Rabu, 3 September 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bailout MAS: Duit rakyat jadi mangsa

Posted: 03 Sep 2014 02:56 AM PDT

IRFAN ES 


BAILOUT didefinisikan sebagai tindakan menyelamatkan sesuatu, seperti syarikat, organisasi atau kerajaan yang sedang mengalami masalah kewangan. Namun pada zaman ini di mana negara amat jarang bankrap kerana sentiasa boleh meminjam dan menambah hutang negara untuk ditanggung oleh rakyat serta generasi masa hadapan (seperti yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan Malaysia), kita lebih sering menggunakan istilah bailout sebagai tindakan kerajaan menyelamatkan sesebuah syarikat tertentu daripada muflis.

Lazimnya, hanya firma besar yang akan menerima bailout, dengan mengambil kira kepentingannya kepada sesebuah negara dan juga kerana ramai bilangan pekerjanya. Jadi jika anda hanyalah seorang penjual goreng pisang di tepi jalan atau peruncit kecil lalu mengalami masalah kewangan, anda akan tetap berseorangan.

Semasa krisis kewangan 2008-2009, kerajaan Amerika Syarikat telah menghabiskan lebih USD 700 billion bagi menyelamatkan firma seperti A.I.G., General Motors, Ford, Citigroup dan lain-lain.

Sebaik sahaja menerima bantuan USD 170 billion, A.I.G.  mengumumkan bonus berjumlah USD 165 juta untuk para eksekutifnya bersama percutian seminggu di Regis Resort, California dengan perbelanjaan  berjumlah lebih USD 440,000 (satu bilik berharga USD 1,000 untuk satu malam). Tindakan ini menimbulkan kemarahan umum di Amerika Syarikat sehingga akhirnya terpaksa dibawa ke kongres. Akhirnya pemberian bonus tadi dibatalkan.

Polisi yang hampir serupa dilaksanakan di Malaysia, dengan beberapa perbezaan, kerana kita sentiasa ada cara kita tersendiri.

Dasar Penswastaan

Semasa Tun Mahathir menjawat kedudukan Perdana Menteri, beliau telah memperkenalkan dasar pensyarikatan Malaysia dan penswastaan. Badan-badan yang asalnya milik negara diswastakan.

Itu yang tersurat

Yang tersirat, badan-badan yang asalnya milik negara yang menguntungkan diswastakan, kepada kroni-kroni dan kumpulan-kumpulan terpilih.

Asalnya, perusahaan tersebut milik negara, milik rakyat. Jika ia maju, maka rakyat untung. Jika rugi, sama-sama tanggung.

Malah dalam sesetengah keadaan, sebenarnya kerugian perusahaan terbabit pun tidak semestinya merugikan rakyat.

Contoh, jika harga petroleum dunia jatuh, rakyat akan mendapat faedah dengan harga minyak yang murah. Jika harga petroleum dunia naik, keuntungan syarikat kerajaan yang menguruskan petroleum boleh digunakan untuk memberi subsidi bahan api agar harga minyak kekal murah. Hasilnya, harga barangan tidaklah meningkat laju seperti sekarang.

Begitu juga jika harga beras di pasaran dunia jatuh, rakyat akan mendapat faedah dengan harga beras yang murah. Jika harga beras dunia naik, keuntungan syarikat beras kepunyaan kerajaan boleh digunakan untuk memberi subsidi agar harga beras kekal murah. Dalam masa yang sama, kebajikan pesawah padi juga boleh dijaga seandainya kerajaan membeli padi mereka dengan harga lumayan bukan berkiblatkan keuntungan semata-mata.

Namun sekarang apabila banyak perkara diswastakan, kelebihan sebegini hampir tiada lagi.

Penswastaan MAS

Malaysia Airlines (MAS) merupakan sebuah syarikat penerbangan yang perkasa pada zaman keemasannya. Disebabkan ia menguntungkan, maka ia diswastakan dan pada tahun 1993, ia dimiliki oleh Tan Sri Tajudin Ramli (Gambar) setelah membeli majoriti saham MAS.

Namun menjelang penghujung 1990-an, MAS mula mengalami kerugian. Pada tahun 2001, ia terpaksa dibailout oleh kerajaan Malaysia – kerajaan membeli semula saham-saham kepunyaan Tan Sri Tajudin Ramli.

Ya, memang tiada masalah jika kerajaan mahu menyelamatkan MAS demi menjaga aset dan maruah negara, seperti yang dijelaskan oleh Tun Daim Zainuddin, menteri kewangan pada waktu itu.

Yang menjadi persoalan ialah mengapa saham-saham tersebut dibeli pada harga asal. Harga asal saham MAS semasa ia dibeli oleh Tan Sri Tajudin Ramli pada 1993 ialah RM8.00 sesaham. Pada tahun 2001 selepas mencatat kerugian demi kerugian, nilainya menyusut kepada RM3.68 sesaham.

Ikut logik, sepatutnya ia dibeli mengikut harga semasa, iaitu RM3.68. Tetapi anehnya, kerajaan Malaysia pimpinan Tun Mahathir membeli semula saham-saham itu daripada Tan Sri Tajudin Ramli pada harga asal, iaitu RM8.00, menggunakan wang rakyat berjumlah RM8 billion, lebih dua kali ganda daripada yang sepatutnya.

Kejanggalan ini telah dibincangkan secara terperinci dalam akhbar Harakah pada ketika itu, pada zaman internet masih baru dan media massa dikuasai oleh United Malays National Organisation.

Selepas itu, MAS menghadapi naik turun namun prestasinya terus merundum. MAS mencatat kerugian RM1.17 billion tahun lepas (jika dibahagi 365 hari, secara purata MAS rugi RM3.2 juta sehari), RM433 juta pada 2012 dan RM2.5 billion pada 2011.

Bailout cara Malaysia

Kini buat kesekian kalinya kerajaan persekutuan mahu bailout MAS dalam keadaan struktur pentadbiran dan polisi penganugerahan kontrak-kontrak dalamannya yang hanya menguntungkan golongan tertentu tetap dikekalkan. Persoalannya, sampai bila?

Jika sesebuah syarikat itu mencatat keuntungan dan memulangkan hasil kepada perbendaharaan negara, tiada siapa akan mempersoalkan.

Tiada siapa bersungut apabila Petronas memberi bonus setengah tahun gaji kepada kakitangannya, kerana Petronas untung besar (dan royalti minyak Kelantan belum dibayar dan harga minyak tetap naik). Tiada siapa merungut apabila TNB memberi bonus hampir setengah tahun gaji kepada kakitangannya pada akhir 2013, kerana TNB untung besar (tarif elektrik naik 20 peratus bermula Januari 2014).

Ironinya beberapa perusahaan tertentu lain, gaji dan bonus kepada eksekutifnya mahu dibayar lumayan setaraf firma-firma gergasi antarabangsa, tapi prestasinya jauh lebih terkebelakang berbanding perkhidmatan awam.

Dan apabila rugi, kerajaan bailout.

Akhirnya segala kepincangan dan salah urus ini membawa kepada situasi di mana jika syarikat maju, kroni untung, tetapi jika rugi, rakyat yang tanggung. Ini bailout cara United Malays National Organisation.

Harapan untuk MAS

Bagi kami rakyat biasa yang tidak belajar ekonomi secara mendalam, sampai sekarang cuma ada satu soalan: Apa masalah MAS? Bukan mudah bagi orang biasa untuk berniaga dan rugi ratusan juta ringgit setiap tahun berturut-turut.

Apabila kita meneliti MAS, didapati juruterbang, jurutera dan perkhidmatan kru kabinnya semua hebat-hebat belaka dan bertaraf dunia.

Yang tinggal cuma pengurusannya.

Sebab itu adalah penting agar pengurusan MAS dikendalikan oleh mereka yang benar-benar layak setaraf dengan gaji yang dibayar.

Batalkan kontrak-kontrak yang merugikan yang dianugerah kepada kumpulan-kumpulan tertentu, seperti kontrak katering selama 25 tahun bernilai RM6.25 billion – lamanya macam kontrak pajakan tanah atau pinjaman beli rumah.

Dan paling penting, biarkan MAS diurus secara profesional. Jauhkan daripada campur tangan politik.

Dengan pentadbiran yang telus dan jujur, barulah syarikat penerbangan negara dapat kembali ke zaman kegemilangannya. Jika tidak berubah, sampai bila-bila pun ia perlu tetap hidup dengan duit rakyat. – HARAKAHDAILY

'Pecah muka jika bergerak’

Posted: 03 Sep 2014 02:53 AM PDT


Samsudin menunjukkan parang digunakan perompak tersebut yang ditinggalkan dan sofa tempat anak saudaranya diserang ketika sedang tidur. Samsudin menunjukkan parang digunakan perompak tersebut yang ditinggalkan dan sofa  tempat anak saudaranya diserang ketika sedang tidur.

ROMPIN – "Kami tidak melawan... terpaksa menurut segala arahan penyamun yang bersenjatakan parang itu kerana jika ingkar, mereka ugut untuk pecahkan muka kami".

Demikian kata seorang penduduk Kampung Sabak, Albiah Nala Muhammad, 53, yang trauma selepas rumahnya dipecah masuk tiga lelaki bertopeng yang melarikan wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Albiah Nala yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, dekat sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi semalam ketika dia bersama suaminya, Samsudin Ibrahim, 59, sedang tidur di dalam bilik manakala seorang anak saudara lelakinya, Samsuddin Mohamad Azimi, 34, pula tidur di ruang tamu.

"Saya tersedar dari tidur kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) selepas terdengar suara seperti orang sedang bergelut dan pelik kerana bunyi televisyen kuat berbanding biasa.

"Dek kerana curiga, saya bertindak keluar bilik untuk melihat apa yang sedang berlaku namun apabila pintu bilik dibuka, seorang penyamun terus menerkam dan mengacukan parang ke leher saya dan suruh saya duduk diam dalam bilik," katanya.

Katanya, penyamun itu kemudian bertindak mengikat mereka bertiga dan dikumpulkan dalam sebuah bilik sebelum menggeledah seluruh rumah mengambil barang-barang berharga.

"Suami dan anak saudara saya diikat di bahagian kaki serta tangan selain diselubung dengan kain.

"Anak saudara saya turut diikat di bahagian mulut dan ditetak dengan belakang parang menyebabkan dia luka di belakang tapak tangan serta bengkak di siku.

"Selepas kesemua penyamun itu keluar dari rumah dan melarikan diri dengan menaiki Proton Waja milik saya, kami berjaya membuka ikatan sendiri dan terus menghubungi polis,"  katanya.

Dalam pada itu, Samsuddin yang ditemui di Hospital Rompin menyatakan dia hanya mengalami cedera ringan.

Menurut Samsuddin, pada pagi kejadian itu, dia tidur jam 4.30 pagi di ruang tamu selepas selesai menonton televisyen.

"Kurang setengah jam terlelap, tiba-tiba saya tersedar apabila seorang perompak bertindak mengambil bantal peluk dan menutup muka saya manakala dua lagi memegang kaki serta tangan saya.

"Mungkin kerana saya banyak cakap ketika itu, mereka kemudian menetak saya dengan belakang parang namun saya cuba halang dengan keadaan tangan yang terikat bagi menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua daripada suspek adalah lelaki warga tempatan manakala seorang lagi lelaki warga Indonesia.

"Ketiga-tiga suspek yang memakai topeng itu dipercayai masuk ke kediaman mangsa menggunakan pintu hadapan dengan mengumpil pintu gelangsar.

"Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Rompin di talian 094145999 jika terdapat sebarang maklumat," katanya.

Tiga maut, kereta rempuh tiang elektrik

Posted: 03 Sep 2014 02:50 AM PDT


Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah setelah kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok serta tiang lampu berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya di sini hari ini.  - Foto Bernama  
Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah setelah kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok serta tiang lampu berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya di sini hari ini. - Foto Bernama



SHAH ALAM – Tiga maut dan seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan selepas hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang elektrik dalam kejadian 6.45 pagi tadi berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya.

Kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Dengkil ke Desa Pinggiran Putera sebelum terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan tiga mayat yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Putrajaya.

Katanya, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama bagi menjalani rawatan. Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum lagi dikenal pasti.

Abdul Razak berkata,  pihak bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7 pagi bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Suhakam tuntut janji mansuh Akta Hasutan

Posted: 03 Sep 2014 02:47 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan berikutan beberapa pendakwaan terhadap ahli Parlimen, ADUN, pelajar dan ahli akademik.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, kerajaan perlu memenuhi janji mereka sebelum ini untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Harmoni Negara.

"Suruhanjaya kesal melihat bahawa penggunaan berterusan undang-undang lapuk yang digubal oleh pihak berkuasa penjajah ini untuk menyekat hak rakyat untuk membahaskan isu atau menyuarakan pendapat secara bebas yang mana merupakan asas kepada demokrasi yang berkembang maju.

"Suhakam menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan semula kesesuaian, justifikasi dan keperluan untuk menahan dan mendakwa individu di bawah Akta tersebut atas kenyataan atau tindakan mereka yang didakwa sebagai bersifat 'menghasut'", katanya.

Institut Rakyat: Najib pura-pura

Sementara itu, badan pemikir PKR, Institut Rakyat pula mendakwa pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sebuah pemerintahan yang zalim dan antidemokrasi berbanding pemerintah sebelum ini.

Menurut institut itu, kelewatan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan juga menunjukkan Najib hanya berpura-pura dan ia sekaligus mendedahkan kelemahan sebuah kerajaan minoriti yang terbentuk daripada 47 peratus undi popular.

"Tindakan yang diambil ke atas ahli akademik ini bukan sahaja menyekat kebebasan akademik tetapi melanggar prinsip kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel ke-10 di mana setiap rakyat Malaysia berhak dan mempunyai kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

"Penggunaan akta ini secara aktif dan agresif terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis NGO dan terkini ahli akademik bukan setakat mendedahkan kepura-puraan Najib, malah ia mendedahkan kelemahan sebuah kerajaan minoriti yang terbentuk di atas sokongan undi 47 peratus," katanya.

PERKASA dakwa rakyat S'gor mahu DUN bubar

Posted: 03 Sep 2014 02:45 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


NGO pendesak Melayu PERKASA mengadakan tinjauan pendapat pengundi di Selangor dan mendakwa majoriti rakyat di negeri itu mahu DUN negeri itu dibubarkan.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata ia membolehkan pilihan raya negeri diadakan selepas parti dalam Pakatan didakwanya engkar titah Sultan Selangor supaya menghantar dua nama atau lebih calon menteri besar untuk pertimbangan baginda.

Dalam kenyataannya, Ibrahim berkata beliau sendiri membuat tinjauan rambang sekumpulan 20 pengundi yang mendapati 17 daripadanya menyatakan Sultan Selangor patut membubarkan DUN sementara bakinya berkecuali.

"Bukan setakat satu kumpulan 20 orang, saya bertanya tetapi lima kumpulan. Malah ahli-ahli PERKASA Selangor turut mengumpul pendapat dan majoriti rakyat Selangor mahu DUN dibubar.

"Politik Selangor sudah berkecamuk akibat permainan individu dan parti politik tertentu. PERKASA sokong jika MB Selangor menasihati DUN Selangor dibubarkan dan pilihan raya ngeri diadakan," katanya.

Ibrahim berkata krisis jawatan itu dijangka berlarutan selepas PKR dan DAP memutuskan hanya mahu menghantar nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB, manakala PAS pula akan menghantar dua nama tetapi bukan dari kalangan wakil rakyat mereka.

Ibrahim berkata PAS sepatutnya mengemukakan dua calon atau lebih dari kalangan 15 ADUN merekadan bukan mencalonkan nama daripada parti lain.

"Saya tidak buta huruf atau tidak boleh membaca. (Tentang) maksud dua nama atau lebih dari parti masing-masing.

"PAS tidak hormati dan menyakini ahli-ahli YB-nya sendiri dan mengingkari titah Tuanku. Jelas mereka ini tidak mahu Tuanku mempunyai pilihan memilih yang terbaik selain menekan Tuanku untuk pilih kehendak mereka," katanya.

NGO buat 10 laporan polis terhadap wartawan Mkini

Posted: 03 Sep 2014 02:40 AM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Sepuluh laporan polis telah dibuat terhadap portal berita Malaysiakini dan penolong editornya yang berpejabat di Pulau Pinang, Susan Loone, berhubung sebuah laporan berita yang didakwa memfitnah polis. 
 
Laporan itu dibuat oleh PERKASA dan 13 NGO lain di Balai Polis Jalan Pantai di Pulau Pinang pada kira-kira jam 6 petang semalam. 
 
NGO itu menggesa pihak polis menyiasat artikel bertajuk Disoalsiasat Selama 4 jam, dakwa dilayan seperti 'penjenayah' yang diterbitkan pada hari Isnin di laman Malaysiakini Bahasa Malaysia. 
 
Laporan berita tersebut adalah terjemahan artikel Susan Loone yang bertajuk 'Exco man grilled for four hours, treated like a criminal' yang juga diterbitkan pada hari yang sama. 
 
Laporan berita itu adalah berdasarkan temu bual telefon pada kira-kira jam 1.30 pagi hari Isnin di mana ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh (kanan) mendakwa beliau dilayan seperti seorang 'penjenayah' ketika polis menyoalsiasatnya selama empat jam, mengambil gambarnya dan cap jarinya. 
 
Beliau kemudiannya ditahan semalaman di lokap sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis pada hari berikutnya. 
 
Dalam laporannya, Ketua Wira PERKASA Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menggesa Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya mengambil tindakan terhadap Susan Loone kerana didakwanya memfitnah pasukan itu dengan niat untuk mencemar imej dan kredibiliti polis. 
 
Abdul Rahim, ketika ditanya mengenai komen Phee pada hari Isnin, menolak dakwaan itu sebagai sebagai "pendapat peribadi" ahli exco tersebut dan berkata pihak polis telah mematuhi prosedur operasi standard.

PKR mahu usul tergempar mansuh Akta Hasutan

Posted: 03 Sep 2014 02:39 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


MP PKR hari ini bercadang untuk membentangkan usul tergempar pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi memansuhkan Akta Hasutan.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata ia akan menghantar "isyarat jelas suara rakyat" kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

"Ahli-ahli Parlimen PKR akan membawa usul tergempar di dalam sidang Parlimen akan datang untuk memansuhkan serta-merta Akta Hasutan," kata Rafizi pada sidang media petang ini.

Beliau berkata mereka akan mengenakan tekanan secukupnya kepada speaker Dewan Rakyat bagi memastikan usul itu dapat dibentangkan.

"Sidang akan datang adalah selama dua bulan. Jadi kalau speaker cuba tak masukkan usul dalam peraturan mesyuarat, mereka perlu menghadap kami selama dua bulan," kata Rafizi.

Turut hadir pada sidang media itu Nurul Izzah Anwar (MP Pantai Dalam), Sivarasa Rasiah (Subang), Wong Chen (Kelana Jaya), Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Tian Chua (Batu), Shamsul Iskandar Md Akin (Bukit Katil).

Hampir 500 ribu calon duduki UPSR 9-11 September

Posted: 03 Sep 2014 02:21 AM PDT

AMTARAPOS.COM

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Seramai 473,175 calon telah mendaftar untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 9 hingga 11 September ini.
 
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, 463,937 adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan dan baki 9,238 adalah calon sekolah swasta.
 
Sebanyak 8,299 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara bagi peperiksaan itu dan 51,438 petugas telah dilantik bagi memastikan ia berjalan lancar.
 
Semua calon diingatkan supaya merujuk kepada jadual waktu peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung selain membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan.

Polis diminta kemuka bukti 11 anggota PPS ada rekod jenayah

Posted: 03 Sep 2014 02:19 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu polis mengemukakan pengesahan berhubung dakwaan bahawa 11 daripada 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan Ahad lalu mempunyai rekod jenayah. 
 
Malah menurut beliau, kerajaan negeri juga berusaha untuk mengesahkan sama ada terdapat laporan polis atau dakwaan terhadap 11 anggota itu ketika mereka melaksanakan peranan secara sukarela dalam PPS. 
 
"Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menegaskan bahawa tiada anggota PPS akan dilindungi jika mereka melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar undang-undang melainkan tertakluk penuh kepada undang-undang.
 
"Penduduk Pulau Pinang boleh membuktikan kerja baik yang telah dilakukan PPS khususnya membantu orang ramai dan polis untuk menjalankan kerja sukarela polis komuniti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
 
Beliau berkata kerajaan negeri mengulangi sekali lagi bahawa PPS tidak pernah menerima apa-apa aduan bertulis daripada polis. 
 
Kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata 11 daripada 156 anggota PPS Pulau Pinang yang ditahan Ahad lalu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau iaitu ugutan, samun,curi, membunuh tanpa niat, kesalahan mengikut Akta Kastam dan menjadi anggota kongsi gelap. 
 
Lim berkata, sekiranya ada sebarang aduan, ia seharusnya dimaklumkan oleh polis kepada anggota exco negeri yang juga Pengerusi PPS Phee Boon Poh atau beliau sendiri. 
 
Lim dalam kenyataan itu juga berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu sedar bahawa beliau (Khalid) bukan 'maksum' hingga tidak boleh dikritik. 
 
Beliau berkata Khalid tidak boleh menyalahgunakan undang-undang jenayah atau undang-undang punitif bagi mengelak kritikan terhadap dirinya.

Laporan siasatan awal MH17 dalam tempoh seminggu

Posted: 03 Sep 2014 02:17 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic



ARMSTERDAM:  Satu laporan hasil siasatan awal punca pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di timur Ukraine, akan didedahkan dalam tempoh seminggu lagi, lapor Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) hari ini.

Jurucakap DSB, Sara Vernooij berkata, laporan itu dijangka sedia disiarkan pada hujung minggu ini atau awal minggu depan, untuk mendedahkan beberapa punca tragedi tersebut walaupun masih banyak persoalan belum terjawab.

Jelas Vernooij, laporan awal berkenaan akan melibatkan keputusan pertama rakaman kotak hitam pesawat MH17 dan maklumat daripada beberapa sumber lain termasuk satelit dan radar.

Bagaimanapun katanya, siasatan penuh berhubung insiden itu akan mengambil masa selama setahun untuk siap sepenuhnya dan dijangka disiarkan pada pertengahan tahun depan. - AGENSI

Kemelut MB: PAS perlu ikut konsensus Pakatan, kata Penganalisis

Posted: 03 Sep 2014 02:14 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pendekatan yang berbeza antara PAS dan PKR berhubung titah Sultan Selangor dalam isu nama menteri besar, akan mengundang persepsi negatif rakyat negeri ini terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan).
 
Apatah lagi dengan pandangan beberapa pemimpin dari kedua-dua parti itu yang secara jelas menyanggah antara satu sama lain. 
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, walaupun tidak menjadi kesalahan untuk PAS dan PKR mempunyai pendirian berbeza berhubung-isu pencalonan jawatan itu, adalah lebih molek sekiranya ketiga-tiga parti berpegang dengan konsensus yang dicapai sebelum ini.   
"Pendekatan PAS tidak salah cuma tidak berdasarkan konsensus. Pandangan PKR dan DAP juga tak salah kerana tafsiran perlembagaan mengatakan bahawa rakyat itu mesti didahulukan.
 
"Kalau parti politik yang dipilih oleh rakyat itu sudah membuat keputusan, hantar kepada Sultan untuk baginda menggunakan budi bicara kerana PR sebenarnya yang berhak beri pandangan berikutan ianya diyakini mempunyai majoriti lebih dalam DUN. 
 
"Alangkah cantiknya begitu kerana kita harus lihat bahawa persepsi masyarakat yang melihat PR sebuah entiti yang memerintah Selangor sejak 2008. Jadi kepercayaan rakyat itu, mahu atau tidak, bergantung kepada sejauh mana keeratan kedudukan parti politik itu," katanya kepada Antarapos.
 
Namun, Shaharuddin dalam pada itu juga berkata, walaupun menjadi hak PAS untuk mengemukakan keputusannya, parti Islam itu tidak sewajarnya 'mengubah' atau dilihat bermain tarik tali berhubung perkara itu.  
 
"PAS sendiri jangan terlalu banyak membuat keputusan dalam beberapa minggu. Bagi saya, kalau mereka membuat keputusan untuk menghantar dua nama, hantar sajalah dua nama. 
 
"Itu terpulang kepada parti, walaupun ia bertentangan dengan PKR dan DAP yang cuma mahu menghantar satu nama. Itupun PAS kena hormati," katanya lagi. 
 
PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya pada 17 Ogos lalu memutuskan untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, namun pada masa sama mengemukakan nama alternatif, iaitu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
 
Namun dalam  Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada sebelah petang hari sama, PAS kemudiaannya bersetuju dan selari dengan PKR dan DAP untuk mengangkat satu nama sahaja, iaitu Wan Azizah bagi mengisi jawatan tersebut.
 
Namun pada 26 Ogos iaitu apabila Sultan Selangor menitahkan agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat mencadangkan lebih daripada dua nama kepada baginda untuk diperkenan sebagai Menteri Besar Selangor, PAS dilihat mengubah pendiriannya.
 
Parti itu kemudiannya mengadakan perbincangan semula bagi mempertimbangkan titah tersebut dan memutuskan untuk menghantar lebih daripada satu nama, sekali gus bercanggah dengan konsensus gabungan pembangkang itu yang dicapai sebelum ini.
 
Teka-teki berhubung nama yang akan dikemukakan PAS kepada pihak istana hanya akan diketahui hari ini setelah ianya diserahkan.

Anwar Dakwa Akta Hasutan Disalah Guna

Posted: 03 Sep 2014 02:10 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Anwar Ibrahim.
 
 
 
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Akta Hasutan digunakan secara selektif yang jelas bertentangan dengan proses demokrasi.


"Sehingga hari ini, lima Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selain beberapa pemimpin Pakatan Rakyat telah didakwa.

"Jika pendakwaan berjaya, mungkin sekurang-kurangnya enam pilihan raya Parlimen dan tiga pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anwar merujuk kepada akta hasutan yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), N. Surendran (Ahli Parlimen Padang Serai),Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Seri Delima) dan bekas Ahli Parlimen Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Dalam kenyataannya, Anwar turut mengkritik penggunaan undang-undang itu terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom yang menyatakan pandangannya terhadap krisis politik di Perak pada 2009.

"Secara kebetulan, ia bukan pendapat yang pro-Umno atau pro-PKR.

"Sebagai seorang yang percaya kepada kebebasan akademik, saya berpendapat Azmi mempunyai hak untuk menyuarakan pandangannya," kata Anwar.

Sementara itu, beliau berkata, Hari Kemerdekaan perlu disambut bagi memperingati kebebasan negara daripada penjajahan, namun apa yang berlaku adalah penahanan penjajah abad ini terhadap pemimpin pembangkang.

Lambakan 5.8 Juta Pekerja Asing Membimbangkan - Riot

Posted: 03 Sep 2014 02:08 AM PDT


MSTAR ONLINE



PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot pada Selasa menyatakan kebimbangan terhadap lambakan pekerja asing dalam negara ketika ini iaitu kira-kira 5.8 juta orang.
Katanya, hanya separuh dari jumlah itu, atau kira-kira 2.9 juta adalah pekerja sah.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas taklimat mengenai Human Capital Development Strategic Reform Initiatives di sini, Selasa.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa rakyat di negara ini agar mengikis sikap memilih pekerjaan atau hanya mahu bekerja di sektor awam.

Riot berkata Malaysia menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, namun adalah menyedihkan kebanyakannya diisi oleh pekerja asing.

Beliau berkata bekerja di kira-kira 600,000 syarikat Industri Kecil dan Sederhana merupakan antara peluang kerjaya yang boleh dicuba rakyat tempatan.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai menghadiri Fiesta Kerjaya JobsMalaysia Dan Azam Kerja 1Malaysia 2014 Peringkat Kebangsaan di Mid Valley Exhibition Centre mulai 5 hingga 7 September untuk merebut 10,000 kekosongan jawatan pelbagai sektor.

Antara aktiviti di majlis itu ialah temuduga terbuka, pameran kerjaya, ceramah bimbingan kerjaya dan pendaftaran Online JobsMalaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

MH17: Abu Mayat Sanjid Dilepas Ke Laut

Posted: 03 Sep 2014 02:07 AM PDT

MSTAR ONLINE


Dua ahli keluarga mendiang Sanjid Singh Sandhu menerima abu mendiang sejurus Helikopter EC725 mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk pada Selasa.
 
 
 
GEORGE TOWN: Pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Sanjid Singh Sandhu, 41, 'disemadikan' hari ini apabila abu mayatnya dilepaskan ke laut berhampiran Pulau Rimau di sini.

Bekas abu mayat Sanjid yang dibawa dari kediaman keluarganya di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah tiba di jeti Jabatan Laut Wilayah Utara, Batu Uban di sini pada pukul 9.40 pagi Rabu.

Mengiringi abu mayat pramugara itu bapa mendiang, Jijar Singh, 71, isteri mendiang Tan Nee Gok, 43, dan anak tunggal pasangan itu Hans Singh Sandhu, 10, serta sanak saudara.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan dan exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo serta Phee Boon Poh.

Abu mayat Sanjid dibawa menaiki bot polis marin Jabatan Laut Wilayah Utara dan ditabur di kawasan laut diikuti dengan bunga mawar putih. Upacara itu selesai pada pukul 10.25 pagi.

Semalam, bekas abu mayat Sanjid bersama pasangan suami isteri Loh Yan Hwa dan Fan Shun Po tiba di Pulau Pinang dan diberi istiadat penghormatan.

Sanjid adalah antara 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban apabila pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai.

Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini 32 mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya dibawa pulang ke tanah air.

Sementara itu, Thaiveegan ketika ditemui selepas upacara itu berkata bapa mendiang mengucapkan terima kasih kepada polis dan semua yang terlibat dalam proses membawa pulang anaknya ke tanah air sehingga selamat disemadikan.

Beliau berkata Jijar menyifatkan penghormatan yang diberikan terhadap anaknya itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Bapa mendiang mengatakan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa. Pertama kali orang awam diberikan penghormatan sedemikian rupa. Beliau mengucapkan terima kasih kepada polis dan orang ramai kerana banyak membantu," katanya.

Cahaya Misteri Terangi Langit Di Sabah

Posted: 03 Sep 2014 02:05 AM PDT

Cahaya jalur menegak kelihatan di kawasan Putatan, Sabah pada Selasa malam.
 
 
 
KOTA KINABALU: Orang ramai dikejutkan dengan satu cahaya yang melintasi kawasan langit di Sabah pada Selasa malam.

Fenomena itu mencetuskan kekecohan terutamanya di media sosial, namun tiada siapa dapat mengesahkan maklumat sebenar kejadian berkenaan.

Ahli kaji cuaca, anggota polis dan bomba juga gagal untuk menerangkan punca cahaya yang kelihatan seperti sebuah jalur menegak melintasi kawasan Putatan kira-kira pukul 9.30 malam.

Kejadian itu berlaku untuk tempoh beberapa minit.

Ada sesetengah warga netizen berpendapat cahaya itu muncul daripada tanglung atau api daripada terminal minyak di Kinmanis, Sabah.

Ada juga yang mendakwa bahawa cahaya itu milik kapal angkasa makhluk asing.

Bagaimanapun ada yang menyuarakan pendapat dengan mengatakan cahaya seperti itu bukanlah sesuatu yang asing kerana pernah dilihat beberapa sebelum ini.

Mereka menyifatkan ia sebagai fenomena biasa.

Netizen turut berkongsi dapatan kajian mengenai insiden yang hampir sama iaitu ia berlaku disebabkan oleh pantulan cahaya daripada darat ke awan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abdul Malek Tussin ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan tentang fenomena langit bercahaya itu.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya akan menyiasat dan menentukan jika ia adalah satu fenomena semula jadi atau pantulan dari sumber lain.

Calon MB Selangor: Saya Tak Nak Ambil Tahu - Khalid

Posted: 03 Sep 2014 02:03 AM PDT



Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan terlibat dalam urusan pelantikan menteri besar baharu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan terhadap urusan pentadbiran ketika ini.

Menurutnya, tindakan untuk tidak mencampuri urusan tersebut telah dimaklumkan kepada pihak istana.

"Saya tak tahu dan saya pun tak nak ambil tahu.

"Saya tak boleh terlibat. Dalam perkara ini saya minta tak terlibat kerana saya rasa saya ada kepentingan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Tambahnya, sebagai menteri besar, beliau hanya akan diberitahu tentang keputusan tertentu sepanjang proses pemilihan dan pelantikan dijalankan.

Tegasnya, beliau juga tidak mengetahui jumlah nama calon yang telah dihantar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP pada Rabu.

"Saya tak tahu calon-calon dan jumlahnya.

"Yang saya tahu dan diberitahu, ketiga-tiga parti telah menghantar nama calon menteri besar dan untuk proses seterusnya pihak istana akan memberi maklum balas terhadap cadangan yang diberikan," katanya.

Ditanya jika terdapat tempoh masa yang ditetapkan untuk istana membuat tindakan seterusnya, beliau berkata, perkara itu akan diketahui secepat mungkin.

Mengulas mengenai pilihan raya negeri yang mungkin terpaksa diadakan bagi menyelesaikan krisis ini dan mungkin membuka peluang kepada dirinya untuk terus menduduki kerusi menteri besar, jelasn, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Sultan Selangor.

Namun, beliau mengakui adalah penting untuk kemelut ini diselesaikan dengan kadar segera.

"Paling penting dan utama ialah mencari pengganti untuk menteri besar yang ada sekarang," katanya.

Anggota Tentera Ditemui Mati Gantung Diri

Posted: 02 Sep 2014 09:53 PM PDT

RAKYATNEWS


alt
 
 
 
KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan ditemui mati di sebuah rumah kosong di Wangsa Maju awal pagi ini.
 
Menurut laporan, mayat mangsa ditemui oleh seorang anggota tentera berpangkat koperal daripada cawangan selenggaraan yang secara kebetulan sedang melakukan rondaan rumah kosong di kawasan tersebut.
 
Mangsa dikenali sebagai Zuraidi Mohamad berusia sekitar 30-an, masih lengkap berpakaian uniform ketika ditemui tergantung di siling ruang tamu rumah tersebut.
 
Saksi kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju dan siasatan awal mendapati mangsa bertugas di Kem Sungai Besi. 
 
Punca kematian masih dalam siasatan pihak polis.

Calon MB: PKR Kunci Mulut

Posted: 02 Sep 2014 09:50 PM PDT

Saifuddin Nasution Ismail
 
 
 

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini mengambil pendirian untuk mengunci mulut berhubung kontroversi pemilihan calon pengganti Menteri Besar Selangor yang baharu.

Walaupun mengakui sudah mempersembahkan nama calon bagi mengisi kerusi panas itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, PKR bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah nama yang dikemukakan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail hanya mengesahkan bahawa PKR sudah menghantar surat jawapan berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor ke istana pada Isnin.

"Dah serah semalam, 1 September (Isnin)," katanya ringkas menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (sms) kepada mStar Online pada Selasa.

Sementara itu Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua ketika dihubungi mengesahkan parti itu tetap dengan pendirian untuk hanya mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

"Bagi DAP hanya Kak Wan (Dr Wan Azizah)," katanya sambil memberitahu bahawa surat jawapan kepada istana itu sudah dihantar pada pagi Selasa.

Pada 26 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin menangguhkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Baginda menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan sebelum dilantik ke jawatan itu selewat-lewatnya pada 3 September.


Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan PAS akan berpegang dengan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu untuk mencalonkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagi jawatan berkenaan.

Mohd Hashim Dilantik Timbalan Pengerusi SPR

Posted: 02 Sep 2014 09:47 PM PDT

MSTAR ONLINE


Mohd Hashim Abdullah.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang tamat tempoh perkhidmatan pada 27 November lepas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan Mohd Hashim, 60, berkuatkuasa pada 5 September ini dan tempohnya adalah sehingga beliau genap usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Hashim, berasal dari Kota Baharu, Kelantan, memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian itu dari 11 November 2010 hingga bersara wajib pada 31 Ogos 2014.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya dan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Hashim memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1980 dan antara jawatan yang pernah disandangnya termasuk Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Belia dan Sukan, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Tiba-Tiba Penumbuk Hinggap Di Muka" - Jurugambar NSTP

Posted: 02 Sep 2014 09:41 PM PDT


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK 
 
 



PETALING JAYA: "Saya ditumbuk tanpa sebab," demikian reaksi jurugambar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohd Aizuddin Akmal Saad yang menjadi mangsa perlakuan ganas ahli keluarga penumpang pesawat MH17.

Menceritakan kembali insiden kekecohan di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi itu, Aizuddin mengakui tidak mengetahui punca sebenar mengapa dia diserang secara tiba-tiba oleh individu berkenaan.

"Saya tak ganggu keluarga mangsa (MH17), tiba-tiba saja satu tumbukan hinggap di muka saya...tumbuk curi," kata Aizuddin ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Aizuddin, 29, cedera di muka selepas ditumbuk oleh salah seorang ahli keluarga mendiang pasangan Paul Goes, warga Belanda dan isterinya, Subashni Jretnam, serta anak mereka, Kaelamayajay Goes ketika membuat liputan upacara menyambut kepulangan jenazah mangsa MH17.


Salah seorang ahli keluarga mangsa MH17 bertindak menumbuk jurugambar kumpulan NSTP.

Menurut Aizuddin, ketika kejadian, dia dan kumpulan jurugambar daripada agensi media lain berada jauh daripada keluarga mangsa setelah dihalang daripada membuat liputan.

"Ketika itu petugas media mula menumpukan perhatian kepada saya kerana telah dikasari oleh seorang lagi ahli keluarga mangsa sehingga lensa kamera dan flash saya patah.

"Sebab itulah saya hairan mengapa saya diserang lagi sedangkan saya sudah tidak merakamkan apa-apa gambar ketika itu," katanya.

Terdahulu, ketika urusan mengeluarkan jenazah daripada van jenazah, seorang individu secara tiba-tiba bertindak ganas terhadap seorang jurugambar Utusan Malaysia, Rushdi Salleh.

Aizuddin yang ketika itu berada di lokasi kajadian merakamkan insiden kekecohan tersebut hingga menimbulkan kemarahan lelaki berkenaan apabila menyedari tindakannya dirakamkan.

"Semasa di luar lagi saya sudah dikasari sehingga kamera rosak. Tapi ketika itu kekasaran tidak membabitkan sentuhan fizikal.

"Yang peliknya bila saya dibawa masuk ke ruang dalam, sekali lagi saya diserang tanpa sebab," katanya.

Menurut Aizuddin, dia membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Sungai Besi.

Bahasa Inggeris subjek wajib lulus IPTA

Posted: 02 Sep 2014 09:36 PM PDT

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
 
 
 
CYBERJAYA - Satu dasar baharu akan dilaksanakan bagi menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus, di samping bahasa Melayu, bagi pelajar di universiti awam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata beliau membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira seminggu lepas dan maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak.

"Pengetahuan asas sahaja tidak mencukupi bagi siswazah sekiranya mereka tidak mampu berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris.

"Syarikat mempunyai tanda aras tertentu. Mereka mahukan orang yang bukan sahaja memiliki kelayakan, tetapi juga yang boleh menjadi duta, yang boleh berkomunikasi dengan seluruh dunia dan antara perkara penting ialah kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis pelancaran Pemboleh Kebolehgajian Siswazah Cyberjaya Kedua (CGEE 2) di sini hari ini. - Bernama

VEP: Apa Tunggu Lagi?

Posted: 02 Sep 2014 09:33 PM PDT


vep
 
 
 
SHAH ALAM - Sinar Harian selaku pelopor wacana ilmiah sekali lagi menganjurkan Wacana Sinar Harian Siri ke-30 bertajuk VEP: Apa Tunggu Lagi? untuk memberi ruang kepada masyarakat bagi berbahas dan berbincang mengenai isu hangat ini.

Isu ini mula menjadi buah mulut orang ramai apabila kerajaan Singapura mula melaksanakan bayaran lebih tinggi untuk kenderaan dari Malaysia memasuki Singapura bermula 1 Julai lalu.

Bermula daripada episod itu, rakyat Malaysia mula bersuara bagi mengenakan kadar yang 'lebih kurang' bagi kenderaan mereka memasuki Malaysia.

Namun 'suara' itu masih belum dapat dilaksanakan, jadi pentas wacana ini diharap menjadi medan untuk meleraikan suara tersebut.

Bersama-sama moderator terkenal Dr Maszlee malik serta panelis yang tidak kurang hebatnya iaitu Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim, Pengarah Polisi DAP Johor, Wong Shu Qi, Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat kami bawakan  untuk meleraikan isu ini.

Bagi menghangatkan pentas wacana kali ini dan bersesuaian dengan pemilihan tajuk, buat julung kalinya ianya berlangsung di luar lembah Klang iaitu akan diadakan  di Johor bertempat di Dewan Utama Kompleks Komuniti Tan Sri Mohamed Rahmat Tampoi Johor pada 4 September 2014 bermula jam 2:45 sehingga 5:00 petang.

Masuk adalah  percuma dan sebarang maklumat terkini mengenai wacana ini anda boleh hubungi Laila (019-3310211), Hanafiah (019-321200) atau Mohd Fazli (019-2808492).

Pada 1 Julai lalu, Singapura menaikkan kadar bayaran bagi VEP kepada S$35 aripada S$20 sehari, manakala bayaran bagi GVP pula dinaikkan kepada S$40 daripada S$10 bagi setiap bulan.

Langkah itu tidak melibatkan bas dan teksi. Waktu dikenakan bayaran bagi VEP tidak berubah iaitu dari 2 pagi hingga 12 tengah hari pada hari biasa sepanjang musim cuti sekolah di negara ini pada Jun dan Disember dan dari 2 pagi hingga 5 petang pada hari biasa di luar tempoh cuti sekolah.

Bayaran bagi VEP untuk motosikal berdaftar di luar negara tidak berubah iaitu S$4 sehari.

Unit Amal umpama wira tak didendang

Posted: 02 Sep 2014 09:30 PM PDT


Unit Amal Pas Unit Amal Pas
KOTA BHARU – Tindakan segelintir pihak yang menganggap Unit Amal Pas sebagai pertubuhan haram adalah tidak berasas kerana ia merupakan badan kebajikan yang menguruskan bantuan kemanusiaan di bawah Pemuda Pas.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, malah Unit Amal juga telah membuktikan pelbagai khidmat cemerlang dalam kerja-kerja kebajikan di seluruh negara sejak lebih 10 tahun lalu.

"Hujung tahun lepas, anggota Unit Amal Pemuda Pas yang bertungkus-lumus menghulurkan bantuan kepada lebih 200 keluarga polis yang terperangkap di perumahan polis Bukit Mentok, Kemaman akibat banjir," katanya, semalam.

Menurutnya, Unit Amal juga sentiasa menyediakan khidmat cemerlang kepada semua pihak malah terkenal dengan gelaran wira tidak didendang, maka tidak tepat dakwaan mengatakan badan tersebut tidak berdaftar sebagaimana PPS Pulau Pinang.

Beliau juga memberitahu, untuk menyatakan solidariti sokongan terhadap badan itu, Pemuda Pas Kelantan akan memakai pakaian rasmi Unit Amal di Muktamar Pas, 16 September ini.

"Kami (Pemuda Pas Kelantan) akan menyatakan sokongan kami di Johor nanti, bagi saya tuduhan itu tidak berasas. Pemuda Pas adalah satu pertubuhan yang sah dan berhak menubuhkan unit-unitnya sendiri, kami akan membela habis-habisan mana-mana pemuda kami yang ditangkap atas keanggotaan mereka dalam Unit Amal," katanya.

Susulan tindakan itu, semua peguam dari parti Pas kini bersiap sedia ke balai polis dan mahkamah bagi membela anggota Unit Amal jika mereka ditahan.

PKR tetap calonkan satu nama sahaja

Posted: 02 Sep 2014 09:23 PM PDT


Dr Wan Azizah Wan Ismail Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
 
 
SHAH ALAM - PKR yang bermesyuarat semalam berpegang teguh dengan keputusan sebelum ini untuk menamakan seorang sahaja calon bagi jawatan Menteri Besar Selangor.
 
Menerusi satu kenyataan pagi ini, parti itu mengesahkan hanya mencalonkan nama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PKR.
 
"Majlis Pimpinan Pusat menegaskan sekali lagi keputusan yang telah dibuat pada 21 Julai 2014 yang bersetuju sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor," tulis kenyataan media itu yang memetik Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
 
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu lalu meminta parti-parti dalam PR memberikan lebih dua nama supaya baginda boleh membuat pilihan bagi mencari pengganti jawatan tersebut.
 
Tarikh akhir untuk PR mengutus senarai calon mereka kepada istana adalah hari ini.
 
Sebuah portal melaporkan, PKR dan DAP sudahpun menyerahkan nama calon mereka semalam, sementara Pas dilaporkan bakal berbuat demikian hari ini. 
 
Memetik laporan tersebut, Ketua DAP Selangor, Tony Pua memaklumkan parti itu juga hanya menghantar nama Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
Sementara itu, Saifuddin dalam kenyatan media sama memaklumkan, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat juga menerima cadangan PKR Kelantan untuk kekal bertanding di PRK Pengkalan Kubor. 
 
"Cadangan ini akan dibincangkan oleh PKR dengan Pas dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan keputusannya," ujar beliau.

Merdeka tanpa Akta Hasutan

Posted: 02 Sep 2014 05:29 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Karangan ini saya tulis pada pagi ulang tahun ke-57 Kemerdekaan Malaysia (1957-2014). Saya bersyukur kerana dapat menikmati kemerdekaan tanah air ini. Untuk enam tahun, bermula dari detik kelahiran, saya hidup dan bernafas sebagai anak tanah jajahan Inggeris.

Dua hari lepas pada 29 Ogos 2014 saya disiasat oleh polis di IbuPejabat Polis Shah Alam, Selangor di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta Nombor 15). Saya bersyukur kerana saya belum dituduh di Mahkamah dan dibebaskan pada petang Jumaat tersebut dengan dijamin oleh seorang sahabat. Jika tidak, saya akan terkurung pada hari kemerdekaan ini di lokap polis Shah Alam memandangkan cuti umum panjang dan mahkamah hanya akan bersidang di Selangor pada Selasa 2 September.

Pada tahun hadapan 2015 bersempena ulang tahun Kemerdekaan ke 58, saya berharap undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 ini dimansuhkan. Bukan dipinda-pinda tetapi dimansuhkan sama sekali. Akta Hasutan ini tidak sesuai lagi dengan Malaysia yang ingin bergerak ke hadapan di pentas global sebagai sebuah negara moden, demokratik dan menjunjung prinsip kebebasan serta keadilan seperti yang disuarakan di dalam Perisytiharan Kemerdekaan Tahun 1957 oleh perdana menteri kita yang pertama Tunku Abdul Rahman.

Banyak sebab mengapa Akta Hasutan 1948 ini perlu dihapuskan. Saya bermula dengan sebab yang pertama. Ia adalah kerana Akta ini bukan digubal oleh Malaysia yang merdeka di Parlimen Malaysia  oleh kerana tuntutan rakyat Malaysia. Tidak sama sekali. Akta Hasutan tersebut telah digubal dan diluluskan sebagai undang-undang oleh penjajah Inggeris di Parlimen Inggeris sembilan tahun sebelum Malaysia (Malaya) merdeka.

Akta Hasutan 1948 tersebut berkuatkuasa di bumi Malaysia merdeka sampai kini sebagai satu warisan tinggalan penjajahan Inggeris, walaupun telah lebih setengah kurun tanah air kita bebas dari belenggu penjajahan.

Persoalan pertama dari perspektif sejarah mengapa penjajah Inggeris menggubal, meluluskan dan menguatkuasakan Akta Hasutan 1948 ke atas tanah jajahannya pada waktu itu bernama Malaya?

Kebimbangan British

Kita lihat tahun 1948 adalah satu era di mana keruntuhan empayar Inggeris bermula selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Indonesia merdeka dengaan revolusi pada tahun 1945 dan menjadikaan negara kepulauan Melayu dengan penduduk majoriti beragama Islam itu sebuah negara republik.

Revolusi Kemerdekaan Republik Indonesia berjalan seiring dengan revolusi sosial yang menyaksikan tumbang dan tersingkirnya institusi raja. Indonesia mengisytiharkan merdeka dan penjajah Belanda tidak berupaya untuk menjajah kembali dalam apa bentuk pun. Inggeris melihat dan belajar dari apa yang berlaku di Indonesia.

Pada tahun 1948 tanah jajahan Inggeris yang terbesar di benua India tidak dapat lagi Inggeris pertahankan. India dan Paksitan sama-sama merdeka serentak dari Inggeris dan masing-masing  mengisytiharkaan negara masing sebagai sebuah republik. Sistem feudal beraja yang terkenal di India satu waktu dulu pupus bersama munculnya negara India yang merdeka dan negara Islam Pakistan yang merdeka.

Kembali di Malaya pada waktu itu. Pada tahun 1947 sebuah pertubuhan politik Melayu yang anti-penjajah bernama Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam telah mengeluarkan satu perisytiharan politik secara bertulis dalam sebuah buku yang bernama Testamen API yang mengisytiharkan cogan kata "Merdeka Dengan Darah!". Ini amat membimbangkan Inggeris. Pertubuhan API diharamkan selepas itu pada tahun 1947 juga.

Inggeris takut rakyat Malaya khususnya orang-orang Melayu akan terikut sentimen rakyat Indonesia yang melancarkan revolusi kemerdekaan dan revolusi sosial menumbangkan raja-raja bagi menubuhkan sebuah kerajaan republik di Malaya.

Kebangkitan gerakan kemerdekaan

Pada tahun-tahun sekitar 1946 -1948 kesedaran politik rakyat Malaya terhadap perjuangan untuk merdeka dari penjajahan Inggeris begitu meluas terutama di kalangan orang-orang Melayu. Inggeris amat menyedari bahawa kuasa penjajahan Inggeris di Malaya pada waktu itu amat bergantung dengan kerjasama sembilan orang raja-raja Melayu.

Raja-raja Melayu tersebut pun sama menyedari bahawa nasib mereka juga bergantung dengan kerjasama serta naungan penjajah Inggeris ke atas mereka. Banyak raja-raja Melayu yang bertakhta pada waktu itu diangkat ke takhta atas kerjasama Inggeris seperti apa yang berlaku antaranya di Perak, Terengganu dan Johor terutamanya.

Di Johor, raja yang berketurunan dari Kesultanan Melayu Melaka digulingkan oleh Inggeris dan penjajah itu kemudian mengangkat orang biasa dan pendatang yang bergelar Temenggong menjadi Sultan di Johor. Raja baru tajaan Inggeris itu, diberi gelaran Sir oleh Inggeris dan dipanggil dengan panggilan hebat sebagai "Maharaja"; dan keturunan itu berkuasa hingga sekarang.

Inggeris amat bimbang apabila pada kongres khas pertubuhan politik dan sosial Melayu pada tahun 1946 di Bangunan Kelab Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur diadakan bagi menentang gagasan Malayan Union tajaan Inggeris.

Pertubuhan seperti API, Pertubuhan kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Seberkas dari Kedah dan Pertubuhan Melayu Johor pimpinan Datuk Onn Jaafar, antaranya telah bergabung dan menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR atau Umno dalam bahasa Inggeris) pada tahun 1946 itu.

Sikap golongan bangsawan

Tetapi gabungan ini tidak kekal lama. Datuk Onn Jaafar tidak berminat pada waktu itu untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya. Beliau hanya berminat untuk memperjuangkan institusi raja-raja Melayu dengan slogan "Hidup Melayu!". Manakala API dan PKMM tegas dengan cita-cita memperjuangkan kemerdekaan Malaya dengan slogan mereka "Merdeka!" oleh PKMM dan "Merdeka Dengan Darah!" oleh API.

Dalam senario seperti ini di Malaya pada waktu itu maka Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan dengan Seksyen 4 menyenaraikan kesalahan yang dianggap menghasut kerana menghina raja-
raja.

Akta Hasutan 1948 tersebut digunakan oleh Inggeris supaya khususnya orang-orang Melayu tidak menentang raja-raja mereka waktu itu yang tidak berminat dengan perjuangan rakyat biasa untuk merdeka. Raja-raja dan golongan bangsawan leka dengan dibuai kemewahan dan kesenangan oleh penjajah Inggeris sehingga mereka sendiri mencemuh serta memperlekehkan perjuangan rakyat untuk merdeka.

Sultan Johor sebagai contoh, pada waktu itu sanggup menyatakan sesuatu yang mengguris hati rakyat hinga kini dengan kata-kata : "Nak buat jarum pun tak tahu; Ada hati hendak merdeka?".

Sikap raja-raja Melayu seperti ini amat disenangi oleh Inggeris. Catatan rekod menunjukkan Johor di bawah Sultan yang pro-Inggeris itu merupakan negeri yang terakhir menyertai Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) sebelum merdeka.

Inggeris menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menangkap pemimpin-pemimpin Melayu yang tulen anti-penjajah dan menakut-nakutkan pemimpin-pemimpin Umno waktu itu supaya perjuangaan mereka berkisar kepada "Hidup Melayu!" sahaja, bukannya perjuangan untuk menghalau Inggeris dari bumi Malaya waktu itu seperti perjuangan API dan PKMM.

Tindakan keras

Pada tahun 1948 juga penjajah Inggeris mengsiytiharkaan darurat. Lebih seribu orang pemimpin-pemimpin politik, dan kesatuan sekerja yang menentang Inggeris ditangkap, termasuk antaranya Ahmad Boestamam pemimpin API, Dr Burhanuddin Al-Helmy pemimpin PKMM dan Dr Ishak Hj Muhammad (Pak Sako).

Parti Komunis Malaya (PKM) juga diharamkan dan ramai pemimpin serta kader-kader PKM ditahan. Hal yang sama sedang berlaku sekarang. Selepas 57 tahun merdeka kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh Umno/BN dengan mandat undi minoriti 47% sahaja kini bersandar tampuk kekuasaannya pada sokongan 10 orang raja-raja Melayu termasuk (Yang di-Pertuan Agong) dan Akta Hasutan 1948.

Begitu juga 10 orang raja-raja Melayu yang menyedari di dunia moden ini di mana di seluruh dunia hanya tinggal 25 orang raja-raja sahaja dan 10 orang daripadanya berada di Malaysia, maka mereka juga bersandar kepada sokongan Umno/BN untuk terus duduk di singgahsana masing-masing.

Pendek kata antara Umno/BN dan institusi feudal raja-raja Melayu di Malaysia kini mereka saling sandar menyandar, sokong-menyokong untuk kelangsungan hidup masing-masing di tengah-tengah kebangkitan rakyat khususnya generasi muda yang memetik kata-kata hikmat di dalam Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali itu bahawa Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (Malaysia) merdeka adalah untuk memenuhi impian dan cita-cita bagi mewujudkan sebuah negara yang adil dan bebas.

Kesimpulannya sebuah negara Malaysia yang adil dan bebas adalah Malaysia yang hidup bersama rakyatnya tanpa Akta Hasutan 1948 yang lapuk dan zalim.



HASSAN KARIM adalah naib pengerusi PKR Johor dan kini disiasat polis mengikut Akta Hasutan.

Tiada ulasan: