Isnin, 11 Ogos 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Faekah Husin umum keluar PKR hari ini

Posted: 11 Aug 2014 04:03 AM PDT

Faekah Husin, bekas setiausaha politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan beliau keluar PKR hari ini kerana membantah cara parti itu memecat bekas bosnya.

Faekah yang juga ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) menunjukkan surat yang dihantar beliau kepada Malaysiakini dan menyatakan ia telah dihantar kepada ibupejabat PKR hari ini.

Faekah yang juga bekas setiausaha politik Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ditugaskan dengan Khalid pada 2009, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut selain menyatakan beliau "hilang kepercayaan terhadap parti."

Surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail itu berkata PKR tidak mengamalkan cara berhemah dan terpesong dari prinsip parti dalam pemecatan Khalid Sabtu lalu.

"Cara dan tindakan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti ke atas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jelas terkeluar dan terpesong daripada nilai-nilai keadilan yang selama ini yang diperjuangkan oleh partinini sejak ditubuhkan pada 4 April 1999," petik surat itu.

KENYATAAN MEDIA PARTI KEADILAN RAKYAT & PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK

Posted: 11 Aug 2014 01:40 AM PDT

TAN SRI KHALID IBRAHIM PERLU BUKTIKAN SOKONGAN MAJORITI DEWAN

KEADILAN dan DAP mengambil maklum kenyataan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mengadap DYMM Tuanku Sultan Selangor pagi ini bahawa beliau akan kekal menjadi Menteri Besar kerana mempunyai sokongan majoriti dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

KEADILAN dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai Dato' Menteri Besar Selangor. Ini bermakna YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor.

PAS pula belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos 2014 ini.

Oleh yang demikian, kenyataan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pihak Istana bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri itu adalah meragukan.

Dengan penolakan terbuka KEADILAN dan DAP, itu juga bermakna YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan dari 12 ADUN UMNO.

Oleh yang demikian, KEADILAN dan DAP mendesak supaya:

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim membuktikan kepada rakyat jelata sokongan majoriti yang diperolehi oleh beliau itu seperti mana yang beliau dakwa. Ini termasuklah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk melakukan undi kepercayaan atau cara-cara lain yang boleh membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dari ADUN PAS dan UMNO;

UMNO menyatakan secara terbuka bahawa 12 ADUN UMNO menyokong YAB Tan Sri Khalid Ibrahim seperti mana yang didakwa oleh beliau. Jika 12 ADUN UMNO tidak menyokong YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, maka jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor.

KEADILAN dan DAP akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas. Langkah seterusnya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan Pakatan Rakyat terus bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara ini dengan baik.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong KEADILAN

TONY PUA
Pengerusi DAP Selangor

Kedudukan MB: Sidang media jam 2 petang ini

Posted: 10 Aug 2014 10:18 PM PDT

Setiausaha Akhbar kepada menteri besar, Arfa'eza Aziz memberitahu media bahawa satu sidang media akan diadakan pada jam 2 petang ini di pejabatnya.

Beliau berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang bersantap bersama Sultan dan ahli Dewan Diraja Selangor yang lain sebelum terus bergerak ke pejabatnya bagi mengadakan sidang media.

Khalid bakal membentangkan hasil mesyuarat hampir dua jam yang bermula sejak jam 10 pagi tadi yang menmbincangkan kedudukannya sebagai menteri besar selepas dipecat dari PKR.

Keadaan Di Luar Istana Shah Alam

Posted: 10 Aug 2014 08:38 PM PDT



wartawan sedang menunggu keputusan selepaskhalid beredar dari mesyuarat.

Rayuan kepada ahli politik Muslim berkenaan Krisis MB Selangor

Posted: 10 Aug 2014 08:02 PM PDT


Krisis kepimpinan yang berlaku kepada Kerajaan negeri Selangor di dalam isu kedudukan Menteri Besar telah membawa banyak keburukan kepada seluruh umat Islam di tanahair umumnya dan rakyat di dalam negeri ini khususnya.

Oleh yang demikian, kami merayu kepada semua ahli-ahli politik Muslim untuk berhenti bergaduh dan berselisih di antara satu sama lain demi kerana mahu merebut kekuasaan dan kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor.

Ingatlah pesan hadith Nabi salallahualaihiwassalam ;

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإِمَارَةِ ، وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، فَنِعْمَ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتِ الْفَاطِمَةُ

'Sesungguhnya kalian akan sangat berharap terhadap kepemimpinan, sedangkan pada pengakhirannya ia hanyalah menjadi penyesalan pada hari kiamat. Di dunia ia memberikan kesenangan, namun setelah mati ia membawa penderitaan.' [Riwayat al-Bukhari no. 7148]

Sebagai rakyat, kami mengharapkan ahli-ahli politik di tanahair ini bersedia untuk mengorbankan kepentingan parti dan agenda politik masing-masing demi kebajikan rakyat dan menjaga hak serta maslahat orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama daripada menjadi mangsa keadaan.

Sebahagian ulama salaf menyebut ;

اذا صلح الراعى صلحت الرعية واذا فسد فسدت الرعية

'Sekiranya pemimpin itu baik maka rakyat pun akan menjadi baik dan sekiranya pemimpinnya rosak maka rakyat pun akan menjadi rosak.'

Perlantikan Menteri Besar yang baru atau pengguguran jawatan Menteri Besar yang lama hendaklah dilakukan dengan cara yang bukan sahaja mengikut undang-undang tetapi mestilah juga mematuhi kaedah syarak Islam dan menepati maslahat kepentingan orang ramai tanpa mengira parti dan bangsa.

Ini kerana Islam melarang kita daripada melakukan kemudharatan sekalipun niat kita mungkin baik untuk mendapatkan kebaikan tertentu.

Kaedah fiqh menyebut ;

درء المفاسد مقدم على جلب المنافع
'Menolak keburukan diutamakan daripada mendatangkan kebaikan.'

Dakwaan yang mengatakan Menteri Besar sekarang tidak bagus, perlu ditukar dan sebagainya demi kebaikan rakyat (yang belum pasti akan terjadi jika ditukar) hendaklah diteliti kembali agar ianya tidak sampai menyebabkan mudharat dan menyusahkan rakyat akibat penukaran tersebut yang membawa kepada hukum haram dan berdosa.

Jika berlaku sekalipun kepentingan untuk menukar Menteri Besar atau keperluan untuk mengekalkannya maka hendaklah dipastikan mudharat yang lebih kecil dipilih berbanding mudharat yang lebih besar berdasarkan kaedah fiqh;

الأخذ بأخف الضررين
'Memilih mudarat yang paling ringan daripada dua mudarat.'

Kami sebagai rakyat awam, mengharapkan ahli-ahli politik agar memikul amanah rakyat dengan penuh dedikasi, jujur dan adil serta tidak mengabaikan hak rakyat jelata demi kepentingan dan agenda parti politik masing-masing.

Allah SWT berfirman ;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila kalian menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil." [An-Nisa : 58]

Dan takutlah kepada ancaman Rasulullah salallahualaihiwassalam yang pernah berdoa :

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

'Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyayangi mereka, maka sayangilah dia.' [Riwayat Muslim]

Semoga Allah memberikan kita semua hidayah!

http://ustaz.blogspot.com/2014/08/rayuan-kepada-ahli-politik-muslim.htmlhttp://ustaz.blogspot.com/2014/08/rayuan-kepada-ahli-politik-muslim.html

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa: Satu pandangan dari sudut pengurusan konflik

Posted: 10 Aug 2014 07:00 PM PDT


Analisis Isu Oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

Politik secara berkolusi memang dinamik dan rapuh. Konflik dalam parti politik boleh tercetus dengan pendekatan politik kolusi.

Oleh kerana politik Malaysia adalah 'ideological base' maka ia menjadi semakin sukar. Menjadi semakin sukar dalam suasana ini apabila kepimpinan tidak urus konflik 'intra-party' dan sekali gus membawa kepada 'inter-party'.

Konflik sama ada 'inter' atau 'intra' bukanlah semuanya buruk tetapi dengan syarat kita dapat menjanakan konflik menjadi positif.

Ini beberapa langkah awal;

1. Berhenti tuduh menuduh dan serang menyerang 'inter' dan 'intra' parti berkolusi. (Kalau masa pre konflik diperlukan sekarang amat diperlukan).

2. Pimpinan tertinggi parti yang berkolusi wajib bertemu sekarang tanpa lengah.

3. Semua pihak berkolusi perlu melihat objektif besar kolusi untuk membawa perubahan politik baru dan apa sahaja yang menghalang matlamat ini perlu dihentikan segera.

4. Setiap parti dari rakan yang berkolusi wajib mengawal partinya untuk tidak memburukkan keadaan.

5. Jawatankuasa khas mengendalikan krisis mesti diwujudkan untuk memberi cadangan-cadangan kepada meminimumkan kesan krisis politik.

Kesemua lima cadangan di atas tidak akan dapat dilaksanakan apabila salah satu atau kesemua parti berkolusi mempunyai agenda lain yang tersirat walaupun ini bermakna atas kos perpecahan kolusi.

Buat masa ini kejujuran dan amanah kepada mandat rakyat adalah perkiraan yang paling utama dalam menguruskan saat yang sukar ini.

Orang Tanya Aku Jawab: Betul tak Khalid Ibrahim Tak Solat

Posted: 10 Aug 2014 06:00 PM PDT

Ada orang menyatakan bahawa terdapat dalam whatsapp dan facebook yang tersebar meluas mangatakan bahawa TS Khalid Ibrahim ini orang yang tak solat. Hujahnya lihat TSKI bersolat hajat 'kekot' macam berlakon aje.

https://fbcdn-sphotos-b-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xfp1/t1.0-9/10524706_10154462603265594_6859422379845180200_n.jpg

Krisis Selangor dan masa depan Malaysia

Posted: 10 Aug 2014 05:51 PM PDT

oleh LIEW CHIN TONG


Krisis Selangor telah merebak dan tidak lagi menjadi krisis Selangor semata-mata. Krisis Selangor kini sudah menjadi krisis keyakinan terhadap Pakatan Rakyat. Lebih daripada itu,persoalan tentang masa depan timbul: Adakah Pakatan Rakyat akan kekal dalam format yang sama selepas ini?

Saya menonton rakaman video ucapan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu program solat hajat di kediaman rasmi beliau bersama beberapa orang tokoh PAS melalui KiniTV, dan saya mengakui merasa terkilan selepas menontonnya.

Khalid berkata bahawa beliau tidak ingin menyebut tentang politik semacam adanya batasan politik dengan pentadbiran kerajaan negeri. Sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 2008, beliau mengulangi bahawa dirinya seorang ahli korporat dan bukan ahli politik, dan beliau serah kepada orang politik untuk bermain politik, supaya dirinya dapat memberi tumpuan terhadap kerja pentadbiran.

Apa yang mengusik saya adalah Khalid berhujah dalam kerangka Islam-bukan Islam, bahawa kerajaan beliau adalah kerajaan Islam dan kerajaan pimpinan orang Islam yang tidak boleh dipersoalkan dan terutamanya tidak harus dipertikaikan oleh DAP (yang dianggap sebagai parti mewakili bukan-Islam).

Walaupun ramai terpengaruh dengan hujah bahawa politik boleh diasingkan daripada pentadbiran, pandangan sedemikian hanya akan menafikan hak rakyat yang memilih kita dalam pilihanraya. Di seluruh dunia, kuasa penjajah dan kerajaan kuku besi memisahkan politik daripada pentadbiran supaya mereka boleh menguasai sumber-sumber awam tanpa mengambil kira suara rakyat jelata.

Oleh kerana proses pendemokrasian negara kita tidak berkembang seperti Indonesia, "politik" masih ditafsirkan dalam makna negatif oleh kebanyakan orang. "Politik" dianggap kotor, sebaliknya "pentadbiran" adalah sesuatu yang suci.

Dalam kerangka ini, Khalid menolak pandangan, cadangan dan teguran sepanjang tempoh enam tahun beliau menyandang jawatan Menteri Besar Selangor. Saya tidak berkata bahawa semua pandangan, cadangan dan teguran terhadap Khalid semestinya betul dan baik, kerana sememangnya ramai yang tidak berniat baik.

Tetapi kita tidak boleh mengabaikan prinsip-prinsip dalam sistem politik yang sedang kita amalkan. Kerajaan Malaysia dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Selepas pilihanraya, parti atau gabungan parti yang memenangi kerusi terbanyak diberikan mandat untuk melantik di kalangan mereka seorang ketua kerajaan dan juga jemaah menterinya.

Ketua kerajaan yang dilantik mesti menjalankan tugas beliau dengan fahaman bahawa asas jawatan beliau adalah parti yang melantiknya. Asas kuasa parti dalam perlantikan ini adalah sokongan rakyat. Hujah bahawa pentadbiran boleh terpisah daripada politik sebenarnya tidak berasas.

Untuk sistem parlimen kita (yang berlain daripada sistem presidential), pertukaran ketua kerajaan boleh dilakukan sekiranya parti atau gabungan politik tersebut menarik balik mandat yang diberikan. Perkara sebegini lazim berlaku di negara yang mengamalkan sistem parlimen apabila ketua kerajaan ditewaskan dalam pemilihan dalaman parti seperti Kevin Rudd diganti oleh Julia Gillard pada Jun 2010 dan Gillard pula diganti oleh Rudd pada Jun 2013 di Australia.

Krisis Selangor berkongsi persamaan dengan krisis Kelantan pada November 1977. PAS mengambil keputusan untuk menukar Menteri Besar Datuk Muhamad Nasir tetapi beliau enggan undur. Rusuhan berlaku dan perintah darurat diisytiharkan dengan usul parlimen yang tidak dipersetujui oleh PAS dan DAP. PAS dipecat dari gabungan politik Barisan Nasional. PAS ditewaskan dalam pilihanraya Mac 1978 dan hanya mampu mengambil kembali kuasa di negeri Kelantan pada tahun 1990. Sejarah akan berulang seandainya kita tidak mengambil iktibar daripadanya.

Apa yang dikesali juga adalah nama Islam yang dipergunakan oleh Khalid dan rakan-rakannya dalam krisis Selangor untuk meletakkan krisis ini dalam kerangka wacana di antara Islam dengan bukan-Islam dan di antara PAS dengan DAP. Kalau semua yang dilakukan oleh orang Islam betul, dengan maksud tersirat apa yang dilakukan oleh bukan-Islam itu tidak betul, maka tidak perlulah pilihanraya umum diadakan kerana orang Islam sahaja boleh menentukan nasib negara tanpa orang bukan-Islam. Juga, tulisan penulis yang bukan-Islam ini tidak perlu dibaca oleh orang Islam kerana dia tidak akan menzahirkan pandangan yang betul.

Lebih mengecewakan saya, ada di kalangan pimpinan muda PAS cuba meninjau senario politik terkini dengan kaca mata "pertarungan Islam dengan bukan-Islam". Kalau itu kerangka politik mereka, tentunya langkah logik kepada mereka adalah untuk bekerjasama dengan orang Islam yang lain dan menjauhi orang bukan-Islam. Maka UMNO adalah "gandingan" politik yang lebih sesuai untuk mereka daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

(Cuma, untuk rekod, saya tidak bersetuju untuk melabelkan DAP sebagai parti bukan-Islam. Saya kerap memperingatkan rakan seperjuangan dalam DAP bahawa DAP adalah sebuah parti rakyat Malaysia dan pada suatu hari nanti, adalah hasrat saya untuk melihat lebih ramai Melayu menjadi ahli dan pemimpin DAP. Apabila DAP juga adalah parti dengan majoriti Melayu, kebaikan untuk PAS adalah permainan perkauman UMNO langsung tidak akan kesan.)

Krisis Selangor telah mencecah satu tahap di mana keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat jatuh merudum. Bolehkah Pakatan Rakyat diteruskan dalam format yang sama? Atau ia tidak lagi disokong oleh pengundi? Pilihan untuk PAS juga adakah ia ingun mengulangi sejarah Kelantan, tetapi kali ini dengan PAS sebagai pihak yang menghalang penggantian calon Menteri Besar parti PKR?

Akhir kata, ia juga menyentuh persoalan masa depan PAS. Adakah PAS parti untuk umat Islam sahaja, tidak kira umat Islam itu betul atau salah, dan tidak ambil kira prinsip sistem demokrasi berparlimen? Ataupun PAS masih berminat untuk menjadi sebuah jemaah dan gerakan kebangsaan yang disokong oleh semua rakyat Malaysia atas prinsip-prinsip demokrasi?

LAPORAN PORTAL ONLINE MSTAR 'PAS PELAWA ABDUL KHALID KEAHLIAN PARTI' ADALAH TIDAK BENAR

Posted: 10 Aug 2014 04:47 PM PDT

Laporan berita yang berkait dengan YAB Menteri Besar Kelantan merangkap Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) dibawah tajuk 'PAS Pelawa Abdul Khalid Keahlian PAS' sebagaimana yang dilaporkan oleh portal online mstar adalah tidak tepat sama sekali. Laporan akhbar tersebut boleh dirujuk di: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/08/10/pas-terima-khalid/

Perenggan kedua laporan mstar yang menyatakan 'Menteri Besar Kelantan memberitahu pintu keahlian PAS sentiasa terbuka untuk Abdul Khalid yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari sabtu kerana masalah disiplin' dengan disebut sedutan ucapan beliau yang berbunyi " terpulanglah kepada beliau jika ingin menyertai PAS selepas ini kerana telah dipecat PKR" adalah tidak benar sama-sekali.

Sebaliknya YAB Pemangku Ketua DUPP hanya menyatakan " itu kita tidak boleh nak komen, itu hak dia" apabila ditanya tentang masa depan politik Tan Sri Khalid selepas ini. Dalam menjawab soalan kepada wartawan pada tengahari tadi di Perdana Resort ketika menghadiri majlis hari raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) beliau hanya menekankan agar masyarakat dan ahli PAS bertenang supaya dapat mewujudkan suasana terbaik dalam kemelut yang melanda Selangor dan ujarnya " DUPP sendiri kembali kepada tarikh mesyuarat PAS Pusat yang akan berlangsung pada 17 ogos 2014 nanti dan kita tunggu apa yang diputuskan nanti" ujar beliau lagi "apa yang berlaku di Selangor kini adalah satu 'exercise' bagi membina kematangan berpolitik".

Beliau yang juga anggota Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) menegaskan bahawa ahli PAS perlu menghormati MSU yang merupakan badan tertinggi parti dan sentiasa memantau perjalanan PAS agar seiring dengan dasar dan prinsip PAS.

Beliau juga menyatakan bahawa Dewan Ulamak PAS Pusat tidak pernah membincangkan tentang urusan pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagaimana yang tersiar dalam berita headline TV3 pada jam 8 malam tadi. Apa yang dinyatakan ialah perbincangan tentang hal tersebut akan dibincang dalam mesyuarat PAS Pusat dan MSU telah membincangkan hal ini, boleh jadi mereka yang melaporkan tersebut keliru antara Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak.

Disediakan:

Mohd Asri Mat Daud
~Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Merangkap Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat

~Bertarikh 14 Syawal 1435/ 10 Ogos 2014

Tiada ulasan: