SIASAH |
- Isu MB Selangor: Keputusan PAS jalan keluar untuk semua?
- Gul, Davutoglu dan dominasi Erdogan
- Pakatan Rakyat dan pelajaran politik koalisi
Isu MB Selangor: Keputusan PAS jalan keluar untuk semua? Posted: 17 Aug 2014 02:18 AM PDT Keputusan mesyuarat PAS hari ini mencapai keputusan yang boleh dijangka, iaitu PAS tidak lagi menyokong Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah dipecat dari PKR, tetapi pada masa sama PAS mengemukakan dua nama sebagai calon menteri besar dari PKR; Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Mohamed Azmin Ali. PAS tidak lagi memberikan sokongan kepada Khalid, yang bukan lagi anggota Pakatan Rakyat dan telah mengambil tindakan memecat enam orang anggota ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dari PKR dan DAP. Tetapi keputusan yang tidak kurang penting yang menyebelahi kepentingan PAS dan PR ialah mengekalkan empat exco dari parti itu dalam pentadbiran Khalid di Selangor. Hal ini telah mencetuskan rasa tidak senang sesetengah pihak, terutama PKR kerana PAS dilihat sebagai menyebelahi Khalid yang telah ditolak PKR dan juga bersama dengan Umno menyokong Khalid kekal. Keputusan PAS ini boleh dilihat sebagai satu kompromi yang boleh menjadi jalan keluar kepada semua pihak, tetapi tetap akan berdepan dengan sultan Selangor, yang setakat ini masih merestui Khalid kekal sebagai menteri besar. PKR cuba mengemukakan tafsiran yang PAS bersetuju dengan Wan Azizah sebagai menteri besar seperti yang diputuskan oleh PKR, tetapi tindakan menyertakan nama Azmin telah menunjukkan yang PAS masih mengekalkan pendirian sendiri dalam hal ini. Keputusan PAS ini tidak dipastikan akan memberi kesan kepada PKR, kerana parti itu telah memutuskan presidennya, Wan Azizah, keputusan yang mencetuskan kritikan hebat terhadap Anwar, PKR dan seluruh PR disebabkan kedudukan Wan Azizah sebagai isteri Anwar. PAS dalam kenyataan selapas tamat mesyuarat kekal berpendirian memberikan jawatan menteri besar kepada PKR, sebagai satu perjanjian yang dipersetujui dalam kerjasama politik PAS dengan PR. Wan Azizah dan Azmin tidak sehaluan dan bersaing sengit dalam PKR, dengan masing-masing mempunyai jumlah penyokong yang besar, dan pada masa sama juga masing-masing mendapat sokongan beberapa media berita di internet, dengan Malaysian Insider cenderung kepada Wan Azizah dan Malaysiakini kelihatan lebih mewakili pendirian Azmin. PAS telah dilihat sebagai tidak tetap pendirian dalam hal ini dan hanya menurut kehendak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR, tetapi selain dapat mengekalkan exco dalam kerajaan Selangor, PAS juga dapat mengekalkan peranannya dalam kerajaan negeri, menjadi satu-satunya parti PR yang masih berperanan dalam kerajaan negeri yang ingin dirampas Barisan Nasional ini. Majlis presiden PR bermesyuarat petang ini untuk membuat keputusan, tetapi isu ini dijangka tidak akan selesai dengan mudah, disebabkan perbezaan pandangan dalam kalangan PR dan juga peranan sultan Selangor. |
Gul, Davutoglu dan dominasi Erdogan Posted: 16 Aug 2014 08:58 PM PDT Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan akan dilantik ke jawatan presiden Turki tidak lama lagi, melanjutkan lagi kehadiran dan kemungkinan dominasi pemimpin popular ini selama hingga 10 tahun lagi. Selepas kejayaan Turki bangkit daripada kelembapan ekonomi dan muncul sebagai negara berpengaruh di rantau Arab, Erdogan kini muncul sebagai pemimpin yang mencatat sejarah penting Turki. Era Erdogan memimpin Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, menyaksikan seorang pemimpin dan sebuah parti mencapai sokongan yang cukup untuk menguasai dan mencorakkan politik Turki. Kini, sebagai presiden yang dipilih, Erdogan bakal menegaskan lagi kehadiran dalam politik Turki dan kelihatan telah menyediakan rancangan untuk turut menguasai AKP. Pemerhati melihat Erdogan mahu Ahmet Davutoglu, menteri luar yang diangkat oleh beliau untuk menerajui dasar luar baharu yang didasari cita-cita tinggi untuk melebarkan pengaruh serantau, dipilih memimpin AKP dan menjadi perdana menteri. Davutoglu jelas sekali ialah orang kepercayaan Erdogan dan patuh sepenuhnya dengan beliau, kerana Davutoglu dinaikkan sepenuhnya melalui pilihan dan tindakan Erdogan sendiri. Tidak seperti Abdullah Gul yang mempunyai populariti sendiri dan naik pada masa yang sama dengan Erdogan, Davutoglu banyak bergantung pada Erdogan. Davutoglu ialah seorang ahli akademik sebelum diangkat oleh Erdogan untuk menerajui dasar luar Turki, yang pada awalnya kelihatan mencatat kejayaan demi kejayaan dan melonjakkan nama Turki dengan pantas. Gul mempunyai sokongan yang kuat dalam AKP dan mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk mengimbangi Erdogan, seperti yang ditunjukkan melalui pendiriannya yang beberapa kali berbeza dengan Erdogan dalam hal-hal penting, seperti tindakan terhadap demonstran di Taman Gezi. Pendirian berbeza Gul telah mengundang kritikan beberapa pemimpin penyokong Erdogan dalam AKP, yang antaranya menyifatkan Gul sebagai tidak membantu Erdogan semasa berdepan cabaran protes tersebut. Pemilihan pemimpin AKP tidak lama lagi dilaporkan akan berlangsung pada masa Gul masih menjawat jawatan presiden Turki, yakni pada 27 Ogos, sehari sebelum tempoh Gul berakhir. Maka Gul terlepas peluang untuk memimpin AKP, dan dijangka tokoh yang lebih mendapat kepercayaan Erdogan, yakni Davutoglu, bakal dipilih memimpin AKP. Gul boleh kembali melibatkan diri dengan parti selepas tidak menjawat jawatan presiden, manakala Erdogan yang akan memegang jawatan presiden akan meninggalkan AKP. Peralihan kepimpinan AKP ini menjadi percaturan penting kepada Erdogan untuk membina dan mengukuhkan pengaruhnya. Persaingan Erdogan-Gul berlangsung dengan rancak bermula 2013, apabila Erdogan disebut-sebut oleh pendukungnya sebagai calon paling wajar bertanding sebagai presiden pada Ogos 2014, walaupun Gul masih layak untuk bertanding satu penggal lagi. Gul tidak dianggap sebagai wajar bertanding pada 2014, dan dinilai perlu memberi laluan kepada Erdogan, sehingga mencetuskan kemarahan kem Gul. Seorang pembantu Gul pernah mengeluarkan kenyataan membidas pendukung Erdogan, mengatakan yang tidak pernah ada persefahaman Gul tidak bertanding dan memberi laluan kepada Erdogan. Erdogan, selain dilihat akan menaikkan Davutoglu, juga akan disokong oleh pemimpin-pemimpin baharu yang lebih muda, yang setia kepada beliau. Davutoglu yang berkongsi visi dasar luar yang bermatlamat meluaskan pengaruh Turki dengan Erdogan bakal menjadi gandingan yang memperkuatkan lagi kedudukan Erdogan, dan menjadikan AKP sentiasa selari dengan Presiden Erdogan, membuka ruang untuk merealisasikan agenda memberikan presiden lebih kuasa eksekutif. Sekiranya peralihan kepimpinan AKP nanti berjalan dengan lancar, agenda Erdogan untuk menguasai parti ini dan meluaskan dominasinya akan bermula dengan sempurna. Sebagai presiden, Erdogan dijangka memberi tumpuan pada isu dasar luar yang bersifat simbolik dan berguna kepada kepentingan politik domestik, serantau dan dunia Islam, seperti isu Gaza dan Palestin. Flotila bantuan ke Gaza yang diumumkan akan dilaksanakan oleh badan bantuan Turki IHH dijangka sekali lagi akan dapat menyumbang kepada kempen imej Erdogan. - Ogos 14, 2014 |
Pakatan Rakyat dan pelajaran politik koalisi Posted: 15 Aug 2014 08:51 PM PDT Sejak tahun 1990, parti-parti pembangkang di Malaysia mula merapatkan kerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional, dalam pakatan-pakatan yang lebih kohesif dan meyakinkan. Bermula tahun 1990, PAS dan parti-parti pembangkang Semangat 46 dan tiga parti kecil Melayu bersatu menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah, APU, yang sempat bertanding dalam dua pilihan raya umum. APU bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1990 dan 1995, dengan PAS mendapat kemenangan besar berjaya menguasai Kelantan dan kemudian mengekalkannya. PAS kekal menguasai Kelantan hingga ke hari ini, yang satu punca utamanya ialah kerjasama dalam APU. Pada masa sama, Semangat 46 bekerjasama dalam Gagasan Rakyat yang anggota termasuk parti-parti yang kini membentuk Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Rakyat Malaysia, PRM, yang sebahagian besar ahlinya telah menyertai Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat. APU dan Gagasan Rakyat walau bagaimanapun ialah dua pakatan yang berbeza walaupun bergerak secara seiringan dalam dua pilihan raya umum. Selepas dua pilihan raya umum, hayat APU berakhir apabila Semangat 46 berpecah dengan ahli-ahlinya menyertai Umno bersama pemimpinnya Tengku Razaleigh Hamzah dan juga PAS. APU mencatat sejarah berjaya menghadapi dua pilihan raya umum, dengan agenda yang sederhana dan dianggotai parti-parti yang tidak banyak berbeza dari sudut ideologi dan identiti. Kemudian, pada pilihan raya 1999, ekoran peristiwa politik yang bermula September 1998, PAS bersama parti-parti pembangkang lain menubuhkan Barisan Alternatif. Barisan Alternatif menggabungkan PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan PRM dalam satu pakatan. Dalam pilihan raya umum tahun 1999, Barisan Alternatif bertanding sebagai satu pakatan pilihan raya dengan meyakinkan, membawa satu manifesto bersama. Tetapi, kemudian, perbezaan pandangan parti-parti terbabit terutama PAS dan DAP menjejaskan kesepakatan Barisan Alternatif, sehingga akhirnya DAP menarik diri pada 2001. Selepas itu, Barisan Alternatif wujud dalam keadaan yang tidak sempurna, kerana sebuah parti yang penting kepada pakatan itu telah keluar, dan akibatnya tidak menampakkan gabungan itu sebagai apa yang dipersembahkan pada awal penubuhan. Walaupun dalam pilihan raya umum berikutnya nama Barisan Alternatif masih didengari, hakikatnya ia tidak sama dengan pakatan yang dibayangkan pada tahun 1999, dan menunjukkan pakatan itu gagal mencapai kesepakatan dalam hal yang asas. Secara praktiknya, Barisan Alternatif berakhir apabila DAP menarik diri, dan gabungan ini sebenarnya hanya berjaya melalui satu pilihan raya bersama. Dalam pilihan raya umum tahun 2004, tidak wujud satu pakatan kerjasama pilihan raya yang meyakinkan, walaupun PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang dilancarkan pada tahun sebelumnya bekerjsama rapat. Kemudian, dalam pilihan raya umum tahun 2008, parti-parti pembangkang sekali lagi berusaha menunjukkan kesepakatan dalam menghadapi BN, dengan keputusan pilihan raya yang menyaksikan PAS, PKR dan DAP mendapat kejayaan besar. Pilihan raya ini telah memaksa PAS, PKR dan DAP bersatu, dan hasilnya Pakatan Rakyat ditubuhkan, dan muncul sebagai pakatan paling kohesif dalam sejarah terkini sejak APU dan Barisan Alternatif. Pakatan Rakyat membina manifesto bersama, program bersama terperinci dalam Buku Jingga, dan memperlihatkan hubungan dan kerjasama rapat di semua peringkat. Pakatan Rakyat ialah gabungan terbaik selepas dua eksperimen sebelum ini, yakni APU dan Barisan Alternatif. Selepas hampir 25 tahun sejak penubuhan APU dan Gagasan Rakyat, parti-parti pembangkang kini bersama dalam satu gabungan Pakatan Rakyat yang sukar dibayangkan pada masa itu, dan selepas Barisan Alternatif berpecah. Tempoh 25 tahun ialah satu masa yang panjang, dan sepatutnya telah menyediakan pelajaran yang cukup untuk mematangkan parti-parti pembangkang dalam pembinaan aliansi. Sekiranya Pakatan Rakyat tidak dapat dikekalkan, parti-parti pembangkang bakal kelihatan lemah dan tidak berwibawa, kerana banyak sebab, termasuk kerana terus tidak mampu membina pakatan yang kohesif dan stabil selepas puluhan tahun terlibat dalam politik pilihan raya Malaysia. Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyediakan suasana yang kondusif untuk pembinaan pakatan politik yang mampu menyaingi BN, jauh lebih baik berbanding tahun 1990 dan 1999. Pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat wajar membuktikan yang gabungan ini boleh dipertahankan, dan tidak mencatat sejarah sebagai pakatan yang hanya mampu melalui satu pilihan raya umum seperti pakatan sebelum ini.- Ogos 15, 2014 |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan