Nuffnang

Pengikut

DIALOG RAKYAT

sumber :-

DIALOG RAKYAT


MH17: Pampasan awal RM160,000 dalam masa terdekat

Posted: 04 Aug 2014 03:53 AM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Waris terdekat kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 dijangka menerima bayaran pampasan awal sebanyak US$50,000 atau kira-kira RM160,000 dalam jangka masa terdekat.
  
Bernama melaporkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata bayaran pampasan awal itu sediakan oleh pihak MAS.
  
"Saya difahamkan bayaran kepada waris yang ini dapat dibuat dalam masa terdekat memandangkan kita sudah sedia maklum apa yang berlaku kepada pesawat itu (MH17)," katanya ketika dihubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam rancangan Selamat Pagi 1Malaysia yang disiarkan di TV1.
  
Beliau berkata sebelum ini sebanyak 25 anggota keluarga mangsa tragedi MH17 telah menerima bayaran saguhati US$5,000 atau kira-kira RM16,000 secara sekali gus daripada pihak MAS untuk membantu dalam soal perbelanjaan harian yang mungkin diperlukan.
  
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Azmin, ADUN Ijok bukan calon alternatif MB S'gor

Posted: 04 Aug 2014 03:50 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
PKR menafikan ada nama lain selain presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai calon menteri besar Selangor.
 
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menolak khabar angin dan laporan berita yang mengatakan ADUN Ijok Datuk Idris Ahmad atau Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, termasuk alternatif lain menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
"Malam tadi di mesyuarat biro politik Azmin Ali turut hadir dan bersetuju keputusan parti bahawa Datuk Seri Wan Azizah satu-satunya nama yang dicalonkan
 
"Kita menegaskan mengekalkan keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP)," kata beliau dalam sidang media hari ini.
 
Semalam berapa media memetik laporan sumber bahawa PKR mencadangkan nama alternatif berikutan ketidakpuasan beberapa pihak dalam partinya atau rakan sekutunya terhadap cadangan nama Wan Azizah.
 
"Dalam konsensus mesyuarat pimpinan dalam pakatan sebelum ini PAS dan DAP bersetuju hak menamakan menteri besar itu hak PKR," kata beliau.

Akui kurangkan sokongan
 
Sementara itu Saifuddin mengakui betapa kemelut pentadbiran Selangor ini sedikit sebanyak mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat di Selangor.
 
Bagaimanapun beliau yakin Wan Azizah mampu menarik kembali sokongan rakyat terhadap mereka agar Selangor terus dipertahankan dari jatuh ke tangan Umno pada pilihan raya akan datang.
 
"Sementara kita mengakui kemelut ini beri kesan kita juga yakin dapat kembali sokongan rakyat.
 
"Hanya sebab ini tak bererti rakyat secara automatik mengalihkan sokongan kepada Umno," kata beliau.
 
Beliau memberi maklum balas berikutan pendapat penganalisis politik bahawa Pakatan bakal kehilangan Selangor sekiranya kemelut ini berlarutan.
 
Justeru Saifuddin meminta Khalid untuk menerima keputusan yang dibuat parti dan mengundurkan diri secara baik.
 
"Kita menghormati semua pandangan penganalisis politik. Oleh itu sebagai respon terhadap maklum balas yang diterima kita perlu cepat laksanakan penyelesaian sebab itu kita minta Khalid hormati apa yang diputuskan parti.
 
"Kita doa pagi petang siang malam agar hal ini selesai dengan cepat," kata beliau.

Track 4A: Bagaimana kos tidak berpatutan disalur

Posted: 04 Aug 2014 03:35 AM PDT

PIARAPAKARAN S


PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah sekian lama menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan tarif elektrik yang telus, saksama dan berpatutan.

Penghapusan subsidi gas asli bagi sektor tenaga akan menaikkan harga gas asli untuk penjanaan tenaga elektrik. Di samping itu, Tarif Galakan (FiT) sudahpun mengenakan levi 1.6%. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berjumlah 6% juga akan dikenakan dalam bil elektrik.

Secara keseluruhan, semua sektor perniagaan akan dikenakan caj tambahan berjumlah 7.6% dalam bil elektrik mereka mulai 1 April 2015. Caj tambahan yang serupa juga akan dikenakan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih daripada 300 kWj (kiloWattjam) sebulan.

Drama Track 4A telah menunjukkan tanda-tanda jelas bahawa Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tidak mempeduli tentang daya saing Malaysia apabila merujuk kepada tariff elektrik atau kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia. Fikirkanlah! Bagaimana pelabur-pelabur akan fikir tentang Malaysia? Mereka mempunyai pakar-pakar tersendiri dan memutar belitkan fakta kejuruteraan menyebabkan pengawalselia negara kita nampak bodoh di peringkat antarabangsa.

1. Ketelusan dalam Kos Tenaga Elektrik Tidak Wujud

AWER telah bertemu dengan Suruhanjaya Tenaga pada akhir tahun 2013 dan meminta agar mekanisme penetapan tarif yang bersesuaian dilaksanakan seperti yang telah dicadangkan oleh AWER (seperti yang diterbitkan dalam laporan AWER yang bertajuk 'Perjuangan: Masa Depan Industri Elektrik Negara', 2011). Pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Tenaga menyatakan bahawa mereka sudi melaksanakan cadangan-cadangan kami tetapi mendakwa bahawa "tangan mereka terikat". Penetapan tarif secara telus akan membolehkan orang ramai dan sektor perniagaan mengakses pecahan kos yang disalurkan sebagai tarif elektrik kepada mereka. Kos penjanaan (generation), kos penghantaran (transmission) dan kos pembahagian (distribution) merupakan 3 kos utama tarif elektrik. Berdasarkan pembentangan Tenaga Nasional Berhad pada Minggu Tenaga di Singapura, pecahan kos adalah seperti berikut: kos Penjanaan (69%), kos Penghantaran (9%), kos Pembahagian (21%) dan lain-lain (1%). Kos penjanaan boleh dipecahkan lagi kepada kos bahan api (41%) dan caj kapasiti (28%).

Memandangkan komponen kos bahan api dijangka meningkat dengan ketara pada masa akan datang, ia juga penting untuk memecahkan komponen kos caj kapasiti (kos seunit kWj bagi setiap loji janakuasa). Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA masih enggan mendedahkan nombor-nombor ini sehingga kini. Ini akan membawa kita kembali kepada persoalan mengapa kerajaan mengarahkan Petronas untuk memberi subsidi gas asli pada tahun 1997?

Sebelum itu, tidak ada elemen subsidi dalam sektor penjanaan elektrik kita untuk kos bahan api dan ia adalah penyaluran kos bahan api sepenuhnya. Pada waktu itu, kebanyakan Penjana Bebas (IPP) generasi pertama telahpun beroperasi dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang lumayan. Adakah Petronas terpaksa kehilangan pendapatannya supaya IPP generasi pertama boleh terus mengaut keuntungan tanpa dipersoalkan?

Sudah tiba masanya kita mempunyai mekanisme penetapan tarif yang telus untuk memastikan hanya kos sebenar disalurkan kepada tarif elektrik dan memastikan Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA tidak menyalurkan kos-kos tidak berpatutan seperti yang dilakukan oleh mereka dalam Drama Track 4A.

2. MyPower dan Pembaharuan MESI Membazirkan Wang Cukai Rakyat

MyPower Corporation ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk meneliti pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI). Ia adalah satu urusan mewah dengan pelantikan perunding-perunding asing, aktiviti perhubungan awam yang mahal, bengkel-bengkel dan banyak lagi.

Dalam Drama Track 4A ini, kita boleh melihat dengan jelas bahawa wang cukai rakyat telah dibazirkan untuk menjalankan MESI yang "undur ke belakang" ("Back-Pedalling") dan bukannya pembaharuan seperti yang dijanjikan. Pembaharuan yang mewah ini telah menjanjikan tarif elektrik yang telus, saksama dan berpatutan.

Oleh kerana rakyat Malaysia telah dipaksa untuk menerima penyaluran kos bahan api dalam kenaikan tarif tahun ini (1 Januari 2014), Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA kini bereksperimen untuk menyalurkan kos yang tidak berpatutan kepada tarif elektrik akibat kegagalan untuk melaksanakan pembidaan kompetitif yang telus seperti yang dapat dilihat di Drama Track 4A.

Sebagai contoh, tanpa pembidaan kompetitif, sudah tentunya tidak ada cara untuk meramalkan dan mencapai tarif purata (levelised tariff) yang terendah. Ini kerana tiada entiti sanggup mengurangkan margin keuntungannya jika entiti tersebut tidak perlu membida sesebuah projek melalui pembidaan kompetitif yang telus. Kos teknologi dan talian penghantaran agak sama bagi semua pembida; penurunan dalam margin keuntungan merupakan tindakan yang membolehkan pembida memenangi proses bidaan sesebuah projek.

Dalam Drama Track 4A, projek Loji Janakuasa Prai digunakan sebagai penanda aras oleh Suruhanjaya Tenaga untuk mengaburkan mata semua pihak berkepentingan. Projek ini telah diluluskan 3 tahun yang lalu dan kos teknologi yang sama telah berkurangan selama ini.

Dengan pengurusan risiko yang betul, kos kewangan yang lebih rendah boleh dicapai untuk mencapai tarif purata (levelised tariff) yang lebih rendah dengan Kadar Pulangan Dalaman (Internal Rate of Return - IRR) yang lebih rendah. Malangnya, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah memutar belit fakta kejuruteraan untuk mengelirukan semua pihak untuk melaksanakan rundingan terus melalui MESI yang "undur ke belakang".

Lebih banyak isu-isu sebegini sedang diplotkan memandangkan inisiatif MESI yang "undur ke belakang" sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA secara SENYAP-SENYAP. Hakikatnya, semua kos tambahan yang mereka salurkan kepada tarif elektrik akan dikenakan 7.6% kos tambahan (GST dan FiT) bermula 1 April 2015.

3. Isu IPP Dan Rundingan Terus Merupakan Modal Politik Untuk Ramai Ahli-ahli Politik. Mengapakah Hanya Terdapat Beberapa Bantahan Kedengaran ke atas Drama Track 4A Ini?

Ia bukanlah satu perkara yang baru di mana ramai pemimpin politik menggunakan isu IPP, PPA dan rundingan terus sebagai modal politik mereka atas nama berjuang untuk rakyat bagi membolehkan tarif yang saksama dan berpatutan. Malangnya, hanya segelintir ahli-ahli politik menyuarakan bantahan mereka tentang Drama Track 4A semasa sesi Parlimen yang lepas dan situasi telah kembali tenang selepas itu. Ini merupakan peluang keemasan untuk semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap rundingan terus Track 4A.

AWER ingin menggesa wakil-wakil rakyat untuk mendesak Kerajaan Persekutuan membentuk sebuah panel siasatan ke atas perbuatan putar belit fakta oleh pihak berkuasa (iaitu Suruhanjaya Tenaga dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dalam menjustifikasikan rundingan terus Track 4A. Pengundi-pengundi anda semua telah meletakkan kepercayaan bahawa anda semua akan memperjuangkan kesejahteraan mereka. Kini tiba masanya untuk anda semua menunjukkannya dan membuktikannya.

4. TNB Boleh Teruskan Perbincangan dengan SIPP tetapi Sebagai Sebuah GLC,  TNB Perlu Tolak Tawaran Rundingan Terus

Dalam kenyataan TNB kepada Bursa Malaysia, ia telah mengumumkan bahawa TNB telah menandatangani Perjanjian Dasar (Heads of Agreement) dengan SIPP bagi Track 4A. TNB boleh meneruskan usaha sama dengan SIPP atau mana-mana pihak lain. Tetapi, TNB mesti menolak tawaran rundingan terus Track 4A. Penyelesaian yang lebih baik adalah TNB juga menggesa Suruhanjaya Tenaga melaksanakan pembidaan kompetitif yang telus untuk projek Track 4A.

Pada Minggu Tenaga yang berlangsung di Singapura, TNB juga telah membentangkan bahawa pembidaan kompetitif berjaya menjimatkan berbilion-bilion Ringgit di mana penjimatan ini akan disalurkan kepada tarif elektrik. Tambahan pula, kesemua kesatuan pekerja TNB juga telah menentang rundingan terus dengan sekeras-kerasnya kerana amalan itu akan mendorong harga yang lebih tinggi dan memberi kesan kepada tarif elektrik.

Di samping itu, kerajaan juga telah berikrar untuk melaksanakan pembidaan kompetitif yang telus untuk pembinaan loji janakuasa baru melalui Rancangan Malaysia Ke-10, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan MESI.

AWER yakin jurutera-jurutera dan perancang-perancang di TNB akan dapat menasihati pihak pengurusan TNB bahawa sekarang masih ada masa yang mencukupi untuk melaksanakan bidaan kompetitif dan pembinaan Track 4A dapat diselesaikan pada Jun 2018 selepas Suruhanjaya Tenaga mengeluarkan Notice to Proceed (NTP) pada bulan Jun 2015.

AWER menggesa TNB supaya memimpin melalui teladan untuk mengambil bahagian dalam pembidaan kompetitif yang telus sama dengan ikrar yang telah dibuat oleh YTL apabila YTL metolak tawaran rundingan terus Track 4A oleh Suruhanjaya Tenaga. Kini tiba masanya untuk sebuah GLC seperti TNB membuktikan mereka boleh berprestasi dengan lebih baik daripada IPP yang telah dikutuk banyak kali disebabkan oleh PPA mereka.

Kesimpulan

Rancangan Malaysia ke-10, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan MESI bukanlah wayang kulit semata-matanya. Ini adalah janji kerajaan kepada rakyat, perniagaan dan pelabur. Memungkiri janji-janji ini akan mengundang impak-impak negatif yang serius dan menghakis keyakinan pelabur terhadap ketelusan kos tenaga elektrik. Mengapa semua orang perlu membayar lebih dalam tarif elektrik mereka akibat daripada sekumpulan orang ingin mengaut keuntungan?

Ini juga akan memberi kesan kepada daya saing Malaysia terutamanya bagi operasi sektor perniagaan. Dengan kenaikan kos sara hidup dan banyak lagi pemotongan subsidi serta cukai GST yang bakal dilaksanakan, ia adalah tidak adil untuk kerajaan membenarkan Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA mengokestrakan Drama Track 4A.

(*)  Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Anwar tak kenang jasa Khalid bangunkan Selangor - Shamsuddin [TONTON VIDEO]

Posted: 04 Aug 2014 03:32 AM PDT

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
TANJONG KARANG: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang yang tidak kenang jasa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam memajukan negeri ini, demikian menurut Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsuddin Lias.
 
Beliau berkata demikian mengulas polemik jawatan nombor satu negeri itu yang semakin meruncing, lebih-lebih lagi apabila PAS dilaporkan enggan menerima pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Khalid.
 
"Pada saya yang penting mengapa isu ini berlaku? Pada saya tidak lain tidak bukan semata-mata nak memenuhi nafsu serakah politik Anwar. Dahulu sewaktu PRU, bukan main dipuji Khalid, meskipun pada waktu itu ADUN Bukit Antarabangsa nak jadi MB Selangor. 
 
"Anwar tak beri peluang (Azmin) tapi beri kepada Khalid dengan mengatakan beliau seorang tokoh korporat yang bagus. Selepas dah jadi MB, ada pula Langkah Kajang untuk menjadikan beliau sebagai ADUN Kajang dan MB Selangor.
 
"Rakyat kena lihat, ini tidak lain kerja Anwar. Beliau dari dahulu, sejak menjadi TPM, nafsu tidak habis-habis. Sanggup menggadaikan maruah, bangsa dan agama atas kepentingan peribadinya sendiri," ujarnya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Tanjong Karang, hari ini.
 
Sejak beberapa bulan lalu, Khalid menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin PKR supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Hasrat "Langkah Kajang" yang dilihat gagal menjatuhkan Khalid sebelum ini, kembali berlaku dalam PKR terutama selepas beliau gagal mempertahankan kerusinya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pada pemilihan parti itu baru-baru ini.
 
Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 di negeri itu.
 
PKR pada 22 Julai lalu mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan Khalid.
 
Beberapa hari selepas itu, PKR menyerahkan pencalonan Wan Azizah secara rasmi di Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
 
DAP dan PAS dilaporkan akan bermesyuarat dalam masa terdekat sama ada untuk menerima pencalonan Wan Azizah, atau sebaliknya.
 

MH17: Pasukan siasatan khas Malaysia dijangka masuk lokasi tragedi esok

Posted: 04 Aug 2014 03:28 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Petugas Pasukan Siasatan Khas Malaysia dijangka memasuki lokasi nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Donetsk, timur Ukraine esok untuk memulakan tugas siasatan.
 
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jika keadaan keselamatan memberangsangkan, pasukan itu akan masuk untuk membuat penggeledahan di kawasan nahas pesawat bersama-sama pasukan Belanda dan Australia.
 
"Sebuah 'Combined Task Force' (Gabungan Pasukan Petugas) di Karkiv telah memutuskan, pasukan Malaysia seramai 21 orang akan digerakkan ke FOB (Forward Operation Base) (Pangkalan Operasi Hadapan) di Solidar, kira-kira 4 jam perjalanan dari Karkiv, pada 2 petang hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Katanya, kawasan nahas pesawat adalah satu jam perjalanan dari FOB.
 
Tambahnya Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan antarabangsa dalam misi siasatan nahas itu.
 
Pasukan Siasatan Khas MH17 Malaysia terdiri daripada pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai perubatan.
 
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk pada 17 Julai.
 

Ulama PAS beri sokongan padu kepada Hadi

Posted: 04 Aug 2014 03:26 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Hasrat PKR untuk melihat presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan Menteri Besar Selangor dijangka sukar kerana golongan ulama PAS berdiri teguh dibelakang pemimpin nombor satu parti itu.
 
Malah respons diberikan pemimpin ulama PAS seolah-olah membayangkan mesyuarat parti pada 10 Ogos ini akan terus mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan menolak cadangan PKR meletakkan Wan Azizah untuk kerusi tersebut.
 
"Tidak ada, kita tak melihat itu sebagai satu isu.
 
"Tiada apa-apa (sebab) ia menteri besar kekal," Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh kepada Antarapos.
 
Selain itu, beliau turut menafikan bahawa DAP menyokong cadangan PKR itu dengan menggugurkan Abdul Khalid dan digantikan Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.
 
"Itu tak betul, tak betul kalau kata DAP (setuju gugur Abdul Khalid).
 
"Tak betul (sebab) DAP ikut keputusan yang telah kita buat dalam mesyuarat Pakatan Rakyat," katanya.
 
Untuk rekod, pimpinan tertinggi PAS akan mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos ini bagi membuat keputusan, sama ada mengekalkan Abdul Khalid atau bersetuju dengan komponen Pakatan Rakyat yang lain.
 
Ditanya mengenai mesyuarat pada 10 Ogos ini, Nik Zawawi yang juga Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat mengesahkan polemik Menteri Besar Selangor tiada dalam agenda.
 
"Tak, kita tak bincang sebab dalam agenda tiada kecuali sekiranya ada perkara berbangkit tetapi dalam agenda tidak ada.
 
"Kita tak bersungguh pun, pasal PKR itu kena tanya PKRlah...saya tidak tahu," katanya.
 
Walaupun diajukan soalan serupa berulang kali, beliau tetap memberikan jawapan yang tidak memihak kepada PKR. 
 
"Kita tak mengharap apa-apa cuma sekarang ini perkara itu silap faham.
 
"Kita tiada apa-apa perkara sebab kita tak pernah berbalah atau apa-apa, jadi kita nak harapkan apa? Tiada apa-apa," katanya.
 
PAS terus dilihat bersendirian dalam mempertahan Abdul Khalid selepas DAP menyatakan sokongan penuh kepada Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
 
Sebelum ini, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan menerima cadangan menggugurkan Abdul Khalid dan melantik presiden parti itu yang juga isterinya, Wan Azizah sebagai pengganti.
 
Bagaimanapun, hasrat Anwar itu ditentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahan Abdul Khalid untuk terus memegang jawatan tersebut memandangkan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
 
Jawatankuasa PAS Pusat perlu sokong Hadi
 
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan parti itu tidak bersendirian walaupun PKR serta DAP bersetuju menggugurkan Abdul Khalid.
 
Beliau juga mengakui kepimpinan parti termasuk akar umbi dihimpit perasaan berbelah bagi sama ada hendak mengekalkan pendirian asal atau membuat pilihan lain dalam mesyuarat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini.
 
"PAS bukan bersendirian tapi PAS belum ada keputusan, PAS ada mesyuarat pada 10 Ogos nanti.
 
"PAS nampak berbelah bagilah di kawasan-kawasan dalam perkara ini tetapi keputusan muktamad pada 10 Ogos nanti," katanya.
 
Menurut Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat ini, sayap tersebut berdiri teguh dan menyokong kenyataan Abdul Hadi mengenai isu usaha pertukaran Menteri Besar Selangor.
 
"Dewan Ulama setakat ini menyokong akan pendirian presiden pasal isu itu memang dah dibincangkan masa DUN Kajang lagi.
 
"DUN Kajang memanglah kita tak boleh nak buat apa-apa kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim nak bertanding mulanya tetapi selepas itu tak jadi dan Anwar bagi isterinya, itu tiada masalah.
 
"Tapi perkara itu kita dah beritahu daripada awal tiada kaitan dengan isu menteri besar," katanya.
 
Menurutnya, keputusan menyokong kenyataan presiden itu dibuat sejak Mac lalu dan sehingga kini secara sebulat suara masih berpegang teguh kepada keputusan tersebut.
 
"Sebab itulah sekarang ini presiden katakan beliau mengekalkan keputusan PAS...betullah, pasal PAS belum bincang perkara ini sejak mood Kajang.
 
"Jadi Dewan Ulama menyokong pendirian presiden itu," katanya.
 
Mahfodz juga berkata Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang akan bersidang pada 10 Ogos ini perlu mengambil pendirian padu berdiri teguh bersama presiden.
 
Ini kerana jelas beliau, tiada sebab untuk menggugurkan Abdul Khalid memandangkan pemimpin PKR itu telah menjalankan tanggungjawab itu dengan baik selain tiada penyelewengan sepanjang mentadbir negeri itu.
 
"Daripada satu pihak oleh kerana beliau (Abdul Khalid) tidak ada apa-apa masalah maka patutlah presiden mengekalkan Tan Sri Khalid.
 
"Tiada sebab yang boleh buat beliau digugurkan, dari segi pentadbiran tiada masalah...salah guna kuasa tiada, penyelewengan tiada sebab itu saya sokongan pendirian presiden," katanya.

Isu air: Khalid sudah bosan dengan PKR yang suka berpolitik

Posted: 04 Aug 2014 03:23 AM PDT

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bekerjasama dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air Selangor yang  didakwa membelakangkan parti, adalah disebabkan beliau 'bosan' dengan sikap PKR yang gemar berpolitik  sedangkan dirinya lebih mementingkan kepentingan rakyat. 
 
Penganalisis politk, Dr Ismail Sualman berkata, pendekatan yang dilakukan oleh Khalid sememangnya akan memberi kebaikan untuk jangka masa yang panjang kerana beliau lebih arif dalam hal ehwal pentadbiran negeri berbanding pemimpin lain di dalam parti. 
 
"Tindakan Khalid ini telah menyerlahkan belang sebenarnya sebagai seorang yang lantang dan mementingkan rakyat.
 
"Ia adalah sangat wajar. Sikapnya itu bertentangan dengan PKR yang suka berpolitik. Beliau melakukannya tanpa perlu merujuk kepada 'bos' partinya kerana sebagai pentadbir, beliau tahu apa yang berlaku (dalam negeri)," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri air yang dengan kerajaan pusat. 
 
Perjanjian Dasar Induk adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan negeri dengan kerajaan pusat pada 26 Februari lepas berkaitan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan Sistem Agihan. 
 
Perjanjian itu juga bermakna kerajaan negeri terikat kepada syarat-syarat yang termaktub di dalamnya sekali pun Khalid ditukar sebagai Menteri Besar Selangor - sebagaimana yang dituntut oleh PKR.
 
Tindakan Khalid itu dilihat sebagai satu lagi langkah berani beliau walaupun kedudukannya sebagai Menteri Besar ibarat berada di hujung tanduk memandangkan gerakan untuk menggulingkannya dilakukan secara terang-terangan.
 
Sebelum ini, tindakannya menandatangai memorandum persefahaman (MoU) berhubung penstrukturan air Selangor turut mendapat kecaman daripada PKR dan Pakatan Rakyat, dan mendakwa ianya sebagai membelakangkan parti.  
 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mempersoalkan isi kandungan MoU yang dimeterai Februari lalu sebagai tidak telus dan merugikan rakyat .Malah dakwa Rafizi, perjanjian yang ditandatangani oleh Khalid Ibrahim berkemungkin besar menyaksikan tarif air meningkat.
 
Bagaimanapun, Khalid memberi jaminan bahawa kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk sehingga empat tahun akan datang.
 
"Siapa pun yang akan menjadi Menteri Besar selepas ini perlu akur dengan perjanjian itu. 
 
"Mungkin ini adalah strategi Khalid yang menggambarkan beliau telah melunaskan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat, sekalipun setelah tidak ada dalam pentadbiran kelak," kata Ismail.

Batal konsert Mariah Carey, hormati MH17

Posted: 04 Aug 2014 03:21 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) amat kesal dengan penganjuran konsert Mariah Carey yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 22 Oktober depan dan mendesak konsert itu dibatalkan di saat negara sedang bersedih di atas tragedi MH17.

Presidennya, Abdul Malik Ab Razak (gambar) berkata, kedatangan penyanyi asal Amerika Syarikat itu ke negara ini bagi meneruskan siri jelajah ke Asia dan melancarkan album terbarunya tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

"GAMIS sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam memandang serius penganjuran konsert liar yang saban tahun diadakan.

"Di saat rakyat dalam kesedihan berikutan kes pesawat MH17 ditembak jatuh dan serangan Israel ke atas Gaza masih belum tamat, GAMIS sangat kesal dengan pihak penganjur yang tidak menghormati keadaan masyarakat dengan beraninya membawa masuk artis seksi itu ke negara ini," ujar Abdul Malik.

Tambah beliau, ketika umat Islam di Gaza dibunuh oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat adalah sesuatu yang memalukan bagi negara membenarkan konsert liar seorang artis asal Amerika Syarikat.

"Kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas, bersesuaian dengan cadangan Perdana Menteri yang mengumumkan hari berkabung untuk MH17 agar membatalkan segala program hiburan liar dari diteruskan.

"Kerajaan boleh mengambil langkah alternatif dengan mendidik rakyat melalui elemen pembangunan modal insan yang positif. Program-program kerohanian dan pembangunan minda dirancakkan sebagai tanda keinsafan atas musibah yang melanda negara," tegas beliau.

Menurut Abdul Malik, selain faktor teknikal kerajaan harus sedar bahawa musibah yang menimpa adalah ujian Allah supaya kerajaan dan rakyat kembali menghidupkan nilai-nilai Islam dan membanteras budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

"Kami turut berpendirian bahawa konsert yang menelan kos sebanyak USD1 juta (RM3.2 juta) adalah satu pembaziran yang tiada nilai pelaburan untuk pembangunan sebuah tamadun.

"Justeru itu, GAMIS dengan penuh harapan memohon semua pihak dari kerajaan, parti politik, NGO-NGO dan mahasiswa untuk menginsafi musibah yang melanda dengan bekerjasama membanteras program-program hiburan liar," ujar beliau. - HARAKAHDAILY

Kongres PKR ke-10, 22 Ogos ini

Posted: 04 Aug 2014 03:18 AM PDT

SALMIYAH HARUN


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menganjurkan Kongres tahunan mereka pada 22 hingga 24 Ogos ini bertempat di di Stadium Malawati Shah Alam.

Kongres PKR kali ke-10 ini, akan melibatkan seramai 3,740 perwakilan daripada 220 cabang PKR di seluruh negara.

Menurut Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution, kongres ini juga akan melibatkan mesyuarat tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita (PKR).

Tambahnya, sehingga kini ibu pejabat PKR telah menerima 1,100 permohonan untuk menjadi pemerhati daripada beberapa cabang.

"220 cabang pun sudah selesai menjalankan mesyuarat tahunan masing-masing dan mereka layak menghantar perwakilan mereka pada kongres kali ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Selain itu, PKR juga akan membuat jemputan khas kepada kira-kira 200 perwakilan dan pemerhati khas pada kongres itu.

"Jemputan khas itu melibatkan wakil daripada kedutaan asing di Malaysia, NGO, Ahli Parlimen dan Adun," katanya.

Dalam pada itu, pada hari terakhir kongres itu juga, katanya PKR akan menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara sederhana. HARAKAHDAILY

PERDASAMA sokong usaha boikot produk Israel

Posted: 04 Aug 2014 03:15 AM PDT

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Atas semangat kemanusiaan, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) hari ini menyatakan sokongan memboikot kesemua produk keluaran Israel dan syarikat-syarikat penyokong kekejaman Yahudi.
 
Tindakan itu diambil selari dengan penderitaan rakyat Gaza yang terus ditindas dan dibunuh dengan kejam semenjak awal Julai lalu.
 
"Kekejaman yang dilakukan oleh Zionis ini jelas mendapat sokongan kuat daripada sekutu Yahudi di seluruh dunia yang mempertahankan tindakan rejim Zionis dan turut membantu melalui sistem pertahanan di Israel.
 
"Kita mungkin tidak dapat melaksanakan perang darah terhadap Israel namun saya yakin perang menerusi ekonomi dengan usaha memboikot melalui bentuk urusniaga mampu memberi kesan terhadap ekonomi bukan sahaja ekonomi negara Israel malah kroni sekutunya.
 
"Ini kerana dengan pembelian dan penggunaan perkhidmatan mereka, sedikit sebanyak menyokong dana dalam memusnahkan mereka yang tidak berdosa seperti anak-anak kecil dan warga tua di Palestin," demikian kenyataan Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir.
 
Bukan sahaja makanan dan minuman, PERDASAMA turut menyeru rakyat Malaysia memboikot kesemua barangan perubatan, kosmetik, penerbitan, tekstil dan sebarang perkhidmatan yang dikeluarkan dari negara berkenaan kerana ia menjadi sumber terhadap kepentingan Yahudi.
 
"Kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Zionis membuktikan peperangan berunsur agama ini secara tidak langsung mempengaruhi sifat membenci antara penganut agama. Sampai bila Islam harus di hina dan di keji?," ujarnya lagi.
 
Israel hari ini mengumumkan akan menghentikan serangan pada kebanyakan tempat di Semenanjung Gaza bagi memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan dan membenarkan ratusan rakyat Palestin yang menghadapi perang empat minggu itu kembali ke rumah masing-masing.
 
Pengumuman yang dibuat pertama kali kepada media Palestin itu disambut meragukan oleh Hamas kerana dibuat selepas bantahan keras Washington terhadap serangan Israel di tempat perlindungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang mengorbankan 10 nyawa.
 
Menurutnya lagi, timur Rafah kini satu-satunya kawasan bandar yang masih kekal dengan kehadiran tentera dan kereta kebal, yang ditarik balik atau dipindahkan ke sempadan Gaza pada hujung minggu.
 
Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, mereka tidak percaya dengan pengisytiharan sebelah pihak itu dan mendakwa ia hanya bertujuan mengalihkan pandangan daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan.
 
Israel melancarkan serangan bermula 8 Julai. Ia disasarkan daripada udara, laut dan serangan darat hingga ke bandar-bandar yang padat penduduk.
 
Pihak berkuasa Gaza berkata, sehingga kini, 1,788 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awan, terbunuh dan kira-kira 3,000 rumah mereka hancur.

Pemuda PAS anjur solat hajat bersihkan parti daripada anasir perosak

Posted: 04 Aug 2014 03:09 AM PDT

 Oleh Zeanaaima Mohd. Yusof

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pemuda PAS  mengadakan Solat Hajat Perdana di seluruh negara bagi membersihkan parti itu daripada "anasir perosak" di samping memperkukuhkan negeri-negeri di bawah teraju Pakatan Rakyat. 
 
Sembahyang pada 7 Ogos itu diadakan tiga hari sebelum Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan perjumpaan untuk memutuskan pendirian parti itu bersabit kemelut jawatan Menteri Besar Selangor yang dikatakan menjejaskan Pakatan Rakyat sendiri. 
 
Poster dan risalah mengenai majlis itu menetapkan tujuan Solat Hajat itu bertujuan : 
 
1) Selamatkan keadaan yang tegang
2) Bersihkan parti daripad anasir perosak
3) Perkukuhkan negeri Pakatan Rakyat
4) Teguhkan perjuangan suci dan matlamat yang murni.
 
Solat hajat yang dikatakan anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS (DPP) Malaysia itu akan diadakan di setiap Markas Pemuda Kawasan seluruh Selangor.
 
Pimpinan utama PAS mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR kekal sebagai MB Selangor sungguhpun parti beliau (PKR) menolak beliau dan mahu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan itu. 
 
Keputusan PKR itu turut disokong oleh DAP dan ramai pihak menjangka perbalahan mengenai isu itu boleh membawa kepada Pakatan berpecah. 
 
Selain Selangor, Pakatan turut menerajui Kelantan dan Pulau Pinang. 
 
Hubungan parti kompenan Pakatan Rakyat kini semakin meruncing akibat ketidakpuasan hati mereka mengenai perkembangan gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz dan Dewan Ulama parti itu menegaskan Khalid harus dikekalkan kerana beliau selaku MB dan bebas rasuah. 
 
Beberapa AJK PAS, walaupun tidak melanggar pendirian Hadi secara terbuka, berkata PAS Pusat belum memberikan pendirian rasminya yang hanya akan ditentukan Ahad ini. 
 
Pimpinan PKR dan DAP yang  mendesak PAS menghormati hak PKR untuk menggantikan Khalid memandangkan parti itu menerajui kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor. 
 
Ketua Umum  PKR dan Hadi masih belum menyelesaikan kemelut itu namun dalam satu kenyataan Sabtu lalu, mereka bersetuju isu itu akan diselesaikan secara berprinsip tanpa memecah-belahkan pakatan pembangkang itu. 
 
Penasihat DAP Lim Kit Siang turut memberi komitmen sama dalam kenyataan itu.

Mujahid taruh harapan Pakatan Rakyat terus utuh

Posted: 04 Aug 2014 03:07 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Meskipun kerjasama di antara PAS-PKR-DAP digugat dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berharap Pakatan Rakyat (Pakatan) masih terus utuh dan tidak menunjukkan tanda-tanda perpecahan.
 
Memetik ulasannya, Mujahid menegaskan politik Malaysia selama ini terhindar daripada satu peralihan paradigma politik yang besar, sehinggalah apa yang terjadi kepada Pakatan pada hari ini.
 
"Tembok perkauman berjaya diruntuhkan dengan semua kaum melihat kepentingan negara dan masa depannya lebih utama dari politik rasuah dan rasis yang menjadi barah pada negara.
 
"Pakatan Rakyat telah berjaya melahirkan generasi pemimpin yang membuka minda baru kepada makna berpolitik dan rasional berhujah atas advokasi dasar dan bukan sentimen.
 
"Pakatan Rakyat telah menyegarkan proses kematangan demokrasi dan memperjuangkan pilihan raya bersih serta membawa wahana media alternatif kepada satu tahap membungkah apa yang selama ini dianggap taboo," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
 
Lebih lanjut Mujahid mempertahankan kerjasama ketiga-tiga parti itu adalah penyaring kepada ahli-ahli politiknya yang sentiasa diuji dengan arus perubahan semasa.
 
"Justeru itu, saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik setakat ini untuk meneruskan proses kematangan politik yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia demi perubahan kepada politik baru.
 
"Saya mengakui Pakatan Rakyat mempunyai sedikit masalah kerana ia membawa cita-cita besar ini yang kadangkala ia tidak difahami oleh pemimpinnya sendiri.
 
"Tetapi saya tidak dapat memikirkan apa akan terjadi kepada aspirasi politik baru jika Pakatan Rakyat berpecah dan terus tiada di persada politik tanah air," demikian menurutnya.
 
Umum kini mengetahui Pakatan Rakyat berdepan dengan pelbagai kemelut, antaranya isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Hasrat "Langkah Kajang" yang dilihat gagal menjatuhkan Khalid sebelum ini, kembali berlaku dalam PKR terutama selepas beliau gagal mempertahankan kerusinya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pada pemilihan parti itu baru-baru ini.
 
Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 di negeri itu.
 
PKR pada 22 Julai lalu mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan Khalid.
 
Beberapa hari selepas itu, PKR menyerahkan pencalonan Wan Azizah secara rasmi di Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
 
DAP dan PAS dilaporkan akan bermesyuarat dalam masa terdekat sama ada untuk menerima pencalonan Wan Azizah, atau sebaliknya.

Sekeping Kad Raya Ditemui Di Tempat Nahas MH17

Posted: 03 Aug 2014 08:35 PM PDT

KELAB GREENBOC


 

Negara kita memang digemparkan dengan tragedi pesawat MAS MH17 yang terhempas di sempadan Ukraine dan Russia beberapa minggu lalu.

Sehingga ke hari ini belum dikenalpasti siapakah yang sebenar-benarnya bertanggungjawab terhadap tragedi malang berkenaan.

Yang ada kini saling tuduh-menuduh dan tuding menuding dengan pelbagai teori yang tidak kurang mengejutkan disampig tidak menolak kewujudan "konspirasi" pihak tertentu, apatah lagi hanya beberapa hari selepasnya, pihak Israel melakukan serangannya ke atas Gaza dan menuduh pula Malaysia melatih pihak Hamas untuk menyerang mereka.

Namun di sebalik semua itu, ada sekeping gambar yang pasti akan menyentuh perasaan setiap rakyat Malaysia.


Gambar sekeping kad raya yang berjaya dijumpai di lokasi nahas. Maklum saja tragedi sedih ini berlaku ketika umat Islam sedang hampir untuk menyambut Syawal.

Ia amat menyayatkan hati.

Al-Fatihah buat yang beragama Islam.

Buat keluarga mangsa MH17 didoakan semoga mereka semua tabah dan kuat hadapi situasi ini.

P/s : Semoga selepas ini Malaysia dijauhkan daripada malapetaka yang meragut nyawa, Amiiin ya Rabb -apahell/GB

Serangan Israel: 1,822 Rakyat Palestin Terbunuh Setakat Ini

Posted: 03 Aug 2014 08:20 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Pegawai perubatan mengangkat mayat Raghad Masoud, 3, yang terbunuh dalam serangan Israel di selatan Genting Gaza pada awal pagi Isnin. Foto AP
 
 
 
BANDAR GAZA (Wilayah Palestin): Seramai 10 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel menerusi Genting Gaza pada awal pagi Isnin menjadikan jumlah kematian akibat konflik antara Israel dan Hamas sejak empat minggu lalu meningkat kepada 1,822 orang, kata sumber perubatan.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, lima orang terbunuh di Jabalia di utara, tiga di Zeitun dan Sheikh Radwan dekat Bandar Gaza, seorang di Nuseirat di tengah Gaza, dan seorang kanak-kanak terbunuh di selatan Gaza di bandar Rafah.

Tentera Israel telah mengadakan serangan di 4,686 sasaran di Genting Gaza sejak konflik itu bermula pada 8 Julai lalu. - AFP

Pemanduan Di Udara Guna Kereta Terbang

Posted: 03 Aug 2014 08:18 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Mungkinkan kereta TF-X ini akan terbang di udara tidak lama lagi? Foto Terrafugia
 
 
 
JIKA sebuah kereta terbang merupakan sesuatu yang anda mengimbas kembali tentang filem 'Back to the Future' (Kembali Ke Masa Depan) maka fikirkan semula bahawa sekaranglah masa depannya.
Sejumlah syarikat sedang bersaing untuk menghasilkan kenderaan bermotor yang akan menarik perhatian mereka, termasuk wang mereka.
Kerajaan Britain pada minggu lepas mengumumkan mengenai kereta tanpa pemandu akan dibenarkan digunakan di jalan-jalan negara itu bermula tahun depan, tetapi bagi mereka yang lebih menyukai cabaran dan mempunyai banyak wang, mungkin mahukan sesuatu yang lebih mengujakan berbanding pemandu robot.
"Daripada penemuan layang-layang pertama di China, kepada percubaan awal untuk terbang menggunakan sayap diperbuat daripada bulu dan kayu ringan yang dilekatkan pada lengan, penerbangan menjadi impian tertua bagi manusia," kata Dan Wareham dari Gilo Industeries Group, yang berpangkalan di Dorset, sebuah syarikat penerbangan di sebalik Parajet SkyRunner, sebuah kereta terbang yang merupakan sebahagian kenderaan di jalan raya, dan sebahagian lagi pesawat sport ringan. 
"Kita hidup dalam zaman di mana hampir semuanya adalah mustahil dan hampir semuanya boleh didapati. Kemudiannya kereta terbang merupakan sebahagian daripada landskap futuristik yang akan menjangkau imaginasi jutaan orang.".
Sky Runner dibangunkan oleh Parajet International, menggunakan kipas dan patung terjun untuk meluncur di udara. Ia boleh mencapai kelajuan penerbangan sehingga 88 kilometer sejam dengan ketinggian maksimum pada 15,000 kaki. - metro.co.uk

Peguam: Jangan politikan isu pemandu Karpal

Posted: 03 Aug 2014 08:12 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Peguam Malik Imtiaz Sarwar membidas tawaran oleh beberapa parti politik untuk menjamin pemandu Karpal Singh yang terlibat dalam kemalangan maut pemimpin lagenda itu.

Pemandu itu, C Selvam kini direman di Kampar sementara menunggu perbicaraan kerana didakwa memandu secara berbahaya dan melulu.

"Saya fikir mereka mempolitikkan perkara secara tidak adil," katanya kepada Malaysiakini.

"Terdapat ramai lagi yang telah didakwa dan dipenjara dan  memerlukan perwakilan. Mengapa tidak menawarkan untuk membantu orang-orang itu?" Malik bertanya.

Semalam, Gerakan, MIC dan Parti Cinta Malaysia menawarkan khidmat guaman percuma dan membayar jaminan RM 5,000 untuk Selvam, yang direman di Kampar, Perak.

Ketua Biro undang-undang dan hak asasi manusia nasional
Gerakan Baljit Singh berkata parti itu sedia melupakan perbezaan politik dan membantu Selvam atas rasa hormat kepada Karpal.

Naib Presiden PCM Datuk Huan Cheng Guan senada dan berkata berkata beliau akan membantu Selvam yang telah berkhidmat Karpal selama bertahun-tahun.

Pada 17 April, kenderaan yang dipandu Selvam bertembung dengan sebuah lori Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurong, mengakibatkan kematian Karpal, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius.

Anak Karpal ketiga, pengganti beliau sebagai anggota parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, dan pembantu rumah warga Indonesia, Selfiana Rengga hanya mendapat kecederaan

MSN kecewa prestasi pemain badminton senior

Posted: 03 Aug 2014 07:52 PM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Skuad badminton negara, tanpa kehadiran pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, wajar muncul skuad terbaik kontinjen negara pada Sukan Komanwel, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)  Datuk Seri Zolkples Embong.
 
"Skuad badminton negara wajar diberi pujian kerana mereka  berjaya mencapai sasaran tiga pingat emas di sini. Perjuangan untuk mendapatkan pingat emas yang sukar. 
 
"Pasukan beregu wanita terpaksa bersaing dengan beregu  India yang lebih konsisten dalam persaingan di sini. Bermula dengan saingan berpasukan campuran, mereka mungkin  tidak berpeluang mara ke perlawanan akhir jika tewas  kepada Singapura dalam separuh akhir," katanya kepada  pemberita Malaysia di Glasgow, pada Ahad.
 
Namun, beliau kecewa dengan prestasi pemain-pemain senior  yang gagal menunjukkan prestasi terbaik di Glasgow.
 
"Ketiadaan Chong Wei memang dirasai dan banyak pengaruh di  sini. Saya amat kecewa dengan prestasi beberapa pemain  senior. Saya ada menghantar SMS kepada Tengku (Tan Sri) Mahaleel (Tengku Ariff - presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM)) untuk  mengatasi masalah ini dengan segera sebelum ke Incheon, Korea Selatan (Sukan Asia pada September ini).
 
"Saya akan duduk sekali dalam mesyuarat JKK badminton dan akan tengok apakah perancangan BAM selepas ini. Saya pun nak melihat aspek kejurulatihan secara menyeluruh," katanya.
 
Selain acara badminton, Zolkples melihat acara sukan terjun dan angkat berat berjaya mencapai sasaran masing-masing.
 
Selepas 11 hari bersaing pada edisi ke-20 Sukan Komanwel,  Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dengan meraih enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.
 
Bagaimanapun, pencapaian kali ini tidak berjaya mencapai sasaran tujuh pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan.
 
"Dalam sesetengah acara yang dipertandingkan di sini, standard pertandingan adalah begitu tinggi dan beberapa  faktor tertentu seperti yang saya pernah katakan sebelum  ini," katanya.
 
Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan beberapa acara  sukan yang gagal menyerlah di Sukan Komanwel Glasgow seperti boling padang dan menembak.
 
"Kita mempunyai peluang untuk meraih pingat emas dalam  kedua-dua jenis sukan ini. Kita menyediakan peruntukan  yang besar untuk persediaan mereka.
 
"Sepatutnya mereka mampu menghasilkan pingat emas,  khususnya daripada kalangan atlet-atlet senior yang  berpengalaman bersaing dalam banyak temasya sukan besar,"  katanya.
 
Zolkples turut mahu melihat pada temasya yang sama empat  tahun lagi, perlu memberi peluang kepada jenis-jenis sukan yang mampu menghasilkan pingat.- Bernama

Umno S'gor sedia hadapi apa saja kebarangkalian

Posted: 03 Aug 2014 07:50 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Umno Selangor akan terus bersedia dengan apa saja kebarangkalian berhubung kemelut tidak berkesudahan di negeri Selangor, kata Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar.

Katanya, ia termasuk pilihan raya semula, pemilihan menteri besar baru, usul undi tidak percaya mahupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih memegang jawatan berkenaan.

Noh berkata belum pun selesai krisis air, Khalid yang juga wakil rakyat Pelabuhan Klang itu dihimpit pula dengan kemelut perebutan jawatan menteri besar yang disandangnya namun ini dilihat semata-mata sebagai gimik politik untuk menarik semula perhatian rakyat kepada Pakatan.

Baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 20 Julai lepas, cadangan mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid.

"Pakatan Rakyat kini mulai longgar dan lemah, jadi isu-isu sebegini sengaja dimainkan untuk tarik balik perhatian rakyat, namun kita tunggu dan lihat kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku.
  
"Pada saya, Abdul Khalid perlu ambil kesempatan ini untuk jelaskan kepada rakyat mengapa beliau diberi tekanan hebat dari pelbagai sudut oleh partinya sendiri iaitu PKR sedangkan PAS menyokong beliau kekal sebagai MB," katanya pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang semalam.

Menurut Noh lagi, tindakan Khalid memeterai Perjanjian Dasar Induk dengan kerajaan persekutuan berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu pada hari Jumaat adalah sebagai satu langkah tepat.
  
Katanya, walaupun Abdul Khalid terus diberi tekanan hebat pemimpin Pakatan namun tindakan tersebut memperlihatkan kesedaran beliau untuk mendahulukan rakyat.
  
"Abdul Khalid kini sudah berani untuk tandatangani perjanjian air dengan kerajaan persekutuan, namun apa yang kita minta beliau juga perlu berani dedahkan mengapa pemimpin Pakatan masih berkeras mahu menjatuhkannya," katanya.

Jumaat lepas, Abdul Khalid yang mewakili kerajaan Selangor menandatangani perjanjian tersebut, memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. - Bernama

DAP: Adakah kenaikan tol JB sah?

Posted: 03 Aug 2014 07:48 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Pembangkang Johor Boo Cheng Hau mempersoalkan sama ada kenaikan tol  di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Singapura sah.
 
Beliau membangkitkan sama ada ia diluluskan oleh kabinet dan diwarta berdasarkan undang-undang, bawah Seksyen 7(1) Akta Jalan-Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984.
 
Tarif tol CIQ berkuat kuasa pada 1 Ogos selepas notis kurang seminggu dikeluarkan, mengakibatkan bantahan besar pemandu bas  mengakibatkan kesesakan lalulintas teruk di Tambak Johor.
 
Menurut Zaobao Singapura, bas kilang yang membawa pekerja ke Singapura setiap hari, mengadakan "mogok" pada pukul 5 pagi apabila diminta membayar kadar baru tol yang naik 470 peratus.
 
Keengganan mereka untuk berganjak, mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di laluan ke pusat pemeriksaan Singapura.
 
Sementara itu, Boo turut menolak cadangan anggota Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad bahawa pengecualian tol untuk bas dan teksi boleh mengurangkan kesesakan di kompleks CIQ.
 
Katanya, kesesakan jalan raya tidak boleh dikurangkan dengan kenaikan tol sebelum pengangkutan awam berfungsi dengan baik, terutamanya keret aapi MRT dan LRT yang menghubungkan Johor Bahru Central dan Jambatan Kedua dengan Woodlands dan Tuas.

Hukum Wanita Jadi Pemimpin Dari Kacamata Prof Dr HAMKA

Posted: 03 Aug 2014 07:47 PM PDT

KELAB GREENBOC

Prof. Dr. HAMKA menjawab "hukum wanita menjadi pemimpin"


Pertanyaan: "Saya pernah mendengar bahwa di negara islam yang harus menjadi kepala negara harus laki-laki. Saya ingin tahu bagaimana hukumnya jika seorang raja diangkat dari wanita? Contohnya ialah dibawah ratu Elisabeth dan Ratu Wilhelmina ?

Jawab :

Memang ada hadis Nabi bahawasanya suatu kaum yang merajakan wanita akan ditimpa kerugian. Berdasarkan kepada hadis itu maka sudah menjadi tradisi (sunnah) bagi Alam Islami tidak mengangkat raja perempuan, apatah lagi menjabat jadi khalifah.

Tetapi sekali dalam sejarah Islam di Mesir, iaitu pada tahun 1249, terjadi seorang perempuan menjadi raja. Namanya ialah Syajaratud Duur (pohon permata). Dia adalah salur galur dari raja Al-Malikus Shalih.

Suaminya pergi berangkat ke Mansuriah, melawan raja Perancis Lodewijk IX dalam satu rentetan perang Salib.

Lalu datang berita bahawa raja itu wafat dalam peperangan, padahal putera yang berhak menjadi raja bernama Khalil masih kecil. Kerana banyak benar yang ingin menjadi raja sedang permaisuri tersebut melihat bahawa bahaya penumpahan darah akan menjadi, beliau pun memaklumkan dirinya menjadi Sultanah, memakai gelaran "Al Mu'tashimat al Shalihiyah Ummu Khalil, 'ishmad dunya waddin malikatul Muslimin".

Dia menjadi Ratu Wanita berkuasa penuh sampai kepada tahun 1257. Dia mati terbunuh kerana kekuasaan direbut oleh lawan politiknya.

Menurut penyelidikan sejarah, baru sekali itulah ada raja perempuan di negeri Islam. Salah satu jasa baginda (bagindi?), ialah kerana bagindalah yang mula-mula mengatur mengirimkan "mahmal", iaitu seekor unta dengan berbagai kebesaran membawa selubung Ka'bah ke Mekah. Adat itu berlaku sampai kepada zaman sekarang ini.

Tetapi ahli-ahli fiqhi sudah menjadi lebih luas pandangannya/ijtihadnya tentang: kalau keadaan memerlukan, wanita boleh diangkat menjadi pemimpin/raja, asal saja orang-orang besar dan penasihat yang berdiri dibelakangnya sanggup memberikan fikiran-fikiran yang benar dan berharga kepada baginda.

Di Indonesia, setelah Iskandar Tsani 'Alauddin Mogayat Syah, Sultan Aceh yang mengantikan mertuanya Iskandar Muda Mahkota Alam mangkat pada tahun 1641, maka orang-orang besar di Aceh termasuk Ulamak-ulamaknya mengangkat perempuan menjadi pemimpin, iaitu isteri dari Iskandar Muda Mahkota Alam Almarhum, sebab yang mangkat tidak mempunyai putera laki-laki.

Sultan wanita pertama di tanah air kita itu memakai gelaran Sultan Taj'ul Alam Shafiyatuddin Syah. Disebut juga Puteri Seri Alam Permaisuri. Baginda memerintah sampai tahun 1675, iaitu selama 34 tahun.

Dan setelah baginda mangkat, orang besar-besar dan Ulamak memilih pula puterinya, ertinya wanita lagi gantinya dengan gelaran Sultanat Naqiyatud Din Nurul Alam. Beliau mangkat pada tahun 1678, setelah 3 tahun memerintah. Dan yang menggantikannya Sultan perempuan juga, iaitu Sultanat 'Inayat Syah, memerintah sampai tahun 1688 (10 tahun). Sesudah itu memerintah juga Sultan perempuan, iaitu Sultanat Kamalat Syah, memerintah sampai tahun 1699 (10 tahun).

Setelah kita selidiki sejarah Islam di Aceh dengan agak saksama, ternyata pemerintahan raja perempuan itu berjalan lancar, terutama pada zaman Raja Perempuan Pertama. Sebab pembantu-pembantunya terdiri daripada ahli-ahli musyawarat dan penasihat yang bijak pandai. Nescaya kejadian itu tidaklah akan melanggar bunyi Hadis Nabi tadi, yang mengatakan rugilah suatu kaum kalau yang memimpinnya itu wanita, iaitu kalau wanita itu memerintah menurut kehendaknya sendiri saja, tidak dipelengkapi dengan ahli-ahli musyawarat yang bijak, terdiri daripada kaum laki-laki.

Bahkan laki-laki sendiri pun nescaya merugikan kalau memerintah sendiri saja, tidak dilengkapi dengan ahli-ahli musyawarat yang bijaksana dan turut bertanggungjawab.

Dalam penyelidikan kita di negeri Bugis, terdapat juga "Datuk-datuk" wanita, yang dilengkapi dengan "selewatang" (penasihat), Perdana Menteri atau Menteri-menteri yang ahli. -Dr.HAMKA (Gema Islam 1 April 1963)

Semangat Malaysia dan PAS

Posted: 03 Aug 2014 07:43 PM PDT

pakatan rakyat johor pemimpin


Oleh HOWARD LEE


Saya ditanya oleh seorang sahabat dari UK ketika bersembang politik di Facebook, "Is there such a thing as Malaysian spirit?" Adakah wujud sesuatu yang boleh disebut sebagai Semangat Malaysia? Beliau masih menunggu jawapan saya.

Keghairahan untuk memperkuatkan muafakat di antara semua warga Malaysia yang dijalinkan melalui kefahaman dan penerimaan terhadap kepelbagaian yang dinikmati kita; serta meraikan persamaan yang jauh lebih banyak dibandingkan dengan perbezaan di antara kita; solidariti dan perpaduan tanpa mengira kaum dan agama – semua ini adalah asas yang boleh mempastikan penyempurnaan pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Bagi saya, walapun ringkas, inilah Semangat Malaysia. Yang penting juga, inilah semangat panduan perjuangan Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, seluruh Malaysia telah menyaksikan suatu pembongkaran yang menimbulkan persoalan sama ada PAS ikhlas, komited malah bersetuju dengan tafsiran Semangat Malaysia yang saya huraikan. Walaupun pada awalnya selepas saya menerima screenshot Whatsapp, pada 1 syawal tadi, saya amat beremosi dan geram, tetapi selepas pemikiran yang lebih mendalam saya berpendapat pembongkaran itu amat bagus untuk PAS dan juga Pakatan Rakyat.

Ini tidak bermakna saya tidak berani mengutuk PAS dan hendak membela parti itu sekadar untuk memelihara kepentingan politik parti mereka, parti saya dan diri saya sendiri. Ia tidak bermakna saya tidak mengecam dan membantah pemikiran di sebalik senario itu. Tambahan lagi, DAP di kesemua peringkat telah membuat pendirian yang jelas bahawa analisa senario yang dihuraikan oleh Dr Zuhdi itu suatu yang bercanggah dengan semangat Malaysia serta melanggar prinsip seperjuangan Pakatan Rakyat.

Pengakuan harus juga dibuat bahawa ada di antara penyokong dan anggota DAP yang mungkin masih mementingkan pegangan etnik (ethnocentric) dan kurang Semangat Malaysia; tetapi bezanya adalah golongan ini tiada dalam pucuk pimpinan tertinggi DAP. Pemikiran sebegitu dan juara-juaranya, melalui proses evolusi dan demokrasi dalaman parti, telah pun lama disingkirkan.

Jikalau sesiapa sebelum ini tidak menyangkakan kewujudan golongan ini, individu atau kumpulan itu haruslah diberi pengiktirafan sebagai pihak yang tidak begitu memahami lumrah dan fitrah politik tanah air kita. Isu yang memerlukan tumpuan bukan wujudnya golongan ini tetapi wujud atau tidak hasrat untuk mengurangkan pengaruh dan perwakilan mereka dalam mekanisme pembuatan keputusan.

Ini adalah suatu petanda bahawa sudah tibanya masa untuk kita berhenti mengendahkan arus-aliran yang tidak bersifat Malaysia dan unsur-unsur negatif yang wujud dalam susunan kesepakatan PR supaya kita boleh menyelesaikan masalah-masalah sekarang juga, once and for all.

Saya berpendapat bahawasanya bukan salah PAS jika wujud segolongan ahli dan pucuk pimpinannya yang masih berpegang kepada sikap dan politik asobiah pada hari ini. Kita sedari hakikat pahit itu, ekoran terdedahnya tidak kurang dari 10 pimpinan tertinggi PAS yang menginginkan kebarangkalian pemerkasaan politik perkauman.

Hanya kerana segolongan dalam PAS yang bersifat sebegitu tidak bermakna PAS dan perjuangannya semenjak pertubuhannya terbatal. Hanya kerana proses 'men-jadi' Pakatan Rakyat, di mana kami menangani unsur-unsur negatif secara terbuka dan bukan seperti BN yang merupakan pakar 'sapuan ke bawah tikar', tidak bermakna Pakatan Rakyat 'tak boleh pakai'.

Saya rasa tiada siapa yang berani menafikan bahawa sokongan rakyat kepada PAS, DAP dan PKR telah pun terjejas ekoran krisis dan kontroversi yang melanda pentadbiran Kelantan dan Selangor. Tetapi sekiranya ditangani elok bersama oleh ketiga-tiga parti, saya yakin sokongan akan kembali.

Tetapi sebelum kepercayaan rakyat jelata, khususnya mereka yang memberi amanah kepada Pakatan Rakyat kerana kerjasama dan keakraban ketiga-tiga parti itu, dikembalikan kepada Pakatan Rakyat, beberapa isu harus ditangani. Pakatan Rakyat terutamanya perlu menjawab sama ada mereka boleh kekal sepakat. Buat masa sekarang, untuk menangani soalan ini PAS perlu menangani masalah dan percanggahan ideologi dalaman mereka sendiri serta mendapatkan konsensus dalaman sama ada PAS hendak kekal dalam PR untuk mengelakkan kekeliruan.

Cadangan saya, kerangka diskusi dalaman mereka perlu berdasarkan beberapa soalan pokok seperti berikut:
  • Adakah PAS sanggup dan rela menyingkirkan unsur-unsur yang mementingkan perkauman berbanding kenegaraan?
  • Adakah PAS berkemampuan memupuk semangat persaudaraan di antara kesemua warga Malaysia secara saksama dan memupuskan sifat ketuanan kaum?
  • Adakah PAS berhasrat menjuarakan ketuanan perlembagaan, ketuanan kenegaraan dan ketuanan kemanusiaan?
  • Adakah mereka di dalam PAS yang menjawab YA kepada soalan-soalan ini komited untuk mengarus-perdanakan fikiran dan pendekatan mereka dalam parti mereka?
Jika YA, masa depan PAS dan Pakatan, justeru masa depan penjelmaan Semangat Malaysia masih cerah.

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT