Selasa, 26 Ogos 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Khalid Ibrahim LETAK Jawatan

Posted: 26 Aug 2014 02:03 AM PDT




[Malaysia Kini] Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memohon meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Menurut kenyataan istana, sultan bagaimanapun menangguh menerima peletakan itu sehingga penggantinya dilantik.

Khalid turut mengumumkan perkara itu di Facebook beliau.

"Saya telah kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Datuk Menteri Besar Selangor dan baginda telah memutuskan untuk menangguh penerimaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai," tulisnya.

Khalid sebelum itu tiba di istana Bukit Kayangan di Shah Alam untuk menghadap Sultan Selangor.

Khalid memasuki kawasan istana pada jam 2.20 petang, lima minit selepas kenderaan Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba di istana.

Menteri besar kelihatan tersenyum melalui tingkap keretanya. -26/8/14


Hadi Tawar Azmin Sertai PAS Bentuk Kerajaan Bersama Umno, Dakwa AJK PAS Pusat

Posted: 26 Aug 2014 12:10 AM PDT



[The Malaysia Insider] Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam dikejutkan pengakuan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang beliau menawarkan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali menyertai PAS bersama beberapa rakannya bagi membentuk kerajaan bersama di Selangor.

Namun, tawaran itu kemudiannya ditolak Azmin.

Menurut seorang AJK PAS Pusat yang menyertai mesyuarat semalam, Hadi mengesahkan perkara itu setelah ditanya oleh ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin tentang perkara itu.

Ia diikuti pertengkaran hangat antara Hadi dan Hanipa.

AJK PAS Pusat itu mengesahkan kepada The Malaysian Insider pengakuan Hadi itu ekoran tersebarnya maklumat dalam laman sosial kononnya PAS menawarkan jawatan menteri besar kepada Azmin untuk membolehkan kerjasama dibuat dengan Adun PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi membentuk kerajaan.

Menurut sebaran itu, isu itu bermula dalam mesyuarat semalam apabila seorang AJK PAS Pusat bertanya kepada presiden adakah benar perkhabaran beliau dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan dengan Azmin.

Presiden mengatakan perkhabaran itu benar.

"Kalau PKR boleh curi wakil rakyat PAS maka PAS pun boleh berbuat perkara yang sama," kata Hadi, menurut sebaran itu.

AJK yang sama bertanya lagi isi kandungan perbincangan dengan Azmin, lalu dijawab yang Azmin diajak menyertai PAS bersama dua atau tiga orang lagi Adun PKR.

AJK yang sama menyambung pertanyaan, "Kalau dicampur PAS yang 13 orang dengan Azmin dan 2 orang Adun PKR, bilangan cuma 16 orang. Bagaimana hendak mengadakan kerajaan?"

Belum sempat Hadi menjawab, seorang AJK lain mencelah dan bertanya adakah presiden bersetuju bekerja sama dengan Umno.

"Lantas presiden menyatakan persetujuan, malahan presiden memberikan alasan menjaga Melayu sebagai asas perpaduan," kata sebaran itu yang disahkan kebenaran sebahagian besar isi kandungannya oleh AJK PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Azmin ketika ditemui wartawan semasa Kongres PKR hujung minggu lepas mengakui beliau ada berbincang dengan Hadi sehari dua sebelum itu.

Antara kandungannya, kata Azmin, adalah mengenai pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, Hadi berkeras dalam mesyuarat itu yang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak boleh dicalonkan sebagai menteri besar Selangor kerana dia wanita dan kerana dia juga tidak layak.

Tindakan Hadi ini jauh berbeza dari sikapnya dalam mesyuarat 17 Ogos lepas apabila beliau sendiri yang mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai calon menteri besar Selangor.

Pencalonan Azmin pula ditolak oleh 13 Adun PAS Selangor yang masih tinggal selepas dua dari mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah.

Ekoran tindakan dua Adun PAS itu, Khalid hilang peluang untuk kekal sebagai menteri besar kerana bilangan penentang beliau membentuk majoriti iaitu 30 dari 56 kerusi dalam DUN Selangor.

Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) berpecah dari kelompok PAS apabila mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah atas dasar untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat AJK PAS Pusat semalam, Mustafa berkata, mesyuarat mengambil keputusan menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor melantik menteri besar yang baru. – Amin Iskandar/26 Ogos, 2014.


Berkaitan:

DAP S'gor: Apa Perlunya Pakatan Terus Kekal?


[Malaysia Kini] DAP Selangor kecewa dengan dolak-dalik PAS dalam krisis politik di negeri itu, dan kini menimbang semula keperluan sama ada Pakatan Rakyat perlu terus kekal.

Soal pokok itu dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat tergempar DAP Selangor pada malam tadi.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

"Apabila PAS enggan memenuhi janji, dan berdegil untuk tidak menyokong presiden anggota gabungan kita sebagai MB baru, mungkin tiba masanya untuk merenung dan berfikir mengenai tujuan berterusan dan kewujudan pakatan ini."

Bagaimanapun, tiada apa-apa keputusan konklusif dibuat dalam isu tersebut, katanya.

Beliau merujuk kepada mesyuarat PAS semalam, yang memutuskan bahawa parti itu membenarkan sultan memilih calon untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. - Kow Gah Chie/26/8/14



[Gambar] Bomba Potong "Cincin Besi" Tersangkut pada Kemaluan Lelaki

Posted: 25 Aug 2014 08:22 PM PDT


Ahli Bomba sedang berusaha mengeluarkan cincin tersebut daripada kemaluan seorang lelaki di Kota Baharu. - Facebook/JBPM

[Astro Awani] KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu semalam berjaya membantu operasi memotong dan mengeluarkan alat berbentuk 'cincin' yang tersangkut di kemaluan seorang lelaki.

Dalam laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di mana gambar kejadian tersebut telah dikongsi, ia difahamkan empat anggota bomba telah hadir di Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk membantu para doktor untuk mengeluarkan 'cincin' tersebut.

Ketua Balai Bomba Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, 'cincin' itu merupakan sebuah 'bearing' alat ganti kenderaan.

Alat berbentuk cincin yang telah berjaya dipotong oleh pihak Bomba - Gambar JBPM

"Motif pemuda berumur 22 tahun itu menyarungkan cincin itu di kemaluannya tidak diketahui. Orang muda, kan," kata Zaini apabila dihubungi Astro AWANI.

Zaini berkata, pada Ahad, doktor dari Hospital tersebut telah membuat panggilan ke Balai Bomba Kota Bharu untuk meminta pertolongan daripada jabatan itu untuk mengeluarkan 'cincin' terbabit.

"Doktor kepakarannya membedah orang, bukan alat seperti itu. Jadi, kami dipanggil untuk menolong.

"Kami mencuba sedaya upaya menggunakan alat tertentu dan kreativiti kami untuk mengeluarkan 'cincin' itu," katanya.

Zaini berkata lelaki itu kini berada di bawah pengawasan pihak hospital. - T K Letchumy Tamboo/25/8/14

image (2)

Foto: Facebook/JBPM
Laporan di akhbar Kosmo:



Wanita Australia Dakwa Dicabul Pramugara MAS Diselar di Media Sosial Selepas Temuramah TV

Posted: 25 Aug 2014 08:14 PM PDT



[The Malaysian Insider] Pengguna media sosial hari ini mengecam Laura Bushney, seorang wanita warga Australia yang mendakwa diraba ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS) ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lalu.

Menerusi ruangan komen di laman Facebook Sunday Night, program terbitan Channel 7 televisyen Australia, ramai melahirkan keraguan berhubung pengakuan Bushney kerana dia mendakwa dia sempat merakam perbuatan itu melalui telefon bimbitnya.

"Betul-betul merepek. Dia lakukannya kerana satu perkara saja. Wang. Selain merosakkan reputasi orang yang tidak bersalah," kata Jessica Greenhill diikuti lebih 300 komen lain.

Bushney, 26, dalam wawancara bersama Sunday Night berkata, ketua pramugara MAS itu merayu kepadanya supaya tidak melaporkan insiden tersebut kepada pihak berkuasa kerana bimbang diketahui isteri dan anak-anak.

Katanya, anak kapal MAS itu cuba mengambil kesempatan atas perasaan takutnya ketika terbang dengan MAS berikutan insiden pesawat MH370 dan MH17, lalu dia duduk di sebelahnya sambil mengurut kakinya dengan alasan cuba menenangkannya.

Bushney memberitahu, lelaki itu kemudian memasukkan tangannya ke dalam seluarnya sambil meraba kemaluannya.

Katanya dia terkejut waktu itu dan terfikir-fikir kemudiannya: "Mengapa saya tidak jerit, mengapa saya tidak berteriak?

"Saya seorang yang tabah. Saya boleh lakukannya. Saya tahu saya boleh. Tetapi waktu itu saya terlalu takut untuk berbuat apa-apa."

Seorang lagi pengguna media sosial, Tanya Pearce memberi komen dia percaya Bushney sengaja membiarkan perkara itu berlaku kerana mahu mendapat pampasan dari MAS.

"Saya percaya dia membiarkan perkara itu berlaku. Dia tidak benar-benar menangis. Saya tak tahu bagaimana dia dalam ketakutan tetapi tidak menjerit.

"Apa yang dia (ketua pramugara) boleh lakukan dalam pesawat yang penuh dengan penumpang? Saya fikir dia (Bushney) hanya hendakkan pampasan," katanya di laman Facebook itu.

Alexandra Shand pula berkata apa yang dikatakan Bushney sangat kelihatan seperti dakwaan palsu dan membuatkannya menukar siaran dari terus menyaksikan program Sunday Night. 

"Saya gembira bukan saya seorang sahaja yang ingat ada sesuatu yang pelik dengan berita ini," katanya. 

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama CJ Booth berkata Sunday Night sengaja mensensasikan dakwaan Bushney ekoran kejadian dua pesawat malang MH370 dan MH17 yang menimpa MAS.

"Jika ia bukan MAS, cerita ini tidak akan disiarkan. Jadi, jangan katakan kamu lakukan untuk dia (Bushney) apabila tujuan sebenar untuk mendapatkan penonton," katanya.

Kebanyakan pengguna media sosial yang melemparkan kritikan melihat tindakan Bushney merakam insiden itu sebagai di luar kewarasan fikiran apabila berdepan dengan keadaan kritikal seperti itu.

Mereka berkata daripada merakam insiden berkenaan, sewajarnya Bushney mengambil tindakan mengelak membiarkan perkara itu terus berlaku. 

"Dia boleh ambil telefon dan rakam tetapi tidak menjerit atau memukul. Saya lihat dia tidak jujur," kata Michelle Durban yang turut disokong beberapa pengguna Facebook lain. – 25 Ogos, 2014.

Berita terdahulu di sini.


Khalid Nafi Penyelesaian Hutang Banknya Mencurigakan

Posted: 25 Aug 2014 08:06 PM PDT



[The Malaysian Insider] Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penyelesaian pinjaman peribadi RM66 juta Bank Islam‎ dilakukan dalam keadaan mencurigakan.

Khalid ketika menjelaskannya kepada kakitangan kerajaan Selangor berkata, semua penyelesaian tersebut dibuat dengan telus.

"Tiada apa-apa manfaat yang diberikan kepada sesiapa pun dalam penyelesaian tersebut.

"Saya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

"Saya rasa biarlah proses undang-undang berjalan untuk membersihkan nama baik saya," katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.

Katanya, mana-mana pihak yang masih curiga boleh mengemukakan aduan kepada Bank Negara dan membuat semakan audit.

Khalid berkata, tindakannya mendiamkan diri tentang isu pinjaman Bank Islam kerana mahu menjaga kerahsiaan bank dan enggan melanggar undang-undang dibawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Katanya, mana-mana pihak yang bekerja dalam industri pelaburan semestinya tahu bahawa rahsia bank tidak boleh diberikan kepada umum kerana ada undang-undang yang memberi kuasa kepada bank menangkap mereka yang mendedahkan rahsia.

"Jika simpan duit atau buat pinjaman dalam bank, ia mesti dirahsiakan kalau tidak akan menyusahkan orang yang simpan duit dalam bank," katanya.

Katanya, tohmahan ini secara tidak langsung mencalarkan reputasi kerajaan negeri Selangor.

"Saya percaya kalangan penjawat awam turut mengikuti situasi perjalanan politik kerajaan negeri Selangor sejak beberapa bulan ini.

"Terlalu banyak tohmahan yang dilemparkan, termasuklah isu pinjaman peribadi saya.

"Walaupun saya tidak suka mencampuri urusan peribadi dengan kerja, tohmahan ke atas saya ini turut mencalar corak gerak kerja kerajaan Selangor," katanya.

Isu pinjaman Bank Islam dijadikan peluru bagi PKR mendesak Khalid segera berundur daripada jawatan menteri besar dengan segera selepas tokoh korporat itu enggan menurut arahan parti supaya berbuat demikian.

Mahkamah Rayuan pada Mac 2010 memutuskan Khalid tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam selepas mengenepikan rumusan penghakiman bank tersebut terhadapnya kerana gagal menyelesaikan kemudahan pinjaman Islam itu. – 25/8/14



Mesyuarat PAS Tegang, Pemimpin Tolak MB Selangor Pilihan TG Hadi

Posted: 25 Aug 2014 07:55 PM PDT

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengetuai sidang media semalam selepas tamat mesyuarat pemimpin tertinggi PAS. Gambar fail The Malaysian Insider.

[The Malaysian Insider] Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdepan dengan penentangan ahli partinya sendiri apabila 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor menolak calon menteri besar Selangor pilihannya – Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ketika mesyuarat jawatankuasa pusat, seminggu selepas mereka memutuskan menghantar dua nama.

Mesyuarat semalam menyaksikan ketegangan berlaku di antara Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dan Hadi berhubung usaha PAS menyokong Azmin untuk jawatan tertinggi negeri itu berbanding Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata sumber.

"Terdapat ketegangan apabila Hanipa mempersoalkan langkah menyokong Azmin selepas 30 Adun termasuk Azmin sendiri menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah. Hanipa mahu tahu siapa lagi menyokong Azmin," satu sumber memberitahu The Malaysian Insider dan menambah tiada jawapan diberikan kepada soalan itu.

PAS mempunyai 15 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala PKR mempunyai 13 dan DAP 15. Selebihnya adalah 12 Adun Barisan Nasional (BN) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menteri besar yang kini menjadi Adun bebas selepas dipecat PKR.

PAS, PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang mengatakan 30 Adun, termasuk dua dari parti Islam itu menyokong Dr Wan Azizah bagi jawatan tertinggi negeri itu.

Sumber itu juga memberitahu, mesyuarat semalam menyaksikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kecewa dengan pendirian keras Hadi agar dua nama dihantar kepada Sultan Selangor untuk jawatan menteri besar.

Mohamad tidak ada bersama pada sidang akhbar selepas mesyuarat PAS semalam. Difahamkan timbalan presiden PAS itu mengelak untuk bertemu media dan meninggalkan mesyuarat menggunakan pintu belakang selepas ia berakhir, begitu juga Hanipa.

Hadi juga tidak bertemu media selepas mesyuarat dan menghantar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk memberikan kenyataan satu perenggan dan memberikan penjelasan kepada media yang menanti.

Dalam mesyuarat semalam, ketegangan berlaku kerana Hadi bertegas tidak mahukan Dr Wan Azizah untuk memimpin negeri terkaya itu, menjadikan PAS tersepit selepas Adun mereka di Selangor memberitahu Hadi mereka tidak akan menyokong Azmin.

"Presiden tidak mahu Dr Wan Azizah, 13 Adun Selangor pula menolak Azmin, jadi hasilnya kita serahkan kepada Sultan untuk membuat pilihan," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak dinamakan.

Sebaik saja selepas mesyuarat selama dua jam semalam, Mustafa membacakan kenyataan satu perenggan yang berbunyi:"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada hari ini 25 Ogos 2014 bersetuju untuk menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor dalam menentukan jawatan menteri besar Selangor."

Mustafa juga enggan mengesahkan sama ada parti itu bersama pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) untuk menamakan Dr Wan Azizah dan sebaliknya memberitahu pemberita agar 'tafsir (kenyataan) itu sendiri'.

"Mesyuarat (semalam) bertujuan untuk memutuskan sikap PAS selepas keputusan Pakatan berbeza dengan keputusan PAS," kata sumber itu.

"Hasilnya mesyurat memutuskan, kita serah kepada Tuanku untuk memilih siapa calon menteri besar Selangor."

Sumber berkata, ramai dalam mesyuarat semalam terkejut dengan penegasan Hadi kerana beliau sendiri yang mencadangkan kedua-dua Dr Wan Azizah dan Azmin dipertimbangkan untuk jawatan itu semasa mesyuarat parti pada 17 Ogos.

"Presiden memberikan dua alasan. Satu alasan agama dan satu lagi kelayakan," kata sumber itu merujuk kepada hujah mengatakan Dr Wan Azizah tidak layak memimpin kerana beliau merupakan seorang wanita.

13 Adun PAS Selangor bertemu Hadi dua kali selepas rakan mereka Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah.

Kali terakhir mereka bertemu pada 20 Ogos di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut. Azmin juga dikatakan sudah bertemu dengan Hadi pada hari berkenaan untuk membincangkan beberapa perkara termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

Mustafa semalam berkata, 13 Adun PAS tidak akan menyertai dua rakan mereka dan 28 Adun PR menandatangani akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semalam surat mencalonkan isterinya untuk jawatan itu sudah dihantar ke istana.

Beliau berkata, tiada keperluan parti gabungan itu menghantar surat secara individu kepada Sultan berhubung pencalonan tersebut. – AMIN ISKANDAR/26 Ogos, 2014.

Tiada ulasan: