Khalid Samad Khalid Samad


SHAH ALAM - Meskipun Majlis Syura Ulama Pas telah membuat keputusan untuk tetap menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, seorang pemimpin Pas di Selangor berkata majlis itu masih boleh mengubah pendiriannya itu jika terbukti wujudnya salah laku dalam pentadbirannya.
  
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Samad berkata, ia berikutan adanya pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atas Abdul Khalid termasuk isu berhubung perjanjian penyelesaian pinjamannya dengan Bank Islam.
  
"Sebelum ini, Majlis Syura berkeyakinan Tan Sri Abdul Khalid tidak ada kes dan sebab itu kita menyokong beliau, tetapi apabila adanya tuduhan sebegini, saya mahu beliau beri penjelasan.
  
Abdul Khalid kena bela diri, saya bagi masa sehingga 17 Ogos ini untuk beliau dedahkan bagaimana beliau lenyapkan hutang itu daripada pengetahuan kami (pakatan pembangkang)," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
  
Maklumat mengenai perjanjian penyelesaian pinjaman itu telah didedahkan oleh PKR dalam laporan setebal 24 muka surat, yang difahamkan telah diedarkan kepada pemimpin dan anggota pakatan pembangkang sejak 5 Ogos lepas.
  
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata beliau mengetahui mengenai perjanjian penyelesaian pinjaman yang membabitkan Menteri Besar itu selepas menerima laporan itu pada malam 6 Ogos, selepas tamat persidangan Majlis Syura.  - Bernama