Selasa, 2 September 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Orang PAS jangan mudah dihantu-hantukan (2/9/14)

Posted: 01 Sep 2014 11:23 PM PDT


Kalau semasa kita kecil-kecil dahulu apabila sahaja orang dewasa khasnya orang-orang tua kita menyebut perkataan "hantu" atau "momok" maka pantas kita akan cemas dan takut. Nak takutkan budak-budak kata orang tua-tua di hantu-hantukan.
Demikian juga sebaik tamat Penjajahan Jepun di Malaya, orang akan takut apabila dikaitkan dengan perkataan "tali barut" Jepun. Siapa sahaja yang pernah bekerja dengan penjajah Jepun khasnya dalam pasukan keselamatannya, akan dipandang hina oleh masyarakat malah ada laporan mengatakan mereka yang bertugas sebagai pengintip Jepun diambil tindakan sehingga ada yang dibunuh. Ringkasnya masyarakat ketika itu takut apabila dikaitkan dengan perkataan berkenaan.

Begitulah dalam politik satu ketika dahulu demi mahu menakutkan-nakutkan masyarakat Melayu pada perjuangan DAP contohnya, maka mereka yakni DAP dikaitkan dengan kominis. Orang Melayu rata-rata memang bencikan kominis. Maka takutkan orang Melayu pada DAP, gambarkanlah parti berkenaan sebagai penyambung perjuangan kominis.
Takut-takut ini modal orang yang bangkrap. Kerana sering apabila orang menakut-nakutkan ia biasanya suatu pembohongan, tiadalah asas pun, direka-reka atau dipungut-pungut cebisan-cebisan atau perca-perca demi membangkitkan kebencian atau apa sahaja keuntungan yang boleh diperolehi bagi si yang membangkitkannya.

PAS kebelakangan ini jangan sahaja dikaitkan dengan Umno. Ahli dan penyokong PAS sangat phobia atau takut (benci) pada Umno memandangkan parti berkenaan sekian lama merupakan musuh politik tradisinya. Kerana itu bagi mereka yang punya agenda, muslihat apa sahaja, kalau mahu membangkit atau mengukir kebencian khasnya orang-orang PAS sendiri terhadap mana-mana pimpinan, maka kaitkanlah pimpinan tadi dengan Umno. Si polan si polan ada pakatan dengan Umno, mahu bikin kerajaan perpaduan, mahu jatuhkan orang itu orang ini, maka siaplah akan bergoncang jantung orang-orang PAS.
Dalam erti kata lain, bagi mereka yang ketandusan modal, ciptalah satu dongeng kononnya ada pakatan sulit dengan Umno oleh pimpinan tertentu, tambah pula dijaja dan dilariskan modal tadi oleh media alternatif tertentu yang mereka punya pengaruh, maka siaplah…..

Pemimpin yang tidak berdosa akan dipandang serong dan penuh syak wasangka.
Dalam lipatan sejarah PAS, apabila Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dahulu mahu dirihatkan, petualang sebeginilah juga yang telah menjaja kononnya Almarhum masih menyimpan ideologi Sosialisma/ Komunisma, masih bersimpati dengan perjuangan arus kiri ditambah pula dengan tindakan mahkamah yang dikenakan oleh Kerajaan Perikatan ke atas Almarhum selain ditahan di bawah ISA bertahun-tahun. Akhirnya Almarhum tidak layak bertanding dalam PRU dan kerana lama dalam tahanan beliau dipinggirkan sehingga berjayalah naik kelompok yang baru dalam ketiadaan beliau itu.

Hari ini ada pemimpin kanan PAS yang berkata bahawa TPM sedang berusaha mewujudkan kerajaan campuran dengan PAS dan Tan Sri Khalid bagi membentuk kerajaan baru seterusnya meraih 2/3 majoriti bagi BN di Dewan Rakyat guna untuk meminda sempadan baru pilihanraya.
Portal berita tertentu memainkan cerita ini.

Ahli-ahli PAS mula tertanya-tanya benarkah begitu? Siapakah pemimpin PAS yang terlibat?
Malah tak berapa hari lalu portal yang sama menabur fitnah kononnya dalam satu pertemuan antara Presiden PAS dan Timbalan Presiden PKR, Tuan Guru Presiden telah menwarkan Azmin jawatan MB dengan membentuk kerajaan campuran bersama Umno.

Setiausaha Politik Tuan Guru Presiden telah mengeluarkan penafian dan menuntut portal berkenaan meminta maaf, kerana memfitnah.
Semoga orang PAS hari ini lebih masak dan bijak, tidak mudah terpengaruh dan dipengaruhi dengan hantu-hantu dan momok-momok yang cuba dicipta untuk membangkitkan kebencian terhadap individu dan kelompok pimpinan tertentu. Fitnah hari ini semakin halus dan mencabar.

Apabila kita tewas dengan kisah karut dan dongeng ini, maka kita mula bersyak wasangka dan berfikiran buruk terhadap orang-orang tertentu. Kepada orang-orang seperti ini, semoga mereka tidak terus menangguk di air keruh. Kiranya benar apa yang mereka dakwa, pasti Allah bersama mereka, tetapi kiranya fitnah dan reka-rekaan, maka bersedialah menanggung azab yang dijanjikan Allah terhadap pembawa fitnah walau apa sekalipun jawatan anda.

Pengkhianat yang cari pasal (2/9/14)

Posted: 01 Sep 2014 10:19 PM PDT


Terkini Dewan Ulamak PAS Selangor sebulat suara meluluskan usul mengutuk serta mengecam tindakan dua ADUN pembelot PAS dari Morib dan Hulu Kelang yang telah memisahkan diri dari jemaah dengan menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon MB Selangor. Usul itu diluluskan oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Selangor kali yang ke 26 dan akan dibawa untuk dibahas di Mukatamr Dewan Ulamak PAS Pusat pada 17 September nanti.
Sebelum itu PAS Selangor, PAS Terengganu dan PAS Wilayah Persekutuan selain Dewan Pemuda PAS Selangor turut menuntut Jawatankuasa Disiplin agar bertindak ke atas kedua-dua pembelot berkenaan.

Menariknya salah seorang ADUN berkenaan Saari Sungib dilaporkan berkata (ekoran tindakan Dewan Ulamak PAS Selangor itu) :
"Hukum jatuh tanpa memberi ruang untuk membela diri dan membuktikan ketepatan tindakan kutuk dan kecam. Budaya ini tak patut wujud dalam sebuah parti Islam. Saya ingatkan para ulama yang berilmu, mendukung Al-Quran dan Sunnah, mendukung prinsip keadian, agar menyemak kembali adakah ia wajar perkara itu wujud dalam PAS,"

Bagaikan meludah ke langit, beliau tidak sedar bahawa tindakan beliau dan rakannya melompat keluar dari saf dan menyokong pencalonan Wan Azizah itu sesungguhnya lebih melangkaui apa sahaja amalan dan peraturan yang ada. Disiplin parti dan adab berjemaah dilontar malah diterajang begitu sahaja. Kalau benar beliau menghormati ulamak, apa pula kelebihan tnidakan beliau dan rakannya itu adakah berlandaskan Al Quran dan Sunnah atau akal fikiran dan nafsu peribadi?
PAS dibina atas kekuatan jemaahnya yang berpegang dan mendukung al Quran dan As Sunnah di bawah kepimpinan para ulamak zaman berzaman. Tidak dinafikan kadangkala terdapat mereka yang duduk di dalam PAS merasakan diri terlebih cerdik, lebih pantas dan lebih ke hadapan, semua yang lain dipandangnya lekeh, lembab dan dungu. Maka sewajarnyalah manusia jenis ini mengangkat kaki keluar dari jemaah kerana PAS sudah tidak sesuai bagi mereka, malah PAS sendiri puns ebenarnya tidak memerlukan mereka.

Apa pun rasional yang mahu mereka bawa, pada asasnya mereka telah bertindak membelakangkan jemaah. Pendirian dan pandangan pimpinan dan ahli-ahli PAS tidak dihormati. Mereka akan tercatat dalam sejarah hitam PAS sebagai ADUN PAS pembelot khasnya yang pertama di Selangor. Berani buat berani tanggung. Angkara pilihan sendiri maka pandai-pandailah bawa diri keluar kerana ternyata PAS tidak ada tempat lagi buat mereka.

 

Tiada ulasan: