Selasa, 2 September 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


AKU, UNIT AMAL DAN KEPANDUAN JAMAAH.

Posted: 01 Sep 2014 05:44 PM PDT

Oleh:Dr Riduan Mohd Nor.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Abdul Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang. Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa UM, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Tak ramai anak-anak kampus UM yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar Islam lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepemudaan di kawasan Lembah Pantai.

Pada masa itu Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri smenjak era dekad 1960an dan 1970an. Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam , aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan lasak,mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS. Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini. Gerakan feomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan ( Abdul Muiz :2001 ). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub continent, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sebagai sayap gerakan yang penting. Di Indonesia pula, Masyumi ( Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan tersendiri yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno.

Unit Amal terus mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS disemua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjugan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia. Tak sedikit ujian yang melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan , namun Unit Amal membuktikan mereka hadir ditengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi. Apabila negara di landa musibah banjir, mereka "beruniform merah" ini berada dibarisan hadapan, jauh lebih awal daripada Agensi kerajaan sendiri.
Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti eklusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latarbelakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda. Mereka bekerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jamaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tak mampu berbohong tentang jasa dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran. Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko kurikulum di sekolah-sekolah Islam.

Unit Amal tak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer , sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut , program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal.

Kepada Zahid Hamidi, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal, kerana hadirnya Unit Amal bersama denyut nafas kami , seluruh ahli-ahli Parti Islam. Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa diatas khidmat bakti mereka, motto gerakan kepanduan PAS ini, "dimana ada kesusahan, disitulah adanya kami". Tugas kamu Zahid dan pihak keselamatan negara ialah membanteras jenayah dan mewujudkan suasana kondusif untuk rakyat, mewujudkan Malaysia yang aman. Biarkan Unit Amal terus berbakti kepada watan dan tanah leluhur ini!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan juga mantan Penaung Unit Amal Wilayah Persekutuan 1999-2006)

Upacara pengurusan jenazah #MH17 penuh sopan, tertib

Posted: 01 Sep 2014 05:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Assalamualaikum. Siapa pun kamu, apa jua keadaan kamu, kami hanyalah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi.

"Bantulah kami dalam menyempurnakan jasad kamu sebelum dikebumikan nanti. Dari Allah kita datang, dan kepada-Nya kita kembali. Al-Fatihah."

Itu antara ucapan, doa dan amalan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebaik sahaja menerima mana-mana jenazah pesawat malang MH17 untuk upacara pengurusan jenazah mengikut tuntutan agama Islam.

Menurut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda, jenazah kemudian melalui lima proses penting.

Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selesai proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.

Sebaik sahaja jenazah tiba di rumah mayat itu, pasukan JAKIM terdiri daripada pakar bahagian pengurusan jenazah akan dimaklumkan oleh kedutaan Malaysia di Belanda, Malaysian Airlines (MAS) atau agensi yang dilantik untuk menguruskan jenazah mengikut agama Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM Mohd Ajib Ismail berkata jenazah yang diletakkan di dalam bilik yang ditetapkan rumah mayat itu kemudian akan menjalani proses 'embalming' sebelum boleh dimandikan atau dikafankan.

"Sekiranya jenazah tersebut lelaki, proses embalming akan dilakukan oleh pekerja lelaki Monuta Innemee.

"Kemudian, kami akan meminta pasukan pemandi jenazah lelaki dan perempuan (bergantung kepada jenazah) untuk bersedia menjalankan tugas dengan kelengkapan pakaian khas dan peralatan memandikan jenazah yang dibawa dari Malaysia.

"Ketua pemandi jenazah akan membuat keputusan sama ada sesuai atau tidak untuk memandikan jenazah menggunakan air atau sebaliknya berdasarkan kepada keadaan mayat atau jenazah yang diterima pada masa itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Seorang pemandi jenazah yang enggan dikenali berkata dalam memudahkan tugas di fasa ini, beliau akan cuba 'berbual' ringkas dengan jasad dan 'buat seperti biasa' tanpa ingin tahu siapa jenazah tersebut.

Seterusnya, Mohd Ajib yang juga koordinator pasukan JAKIM sepanjang tugasan di Belanda itu berkata jika sesuai dimandikan atau boleh menggunakan air atau dialirkan air, maka jenazah tersebut akan dimandikan.

Jelasnya, proses seterusnya dilakukan dengan kelengkapan set pemandian atau peralatan jenazah seperti kebiasaan yang dilakukan apabila memandikan jenazah Malaysia.

"Proses mandi akan dimulakan oleh ketua pemandi jenazah dengan dibantu oleh semua anggota pasukan berdasarkan pada jantina jenazah. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit berdasarkan kepada keadaan jenazah.

"Jika jenazah tidak boleh kena air atau dilalukan air dan boleh luput bila terkena air, ketua pemandi jenazah akan membuat keputusan untuk menggunakan kaedah tayamum dan kelengkapan tayamum perlu disediakan di tempat pemandian yang juga dibawa khas dari Malaysia.

"Proses tayamum akan dimulakan berdasarkan jantina jenazah dan proses ini makan masa sekurang-kurangnya 30 minit," katanya.

Mohd Ajib menambah setelah proses mandi atau tayamum selesai, ketua pemandi jenazah akan memulakan proses mengkafan jenazah dengan bantuan anggota pasukan.

Beliau berkata jenazah tersebut akan diangkat ke pangkin bersih di sebelah pangkin mandi yang telah dihamparkan kain kafan berserta kapas dan keperluannya dengan lapisan keduanya, lapisan plastik memandangkan jenazah ini akan dibawa (pulang) jauh sebelum diikuti dengan lapisan kain putih yang lain.

Menurutnya, selepas dikafankan, jenazah akan diangkat ke dalam keranda jenazah oleh kakitangan rumah mayat itu untuk proses selanjutnya sebelum diletakkan ke dalam sebuah bilik khas.

Difahamkan antara proses itu ialah 'menghias dan mencantikkan keranda' selain meletakkan bendera Jalur Gemilang.

Sebaik selesai proses tersebut, jenazah kemudian disolatkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Abd Manaf Mat yang turut menganggotai pasukan itu sebelum dipersiapkan untuk dihantar pulang.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata pasukannya seringkali ditanya sesetengah pihak mengenai bagaimana keadaan fizikal jenazah yang telah lama meninggal itu.

Jelasnya, baik mana-mana jenazah sekalipun, tugas mereka hanyalah menyempurnakan upacara pengurusan jenazah dan tidak akan sekali-kali membuka aib atau rahsia jenazah.

"Jenazah telah pun pergi. Tidak perlulah diketahui akan keadaan mereka sebaik sahaja kami terima kerana itu tidak penting, yang pentingya jenazah selamat disempurnakan.

"Apa yang patut kita semua lakukan adalah mendoakan kesejahteraan mana-mana jenazah agar tenang di alam seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada Khamis lepas berkata di Putrajaya bahawa istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) esok (2 Sept) dijangka melibatkan sembilan jenazah termasuk dua warga asing.

Tiada ulasan: