diri dalam dunia penulis buku politik, hanya sekali sahaja saya mendapat penghormatan yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup. Majlis yang saya maksudkan itu ialah perlancanran buku saya berjudul "Tuanku Sultan Ismail Petra: Idealisme dan Keperihatian Kepada Agama dan Bangsa", yang diterbitkan pada tahun 2001.

Sebahagian yang hadir pada wacana di Alor Setar.
Untuk buku itu saya mendapat penghormatan dua majlis, perlancaran oleh oleh Tuanku Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra pada sebelah paginya manakala majlis santapan malam sempena pelancaran buku berkenaan pada malamnya.

Majlis itu penuh kemeriahan. Majlis makan malam diriai dengan persembahan nyanyian Brorey Romantika daripada Indonesia yang dibayar sebanyak RM10,000 untuk tiga buah lagu. Betapa tidak gembiranya, semua pegawai tinggi kerajaan, hadir selain daripada MB, TMB, para Exco dan orang-orang kenamaan lain.



Ini pula wacana di Senawang Negeri Sembilan.
Masih terbayang, saya berdiri atas pentas di raja dan biodata rengkas dan kecil saya dibacakan oleh Nik Mustapa Nik Loding salah seorang Exco. Saya tidak mengharap penghormatan itu, tetapi itulah imbalan yang saya perolehi. Syukur kepada Tuhan.

Kemuncaknya dan menjadi sentimental value kepada saya dengan majlis itu, saya diangerahkan persalinan berupakan songket oleh Sultan Kelantan. Entah kenapa persalinan itu (samping ditempah khas) tidak pernah saya pakai sepanjang tempoh saya menerimanya. InsyaAllah pertama kali saya akan memakainya pada majlis perkahwinan puteri saya tanggal 25 Oktober nanti. (Kepada semua jangan lupa sama-sama hadir dan mendoakan majlis saya itu nanti).

Selepas pada itu tidak ada lagi majlis meraikan saya dan buku. Buku saya banyak saya lancar sendiri dan tidak ada apa-apa majlis diskusi atau wacana mengenainya. Kalau pun ada kritikan melalui surat-surat dan juga didiskusikan oleh pihak KDN, polis dan orang-orang kuat kepada mana-mana tokoh yang saya sorot dan baham dalam buku yang tidak setuju dengan saya. Saya dilontarkan dengan tohmahan jijik dan cemar sebagai penulis upahan dan tali baru kepada Umno atau lain-lainnya. Itu perkara biasa.

Seorang pimpinan Pas Kelantan pernah menuduh saya dalam mesyuarat badan perhubungan Pas saya diupah Umno jutaan ringgit. Dan apabila pemimpin Pas berkenaan berdepan dengan isu rasuah dan didakwa, dia merangkak datang ke rumah saya mengadu dan minta membelanya. Cis...

Tuduhan-tuduhan ini pula bersilih ganti dan berselang seli. Kalau buku saya itu memuji Anwar Ibrahim, maka saya dituduh orang Anwar mengupah saya. Begitu juga kalau saya menulis menghentam Dr Mahathir Mohamad, maka ada pihak lain kononnya mengupahkannya agar menghentam Mahathir. Pendeknya tuduhan dan "diskusi" demikian tidak pernah lekang dalam hidup penulis politik seperti saya dan juga penulis lain.

Saya tidak menghiraukan semua itu. Ia saya anggap pupuk yang menyegar dan meyuburkan tanah kerjaya saya. Falsafah atau tagline saya, "Hanya kita memahami diri kita" saya pegang sekukuhnya. Kalau kita hidup dengan mempedulikan kerenah tohaman dan fitnah kita akan jadi macam anjing yang dibenci sepanjang masa kerana kekhilafan dalam memberi hukum kepada makhluk berkenaan.

Apabila buku terbaru saya "Inside Story: Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah (ISKKPK) disikusi dan diwacanakan dua hari berturut-turut di tempat berasingan, saya merasakan saya mendapat penghormatan yang tidak diduga. Sekembali saya dari Tanah Suci saya diminta untuk menghadiri majlis wacana berkenaan yang sudah disiap sediakan tarikh dan tempatnya. Saya berterima kasih banyak kepada penganjur kerana dengan majlis itu saya dapat berintraksi dengan mereka yang sedia membaca tumpahan idea dan fikiran saya dalam buku berkenaan.

Bagi penulis akan merasa puas apabila buku mereka diperkatakan oleh pembaca. Sama ada ia positif atau negatif terserah, pokoknya apabila ada orang sudi memperkatakannya bermakna kehadiran memberi impak atau disedari. Tujuan dan maksud ia menulis sampai ke matlamatnya. Bagaimana hebat sesebuah buku itu kalau tidak diperkatakan ia tidak membawa apa-apa erti dan nilai.

Wacana pertama berlangsung di Senawang, Negeri Sembilan dianjurkan oleh grup Wancana anak muda di sana. Dan wacana atau diskusi kedua ialah di Alor Setar Kedah yang dianjurkan Siswah Islam Kedah. Saya berpuas hati kepada kedua-dua wacana berkenaan. Ia berlangsung dengan baik dan ilmiah penuh profesional. Menerusinya saya dapat menjelaskan isihati saya mengapa saya menulis buku berkenaan selain daripada mendapat teguran dan juga pandangan-pandangan balas yang baik.

Semasa di Kedah ramai yang berasa tidak berpuas hati dengan apa yang saya bentangkan. Bagi mereka masih ada kekurangan atau hal-hal penting yang tertinggal. Sdr Zulharzmi Shariff  yang menjadi moderator berkata hal penting yang tidak dibentangkan dalam buku berkenaan yang menjadi punca kekalahan Pas di Kedah dalam pilihan raya umum lalu, ialah mengenai penyusunan calon yang tidak mengikut kehendak kawasan.

Calon-calon yang diletak adalah atas kehendak Azizah Abdul Razak dan beberapa kerat penasihatnya. Paling menyedihkan menurut Zulharzmi ada sabotaj kepada calon-calon Pas oleh orang Pas sendiri kerana mereka dari kumpulan tertentu. Selain itu menurut peguam muda yang berani itu juga, pada pandangannya Pas Kedah tidak dapat untuk merampas kembali negeri itu kalau Pas masih dipimpinan oleh barisan kepimpinan hari ini.

Beliau menyarankan agar pimpinan hari ini turun dan bila peserta bertanya bagaimana hendak menurunkannya beliau menyarankan semua kawasan Pas menulis surat mendesak agar pemimpin berkenaan turun.

Ada juga peserta wacana itu meminta dan bertanya kepada saya apakah tidak mahu menyambung penulisan buku itu dengan mendedahkan beberapa maklumat dalaman yang terdedah hari ini semasa wacana buku itu diadakan. Katanya, mereka tidak berpuas hati dengan kandungan buku berkenaan yang dilihat berhati-hati dalam mendedahkan apa-apa perkara yang berlaku di Kedah yang membawa kepada kekalahan Pas itu.

Mereka mahu saya menyebut secara terang nama-nama yang terlibat yang membawa angkara kepada kejatuhan kerajaan Pas Kedah dimana individu-individu berkenaan sudah pun tidak menjadi rahsia lagi bagi orang Kedah. "Saya mahu MSO tulis buku kedua sebagai sambungan buku ini dan dedah seluas-luasnya," ujar salah seorang peserta serius.

Sebenarnya semasa wacana di Kedah saya sangat berharap akan hadir individu yang kurang senang dengan penerbitan buku berkenaan, terutamanya mereka yang membuat kesimpulan rapuh menuduh saya cuba memutar belitkan fakta dengan mengambil beberapa kesalahan kecil yang tidak menjejaskan struktur buku berkenaan. Mereka harus berdepan dengan saya dan "mengkromo" saya di depan khayalak. Tetapi malangnya tidak nampak wajah mereka malam itu.

Pengkritik yang bestari tidak sudi hadir. Mungkin kerana perlawanan bolasepak di antara Kedah dengan Pahang yang berkesudahan Kedah menang, lebih menarik minat mereka daripada untuk datang membicarakan fasal buku saya. Bagaimana pun saya berharap mereka yang berani mengkritik dari jauh dan dalam gelap akan tampil untuk bersemuka bagi kebaikan bersama dan mencari titik pertemuan sebagai memenuhi hasrat saya dengan penulisan buku berkenaan untuk menguatkan semula Pas Kedah. Sekiranya segan dan "anjing" untuk berdepan dengan saya, tulislah sebuah buku untuk menjelaskan akan kekaburan fakta dan hujah saya.

Selepas daripada dua majlis itu khabarnya akan diadakan satu lagi majlis seumpamanya di Bangi. Saya masih belum pastikan bila. Sekiranya majlis itu jadi, saya dengan rendah diri mengundang sesiapa juga pembaca buku saya yang tidak berpuas hati atau samar memahami tujuan dan mesej penulisan buku itu hadir untuk bersemuka dengan saya dan memberi pandangan kedua.

Sebagai penulis lemah saya sangat mengharap tunjuk ajar dan tambahan maklumat sebagai menyempurnakan buku-buku yang saya hasilkan. Terus terang saya kata dengan adanya kritikan dan wacana menjadikan saya bersemangat untuk terus menulis dan berjuang menerusi pena. Celaan dan kejian tidak sama sekali melemahkan saya. [wm.kl.1:10 pm 21/10/14]

Ismail Hussein: Hilang sejalur sinar

Posted: 20 Oct 2014 07:02 PM PDT

BELASUNGKAWA                                                                                          

Saya bersama Allahyraham pada tahun 2002.
Seorang lagi sasterawan dan pejuang bahasa terbilang negara telah pergi meninggalkan kita dan negara buat selama-lamanya. Tepat jam 9:20 minit malam tadi, bekas Ketua Satu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Ismail Hussein telah kembali ke Rahmatullah.

Allahyaraham menghembuskan nafas dalam usia 82 tahun dengan meninggalkan seorang balu Rogayah Abdul Rashid dan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan.

Ismail Hussein merupakan seorang Profesor antara tokoh akademik yang sangat mencintai bahasa dan menjadi pejuang sastera. Lebih separuh daripada hidupnya dihadiahkan untuk memajukan kesusteraan dan persuaratan bangsa negara.

Beliau seorang gigih dan tidak pernah mengenal erti penat dan putus asa dalam perjuangannya. Peranan dalam bidang sastera dan persuratan yang dimainkannya menerusi Gapena atau dunia pendidikan semasa menjadi kepala pengajian Melayu di Universiti Malaya. Berbicara soal Allahyaraham, beliau seorang yang disenangi oleh semua orang kerana sifat dan sikap sardahananya. Tutur bicaranya yang lembut dan lunak menyenangkan semua orang. Hampir semua penulis khasnya dunia sastera mengenali dan akrab dengan beliau.

Beliau juga seorang yang tidak loket untuk bertanya khabar kawan-kawan bila berjumpa saya dan berkirim salam mana-mana diketahuiya saya rapat dan mengenali penulis berkenaan. Satu masa semasa berjumpa di Medan Indonesia sementara menunggu ketibaan kapal terbang kami minum dan bersembang. Beliau bertanya khabar seorang demi seorang penulis Kelantan dan berkirim salam kepada mereka. Seingat saya tidak ada nama yang mis daripada disebut dan diminta menyampaikan salam.

Allahyarham mempunyai intonasi suara yang unit menyebabkan suaranya mudah dikenali. Suara dan tutur bicaranya mengenalkan orang dengan keperibadian dan saksiahnnya. Bagi saya Allahyarham adalah bapa kepada persatuan-persatuan penulis dan sastera di negara ini. Peranan dan jasanya dalam menyatukan badan dan pertubuhan penulis dan sastera negara ini menerusi Gapena sangatlah besar dan akan tetap dikenang selamanya.

Gapena berjaya menjadi badan induk yang menyatukan golongan penulis dan sastera dan sekaligus sebagai pembangun sastara negara. Kehebatan dan ketokohan beliau dalam bidang ini serta menjadi bapa penyatu terbukti apabila kedudukannya sebagai Ketua Satu Gapena tidak pernah dicabar atau tidak ada sesiapa ingin mencabarnya.

Kritikan kepada kepimpinan yang dilihat penuh diplomasi dan tidak kontroversi kandati pun ada, tetapi ia tidak sampai ada yang ingin menentang kepimpinannya. Perginya Prof Datuk Pendeta Ismail Hussein semalam menyebabkan hilangnya sebutir bintang di dunia persuaratan yang tidak mudah untuk dicari gantinya.

Al Fatihah - semoga roh Allahyarham ditempatkan dimakam terpuji bersama para amlilin. [wm.kl. 10:00 21/10/14]

Jangan kita berbalah fasal anjing

Posted: 20 Oct 2014 05:13 AM PDT

DAKWAT SENJA                                                                                              

Nasib baik juga ada isu anjing kalau tidak perjalanan (penerbangan) pulang saya dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sore tadi menjadi panjang. Isu anjing menyebabkan pernerbangan selama 1 jam 10 minit itu menjadi pendek. Semacam saya berasakan saya tiba di Subang sebelum kapal terbang itu mendongak ke udara. Tau-tau pengumuman kapal akan mendarat berkemundang di atas kabin menyedarkan lamunan saya.

Gambar Hiasan.
Semua itu ialah kerana isu anjing yang membengkak dan panas dalam kepala.

Sejak selepas chechk-in sebaik saya membaca facebook dan mengintai beberapa blog dan portal berita sementara menanri kapal tiba, kepala saya sudah tersimpul dengan isu anjing - program I Want to Touch a Dog yang diadakan di Petaling Jaya itu meyendak dalam minda. Otak serabut membaca pelbagai komen dan pandangan yang bernafas memperli, mengejek dan juga memaki hamu program berkenaan.



Macam-macam ada tanggapan dan ulasan, menunjukkan kebebasan bersuara dan kepelbagaian pendapat yang tercurah dalam media baru. Ada kalanya pendapat yang dilontarkan itu macam salakan atau rengitan anak anjing pulak. Malangnya tidak banyak yang memberi pandangan yang adil, berilmu sebaliknya ada yang secara terang-terang mengaitkan dengan politik. Kenapa kita tidak membahas atau mengkritik program itu dengan baik sesuai dengan kita pengamal akhlak Muhammad s.a.w yang menganjurkan kita menegur dengan berhemah bukan berang.

Ada pendapat mengatakan program itu adalah agenda tertentu untuk memburuk dan mencemarkan Islam. Lebih sadis ada mengolakkan ia adalah agenda Yahudi yang ingin melemahkan pegangan agama orang Melayu, yang cuba menjauhkan kucing tetapi mendekatkan anjing. Ada juga menuduh program itu cuba hina ulama. Kita terlalu daif dalam berfikir dan menterjemahkan sesuatu yang tercetus, baik sengaja atau tidak sehinggakan kita tidak boleh "berkiok". Kita gagal memahami hikmah disebalik pengharaman ketat anjing mengikut Mazhab Syafie itu.

Segala perbuatan yang tidak seragam dengan kita, kita akan menunding jari kepada pihak musuh kita yang sudah digezetkan. Seolah semua apa yang berlaku adalah atas kebijaksanaan pihak musuh tanpa sedikit meletakkan ia terjadi kerana kebodohan kita. Kita jadi terlalu prejudis. Seperti mana rendahnya pandangan kita dalam menolak atau mempertikai lambang agama Kristian, iaitu Salib. Pantang melihat benda berpalang atau bercabang kita akan mengaitkan dengan salib.

Hatta kerana terlalu phobia dengan Salib Krisitan menyebabkan kita tidak boleh "berkiok". Ke mana sahaja mata kita dihalakan kita nampak simbol salib. Tengok tiang lampu eleterik dikatakan salib, Tengok pagar dianggapkan salib. Tengok grafik di sejadah yang nampak berkadas dan bersilang dikatakan salib. Kalau terlalu sensitif kepada simbol atau pun wajah-wajah seakan salib.

Kerana rasa takut yang teramat itu menyebabkan kita tidak memerhatinya dengan baik menyebabkan kita diserang salib ke mana sahaja kita pergi. Sindrom sebegini samalah dengan keadaan kita yang terlalu takutkan hantu menyebabkan bayang-bayang sendiri pun kita anggap hantu dan kita melarikan diri dari diri sendiri. Lucu. Kita adalah hipokrasi.

Perihal serangan salib Kritian ini saya kata kita lucu kerana tidak menyedari simbol atau lambang itu tertepek (ada) pada diri kita sendiri. Cuba berdiri tegak dan depakan tangan. Bukankah itu lambang salib? Dan salib itu diambil dari peristiwa penyaliban (pembunuhan Isa) Nabi Isa yang menjadi kepercayaan orang Kristian.

Jadi fahamilah dimanakah atau apakah salib itu. Kita tidak perlu menjadi takut tanpa tentu fasal sehinggakan kita kelihatan dangkal atau bodoh. Dalam hal ini apakah yang kita perlu awasi dan takut ialah kepada hakikat Salib itu sendiri yang memesongkan kepercayaan dan keyakinan kita.

Nah, begitu juga dalam isu anjing yang hangat diperkatakan kini. Kenapa kita jadi kebur dalam hal ini dan mula membuat berbagai provokasi yang mendedahkan kebodohan diri kita sendiri. Kita tidak bersetuju dengan program sentuh anjing yang dianjurkan itu. Walaupun ia boleh dimaafkan atau ada justifikasinya, elok kalau ia tidak diadakan. Tetapi apakah kita boleh menolak yang haiwan itu adalah makhluk cipataan Allah seperti kucing, arab, burung dan sebagainya.

Sebenarnya soal anjing tidak perlu diperpanjangkan dan menyalahkan kewujudan haiwan berkenaan. Apa yang patut kita kedsal dan marah ialah program berkenaan. Walhal kedudukan anjing itu sendiri soal khiliafiah dan percanggahan di kalangan pendapat ulama. Pandangan Mazhab juga berbeza mengenai soal anjing.

Isu anjing itu boleh reda dan tidak merebak begitu jauh kalau kita semua saling bertanggungjawab dan berhemah. Kalau kita bertanggungjawab, kita terlebih dahulu mencari persoalan mengenai anjing itu sendiri. Cuba belak kitab atau bertanya kepada mereka yang fakeh mengenainya. Kalau kita rajin sedikit sahaja bersoal dan tidak membuat hukum berdasarkan pengetahuan kita ia tidak geger. Kita tidak akan jadi viral marahkan anjing.

Isu anjing tidak akan menerawang ke seluruh negara sehingga boleh mencemarkan sahsiah orang Melayu dan Islam negara ini. Tetapi kerana kita kurang hati-hati dan bertindak rakus maka isu anjing telah menjadi "anjing" dalam masyarakat kita Melayu Islam.

Dalam pada itu tidak boleh tidak, pihak penganjur perlu dipersalahkan. Sepatutnya sebelum menganjurkan program sentuh anjing itu, penganjur terlebih dahulu mendapat nasihat daripada pihak berwajiba dalam agama di negera ini. Ia bukan sahaja menerima pandangan ustaz-ustaz tidak memiliki apa-apa tauliah. Kerana masalah agama dan hukum dalam negara ini ia menjadi sah apabila ada cop mohor ataupun tauliah daripada kerajaan.

Penganjur sepatutnya sedar mengenai sensitiviti perasaan umat Islam bangsa Melayu negara ini. Hakikat bahawa ilmu Islam pegangan umat Melayu negara ini amat terhad. Kebanyakan kita hanya mendalami ilmu fikh sahaja, tetapi tidak dengan ilmu-ilmu lain yang masih banyak dan luas. Berapa kerat juga di kalangan kita mempelajari mengenai perbezaan Mazhab, apa lagi meraikannya. Juga jauh sekali untuk kita berijtihad dalam sesuatu perkara.

Sekiranya pihak penganjur peka mengenai perkara ini kontroversi isu anjing tidak akan berlaku dan tidaklah pula keagmaan orang Melayu dan Islam tercemar atau diketawakan oleh penganut agama lain dan juga pemegang Mazhab lain dalam Islam. Hati-hatilah kita semua dalam usaha membangkit sesuatu dan membahasnya jangan sampai menjadi fitnah kepada agama.

Dari atas kapal terbang sehinggalah ke dalam teksi minda saya tersendak dengan isu anjing dan relai sesudah membuat catatan ini. [wm.kl.7:55 pm 20/10/14]

Tiada ulasan: