Ahad, 24 Ogos 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Anwar Dedah Sebab Khalid Ibrahim Disingkirkan daripada Parti

Posted: 24 Aug 2014 04:02 AM PDT



'Tak peduli' Punca Utama Khalid disingkirkan, Dedah Anwar 

[The Malaysian Insider] Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui dirinya dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berada dalam dilema sebelum memutuskan untuk menyingkirkan rakan karib mereka, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, daripada parti.

Anwar berkata beliau dan isteri menganggap Khalid sebagai keluarga terdekat, dan pada mulanya sering mempertahankan menteri besar (MB) Selangor itu apabila diserang ahli parti sendiri yang mengeluh tentang kelemahannya.

Tetapi akhirnya terpaksa membuat keputusan setelah mendapati kesalahan besar Khalid adalah sering menunjukkan sikap tidak peduli terhadap masalah rakyat.

"Azmin tahu, Majlis Pimpinan Negeri (Selangor) bertahun-tahun minta tindakan saya pertahankan," kata Anwar merujuk kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

"Saya tak setuju dengan tindakan itu semua.

"Saya pernah pegang tangan Tan Sri Khalid; 'banyak perkara yang baik dilakukan tapi dengarlah sikit'," katanya dalam ucapan di Kongres PKR di Shah Alam, hari ini.

Menurut Anwar, beliau dan Wan Azizah mengambil pendirian tidak memburukkan Khalid

Anwar menafikan rancangan menyingkirkan Khalid kerana ingin mengaut kontrak dan harta kekayaan negeri demi kepentingan peribadi sesetengah pihak.

"Bukan soal kontrak, bukan soal jawatan yang dituntut. Saya tak setuju kalau ini kerana parti nak minta kontrak, saya tak setuju dan saya beritahu secara terbuka pada kongres yang lalu saya sokong Tan Sri Khalid yang ikut peraturan dan tidak mudah meluluskan hanya kerana kepentingan parti.

"Tetapi soalnya macam (lebuh raya) Kidex, puluhan ribu bantah, panggilah dan dengar. Itu sahaja permintaan," katanya.

Katanya, beliau berdepan cabaran memberi penerangan kepada rakyat Selangor mengenai kelemahan Khalid mengagihkan kekayaan kepada rakyat.

"Nak terangkan tidak mudah, sebab saya diserang oleh orang di Selangor kerana terlalu lemah dalam menangani isu menteri besar Selangor (sehingga) makan masa bertahun-tahun.

"Akhirnya, bila ada keputusan untuk menyelesaikan masalah dengan peralihan, saya pula diserang," katanya.

Beliau juga menyeru PKR memastikan peralihan kuasa MB berlaku dengan baik, serta mengelakkan perselisihan peribadi.

"Sebab tu saya pertahan Azizah daripada buat apa-apa kenyataan yang menyinggung peribadi dia (Khalid) dan harap dia berundur dengan baik," katanya.

PKR memecat Khalid pada 9 Ogos selepas mendapati beliau ingkar arahan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) 21 Julai memberi laluan kepada Wan Azizah menggantikan beliau sebagai MB.

Keesokannya, Khalid menghadap Sultan Selangor, dan mendapat perkenan meneruskan tugas, selepas Adun Pelabuhan Klang itu memaklumkan kepada istana beliau mempunyai sokongan majoriti DUN. – Jamilah Kamaruddin/ 24 Ogos, 2014.


Amah Disimbah Air Panas

Posted: 24 Aug 2014 04:00 AM PDT


[Bernama] GEORGETOWN – Seorang pembantu rumah dikejarkan ke hospital hari ini selepas didapati melecur di bahu kanan, leher dan tangan akibat disimbah air panas oleh majikannya di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Bendera, Air Itam di sini.

Wanita berusia 22 tahun itu turut mendakwa dalam kejadian Rabu lepas, tangan dan kakinya diikat dan mangsa hanya dapat melarikan diri awal pagi ini selepas suspek meninggalkan rumah itu semalam untuk pergi bercuti.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superitendan Rahman Ahmad berkata keadaan mangsa kini stabil selepas dihantar ke sebuah hospital di sini dengan bantuan orang awam kira-kira jam 1.30 pagi ini.

"Kami mendapat maklumat kejadian daripada pihak hospital dan soal siasat mendapati suspek adalah seorang wanita serta belum berkahwin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang majikan terbabit dikatakan marah kerana mangsa tidak mengemas rumah dengan baik sebelum menyimbahnya dengan air panas.

Wanita itu turut mendakwa diikat selama beberapa jam dan hanya diberikan plaster untuk merawat kecederaan yang dialaminya dan mengadu pernah dipukul beberapa kali sebelum ini, kata Rahman.

Katanya mangsa juga merupakan anak yatim piatu dan bekerja di rumah berkenaan sejak setahun lalu.

"Polis sedang menyiasat motif kejadian dan sedang mengesan majikan wanita itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya. – 34/8/14


Drama Tebusan Dua Jam Berakhir Ejekan

Posted: 24 Aug 2014 03:36 AM PDT


[Sinar Harian] CHONGQING - CHINA. Keadaan panik ketika Gong Tseng, 30, menjadikan sepupunya Cui Meng, 29, sebagai tebusan dengan pisau di leher bertukar menjadi insiden memalukan kepada dirinya apabila penonton menjerit menyuruhnya bunuh diri selepas dia melepaskan tebusan dan meletakkan pisau dileher sendiri.

Menurut Mail Online, Tseng menjadikan Meng tebusan selepas berlaku pertikaian keluarga di bandar Chongqing, di selatan China.

Selepas dua jam, polis berjaya memujuknya melepaskan mangsa.

Namun, tindakan Tseng mengalihkan pisau ke lehernya sendiri mengundang ejekan daripada orang ramai yang mengatakan mereka telah penat menunggu dan hanya mahu melihat drama itu berakhir.

Difahamkan, Meng dilihat membuat panggilan telefon ketika menjadi tebusan dan dipercayai menelefon datuknya untuk membantu memujuk Tseng melepaskan dirinya.

Tseng akhirnya mengalah dan meletakkan senjata sebelum ditahan pihak polis. -24/8/14


Wajah Ulama Keluar Fatwa Menghalalkan Lelaki Mengintai Wanita Mandi

Posted: 24 Aug 2014 03:33 AM PDT


[Mstar] KAHERAH: Seorang 'ulama' Mesir mengeluarkan fatwa menghalalkan lelaki mengintai wanita di bilik mandi.

Dalam kenyataannya di stesen televisyen al-Arabiya, Usamah Al-Qawsi berkata, jika seseorang lelaki benar-benar jujur dan mahu menikahi wanita terbabit, mereka boleh menyorok dan mengintai bakal isteri itu secara diam-diam.

"Perbuatan itu boleh diterima asalkan niatnya suci," katanya.

'Fatwa' Usamah itu kononnya dibuat berdasarkan kisah seorang sahabat Rasulullah.

Kata Usamah, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, jika seseorang lelaki dapat melihat sesuatu yang akan membuatnya mahu menikahi seseorang perempuan, ia boleh dibenarkan.

Bagaimanapun kenyataan itu segera dikecam ulama serta kerajaan.

Menteri Agama Mesir, Mohammad Mukhtar berkata, sangat tidak boleh diterima jika lelaki mengintai wanita di bilik mandi walaupun tujuan akhirnya adalah untuk menikahi wanita tersebut.

"Di mana kemuliaan dan kewarasan Usamah membenarkan amalan mengintai wanita di bilik mandi?" katanya.

Mukhtar berkata, Islam melarang seseorang wanita menunjukkan aurat masing-masing kecuali untuk suami dan mahram.

Lelaki juga diharamkan melihat aurat wanita.

"Islam mengajar supaya umatnya bersopan.

"Jika fatwa Usamah diterima, apakah akan berlaku kepada anak-anak anda semua?" katanya. -24/8/14


P/s: Gila!!!!



[Video] Remaja Berselfie di Puncak Bangunan Pencakar Langit

Posted: 24 Aug 2014 03:28 AM PDT



Video ini memaparkan aksi Daniel  Lau dan rakan-rakannya mengambil gambar selfie di puncak sebuah bangunan pencakar langit. 

Trend ini kian popular terutama dalam kalangan remaja dan pelakunya sanggup menanggung risiko termasuk hilang nyawa semata-mata untuk mengambil gambar dengan aksi ektrem yang lain daripada yang lain.

Jangan tiru aksi ini. -DCM

[Video] Jerung DITELAN oleh Kerapu

Posted: 24 Aug 2014 03:17 AM PDT


Jerung yang meragut mata kail pemancing di Florida ini dikatakan berukuran 4 kaki. Bayangkan pula saiz kerapu yang menyambar dan menelan jerung itu. 

Berdasarkan video di bawah ini, ikan kerapu itu hanya membuat sekali terjahan dan berjaya "merampas" jerung itu daripada pemancing yang kelihatan terkejut dengan kejadian yang berlaku di depan matanya. -DCM

Tiada ulasan: