Ahad, 7 September 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Lelaki Minta Cerai Tidak Tahan Kehendak Seks Isterinya

Posted: 07 Sep 2014 06:54 AM PDT


Tak Boleh Tahan!

[Harian Metro] Mumbai: Seorang suami terpaksa merayu kepada hakim supaya meluluskan permohonannya untuk bercerai dengan isteri gara-gara tidak terdaya memuaskan kehendak batin wanita terbabit.

Lelaki itu memberitahu mahkamah di Mumbai isterinya sering 'membulinya' untuk mengadakan hubungan seks secara berterusan sejak mereka berkahwin pada April 2012. 

Menurut laporan media semalam, lelaki berkenaan mendakwa isterinya turut memaksa dia melakukan pelbagai cara untuk memuaskan dirinya, termasuk aksi luar tabii. 

"Apabila saya cuba menolak permintaan melampau berkenaan, dia mula mendera sehingga akhirnya saya terpaksa akur permintaan itu," kata lelaki terbabit.

Dalam keterangannya, lelaki terbabit mendakwa sikap melampau isterinya kian menjadi-jadi sejak dia mengalah.

Pada ketika tertentu, kata lelaki itu, isterinya membeli ubat tenaga batin dan memaksanya mengambil bahan berkenaan. 

"Dia juga memaksa saya meminum arak untuk menambah nafsu," katanya. 

Lelaki itu memberitahu mahkamah, dia mengalami tekanan kerana suasana di rumah tidak sedikit pun membantunya selepas kepenatan bekerja. 

Katanya, dia bekerja secara syif. 

Untuk menguatkan tuntutannya, lelaki terbabit mendedahkan pada 2012 dia mengalami masalah kesihatan dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. 

Isterinya pula enggan menemani, sebaliknya pulang ke rumah kakaknya. 

Dua minggu kemudian apabila si suami pulih sedikit, isterinya pulang dengan kemahuan sama dan enggan mengambil kira keadaan kesihatannya. 

"Kini saya uzur terus dan tidak boleh berehat," katanya ketika ditemui. 

Kesabaran lelaki itu berakhir ekoran insiden pada Oktober tahun lalu. 

Selepas menjalani pembedahan membuang apendiks nasibnya tidak berubah dan terpaksa berdepan dengan tuntutan melampau si isteri.- Agensi/7/9/14


Lelaki Cina Selesa dengan Nama "Ali", Lupa Nama Asal

Posted: 07 Sep 2014 06:50 AM PDT

ALI bersama seorang daripada pelanggan tetap bengkelnya di Pasir Mas, Kelantan.
Ali Terlupa Nama Asal

[Harian Metro] Pasir Mas: Nama tertera dalam MyKad ialah Lim Chung Chai, namun kerana terbiasa dengan panggilan Ali yang diberikan kepadanya sejak kecil, membuatkan lelaki berusia 53 tahun ini terlupa nama asalnya.

Anak jati Kelantan itu mengakui kadangkala tidak ingat nama asalnya kerana lebih senang dipanggil Ali, meskipun nama itu sinonim dengan orang Melayu. 

Katanya, ahli keluarga sendiri turut memanggil nama Ali apatah lagi dia dibesarkan dalam komuniti Melayu dan mempunyai rakan karib dalam kalangan bangsa itu. 

"Sejak kecili saya dipanggil Ali dan gelaran itu diberikan bapa kepada seorang rakan saya.

"Saya selesa dengan nama Ali, malah ahli keluarga juga memanggil saya begitu yang menyebabkan kadangkala lupa nama asal yang diberikan ibu bapa ketika lahir.


"Terlalu lama saya memakai nama Ali dan ia sudah sebati sangat dengan saya," katanya yang mengusahakan perniagaan membaiki kenderaan di bandar ini. 

Dengan nama itu, Lim menyifatkan dirinya sebagai rakyat Malaysia sejati apabila tidak hanya terikat dengan budaya nenek moyang, sebaliknya mampu mendalami budaya bangsa lain terutama Melayu. 

Bapa tiga anak itu berkata, hampir 90 peratus pelanggan dan rakan terdekatnya berbangsa Melayu sekali gus membolehkannya berkongsi adat dan budaya masing-masing. 

"Orang kata ada apa pada nama tetapi, bagi saya nama adalah segala-galanya. Malah dengan nama juga saya boleh pupuk semangat perpaduan dan menjadi ejen yang menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan kita untuk menjadi satu serta bukan memikirkan keuntungan bangsa sendiri semata-mata. -Mohd Nor Asri Yaacob/7/9/14


Anggota PAS Dilarang Sertai PasMa - Tuan Ibrahim

Posted: 07 Sep 2014 06:45 AM PDT



Forum ini ditangguhkan

[The Malaysian Insider] Naib Presiden PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini berkata anggota PAS tidak dibenarkan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) sekiranya ia merupakan sebuah pertubuhan parti politik.

Beliau juga berkata, PAS tidak menggalakkan sekiranya ahli PAS ingin menyertai pertubuhan itu jika ianya sebuah pertubuhan kebajikan kerana dalam parti Islam itu sendiri sudah mempunyai lajnah kebajikan.

"Kita teliti NGO tersebut dan setakat ini kita tahu pendaftaran adalah bagi tujuan kebajikan bukan parti politik.


"Tapi tidak ada keperluan ahli PAS untuk sertai PasMa kerana kita sendiri pun ada lajnah kebajikan sendiri," katanya kepada pemberita selepas program Ijtimak PAS Selangor 2014 di Serdang Selangor hari ini.

Antara lain beliau juga menolak PasMa dilihat sebagai alternatif PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

Katanya isu alternatif tersebut bukan merupakan perkara baru dalam sejarah parti Islam seperti mana penubuhan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

"Tidak mungkin,‎ isu ini bukan perkara baru dulu pun ada isu penubuhan Berjasa dan Hamim. Ini kerana PasMa mendapat liputan meluas sebab itu ia tersebar dengan cepat," katanya.

PasMa kini menjadi sorotan media berikutan krisis Selangor yang memperlihatkan keretakan ketara dalam PAS.

Penganalisa menganggap PasMa merupakan alternatif memainkan peranan dalam PR.

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi menegaskan persatuannya itu kekal sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan akan berusaha mengukuhkan sistem dua parti di negara ini.

"Kami akan memperkukuhkan sistem dua parti yang sudah berjalan dengan baik kini."

‎Ketika kepimpinan utamanya dilihat membuat tindakan dan kenyataan provokasi terhadap rakan mereka PKR dan DAP, PasMa pula lebih cenderung mengekalkan persahabatan dalam PR.

Mesyuarat pertama PasMa berlangsung di Kota Baru pada 31 Ogos lepas.

Sementara itu Tuan Ibrahim juga yakin sekiranya PasMa kononnya dapat menggantikan peranan PAS dalam PR ia juga tidak dilihat sebagai satu parti progresif.

"Kalau kata nak tubuh parti sebab tidak puas hati dengan satu isu saya fikir parti itu tidak akan jadi progresif, parti perlu ada satu agenda besar.

"Meskipun itu hak mereka namun Malaysia ini berasaskan sistem dua parti dari segi ruang politik susah hendak bertahan dan saya yakin ahli PAS tetap istiqamah dengan perjuangan parti ini."

Dalam perkembangan berkaitan mengenai isu krisis Selangor, beliau sekali lagi mengulangi pendirian yang diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pagi tadi.

"Kita tetap dengan keputusan iaitu kita tidak mahu kerusi itu dan kita berikan kepada PKR‎," katanya. – DIYANA IBRAHIM/7 September, 2014.


P/s: Goyang? Semalam dengan nada angkuh menghalau "nyamuk".

Penuntut IPTA dan Kekasih Kantoi Khalwat

Posted: 07 Sep 2014 06:38 AM PDT


Penat Mengundang Aib

[Harian Metro] Kota Kinabalu: Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kekasihnya antara lima pasangan yang ditahan dalam Ops Cegah Maksiat, di sebuah hotel murah, di Jalan Kampung Air, di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan yang bermula 12 tengah malam itu, semua pasangan berusia 20 hingga 40 tahun di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. 

Penolong Ketua Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Khamis Jamil, berkata penuntut berusia 24 tahun itu ditahan selepas didapati bersama perempuan berusia 23 tahun di dalam bilik sebuah hotel murah di bandar raya ini. 

Katanya, penuntut berkenaan mendakwa dia berseorangan tetapi apabila dan pemeriksaan dilakukan penguat kuasa JHEAIS ternampak seorang perempuan di atas katil ditutupi selimut.

Menurutnya, apabila ditanya penuntut itu memberitahu dia menyewa bilik berkenaan kerana terlalu penat bersiar-siar.

"Hasil pemeriksaan mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai ikatan suami isteri. Perempuan bersama penuntut itu bekerja di sebuah kedai di bandar raya ini. Pasangan itu kemudian di bawa ke IPD Kota kinabalu untuk tindakan lanjut. 

"Dalam operasi yang sama, anggota penguat kuasa JHEAINS turut menahan empat lagi pasangan di beberapa hotel murah di bandar raya ini," katanya ketika ditemui di lokasi, awal pagi tadi. 

Menurutnya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995. -Junaidi Ladjana/7/9/14

Kemampuan Hadi Pula Dipersoal DAP, Hilang Terengganu dan Kedah

Posted: 07 Sep 2014 02:51 AM PDT


[Malaysia Kini] Pemimpin DAP hari ini menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan membangkitkan persoalan rekod kerjanya.

Katanya, selepas hilang dua negeri terhadap BN, beliau kini tiada hak mempersoalkan kemampuan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk menjadi menteri besar Selangor.


Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyifatkannya sebagai "orang yang sebabkan kehilangan besar Terengganu selepas menjadi menteri besar satu satu penggal dan gagal mengganti menteri besar Kedah selepas terlantar di katil hospital berbulan-bulan".

PAS hilang penguasaan di Kedah dalam pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden DAP Selangor Teng Chan Khim pula berkata, Hadi mempunyai rekod kerja yang suram selepas PAS hilang penguasaan Kedah dan Terengganu bawah pimpinannya.

"Fakta-fakta itu dapat menjelaskannya secara sendiri.

"Hadi menjadi menteri besar ketika PAS hilang Terengganu dan beliau juga presiden PAS ketika hilang kuasa di Kedah.

"Inilah rekod kemampuannya," katanya. -9/7/14


P/s: TG Hadi Awang mempertikaikan kemampuan WAWI berdasarkan persepsi dan mungkin atas nasihat orang lain, namun DAP mempertikaikan kebolehan dan kemampuannya berdasarkan fakta.

Mereka tidak pernah mempertikaikan kemampuan dan kepimpinan pemimpin PAS secara terbuka, namun mungkin tidak dapat menahan diri apabila WAWI diaibkan oleh pemimpin PAS semalam.





Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat Putuskan Tidak Tuntut Jawatan MB Selangor

Posted: 07 Sep 2014 02:42 AM PDT


[The Malaysian Insider] Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memutuskan untuk kekal dengan pendirian mereka sebelum ini iaitu tidak menuntut kerusi menteri besar Selangor, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata PAS juga memutuskan untuk menyerahkan kepada budi bicara Sultan Selangor bagi memutuskan nama menteri besar Selangor yang baharu.

Perkara ini dinyatakan beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut selepas mesyuarat itu hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat ketika tersebar berita presiden PAS menghantar tiga nama untuk calon MB Selangor termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco daripada PAS, Iskandar Samad.

Ketika ditanya, apakah akan dilakukan oleh PAS jika istana menawarkan PAS jawatan itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, "Kita tolaklah."

Ketika mengulas tindakan PAS meletakkan nama Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad, Mustafa pula berkata, ia tidak akan menjadi isu. – MOHD FARHAN DARWIS/ 7 September, 2014.


P/s: Keputusan ini mungkin diuturn oleh Presiden atau Majlis Syura. Apa maksud Mustafa Ali?

Namun, admin amat respek Abang Mat dan lain-lain. Tegas berpegang pada janji. Tidak khianat terhadap rakan. Sikap itu antara sebab mereka mudah diterima oleh masyarakat pelbagai kaum.

Walaupun tidak disukai sesetengah pihak dalam partinya, beliau tetap istiqomah dalam perjuangannya. 

Bayangkan beliau dan lain-lain tiada dalam PAS, mahukah pengundi terutama Cina dan India mengundi Pas?


Berkaitan:

Keputusan Mesyuarat PAS Pusat: Satu Sidang Media, 2 Jawapan PAS

[Malaysia Kini] Timbalan Presiden Mohamad Sabu berkata, PAS akan menolak walaupun istana memilih anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sebagai menteri besar baru Selangor.

"Kita tolaklah," katanya.

Bagaimanapun, dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, PAS akan bersetuju dengan apa sahaja pilihan sultan.

Katanya, PAS menyerahkan isu itu untuk diputuskan sultan akan akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat.

Mustafa bagaimanapun enggan menjelaskan sama ada PAS akan menolak jika sultan memperkenal wakil rakyat mereka sebagai menteri besar.

Ini kerana, katanya, beliau tidak mahu mengandaikan keputusan yang akan dibuat istana.

Katanya, PAS hanya menyerahkan nama dan ia bukan sebuah isu.

PAS sebelum ini mencalonkan pesuruhjaya negerinya di Selangor Iskandar Samad sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim, di samping dua lagi ADUN PKR.

PAS juga tidak langsung mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan timbalannya Azmin Ali yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya sebelum ini.




Isu Pencalonan MB Selangor: Kronologi, Hujah Berdasarkan Perlembagaan PAS, Tindakan Tatatertib

Posted: 06 Sep 2014 04:47 PM PDT


[The Malaysian Insider] Bismillahirrahmanirrahim.

Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) dalam mesyuarat 17 Ogos 2014 memutuskan seperti berikut :

a) Sebagaimana yang dipertegaskan sebelum ini, PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

b) Empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari PAS akan terus berada dalam Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas.

c) PAS tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor, PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon menteri besar Selangor. Sehubungan dengan itu, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah (1) YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), dan (2) YB Mohammad Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR).

Keputusan tersebut ditandatangani oleh Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan dibaca di dalam sidang media oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Keputusan ini tidak pernah dibatalkan atau dipinda pada bila-bila masa walaupun JKPP bermesyuarat sekali lagi pada 25 Ogos 2014 di mana dalam mesyuarat sudah diputuskan keputusan 17 Ogos 2014 kekal dan seterusnya menyerahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku Sultan untuk memilih siapa pengganti menteri besar Selangor.

Pada 4 September 2014, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu media PAS menghantar tiga calon menteri besar di mana dua daripada PKR dan satu daripada PAS bagi menjunjung titah Tuanku Sultan meminta lebih daripada dua nama. Setiausaha Agung juga memaklumkan surat ditandatangani oleh Presiden dan menjadi amalan biasa diuruskan oleh Pejabat Presiden.

Pada 5 September 2014, Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan bahawa AJK PAS Pusat, termasuk beliau tidak mengetahui perkara tersebut.

Persoalannya ialah:

a) Bila keputusan mesyuarat bertarikh 17 Ogos 2014 dibatalkan;
b) Siapa membatalkan keputusan mesyuarat 17 Ogos 2014;
c) Siapa yang memutuskan hantar tiga nama calon;
d) Siapa yang memutuskan dua calon PKR dan seorang calon PAS;
e) Siapa berikan mandat kepada Presiden menghantar tiga nama?

Jawapan dan ulasan

Sehingga hari ini, 5 September 2014 dan selaras dengan kenyataan media Timbalan Presiden PAS pada 5 September 2014, jelas keputusan mesyuarat JKPP pada 17 Ogos 2014 tidak pernah dibatalkan, justeru keputusan tersebut terus mengikat seluruh ahli PAS samada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Ahli Majlis Syura Ulama, Presiden sehingga ahli biasa. Keputusan tersebut kekal sehingga ada keputusan lain yang membatalkannya.

Apabila timbalan presiden menafikan sebarang pengetahuan berkaitan tindakan presiden menghantar tiga nama kepada Istana, maka jelas tindakan tersebut dilakukan oleh presiden samada secara bersendiri atau bersama kumpulan penasihat beliau, termasuk timbalan Mursyidul Am.

Perlembagaan memperuntukkan tugasan bagi setiap jawatan di dalam PAS samada ianya Mursyidul Am atau presiden atau siapa saja pemegang jawatan di dalam PAS. Semua tertakluk kepada Perlembagaan dan kuasa tertinggi iaitu Muktamar.

Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS memperuntukkan tugas-tugas presiden.

(a) Bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukannya dan yang diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan ini bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya.

(b) Bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

(c) Melantik Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Pengarah Pilihanraya dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik serta Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan menurut peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

(d) Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing.

(e) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Peruntukkan Fasal 26 (1)(a) hingga (d) jelas bahawa presiden berkuasa sebagai ketua melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.

Melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS adalah berpandukan keputusan mesyuarat dan kekuasaan tertinggi PAS iaitu Muktamar.

Presiden tidak diberikan kuasa veto menjalankan tugas kerana PAS menggunakan konsep Syura yang seringkali dipertegaskan oleh presiden sendiri.

Setiap ahli PAS termasuk presiden juga tertakluk kepada Tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 82 (1).

Fasal 82(1) memperuntukkan bahawa :

(1) Semua ahli-ahli PAS hendaklah:
(a) Taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS itu.
(b) Taat dan patuh kepada Perlembagaan Parti serta Aturan dan Peraturannya.
(c) Taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti.
(d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti sedaya upaya yang boleh.
(e) Menjaga dengan cermatnya segala rahsia-rahsia Parti.
(f) Mengamal akhlak Islam.
(g) Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Parti.
(h) Menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam bagi dirinya di dalam negara ini.

Berbalik kepada tindakan Presiden yang menghantar tiga nama calon yang berlawanan dengan keputusan mesyuarat pada 17 Ogos 2014, maka jelas ada perlanggaran tatatertib dilakukan oleh presiden sendiri. Perlanggaran tersebut adalah di bawah Fasal 82 (1)(b),(c),(d) dan (g).

Fasal 82(1)(b) presiden ingkar dengan Perlembagaan parti. Perlembagaan secara jelas menyatakan bahawa tugas presiden hanya sebagai Ketua Eksekutif yang menjalankan tugas berpandukan keputusan mesyuarat JKPP bukan pendirian peribadi.

Fasal 82(1)(c) presiden ingkar dan tidak patuh arahan dan perintah Parti. Arahan dan perintah parti ialah keputusan mesyuarat pada 17 Ogos 2014 yang dilanggar oleh presiden apabila menghantar tiga nama.

Fasal 82(1)(d) presiden gagal melaksanakan kewajipan yang ditugaskan oleh parti iaitu patuh kepada keputusan mesyuarat 17 Ogos 2014.

Fasal 82(1)(g) presiden gagal mengawal diri dan melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan parti. Jelas presiden menyalahi keputusan parti dan tindakan presiden menyebabkan parti rugi dari sudut persepsi masyarakat.

Berdasarkan peruntukkan-peruntukkan tersebut, jelas presiden boleh diambil tindakan tatatertib.

Fasal 25 (8) memperuntukkan bahawa "Jika sekiranya presiden berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada memegang jawatannya itu, maka timbalan presiden dengan sendirinya memangku jawatan presiden sehingga presiden itu dapat dipilih semula, atau dapat memegang jawatannya semula."

Peruntukkan ini jelas menunjukkan bahawa presiden boleh berhenti atau diberhentikan. Maka dengan perlanggaran-perlanggaran tatatertib yang dilakukan oleh presiden, presiden boleh diambil tindakan samada digantung atau diberhentikan.

Maka dengan ini diusulkan supaya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menggunakan Fasal 82(9) untuk mengambil tindakan terhadap Presiden dan sesiapa yang terlibat bersama Presiden tanpa melalui Jawatankuasa Tatatertib.

Fasal 82(9) memperuntukkan seperti berikut :

"Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tataertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tataertib ke atas mana-mana ahli PAS yang dianggap melanggar Ceraian (1) Fasal ini."

Tindakan tatatertib yang boleh diambil oleh JKPP mengikut Fasal 82(9) adalah sama seperti kuasa yang diberikan kepada Jawatankuasa Tatatertib iaitu yang disebut di dalam Fasal 82(6) seperti berikut:

(a) Memberi amaran
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti
(c) Menggantungkan keahlian
(d) Memecat dari menjadi ahli

Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan seterusnya mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS juga meletakkan konsep Syura pada tahap tertinggi maka setiap tindakan seluruh ahli PAS samada ianya presiden atau ahli biasa adalah tertakluk kepada ketetapan Syura.

Perlanggaran Syura adalah sesuatu yang amat tidak baik dan akan memberikan duluan dan menjadi ikutan ahli-ahli di masa akan datang yang akhirnya akan memporak porandakan dan menghancurkan PAS.

Mohon mencadang. – 5 September, 2014.

* Zulhazmi Shariff merupakan seorang peguam dan ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat.


P/s: Tulisan ini asalnya disiarkan di laman FB Zulhazmi sebelum disiarkan semula di TMI. Moga-moga penyokong tegar PAS membaca tulisan berlandaskan Perlembagaan PAS ini dengan teliti sebelum memberikan komen merapu, membodohkan orang, dan melabelkan orang jahil seolah-olah mereka ini pandai dan tidak membuat silap.

Jika mahu menyanggah tulisan Zulhazmi ini, sanggahlah dengan fakta. Sila berlapang dada.


Tiada ulasan: