Selasa, 12 Ogos 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pertemuan Anwar-Hadi gagal capai keputusan

Posted: 12 Aug 2014 03:35 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perbincangan "sulit" Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam gagal menyelesaikan krisis menteri besar Selangor yang dilihat semakin meruncing.

Sumber yang dekat pemimpin tertinggi PAS berkata tiada keputusan dicapai dalam pertemuan lebih kurang sejam itu.

PAS bagaimanapun mengambil sikap terbuka kepada semua pilihan keputusan yang ada dan akan meneruskan rundingan, kata sumber.

"Keputusan gagal, biar pilihan itu (bagi calon MB) terbuka dan keputusan (muktamad) akan diputuskan pada Ahad ini (iaitu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat).

"Kita bukan nak duduk sangat dalam kerajaan (sekarang) tetapi penyertaan kita hanya untuk melicinkan perjalanan kerajaan agar tidak menyusahkan rakyat," kata sumber PAS itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Bagaimanapun sumber-sumber PAS itu tidak menjelaskan pilihan yang dimaksudkan.

Semalam Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali masih berpeluang menjadi menteri besar baru jika mendapat sokongan PAS sekalipun PKR mencalonkan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon pengganti Khalid.

Malah, PAS juga sedia menarik balik sokongan kepada Khalid tetapi meminta nama baru sebagai calon penggantinya, sepakat kekal bersama Pakatan dan menarik balik sokongan pada Khalid ekoran pemecatannya.

Sementara itu, Lajnah Politik PAS pula dilapor akan bermesyuarat bagi membincangkan isu yang sama pada Khamis ini di Pejabat Agung PAS sebelum dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tiga hari selepas itu.

Hari ini media melaporkan pertemuan pemimpin PAS dan PKR itu berlangsung di sebuah hotel di Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu itu dan Anwar dilapor menyifatkan ia sebagai "perjumpaan bagus, seperti biasa".

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Sementara itu, sumber PKR memberitahu Malaysiakini bahawa dalam pertemuan semalam, kepimpinan PAS "memerlukan lebih daripada satu nama sebagai calon MB".

Ia bagaimanapun masih tidak jelas sejauhmana serius tawaran alternatif itu kerana ia daripada sumber yang dekat dengan Azmin.

Sebelum ini, PKR mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim - yang dipecat PKR - menjadi menteri besar walaupun mendapat perkenan Sultan Selangor untuk meneruskan tugasnya.

Tangani isu MB S’ngor penuh hikmah, perkukuhkan Pakatan

Posted: 12 Aug 2014 03:22 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Sembilan menyarankan supaya isu pertukaran Menteri Besar Selangor ditangani serta diselesai dengan penuh hikmah selain memperkukuh Pakatan Rakyat di semua peringkat.
Pakatan_rakyat_logo_dan_bendera
"Pimpinan AMK dan DAPSY Negeri Sembilan menyarankan agar semangat serta gabungan Pakatan Rakyat dikukuhkan.

"Isu peralihan MB Selangor serta yang terkini pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai anggota KEADILAN perlu ditangani dengan penuh hikmah," kata Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus dalam kenyataan bersama Ketua DAPSY, Arul Kumar Jambunathan.

Pada peringkat ini, mereka juga menyarankan agar Abdul Khalid memberi kerjasama kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat bagi membolehkan peralihan jawatan itu berjalan lancar tanpa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"AMK dan DAPSY Negeri Sembilan berharap agar polemik ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan baik agar kita dapat mengekalkan sokongan 52% rakyat Malaysia kepada Pakatan Rakyat pada PRU 13.

"Jika sebaliknya, ia akan menjadi laluan sukar buat Pakatan untuk merealisasikan impian rakyat Malaysia bagi membawa perubahan dalam landskap politik negara dengan menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat Pusat dan Negeri Sembilan.

"Harapan kami agar isu serta polemik yang berlaku ini lebih mengukuhkan hubungan Pakatan Rakyat di semua peringkat," kata mereka lagi.

Tian disiasat atas tuduhan menghasut, tapi didakwa aibkan polis

Posted: 12 Aug 2014 03:17 AM PDT

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan mengaibkan seorang pegawai polis dalam satu kejadian April lalu.

Tian atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas tuduhan menghamburkan kata-kata kesat ke atas pegawai tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, kata-kata kesat itu dihambur ke atas DSP Glenn A Sinappah yang cuba merampas telefon bimbitnya di Hotel Armada.

Tian_Chua_ipd_Dang_WangiNaib Presiden KEADILAN itu juga didakwa cuba menghalang kenderaan polis dari meninggalkan hotel berkenaan bagi mendapatkan kembali telefonnya.

Memetik Malaysiakini, Tian menyifatkan dakwaan tersebut sebagai penganiayaan politik ke atasnya dan mendakwa Peguam Negara sudah bersetuju untuk tidak menuduh beliau mengikut undang-undang hasutan.

"Ketika saya keluar dari satu majlis, polis tersebut tidak memperkenalkan diri dan mereka merampas telefon bimbit saya.

"Saya cuba menghalang mereka dan memaklumkan pada keselamatan hotel. (Polis) yang merampas telefon saya kemudian meminta saya pergi ke balai polis," dakwanya.

"Saya disiasat atas dakwaan twit menghasut, yang mana tidak dijalankan, tetapi ini pula tuduhan yang dikenakan ke atas saya," kata Tian.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan sebutan kes pada 11 September.

Tian diwakili peguam Michelle Yesudas.

PKR,DAP Hanya Iktiraf Khalid Ibrahim Dalam Tempoh Peralihan

Posted: 12 Aug 2014 03:13 AM PDT

RAKYATNEWS


alt
 
 
 
 
KUALA LUMPUR - PKR dan DAP hanya mengiktiraf Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dalam peralihan sementara Pakatan Rakyat memilih pengganti dalam masa terdekat. 
 
Ini dinyatakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kedua-dua parti itu dalam satu kenyataan hari ini. 
 
"Kami akan terus menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan kepada Pakatan Rakyat sementara perkara ini diselesaikan secara baik dan seorang Menteri Besar dari Pakatan Rakyat mengambil alih dalam masa terdekat," menurut kenyataan bersama itu. 
 
Mereka ialah Datuk Teng Chang Khim, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan; Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Dan Hal Ehwal Wanita; Ean Yong Hian Wah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram. 
 
Wong Keat Ping, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar; Dr Daroyah Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi; dan Ganabatirau Veraman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin.

Rasuah: SPRM sudah mulakan siasatan ke atas Khalid

Posted: 12 Aug 2014 03:10 AM PDT


Abu Kassim Mohamed Abu Kassim Mohamed


SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini mengesahkan agensi itu sudah pun memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Seperti yang saya katakan, ia adalah tugas SPRM untuk menyiasat semua kes rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Jika sesiapa yang membuat aduan, SPRM akan memprosesnya sebelum mengklasifikasikan aduan itu sama ada untuk meneruskan atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan laporan tahunan SPRM kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Sulit kepada Abdul Khalid, Mohamad Yasid Bidin membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan PKR yang mengaitkan menteri besar itu terlibat dengan rasuah.

Turut sama membuat aduan itu ialah kedua-dua setiausaha politik Abdul Khalid, Mustapha Mohd Talib dan Azman Abidin.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyatakan keraguan terhadap integriti pentadbiran Abdul Khalid sehingga mendorong pejabat Menteri Besar Selangor membawa perkara itu kepada SPRM bagi membolehkan agensi itu menyiasat dakwaan terbabit.

“Saya masih mahu PAS bersama Pakatan Rakyat”

Posted: 12 Aug 2014 02:51 AM PDT

Sehingga 17 Ogos ini, beliau telah diberikan surat arahan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kemelut Menteri Besar di Selangor.
Dr Abdul Rani Osman


SHAH ALAM: ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman secara peribadi menjelaskan bahawa beliau masih mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pihak yang menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Selangor bukannya PAS, DAP dan PKR tetapi dilakukan bersama-sama sebagai Pakatan Rakyat.

"Saya secara peribadi tak nak Pakatan Rakyat berpecah," ujarnya sewaktu diserbu oleh media di Lobi SUK.

Dalam pada masa yang sama, Rani turut menjelaskan sehingga 17 Ogos ini, beliau telah diberikan surat arahan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kemelut Menteri Besar di Selangor.

Rani turut menjelaskan bahawa tujuan beliau hadir ke SUK adalah bagi membincangkan mengenai isu sebuah kuil di kawasannya iaitu Meru bukannya untuk berjumpa Khalid Ibrahim.

"Saya hadir ke sini untuk jumpa Pegawai EXCO Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau berkaitan isu kuil di Meru," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak sependapat dengan beberapa ahli PAS yang tidak bersetuju wanita diangkat menjadi Menteri Besar.

"Saya tidak setuju dengan perkara tersebut. Kalau tak setuju wanita menjadi pemimpin, kenapa kita meletakkkan Dr Halimah Ali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Insan," katanya

EXCO PAS akur arahan PAS Pusat

Posted: 12 Aug 2014 02:46 AM PDT

Masih lagi memegang jawatan sepertimana yang telah dikehendaki oleh PAS Pusat.
Dr-Ahmad-Yunus-Hairi


SHAH ALAM: Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi menjelaskan bahawa PAS telah memutuskan ahli EXCO dari parti tersebut tidak akan meletakkan jawatan.

Menurutnya, setakat ini, beliau masih lagi memegang jawatan sepertimana yang telah dikehendaki oleh PAS Pusat.

Yunus turut menjelaskan bahawa beliau berjumpa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya sebentar sahaja.

"Saya hanya jumpa Khalid dalam dua atau tiga minit sahaja," ujarnya sewaktu ditemui media di lobi SUK.

Apabila ditanya pemberita sekiranya kesemua pemegang jawatan EXCO dari PKR dan DAP dilucutkan dan samaada mereka akan digantikan oleh ADUN PAS yang lain, beliau menjelaskan bahawa ianya tidak sampai ke tahap itu lagi.

"Kita tak sampai ke tahap itu lagi, tak ada perbincangan dan kita lihat macam mana EXCO yang tinggal ini merancang dan mentadbir negeri untuk kebaikan rakyat," ujarnya.

ADUN Sijangkang itu turut menjelaskan bahawa hanya beliau sahaja EXCO yang ada tadi sewaktu berjumpa Khalid.

"Saya sahaja EXCO yang ada tadi, yang lain kemungkinan akan hadir mesyuarat esok," ujarnya.

PR perlu buktikan pada rakyat

Posted: 12 Aug 2014 02:42 AM PDT

Semua ADUN dari Pakatan Rakyat harus meyakinkan masyarakat bahawa mereka akan berpegang kepada mandat yang diberikan



Teo Kok SeongPETALING JAYA: Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan (DAPSY), Teo Kok Seong berkata, ini merupakan masa terbaik untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat, menunjukkan penghargaan dan kesetiaan mereka terhadap mandat yang diberi oleh rakyat Selangor.

"Setiap ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang telah dipilih oleh rakyat haruslah mengetahui bahawa mereka dipilih sebab mereka mewakili Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP.

"Cuba bayangkan kalau ADUN Pakatan Rakyat yang terpilih ini tidak menggunakan lambang PKR, PAS dan DAP pada pilihanraya umum yang lepas, tentunya mereka ini tidak akan terpilih.

"Janganlah lupa bahawa, rakyat Selangor telah menggunakan undi mereka untuk menyuarakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat dan bukan Barisan Nasional.

"Jadi, keputusan rakyat Selangor haruslah dihormati oleh semua ADUN Pakatan Rakyat Selangor dan ADUN Pakatan Rakyat haruslah juga berpegang kepada mandat yang telah diberi.

"Sebenarnya ini merupakan masa terbaik bagi rakyat Selangor untuk menilai adakah ADUN yang mereka pilih itu berpegang kepada mandat yang diberi oleh rakyat atau tidak.

"ADUN Pakatan Rakyat turut perlu mengambil peluang ini menunjukkan bahawa mereka menghormati keputusan rakyat dan boleh dipercayai.

"Saya amat yakin bahawa semua ADUN Pakatan Rakyat Selangor akan tetap berpegang kepada prinsip dan mandat yang diberi oleh rakyat Selangor," katanya.

Khalid hanya MB sementara

Posted: 12 Aug 2014 02:40 AM PDT

Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan.
Teng_Chang_Khim_300


PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan, Dato Teng Chang Khim mewakili ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau EXCO) dari PKR dan DAP berkata mereka menghormati perkenan Sultan Selangor bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

"PKR dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat seperti yang dipilih oleh rakyat.

"Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor tersebut, kami akan terus menjalankan tugas harian sehinggalah seorang Menteri Besar baharu dari Pakatan Rakyat dilantik untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim," katanya.

Dalam tempoh peralihan ini, urusan yang melibatkan MMKN atau EXCO adalah mengikut mandat yang telah ditetapkan oleh parti seperti berikut iaitu kedudukan dan fungsi Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang Menteri Besar dari Pakatan Rakyat dilantik.

"Khalid Ibrahim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan," tambah beliau.

Menurut Chang Kim lagi, ahli EXCO dari PKR dan DAP tidak akan berjumpa dengan Tan Sri Khalid Ibrahim (kecuali di mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing.

Lima lagi EXCO yang terlibat dalam keputusan ini selain Teng Chang Khim adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Wong Keat Ping, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi, Dr. Daroyah Binti Alwi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau A/L Veraman.

Cadangan Bajet 2015 Pembahagian Kekayaan Bursa Saham Malaysia Lebih Baik Daripada BR1M : Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Najib Razak

Posted: 12 Aug 2014 02:35 AM PDT

 S


Saham Faizal Yusup



Cadangan Bajet 2015 Pembahagian Kekayaan Bursa Saham Malaysia Lebih Baik Daripada BR1M : Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Najib Razak.

Baru-baru ini blogger terkenal iaitu Faizal Yusup yang juga merupakan remisier di Kenanga Investment Bank Berhad dan telah berkecimpung dalam pasaran saham di Bursa Saham Malaysia semenjak tahun 1996 telah pun berkongsi idea dan pandangannya dengan harapan agar akan ada penambaikan bagi usaha-usaha yang lebih baik meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia khususnya dikalangan bumiputera di Malaysia yang bagi Berita Semasa sendiri sangat baik dikongsikan bersama kalangan pembaca BS sendiri.

Bersama-sama ini Berita Semasa kongsikan….surat terbuka Encik Faizal Yusuf seperti yang tertera di bawah ini.

Cadangan Bajet 2015 Pembahagian Kekayaan Bursa Saham Malaysia Lebih Baik Daripada BR1M

 

8 hb Ogos 2014
Bismillahirrahmanirrahim…
Kepada,
Datuk Seri NajibTun Razak
Perdana Menteri Malaysia
Menteri Kewangan 1

Datuk Seri,

PER : USAHA MENINGKATKAN EKONOMI BUMIPUTERA MELALUI PEMILIKAN EKUITI

Kehadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,

SAYA harap Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Semoga Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Sebelum saya memulakan warkah ini izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Faizal Yusup dan saya seorang remisier dari Kenanga Investment Bank berhad juga Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera. Saya telah berkecimpung dalam Industri pasaran saham Malaysia sejak tahun 1996. Apapun surat ini saya tulis atas kapasiti individu.

Usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera melalui pemilikan saham sebanyak 30% sejak Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan sejak tahun 1970 oleh ayahanda Datuk Seri sehingga kini masih belum dapat dicapai walaupun setelah lebih 40 tahun ia dilancarkan. Disamping itu juga semua ketahui yang rakyat Malaysia terbelenggu dalam paras pendapatan sederhana sejak sekian lama.

Pemberian BRIM sejak 2 tahun lalu kepada kelompok golongan pendapatan rendah hanyalah sebagai cenderahati kecil yang membawa kepada kenaikan perbelanjaan kerajaan atau dalam ertikata lain ia menggunakan duit pembayar cukai.

Di sini saya ingin memberi satu cadangan yang mana sekiranya ia digunapakai maka saya percaya ia akan membawa kepada perubahan kepada industri pasaran modal secara total.

Salah satu pendekatan yang mudah dan praktikal ialah dengan meningkatkan ratio peruntukan saham terbitan Awam (IPO) kepada pelabur runcit ke paras yang lebih tinggi. Untuk pengetahuan Datuk Seri sebelum tahun 1997 iaitu tahun kejatuhan pasaran saham disebabkan krisis kewangan Asean nisbah peruntukan saham kepada Pelabur Runcit ialah 70% dan hanya 30% di peruntukan kepada Institusi dan pada masa itu pasaran primary IPO ini berkembang dengan pesat dan ini menyaksikan kenaikan penyertaan pelabur runcit dalam Bursa Malaysia secara mendadak. Pembelian saham IPO membawa keuntungan kepada ramai pelabur runcit termasuklah mereka-mereka yang terlibat dalam industri seperti dealer dan remisier, koperasi, syarikat yang melabur saham, syarikat pengurusan aset dan sebagainya.

Ini kerana tatkala saham IPO ini disenaraikan Institusi yang tidak mendapat peruntukan saham-saham IPO ini akan bersaing antara satu sama lain bagi mendapatkannya pada hari penyenaraian lantas mereka membelinya dari tangan para pelabur awam. Berbeza dengan pelabur awam yang jangkamasa pegangannya yang lebih pendek, Institusi membeli saham-saham tersebut bagi tujuan pelaburan jangkamasa panjang. Apa yang penting ialah saham yang dibeli itu ialah saham yang punya kedudukan kewangan yang kukuh.

Namun demikian kejatuhan pasaran saham disebabkan oleh kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia pada tahun 1997 telah menyebabkan pasaran IPO ini menjadi layu. Setiap IPO baru yang diterbitkan mengalami kekurangan langganan dari pelabur runcit lantas sebagai jalan penyelesaian ia akhirnya diperuntukan kepada Institusi. Jadi rationya berubah dari 70% kepada pelabur runcit sekarang ia hanya tinggal lebih kurang 30% dan pelabur institusi pula menyaksikan kenaikan dari 30% kepada 70% secara kasarnya.

Apapun setelah 17 tahun berlalu pelabur runcit telah mula kembali ke dalam pasaran memandangkan pendapatan dan simpanan yang telah meningkat juga disebabkan mereka tak punya tempat lain untuk melabur. Contoh pelaburan komoditi emas telah menjadi terlalu berisiko kerana harganya komoditi tersebut telah berada pada paras yang tinggi begitu juga keadaannya dengan pelaburan Properties atau Real Estate.

Di sini saya sertakan carta prestasi IPO di pasaran Bursa Malaysia berakhir pada 2 Jun 2014. Ia jelas menunjukkan prestasi kenaikan yang baik dengan premium bagi setiap penyenaraian sejak awal tahun 2013. Ada kaunter yang naik sebanyak 160% pada hari penyenaraian dan pastinya ia merupakan pelaburan yang menguntungkan dan berbaloi.

bursa saham malaysia papan kedua

Seterusnya saya sertakan fakta dan carta IPO terbaru dan terkini REACH ENERGY BERHAD yang akan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 15 Ogos ini.

senarai syarikat di bursa saham malaysia

Pembahagian Kekayaan Bursa Saham Malaysia : Orang Kaya VS Orang Miskin?

Dalam Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan pihak MIH kita dapat lihat yang 23821 orang pelabur memohon sejumlah 857,295,800 unit saham dan hanya 3,208 yang berjaya diperuntukkan sebanyak hanya 20,000,000 juta saham sedangkan syarikat ini menerbitkan sejumlah 1,000,000,000 juta saham terbitan baru secara keseluruhan. Ini hanya 2% sahaja dari keseluruhan jumlah peruntukan. Adakah 2% ini hanya sebagai sedekah amal jariah atau hanya bak kata pepatah melayu "melepaskan batuk di tangga"? Siapa pula yang mendapat sebahagian besar 980 juta saham yang lain itu?

Dengan andaian 30% diperuntukkan kepada pelabur runcit, maka peruntukan seharusnya ialah sebanyak 300,000,000 unit saham dan ia masih jauh lebih rendah dari jumlah keseluruhan permohonan iaitu sebanyak 857,295,800 unit.

Datuk Seri, bukankah meningkatkan ekonomi 23821 orang pelabur runcit jauh lebih baik dari meningkatkan jumlah 3208 orang sahaja?

Saya berpendapat dengan keadaan demografi semasa sebanyak 50% seharusnya diperuntukan kepada pelabur awam iaitu sebanyak 500,000,000 diperuntukkan kepada pelabur awam. 500 juta unit saham ini sebenarnya hanya separuh dari permohonan keseluruhan sepertimana yang kita boleh lihat dalam fakta di atas.

senarai syarikat dalam bursa saham malaysia
Senarai peruntukan 10 juta saham kepada Bumiputera
 
Dalam carta ini pula jelas menunjukkan hanya 14% iaitu 1,597 orang pelabur diperuntukkan 10 juta unit saham sedangkan yang memohon ialah 10,839 orang pelabur. Kebiasaannya dari pemerhatian saya dalam lingkungan 15,000 orang pelabur yang memohon sesuatu saham IPO. Mungkin ia rendah kali ini disebabkan permohonannya dibuka di musim perayaan Aidil Fitri.

Di sini juga kita dapat lihat 11 daripada 14 pelabur yang memohon sebanyak sejuta unit dengan meletakkan modal sebanyak RM750,000.00 hanya mendapat peruntukan sebanyak 11,000 unit saham sahaja. Bukankah semua ini tidak masuk akal?

Seminar Saham Super Investor
Senarai peruntukan 10 juta saham kepada Bukan Bumiputera

Datuk Seri,

Bagi peruntukan pelabur Bukan Bumiputera juga kita dapat lihat perkara yang sama berlaku. Permintaan yang jauh lebih tinggi dari penawaran. Kebiasaannya dari pemerhatian saya permohonan IPO bagi Bukan Bumi ini ialah sekitar 50,000 permohonan. Mungkin mereka juga berputus asa oleh sebab keadaan ini. Mungkin ia hanya membuang masa mereka untuk memohon.

Lebih teruk lagi tidak seperti kebanyakan saham-saham IPO yang lain dimana ada sebahagian saham tersebut yang diperuntukkan kepada MITI untuk diagihkan kepada pelabur Bumiputera tetapi ini tidak berlaku kepada saham ini.

Kenapa?

Pada pendapat saya dewasa ini pihak Institusi dan Bank Penasihat telah menjadi tamak dan rakus. Mereka hanya memikirkan periuk nasi mereka tanpa memikirkan nasib para pelabur yang ramai yang merupakan rakyat Malaysia yang kebanyakannya terbelenggu ekonominya tanpa ruang dan peluang yang baik untuk menjalankan pelaburan. Andai setuasi ini berlanjutan saya percaya mereka akan melabur dalam instrumen luar negara seperti Forex, Derivatif, Skim Cepat Kaya dan sebagainya yang hanya akan merugikan semua pihak.

Namun sekiranya Datuk Seri sebagai Menteri Kewangan yang pertama faham dan mengambil tindakan serta mengubah polisi peruntukan saham-saham IPO ini maka InsyaAllah ia akan mengubah landskap Industri ini secara keseluruhan. Para pelabur yang ramai baik Bumi atau Non Bumi akan mendapat keuntungannya. Para remisier seperti saya akan dapat meningkatkan pendapatan, Institusi akan tetap mendapat saham-saham mereka dari pasaran terbuka.

Cuba Datuk Seri bayangkan andai 3 billion saham Felda diperuntukkan kepada 3 juta pelabur sebanyak seorang 1000 unit saham pada harga RM4.55 dan ia dibuka pada harga RM5.30 pada hari penyenaraiannya maka setiap seorang dari 3 juta pelabur itu akan mendapat keuntungan sebanyak RM750.00 jadi bukankah ia sama sahaja seperti peruntukan BRIM? Namun demikian berbeza dengan BRIM mereka boleh memohon saham IPO yang akan datang pula dan mendapat keuntungan demi keuntungan dalam setiap IPO yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ini akan memberikan lebih kurang RM2.25 Bilion kuasa beli tambahan yang mana boleh merancakkan ekonomi negara melalui consumer spending. Ini hanya baru satu penyenaraian!

Selain itu juga perubahan ini akan membuka mata ramai lagi pelabur runcit untuk memasuki pasaran secara tak langsung meningkatkan modal pasaran dan menjadikan Bursa Malaysia lebih kukuh dan besar hingga ia kelihatan di mata dunia. Kenaikan pasaran modal akan membawa keuntungan kepada banyak pihak dan ia juga akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara yang kita cintai ini.

Oleh yang demikian, sekali lagi saya menyarankan agar satu polisi dibentuk dimana peruntukan saham IPO dinaikkan kepada 50% kepada pelabur runcit demi mencapai objektif yang telah dihuraikan dalam surat ini.

bursa saham malaysia papan utama

Sekian sahaja buat kali ini. Saya berdoa semoga surat ini dijodohkan dan sampai ke pengetahuan Datuk Seri dengan penuh pengharapan Datuk Seri mengambil tindakan ke atasnya demi kebaikan ummah khususnya dan demi kebaikan rakyat Malaysia secara umumnya.

Sebagai penutup selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin saya ucapkan. InsyaAllah saya akan ke rumah terbuka Datuk Seri di PWTC nanti.
Sekian,

Wassalam.

Ikhlas,
Faizal Yusup
www.faizalyusup.net
Founder & Speaker Seminar Saham Super Investor
www.seminarsaham.com.my
016-6667430

Cukup-cukuplah, jangan 'tiada beban batu digalas' pula

Posted: 11 Aug 2014 10:17 PM PDT

ASPAN ALIAS


Tuanku Sultan Selangor berkenan untuk TS Khalid terus menjadi Menteri Besar. Itu adalah isu pokok yang ingin di ketahui oleh rakyat yang tertunggu-tunggu perkembangan terakhir yang melibatkan krisis PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor. Mengikut perundangan dan undang-undang tubuh Negeri Selangor, Khalid boleh berfungsi sebagai Menteri Besar dengan sekurang-kurangnya empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan empat ahli Exco ini boleh diisi dari kalangan empat ahli Exco kerajaan negeri sekarang ini.

Mengikut undang-undang tubuh Negeri Selangor ia memerlukan untuk sekurang-kurangnya empat orang ahli Exco dan jumlah maksima keanggotaannya seramai sepuluh orang. Jika itu keputusannya maka jelas PAS akan terus bersama Khalid Ibrahim dan tentunya PAS di beri tanggungjawab yang besar bagi menangkis usaha setengah pihak untuk menggunakan kerajaan Negeri Selangor bagi kepentingan peribadi mereka sahaja.

Sementara itu Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang UMNO akan menyokong tindakan Tuanku Selangor untuk mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar dan dengan itu Khalid sudah mendapat undi pukal dari 12 kerusi UMNO dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Besok TS Khalid akan bertemu dengan Exco yang ada sekarang ini untuk bertanya samada masih mahu bekerja dengan beliau. Jika mereka tidak mahu, dengan hanya melantik semula empat ADUN dan Exco dari PAS sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan dan kerajaan akan berfungsi seperti biasa. Perkembangan ini amat menarik kerana sedikit demi sedikit kebenaran tentang kenapa 'Kajang Move' dahulu di lakukan oleh PKR pada bulan mac yang lalu.

Bagi pandangan setengah orang yang bercakap sesama sendiri yang saya dengar, dengan perkembangan mutakhir ini ia telah merungkai sedikit sebanyak  punca berlakunya pergeseran di Selangor ini. Justeru yang pasti dilihat sekarang ini adalah 'the end is near for Pakatan Rakyat' di Selangor.

Krisis keyakinan sedang menghantui Pakatan Rakyat dan untuk mengembalikan aura sokongan yang pernah kita lihat, akan mengambil masa yang agak lama. Sesungguhnya percubaan Anwar dan PKR untuk menunjukkan otot politiknya telah gagal dan ia bukan sahaja di rasai oleh PKR tetapi akan juga di alami oleh DAP, bukan setakat di Selangor tetapi ia menyeluruh di seluruh negara.

Selepas ini polimik tidak akan berakhir malahan polimik ini dijangkakan akan sampai ke tahap yang lebih tinggi lagi dengan pertengkaran di khalayak ramai yang akhirnya akan membuatkan lebih ramai naik bosan dengan kerakusan Pakatan Rakyat.  PR bukan untuk membina negara tetapi untuk mereka berebut-rebut dengan harta rampasan selepas memenangi peperangan.

Apa yang sedang terjadi di Selangor ini akan membawa 'consequence of events' yang mungkin tidak boleh di jangka. Polimik akan bertambah hebat.

Salah satu hasil dari pergelutan ini, banyak pihak sekarang mempersoalkan kejujuran Anwar Ibrahim. Tuduhan terhadap Khalid kesemuanya berdasarkan kepada syak wasangka yang bertujuan politik bagi setengah mereka dalam Pakatan Rakyat. Tetapi pihak Anwar dan penyokongnya tidak pula membuat apa-apa tindakan terhadap pemimpin tertinggi mereka yang telah secara undang-undangnya di dapati bersalah dalam isu liwat beliau.

Mereka sebaliknya akan menuduh keputusan mahkamah itu adalah mengikut telunjuk BN dan UMNO. Segala keputusan yang tidak memihak kepada mereka, itu keputusan 'conspiracy' politik terhadap Anwar. Tetapi Khalid hanya diperlukan untuk menampilkan syak wasangka sahaja sudah di minta dan di desak untuk berhenti.  Pendeknya sejak 16 tahun dahulu tugas penyokong pembangkang hanya untuk menyelamatkan Anwar dari menghadapi zaman gelapnya dalam politik yang di hasilkan oleh kelalaian dan moral buruk beliau sendiri.

Bagi pendapat setengah orang, selama 16 tahun politik Malaysia asyik berlegar di keliling Anwar, untuk menutup perlakuannya dan cuba untuk menyelesaikan masalah peribadi beliau sahaja. 'Kajang Move' yang membawa padah kepada PKR sendiri ini adalah salah satu dari tindakan untuk meyelesaikan masalahnya sahaja.

Akhirnya nanti apabila pembetulan itu sudah sampai, orang yang selalunya mampu menyelesaikan masalah seperti ini adalah orang yang mempunyai lebih kesabaran, kerana kesabaran itu tidak akan dapat di lawan oleh sesiapa. Yang sabar itu akan selalu menang walaupun ia memakan masa untuk memperlihatkan buktinya. Itulah sebabnya blog ini selalu dan tidak berhenti menulis yang negara perlukan politik yang baru. Yang akan membawa 'ambience' yang baru terhadap situasi siasah negara.

Apabila situasi yang baru itu wujud, barulah parti-parti seperti DAP dan mana-mana parti yang membangkang akan dapat menjamah kuasa di Putrajaya. Ia memerlukan pembaharuan politik secara drastik berlaku baru ada perubahan.

Saya bukan ahli nujum, tetapi saya tahu yang Anwar tidak akan dapat menjejak kaki ke Putrajaya selagi beliau tidak membersihkan hati dan jiwa beliau dalam politik ini. Pendeknya mana-mana pihak yang bersama mendukung Anwar dalam politik sekarang atau di masa yang akan datang ini, segala cita-cita mereka akan hanya tinggal cita-cita dan semua tindakan mereka semuanya merupakan 'misadventure' politik yang sangat mahal harganya.

Tetapi itu adalah pilihan masing-masing. Setengah orang sememangnya suka, 'tiada beban batu di galas'. Itu terpulang kepada nasib dan bahagian masing-masing.

Rodziah tuntut permohonan maaf daripada Sinar Harian

Posted: 11 Aug 2014 10:00 PM PDT

Oleh: AFIX REDZUAN
 
 
SHAH ALAM: Exco Kebajikan & Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail menuntut Sinar Harian mengemukakan permohonan maaf berhubung artikel bertajuk: Surat Akuan Undi Tidak Percaya Mula Tersebar yang ditulis, pada 9 Ogos lalu.
 
Beliau berkata, permohonan maaf berkenaan perlu dibuat di muka hadapan akhbar itu dan di semua laman sosial medianya dalam masa 24 jam.
 
rodziah-ceramah-biru-01"Merujuk kepada tulisan akhbar Sinar Harian 9 Ogos 2014, bertajuk: Surat Akuan Undi Tidak Percaya Mula Tersebar, saya menuntut Sinar Harian memohon maaf bertulis kepada saya kerana tulisan itu mengandungi kenyataan yang tidak benar berkenaan saya dan mengelirukan umum sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap saya.
 
"Saya akan meneruskan tindakan undang-undang, termasuklah tindakan undang-undang jenayah, jika pihak Sinar Harian gagal berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan.NFN-

Kenali Ahli Dewan DiRaja Selangor

Posted: 11 Aug 2014 09:57 PM PDT

HARAKAHDAILY






KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor telah diadakan di Istana Alam Shah, Klang, pagi tadi.

Ahli-ahli Dewan DiRaja Selangor dilantik oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda berkenan melantik Ahli Dewan DiRaja Selangor dalam satu istiadat yang telah diadakan di Balai Tengah Istana Alam Shah, Klang pada 18 November 2013. (Foto atas oleh Selangor Kini)

Pelantikan mereka berkuatkuasa mulai 1 Disember 2013 hingga 30 November 2016.

Empat Ahli Ex-Officio Dewan DiRaja Selangor yang menerima watikah pelantikan adalahTengku Bendahara Selangor, Tengku Azman Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Empat ahli waris yang lain, lima Orang-Orang Besar dan tujuh Orang Tua-Tua turut menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan DiRaja Selangor.

Empat ahli waris itu ialah Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Muhamad Yusof Shah; Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah; Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah dan Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah.

Antara Orang-Orang Besar itu termasuk Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Tengku Shahruddin Shah; Engku Setia Lela Bestari, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Paduka Putra Tengku Azman Shah; Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Datuk Paduka Raja Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh dan Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir.

Bagi Orang Tua-Tua pula termasuk Datuk Setia Abdul Halim Abdul Rauf; Tan Sri Ambrin Buang; Jeneral Tan Sri Mohd Hashim Mohd Ali; Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir; Tan Sri Setia Ismail Adam; Datuk Setia Ramli Mahmud dan Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Datuk Aman Shah Mohd Shahar.

Mesyuarat Dewan Diraja tak sentuh bubar Dun

Posted: 11 Aug 2014 09:43 PM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Majlis Dewan Diraja Selangor yang bermesyuarat hari ini tidak menyentuh isu pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid yang dipecat oleh PKR Sabtu lalu berkata, ini kerana beliau tidak meminta pembubaran itu dibuat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenan beliau terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sehingga ada perkembangan baharu berlaku.

Ini kerana Tuanku berpuas hati dengan penjelasan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.

Berhubung mesyuarat kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata beliau telah mendapat sokongan empat exco dari PAS.

Katanya, itu sudah memadai baginya untuk beliau mengadakan mesyuarat kerajaan negeri walaupun tanpa exco dari PKR dan DAP. Ini berdasar tatacara Artikel 52.2B Undang-undang Negeri.

"Parti PAS sudah nyatakan keempat-empat anggota (Exco) akan bersama Kerajaan Negeri dan saya.

"Oleh sebab itu, saya boleh meneruskan ketuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.- HARAKAHDAILY

Kes Mejar Zaidi: Mahkamah tolak salinan video

Posted: 11 Aug 2014 09:41 PM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Mahkamah tentera hari ini menolak satu salinan rakaman video yang dikemuka pihak pendakwa sebagai bukti utama dalam kes Mejar Zaidi Ahmad selepas dibantah peguambela.

Peguam Zaidi, Hanipa Maidin ketika berhujah berkata salinan tersebut bukan rakaman asal dan hanya salinan.

Ia sekaligus tidak dapat dipadankan dengan rakaman asal yang telah dimusnahkan oleh saksi pendakwa sendiri.

"Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah menerima bantahan pihak pembela dan menolak bukti yang dikemukakan," kata Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak sebagai yang dipertua mahkamah yang bersidang mendengar kes tersebut.

Sementara itu, pihak pendakwa cuba mengemukakan lima keratan akhbar yang menunjukkan Mejar Zaidi kononnya mengadakan sidang media.

Ianya juga turut dibantah oleh peguambela dan mahkamah menolak tiga daripadanya dan menerima dua lagi.

Mejar Zaidi Ahmad, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dituduh memberi keterangan kepada media berhubung isu dakwat kekal dalam pilihan raya umum yang lalu.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972.

Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Hidup diteruskan bagi keluarga pramugara MH370

Posted: 11 Aug 2014 09:39 PM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR: "Hidup diteruskan bagi keluarga kami. Kami menanganinya dengan baik, di sebalik ketidaktentuan ini," kata Maira Elizabeth Nari.
  
Maira, 18, anak perempuan ketua pramugara Andrew Nari yang bertugas di dalam Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac di selatan Lautan Hindi, berkata keluarganya sentiasa menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti agar tidak terlalu memikirkan tentang tragedi itu.
  
"Hidup ini ada naik turunnya. Saya memang tidak memikirkan tentang bapa sebab saya tidak mahu menunjukkan kesedihan saya kepada ibu dan adik lelaki (Malcolm) saya.
  
"Dalam tempoh ini, saya mendekatkan diri kepada Tuhan untuk mendapat ketenangan. Sekarang, saya sibuk membuat persiapan bagi peperiksaan akhir semester pertama saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.
  
Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.  
  
Ditanya apakah yang diperkatakan Muhyiddin kepada beliau dan keluarganya, Maira, yang sedang mengikuti pengajian dalam kursus diploma komunikasi massa di Segi College di Subang Jaya, berkata timbalan perdana menteri menggalakkan Malcolm, 13, supaya belajar rajin-rajin dan memburu cita-citanya untuk menjadi juruterbang.
  
"Beliau juga bertanya tentang keadaan saya, apa yang saya sedang lakukan sekarang dan minta saya juga belajar rajin-rajin," katanya.
  
Sementara itu, ibu Maira, Melanie Antonio, 45, yang turut hadir pada majis itu, berkata beliau menyibukkan diri dengan seringkali bertemu keluarga mangsa lain dalam Penerbangan MH370, dan beberapa rakannya yang juga bekas kru kabin.
  
"Kami berkunjung ke rumah satu sama lain. Kami sama-sama saling memberi sokongan. Ia sebuah keluarga besar yang berkongsi ingatan dan cara untuk anak kami menangani insiden ini," katanya.
  
Melanie meletak jawatan sebagai pramugari MAS selepas pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak.
  
Pesawat Boeing 777-200 ke Beijing dengan membawa 239 orang hilang daripada radar pada 8 Mac, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
  
Analisis data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. - Bernama

Perkenan Sultan Terhadap MB Selangor Perlu Dipatuhi - Perkasa

Posted: 11 Aug 2014 09:33 PM PDT

MSTAR ONLINE


Abu Bakar Yahya
 
 
 
SHAH ALAM: Semua pihak khususnya pemimpin parti politik perlu menghormati dan mematuhi perkenan Sultan Selangor agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) negeri, Abu Bakar Yahya berkata pihaknya percaya perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah itu dibuat berasaskan kepada pertimbangan memelihara kepentingan rakyat di negeri ini yang mahukan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita juga percaya perkenan Sultan dibuat bagi menolak sebarang bentuk politik melampau yang dilakukan pihak tertentu sehingga membelakangi undang-undang serta amanah yang diberi oleh rakyat," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Sehubungan itu, Abu Bakar berkata Perkasa Selangor memberikan ketetapan menyokong Abdul Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor sebagaimana yang ditegaskan menerusi ketetapan Sultan.

Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba mempertikai kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar jelas dianggap tidak menghormati keputusan serta perkenan Sultan selaku ketua negeri.

"Selain itu, kita juga mengharapkan Abdul Khalid supaya berpegang kepada amanah yang diberi kepadanya selain memastikan menjalankan tugas mengikut lunas-lunas yang terkandung dalam perlembagaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Siapa rugi, siapa untung kemelut MB Selangor?

Posted: 11 Aug 2014 09:30 PM PDT

























Oleh Md Izwan


Situasi dramatik dan tegang di Selangor lebih menarik berbanding ketika Datuk Seri Ahmad Said disingkirkan sebagai menteri besar Terengganu.Jika kenduri anak dijadikan alasan Ahmad, lain pula di Selangor.

Di Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berdepan partinya sendiri dan pendedahan salah guna kuasanya juga didedahkan PKR.

Hal ini lebih menarik kerana kebiasaannya parti akan membela ahlinya tetapi tidak dalam situasi di Selangor, Khalid dibuli partinya sendiri.

Lebih menarik lagi, pihak berkuasa tidak mengambil langkah untuk menyiasat Khalid walaupun dikatakan ada bukti.

Buat kali pertamanya, pihak berkuasa berlembut dengan lawannya, siapa pun tidak boleh melupakan kes Teoh Beng Hock daripada DAP yang meninggal dunia di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor suatu ketika dulu.

Persepsi rakyat jelata, apabila tiada tindakan bermakna Khalid masih bersih.

Desakan PKR supaya Khalid disiasat juga tidak dilayan. Tetapi dalam situasi ini, ada pihak yang rugi dan untung daripada keadaan ini.

Siapa rugi?

Pada ketika ini, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor paling rugi. Menang dengan majoriti besar tetapi krisis menteri besar ini membawa kesan lebih buruk.

Keyakinan dan kepercayaan rakyat tidak dapat dinafikan terhakis kepada PR di Selangor. Ramai yang menyoal, sebuah negeri pun tidak dapat tadbir dengan baik, bagaimana mahu perintah negara?

Paling rugi ialah PKR kerana hilang menteri besar daripada partinya sendiri dan jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga kurang daripada 14 kepada 13.

Khalid kini sudah menjadi Adun bebas.

Walaupun tidak ada daripada DAP atau PAS meminta kerusi menteri besar, jumlah kerusi PKR semakin mengecil di Selangor.

Paling rugi dalam situasi ini adalah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tokoh reformasi yang dihormati itu kini menerima kritikan paling hebat sama ada daripada rakyat atau pemimpin dalam PR sendiri.

Rakyat Selangor dan juga pembaca politik secara terbuka membidas Anwar, malah di dalam laman sosial kecaman lebih kasar diarahkan kepada Anwar.

Anwar mungkin individu yang membina partinya sendiri, tetapi dengan kemelut ini ramai melihat Anwar pula menghancurkannya sendiri.

Imej Anwar di mata rakyat Selangor bagaimana? Mungkin pilihan raya semula boleh menjadi ujian litmus untuk melihat sama ada Anwar ditolak atau tidak dalam krisis di Selangor.

Rakyat Selangor dilihat memihak kepada Khalid kerana gambaran pemimpin bersih banyak memberi beliau kelebihan.

Kalau dulu ramai yang mengkagumi Anwar, tidak mustahil pula kali ini ramai yang membencinya.
Perkiraan ini perlu diambil kerana apa yang dilakukan Anwar kepada Khalid adalah sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan kepadanya suatu ketika dulu.

Keadaan Khalid sama seperti Anwar semasa dipecat Dr Mahathir, dilondeh oleh partinya sendiri hingga meringkuk dalam penjara. Bezanya kini, Khalid ada pihak Istana di belakangnya. Anwar dulu tidak.

Rakyat juga rugi, negeri paling kaya tetapi bergelut dengan keadaan sebegini.

Tidak dinafikan, Umno juga rugi dalam situasi ini. Kenapa mereka rugi? Mereka rugi kerana sepatutnya boleh mengambil alih semula Selangor dengan mudah seperti yang dilakukan di Perak.

Tetapi situasi itu tidak berlaku kerana mereka tewas teruk dan sekadar menjadi parti minoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hanya 12 Adun. Jika tidak, tidak mustahil krisis seperti di Perak berulang lagi.

Bezanya disini, Umno masih trauma di Selangor.

Khalid juga rugi, kenapa? Bagi saya kalau dulu Khalid dianggap sebagai menteri besar terbaik PR, kini situasi ini sebaliknya berlaku.

Khalid tidak akan lagi dianggap sebagai menteri besar dihormati dan terbaik, segala kedegilan dan sikap keras kepalanya akan dikenang sebagai menteri besar paling payah dalam sejarah Selangor untuk disingkirkan.

Imej Khalid di kalangan rakyat mungkin berbeza, terpulang kepada mereka hakimi beliau.

Siapa untung?

Dalam kekecohan ini, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilihat berkelebihan kerana suatu ketika dulu ramai yang menuduhnya gila jawatan menteri besar.

Tetapi situasi tersebut kini beralih ke atas bahu Anwar, sikap Azmin yang lebih bersederhana dan tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi juga membantu persepsi rakyat kepadanya berubah.

Azmin boleh menarik nafas lega, tapi tidak Anwar. Anwar belum habis bersilat dengan Khalid.

Malah, kritikan dan pandangan Azmin terhadap Khalid selama ini terbukti benar, siapa lagi kalau bukan Azmin dan askarnya yang sanggup berdepan dengan Khalid?

Telahan dan andaian pakar matematik itu mengenai sikap Khalid nampaknya benar.

Mungkin Anwar sekarang menyesal kerana membuat keputusan melantik Khalid semula walaupun Azmin sejak awal lagi menentang langkah itu.

Adakah rakyat Selangor beruntung dalam situasi di Selangor? Ia mungkin menguntungkan jika pilihan raya semula diadakan, kemeriahan perniagaan dan pesta pilihan raya akan mengisi setiap pelosok negeri.

Ketika ini juga, wang dan projek juga berduyun-duyun masuk ke Selangor. Umno tidak mustahil melabur dengan banyak untuk mendapatkan semula negeri terkaya itu.

Bagaimanapun, ia masih awal untuk meramalkan pilihan raya semula.

Kesimpulannya, Luiz Felipe Scolari mungkin pernah membawa Brazil menjulang Piala Dunia pada 2002 tetapi kekalahan 7-1 dalam Piala Dunia kepada Jerman pada 2014 akan lebih dikenang.

Bagi Khalid, prestasi baiknya sepanjang menjaga Selangor mungkin juga akan dilupa selepas bersikap keras kepala dan membelakangi partinya.

Kem Azmin 'Kuasai' PKR

Posted: 11 Aug 2014 09:15 PM PDT


Oleh: RAHMAH GHAZALI


 
 
 
TERKINI PETALING JAYA: Selepas beberapa bulan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diselubungi kontroversi, Mohamed Azmin Ali akhirnya mengesahkan kemenangan untuk mempertahankan kerusi Timbalan Presiden.

Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan pemilihan terakhir yang berlangsung pada Ahad lalu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Ahli Parlimen Gombak itu meraih 22,557 undi berbanding Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang memperoleh 10,742 undi.

Sebelum ini pertandingan bagi jawatan itu menyaksikan saingan tiga penjuru namun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hilang kelayakan selepas dipecat daripada PKR Sabtu lalu.

Selain itu wakil kem Azmin turut mendapat sokongan akar umbi apabila Amiruddin Shari dan Zuraida Kamaruddin menang sebagai ketua AMK dan Wanita sayap masing-masing.

Amirudin yang juga Adun Batu Caves berhadapan saingan sengit dengan pencabarnya iaitu Adun Seri Setia apabila hanya menang dengan majoriti 40 undi.

Amirudin yang juga Setiausaha PKR Selangor memperoleh 4,247 undi berbanding 4,207 undi yang diperoleh Nik Nazmi.

Sementara itu seorang lagi pencabar jawatan Ketua AMK, Nazree Yunus yang berada dalam kem Abdul Khalid hanya berjaya mendapat 2,195 undi.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Wanita dengan 9,382 undi berbanding Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail, yang menerima 8,638 undi.

Bagi saingan jawatan Naib Presiden, Mohd Rafizi Ramli yang sebelum ini ketinggalan dalam saingan itu akhirnya berjaya meraih tempat keempat dan terakhir.

Pengarah Strategi PKR itu mendapat 18,885 undi dan berada di belakang Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meraih 19,828 undi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tidak mempunyai masalah mengekalkan kedudukan teratasnya dalam perlumbaan Naib presiden sejak awal pemilihan apabila memperoleh kemenangan itu dengan 28,792 undi.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden dengan 21,421 undi.

Keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada 22 Ogos semasa kongres tiga hari parti itu yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam.

MH17: PDRM Kembali Ke Lokasi Nahas Jika Ada Gencatan Senjata

Posted: 11 Aug 2014 09:12 PM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
 
SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar semula pasukan siasatan khasnya ke lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 jika puak pemisah dan tentera Ukraine bersetuju melaksanakan gencatan senjata, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata pada masa sekarang Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) sedang melakukan rundingan dengan kedua-dua pihak berkenaan.

"Kita terpaksa menarik balik petugas di Ukraine kerana ancaman keselamatan. Ukraine dan Rusia sedang mengumpulkan tentera di kawasan berkenaan dan boleh berperang bila-bila masa sahaja," katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) selepas tiba dari Amsterdam, Belanda bersama 34 petugas khas PDRM kira-kira 6.35 pagi hari ini selepas menyertai misi siasatan nahas MH17 bersama pasukan penyiasat antarabangsa di Kharkiv, Ukraine.

Mengulas lanjut, beliau berkata PDRM memerlukan 20 sehingga 30 kilometer radius kawasan gencatan senjata dari lokasi nahas bagi meneruskan pencarian harta dan barangan peribadi milik mangsa rakyat Malaysia serta siasatan nahas.

Sementara itu, beliau berkata PDRM juga akan menempatkan pegawainya masing-masing di Amsterdam, Belanda dan Kiev, Ukraine bagi mengikuti perkembangan terkini siasatan pesawat MH17.

Beliau berkata di Kiev, pegawai dari London akan ditugaskan sementara di sana bagi menghadiri sebarang mesyuarat yang akan dihadiri oleh Belanda dan Rusia serta OSCE untuk berunding mengenai gencatan senjata serta siasatan nahas.

"Manakala di Belanda pegawai dari Malaysia akan dihantar dalam minggu ini bagi bekerjsama dengan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang dianggotai Malaysia, Belanda dan Australia yang terbabit dalam proses mengenal pasti mayat.

"Buat masa ini baki lima petugas khas PDRM dari Ukraine telah diterbangkan ke Belanda namun akan pulang dalam minggu ini," katanya.

Katanya MAS adalah kepunyaan Malaysia oleh itu negara bertanggungjawab sepenuhnya dalam siasatan insiden berkenaan.

Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Seramai 195 warga Belanda dan 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu.

Selepas singkir Khalid, tiada masalah PKR hilang ‘persahabatan’ PAS

Posted: 11 Aug 2014 09:10 PM PDT







Oleh Amin Iskandar 


Tidak seperti rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998, kedua-dua rumah rasmi dan persendirian menteri besar Selangor yang popular, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lengang semalam selepas beliau dipecat dari PKR.

Pada 1998, selepas Anwar disingkirkan Dr Mahathir dari tampuk kekuasaan, rumahnya dibanjiri orang ramai untuk mendengar sendiri mengapa beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Penyokong kuat Khalid dalam ketika dihubungi masih samar-samar tentang apa yang harus mereka lakukan. Mereka tersepit di antara kesetiaan kepada Khalid dan kesetiaan kepada PKR.Walaupun selama ini mereka bersama-sama Khalid menjelajah ke seluruh negara untuk menyaingi Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti, keputusan tegas PKR memberikan tamparan hebat kepada mereka.

Di Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam malam tadi, PKR meneruskan program  "Penerangan Isu Semasa Negeri Selangor" dan kali ini untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa mereka memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu.

Anwar yang dikatakan akan hadir tidak muncul sehingga akhir program, tetapi diteruskan dengan ceramah daripada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Rafizi Ramli.

Walaupun ramai yang hadir, program yang dianjurkan PKR cabang Shah Alam dan dinaungi bekas Exco Selangor Yaakob Sapari tidaklah sehingga menyebabkan kesesakan parah seperti program-program Pakatan Rakyat (PR) jika berlaku krisis besar seperti ini.

Mungkin penyokong PKR dan PR masih terkejut dengan apa yang berlaku, atau ini disebabkan PAS tidak mengerahkan orangnya untuk hadir.

Saifuddin dalam ceramahnya berkata sikap keras kepala Khalid ditunjukkan apabila beliau seringkali gagal hadir dalam mesyuarat biro politik PKR sehinggakan parti terpaksa memberi kelonggaran kepada wakil pejabat menteri besar Selangor menyertainya demi memastikan isu di Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.

"‎Khalid sering tidak datang mesyuarat biro politik. Ada kelonggaran kita berikan, anggota exco Selangor kita panggil, pegawai pejabat Khalid juga boleh duduk dalam mesyuarat, supaya isu Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.

"Ternyata tidak ada perubahan," kata Saifuddin di hadapan hadirin yang cuba memahami mengapa PKR terpaksa menyingkirkan Khalid.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kota Baru, Kelantan malam tadi dengan pantas mengatakan parti Islam itu tidak mencampuri urusan PKR untuk memecat Khalid.

"Itu dia (PKR) punya pasal, saya tidak boleh ganggu.

"PKR boleh buang orangnya, kita tidak campur," katanya bekas menteri besar Kelantan itu malam tadi.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang "melukakan" PKR apabila menyokong Khalid secara terbuka. Ditambah pula dengan sokongan Nik Aziz kepada pendirian Hadi.

Tidak cukup dengan itu, Majlis Syura Ulama PAS pada 7 Julai mengeluarkan kenyataan untuk menyokong agar Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.

Selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan untuk memecat Khalid yang pernah mereka sanjung sebagai menteri besar Selangor, kini tiada masalah lagi untuk memutuskan persahabatan dengan PAS jika parti Islam itu terus berdegil untuk menyokong bekas tokoh korporat itu.

Apatah lagi sekutu mereka DAP yang sejak awal lagi sudah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk Dr Wan Azizah menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Seorang pemimpin kanan DAP Selangor memberitahu penulis mereka sudah bersedia jika PAS membuat keputusan untuk keluar PR.

"Selama ini PAS menyusahkan Pakatan Rakyat selepas mereka hendak laksanakan hukum hudud di Kelantan. Susah kami hendak jelaskan kepada penyokong.

"Selepas mesej WhatsApp Zuhdi tersebar, kekecewaan bukan Melayu semakin dalam. PAS tidak akan dapat lagi undi bukan Melayu di Selangor. Lebih baik tinggalkan saja Pakatan," kata pemimpin DAP yang tidak mahu dinamakan itu.

PAS menangguhkan mesyuarat untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah daripada hari ini ke 17 Ogos.

Ramai yang beranggapan PAS akan bersama keputusan Majlis Syura Ulama mereka pada 7 Julai lalu untuk menyokong Khalid.

Walaupun terdapat sejumlah besar Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mahu parti Islam itu terus kekal bersama PR, agak sukar untuk PAS mengambil pendirian memalukan Hadi dan Majlis Syura Ulama.

Dalam erti kata lain, PAS hanya menangguhkan pengumuman keluar PR dari 10 Ogos ke 17 Ogos.
Sementara rakyat Selangor pula hampir pasti berdepan dengan Pilihan Raya Negeri.

Kes MB: Umno tidak boleh latah, PAS tidak boleh serakah

Posted: 11 Aug 2014 07:07 PM PDT

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
 
[ULASAN]  Tanpa menunggu PAS membuat keputusan berhubung kemelut kerusi Menteri Besar Selangor Ahad ini, penyelesaian tuntas boleh dicapai hari ini juga jika Umno jelas dan tegas dalam pendiriannya.
 
Jika dengan terang dan jelas Umno mengambil keputusan bahawa ia tidak mahu campur krisis kepimpinan yang dihadapi oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, dengan sendirinya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu meletak jawatan. 
 
Ini kerana tanpa sokongan Umno, Khalid, Menteri Besar yang tiada parti politik kini hanya bersandar pada sokongan PAS yang nampaknya "yakin" bahawa rekod perkhidmatan enam tahunnya bersih dari cemar rasuah dan salahguna kuasa. 
 
Bagaimanapun PAS Selangor hanya mempunyai lima belas kerusi Dewan Undangan Negeri dan jika dicampur dengan kerusi tunggal Khalid, ia berjumlah enam belas daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor. 
 
Selesai kes. Khalid tidak boleh lagi meneruskan tugas Menteri Besar sebab tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan. Ini bermakna PKR dan DAP boleh berikhtiar untuk mengemukakan calon menjadi Menteri Besar baharu. 
 
Pun begitu, jumlah kerusi Pakatan Rakyat dalam DUN Selangor maksimumnya berjumlah 28 (PKR, 13 dan DAP, 15). Ini adalah separuh daripada jumlah kerusi Dewan. Jika Umno tidak mengumumkan sikap menyokong atau menolak Khalid Ibrahim, tinggallah Khalid dengan sokongan 15 ADUN PAS sahaja. 
 
Ini bermakna Khalid mesti letak jawatan. Lantas solusi terbaik ialah menyerahkan kuasa mutlak kepada rakyat semula dalam bentuk pilihan raya umum Negeri. Seharusnya inilah sasaran Umno. Ia perlu merebut peluang menghadapi undian rakyat. 
 
Bagaimanapun jika Umno mengambil pendirian untuk menyokong Khalid dan PAS, bererti kedudukan "DUN tergantung" juga akan berlaku (PAS, 15; Umno 12 dan satu, Khalid Ibrahim.). 
 
Sekali lagi jalan keluar dari senario ini ialah pilihan raya umum negeri. Kini terpulang kepada Umno untuk memilih mahu menghadapi pilihan raya negeri secara berkelompok dalam BN atau mahu bekerjasama dengan PAS.
 
Satu lagi senario yang Umno perlu berhubaya ialah kemungkinan Ahad ini PAS mengumumkan ia mahu terus bersama Pakatan Rakyat dan bersetuju Khalid diganti Menteri Besar lain. 
 
Jika Umno sekonyong-konyong mengumumkan sokongan pada Khalid, sudah tentu ia akan menerima tamparan politik yang agak memalukan – hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. 
 
PAS, PKR dan DAP tetap bersatu dalam Pakatan Rakyat dan secara jelas pula Umno dilihat berniat jahat mahu cuba memecahkan perpaduan mereka. 
 
Selain itu, Umno juga harus mempertimbangkan kemungkinan jika ia bekerjasama dengan PAS (dalam tempoh krisis ini memuncak) dan berhadapan dengan pilihan raya umum negeri, adakah Umno bersedia untuk berbahagi kuasa dengan PAS?
 
Ditakdirkan rakyat mahu menghukum PKR kerana "memecat" Khalid, Menteri Besar yang mereka sayangi, dan memberi sedikit undi tambahan kepada Umno, besar kemungkinan, PAS akan mengaut lebih banyak kerusi berbanding Umno.
 
Jika keadaan itu berlaku, mahukah Umno menubuhkan kerajaan campuran dengan PAS dan kemudian menurut arahan dan pimpinan PAS di Selangor? Bolehkah kerjasama dan kahwin-campur PAS-Umno ini kekal? 
 
Menurut rekod, PAS sudah bekerjasama dengan Umno-BN, Semangat 46, PKR dan DAP. Namun jodoh politik PAS tidak pernah kekal. Adakah semua rakan politik PAS itu curang? Atau, PAS sebenarnya yang tidak budiman dalam politik?
 
Sementara jika ditakdirkan pula kombinasi PAS-Umno tewas pada PKR dan DAP dalam pilihan raya negeri, adakah Umno sanggup jadi pembangkang bersama PAS? 
 
Sekurang-kurangnya sekarang ini Umno adalah pembangkang yang padu di bawah jenama Umno. Bagaimana jika dengan PAS? Tidakkah Umno akan meleset menjadi parti pembangkang kelas dua?
 
Pada Umno terletak anak kunci penyelesaian tahap pertama kemelut kerusi Menteri Besar Selangor sehingga pilihan raya negeri diadakan. 
 
Sementara di tangan PAS pula terletak penyelesaian persoalan sama ada Pakatan Rakyat akan kekal atau berkubur. 
 
Namun PAS ada masa sehingga Ahad ini untuk menggunakan kedudukan istimewanya menjadi penentu kelangsungan sistem politik dua parti di Malaysia. 
 
Manakala Umno tidak boleh melatah menentukan pendirian, PAS pula harus bertanya, berbaloikah ia kembali "merujuk" pada Umno hanya untuk mempertahankan seorang ahli politik degil bernama Abdul Khalid Ibrahim?

PAS Selangor sokong Khalid dan mana-mana pengganti sah

Posted: 11 Aug 2014 07:05 PM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM:  Lima belas ADUN PAS memberi sokongan kepada Tan Sri  Khalid Ibrahim namun akan menyokong sebarang pengganti beliau daripada Pakatan Rakyat  asalkan ia mengikut tata cara betul serta mendapat perkenan Istana Selangor,  kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi. 
 
"Beliau (Khalid) adalah menteri besar yang sah, beliau dilantik mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri. Sekarang kalau ada pihak yang nak menggantikan menteri besar, kita akan sokong sesiapa pun daripada Pakatan Rakyat yang dipilih melalui proses yang sah dan betul," kata beliau kepada Antarapos. 
 
"...Sebab itu kita akan sokong sama ada namanya Tan Sri Khalid ataupun nama yang lain yang melalui proses dan perkenan daripada Tuanku, jadi kita akan sokong," tambah beliau. 
 
Khalid dipecat daripada PKR Sabtu lalu, sekali gus menjadikannya ADUN dan Menteri Besar bebas. 
 
Pagi tadi, Sultan Selangor bertitah bahawa Khalid kekal sebagai MB selepas menerima perakuan beliau bahawa dirinya (Khalid)  mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Selangor sungguhpun ditolak oleh DAP dan PKR. 
 
Khalid kini bersandarkan kepada sokongan PAS yang mempunyai 15 ADUN.  Sungguhpun pucuk pimpinan PAS menyokong Khalid Jawatankuasa Pusat parti itu hanya akan membuat keputusan rasmi Ahad ini. 
  
"Walaupun belum bermesyuarat PAS tetap sokonglah. Ya, tetap sokong...(kenyataan Abdul Khalid) benar," kata Sallehen. 
 
Beliau berkata PAS Selangor memberikan sokongan bulat kepada Khalid kerana "beliau adalah menteri besar yang sah,(dan) dilantik mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri. 
 
Beliau bagaimanapun berkata PAS Selangor hanya akan memberikan sokongan kepada pengganti Khalid jika langkah itu selaras dengan undang-undang tubuh negeri. 
 
"Bila  berlaku proses pertukaran dan ganti menteri besar yang baru, kita akan sokong menteri besar melalui proses pertukaran yang sah," tambah beliau

Eco World enggan ulas dakwaan PKR

Posted: 11 Aug 2014 06:57 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pemaju harta tanah Eco World Development Group Bhd enggan mengulas berhubung dakwaan terlibat dengan penyelesaian hutang Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Bank Islam.

Selepas beberapa percubaan, termasuk panggilan telefon, e-mel dan kunjungan ke pejabat itu sepanjang minggu lalu, Malaysiakini akhirnya berjaya mendapatkan reaksi daripada jabatan perhubungan korporatnya.

"Kami tidak akan mengeluarkan sebarang respons buat masa ini," kata seorang kakitangan yang enggan namanya disebut.

PKR dalam pembongkaran 91 halaman berkaitan kes Khalid antaranya mempersoalkan penganugerahan projek kepada Eco World sebulan selepas Khalid menyelesaikan pinjaman RM66 juta dengan Bank Islam.

PKR kepada PAS dengan salinan kepada DAP itu mendakwa, ini ekoran seorang eksekutif di Eco World, yang juga peguam pro-Umno, bertindak sebagai "orang tengah" untuk penyelesaian itu.

Malaysiakini masih belum mendapat reaksi "orang tengah" itu.

Selangorkini, media rasmi Selangor, semalam melaporkan Pejabat menteri besar menafikan memberi projek perumahan mampu milik RM 591 juta kepada Eco World bagi "membalas budi".

Eksekutif Komunikasi Menteri Besar Shazni Munir Mohd Ithnin dilaporkan berkata penganugerahan projek di Sungai Sering, Hulu Kelang itu ekoran Eco World memiliki kepakaran tinggi dalam pembinaan.
 

Saya mahu bersihkan nama daripada tohmahan

Posted: 11 Aug 2014 06:54 PM PDT


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
 
 
SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti politik termasuk Pas selepas beliau dipecat dari PKR, Sabtu lalu.

Bagaimanapun Abdul Khalid berkata sebelum mempertimbangkan tawaran tersebut, beliau perlu membersihkan namanya daripada tohmahan yang menyebabkan pemecatannya itu.

"Itu pun (tawaran sertai Pas) akan dipertimbangkan tetapi saya mesti membersihkan diri saya daripada tohmahan-tohmahan oleh PKR sebelum saya membuat apa-apa keputusan," katanya pada sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Semalam sebuah portal berita melaporkan bahawa Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahamd Yakob berkata, Pas sedia menerima Abdul Khalid sebagai ahli parti itu.

Menurut laporan itu, Menteri Besar Kelantan itu berkata pintu keahlian Pas sentiasa terbuka untuk Abdul Khalid yang telah dipecat daripada PKR pada Sabtu lalu kerana masalah disiplin.

Tiada ulasan: