Jumaat, 1 Ogos 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Faekah menyelar dakwaan Ariff terhadap Khalid

Posted: 01 Aug 2014 07:28 AM PDT

 
Ariff tidak memahami sepenuhnya proses perlantikan Menteri Besar yang perlu mengikut Perlembagaan Selangor


faekah husin



PETALING JAYA: Pegawai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Faekah Husin menyangkal kenyataan Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz yang mengatakan bahawa tindakan Khalid Ibrahim tidak wajar kerana tidak mengikuti arahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya berundur daripada menjadi Menteri Besar sebagai memalukan.

Tambahnya lagi, Ariff juga boleh menulis diblognya SakmongkolAK47 yang mengatakan bahawa tindakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencalonkan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor merupakan satu tindakan yang memalukan.

"Ariff tidak memahami sepenuhnya proses perlantikan Menteri Besar yang perlu mengikut Perlembagaan Selangor.

"Memang betul Khalid tidak dilantik oleh rakyat namun Arif juga perlu faham bahawa PR juga tidak mempunyai hak yang mutlak untuk melantik MB di Selangor," katanya.

Kata Faekah lagi, kenyataan Ariff yang mengatakan Khalid telah tewas dalam pilihan raya parti dan harus mengundurkan diri juga salah.

"Walaupun pengundian bagi jawatan Timbalan Presiden masih berlangsung, Khalid tetap telah mendapat lebih satu pertiga daripada undi," jelasnya dalam satu kenyataan.

"Dia (Ariff) juga tidak perlu mempersoalkan tindakan Khalid berjumpa dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," tegas Faekah membela Khalid.

Tukar MB Selangor bukan sebahagian konsensus PAS dengan PKR dan DAP

Posted: 01 Aug 2014 07:09 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) sememangnya sudah mencapai konsensus bahawa kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR, namun cadangan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan calon lain tidak termasuk di dalam konsensus berkenaan.  
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, disebabkan PKR mahu mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baru, maka PAS akan bermesyuarat dan meneliti cadangan berkenaan.
 
Mustafa dalam pada itu juga menafikan PAS membelakangkan konsensus atau kebersamaan dalam isu pertukaran Khalid, malah kata beliau, adalah perkara biasa parti Islam itu bermesyaurat sekiranya timbul isu yang melibatkan kebersamaan komponen dalam Pakatan.  
 
"Kita dah setuju calon Menteri Besar Selangor ini daripada PKR. Tapi calonnya siapa, kita tak tahu.
 
"(Akan diketahui) 10 Ogos ini. Saya dah sebut dah, pendirian rasminya pada 10 Ogos ini," katanya kepada Antarapos.
 
Tarikh 10 Ogos ini sememangnya menjadi tumpuan apabila AJK PAS Pusat dijadualkan bermesyuarat bagi membincangkan cadangan PKR untuk menukar Khalid dengan Azizah. 
 
Cadangan itu dikemukakan PKR dalam mesyuarat Majlis Presiden PR pada 23 Julai lalu.
 
Terdahulu, cadangan untuk menggantikan Khalid dengan isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat bantahan daripada ramai pimpinan PAS sama ada dari kepimpinan negeri mahupun pusat.
 
Pimpinan PAS majoritinya mahu Khalid dikekalkan sebagai pentadbir Selangor, dan ia kemudian disokong sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sementelah Menteri Besar Selangor itu tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
 
Krisis dalaman Pakatan semakin memburuk dengan pendedahan perbincangan AJK PAS Pusat dalam aplikasi Whatsapp berhubung analisis senario jika parti Islam itu keluar Pakatan bagi mengekalkan Khalid sebagai menteri Besar seterusnya kekal mentadbir negeri terkaya itu. 
 
Mengulas lanjut, Mustafa menegaskan perbincangan berhubung krisis jawatan Menteri Besar Selangor tetap akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan, walaupun beberapa pimpinan meminta ianya disegerakan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. 
 
"Ini kita kena belajar berlatih sikit dalam keadaan 'restrain' (halangan). Kena self control (kawal diri)," katanya lagi. 
 
Menurut Mustafa lagi, hasil perbincangan parti itu kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang masih belum diputuskan tarikhnya.

Suhaizan: Fahami analisis Dr Zuhdi sebelum kritik PAS bukan-bukan

Posted: 01 Aug 2014 07:07 AM PDT

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat sekali lagi menegaskan pandangan kontroversi melibatkan pemimpinnya bukan pendirian apatah lagi mewakili parti berkenaan.
 
"Ia sebenarnya memberi senario yang sudah pasti senario itu bukan satu, senario itu banyak dan sepatutnya semua senario itu harus dibacalah.
 
"Barulah kita dapat gambaran yang lebih besar dan itu baru satu senario," katanya kepada Antarapos.
 
Malahan menurut beliau, perkara itu akan diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan datang menambah komponen lain perlu berhenti mengkritik analisis pemimpin PAS itu.
 
"Bagi macam inilah, perkara itu boleh selesai bila kita buat mesyuarat dalam Pakatan Rakyat akan datang, tiada masalah," katanya lagi.
 
Suhaizan berkata demikian mengulas analisis Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui sistem aplikasi WhatsApp yang tersebar kepada umum sehingga membawa kepada kontroversi antara parti itu dan Pakatan.
 
Dalam perbincangan WhatsApp itu, Zuhdi melontarkan analisis senario yang menunjukkan PAS masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama dengan Umno.
 
Analisis berkenaan dilihat susulan konflik dalaman Pakatan berikutan isu kerusi Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan PKR mencadangkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pengganti, didakwa dipersetujui DAP dan ditentang PAS.
 
Berikutan paparan skrin mesej itu yang didedahkan di media sosial, PAS cuba menjauhkan diri daripada pandangan  Zuhdi yang dianggap bersifat peribadi manakala PKR dan DAP mengkritik hebat cadangan itu yang dilihat cuba mengkhianati perjuangan Pakatan.
 
**Teliti keseluruhan analisis sebelum kritik**
 
Tegas Suhaizan lagi, analisis Zuhdi itu perlu dilihat secara keseluruhan dengan mengambil kira semua senario dinyatakan.
 
Justeru beliau berkata adalah tidak wajar membuat keputusan tanpa merujuk perkara sebenar sehingga mencetuskan krisis lebih besar.
 
"Senario ini bukannya perkara yang betul atau keadaan yang sebenarnya, maknanya hanya imaginasi (malah) ada senario satu, senario dua dan senario tiga.
 
"Jadi maknanya kena baca keseluruhan senario itu baru dapat gambaran yang sebenar.
 
"Bukan begitu, ia begini macam kita buat analisis...bila buat analisis kena ada senario satu, senario dua serta senario tiga dan ia bukan kejadian sebenar," katanya.
 
Dilihat tidak terlalu mengambil serius isu itu, Suhaizan berkata mana-mana pihak boleh merujuk kepada Zuhdi sekiranya mahu mendapatkan penjelasan selanjutnya.
 
"Ia imaginasi satu, dua, tiga dan empat...kalau macam (senario) ini akan jadi seperti ini (keputusan) dan seterusnya, macam itulah.
 
"Kalau senario satu hasilnya A, senario dua akan jadi B dan kalau nak tahu macam mana ceritanya kena rujuk Dr Zuhdi tapi maknanya itulah senario yang diberi kepada kita.
 
"Itu bukannya pendirian parti," katanya.

Persatuan Pengguna Selangor larang Rafizi politikkan air

Posted: 01 Aug 2014 07:05 AM PDT

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


 Presiden dan Penasihat Guaman di Consumers Association Of Subang & Shah Alam, Selangor (CASSA) Malaysia, Datuk Dr. Jacob George semasa di sidang media tentang situasi air di Selangor di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Ogos, 2014.
Presiden dan Penasihat Guaman di Consumers Association Of Subang & Shah Alam, Selangor (CASSA) Malaysia, Datuk Dr. Jacob George semasa di sidang media tentang situasi air di Selangor di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,



Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Selangor (GPNS) Datuk Dr Jacob George menggesa pengarah strategi PKR Rafizi Ramli supaya tidak campur tangan isu penstrukturan industri air negeri itu dengan mempolitikkan kandungan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Putrajaya.

Jacob berkata, isu utama kini adalah kebimbangan rakyat dengan risiko kekurangan bekalan air bersih apabila paras simpanan air kini hanya tinggal 33.46%.

Sebaliknya beliau berkata, Rafizi cuba mempolitikkan keadaan dengan menimbulkan teori konspirasi pengambilalihan air antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan syarikat konsesi air.

"Bila mereka cuba hendak membina isu yang baru dan menangguhkan proses (pengambilalihan air) kita akan demonstrasi depan ibu pejabat (PKR).

"Ribuan akan protes. Ini bukan politik tetapi (melibatkan isu) pengguna tulen. Kita tidak campur urusan politik," katanya pada sidang media di kediamannya di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, sebagai persatuan pengguna, pihaknya menekankan agar isu air di Selangor tidak dipolitikkan lagi kerana rakyat negeri itu kini sedang menderita dan sengsara dengan masalah bekalan air yang berlaku.

Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan sebelum ini sering mempertikaikan MoU penstrukturan air apabila mendakwa perjanjian itu tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan lebih memihak kepada Putrajaya.

Rafizi juga didakwa terlibat dalam konspirasi menyingkirkan Khalid apabila berpakat dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam urusan pembelian Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) untuk RM2.5 bilion, sedangkan tawaran asal hanyalah sebanyak RM250 juta sahaja.

Namun ahli panel penstrukturan air yang mewakili Pakatan Rakyat dalam menyelia kerajaan Selangor itu menafikannya.

Sementara itu, Jacob yang juga presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) membandingkan cara pemerintahan PKR di Selangor dengan DAP di Pulau Pinang yang mengasingkan isu politik daripada pemerintah dengan pentadbiran negeri.

"Mereka (Pulau Pinang) tahu asingkan isu politik daripada pemerintah dengan pentadbiran negeri. Mereka ada cara pentadbiran jelas bagaimana hendak mengendalikan krisis," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada Rafizi supaya berhenti bersikap kebudak-budakan dengan menimbulkan isu konspiraso melibatkan menteri besar, syarikat konsesi dan sebagainya.

Sebaliknya, beliau menggesa Rafizi menggunakan kebijaksanaan menyokong kerajaan Selangor mempercepatkan proses ambil alih industri air.

 "Rafizi juga mengatakan terma perjanjian air akan dikaji semula jika Selangor mendapat menteri besar baru.

"Adakah proses pengambilalihan perlu dilengahkan lagi memandangkan ia telah memakan masa sejak 2008?

 "Adakah semua wakil kerajaan di Selangor dan agensi lain yang berkaitan dalam perjanjian air ini tidak boleh dipercayai?"

 Jacob berkata pihaknya memberi masa sebulan kepada Rafizi dan pemimpin Pakatan Rakyat menyelesaikan krisis menteri besar dan mempercepatkan proses perjanjian air sebelum pengguna bertindak turun ke jalan raya.

"Kami percaya pengguna air Selangor sudah bosan dan malas mendengar alasan serta pertelingkahan di kalangan ketua parti.

 "Sekiranya proses pengambilalihan air tidak dipercepatkan dan manifesto kerajaan Selangor kepada rakyat tidak ditunaikan, sudah pasti rakyat tidak mempercayai PKR lagi."

Jangan biarkan BN miliki senyuman terakhir, kata Pemuda Pakatan Perak

Posted: 01 Aug 2014 06:58 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak menegaskan solidariti dan persamaan perjuangan adalah lebih penting daripada sebarang isu berbangkit serta menyeru semua ahli terus menyokong pemimpin tertinggi PR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Ogos, 2014.
Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak menegaskan solidariti dan persamaan perjuangan adalah lebih penting daripada sebarang isu berbangkit serta menyeru semua ahli terus menyokong pemimpin tertinggi PR. – Gambar fail The Malaysian Insider



Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak menyeru semua ahli dan pimpinan parti kekal bersatu meneruskan amanah yang diberi rakyat untuk memerintah selepas dipilih pada dua pilihan raya umum lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua DAPSY Wong Kah Woh dan Ketua Angkatan Muda PKR Perak Zafril Mohd Eusoff berkata inilah masanya bagi semua pimpinan parti menunjukkan kepimpinan parti mampu menangani krisis politik.

 "Pemuda PR Perak menyeru semua ahli Pakatan bersatu dan bertegas supaya jangan kita membenarkan Barisan Nasional (BN) dan Umno memiliki senyuman terakhir.

"Sudah sampai masa PR membuktikan kita mampu dan mempunyai hasrat politik untuk menangani krisis dan cabaran di hadapan kita," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menggariskan 10 sebab mengapa PAS perlu meninggalkan PR selepas wujud cadangan daripada pemimpin parti Islam itu untuk bekerjasama dengan BN.

Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahya berkata apa yang dilontarkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah wakil kepada suara hati ramai pemimpin dan ahli parti itu yang selama ini gelisah dengan tindak-tanduk parti komponen PR lain, tetapi tidak berani bersuara.

Pemuda PR Perak berkata sejak enam bulan lalu, parti secara keseluruhannya menghadapi cabaran demi cabaran yang menyinggung keyakinan bukan sahaja di kalangan pengundi malah juga di kalangan ahli parti masing-masing.

 Katanya, dengan percanggahan yang timbul, wujud persoalan sama ada PR akan kekal bersama dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita tidak dapat nafikan pelbagai unsur bukan sahaja menguji solidariti kita, malah mengamplifikasikan perbezaan kita. Krisis perlembagaan Perak pada 2008 sememangnya membawa PR ke satu tahap kerjasama lebih tinggi dan mantap.

"Pemuda PR yang ditubuhkan selepas krisis tersebut merupakan Pemuda pertama yang ditubuhkan bekerjasama dengan sebegitu erat dalam 6 tahun yang lepas.

"Kita tidak akan membenarkan semangat silaturahim yang dijalin selama ini dihancurkan oleh hasrat asabiyah tajaan lawan politik kita," katanya.

Pemuda PR Perak berkata solidariti dan persamaan perjuangan adalah lebih penting daripada sebarang isu berbangkit.

 Katanya, PR akan terus berpegang kepada prinsip amar makruf nahi munkar, menjunjung sistem demokrasi berparlimen dan tidak akan berhenti dalam usaha untuk menegakkan keadilan dan membebaskan negara daripada cengkaman rasuah dan munafik.

"Kita percaya bahawa kita mampu untuk mencapai titik persamaan dalam perbezaan yang terbangkit.

"Perjuangan untuk landasan politik baru demi kepentingan negara dan rakyat serta keperluan untuk PR kekal bersama adalah jawapan kepada perangkap yang diaturkan oleh lawan politik kita," katanya.

BN Goyang, 70% Penduduk Sabah & Sarawak Tidak Puashati Layanan K'jaan Pusat

Posted: 01 Aug 2014 06:42 AM PDT

KELAB GREENBOC



Pungutan suara beri gambaran pergolakan di Malaysia Timur

Satu pungutan suara mengesahkan trend rakyat Malaysia Timur kini yang semakin bergolak, dengan kebanyakan penduduk bandar Sarawak bercakap secara terbuka mengenai meninggalkan idea meninggalkan Malaysia.

Tinjauan terhadap 100 orang di Malaysia Timur mendedahkan 72% daripada rakyat Sarawak berasa meninggalkan Persekutuan adalah pilihan terbaik, dengan hanya 14% di Sabah bersetuju.

Tinjauan itu juga mendedahkan 43% daripada mereka percaya cara terbaik untuk Sabah dan Sarawak menyelesaikan masalah mereka adalah dengan meninggalkan Malaysia.

Pemisahan dianggap pengkhianatan mengikut undang-undang Malaysia.

Undian itu mendedahkan perasaan curiga dan kekecewaan yang masih wujud di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setengah abad selepas Persekutuan ditubuhkan pada 16 September 1963.

Keputusan undian The Malaysian Insider ini sama dengan kaji selidik atas talian sebelum ini yang menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia Timur mahu Sabah dan Sarawak meninggalkan Persekutuan.

Seorang ahli akademik kanan yang berpangkalan di Sarawak melihat keputusan undian berkata terdapat perbezaan besar di antara responden Sarawak dan Sabah dalam analisis serta memahami masalah mereka.

"Penduduk Sabah mempunyai analisis lebih baik berkenaan masalah utama Sabah. Tetapi analisis Sarawak sebaliknya," kata Prof Madya Dr Andrew Aeria.

Pungutan suara dijalankan secara temu bual bersemuka dengan 50 orang penduduk dari Sabah dan Sarawak ke atas semua kumpulan umur. Responden ditemu bual di Kota Kinabalu, Penampang dan Papar, Sabah. Responden Sarawak adalah dari Kuching, Serian dan Sri Aman.

Sebanyak 71% penduduk Malaysia Timur mengatakan Putrajaya tidak melayan Sarawak dan Sabah dengan adil.

Bilangannya lebih tinggi di kalangan rakyat Sarawak berbanding Sabah.

Di kalangan penduduk Sarawak, 96% daripada mereka berkata masalah terbesar Sarawak adalah Putrajaya tidak melayan mereka dengan adil.

Jawapan ini dipilih daripada senarai yang termasuk kelembapan ekonomi tempatan, jenayah yang tinggi, pembangunan yang tidak cukup atau peluang pekerjaan.

Responden Sarawak mengadu Sarawak tidak mendapat bahagian saksama daripada dana pembangunan dari Putrajaya

Sedangkan Sarawak membekalkan Putrajaya dengan hasil minyak setiap tahun.

Ramai mengadu jalan yang teruk, bekalan air dirawat keruh dan elektrik terputus di kawasan pedalaman Sarawak.

Kebanyakan penduduk Sabah yang ditemubual atau 42% juga berpendapat kerajaan Persekutuan tidak melayan Sabah dengan adil. Sebahagian 32% berkata Putrajaya adil kepada Sabah.

Bagaimanapun, 57% daripada 100 orang yang ditinjau berkata mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan Sarawak atau Sabah.

Sebanyak 76% daripada rakyat Sarawak yang mengundi berpuas hati dengan kerajaan Sarawak. Manakala antara 50 rakyat Sabah, 38% berpuas hati dengan kerajaan mereka berbanding 32% yang tidak.

Majoriti rakyat Sabah ditinjau atau 52% mengatakan kebanjiran pendatang tanpa izin adalah masalah utama mereka. Ini diikuti ekonomi yang menurun pada 18%, tidak cukup pembangunan (10%), kadar jenayah yang tinggi (8%) dan pekerjaan tidak mencukupi (6%).

Aeria, seorang ahli ekonomi politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), memberi amaran terhadap pungutan suara sebagai mewakili apa yang rakyat Sabah dan Sarawak sebenarnya fikirkan.

Beliau berkata maklum balas daripada 50 penduduk Sarawak kemungkinan besar daripada mereka yang mempunyai akses kepada Internet.

Mereka mempunyai sikap politik yang dibentuk media sosial.

"Responden Sarawak menerima keseluruhan propaganda pembangkang dan kerajaan Persekutuan dipersalahkan bagi semua masalah Sarawak.

"Daripada mengadakan perbincangan mendalam tentang masalah Sarawak, mereka lebih gemar bersikap menyalahkan," kata Aeria.

Beliau berkata terdapat sentimen anti-kerajaan Persekutuan Semenanjung yang kuat dalam pilihan raya umum tahun lepas yang disebabkan Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) Sarawak.

BN Sarawak menemui penduduk dan menggesa orang ramai hanya mengundi "orang kita" atau parti Sarawak asli. Para pengundi menggesa menolak calon-calon dari parti berasaskan Semenanjung, seperti dalam PR.

Bersama-sama retorik PR terhadap BN Persekutuan, ia melahirkan perasaan anti-Persekutuan yang diarahkan kepada Putrajaya. Sentimen ini terlepas pandang penglibatan BN Sarawak dalam masalah Sarawak.

Maklum balas daripada 50 rakyat Sarawak seolah-olah menunjukkan bagaimana sentimen anti-Semenanjung ini membentuk wacana politik di Sarawak.

"Jika anda marah dengan kerajaan Persekutuan BN kenapa anda masih mengundi untuk kerajaan BN negeri? BN Sarawak masih sebahagian daripada BN Persekutuan. Ia merupakan satu analisis masalah Sarawak," kata Aeria. -TMI

ULASAN GB

Di dalam PRU13 yang lalu, BN menang dengan cuma 133 kerusi. Itu termasuk 48 kerusi di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung sahaja tanpa Sabah dan Sarawak, BN cuma menang 85 kerusi. Bererti lebih rendah dari Pakatan Rakyat yang memperolehi 89 kerusi.

Tanpa Sabah dan Sarawak BN telah pun menjadi pembangkang dan telah keluar dari Putrajaya.

Demikianlah Hukum Kebenaran dan Keadilan berjalan. Tipulah dengan macamana sekalipun, peralatkanlah SPR dengan cara apa pun, apabila "kebenaran dan keadilan" muncul, segala penipuan itu akan berbalik kepada mereka sendiri sepertimana janji Allah swt:

"Walhal rencana jahat itu tidak akan menimpa melainkan ke atas orang yang merancangnya."
(Fatir: 43)

SPAD: Tindakan bas kilang mogok rugikan rakyat

Posted: 01 Aug 2014 06:38 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tindakan operator bas kilang yang mogok dan enggan masuk ke Singapura awal pagi ini adalah tindakan yang tidak munasabah dan hanya menyusahkan rakyat.
  
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata sebaliknya, operator bas kilang perlu berbincang dengan syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka sekiranya didapati kos meningkat.
  
"Mereka tinggalkan penumpang di Causeway, lepas tu (mereka ini) terpaksa berjalan ke Singapura. Ini adalah tindakan yang tidak adil dan munasabah. Bukannya cara yang baik untuk menyelesaikan masalah," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
  
Beliau berkata kos kenaikan bukan ditentukan oleh kerajaan semata-mata dan seharusnya pengusaha ini perlu berbincang dengan syarikat berkenaan memandangkan mereka di bawah kontrak syarikat itu.
  
Syed Hamid berkata demikian ketika mengulas tindakan pengusaha bas kilang yang enggan memasuki Singapura sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di Tambak Johor selama beberapa jam awal pagi tadi.
  
Syed Hamid berkata berikutan tindakan pengusaha bas kilang itu, SPAD akan menyiasat sama ada mereka ini ada melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.
  
"Ini adalah sesuatu yang dibuat untuk negara (pengumuman tol baru) dan bukannya untuk kepentingan mana-mana pihak. Singapura juga melakukan perkara yang sama dengan menaikkan VEP (Permit Masuk Kenderaan)," katanya.
  
"Pada saya, SPAD akan lihat sama ada tindakan operator bas kilang ini ada melanggar mana-mana peraturan. Pada saya, mereka ini tertakluk kepada undang-undang iaitu membawa penumpang, tidak boleh menyusahkan orang ramai atau mendatangkan kesulitan kepada mereka," ujarnya lagi.
  
Syed Hamid berkata kerajaan sudah mengkaji dalam setiap segi dan dari segi kepentingan rakyat sebelum mengumumkan kadar tol baru di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar yang bermula hari ini.
  
Selain tol baru yang bermula hari ini, Singapura turut menaikkan kadar bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singapura daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari mulai hari ini.
  
Pada masa sama, bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) berdaftar di negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 atau RM102.88.- Bernama

Pengajaran peneroka yang saman Felda'

Posted: 01 Aug 2014 06:36 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib mempertahankan keputusan Felda untuk tidak membayar dividen dan sagu hati raya dari Felda Global Venture (FGV) kepada peneroka yang menyaman Felda.

MP Maran itu menegaskan, Felda mengambil langkah yang betul, rasional dan menepati kehendak majoriti peneroka di seluruh negara, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Tindakan Felda tidak membayar dividen akhir FGV dan wang sagu hati raya tahun ini kepada peneroka yang menyaman Felda adalah satu tindakan rasional dan menepati kehendak majoriti peneroka seluruh negara.

"Perkara ini diharap memberi pengajaran kepada peneroka Felda supaya jangan mudah terpedaya dengan mainan politik pembangkang yang berterusan mencipta isu membabitkan Felda," katanya pada satu majlis di Maran semalam, lapor Utusan.

Beliau turut menggesa Felda menyemak semula senarai peneroka yang menyaman Felda kerana ada di antara mereka yang tidak berbuat demikian tapi namanya tersenarai sebagai penyaman Felda.

Akhbar sama melaporkan peneroka yang tidak menyaman Felda menerima dividen FGV sebanyak RM647 dan insentif produktiviti sebanyak RM300

DAP sokong wanita jadi MB, minta yang lain ikut

Posted: 01 Aug 2014 06:35 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menyatakan sokongan DAP kepada calon wanita menjadi menteri besar Selangor yang baru.

Setelah berminggu-minggu berdiam diri mengenai perkara ini, Lim memberitahu pemberita supaya tidak terganggu oleh isu-isu lain tetapi memberi tumpuan kepada sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail layak menjadi menteri besar.

Wan Azizah dicalonkan untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, seperti yang diumumkan oleh PKR bulan lalu.

"Saya katakan ini sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan setiausaha agung DAP. Kami mahu kenyataan ini datang dari semua pemimpin," katanya.

"Gambaran yang diberikan sekarang ialah Wan Azizah tidak kelayakan kerana beliau adalah seorang wanita."

Lim mengulangi bahawa rakyat tidak sepatutnya terganggu dengan isu-isu lain yang menjadi penghalang kepada cadangan PKR untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

"Komen tertentu telah dibuat dan dijawab oleh pemimpin lain," katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau hanya akan mengulas kenyataan yang dibuat oleh presiden PKR itu atau Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasitinya sebagai setiausaha agung atau pemimpin DAP.

Lim berkata, perkara utama untuk ditangani ialah sama ada boleh menerima Wan Azizah sebagai MB kerana beliau seorang wanita.

Ini, katanya, adalah sesuatu yang amat penting yang dibangkitkan oleh Anwar.

"Adakah kita akan menolak pencalonan beliau hanya kerana beliau seorang wanita?" soalnya sambil menambah bahawa setiap parti politik, sama ada dari Pakatan atau BN, perlu membuang halangan pertama itu.

Perlembagaan negara, tegas Lim, tidak pernah menyebut bahawa wanita tidak boleh menjadi MB, tetapi sebaliknya menolak diskriminasi gender.

Tol naik 470%, Tambak Johor sesak teruk

Posted: 01 Aug 2014 05:19 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Keengganan pemandu bas kilang membayar kadar tol baru di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pagi ini mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di Tambak Johor pagi ini.

Menurut Zaobao Singapura, bas kilang yang membawa pekerja ke Singapura setiap hari, mengadakan "mogok" pada pukul 5 pagi apabila diminta membayar kadar baru tol yang naik 470 peratus.

Keengganan mereka untuk berganjak, mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di laluan ke pusat pemeriksaan Singapura.

Seorang pemimpin PKR Johor, Steven Chong menulis di facebook yang beliau berada di luar CIQ di mana pemandu bas kilang enggan membayar tol baru, menyebabkankesesakan teruk sejak jam 5 pagi.

Menurutnya, pihak kastam dan polis meminta pemandu bas kilang itu sama ada masuk atau beredar dari situ, tetapi berjanji untuk mengumumkan keputusan mengenai tol baru dalam masa seminggu.

Pemandu bas kilang itu, katanya, menjanjikan protes besar sekiranya keputusan dan pengumuman itu nanti tidak boleh diterima.

Keadaan lalulintas dilaporkan semakin baik pada kira-kira pukul 8 pagi.

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia, mengesahkan kepada
wartawan Channel NewsAsia (CNA), Sumisha Naidu bahawa mogok itu berakhir kira-kira jam 8 tetapi tidak pasti apa punca protes tersebut.

Bagaimanapun, CNA melaporkan pemandu bas nampaknya tidak berpuas hati atas dengan kenaikan lebih 400 peratus kadar bayaran tol di CIQ berkuatkuasa hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan minggu lalu bahawa kadar tol baru untuk kenderaan menuju ke Singapura ialah masing-masing RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 bagi Kelas 1 hingga Kelas 5. Penunggang motosikal dikecualikan.

CNA berkata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) juga menghantar satu nasihat pada jam 8.05 pagi mengatakan bahawa perkhidmatan bas 160, 170, 170X dan 950 - yang kerap berulang alik melalui Tambak Johor - telah menghentikan perkhidmatan mereka ke Johor Bahru sehingga diberitahu kelak.

Katanya ia ekoran "protes terhadap kenaikan bayaran tol Malaysia oleh
pengusaha bas Malaysia yang menghalang aliran trafik bas melalui pusat pemeriksaan Johor Bahru.

Perkhidmatannya, bagaimanapun disambung semula, kira-kira sejam kemudian.

Pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau turut menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaannya.

MHA berkata kenaikan bayaran itu adalah untuk membiayai pembinaan kemudahan di Eastern Dispersal Link (EDL) lebuh raya, projek yang dijalankan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Sebaliknya, kata Boo, PLUS sepatutnya mengambil alih EDL daripada MRCB dan membukanya untuk pengguna jalan raya tanpa sebarang bayaran kerana EDL adalah lanjutan yang menghubungkan CIQ dengan Lebuh Raya Utara Selatan (NSE).

Sebelum ini, LTA juga mengumumkan bahawa ia akan menaikkan kadar bayaran permit masuk bagi kenderaan dan kenderaan barangan dengan pendaftaran asing berkuatkuasa pada 1 Ogos.

MB S'gor beri jaminan tiada kenaikan tarif air

Posted: 01 Aug 2014 05:10 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun akan datang.
  
Beliau berkata ini berikutan kejayaan penstrukturan semula industri air Selangor yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan industri tersebut.
  
"Dengan termeterainya Perjanjian Dasar Induk ini menandakan rundingan penstrukturan semula industri air Selangor yang telah diusahakan semenjak 2006 sudah hampir ke penghujungnya dan mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor di Putrajaya hari ini.
  
Katanya pemeteraian perjanjian itu dengan kerajaan Pusat bagi pelaksanaan penstrukturan semula industri air Selangor dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dianggap sebagai kemenangan untuk rakyat.

"Kerajaan negeri juga berpandangan tawaran RM9.65 bilion yang diberikan kepada pihak konsesi adalah adil dan munasabah tanpa merugikan syarikat-syarikat yang terlibat," kata Abdul Khalid.
  
Menteri besar berkata kerajaan negeri telah membuat tawaran kepada kesemua empat syarikat konsesi air dengan pemilik saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) telah menerima tawaran tersebut manakala pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPALSH) masih belum dimuktamadkan.
  
Terdahulu, Abdul Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk bagi penyelesaian jangka panjang isu air Selangor bersama-sama dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
  
"Kejayaan mengambil alih SYABAS akan membolehkan kejayaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan menurunkan kadar air tak berhasil yang pada ketika ini sangat tinggi iaitu 34 peratus," katanya.
  
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Abdul Khalid dalam nada berseloroh berkata: "Saya rasa beliau (Menteri KeTTHA Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) lebih senang daripada saya, saya ada tiga 'political mother in-law'... masih ada harapan tapi tidak boleh lagi".- Bernama

Dr M tukar pendirian, mahu k'jaan tapis Internet

Posted: 01 Aug 2014 05:07 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau kini berpendirian bahawa sudah tiba untuk menapis Internet selepas beliau sendiri menjadi mangsa tapisan internet.

Menurutnya, beliau menyedari perkara itu apabila tulisannya tentang kaum Yahudi tidak dapat disiarkan di Facebook.

"Saya berbuat demikian (ubah fikiran) kerana mereka yang mengawal server menjalankan tapisan mereka sendiri terhadap perkara yang boleh diterbitkan di media alternatif.

"Saya sendiri menjadi mangsa tapisan demikian," katanya.

Menurutnya lagi, beliau sendiri sebelum ini terpaksa menukar platform blognya sebanyak tiga kali kerana satu firma antarabangsa enggan memberi perkhidmatan untuk penerbitan blognya.

"Sekatan juga adalah satu bentuk tapisan. Internet ini bukan alternatif percuma kepada media cetak dan elektronik yang dikatakan dikawal oleh kerajaan. Ia tertakluk kepada lebih banyak tapisan berbanding yang diamalkan oleh kerajaan.

"Mereka yang menjadi tuan rumah kepada pelantar dan pelayan ini boleh menapis. Dan ada banyak cara lain tersedia buat pengawal media baru yang berkuasa ini untuk menapis demi kepentingan politik mereka," katanya.

Katanya, beliau berpendirian bahawa akhbar perlu ditapis, dan media baru pula menurutnya menikmati kebebasan yang lebih terhad berbanding media tradisional.

"Tiada kebebasan di media alternatif. Kerajaan dan pemilik server dan platform serta pihak lain boleh menapis media alternatif.

"Kebebasannya lebih terhad berbanding media cetak dan elektronik yang beroperasi dengan lesen kerajaan.

"Saya rasa tiba masanya kita berhenti bercakap mengenai kebebasan akhbar. Kita perlu akui yang akhbar juga perlu ditapis. Ia perlu ditapis kerana kebebasan, sebarang bentuk kebebasan akan sentiasa terdedah kepada salah guna," katanya.

Beliau mengajurkan agar tapisan di Internet itu menyekat kandungan pornografi untuk mengelakkannya dari dilihat oleh kanak-kanak.

"Salah guna paling teruk adalah daripada segi moral.

"Saya tidak peduli betapa sucinya kebebsan tetapi saya rasakan masanya sudah tiba untuk kerajaan, sekurang-kurangnya kerajaan Malaysia untuk menapis internet," tulisnya.

Kedudukan Mohd Najib Makin Kukuh

Posted: 01 Aug 2014 05:02 AM PDT

A Kadir Jasin


DUA peristiwa mencetuskan keinginan saya untuk menulis kupasan yang agak panjang ini.


Pertama, apabila saya terserempak seorang bekas profesor ekonomi berketurunan India sebuah universiti awam di sebuah kedai kopi pada hari raya kedua.


Kedua, hujah bekas menteri undang-undang, Mohd Zaid Ibrahim, dan Ahli Dewan Rakyat DAP Kluang, Liew Chin Tong, bahawa (Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah pemimpin yang lebih kuat daripada Mohd Najib Abdul Razak.

Mohd Najib lebih kuat daripada Abdullah di segi politik
Dalam peristiwa pertama, saya terperanjat melihat wajah cendekiawan akademik itu. Beliau muram dan murung duduk berseorangan.


Saya bertanya adakah dia sakit atau kurang sihat? Katanya, dia tidak ada masalah kesihatan, tetapi jiwanya kacau melihat apa yang berlaku di Malaysia pada akhir-akhir ini dan menambah bahawa Malaysia nampak seolah-olah tanpa kepemimpinan serta berkemungkinan meledak.


Saya katakan, Malaysia mungkin sudah "implode" - meledak dari dalam.


Di kedai kek berhampiran pula, taukenya - seorang wanita Cina - menunjukkan ke arah peti televisyen yang sedang menyiarkan berita. "All bad news (Semua berita buruk)," katanya.


Saya menasihati bekas pengajar universiti itu agar jangan terbawa-bawa dengan gundah-gulananya sehingga merana memakan diri.


Saya katakan kepada beliau: "Buat apa saudara gundah-gulana sehingga memakan diri sedangkan orang memerintah mungkin tidak pun peduli!"


Kepemimpinan Bentuk Baru


Sama ada benar atau tidak tanggapan bahawa Malaysia kini menderita keruntuhan kepemimpinan (leadership breakdown), realitinya (dan ironinya) cukup menarik, iaitu Mohd Najib, sebagai orang nombor satu dalam kepemimpinan negara, telah berjaya meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang kuat dari segi kedudukan politik.


Dari segi pentadbiran, beliau mungkin tidak sekuat Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi beliau cukup kuat dari segi kedudukan politik; setidak-tidaknya pun secara perbandingan.


Justeru itu, sesiapa pun yang berhasrat menjatuhkan beliau atau mengharapkan kejatuhan beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri adalah bermimpi di siang hari atau lebih mirip kepada mengigau dan meracau.


Mohd Najib mustahil boleh dijatuhkan sebagai Presiden  Umno dan selagi beliau kekal Presiden Umno, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri.


Hanya Umno yang boleh menjatuhkan Mohd Najib, tetapi selepas lebih lima tahun beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, tidak wujud sebarang tanda bahawa ada pemimpin Umno yang mampu atau mahu mencabar beliau.


Yang terdekat adalah Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin. Tetapi beliau telah pun mengisytiharkan yang beliau "tired" (letih) dan tidak berminat mencabar Mohd Najib.


Antara alasan beliau adalah beliau tidak mahu dituduh tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana Perdana Menteri. Perlu diingatkan yang Muhyiddin adalah pemimpin tertinggi Umno yang tegas mahu Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum 2008.


Baru-baru ini, Muhyiddin membisikkan kepada saya yang beliau sedang mengalami "sindrom Timbalan Perdana Menteri" - merujuk kepada ramainya TPM yang tidak naik menjadi PM - (Tun) Dr Ismail Abdul Rahman (meninggal dunia), (Tun) Musa Hitam (meletak jawatan), (Tun) Abdul Ghafar Baba (meletak jawatan) dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (disingkir).


Main Selamat Baik Untuk Najib


Hatta Dr Mahathir yang begitu popular dan cemerlang pun tidak bernasib baik atau kuat dalam parti seperti Mohd Najib.


Tidak sampai lima tahun menjadi PM dan Presiden Umno, Dr Mahathir sudah mula dicabar, bermula dengan peletakan jawatan Musa sebagai TPM pada awal tahun 1986 dan dituruti pada tahun berikutnya oleh cabaran Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan jawatan Presiden Umno.


Tidak ada sebarang isyarat bahawa wujud watak-watak seperti Tengku Razaleigh dan Musa dalam kepemimpinan Umno hari ini yang boleh mengancam kedudukan Mohd Najib.


Mohd Najib sering disindir kerana kononnya main selamat (play safe). Apa yang kurang disedari adalah amalan main selamat itu menjadikan Mohd Najib kuat. Beliau tidak mencetuskan permusuhan dengan sesiapa dan berbaik-baik dengan semua. Amalan main selamat membawa tuah kepada beliau.


Dan sejak menjadi PM pada 4 April, 2009 beliau menggunakan kuasa politik, eksekutif dan ekonomi untuk meramaikan penyokong setia, menjinakkan penentang dan memusnahkan musuh. Hasilnya beliau melantik ahli kabinet, penasihat, pegawai khas dan perunding pelbagai kelas paling ramai dalam sejarah PM Malaysia.


Ramai pengkritik beliau di dalam dan luar Umno, termasuk veteran parti, telah menyerah kalah. Mereka sudah mati akal berdepan dengan "elegant silence" beliau. Mereka tidak tahu apa lagi yang boleh mereka lakukan demi Umno dan negara.


Siapa kata Mohd Najib lembek? Kalau ya pun, beliau sekadar mempamerkan sifat itu bagi mengelirukan dan memerangkap penentang-penentangnya - umpama mentadak (praying mantis) yang terenjut-enjut atas daun, tetapi sepantas kilat menerkam.


Nasib Mohd Najib luar biasa baiknya. Kalau kita percaya kepada laporan media massa dalam dan luar negara, hatta tragedi yang menyayat hati seperti penembakjatuhan MH17 pun menjadikan Mohd Najib lebih kuat dan popular.


Ke Mana Arah Tujuan Kita?


Buat waktu ini, kedudukan politik Mohd Najib nampak cukup baik, unggul dan tenteram. Tidak ada siapa yang boleh menjatuhkan beliau.


Dalam situasi itu, Umno yang dikatakan lemah dan Barisan Nasional yang tidak bermaya akan terus memerintah kerana Pakatan Rakyat tidak lagi kuat.


Pergolakan dalam PR berkaitan perebutan jawatan Menteri Besar Selangor di kalangan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat menguatkan lagi kedudukan Mohd Najib.


Apa yang membimbangkan adalah pengundi bukan lagi akan memilih di antara "the devil that they know" dengan "the devil that they don't know" seperti diungkapkan oleh Dr Mahathir ketika PRU 2013, sebaliknya memilih antara yang terkuat di kalangan yang lemah.


Natijahnya, kalau kemampuan kepemimpinan negara yang diterajui oleh Mohd Najib menguruskan ekonomi hambar, keselamatan tidak terjamin dan kedaulatan negara dicerobohi maka yang akan menderita adalah rakyat jelata.


Mohd Najib kuat, tetapi rakyat jelata belum tentu kuat juga.

Pakatan dijangka kalah jika pilihanraya mengejut di Selangor, PAS mungkin ‘lenyap’

Posted: 31 Jul 2014 10:08 PM PDT

tony pua

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Sekiranya pilihanraya mengejut diadakan di Selangor, Pakatan Rakyat dikhuatiri tewas, namun PAS kalah teruk, tidak akan mendapat sokongan dan akhirnya lenyap dari peta politik Selangor.

Demikian bacaan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam analisanya terhadap permasalahan yang sedang melanda pentadbiran negeri itu.

Senario itu digambarkan seandainya kemelut jawatan Menteri Besar Selangor tidak mencapai penyelesaian serta kemungkinan berlakunya pilihanraya negeri dengan jangkaan kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

"Jika DAP dan PKR mahu menggantikan Tan Sri Khalid, manakala PAS mahu mengekalkan beliau dengan sokongan UMNO, Dewan Negeri akan terbelah dua tanpa majoriti jelas," katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

"Dalam keadaan sedemikian, Tan Sri Khalid mungkin akan meminta supaya pilihanraya diadakan di Selangor," ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Jika pilihanraya mengejut diadakan, parti-parti komponen Pakatan Rakyat dijangka akan mengalami kekalahan; namun parti yang paling teruk terjejas ialah PAS.

Menurut beliau sekiranya PKR dan DAP mengalami kemerosotan sokongan 3% undi Melayu dan 10% undi bukan Melayu, kedua-duanya dijangka kehilangan kerusi di Batu Tiga, Ijok, Kota Anggerik, Taman Medan dan Pelabuhan Klang di pihak PKR; manakala Kuala Kubu Baru dan Sungai Pelek bagi DAP.

Kerusi Pelabuhan Klang adalah kerusi yang disandang Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam senario paling optimistik tanpa kemerosotan undi Melayu untuk PAS dan 15% penurunan sokongan bukan Melayu, parti tersebut dijangka kehilangan 7 kerusi iaitu Sabak, Gombak Setia, Dusun Tua, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjong Sepat.

"Sekiranya sokongan bukan Melayu merosot sehingga 25% akibat kontroversi PAS, parti tersebut akan turut kehilangan Taman Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Seri Serdang dan Paya Jaras," jelas Tony sambil menambah bahawa PAS hanya akan berjaya mengekalkan tiga kerusi.

Malah katanya lagi, tiga kerusi ini masih tidak selamat walaupun undi Melayu merosot sekadar 5% manakala undi bukan Melayu merudum sehingga 30%, PAS akan pastinya 'bungkus'.

Tony turut menegaskan bahawa sekiranya pilihanraya mengejut diadakan, Pakatan Rakyat pastinya tidak akan mampu mengekalkan kedudukan mentadbir negeri, manakala yang akan menang besar pastilah Umno.

"Kedegilan PAS menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengundang pilihanraya mengejut yang akan menyebabkan Pas kalah teruk serta mengembalikan Selangor kepada Umno," tegasnya lagi.

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah bahawa Pas mestilah bersama-sama semangat Pakatan demi menunaikan janjinya kepada rakyat Selangor. – Roketkini.com

Tembak hanya untuk 'suka-suka'

Posted: 31 Jul 2014 10:04 PM PDT


Tembak hanya untuk 'suka-suka'


KUALA LANGAT – Tiga lelaki ditahan berhubung kejadian tembak pistol angin di Jalan Jugra di hadapan Taman Banting Baru, di sini, kelmarin.

Menurut jurucakap polis, kesemua individu berusia lingkungan 25 hingga 34 tahun ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian tidak berunsurkan dendam tetapi bermotif hanya 'suka-suka'.

Menurut jurucakap itu, pihaknya masih menyiasat motif kejadian sebenar dan selaras senapang yang digunakan untuk menembak mangsa dirampas bagi membantu siasatan.

"Kejadian ini turut menyebabkan seorang kerani sekolah berusia 31 tahun cedera di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata kerana memiliki senjata tanpa lesen," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Rooslan Radzi mengesahkan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.54 petang kelmarin, seorang lelaki hampir maut apabila terkena peluru pistol angin di kepala ketika berada dalam kereta di bahagian belakang sebelah kiri.

Pantau ahli, elak cetus perpecahan

Posted: 31 Jul 2014 10:00 PM PDT


 Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM - Pas Pusat perlu memantau dan memberi amaran ke atas mana-mana pihak dalam parti supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam Pas dan Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Pas Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, ia adalah selari dengan usaha dan jaminan Pas yang sentiasa komited untuk bersama Pakatan dalam mengurus tadbir negeri.

"Kalau tidak dipantau dan ditegur, ia akan jadi satu amalan kepada pihak tersebut untuk terus menggunakan aplikasi media sebagai satu saluran untuk memhentam dan menghancurkan parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas analisis Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui sistem aplikasi WhatsApp yang tersebar kepada umum sehingga membawa kepada kontroversi antara Pas dan PR.

Dalam perbincangan WhatsApp itu, Zuhdi melontarkan analisis senario yang menunjukkan Pas masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama dengan Umno.

Beliau dalam pada itu turut meminta Pas Pusat untuk memulakan siasatan terhadap kenyataan analisis senario yang dikemukakan Zuhdi.

"Pas Pusat perlu membuka kertas siasatan dalaman terhadap kes 'print screen' maklumat perbincangan dalaman di ruangan Whatsapp AJK PAS Pusat melibatkan mesej dari Dr Zuhdi Marzuki.

"Jika mahu ketengahkan pandangan atau kritikan, gunakan saluran yang betul seperti Majlis Setiausaha dan Majlis Pimpinan Presiden. Jika guna media sosial, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan," katanya lagi.

Ketua cabang PKR gesa Abdul Khalid dikena tindakan

Posted: 31 Jul 2014 09:58 PM PDT


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Lima ketua cabang PKR hari ini menggesa pimpinan tertinggi parti untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat semakin jelas membelakangkan parti sejak kebelakangan ini.

Menurut Ketua Cabang Tanjung Karang, Mohd Yahya Mat Sahri,  saranan Abdul Khalid agar Adun PR membuat undi tidak percaya terhadap beliau disifatkan sebagai satu tindakan yang bertujuan memalukan parti dan wajar diambil tindakan.

"Kami minta pemimpin parti untuk mendengar suara akar umbi yang sudah jelak dengan permainan politik ala Umno yang dimainkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita sedia maklum, tindakan-tindakan beliau sejak akhir-akhir ini jelas membelakangkan pendirian dan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat dan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Oleh itu, kami gesa pihak pemimpin parti untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap beliau ," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut meminta kesemua ahli parti untuk menyokong penamaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Menurutnya lagi, Azizah yang selaku Presiden PKR adalah calon yang paling layak  untuk menjadi menteri besar berbanding Adun lain.

"Semua anggota parti harus mengenepikan perbezaan pendapat dan bersatu hati untuk menyokong keputusan Majlis Pimpinan Pusat yang menamakan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 21Julai lalu kerana beliau adalah antara pemimpin tertinggi PKR," katanya lagi.

Antara Ketua Cabang yang turut menyokong kenyataan tersebut termasuklah Ketua Cabang Sabak Bernam, Abu Talip Bujang; Ketua Cabang Sungai Besar, Mohamad Fauzi Ahmad; Ketua Cabang Kapar, Azizi Ayob dan Ketua Cabang Sepang, Burhan Aman Shah.

[VIDEO & GAMBAR] 100,000 Rakyat Britain Berarak Sokong Rakyat Palestin

Posted: 31 Jul 2014 09:49 PM PDT

KELAB GREENBOC


 

Untuk hujung minggu yang kedua berturut-turut, puluhan ribu penunjuk perasaan telah keluar berarak di jalan-jalan Kota London pada hari Sabtu lepas, 26 Julai, untuk menunjukkan sokongan mererka terhadap penduduk Gaza dan Palestin.

Sokongan yang berkembang dengan pesat - dengan pendapat awam - telah meninggalkan jauh ke belakang para ahli politik dan media tradisional yang masih terperangkap dengan sokongan mereka terhadap penjajah, Israel.

Penunjuk perasaan dan pemidato yang menggerakkan orang ramai pada hari Sabtu lalu mencerminkan ketebalan dan kepelbagaian sokongan untuk perjuangan rakyat Palestin di UK, dan, dari segi pemidato, wujud kesediaan baru di kalangan arus perdana untuk bersuara bagi pihak rakyat Palestin.

Anggaran rasmi polis perarakan yang bermula di kedutaan Israel dan terus melepasi kediaman Perdana Menteri menuju ke Parlimen, dianggarkan 45,000 orang.

Walau bagaimanapun, anggaran polis terhadap demonstrasi sedemikian biasanya diberikan angka yang rendah, sedangkan bilangan yang memenuhi Parlimen Square, Whitehall dan Westminster Bridge di perhimpunan terakhir telah mencecah 100,000.


Di luar Parlimen pula, bintang rock Brian Eno dan Dave Randall berucap kepada orang ramai, bersama-sama penyair dan penulis buku kanak-kanak, Michael Rosen serta pelawak Jeremy Hardy itu. Wakil-wakil dari kesatuan sekerja utama UK juga berucap menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Sokongan untuk boikot

Lesley Mercer dari Kongres Kesatuan Sekerja (TUC), sebuah badan yang mewakili 54 kesatuan gabungannya dengan 6.2 juta orang pekerja di UK, menyatakan sokongan yang TUC terhadap rakyat Palestin di Gaza dan mengulangi sokongan rasmi TUC mengenai pemboikoton barangan dari Israel.

Seruan untuk pemboikotan, penjualan dan sekatan telah dibuat oleh ramai pemidato.

Dave Randall daripada kumpulan Faithless memberitahu orang ramai yang berkumpul di luar Parlimen: "Kali terakhir Faithless mengadakan pengembaraan sedunia, kami semarakkan budaya pemboikotan Israel. Saya amat gembira untuk melihat rakan saya dan rakan-rakan penyanyi, Sinéad O'Connor, menyuarakan beliau juga akan memboikot Israel. Mesej saya kepada rakan artis saya adalah untuk menyertai pemboikotan Israel. Jangan layan apartheid Israel. "

Brian Eno juga menggesa pembpoikotan itu. Beliau berkata ia adalah "perkara-perkara kecil" yang dia melihat pada lawatannya ke Tebing Barat yang membuat dia menyedari skala besar pendudukan Israel.

"Ia adalah perkara-perkara seperti seluruh kampung telah dipindahkan dan tinggal di dalam gua supaya tiga keluarga peneroka Israel boleh mengambil tanah mereka dan dilindungi oleh tentera," Eno berucap di perhimpunan tersebut. "Pemboikotan akan membuat perbezaan. Ia adalah satu-satunya cara yang boleh menggerunkan Israel."

Walter Wolfgang, seorang aktivis sosialis dan keamanan berusia 91 tahun berkelahiran Jerman yang tidak berupaya untuk mendaki tangga ke pentas, namun berucap dari lantai, menggemakan kembali kata-kata yang diucapkan oleh pemidato-pemidato di atas pentas.

"Saya berdiri di sini untuk membantah kebiadaban Israel, dan saya berbuat demikian di atas nama seorang Yahudi. Ini adalah satu pencerobohan terang-terangan oleh kerajaan Israel, dan ia perlu dibalas dengan demikian juga. Kita perlu ambil langkah-langkah ekonomi. Kita perlu tamatkan pengepungan Gaza. Kita perlukan sebuah Palestin yang bebas," iystiharnya.

Sekatan Senjata Israel

Ola, seorang anak muda Palestin dari Gaza yang rumahnya telah dibom oleh Israel, telah berucap pada perarakan pada hari Sabtu lau semasa Kempen Solidariti Palestin. menyatakan:

Bukan sahaja mereka telah membunuh lebih daripada 1,000 orang, mereka juga telah memusnahkan 55 peratus daripada jalur tanah yang kecil ini. Mereka telah musnahkan yang sedikit bumi kami yang masih tertinggal ini. Apa yang mereka belum musnahkan adalah harapan dan tentangan yang masih ada di dalam jiwa setiap rakyat Palestin.

Ia (Israel) adalah sebuah rejim yang telah dibina di atas penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramairakyat Palestin. Mereka berkata bahawa dari kalangan rakyat Palestin yang tua akan mati dan yang muda akan lupa. Tetapi, saya seorang anak muda Palestin, dan saya tidak pernah melupainya.


Di luar kedutaan Israel, sebelum perarakan dileraikan, Owen Jones, seorang wartawan dan pengulas, memberitahu penunjuk perasaan: "Hari ini kita menyatakan perpaduan kami yang tidak berbelah bahagi untuk rakyat Palestin. Ini bukan konflik, ini bukan peperangan, tetapi ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Satu pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin."

Sarah Colborne daripada Kempen Solidariti Palestin menekankan salah satu daripada tuntutan utama dalam perarakan dan perhimpunan - hentikan penjualan senjata kerajaan UK kepada Israel.

"Ia amat memalukan, ia adalah menjijikkan dan ia adalah keterlaluan apabila Britain menjual komponen kepada Israel untuk dijadikan senjata," katanya kepada orang ramai. "Ia amat memalukan apabila senjata yang Israel gunakan didalam ujian ke atas rakyat Palestin telah dibeli pula oleh Britain. Perdagangan senjata dengan Israel perlu ditamatkan sekarang juga."

Kibaran Bendera Palestin

Demonstrasi di London pada hujung minggu yang lepas telah dianjurkan sebagai sebahagian daripada gelombang protes bagi menyokong Gaza di seluruh UK pada hari Sabtu, dari Edinburgh di utara ke Hastings di pantai selatan, dan dari Cardiff di barat ke Cambridge di sebelah timur. Pada 19 Julai, kira-kira 100,000 orang telah mengambil bahagian dalam perarakan melalui London bagi menyokong Palestin.

Kepelbagaian masyarakat yang menyokong perjuangan rakyat Palestin juga berkembang. Pada 20 Julai, sebuah band terkenal "Massive Attack"menggunakan Pesta Longitud di Dublin menyuarakan sokongan kuat untuk Gaza. Mesej yang tertera di satu latar belakang yang besar berbunyi: "Gaza telah diduduki atau di bawah sekatan sejak 1948"

Dan sepucuk surat menuntut sekatan senjata ke atas Israel - yang telah dihantar ke kediaman Perdana Menteri pada hari Jumaat oleh Kempen Solidariti Palestin - telah ditandatangani bukan hanya oleh ahli-ahli Parlimen dan ahli akademik, tetapi ramai tokoh-tokoh budaya yang terkenal juga.

Penandatangannya termasuk bintang rock Peter Gabriel dan Ken Loach, dan juga pereka Bella Freud, wartawan dan aktivis Jemima Khan, pemuzik Bobby Gillespie daripada Primal Scream, Robert Del Naja dari Massive Attack, Brian Eno dan Bryan Adams, penulis-penulis Will Self, Hanif Kureishi, Ahdaf Soueif, Esther Freud, Laura Bailey dan William Dalrymple, serta pelakon David Morrissey, Maxine Peake dan Alexei Sayle.

Dua dewan bandar di bandar-bandar England - Preston dan Bradford - kini mengibarkan bendera Palestin bersama bendera tempatan mereka.

Orang tidak lagi takut untuk bersuara untuk hak asasi manusia Palestin, dan kekuatan serta keluasan sokongan yang telah dilihat di seluruh UK baru-baru ini menyerlahkan tanda-tanda tersebut. Ia amat memalukan para ahli politik dan organisasi media arus perdana yang, dengan agenda pro-penjajah mereka, menunjukkan bahawa diri mereka sebagai anakronisme (hal ketidakcocokan dengan zaman) yang tidak dipedulikan. -electronicintifada.net/Terjemahan bebas: GB




SILA LIHAT VIDEO DI BAWAH :-

VIDEO 1
VIDEO 2
VIDEO 3
VIDEO 4

Umno Nilai Cadangan Dr Mohd Zuhdi

Posted: 31 Jul 2014 09:42 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
ALOR GAJAH: Umno akan menilai daripada pelbagai sudut sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai cadangan Pengarah Operasi, Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki supaya PAS Selangor keluar daripada pakatan pembangkang dan membentuk kerajaan negeri dengan Umno.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata cadangan itu mungkin bersifat peribadi dan tiada hubungan dengan parti PAS.

"Kita dah banyak kali mengusulkan dengan PAS daripada dahulu (untuk bekerjasama) tetapi tidak mendapat sambutan yang baik.

"Kali ini walaupun dimulakan dalam kalangan anggota PAS sendiri, terserah kepada pucuk pimpinan PAS untuk menilai suara akar umbi mereka...kita (Umno) tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Masjid Tanah di sini, Khamis.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perbincangan melalui mesej WhatsApp Dr Mohd Zuhdi dengan anggota jawatankuasa PAS yang mencadangkan agar PAS Selangor keluar daripada pakatan pembangkang dan membentuk kerajaan negeri bersama Umno.

Ab Rauf yang juga Ketua Umno bahagian Masjid Tanah bagaimanapun berkata Umno sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Bas Kilang Enggan Bayar Kadar Tol Baharu, Pekerja Jalan Kaki Lintasi Tambak Johor

Posted: 31 Jul 2014 09:36 PM PDT


Oleh: DESIREE TRESA GASPER

 
 
 
 
JOHOR BARU: Ratusan pekerja kilang Malaysia yang menuju ke Singapura terpaksa berjalan kaki merentasi Tambak Johor selepas bas kilang enggan melalui pusat pemeriksaan berikutan pelaksanaan kadar tol baharu pada Jumaat.

Eksekutif Front Office, Adrian Dinesh, 30, berkata ia kelihatan seolah-olah maraton sedang diadakan di sepanjang Tambak Johor.

"Ratusan pekerja terpaksa berjalan kaki kerana bas tidak mahu menyeberangi pusat pemeriksaan," katanya.


Beliau berkata, sekumpulan individu mula berjalan menyeberangi Tambak Johor seawal pukul 5 pagi.

Ramai pihak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan kadar tol dengan berkata kenaikan mendadak lebih 400% itu terlalu tinggi.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada minggu lalu menetapkan bermula 1 Ogos ini, pengguna memasuki Singapura menerusi Tambak Johor perlu membayar RM16.50 untuk bayaran tol keluar masuk  di  Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.

EDL adalah lebuh raya yang dibina untuk membantu menyuraikan lalu lintas menuju ke bandar raya Johor Baru.

Kenderaan yang menggunakan EDL tidak perlu membayar tol bagi jarak perjalanan sepanjang lapan kilometer di dalam kawasan Johor Bahru, Johor. 
 


Malah kenderaan yang tidak melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru boleh terus menggunakan lebuh raya itu secara percuma.

Kadar tersebut dilaksanakan secara elektronik di kedua-dua arah menggunakan kad Touch 'n' Go, dengan tiada lagi kaunter bayaran tunai disediakan.

Kadar tol arah masuk Malaysia kini adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4,80 dan RM7.80 masing-masing untuk kenderaan kelas 1 hingga kelas 5.

Kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 bermula Jumaat.

Setiap motosikal dikecualikan daripada membayar tol.
 

Khalid Masih Perlukan Mandat PKR Untuk Terajui Selangor

Posted: 31 Jul 2014 09:33 PM PDT

MSTAR ONLINE


Abdul Khalid Ibrahim.
 
 
 
KLANG: Dengan percaturan yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang' kini dilihat semakin meruncing, rundingan sedang giat dilakukan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin berkata, usaha sedang dimulakan untuk membawa Khalid dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke meja rundingan.

Rundingan untuk mempertemukan mereka diatur sebelum Hari Raya tetapi ditangguhkan kerana cuti perayaan.

"Saya harap perbincangan ini akan diteruskan semula dalam masa terdekat," kata Azman.

Azman berkata, beliau merupakan perantara yang mengaturkan perbincangan selain menyampaikan komunikasi antara Khalid dan Anwar.

"Saya berusaha keras agar perbincangan itu dapat diadakan supaya Tan Sri (Khalid) akan diberi peluang untuk mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar," kata Azman.

Beliau berkata, walaupun Khalid menerima sokongan luar supaya mengekalkan jawatannya, beliau memerlukan persetujuan PKR untuk terus menerajui Selangor.

"Tan Sri merupakan ahli PKR, jadi amat penting beliau perlu mendapat mandat dari PKR untuk kekal," kata Azman.

Beliau berkata isu ini bolej diselesaikan secara baik jika ia dibincangkan secara dalaman bersama parti.

"Keadaan boleh kembali reda dan orang ramai tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti dan Pakatan Rakyat," katanya.

Jika rundingan gagal diteruskan, Azman berkata, Khalid perlu menunggu hasil perbincangan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 10 Ogos ini.

Mesyuarat itu dijangka mencapai kata putus berhubung kedudukan Khalid.

PKR mahu Khalid menyerahkan jawatannya kepada Dr Wan Azizah.

DAP bersetuju dengan pertukaran itu tetapi pemimpin PAS tidak setuju dengan cadangan tersebut.

Menurut Azman, tindakan Khalid yang dilihat bertemu dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kunjungan sempena Hari Raya.

"Ia hanya kunjungan Hari Raya dan tidak lebih daripada itu," katanya.

NGO: Polis masih mahu notis untuk perhimpunan

Posted: 31 Jul 2014 05:29 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


NGO Lawyers for Liberty (LFL) memberi peringatan kepada polis bahawa peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sudahpun diisytihar tidak mengikut perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan.

Peringatan itu timbul ekoran amaran oleh polis ke atas penganjur satu perhimpunan di Brickfields semalam, bahawa tindakan boleh dikenakan ke atas mereka mengikut APA.

Perhimpunan itu disertai ratusan individu yang berang dengan seorang penceramah, Shahul Hamid, atas kenyataan dalam satu video, didakwa menghina penganut Hindu.

Video ceramah di sebuah surau di Shah Alam itu timbul semula baru-baru ini.

Pengarah eksekutif LFL Eric Paulsen berkata beliau terkejut apabila mengetahui mengenai amaran tersebut, yang dikeluarkan oleh pembantu sekretariat ketua polis negara, ACP Asmawati Ahmad, kerana kumpulan tersebut tidak mengeluarkan notis kepada polis terlebih dahulu.

Katanya, polis sepatutnya tahu bahawa keputusan Mahkamah Rayuan telahpun memutuskan bahawa Seksyen 9(5) yang memperuntukkan denda RM10,000 sekiranya penganjur tidak memberi notis 10 hari sudahpun dianggap tidak mengikut perlembagaan.

Oleh itu, peruntukan berkenaan dianggap terbatal dan tidak sah, katanya lagi yang merujuk kepada kes ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad lawan Pendakwa Raya.

Paulsen berkata Asmawati tidak sepatutnya mendakwa tidak tahu mengenai perkara itu kerana pegawai berkenaan sudahpun menerima penghakiman dalam kes Nik Nazmi.

"Kami ingin mengingatkan polis bahawa keputusan kes Nik Nazmi itu bersejarah, dan menjadi penghakiman paling pentingan dalam isu hak asasi sejak Merdeka – ia memberi mesej paling jelas bahawa semua rakyat Malaysia boleh berhimpun dengan  aman," katanya lagi.

Enam empangan di S'gor lepasi paras minimum

Posted: 31 Jul 2014 05:25 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Paras air di enam daripada lapan empangan di Selangor telah melepasi paras minimum 55 peratus, demikian menurut lamanweb Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Enam empangan terbabit ialah Empangan Batu yang mencatatkan jumlah takungan tertinggi iaitu 82.99 peratus, diikuti Semenyih
(77.87 peratus), Klang Gates (70.66 peratus), Tasik Subang (67.14 peratus) Langat (63.26 peratus) dan Kolam Takungan Sungai Labu (59.57 peratus).

Bagaimanapun, menurut statistik di lamanweb LUAS, setakat jam 8 pagi ini, paras air di dua lagi empangan masih di bawah paras minimum, iaitu Sungai Selangor (33.46 peratus) dan Sungai Tinggi (47.39 peratus).
  
Pada Februari lepas kerajaan negeri Selangor melaksanakan program catuan air secara bergilir di seluruh negeri bagi mengimbangi bekalan air di beberapa buah kawasan ekoran musim kering melampau.

Pelan catuan bekalan air itu ditamatkan pada April lepas.- Bernama

KDN nafi dakwaan M'sia tempat latihan Hamas

Posted: 31 Jul 2014 05:24 PM PDT

MALAYSIAKINI


Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan sebuah portal berita Israel kononnya Malaysia adalah tempat latihan untuk pejuang Hamas di Palestin.
  
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia tidak pernah menganjur sebarang latihan ketenteraan untuk mana-mana pihak selain dari negara-negara yang mempunyai perjanjian secara formal.
  
"KDN tidak pernah melatih mana-mana pejuang dari Hamas secara sulit melainkan ada program latihan di kalangan negara-negara yang mempunyai perjanjian secara formal dengan kita," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata laporan yang tidak berasas itu mempunyai niat jahat bagi memburukkan imej negara di mata dunia.
  
Sebuah akhbar dalam talian The Jerusalem Post semalam memetik kononnya seorang anggota Hamas Cell mengakui Malaysia adalah tempat latihan menyeludup dan membuat serangan sempadan negara dengan menggunakan payung terjun.
  
Laporan itu juga memetik kononnya anggota Hamas terbabit memberitahu Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) bahawa mereka turut dilatih mengenai cara menculik anggota tentera dan ia adalah sebahagian persiapan Hamas untuk menentang serangan darat pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Semenanjung Gaza.
  
Wan Junaidi berkata berita tidak sahih itu disifatkan sebagai satu dakyah jahat Shin Bet ekoran Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman Israel di Gaza.
  
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.- Bernama

Pemuda PAS gesa parti siasat maklumat bocor

Posted: 31 Jul 2014 05:19 PM PDT

MALAYSIAKINI


Pemuda PAS menggesa agar kes perbincangan dalaman PAS Pusat melalui aplikasi WhatsApp yang dibocorkan kepada orang ramai disiasat segera.

"PAS Pusat didesak agar membuka kertas siasatan dalaman terhadap kes 'print screen' maklumat perbincangan dalaman di ruangan Whatsapp AJK PAS Pusat melibatkan mesej dari Dr Zuhdi Marzuki.

"Hukuman yang bersesuaian mengikut lunas-lunas perlembagaan parti perlu diambil segera sebaik sahaja pesalah dikenal pasti," kata ketuanya, Suhaizan Kaiat dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa PAS agar memantau dan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Pada masa sama, beliau menggesa agar semua pihak dalam Pakatan Rakyat menggunakan saluran Majlis Setiausaha atau Majlis Presiden untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, dan bukan melalui media sosial.

Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila satu cetakan skrin perbincangan kumpulan WhatsApp anggota jawatankuasa PAS Pusat tersebar.

Perbincangan itu menyaksikan Dr Mohd Zuhdi membentangkan "analisis senario" kemungkinan PAS meninggalkan Pakatan dan mengukuhkan kuasa politik Melayu Islam.

Tiada ulasan: