Ahad, 10 Ogos 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Jika ayam tidak berkokok, hari akan siang juga

Posted: 10 Aug 2014 05:30 AM PDT

ASPAN ALIAS


Saya amat yakin yang untuk mendapatkan pembaharuan dan kebaikan, kita perlu melalui yang terburuk. Apabila keadaan menjadi terlalu buruk maka kebaikan akan mendatang. Apa hikmah yang akan mendatang yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. Bagi kita yang penting ialah untuk mencari jalan dan penyelesaian yang terbaik bukan sahaja untuk diri kita, ia juga yang terbaik bagi negara dan rakyat yang ramai.

Isu di Selangor tentunya salah satu dari perkara yang saya sebutkan tadi. Mesti ada yang kecundang, malahan apa yang berlaku kini membolehkan pembersihan diri bagi pemnimpin-pemimpin yang sedang bergolak sesama sendiri sekarang ini.

Besok kita akan mendengar apa keputusan PAS dalam menentukan sikapnya berhubung dengan isu yang di hadapi oleh Pakatan Rakyat Selangor. Jika di nilai dari keputusan awal, Dewan Ulamak PAS tetap tegas dengan keputusan untuk mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar dan ia perlu di hormati oleh ahli-ahlinya terutamanya dikalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan negerinya di Selangor.

Amat janggal jika PKR meminta semua ADUNnya taat dan setia kepada parti maka tentulah tidak menyalahi moral jika ADUN-ADUN dan ahli-ahli PAS juga menghormati kepimpinan partinya itu. PAS sudah biasa bersendirian dan parti itu masih wujud, malahan PAS tidak lagi parti yang bertompok-tompok sokongannya tetapi parti itu berada di mana-mana dalam Semenanjung Malaysia ini.

PAS nampaknya tegas dengan pendirian dan ia tetap akan mengambil keputusan berdasarkan kepada keputusan yang di ambil oleh Dewan Ulama nya. PKR tidak boleh marah dengan keputusan itu kerana dalam politik ini banyak keputusan di ambil bukan setakat dengan apa yang tersurat, tetapi yang lebih baik lagi ialah keputusan yang berdasarkan apa yang tersirat.

DAP dan PKR mungkin mengkritik PAS kerana tidak bersama dalam isu Khalid ini, tetapi PAS juga boleh memberikan alasan yang ahli-ahli Pakatan Rakyat juga wajar menghormati apa yang diminta oleh PAS. Jika tidak bertemu keserasian diantara kedua pihak berpisah bukannya tindakan yang tidak baik. Jika tidak mahu pertelingkahan yang berterusan maka perpisahan itu adalah wajar berlaku.

Dalam isu Selangor ini tidak ada pihak yang sepatutnya memaksa mengambil keputusan yang berat bagi PAS untuk mengambilnya. Walaupun banyak keputusan yang di ambil oleh PAS dalam banyak hal tidak berapa selesa, tetapi adalah tidak betul memaksa PAS membuat keputusan yang tersangat berat bagi PAS untuk bersama. Tekanan terhadap PAS oleh Anwar begitu kuat sehinggakan PAS sendiri terutamanya dikalangan ulama PAS sudah sampai ketahap yang mereka tidak dapat menerimanya lagi.

PAS tidaklah begitu tegas terhadap kemahuan Anwar ini, malahan selama ini PAS telah memberikan Anwar begitu banyak laluan dalam banyak perkara. Tetapi jika PKR dan Anwar mengambil kelembutan PAS itu sebagai kelemahan yang boleh di ambil kesempatan, itu adalah satu sikap yang sangat tidak bermoral. Hanya kali ini PAS mengambil keputusan dengan tegas takkan lah sampai menganggap PAS sebagai pengkhianat kepada Pakatan Rakyat pula.

Apa yang Anwar sebenarnya mahukan? Sesungguhnya PAS juga ada maruahnya dan pimpinan mereka juga ada yang berkualiti yang tidak mempunyai masalah peribadi. Sampai bila Anwar mahu menggunakan orang lain untuk menyelesaikan masalah peribadi beliau?

PKR menggunakan isu-isu yang tidak begitu betul secara 'expedient' bagi menghalalkan tindakan mengenepikan Khalid. Jika Khalid mempunyai isu seperti yang di sebut oleh PKR dan Anwar sendiri, Anwar juga mempunyai masalah yang besar dan telah diputuskan oleh Mahkamah. Isu terhadap Khalid belum pun di tentukan salah benarnya seperti yang di sebut oleh Majlis Syura PAS.

Tetapi isu yang dihadapi oleh Anwar sudah nyata kesalahan Anwar. Buat setakat ini Anwar telah di dapati bersalah dalam isu sodominya. Keputusan Mahkamah itu rasmi. Anwar hanya akan terlepas jika Mahkamah Persekutuan melepaskan beliau dari tuduhan itu. Pakatan Rakyat sepatutnya selesaikan masalah yang di hadapi oleh Anwar dari mencari masalah terhadap orang yang belum di tentukan kesalahanya.

Tetapi kumpulan ini menuduh keputusan mahkamah itu sebagai 'conspiracy' politik terhadap beliau. Semua yang terkena kepada Anwar itu adalah 'conspiracy' politik. Apa yang di tuduh terhadap UMNO itu benar. Tuduhan Anwar yang UMNO menggunakan 40,000 pengundi haram dari Bangladesh itu benar dan apa sahaja tuduhan terhadap beliau itu adalah 'conspiracy' politik. Semua orang berniat jahat kepada beliau dan semua niatnya adalah niat yang baik-baik yang halal dan toyibah.

Manusia ada juga batasan kesabarannya apabila menghadapi sikap dan kelakuan pemimpin seperti ini. Pemimpin-pemimpin yang lain tidak ada kerja dan tugasan lain selain dari menyelesaikan masalah peribadi beliau sahaja.

Semua pihak sepatutnya menumpukan pembetulan yang sangat terdesak hasil dari kerakusan UMNO dengan kuasa sekarang ini.  Jika Pakatan Rakyat berhajat untuk menjadi barisan 'alternative' adalah penting orang yang menerajui pimpinan 'alternative' itu keluar dalam keadaan yang bersih dari banyak masalah peribadinya.

Pemimpin yang sarat dengan masalah peribadi tidak akan mengambil keputusan dengan tepat kerana semua keputusannya terpaksa memasukkan agendanya sendiri. Kalau tiada Anwar tidak semestinya perjuangan tidak akan mendapat rahmat. Yang baik akan tetap mendatang, hanya menunggu masanya sahaja kerana masa untuk berjumpa dengan penyelesaian itu di tentukan oleh Yang Maha Penentu.
Kata orang, jika ayam tidak berkokok hari tetap akan siang juga.

Pas Kini Semakin Mengecil

Posted: 10 Aug 2014 05:19 AM PDT

shahbudindotcom


Kemelut pertukaran jawatan Menteri Besar Selangor tidak pasti bila akan berakhir. Bagaimana ia akan berakhir juga masih sukar dijangka. Semuanya masih kabur dan tidak jelas. Sementara Khalid Ibrahim sedang diasak agar berundur dan kemungkinan akan dipecat daripada PKR, dalam masa yang sama beliau juga masih cuba bersilat untuk mempetahankan jawatannya.

Di ketika beliau sedang menangguhkan kehadirannya mengadap Lembaga Disiplin sehingga 15 Ogos depan, Khalid juga turut menghantar notis peringatan kepada lembaga itu agar tidak membincangkan kesnya dalam mesyuarat parti atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Daripada berbalas kenyataan, tuduh-menuduh, londeh-melondeh, pertikaian dalaman PKR kini sudah menaik setakuk lagi kepada peringkat mahkamah pula. Lantaran itu, jika kemelut ini menyebabkan PKR bergolak, berpecah dan semakin kehilangan sokongan rakyat, ia adalah sesuatu yang normal. Mereka yang buat, merekalah yang menanggungnya.

Tetapi amatlah malang, kemelut yang sepatutnya hanya melibatkan PKR saja telah turut sama menjerumuskan Pas ke lembah perpecahan. Hanya disebabkan tindakannya masuk campur mempertahankan kedudukan Khalid, Pas kini semakin ketara terbelah dua antara kumpulan ulama dengan profesional yang juga kerap digelar puak Erdogan atau Anwarinas.

Kumpulan ulama yang bermula dengan kenyataan Haji Hadi dan diikuti pendirian Majlis Syura Ulama, nyata terus mahu menyokong Khalid manakala kumpulan profesional lebih melihat pertukaran Menteri Besar Selangor adalah hak PKR dan terserah kepada parti itu berbuat demikian. Ditambah dengan kedudukan Khalid yang tidak lagi mendapat sokongan partinya sendiri dan isu penyelesaiaan hutangnya dengan Bank Islam yang diragui penyelesaiannya, kumpulan ini semakin kuat bersama sehati sejiwa dengan PKR.

Tidak saja Khalid Samad yang tegas meninta Khalid Ibrahim menjelaskan keraguan mengenai penyelesaiannya hutangnya itu supaya mudah difahami oleh lain-lain pimpinan Pas, bekas Menteri Besar Selangor yang kini menjadi ahli Pas, Muhammad Mohd Taib juga turut meminta Khalid tidak harus berlengah lagi daripada berundur kerana jawatan itu bukan harta pusakanya yang harus dipertahankan secara gila-gila.

Meskipun lain-lain pemimpin profesional dalam Pas banyak berdiam diri, mungkin serba-salah untuk memberikan kenyataan terbuka dan tidak mahu mengguris hati pimpinan ulama, tetapi adalah jelas melalui perbualan dengan beberapa kumpulan, mereka juga merasakan Khalid Ibrahim wajar berundur secara terhormat.

Lebih dari itu, akibat tidak cermat dalam menghalakan senapang oleh seorang AJK Pas Pusat, Nasharuddin Tantawi yang mengaitkan projek lebuhraya dasar laut di Pulau Pinang oleh kerajaan pimpinan DAP dalam usahanya mahu mempertahankan Khalid Ibrahim, telah mengundang kemarahan Lim Guan Eng dah kes ini juga bakal berkesudahan sehingga ke mahkamah.

Hakikatnya, hanya kerana mahu mempertahankan Khalid Ibrahim, Pas bukan saja mulai berpecah, malah hubungan dengan PKR dan DAP juga tidak lagi seharmoni dulu. Jika ini berlarutan, risiko untuk Pas kembali menjadi parti yang kembali mengecil serta hanya bertapak di negeri-negeri tertentu dan di kelompok Melayu saja adalah sangat besar.

Jika diimbas sejarah, walaupun Pas sudah lama ditubuhkan tetapi kekuatannya di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain tidaklah sekuat mana serta sentiasa betsaing dengan UMNO. Ketika UMNO tidak bergolak, Pas dalam beberapa kali pilihanraya gagal menawan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta gagal pula bertapak di beberapa negeri yang mempunyai pengundi campuran.

Pas hanya berjaya menumbangkan BN di Kelantan pada 1990 dengan bantuan Semangat 46 melalui persefahaman Angkatan Perpaduan Ummah. Kemudian Pas berjaya menumbangkan BN di Terengganu dalam pilihanraya 1999 selepas Anwar dipecat pada 1998. Sebelum itu, walaupun UMNO Terengganu dipimpin oleh Wan Mokhtar yang dikira lemah dan tidak pandai berpolitik, tetapi Pas gagal menumbangkannya.

Di Kedah dan Perak, Pas berpeluang menjadi tunjang kerajaan negeri pada 2008 adalah kerana bantuan daripada PKR dan DAP melalui pertambahan mendadak sokongan pengundi bukan Melayu. Begitu juga berjayanya Pas bertapak dan menang banyak kerusi di Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan lain-lain adalah kerana sokongan pengundi bukan Melayu.

Di ketika Pas berhadapan dengan cabaran getir daripada UMNO untuk meraih sokongan pengundi Melayu berikutan UMNO mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membeli undi atau seperti kata Perdana Menteri, "I help u, u help me", sokongan mantap pengundi bukan Melayu yang mahukan perubahan telah memberi rezeki terpijak kepada Pas.

Sokongan pengundi bandar juga meningkat kepada Pas melalui wibawa dan ketrampilan yang ditunjukkan oleh golongan profesional dalam parti itu. Jika semata-mata bersandarkan pimpinan ulama dan kerap pula melabelkan golongan lain sebagai kafir, taghut, assabiyah serta tanpa kesedian pengundi bukan Melayu memberikan sokongan, Pas tidak mungkin menikmati kedudukan seperti hari ini.

Memahami bahawa komposisi pengundi Melayu hanyalah 65 peratus dan 35 peratus lagi bukan Melayu serta UMNO yang masih berkuasa di Pusat dan mempunyai sumber kewangan kukuh lebih dominan di banyak kawasan Melayu, Pas akan kembali ke zaman suramnya seperti sebelum ini jika hanya hanya bergerak sendirian atau tanpa sokongan parti-parti lain.

Kini, melalui kemelut yang hanya berpunca daripada kedegilan Khalid Ibrahim yang sebenarnya sudah kehilangan sokongan akar umbi di cabang Kuala Selangor serta gagal pula merebut jawatan Timbalan Presiden, Pas paling berisiko menerima kerugian paling banyak sekali.

Ia mulai berpecah, berbalah dengan PKR, bermasam muka dengan DAP dan dalam masa yang sama Haji Hadi yang dulunya disanjung serta digeruni, turut mulai diperlekeh oleh ahlinya sendiri. Kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar juga tidak mustahil akibat daripada kemelut ini.

Jika terpaksa keluar meninggalkan PR, nasib Pas tentulah lebih malang lagi.

Bukankah jika ia tidak masuk campur dalam kes Khalid sejak awal lagi, semua itu boleh dielakkan?

Saifuddin: Kami sedia ditentang Khalid

Posted: 10 Aug 2014 05:08 AM PDT


 Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail


SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] PKR sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan dan penentangan yang bakal dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap kepada media semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak Abdul Khalid bebas memilih untuk menentang PKR jika itu yang dimahukan dan pihaknya tidak akan menghalang sebarang langkah undang-undang yang mungkin diambil Abdul Khalid.

"Ini negara demokrasi, tidak ada sesiapa boleh sekat mana-mana peguam untuk ambil tindakan ke atas parti," katanya.

Peguam mewakili Abdul Khalid telah menghantar surat peringatan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR agar tidak membincangkan kedudukan Menteri Besar Selangor itu dalam mesyuarat petang semalam.
 
Surat itu diserahkan oleh peguam Edmund Bon kepada Pengerusi badan itu, Datuk Dr Tan Kee Kwong pagi semalam.
 
Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin berkata surat itu menyatakan bahawa perkara tersebut tidak boleh dibincangkan sehingga Lembaga Disiplin selesai menjalankan siasatan terhadap Abdul Khalid.

"Pihak kami sudah bersedia dan sentiasa bersedia," kata Saifuddin ketika ditemui Sinar Harian Online.

Kaji semula sistem pendidikan sekolah rendah

Posted: 10 Aug 2014 05:06 AM PDT

Ismail Sabri Ismail Sabri


BERA - Umno Bahagian Bera hari ini mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah bagi mengeratkan perpaduan kaum.
      
Ketua Umno Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sistem pendidikan di sekolah rendah telah menyebabkan anak-anak diasuh dan membesar dalam keadaan terpisah antara kaum yang ada di negara ini.
      
Katanya, anak-anak yang bersekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dipisahkan dengan amalan budaya dan gaya hidup sejak dari kecil dan ia berlarutan sehingga mereka dewasa.
      
"Kita mencadangkan supaya kerajaan membuat kajian menyeluruh dan melihat kembali adakah dasar memisahkan kaum di peringkat sekolah rendah lagi ini baik untuk perpaduan kaum?
      
"Sekiranya ia tidak baik, langkah drastik perlu diambil kerajaan untuk mengatasi masalah ini, kajilah dengan teliti di bawah Kementerian Pendidikan," katanya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bera yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.
      
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kewujudan sekolah jenis kebangsaan juga telah menyebabkan hilangnya rasa hormat-menghormati sesama kaum kerana pelajar telah dibesarkan dalam situasi berasingan.
      
"Dahulu kerajaan wujudkan sekolah pelbagai aliran bertujuan untuk mengekalkan bahasa ibunda tetapi kini kita boleh belajar bahasa-bahasa lain di sekolah kebangsaan," katanya.
      
Beliau berkata, sikap hormat menghormati sesama kaum yang semakin terhakis pada masa kini juga mengakibatkan isu penghinaan kaum dilihat semakin menjadi-jadi, khususnya menerusi media sosial. - Bernama

Doa Khalid untuk Anwar sempena ulang tahun

Posted: 10 Aug 2014 04:38 AM PDT


Doa Khalid untuk Anwar sempena ulang tahun
 
 
 
SHAH ALAM – Umum mengetahui persengketaan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keengganannya untuk melepaskan jawatan tersebut.

Namun, hari ini sempena hari kelahiran Anwar yang ke-67, Abdul Khalid tetap menyampaikan ucapan dan mendoakan agar Anwar panjang umur.

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga dikurniakan umur yang panjang untuk istiqamah dengan agenda reformasi dan perjuangan rakyat," tulisnya di laman sosial Facebook, sebentar tadi.

PASMEB: “Ini bukan demokrasi tapi diktator”

Posted: 10 Aug 2014 04:29 AM PDT

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM : Pakatan Anak-anak Selangor yang menyokong Menteri Besar (PASMEB) akan terus menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memegang jawatan orang nombor satu di negeri itu.

Pengerusi PASMEB, Mazli Saring, berkata sokongan itu akan tetap diteruskan walaupun Abdul Khalid menyertai parti lain.

Katanya, sebagai rakyat dan pengundi  mereka mempunyai hak untuk memilih parti yang diinginkan.

pasmeb

Beliau bagaimanapun enggan mengulas dan memberi sebarang kenyataan dengan lebih lanjut ekoran menghormati nasihat daripada pihak menteri besar untuk tidak memberi sebarang kenyataan dan mengadakan aktiviti sementara Majlis Dewan Diraja Selangor berbincang kedudukan jawatan itu esok.

"Atas kesempatan itu, kami dinasihatkan tidak membuat sebarang kenyataan sehingga diberitahu kelak," katanya ketika ditemui di kediaman Menteri Besar, di sini.

PASMEB mula berkumpul di Kediaman Rasmi Menteri Besar untuk menyatakan solidariti atas pemecatan beliau oleh partinya sendiri.

PASMEB juga dikatakan tidak bersetuju di atas pemecatan itu.

Bagaimanapun, beberapa ahli PASMEB mula tidak berpuas hati mula mengingatkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengimbas semula deklarasi Permatang Pauh 1998.

"Kami anak Selangor menyokong Abdul Khalid. Anwar pembelot!

SIDANG DEWAN UNDANGAN"Anwar perlu imbas kembali 1998 deklarasi Permatang Pauh antaranya melarang, membenci, kronisme, nepotisme dan rasuah.

"Tetapi apa yang jadi sekarang rakyat dimomokkan kerana dana negeri yang banyak. Ini bukan demokrasi tapi diktator," kata mereka.

Mereka juga berpendapat Abdul Khalid dipecat ekoran perbezaan undi beliau menghampiri undi untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden.
-NFN-

Krisis MB Selangor: RM50 Juta Kos Adakan Pilihan Raya Negeri - SPR

Posted: 10 Aug 2014 04:17 AM PDT



Abdul Aziz Mohd Yusof.
 
 
 
PETALING JAYA: Kos untuk mengadakan pilihan raya negeri di Selangor menelan belanja sebanyak RM50 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata parti politik yang terlibat dengan krisis Menteri Besar Selangor harus cuba mengelakkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kerana ia menyebabkan pembaziran masa dan wang.

"Tiada ragu-ragu, SPR sedang bersiap sedia dan tiada pilihan untuk mengadakan pilihan raya negeri sekiranya terpaksa berbuat demikian.

"Bagaimanapun, adalah tidak masuk akal untuk mengadakan pilihan raya hanya selepas 15 bulan pilihan raya umum ke-13 diadakan," katanya kepada The Star Online ketika dihubungi pada Sabtu.

Terdapat 56 kerusi DUN kerana Selangor merupakan salah sebuah negeri yang terbesar, kata Aziz.

Beliau berkata dana yang dibelanjakan untuk mengadakan pilihan raya negeri itu sepatutnya dibelanjakan kepada perkara yang lebih berfaedah untuk kepentingan rakyat.

"Kita perlu membayar pekerja SPR dan membelanjakan wang untuk menyewa. Ia melibatkan kerja yang banyak dan menggangu banyak pihak yang berkepentingan," katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk pentadbiran kerajaan negeri 'bermain dengan perasaan pengundi' yang menjangkakan wakil rakyat yang mereka pilih dapat berkhidmat selama lima tahun selepas pilihan raya umum Mei tahun lalu.

"Pakatan Rakyat harus mentadbir negeri Selangor seperti yang dijanjikan selepas mereka memenangi pilihan raya umum. Inilah jangkaan pengundian," katanya.

Bagaimanapun, Aziz berkata SPR bersedia pada bila-bila masa, kerana pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berada dalam keadaan tertekan apabila beliau didesak supaya melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sekiranya Khalid dipecat atau dipaksa untuk meletakkan jawatan, pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan kerana MB boleh memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN.

Pada ketika ini Pakatan Rakyat mempunyai 44 kerusi di Selangor, sementara Barisan Nasional memiliki 12 kerusi.

Mengapa Baru Sekarang Dedah Dakwaan Rasuah Khalid?

Posted: 10 Aug 2014 04:15 AM PDT



Oleh: THE STAR
 
 
 
PONTIAN: Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong mempersoalkan mengapa dakwaan rasuah melibatkan pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya timbul ketika beliau enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini bertanya mengapa unsur-unsur negatif pentadbiran Khalid tidak diperbesarkan sebelum timbul isu Menteri Besar.

"Semasa Langkah Kajang Pindah oleh Pakatan Rakyat dibuat baru-baru ini, pemimpin-pemimpin pembangkang senada memuji Khalid, dengan mengatakan bahawa beliau adalah pemimpin yang cekap dan rajin.

"Sekarang apabila terdapat krisis, pemimpin pembangkang telah mengubah nada dan irama mereka dan bergilir-gilir menuding jari dan mengkritik beliau," kata Dr Wee.

Wee merujuk kepada ahli Parlimen Pandan dan pengarah strategik PKR Rafizi Ramli, yang telah memberi penerangan tentang dakwaan penglibatan Khalid dalam rasuah.

Dr Wee berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk semasa lawatannya ke Kampung Baru Ayer Baloi di sini pada hari Ahad.

Khalid Kunci Mulut Sehingga Mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor Diadakan

Posted: 10 Aug 2014 04:12 AM PDT

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Abdul Khalid
 
 
 
PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dinasihatkan supaya 'mengunci mulut' sehingga Majlis Dewan Diraja Selangor mengadakan mesyuarat pada Isnin.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Ahad, Abdul Khalid berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai kemelut dan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor sehingga mesyuarat tersebut dijalankan.

Bagaimanapun katanya, beliau akan menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar seperti biasa sementara menunggu mesyuarat diadakan.

"Saya akan meneruskan tugasan sebagai Menteri Besar seperti biasa dan dinasihati untuk tidak membuat apa-apa kenyataan sehingga satu mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor yang telah ditetapkan pada hari Isnin, 11 Ogos 2014.

"Saya juga telah dinasihatkan oleh peguam supaya tidak membuat apa-apa kenyataan agar tidak menganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mengulangi kenyataan yang dibuat pada Sabtu bahawa beliau menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun tindakan itu salah dan tidak menurut undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan parti.

Beberapa Pilihan Terbuka Untuk Khalid Kekal Sebagai MB

Posted: 10 Aug 2014 04:05 AM PDT

Oleh: THE STAR 
 
 
Tan Sri Khalid Ibrahim
 
 
 
PETALING JAYA: Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor buat masa ini walaupun dipecat daripada PKR, tetapi penyingkirannya boleh membawa kepada beberapa kemungkinan, termasuklah pilihan raya negeri diadakan.

Terdapat juga kemungkinan beliau akan menyertai PAS, yang telah memberi sokongan kepadanya untuk kekal sebagai menteri besar, berserta sokongan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Peguam Syahredzan Johan berkata gabungan parti politik tidak mempunyai sebarang kesan terhadap kedudukan seorang menteri besar memandangkan keputusan mengenai jawatan itu bergantung kepada sokongan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Perkhidmatan awam negeri juga tidak akan terjejas dengan pemecatan Khalid daripada PKR, tetapi akan ada ketidakpastian di peringkat pentadbiran atasan," kata Syahredzan.

Beliau berkata, ini kerana barisan exco negeri termasuk daripada PKR turut memecat beliau.

"Jadi persoalannya adalah, adakah exco daripada PKR akan terus mengikut arahannya?" katanya.

Syahredzan berkata dengan pemecatan Khalid, PKR akan berusaha untuk memastikan bahawa beliau juga telah kehilangan sokongan daripada DUN, satu keperluan penting untuk menyingkirkannya dari pejabat menteri besar.

Beliau berkata, ini boleh dilakukan melalui tidak percaya dalam DUN atau mengemukakan petisyen sumpah oleh ahli-ahli DUN bahawa Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

"Jika boleh dibuktikan bahawa Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti, beliau boleh membuat pilihan sama ada meletakkan jawatan atau meminta Sultan membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri," kata Syahredzan.

Syahredzan memberitahu, Khalid juga boleh mencabar pemecatan beliau di mahkamah dan ia terpulang kepada hakim yang mendengar kes itu untuk mentafsir undang-undang, walaupun Akta Pertubuhan telah dipinda supaya keputusan yang dibuat oleh parti politik tidak boleh dicabar.
Pindaan dibuat terhadap Akta itu selepas Umno diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988 berikutan pertikaian dalaman.

Edmund Bon, dari firma undang-undang yang mewakili Khalid, enggan mengesahkan sama ada Khalid akan mencabar penyingkiran beliau di mahkamah.

"Tunggu dan lihat," katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak Khalid menjelaskan, Khalid masih boleh mendapat sokongan majoriti dari DUN dan mendapatkan restu Sultan untuk kekal di pejabatnya walaupun dipecat daripada PKR.

Mustafa berkata, mengikut senario ini, mungkinkah Khalid akan menyertai PAS.

"Ia perkiraan yang mudah. Dia mungkin akan menyertai parti yang mempunyai paling banyak kerusi," kata Mustafa.

Sebelum pemecatan Khalid, PAS dan DAP kedua-duanya mempunyai 15 kerusi di DUN, PKR 14 dan Umno 12.

Penyokong Khalid percaya bahawa BN dan wakil PAS akan menyokongnya jika usul tidak percaya dibentangkan.

MH17: Pasukan Khas PDRM dibenarkan masuk lokasi kejadian beberapa kali sahaja

Posted: 10 Aug 2014 04:01 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SEPANG:  Pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diamanahkan menjalankan misi mencari dan siasatan nahas MH17 hanya sempat memasuki Donestk, timur Ukraine dua atau tiga kali sahaja, sepanjang 10 hari mereka berada di sana.
 
Ketua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), DSP Law Pang Tai berkata disebabkan kawasan itu masih tegang, pasukan Malaysia juga terpaksa menunggu giliran mereka, selain pasukan dari Belanda dan Ausralia, untuk memasuki lokasi tersebut dan menjalankan operasinya.
 
Katanya, pasukan Malaysia juga hanya dibenarkan berada di lokasi itu, paling lama dalam lingkungan tiga jam pada sesuatu masa.
 
"Paling lama dua hingga tiga jam. Sebenarnya tugas itu sangat mencabar, ada juga kedengaran bunyi bom, tembak menembak tetapi kita selamat tanpa sebarang kejadian," kata beliau yang tiba bersama 21 anggota FRU dan enam anggota VAT69, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
 
Pasukan tersebut yang merupakan kumpulan pertama tiba di tanah air disambut Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Muhamad Fuzi Harun, selain anggota keluarga pasukan berkenaan.
 
Kumpulan kedua terdiri daripada 11 anggota forensik PDRM pula dijangka tiba petang ini, manakala kumpulan terakhir yang turut disertai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dijangka tiba Selasa ini.
 
Sementara itu, anggota VAT69 Sarjan Mohd Zulkifli Ali berkata, pasukan Malaysia juga tidak dibenarkan membawa senjata ke lokasi tersebut dan kedengaran bunyi tembakan meriam antara tentera Ukraine dan puak pemisah.
 
"Misi utama kami ialah mencari bukti dan membantu pasukan forensik. Kami tidak dibenarkan membawa senjata, sebab ia tempat orang, masing tegang.
 
"Lagipun kita tak boleh tetapkan masa kita sendiri untuk memasuki lokasi itu. Mereka yang akan tetapkan. Ia bergantung kepada keadaan, situasi, krisis di sana," katanya sambil menambah keselamatan sentiasa diutamakan.
 
Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas.
 
Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
 
Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu.

Isu Khalid: PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat

Posted: 10 Aug 2014 03:54 AM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan parti itu akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan PKR memecat keahlian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang sedang di Selangor kini.

"Kepimpinan PAS sedang berada di tengah-tengah isu ini dan menangani isu ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau juga menjelaskan bahawa keempat-empat Exco Kerajaan Selangor daripada PAS akan terus berkhidmat dan berfungsi kerana kerajaan negeri masih wujud.

Mereka terdiri daripada Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar), Adun Sabak, Sallehen Mukhyi (Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa), Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali (Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan) dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi (Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam). - HARAKAHDAILY

Isu Khalid: DAP arah Exco teruskan tugas sementara MB baharu dilantik

Posted: 10 Aug 2014 03:45 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic

 
 
PETALING JAYA: DAP hari ini memberikan sokongan bulat kepada tindakan PKR memecat Tan Sri Khalid Ibrahim daripada parti itu dan mendesak  beliau untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor secepat mungkin. 
 
Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengarahkan tiga wakil EXCO Selangor daripada parti itu untuk terus menjalankan tugas di bawah Khalid sehingga menteri besar baru dilantik demi memastikan "kerajaan negeri terus berfungsi."
 
Semua 15 ADUN DAP menyokong tindakan PKR menggantikan Khalid dengan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tambah Guan Eng dalam kenyataan ringkas selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di sini.  
 
"Tan Sri Khalid sudah kehilangan mandat demokrasi dan kuasa sah untuk terus menjadi Menteri Besar. Justeru beliau perlu meletak jawatan," kata Guan Eng 
 
Beliau enggan mengulas kemungkinan satu usul tidak percaya dibawa terhadap Khalid di Dewan Undangan Negeri Selangor jika beliau masih enggan untuk berundur. 
 
"Saya tak mahu sebut hal ini. Kenyataan saya sudah terang mengatakan DAP menyokong pencalonan Wan Azizah untuk digantikan dengan Khalid dan Pakatan Rakyat masih wujud sebagai kerajaan negeri Selangor," kata beliau. 
 
Tiga EXCO Selangor daripada DAP adalah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan Ganapathi Rao. 
 
Guan Eng berkata mereka akan mengeluarkan kenyataan bersama selepas Khalid mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok. 
 
Sebelum itu, Guan Eng mengadakan mesyuarat dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat DAP. 
 
Anwar memberitahu pemberita bahawa PKR dan DAP mencapai konsensus menyelesaikan kemelut itu kerana tidak mahukan ia menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Dewan Ulama PAS akur jika parti itu keluar dari Pakatan Rakyat

Posted: 10 Aug 2014 03:43 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Krisis Pakatan Rakyat semakin meruncing apabila Dewan Ulama PAS berkata akan menerima hakikat sekiranya parti itu terpaksa keluar daripada gagasan itu susulan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.
 
Pemangkunya ketuanya, Datuk Ahmad Yakob juga berkata, Tan Sri Khalid Ibrahim bebas untuk memohon untuk menyertai PAS susulan pemecatannya oleh PKR semalam.
 
"Terpulang kepada dia untuk sertai PAS kerana beliau bukan lagi ahli PKR. Apapun kita menunggu hasil perjumpaan beliau dengan susulan Selangor untuk beliau menyusun langkah selanjutnya," kata beliau kepada pemberita. 
 
Ahmad menegaskan PAS rela "bersendiran" jika akar umbi dan pemimpin parti itu memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.
 
"Kita mempunyai sejarah bersendirian kerana perbezaan dengan BN dan Semangat 46. Saya bersetuju dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa PAS boleh berdiri atas kaki sendiri jika ia mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.
 
Bagaimanapun beliau yakin PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat dan menyifatan krisis Selangor sebagai ujian ke atas parti kompenan dalam gagasan itu.
 
PAS telah melalui sejarah yang panjang dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik di negara ini.
 
Beliau bagaimanapun berharap kemelut yang melanda pakatan pembangkang berhubung isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan meminta semua pihak supaya bertenang.
 
Khalid semalam dipecat sebagai ahli PKR atas alasan enggan mengosongkan jawatan Menteri Besar Selangor untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
PKR juga beralasan Khalid susah hilang kewibawaannya untuk terus mengemudi Selangor dan berisiko kehilangan negeri paling kaya di Malaysia itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, jika Khalid terus menjadi ketua negeri.

Tidak mustahil Abdul Khalid sertai Pas

Posted: 09 Aug 2014 10:28 PM PDT


Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Tidak mustahil sekiranya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai Pas selepas PKR mengumumkan pemecatannya sebagai ahli parti itu berkuat-kuasa serta-merta, semalam.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kebarangkalian perkara tersebut tidak boleh dinafikan.

Namun begitu katanya, penyertaan Abdul Khalid sebagai ahli Pas bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas terlebih dahulu.

"Jika ahli Majlis Syura Ulama Pas memutuskan membenarkan Abdul Khalid menyertai parti itu, tidak mustahil beliau akan masuk Pas dengan mudah.

"Bagaimanapun, jika dilihat dari perspektif lain, penerimaan Abdul Khalid sebagai ahli Pas juga akan menimbulkan perbalahan dalaman Pas serta konflik yang lebih parah dalam PR," katanya, semalam.

Beliau berkata, konflik Menteri Besar Selangor itu juga menyebabkan Pas dan PKR menerima impak besar ekoran krisis kepimpinan yang berlaku.

Katanya, DAP selaku parti komponen PR juga akan menerima tempias akibat konflik antara kedua-dua parti terbabit.

"Bagaimanapun, setakat ini, pendekatan DAP jelas menyokong PKR dan tidak kira apa yang berlaku selepas ini, DAP dilihat akan sentiasa berada di belakang PKR," katanya.

Ketika mengulas berhubung status Abdul Khalid sebagai menteri besar, Mohd Azizuddin berkata, pemecatan sebagai ahli PKR tidak menjejaskan jawatan disandang Abdul Khalid sekarang.

"Dia masih Menteri Besar Selangor kerana pemecatan dalam parti tidak sama dengan pemecatan dalam kerajaan.

"Pemecatan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar mesti melalui undi tidak percaya di Dun," katanya.

Beliau berkata, undi tidak percaya yang akan dibuat juga dijangka menghasilkan keputusan menarik.

Katanya, apa yang kita jelas, PKR dan DAP menolak Abdul Khalid, manakala Pas pula berbelah bahagi.

"Undi tidak percaya adalah undi rahsia, jadi keputusan nanti, mungkin akan ada antara ahli DAP dan PKR yang akan menyokong Abdul Khalid," katanya.

Kedudukan Menteri Besar Selangor dibincang esok

Posted: 09 Aug 2014 10:15 PM PDT


Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim


SHAH ALAM – Satu mesyuarat Majlis Penasihat Raja-Raja yang telah ditetapkan esok bakal membincangkan soal kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, sehingga tarikh itu, beliau telah dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa kenyataan dan meneruskan tugas sebagai menteri besar seperti biasa.

"Saya  mengulangi kenyataan akhbar semalam bahawa saya menerima keputusan PKR walaupun tindakan itu salah dan tidak menurut undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Saya juga akan meneruskan tugasan sebagai menteri besar seperti biasa dan dinasihati untuk tidak membuat apa-apa kenyataan sehingga satu mesyuarat Majlis Penasihat Raja-Raja yang telah ditetapkan pada hari Isnin, 11 Ogos 2014," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah katanya, beliau turut dinasihatkan oleh peguam supaya tidak membuat sebarang kenyataan supaya tidak mengganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang.

Semalam, Majlis Pimpinan Pusat  PKR memecat keahlian Abdul Khalid dari parti itu serta merta.

Pengumuman tersebut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong di Ibu Pejabat PKR.

Abdul Khalid didapati ingkar arahan parti yang meminta beliau berundur dari jawatan menteri besar bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

'Dapur Jalanan' dibenar beroperasi seperti biasa

Posted: 09 Aug 2014 10:12 PM PDT

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Aktiviti 'Dapur Jalanan' dibenar beroperasi seperti biasa tanpa sebarang tempoh tertentu, namun aspek kebersihan akan dipantau ketat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
  
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebelum ini kementerian menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh akhir untuk Dapur Jalanan itu beroperasi.
  
"(Sekarang) tiada masalah untuk mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti itu seperti biasa. Kita juga sudah berbincang dengan mereka dan kenal pasti tempat perlindungan sementara untuk aktiviti itu beroperasi.
  
"Ketua Setiausaha saya dan juga Datuk Bandar akan mengeluarkan kenyataan penuh pada Rabu mengenai perkara tersebut. Umum juga perlu tahu kita sentiasa berbincang dengan NGO dari semasa ke semasa," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia di sini, hari ini.  
  
Sebelum ini dilapor, semua NGO yang menjalankan aktiviti Dapur Jalanan hanya dibenar meneruskan aktiviti memberi makanan kepada gelandangan sehingga 16 Ogos iaitu selepas sambutan Aidilfitri.
  
Tarikh itu dipersetujui sebagai tarikh baharu penguatkuasaan larangan memberi makanan kepada gelandangan selain makanan boleh diagihkan kepada golongan gelandangan cuma tidak dibenarkan berada dalam kawasan 2km radius dari ibu kota.
  
Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata kementerian juga dalam usaha memberi elaun bandar kepada kakitangan DBKL yang berpendapatan rendah bagi meringankan beban ekoran kos hidup semakin tinggi di pusat bandar raya ini.
  
"Ada lebih kurang 60 peratus kakitangan DBKL yang mempunyai pendapatan lebih kurang RM2,000 (sebulan), iaitu di bawah garis kemiskinan.
  
"Kita akan cuba selesaikan dan berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara untuk benarkan DBKL membayar elaun itu," katanya.
  
Mengulas mengenai majlis yang dihadirinya, Tengku Adnan berkata antara yang dibangkitkan adalah masalah perumahan dihadapi anggota tentera termasuk yang akan bersara memiliki kediaman sendiri.
  
"Program pembangunan semula kawasan setinggan tertentu untuk dimajukan kepada rumah murah mampu milik masih berterusan bagi membantu tentera, polis dan penjawat awam kategori rendah untuk memiliki hartanah di Wilayah Persekutuan.
  
"Kita akan bantu dan terus berbincang dengan mereka dari semasa ke semasa dan perkara ini juga telah saya panjangkan kepada pihak tertentu untuk dipertimbangkan," katanya. - Bernama
BERNAMA 


Gaza: 4,500 kelahiran baru disamping 2,000 gugur syahid

Posted: 09 Aug 2014 10:09 PM PDT

HARAKAHDAILY 


GAZA CITY: Lebih 4,500 kelahiran baru direkodkan sepanjang tempoh 30 hari serangan tentera rejim Zionis ke atas Gaza, kata sumber Kementerian Kesihatan Palestin.

Jurucakap kementerian, Eiad al-Bozum, bagaimanapun berkata pihaknya secara rasmi belum membuat kaji selidik lanjut berhubung akngka itu namun menambah pihaknya yakin julah sebenar mencecah 5,000.

Al-Bozum berkata, ini kerana masih ramai bayi yang baru lahir tersebut belum sempat didaftarkan kerana kekalutan sepanjang serangan.

Populasi Gaza mencecah 1.9 juta menjelang suku pertama tahun ini, termasuk  947,000 lelaki dan 922,000 wanita.

Dijangkakan jumlah itu akan mencapai 2.3 juta menjelang tahun 2020, sekaligus menjadikan Gaza kawasan kepadatan penduduk paling tinggi di dunia.

Israel memulakan serangan sejak 7 Julai lalu terhadap Gaza.

Sepanjang 30 hari serangan, seramai 1904 rakyat Palestin gugur Syahid, termasuk 433 kanak-kanak.
- HARAKAHDAILY

Pecat Khalid: Pemimpin, ahli PAS diminta bertenang

Posted: 09 Aug 2014 10:08 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Para pemimpin dan ahli PAS diminta bersabar dan bertenang berhubung tindakan PKR memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata para pendukung parti perlu menunggu arahan daripada pemimpin utama berhubung perkara itu.

Beliau juga menyeru para pemimpin parti supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

"Ahli-ahli PAS juga diingatkan agar tidak menyertai jika ada mana-mana himpunan atau demo yang dianjurkan sama ada pihak yang menyokong atau menentang keputusan pemecatan itu," ujarnya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, ahli-ahli PAS perlu mengambil iktibar suasana yang pernah berlaku di Kelantan apabila berlaku demonstrasi dalam kalangan anggota parti yang menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berpandangan kemelut yang berlaku itu boleh diselesaikan secara keluarga dalam kalangan pemimpin PKR. - HARAKAHDAILY

'Keputusan salah, cacat dari segi undang-undang'

Posted: 09 Aug 2014 09:58 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan PKR yang memecat keanggotaan beliau daripada parti adalah "salah dan cacat dari segi undang-undang".

Katanya, beliau bagaimanapun tetap menerima keputusan tersebut dan akan meneruskan khidmatnya sebagai menteri besar, sementara menunggu pandangan Sultan Selangor berhubung kedudukannya.

Khalid dan Sultan Sharafuddin Idris Shah akan hadir di satu majlis di masjid negeri, Shah Alam esok.

"Sehingga isu ini diselesaikan mengikut  prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai menteri besar mengikut kemampuan saya," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan pemecatan beliau, Khalid mendakwa pemecatan itu juga berpunca dari perbuatan khianat dari pemimpin tertinggi PKR.

"Saya tidak diberikan peluang dan proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan adil.

PKR keliru, ada sabotaj

"Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti," katanya lagi yang mendakwa PKR "keliru" dengan tuduhan ke atasnya.

Malah, parti itu juga gagal menyatakan secara khusus peruntukan parti yang didakwa telah dicabuli oleh beliau.

PKR yang menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan Khalid mengarahkan agar presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggatikan kedudukannya.

Beliau bagaimanapun enggan berbuat demikian, yang menyebabkan lembaga disiplin mengarahkan beliau menjelaskan mengenai lima isu.

Ia melibatkan rancangan menstruktur semula industri air Selangor, kenaikan elaun menteri besar, kenaikan lesen perniagaan, lebuh raya Kidex dan penyelesaian hutang RM66 juta Khalid dengan Bank Islam.

Khalid bagaimanapun tidak hadir ke sesi pendengara tersebut dan mengirim surat bagi memohon penangguhan dan juga butiran lebih jelas berhubung tuduhan berkenaan.

Khalid juga kecewa kerana lembaga tersebut meneruskan sesi pendengaran tersebut, sehingga menyebabkan beliau dipecat daripada parti hari ini.

Majlis Pimpinan Pusat PKR pada petang ini memutuskan untuk memecat keanggotan beliau daripada parti berkuatkuasa serta merta.

Ceramah PKR hentam Khalid malam tadi

Posted: 09 Aug 2014 09:55 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Beberapa jam selepas memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pimpinan tertinggi PKR muncul di ibu negeri Selangor bertemu rakyat  dan buat pertama kalinya, tidak mengkritik kerajaan BN.

Seramai 400 hadirin di Seksyen 19 Shah Alam yang kebanyakannya penyokong PKR sebaliknya mendengar ucapan pemimpin kanan parti menceritakan  "masalah-masalah" menteri besar sejak 2008 yang kini perlu digantikan.

Kebanyakan mereka memberi reaksi terkejut dan bersetuju apabila mendengar satu persatu kesalahan Khalid sepanjang pentadbiran negeri dari masalah jalan berlubang dan sampah sehingga dakwaan beliau bekerjasama dengan tokoh yang rapat dengan Umno untuk menyelesaikan masalah peribadinya.

MP Ampang Zuraida Kamaruddin memanaskan malam dengan menyatakan kegagalan Khalid menyelesaikan masalah jalan raya dan air di kawasan beliau.

Beliau yang turut dijangka mempertahankan jawatan ketua wanita PKR pada pemilihan parti ini menyindir Khalid kerana bersikap sombong dan membelakangkan parti dalam pelbagai isu.

"Kita bukan pilih "acong" atau "ane" mana jadi  presiden. Ini Presiden parti pun beliau (Khalid) tidak mahu layan," kata beliau diikuti dengan gelak tawa dan sokongan daripada hadirin yang hadir.

Zuraida berkata Khalid bertindak sombong apabila menyatakan beliau menjadi menteri besar kerana rakyat dan kini melupakan parti.

Beliau mengesyorkan agar Khalid menubuhkan parti baru jika ingin terus menjadi menteri besar.

"Saya MP Ampang kalau parti tak letak saya di Ampang adakah saya jadi YB di Ampang?

"Kalau tak nak ikut parti, baik dia buat parti sendiri jadi menteri besar sendiri.

"Tapi, boleh menangkah?" kata beliau dibalas dengan laungan "Tidak!" oleh hadirin.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pengarah strategi parti Rafizi Ramli mengulang kepada hadirin mengapa Khalid patut diturunkan dengan masalah hutang Bank Islam beliau.

Bagaimanapun hadirin sedikit kecewa kerana Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberitahu sepatutnya datang tidak muncul.

Saifuddin ketika ditemui wartawan selepas ceramah menyatakan Anwar sedang menemui "seseorang yang amat penting."

Tumpuan ceramah itu Wan Azizah merupakan satu-satunya pemimpin yang tidak mengulas langsung mengenai Khalid.

Bakal menteri besar Selangor itu sebaliknya menceritakan kisah sedih hidup beliau selepas Anwar ditangkap dan dipenjarakan pada ketika permulaan Reformasi PKR.

"Saya tak mahu panjangkan isu menteri besar, biarlah Datuk Saifuddin dan saudara Rafizi menjelaskannya.

"Saya datang jumpa tuan puan malam ini nak berkongsi kehidupan saya. Bagaimana deritanya saya dan anak-anak hidup tanpa suami," katanya.

Penyokong Khalid mungkin demo susulan pemecatan

Posted: 09 Aug 2014 09:52 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Satu gerakan dinamakan Pakatan Anak Selangor Sokong Menteri Besar (Passmeb) merancang untuk mengadakan demonstrasi bagi menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim susulan pemecatan beliau dari PKR.

Pengerusinya, Mazli Saring berkata demonstrasi sedemikian tidak mustahil kerana ia diteladani daripada Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemungkinan ada demonstrasi itu ada kerana ia dari tahun 1998 yang telah diajar oleh ketua umum (Anwar Ibrahim) sendiri.

"(Kita lihat) bagaimana dia boleh (berdemonstrasi) mendesak (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir untuk berundur," katanya kepada wartawan selepas forum bertajuk "Khalid Ibrahim Belot Pakatan?" di Kuala Lumpur semalam.

Beliau bagaimana pun belum menetapkan tarikh dan tempat demonstrasi itu akan diadakan.

Menurutnya, pertimbangan itu bergantung kepada keputusan Khalid dalam masa terdekat.

Menurut Mazli, beliau melihat Khalid mempunyai dua pilihan - sama ada membubarkan dewan undangan negeri Selangor atau pun mempertimbang untuk menyertai PAS.

Pada penghujung forum juga, beberapa orang hadirin yang menyokong Khalid mengangkat sepanduk kertas manila dengan tulisan menyatakan sokongan kepada Khalid.

Di antara tulisan yang terdapat pada kad manila itu adalah "Kami rakyat bersama MB TSKI", "Jangan PKR permainkan rakyat Selangor", "Rakyat Selangor akan balas dalam PRU", dan "Doa rakyat Selangor dizalimi, diterima Allah lebih berkuasa".

Selain Mazli, ahli panel lain forum malam tadi adalah penganalisa ekonomi pejabat menteri besar, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin; penganalisis politik Nathaniel Tan, dan pegawai komunikasi menteri besar, Shazni Munir.

Forum dimudah cara oleh Ahmad Syukri Razab dari gerakan Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA).

PKR singkir Khalid dari parti

Posted: 09 Aug 2014 09:47 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti ekoran tindakan menteri besar itu yang enggan meletak jawatan.

Anggota MPP, Datuk Tan Kee Kwong mengumumkan keputusan tersebut berkuatkuasa serta merta.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang media selepas selepas mesyuarat lebih dua jam di ibu pejabat parti itu.

"Beliau telah didapati mengingkari keputusan mesyuarat MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai yang sebulat suara memilih presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baru.

"Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai yang menyatakan keengganan beliau meletak jawatan menteri besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.

"Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat," kenyataannya dipetik.

Tan yang juga pengerusi lembaga disiplin berkata, MPP juga mengambil kira perkembangan berikut:

• Khalid mengingkari keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat agar menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2, dan menagguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan ADUN negeri Selangor

• Khalid gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor

• Khalid berkeras meneruskan projek lebuh raya Kidex walaupun PKR mengarahkan beliau mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat

• Khalid gagal menjelaskan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Kesemua anggota Majlis Pimpinan Pusat hadir ke mesyuarat tersebut kecuali Khalid.

Dalam sidang medianya selepas itu, Tan berkata Khalid masih lagi berpeluang untuk merayu keputusan MPP dalam tempoh 14 hari.

Tambahnya, keputusan MPP hari ini hanya melibatkan kedudukan Khalid dan tidak menjejaskan kedudukan Exco dan ADUN lain.

Menurut Tan, MPP turut mengambil kira Lembaga disiplin parti itu pada Selasa lalu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Khalid untuk menjelaskan mengenai tindakannya yang enggan berundur dari jawatan tersebut.

Khalid diminta untuk menghadiri pendengaran lembaga disiplin tersebut semalam untuk menjawab beberapa isu, termasuk elaun menteri besar dan langkah penstrukturan semula industri air di Selangor.

Dalam jawapannya, Khalid mendakwa surat tunjuk sebab itu "cacat" dan tidak menyatakan secara khusus tuduhan ke atasnya.
 

Tiada ulasan: