Jumaat, 1 Ogos 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Anwar kurang sepucuk surat lagi

Posted: 31 Jul 2014 06:32 PM PDT

STRATEGI umum dulu baru cari jalan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu jalan buntu lagi kali ini.

Selepas episod September 16, kali ini ialah Langkah Kajang. Di dalam PKR, sebenarnya taktik yang sama juga digunakan, tetapi ia tidak gagal.

Ini kerana PKR di bawah kawalan penuh Anwar yang berpangkat Ketua Umum.

PRK Kajang

Umpamanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang terpaksa diadakan apabila bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Adun secara mengejut.

Hendak tak nak, Speaker Selangor Hannah Yeoh menerima peletakan jawatan Chin Cheh dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas SPR dimaklumkan.

Hanya segelintir sahaja dalam PKR tahu mengenai PRK Kajang yang menjadi loncatan kepada Langkah Kajang. Yang lain terpinga-pinga mencari jawapan, kononnya ini operasi rahsia tertinggi parti.

Tiada apa yang boleh dibuat kerana Chin Cheh sudahpun meletakkan jawatan. Sudi tidak sudi, Pas dan DAP kena telan bahawa PRK Kajang harus berlaku meskipun rakyat Selangor tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

Rakan-rakan Pakatan Rakyat dipaksa 'endorse' Langkah Kajang dan memberikan sokongan sepenuhnya, termasuklah jentera pilihan raya.

Oleh kerana kerusi itu milik PKR, maka Pas dan DAP menyokong siapa yang dicalonkan PKR.

Itu semangat ukhuwah daripada Pas dan DAP. Tetapi jika diberi pilihan sama ada Chin Cheh perlu letak jawatan mahupun tidak, sudah tentu ada yang menyokong Chin Cheh untuk kekal sebagai Adun.

Tapi PKR tidak mahu melalui proses itu, oleh itu mereka mendapatkan Chin Cheh untuk meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Biarlah seribu yang membantah, PRK Kajang tetap berjalan kerana surat peletakan jawatan Chin Cheh sudah ada di tangan. Itu hebatnya taktik politik PKR di sini.

Jawatan menteri besar Selangor

Dalam percubaan menukar Menteri Besar Selangor, taktik yang sama cuba digunakan oleh Anwar.

Umumkan dahulu, lepas itu baru cari endorsement untuk gantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail – tidak kisahlah pandangan rakyat, pandangan rakan di dalam Pakatan Rakyat mahupun pandangan istana macam mana.

Kerusi MB ini milik PKR, itulah tanggapan mereka. Oleh itu, mereka berhak melakukan apa sahaja dan yang lain kena angguk dan jangan banyak soal.

Soal kebolehan Wan Azizah langsung tidak dibicara. Apakah benda baru yang boleh dibawa tidak diketahui. Dijanji ekonomi negeri boleh bertambah kukuh dengan pertukaran tersebut, tetapi tidak dimaklumkan bagaimana.

Jika Abdul Khalid dapat menyimpan lebih RM3 billion dalam 6 tahun, apakah Wan Azizah dapat meningkatkan simpanan itu dengan lebih cepat? Ini juga satu persoalan yang tidak dijawab.

Yang penting, tukar dulu. Yang lain fikir kemudian. Kemungkinan Wan Azizah akan jadi lebih hebat daripada Abdul Khalid kerana lepas ini wujud pula jawatan de facto Selangor MB ataupun Ketua Umum Selangor yang mengatasi kuasa menteri besar sendiri.

Ini cuma barangkali, tapi yang pasti tanggapan ini ada di setiap minda rakyat Selangor yang biasa.

Kekurangan satu surat

Sehingga kini, strategi politik Langkah Kajang Anwar belum berjaya.

Ini kerana Anwar kekurangan sepucuk surat.

Iaitu surat peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid.

Tanpa surat itu, kerusi MB tidak kosong. Oleh itu, segala perbincangan seterusnya hanya membazir masa termasuklah usaha-usaha mendesak rakan parti untuk menerima cadangan PKR.

Tanpa surat tersebut, apa-apa pendirian rakan Pakatan Rakyat sebenarnya tidak bermakna dan tiada impak kerana kerusi MB masih ada tuannya yang sah. Jadi, usah salahkan rakan parti kerana Langkah Kajang masih menemui jalan buntu.

Seperti Chin Cheh, Abdul Khalid adalah orang PKR. Hanya PKR boleh mendapat surat peletakan jawatan daripada mereka berdua tanpa melalui rakan-rakan lain di Pakatan Rakyat.

Kalau PKR dapat surat tersebut, bukan sahaja Pas dan DAP perlu akur, istana Selangor pun kena terima. Dan 'terima' di sini bermaksud bersetuju MB ditukar kerana MB lama dah tidak mahu bekerja – dan bukan 'terima' dalam erti kata disampaikan khabar.

Masa itu, tiada siapa lagi yang akan berbicara untuk Abdul Khalid kekal sebagai MB kerana Abdul Khalid sudah letak jawatan. Yang dibincangkan hanyalah siapa yang harus menggantikan Abdul Khalid.

Ketika itu, perbincangan antara tiga parti barulah bermakna kerana kerusi MB sudah kosong.

Ada satu lagi surat

Pada minda rakyat biasa, tertanya-tanya bukankah burung satu di tangan (bekerjasama dengan Abdul Khalid sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk menguatkan PKR) lebih baik daripada hilang segalanya.

Mungkin. Tapi mungkin juga ada benda yang lagi besar akan hilang daripada gengaman Anwar dan PKR sekiranya Abdul Khalid terus menjadi MB.

Malangnya, bab ini hanya Anwar dan PKR sahaja yang tahu.

Langkah Kajang, setahu penulis, masih hidup meskipun Anwar akan gagal mendapat surat peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid.

Ini kerana Anwar masih ada pilihan untuk keluarkan surat sendiri untuk menyahkan Abdul Khalid dari PKR.

Jika Abdul Khalid bukan lagi ahli PKR, penulis tidak pasti sama ada kerusi MB itu masih akan kekal berada di tangan PKR.

Meskipun risiko ini terlalu tinggi kerana susah untuk mengagak apa yang bakal berlaku seterusnya, tetapi langkah ini penulis percaya kini menjadi pertimbangan serius para pemikir Anwar.

Ini sekadar spekulasi penulis.

Fokus Raya dulu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

- Timmy Say.

DR MOHD ZUHDI INI..

Posted: 31 Jul 2014 06:31 PM PDT

Saya hubungi Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Saya mahu memberinya kekuatan.

Bukan saya ini kuat, tetapi ia sebahagian tugas seorang muslim membela saudara semuslimnya daripada dianiayai dan dibiarkan dihina oleh rakan-rakan sendiri yang curang.

Sebaliknya, bila saya hubunginya, dia pula yang memberikan saya kekuatan. Nampaknya, jelas sangatlah, dia telah pergi kepada Allah sebelum saya pergi kepadanya.

Sesiapa yang berjalan kepada Allah, Allah akan berlari kepadanya. Seperti kalam hikmah al Imam asy Syafi'ei yang sungguh mahal,

'Apabila engkau dapati tiada lagi manusia yang mahu membelamu, membiarkanmu berseorangan, maka ketahuilah, sesungguhnya Allah sendirilah yang mahu mengurus dan membelamu.'

Ada ulama mengatakan, ini antara hikmat kata al imam asy Syafi'ie yang terhebat!

Dan ia begitu menepati rakan saya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Kekuatan yang dimilikinya telah begitu mengatasi kekuatan yang saya usahakan dan bawakan untuknya. Sudah tentu ia daripada Allah yang datang kepadanya lebih awal setelah dia pergi kepadaNya lebih awal daripada saya kepadanya.

Fitnah itu sifatnya melampau dan kejam sekali. Ia datang untuk membunuh, bahkan seperti yang al Quran sendiri dendangkan, ia lebih dahsyat daripada membunuh!

Biasanya yang terfitnah akan rebah sebelum masanya untuk dia rebah.

Gegarannya terlalu kuat, menakutkan dan kejam sekali. Bahkan, seperti dendangan al Quran juga, apabila fitnah datang, ia bukan hanya bertumpu kepada mangsa asalnya itu, bahkan ia memalit dan menjangkau segala apa yang ada di hadapannya.

Apabila fitnah 'printscreen' oleh penjilat wikileaks dalaman PAS sendiri ditiupkan dengan begitu kencang dan tersebar dalam sekelip mata, Dr Mohd Zuhdi seperti jatuh ke dalam sebuah telaga yang gelap.

Semua mengira bahawa beliau adalah Almarhum Zuhdi.. mangsa telaga buta!

Rupa-rupanya ia bukan sebarang telaga. Di dalamnya ada sedikit ruang untuk mangsanya diam seketika. Dia kemudiannya adalah tetamu telaga itu.

Nabi Yusuf alaihissalam menjadi tetamu istimewa telaga buta untuk beberapa ketika, pada saat saudara-saudaranya sedang mencipta 'darah palsu' (damin kazib) untuk dipersembahkan kepada ayahanda mereka bahawa adinda kecil mereka itu telah menjadi mangsa serigala.

Tetapi Yusuf alaihissalam diciptakan untuk menjadi nabi. Rancangan Allah untuknya adalah lebih dahsyat dan menakjubkan. Daripada telaga fitnah, Yusuf bangkit untuk menjadi teladan kebangkitan daripada fitnah jahat sepanjang zaman.

Belum sempat kawan-kawan membantu, Dr Zuhdi berjaya keluar daripada telaga fitnah itu. Belum sempat saya tanya bagaimana pertolongan datang kepadanya lebih awal. Dia hulurkan saya dan kawan-kawan sebuah nukilan ringkas. Sempat juga dia bermeditasi dalam telaganya itu, ganti kepada 'imaginasi'nya yang sedang gawat dalam dunia politik selebriti, politik sandiwara tanah air.

Saya telah masukkan nukilan cantiknya itu di paparan FB saya. Anda boleh menikmatinya dengan enak sekali.

Dr Mohd Zuhdi, seperti yang saya kenali sejak lebih 10 tahun akan memenangi perlawanan ini. Beliau adalah politikus bukan selebriti. Atau, ahli akademik yang sebenar dalam dunia politik damai dan politik benar yang pernah saya lukiskan suatu hari dulu, saat saya juga hampir terjatuh dalam telaga buta..

Syabbas Dr Mohd Zuhdi..

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
AJK PAS PUSAT

JAWAPAN KEPADA RAFIZI RAMLI, ANTHONY LOKE DAN TONY PHUA

Posted: 31 Jul 2014 06:25 PM PDT

Hampir 20 tahun yang lalu, ketika Samuel Huntington mengemukakan teori tentang 'Pertembungan Peradaban' (The Clash of Civilisation), yang menuduh Islam adalah sebuah agama yang sering berkonflik, saya adalah seorang yang menjadi penentang kuat menolak teori tersebut. Pada ketika itu, saya mendukung usaha yang dilakukan oleh guru saya Profesor Osman Bakar untuk menolak teori Huntington, sebaliknya memperkenalkan Agenda Dialog, yang bertujuan untuk mewujudkan sebuah dunia yang lebih harmoni dan menghargai nilai kemanusiaan. Agenda Dialog ialah satu usaha untuk mencari titik-titik persamaan antara peradaban khususnya yang berkaitan dengan nilai sejagat dan menghormati titik-titik perbezaan yang biasanya berkaitan dengan kepercayaan beragama. Saya menggunakan umur muda saya untuk mengusahakan perkara itu, walaupun biasanya umur muda seseorang dicorakkan oleh pemikiran radikal dan ekstrim.

Saya terlibat membantu penganjuran siri Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban yang diterajui oleh Profesor Osman Bakar, termasuklah satu persidangan yang bertemakan 'Islam and Confucianism'. Di samping itu, saya juga menghadiri beberapa siri wacana yang turut disertai oleh tokoh-tokoh kontroversi seperti Dr Nurcholis Majid dan Profesor John Esposito, sebagai usaha melangsungkan Agenda Dialog tersebut. Berikutan dengan siri-siri persidangan dan wacana itu, Kementerian Pendidikan kemudiannya memperkenalkan satu kurikulum wajib di universiti-universiti tempatan dikenali sebagai Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Kurikulum TITAS ini bertujuan untuk membawa generasi muda Malaysia yang terpelajar menghargai empat peradaban besar dunia yang mereka warisi, di samping menjadikan mereka generasi yang menghargai keharmonian hidup dan menolak unsur-unsur melampau.

Ketika TITAS mula diperkenalkan, saya terlibat menyumbangkan fikiran dalam membina kurikulum tersebut. Saya bersama-sama dengan Profesor Chandra Muzaffar, Profesor Hashim Musa dan beberapa rakan yang lain menulis Bab Pertama Buku Teks TITAS berkaitan dengan 'Pengenalan kepada Peradaban' dan Bab Terakhir berkaitan dengan 'Cabaran-cabaran Peradaban Masa Kini'. Ketika TITAS diperkenalkan, harapan yang tinggi diletakkan agar kurikulum ini akan melahirkan generasi muda Malaysia yang berusaha ke arah memupuk keharmonian kaum dan menghindarkan ekstrimisme. Apabila Anthony Loke beberapa bulan yang lalu melahirkan pandangan prejudis terhadap kurikulum TITAS ini seterusnya menyarankan TITAS tidak lagi menjadi kursus wajib di universiti, saya adalah antara mereka yang tertanya-tanya adakah beliau mendapat gambaran yang betul tentang latar belakang kursus TITAS ini?

Apabila Profesor Chandra Muzaffar ditamatkan kontrak perkhimatan, saya telah menggantikannya mengajar satu kursus dalam program Sarjana Dialog Peradaban. Sekali lagi saya meneruskan peranan mempromosikan Agenda Dialog terutama kepada bakal pemegang ijazah sarjana yang bakal menjayakan kurikulum TITAS di seluruh negara. Saya juga terlibat menyelia pelajar-pelajar ijazah tinggi dan ijazah dasar termasuk mereka yang mengkhusus dalam Sarjana Dialog Peradaban. Kesempatan mengajar TITAS dan Sarjana Dialog Peradaban memberi peluang kepada saya memperolehi ramai anak murid dari pelbagai kaum yang bilangannya mungkin menjangkau ribuan. Mereka yang pernah menjadi murid saya, boleh melihat sendiri sikap saya yang konsisten terhadap hubungan harmoni antara kaum dan saling faham-memahami antara peradaban.

Saya bukanlah seorang ahli politik, dan jauh sekali untuk menjadi selibriti politik. Saya hanya seorang akademis yang menyumbang fikiran kepada orang politik, supaya politik negara ini akan lebih menghargai keharmonian kaum dan mengelakkan ekstrimisme. Menjelang PRU 2004, saya pernah dijemput membentangkan satu kertaskerja tentang peranan Masyarakat Madani, sebagai salah satu langkah menyediakan Manifesto Barisan Alternatif. Dalam pembentangan itu, saya menekankan sekali lagi Agenda Dialog, dan peranan Masyarakat Madani sebagai elemen penting mencapai peradaban Malaysia. Meskipun demikian, peranan Masyarakat Madani ini tidak boleh lari dari garis panduan agama sesuai dengan perkataan 'Madani' itu sendiri berkaitan rapat dengan peranan agama sebagai asas pembinaan sesebuah peradaban.

Semenjak saya berperanan sebagai penyumbang fikiran kepada orang politik, saya pernah beberapa kali duduk sepentas dengan Rafizi Ramli. Saya pernah duduk sepentas dengan beliau dalam wacana sumbang saran penyediaan budget Kerajaan Negeri Selangor beberapa tahun lalu. Kami diminta membincangkan tajuk bagaimana memperkasakan demokrasi di Negeri Selangor. Dalam wacana itu, saya sekali lagi menyebut tentang kepentingan peranan Masyarakat Madani sebagai rakan kongsi kepada Kerajaan Negeri ke arah mencapai sebuah pemerintahan yang bertatakelola baik (good governance). Selain daripada itu, saya membangkitkan sekali lagi tentang kepentingan berdialog ke arah mewujudkan sebuah masyarakat berbilang kaum yang harmoni dan terhindar dari sikap perkauman yang melampau.

Sebelum puasa yang lalu, saya berkesempatan pula duduk sepentas dengan Anthony Loke dalam satu program anjuran WADAH Negeri Johor, dan kebetulan saya diminta untuk bercakap soal perpaduan. Saya bercakap di hadapan Anthony Loke sendiri, bahawa Islam sama sekali tidak membenarkan sikap perkauman sebaliknya saling berdialog (bertaaruf) antara satu sama lain. Saya menegaskan pendirian saya, bahawa sekolah-sekolah vernakular yang merupakan satu institusi membentuk jatidiri kaum masing-masing tidak boleh ditutup sebaliknya diperkasakan. Setiap kaum tidak boleh dihakis jatidiri mereka sebagaimana pendekatan banyak negara yang menghakis jatidiri kaum atau etnik demi membentuk satu identiti bangsa. Di atas pentas itu, saya menyebut pendekatan Islam dalam perpaduan ialah bersatu dalam kepelbagaian, justeru tidak boleh menghakis jaatidiri sesebuah kaum yang sebenarnya juga anugerah dari Allah.

Mereka yang pernah mengenali saya, pernah menjadi anak murid saya dan pernah bersama di atas pentas, saya yakin dapat mengenali pendirian saya yang konsisten tentang Agenda Dialog, iaitu mencari titik-titik persamaan antara peradaban dan saling menghormati titik-titik perbezaan yang ada. Rakan-rakan media sosial saya di FB dapat mengetahui bagaimana pendirian saya ketika muncul isu berkaitan dengan kalimah suci nama Allah. Saya konsisten mempertahankan pendirian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, bahawa dalam sesebuah pemerintahan Islam orang bukan Islam tidak boleh dihalang menggunakan kalimah Allah atas prinsip "Lakum Dinukum Wa Li Yadin", selama mana penggunaan itu tidak bertujuan penghinaan. Artikel saya dalam FB tentang isu kalimah suci nama Allah turut dikongsi banyak pihak di samping juga diterbitkan dalam portal akhbar maya. Saya yakin rakan-rakan dalam PKR dan DAP mengetahui pendirian saya tentang perkara itu.

Saya juga beberapa kali membela DAP yang dituduh sebagai punca Tragedi 13 Mei dan juga dicop sebagai small brother PAP Singapura. Dalam satu forum yang dianjurkan oleh mahasiswa UIA menjelang PRU 13 yang lalu, saya dijemput menjadi ahli panel bersama rakan saya Dr Mazlee malik (UIA), Dr Yusri Mohamad (PEMBELA) dan Tun Faisal Ismail (UMNO), dan soalan-soalan yang sedemikian turut ditanya. Saya menjawab bagi pihak DAP dengan memberikan hujah-hujah membersihkan nama parti itu sebagai punca Tragedi 13 Mei dan small brother kepada PAP. Klip video yang memuatkan jawapan saya tentang tuduhan terhadap DAP ini telah lama dimuatnaik oleh pihak pengajur dalam laman Youtube. Jelasnya, saya yakin mereka yang mengenali saya, anak-anak murid saya dan yang pernah duduk sepentas dengan saya mengetahui pendirian saya tentang isu kalimah Allah dan sikap saya terhadap DAP.

Malang sekali, apabila bocornya Printscreen Whatsapp AJK PAS Pusat, sebahagian rakan kenalan saya, segelintir anak-anak murid saya dan mereka yang pernah duduk sepentas dengan saya seperti Rafizi Ramli dan Anthony Loke dengan pantas menghukum saya sebagai racist atau ekstrimist. Saya bukan ahli politik dan jauh sekali sebagai selibriti politik yang memilih kenyataan media untuk menjawab tuduhan-tuduhan itu, malah saya tidak berminatpun nama say a dipopularkan di akhbar sepertimana diidamkan oleh kebanyakan ahli-ahli politik yang lain. Saya juga tidak boleh mendedahkan keseluruhan perbincangan dalam Whatsapp itu yang telahpun disimpan oleh sahabat saya Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, sehingga menurut beliau jika dicetak atas kertas A4 dengan font bersaiz 12, perbincangan itu memakan 115 mukasurat. Kalaulah saya boleh mendedahkan kesemua 115 mukasurat itu, saya yakin kesemua mereka dapat memahami apa sebenarnya yang terkandung dalam printscreen yang dibocorkan itu.

Saya telah menjelaskan beberapa kali bahawa perenggan-perenggan yang dibocorkan itu tidak mewakili pendirian dan sikap saya. Ketika saya mengemukakan analisis senario tersebut ada ahli-ahli perbincangan menegur saya tentang pemilihan bahasa yang kasar, lalu saya jelaskan bahawa bahasa yang saya pilih itu bukan mewakili pendirian dan sikap saya sebaliknya perkataan-perkataan yang akan dihamburkan oleh pihak-pihak dalam PAS yang selama ini tidak berpuashati terhadap DAP dan lain-lain isu yang mereka merasakan sepertu dikunci mulut untuk bersuara, sedangkan sebelum ini mereka mempunyai kebebasan untuk melakukan sedemikian. Kalaulah saya boleh bocorkan printscreen yang berkaitan dengan jawapan saya itu, saya yakin ramai akan memahami apa yang saya ingin sampaikan. Malangnya, akhlak mengikat kita untuk membocorkan perbincangan sulit sesama ahli kumpulan Whatsapp, meskipun ada segelintir yang sewenang-wenangnya melakukan pembocoran tersebut.

Sewaktu perbincangan tentang usul keluar PR di dalam kumpulan Whatsapp itu, unsurnya bercampur-campur, sekejap humor, sekejap provok, sekejap sindir dan kadangkala tegang. Sewaktu perbincangan ada ahli perbincangan yang menyebut, memang segelintir ahli PAS akan lega bila PAS keluar dari PR sebab selama ini mereka begitu marah dengan DAP dan lain-lain, terutama dalam isu nama Allah dan serbuan gereja. Seperti yang dimaklumi PAS telah ambil tindakan disiplin kepada beberapa orang seperti ini, tetapi masih ada ahli PAS yang masih bersikap marah kepada DAP dan lain-lain pihak berkaitan. Bila saya buat analisis senario apa berlaku kalau PAS keluar PR, maka saya sebut tentang kemungkinan yang boleh berlaku di Selangor. Pada perenggan kedua saya sebut secara imaginatif dan berbentuk sarcasm (sindiran) perkataan yang akan dihamburkan oleh ahli-ahli PAS yang selama ini memendam kemarahan kepada DAP dan pihak-pihak lain yang berkaitan dengan isu nama Allah, isu murtad dan seumpamanya.

Sekali lagi saya jelaskan, ayat yang saya pilih itu tidak menggambarkan pendirian saya, sebab saya tidak berada dalam senarai yang ahli-ahli perbincangan yang menyokong keluar PR. Saya cuma memaparkan senario perasaan lega segelintir ahli yang selama ini menganggap PAS seperti dikuasai oleh DAP sehingga tidak dapat lagi bersuara seperti dulu. Mereka yang ada dalam perbincangan itu akan faham unsur-unsur imaginatif dan sarcasm tersebut, melainkan kalau mereka sememangnya menyimpan strategi busuk untuk menjayakan agenda mereka seperti yang dilakukan oleh si pembocor. Tujuan si pembocor adalah untuk mendesak PAS khususnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengambil tindakan terhadap saya, kerana saya adalah antara penentang kuat 'Kajang Move' yang dicita-citakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Secara tidak langsung juga, mereka yang berada di pihak pembocor memberi tekanan supaya pimpinan PAS bersetuju dengan langkah itu.

Saya ingin menegaskan, bahawa saya tiada cita-cita politik yang tinggi sepertimana ahli-ahli politik, melainkan hanya sekadar menyumbang fikiran supaya politik Malaysia membawa kepada keharmonian kaum dan persaingan demokrasi yang sihat. Saya melihat 'Kajang Move' sebagai langkah yang tidak memenuhi kehendak rakyat Selangor yang mahukan orang-orang politik yang diberi mandat berkuasa memberi khidmat kepada rakyat bukannya meletakkan jawatan sesuka hati dan boleh menurun-naikkan kepimpinan Kerajaan Negeri seperti mudahnya menukar pakaian. Ahli-ahli politik perlu menyedari bahawa jawatan MB itu bukan sekadar hak parti, tetapi ada hubungannya dengan hak Istana yang telah memperkenankan perlantikan seseorang dan hak rakyat Selangor yang telah memberi mandat bukan hanya berdasarkan kepartian. Semoga dengan penjelasan ini, semua pihak dapat mengerti pendirian dan sikap saya tentang isu perkauman dan memahami apakah 'game' sebenar pihak pembocor printscreen tersebut.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Klang, Selangor

1 Ogos 2014
5 Syawal 1435

"Sokongan Padu kepada Dr Zuhdi, Desakan Tindakan Disiplin kepada Pengkhianat dalam PAS"

Posted: 31 Jul 2014 06:21 PM PDT

[1] Isu sebaran printscreen diskusi dalaman AJK PAS Pusat kini menjadi kian parah dan teralih arah. Pengkhianat yang mendedahkan rahsia parti tersenyum puas tatkala Dr Zuhdi pula menjadi mangsa yang di kambing hitamkan. Kami mendesak Jawatankuasa Disiplin PAS menyiasat dan mengambil tindakan yang tegas kepada pengkhianat ini. Kami juga berharap agar Majlis Syura Ulama agar dapat mengambil perhatian berkenaan gejala membocorkan rahsia yang membabitkan dalam kalangan AJK PAS Pusat.

[2] Kami mendesak supaya pimpinan Pakatan berhenti memainkan provokasi yang menghentam PAS berhubung isu printscreen diskusi dalaman AJK PAS Pusat yang melibatkan pandangan analisis Dr. Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP). PAS mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan Sdr Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR dan juga rakan-rakan kepimpinan DAP, Sdr. Anthony Loke dan Sdr. Tony Pua berhubung isu berkenaan.

[3] Adalah menjadi kebiasaan mana-mana pimpinan dalam Pakatan dan PAS memberikan pandangan peribadi secara bebas dalam mesyuarat atau perbincangan termasuklah memberikan pandangan bersifat andaian bagi mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah. Dr. Zuhdi sebagai COO PPP, hanya menjalankan tugas memberi dan menyampaikan pandangan dan andaian dari setiap sudut melalui dapatan kajian beliau. Kemudian, ia terpulang kepada kebijaksanaan kepimpinan PAS untuk mengambil keputusan secara kolektif dan mengikut kehendak majoriti.

[4] PAS juga tidak pernah campurtangan dalam urusan mesyuarat PKR atau DAP dan adalah lebih bijak jika Rafizi dan pimpinan PKR yang lain menumpukan fokus mereka untuk menyelesaikan kemelut dalaman PKR seperti Mesyuarat Agung Pemilihan peringkat cabang-cabang dalam PKR yang masih belum selesai.

[5] PAS juga menyarankan agar Anthony dan Tony dalam DAP berkerjasama dengan Lim Guan Eng untuk selesaikan masalah yang wujud dalam DAP Sarawak yang baru-baru ini dengan jelas membuat resolusi mahu keluar dari Pakatan.

[6] PAS sentiasa matang dan tenang dalam menghadapi krisis dalaman dan luaran tanpa menjejaskan kedudukan PAS dalam Pakatan. PAS mempunyai struktur yang kuat dan cara tersendiri dalam menangani masalah perbezaan pendapat. Tindakan disiplin akan diambil jika ada pelanggaran disiplin parti yang jelas dilakukan termasuklah terhadap mereka-mereka yang khianat menyebarkan maklumat rahsia parti.

[7] Diharap pimpinan semua parti dalam Pakatan berfikir dan mengambil tindakan yang lebih matang sebelum mengeluarkan kenyataan menyelar dan menghentam mana-mana pihak.
Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada pimpinan PAS dalam menghadapi saat ujian yang pedih ini serta mengukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan.

[8] Akhir sekali, kami tetap berdiri teguh mempertahankan Dr Zuhdi yang menjadi mangsa komplot jahat ini. Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada Dr Zuhdi dalam menghadapi saat ujian yang pedih ini.

Kepada Pengkhianat pula, hari ini mungkin anda merasa puas tetapi yakinlah akan tiba masanya nanti tembelang jahat itu akan pecah dan mendapat balasan yang sewajarnya oleh Allah.

Yang Benar,
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: