Selasa, 12 Ogos 2014

SIASAH

SIASAH


Harapan buat Erdogan

Posted: 12 Aug 2014 01:30 PM PDT

Seperti yang telah dijangka selama ini, Recep Tayyip Erdogan telah memenangi pemilihan pertama presiden Turki, mengatasi dua calon lain dengan jumlah yang besar, sebanyak 52 peratus.

Jumlah ini bermakna pemilihan presiden selesai tanpa perlu memasuki pusingan kedua. Kemenangan ini mengesahkan populariti Erdogan dan akan melanjutkan kehadirannya dalam kepimpinan Turki yang mencapai lebih 10 tahun kepada kemungkinan 10 tahun lagi.

Erdogan telah memenangi jawatan presiden dan akan menjawat jawatan presiden selama satu penggal lima tahun. Sekiranya bertanding dan menang sekali lagi, Erdogan bakal berperanan dalam politik Turki selama 10 tahun sebagai presiden.

Erdogan menjawat jawatan penting ini - yang bakal dijadikan lebih penting oleh beliau yang bercita-cita tinggi - pada masa politik serantau dan dunia yang mencabar.

Sama ada benar kritikan yang banyak dilemparkan kepadanya selama ini akan dapat diperhatikan sepanjang tempoh lima tahun akan datang dan selepas itu.

Beberapa tahun sebelum pilihan raya presiden ini, Erdogan semakin dikritik sebagai semakin bersifat autoritarian dan cenderung kepada pendakatan Islamis, sesuatu yang berimej negatif di Turki yang kuat mempertahankan sekularismenya yang kritikal dengan Islam konservatif.

Dari segi ideologi, AKP dinilai sebagai berkecenderungan Islam dan liberal, menggabungkan dua elemen ini dalam mengimbangi tuntutan dan sensitiviti politik Turki. Tuduhan semakin ke arah Islamis menjejaskan imej Erdogan dari sudut ini.

Dakwaan paling utama ialah Erdogan dikatakan bercita-cita untuk menjadikan presiden lebih berperanan eksekutif, mendepani isu-isu dasar luar dan dalaman yang penting untuk melonjakkan lagi kedudukan Turki sebagai negara yang pantas membangun dan menjadi sebuah negara contoh.

Turki akan menyambut ulangtahun ke-100 penubuhan republik pada 2023, tahun yang Erdogan bakal menduduki kerusi presiden sekiranya menang penggal kedua. Ini disifatkan ramai pemerhati sebagai antara agenda peribadi paling penting Erdogan.


Tahun 2023 juga ialah tahun pemerintah Turki bakal meraikan kejayaan Wawasan 2023, satu agenda negara Turki yang maju yang dibangunkan dan dipersembahkan oleh gandingan Erdogan dan Menteri Luar Ahmet Davutoglu.

Sebagai seorang ahli politik, rekod itu penting untuk dicatatkan oleh Erdogan, untuk menyempurnakan pencapaiannya sebagai perdana menteri selama ini yang membawa keluar Turki daripada kemelut ekonomi dan politik.

Erdogan dilihat sebagai pemimpin contoh yang mempunyai pengkagum di seluruh dunia Islam dan Turki dilihat sebagai negara model pemerintahan beridentiti Islam yang mengatasi semua negara Islam di rantaunya. Semua ini dicapai sepanjang tempoh Erdogan dan AKP mengemudi Turki.

Erdogan kelihatan tidak akan berpuas hati sekiranya tidak mencapai kedudukan setaraf dengan Mustafa Kamal Attaturk, pemimpin yang masih dilihat sebagai bapa Turki moden dan pembangun republik Turki.

Perhatian kini tertumpu pada perdana menteri yang akan menggantikan beliau, yang perlu dipastikan mempunyai hubungan baik dengan Erdogan untuk pemimpin popular Turki ini melaksanakan agendanya.

Erdogan dijangka akan memberi tumpuan yang agak banyak pada dasar luar, yang selama ini telah membantu meningkatkan popularitinya di dalam dan luar negara.

Kedudukan Turki pada masa ini menentukan kedudukan dasar luar sebagai satu komponen penting yang memberi kesan kepada politik dalaman, seperti yang diperlihatkan semasa insiden serangan Zionis ke atas kapal bantuan Mavi Marmara.

Erdogan yang mahir dalam politik populis mengharapkan supaya dapat meneruskan peranan dalam dasar luar, dan ini menjadikan perdana menteri yang sehaluan dengan beliau dan bersedia dibayangi pada masa-masa tertentu amat penting.

Krisis di Syria dijangka tidak akan elesai segera dan masih memerlukan perhatian dan peranan Turki, dan pada masa sama isu Palestin-Israel terus panas, melibatkan gerakan Hamas, sekutu Turki di sana.

Pada masa sama, Iraq yang berkongsi sempadan dengan Turki juga menyaksikan perkembangan yang kritikal, melibatkan bukan sahaja isu Kurdi yang telah mencorakkan hubungan Ankara-Baghdad tetapi juga ancaman baharu militan ekstremis yang menguasai sebahagian Iraq dan Syria.

Turki masih boleh menggerakkan peranan diplomasinya sekiranya dapat menangani politik dalaman dan menyusun semula rancangan bertindak serant.au yang telah terjejas akibat tindakan dasar luar yang tidak berhati-hati.

Turki telah terjejas akibat dasar luarnya di Syria. Ankara telah menyokong kuat penentang rejim Bashar al-Assad yang akhirnya gagal dijatuhkan dengan memberi bantuan kepada Ikhwan al-Muslimin di Syria.

Akibat kes Syria, agenda "masalah sifar" yang diuar-uarkan oleh Davutoglu dahulu telah gagal dicapai, malah Turki semakin terasing dan hubungan dengan negara-negara jiran terjejas teruk.

Populariti serantau Turki terjejas akibat perkembangan kebangkitan Arab yang bertukar menjadi konflik bersenjata dan perang proksi di Syria, malah sehingga perisikan Turki dikaitkan dengan membekalkan gas beracun yang digunakan oleh pemberontak sebagai satu rancangan mempersalahkan rejim Bashar dan membolehkan tindakan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat diambil ke atas Syria.

Turki berada dalam keadaan yang mencabar pada masa ini. Kemenangan Erdogan sebagai presiden boleh dijadikan titik permulaan untuk proses pemulihan dan membina rekod baharu Turki di rantau Asia Barat dan seluruh dunia Islam.

Walau bagaimanapun, penilaian ke atas Erdogan dan Turki perlu realistik, mengambil kira realiti kedudukan Turki sebagai sebuah negara sekutu penting AS dan model negara "Muslim moderat" anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dan negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Tetapi Erdogan telah menunjukkan sikap yang agak tegas dalam berdepan Zionis, walaupun sebahagiannya mungkin didorong oleh keperluan politik domestik, terutama melibatkan kepungan ke atas Gaza dan kesepakatan negara-negara Arab yang memusuhi Hamas dan Ikhwan al-Muslimin sehingga menjejaskan kepentingan umat dalam menghadapi Israel.

Tidak mudah untuk Turki bertindak bebas dalam dasar luarnya ekoran pakatan dan perjanjian yang disertai dan ekoran persaingan kuasa-kuasa serantau melibatkan negara Arab berpengaruh seperti Arab Saudi dan Mesir, tetapi Erdogan masih boleh diharapkan untuk memainkan peranan yang konstruktif. - Ogos 11, 2014

Mampukah Qatar dan Turki bantu Gaza?

Posted: 11 Aug 2014 11:46 PM PDT

Semasa kebangkitan yang melanda seluruh rantau Arab berlangsung, Hamas telah berdepan pilihan sukar dalam memilih sekutu dan penaung.

Pilihan ini menjadi semakin penting dan mendesak apabila imej Bashar al-Assad menjadi semakin buruk di mata dunia dan dalam kalangan negara serantau.

Damsyik menjadi semakin tidak popular dalam kalangan negara serantau, yang sedang menyaksikan kebangkitan rakyat dengan Ikhwan al-Muslimin menjadi salah satu kuasa penting yang dijangka mengisi kepimpinan negara baharu selepas kebangkitan.

Rejim Damsyik muncul menjadi pariah baharu di Asia Barat, ekoran konflik bersenjata antara kerajaan dengan pemberontak yang mendapat sokongan kuasa serantau seperti Qatar, Turki dan Arab Saudi dan juga negara-negara Barat seperti Perancis dan Amerika Syarikat.

Sepanjang kebangkitan yang memuncak di Syria, negara ini berdepan tindakan pemulauan termasuk digantung keahlian daripada Liga Arab, dutanya dihalau keluar di beberapa negara, dan wakil pemberontak mula dilayan seperti wakil tunggal yang sah kepada rakyat Syria.

Rejim Bashar berdepan tekanan yang sangat kuat dari segenap sudut dan kelihatan semakin kekurangan pilihan untuk bertindak balas, dan dilihat sedang menunggu hari untuk tamat riwayatnya.

Damsyik menjadi simbol penentangan terhadap demokrasi dan kebebasan yang mendasari kebangkitan rakyat di seluruh rantau Asia Barat.

Sentimen pada masa itu ialah harapan optimistik terhadap dunia Arab baharu yang lebih bebas dan demokratik, dan Hamas berdepan dengan pilihan untuk menyertai harapan baharu ini.

Akibatnya, Hamas, atau lebih tepat lagi biro politiknya diketuai Khaled Meshaal, atas desakan Qatar dan Turki berpindah keluar dari Damsyik.

Tindakan ini menjadi simbol Hamas memutuskan hubungan dengan paksi Syria-Iran, dan bersama apa yang dilihat sebagai harapan baharu rakyat seluruh Asia Barat.

Khaled sebelum ini telah menjadi suara yang berbeza dengan kepimpinan Hamas lain, apabila menyarankan pendekatan politik yang lebih aman sebagai pilihan Hamas, saranan yang merendahkan kedudukan dan peranan Briged Izzudin al-Qassam, sayap bersenjata gerakan ini.

Biro politik pimpinan Khaled sepanjang kebangkitan Arab memegang pendirian yang berbeza dengan kepimpinan Hamas di Gaza, terutama Mahmoud al-Zahar, yang dilaporkan telah tidak lagi menyertai biro politik sejak awal 2013.

Khaled dan kepimpinan Hamas di Gaza masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza, dan hubungan dengan Iran menjadi salah satu isu yang menguji Hamas sejak kebangkitan di dunia Arab memunculkan isu perbezaan Sunni-Syiah dan memecah-belahkan masyarakat Muslim dan meningkatkan persaingan geopolitik serantau.

Sejak 2012, perbezaan-perbezaan dalaman Hamas semakin banyak muncul di media, yang paling utama melibatkan haluan yang perlu diambil oleh Hamas dalam menghadapi Asia Barat yang sedang pantas berubah.

Walaupun tidak sepenuhnya sebulat suara, Hamas telah mengambil pendirian mengubah haluan dan merapatkan diri dengan Doha, Ankara dan Kaherah, yang dikuasai pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan Ikhwanul Muslimin serantau.

Pada masa itu, Qatar, Turki dan Mesir kelihatan sebagai kuasa baharu yang bakal menjadi pemain penting mencorakkan Asia Barat baharu, terutama disebabkan dukungan mereka untuk Ikhwan al-Muslimin yang telah berkuasa di Mesir dan dijangka berperanan besar di Syria yang pada masa itu menjangkakan kejatuhan rejim Bashar.

Qatar mempunyai kekuatan kewangan yang besar, dan memiliki media al-Jazeera yang meluas capaian di seluruh dunia Arab. Ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi juga bermastautin di Doha, menyumbang kepada satu pengaruh tersendiri Qatar di dunia Islam.

Turki pula mempunyai pemimpin yang popular di seluruh dunia Islam, Recep Tayyip Erdogan, yang telah menunjukkan kredibilitinya dalam menangani isu dengan Israel dan dalam hal pendemokrasian.

Mesir, satu-satunya negara Arab yang bersempadan dengan Gaza, telah dikuasai Ikhwan melalui Mohamed Morsi yang memenangi jawatan presiden.

Berdepan dengan kenyataan serantau ini, Hamas tidak mempunyai banyak pilihan selain menyertai aliansi dengan kuasa-kuasa meningkat ini.

Akhirnya, perkembangan yang memuncak pada 2012 dan kelihatan akan berterusan dan terus mencorak politik serantau Asia Barat semakin terjejas geraknya.

Penguasaan dan pengaruh Qatar dan Turki semakin merosot, ekoran perubahan kepimpinan di Doha dan masalah dalaman melibatkan Ankara.

Kedua-dua kuasa tidak lagi dapat mempengaruhi haluan kebangkitan dan hasilnya seperti sebelumnya. Orde baharu Ikhwanul Muslimin di Asia Barat tidak dapat direalisasikan.

Mesir pula menyaksikan kuasa kontrarevolusi menjatuhkan Ikhwan dan kembali menguasai Kaherah, dan pada masa sama membina semula kerjasama dengan Zionis, musuh utama Hamas.

Hamas di Gaza terutamanya kini melihat akibat daripada kebangkitan Arab, yang memaksanya membuat pilihan sukar dan kini memberi kesan kepada kesejahteraannya.

Serangan Zionis ke atas Gaza menunjukkan sukar untuk mengharapkan negara-negara Arab menghulurkan bantuan. Malah, gerakan anti-Ikhwan disertai Mesir, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait menjadi penyumbang utama yang menyukarkan lagi keadaan untuk Hamas dan Gaza.

Dalam kalangan negara-negara Arab dan serantau, Qatar dan Turki masih merupakan sekutu yang mempunyai hubungan baik dengan Hamas di Gaza, tetapi tidak dapat melaksanakan langkah yang kuat untuk membantu pada masa ini.

Sebahagian halangan ini ialah akibat pemerintah Mesir, yang wilayahnya ialah satu-satunya laluan darat ke Gaza yang tidak di bawah penguasaan Zionis, kini mempunyai hubungan baik dengan Zionis.

Qatar dan Turki kini mempunyai pengaruh dan ruang untuk bertindak yang jauh lebih kecil berbanding dua, tiga tahun lalu, dengan emir baharu yang jauh lebih muda di Doha dan Erdogan yang sedang menghadapi kempen pilihan raya presiden pada masa tekanan terhadapnya dan parti terus hebat.

Kedua-dua kuasa ini walau bagaimanapun masih merupakan negara yang paling bebas dalam tindakan dasar luar, termasuk melibatkan hubungan dengan Israel dan AS, dan mempunyai kemampuan untuk membantu sekutu mereka di Gaza.

Perkembangan seterusnya di Gaza, terutama melibatkan rundingan gencatan senjata dan bantuan pembangunan semula, bakal membuka ruang kepada kedua-dua Qatar dan Turki berperanan untuk membantu Hamas dan Gaza. - Ogos 7, 2014

Tiada ulasan: