Selasa, 5 Ogos 2014

.

.

.


Pakatan tidak berkompromi pada prinsip dasar

Posted: 05 Aug 2014 02:31 AM PDT

KENYATAAN                                                                                       

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat tidak akan berpecah semata-mata kerana pilihan calon MB, sebaliknya ia boleh dan akan berpecah sekiranya ada parti komponen yang sanggup berkompromi dalam prinsip-prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan dan kebertangganjungawaban dalam penmgurusan kerajaan.

Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan akhbar yang dikirimkan ke blog ini sekejap tadi. Berikut adalah kenyataan penuhnya:

Pakatan tidak akan berkompromi pada prinsip-prinsip dasar

Banyak telah diperkatakan semenjak beberapa minggu lalu akan kemungkinan pecahnya Pakatan Rakyat akibat pergeseran di antara PKR dan PAS berkenaan dengan pilihan calon Menteri Besar Selangor.

Ingin saya menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berpecah semata-mata kerana pilihan calon Menteri Besar. Sebaliknya, PR boleh dan akan hanya berpecah sekiranya ada parti komponennya yang sanggup berkompromi dalam prinsip-prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban di dalam pengurusan kerajaan.

Atas prinsip-prinsip inilah Pakatan Rakyat dizahirkan sebagai sebuah kerajaan alternatif untuk rakyat. Prinsip- prinsip ini juga telah dicabuli oleh kerajaan BN ketika ianya berkuasa pada lima dekad yang lalu.

Keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 telah menunjukkan dengan jelas bahawa perjuangan PR yang berpaksikan di atas prinsip-prinsip ini telah diterima baik oleh rakyat yang rata-ratanya mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih, berprinsip dan bersungguh-sungguh dalam membela kepentingan rakyat.

Dalam usaha murni ini, gabungan Pakatan bersama dengan semua yang menyokong usaha ini telah bersama- sama menggembleng tenaga pada PRU ke-13 dalam menghadapi cabaran amat hebat untuk terus memberikan harapan kepada rakyat Malaysia. Usaha kita tidak sia-sia, kerana kita telah memenangi jiwa dan minda majoriti pengundi Malaysia walaupun kita dihalang daripada membentuk sebuah kerajaan.

Perkara penting yang perlu difahami adalah sebuah pakatan pembangkang yang kuat telah berjaya menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan mengekang sebahagian daripada keborosan mereka. Bagaimanapun, perjuangan untuk sebuah kerajaan yang benar-benar bersih dan telus masih perlu diteruskan.

Kekuatan ini tidak boleh dibina atas dasar keinginan dan impian semata, lebih bahaya lagi sekiraya kekuatan ini dilandaskan dengan perasaan curiga, dendam dan irihati. Ianya perlu dibina atas iltizam dan kenyakinan, dan inilah kekuatan yang telah mendorong rakan kongsi PR untuk berjuang bersama-sama pada PRU 13 yang lalu.

Justeru, kita perlu menyatukan kekuatan ini untuk terus kekal bersama dan terus menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan kita. Setiap parti di dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama. Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar.

Persefahaman akan hak lantikan MB Selangor telahpun wujud di kalangan pimpinan PR, sepertimana PKR juga telah bersetuju akan hak parti-parti lain dalam membuat keputusan yang sama di negeri-negeri lain. Persefahaman ini wajib dipatuhi.

Kita yakin bahawa isu MB Selangor ini akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat Pakatan Rakyat, samada diselesaikan melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihanraya. Namun begitu, tidak ada sebarang keperluan untuk mengadakan pilihanraya kerana Barisan hanya ada 12 kerusi di kalangan 56 kerusi DUN dan PRU-13 hanya diadakan kira-kira 15 bulan yang lalu.

Walaubagaimanapun, sekiranya pilihanraya terpaksa dilakukan, Pakatan telah bersedia untuk menghadapi para pengundi dan berkeyakinan penuh bahawa rakyat Selangor akan sekali lagi menyokong kita.

Kita juga bimbang akan nada perkauman dan perpecahan yang disuarakan oleh segelintir pimpinan kecil Pakatan yang jelasnya mencabuli nilai-nilai asas PR. Kami berpendapat bahawa tindakan disiplin yang sewajarnya perlu diambil ke atas golongan ini.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa sekiranya beberapa keputusan sukar perlu dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambilkira kepentingan rakyat dan dibuat untuk maslahah atau kepentingan rakyat. Samada kita hilang sokongan akibat pendirian yang kita ambil, kita akan terus beristiqamah dan komited dengan matlamat untuk membentuk Malaysia yang lebih adil, bebas korupsi dan benar-benar demokratik.

Jaminan kita adalah bahawa kita tidak akan sesekali menyimpang daripada nilai-nilai asas dan kita akan terus memastikan kepentingan rakyat tetap didahulukan.

Kita yakin dan percaya bahawa peristiwa ini akan terus mematangkan dan memperkasakan kita. Rakyat telah menaruh kepercayaan kepada kita dan kita wajib memastikan kita wajar dipercayai dan kepercayaan rakyat jangan kita khianati.

Walau apapun yang bakal berlaku, Pakatan, bersandarkan tekad rakyat, akan terus bertahan! Insya Allah

Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
5 August 2014 [wm.kl.5:29 pm 05/08/14]

Mungkinkah pilihan raya baru di Selangor?

Posted: 05 Aug 2014 01:54 AM PDT

MENYELAMI ISU                                                                               

Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid Ibrahim hari ini. Surat tunjuk sebab itu berhubung kenyataan Khalid yang mengingkari keputusan parti yang mahu beliau berundur sebagai MB Selangor dan diganti dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar: Khalid degil..?
Khalid: Katalah apapun..
Mesyuarat MPT parti itu pada 21 Januari memutuskan yang Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengganti Khalid sebagai MB Selangor. Bagaimana pun Khalid dalam satu kenyataan pada 22 Julai menjelaskan yang dia tidak akan berundur sebagai MB. Kenyataan Khalid itu sebagai mengingkari arahan parti.

Ekoran kenyataan itu Lembaga Disiplin parti yang bermesyuarat 3 Ogos telah mengarahkan agar surat tunjuk sebab diberikan kepada Khalid Ibrahim. Khalid diminta menjawab surat tunjuk sebab itu pada 8 Ogos, dua hari sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan dijangka diadakan pada 10 Ogos yang akan menentukan sama ada krisis di Selangor akan tamat ataupun menjadi lebih parah.


Perkembangan itu meletakkan isu Khalid Ibrahim yang degil daripada meletak jawatan MB menjadi semakin tegang dan suspen serta menyerabutkan kepada rakyat. Parti itu nampaknya sudah tidak dapat bersabar lagi dengan telatah Khalid yang keras kepala dan tidak mahu mengikut arahan parti dimana membawa kepada kemungkinan beliau akan dipecat daripada PKR.

Khabarnya Khalid bukan saja ingkar dengan ketetapan parti tetapi juga tidak sedia memenuhi pertemuan dengan Presiden parti Dr Wan Azizah bagi mencari jalan damai dan tenang berhubung isu yang "geliwat" kini. Malangnya Khalid atas nasihat para penasihat 25 persen melarang Khalid daripada berjumpa presiden?

Persoalan timbul kini apakah kalau beliau dipecat, beliau akan meletak jawatan sebagai MB Selangor secara terhormat kerana beliau tidak lagi menjadi ahli parti? Kalau bagi seorang ada air muka dan moral dia akan meletak jawatan kerana dia bukan ahli parti lagi. Ini yang ditunggu dan menjadi suspen. Atau pun Khalid akan terus persoal pemecatanya dan akan membawa ke mahkamah untuk mendapat pengistyharan menerusi undang-undang? Dan beliau akan berdalih dia akan menjadi MB sehingga mahkamah menentukan keadaanya? Tidak mustahil.

Khalid boleh untuk tidak menghiraukan pemecatan itu dan terus menjadi MB, sebab kedudukannya sebagai MB terletak ditangannya, apa lagi kalau Sultan Selangor merestuinya. Ada dakwaan mengatakan Sultan berkenan kepadanya malahan meminta agar Khalid terus menjadi MB? (Bagaimana pun sehingga kini tidak terkeluar sepatah pun hal itu dari mulut Sultan. Molek juga kalau sultan sendiri bertitah secara nyata dan jelas).

Khalid boleh berkeras untuk tidak meletakkan jawatan MB walaupun dia bukan lagi menjadi ahli parti yang memberi mandat kepadanya. Bagaimana pun dari segi moral Khalid harus melepaskan jawatan secara baik. Apabila parti sudah hilang kepercayaan dan membuat arahan dan keputusan Khalid wajib mematuhinya kerana dalam kedudukan ini (organisasi) parti lebih berkuasa dan berhak ke atas Khalid.

Apakah Khalid ada moral dan seorang yang ada wisdom? Dalam politik soal moral sesuatu yang dianggap sebagai subjektif. Selalunya pemain politik tidak menghiraukan soal moral. Kemuliaan moral dalam politik meletakkan seseorang itu akan tewas sebab politik itu sendiri digerakkan tanpa moral yang mulia. Banyak orang politik meniru perangai dan fiil Inchek Ibrahim Ali.

Selain itu berbagai kemungkinan lain boleh berlaku dengan perkembangan terbaru itu. Khalid atas kapastitinya selaku MB, dia boleh menasihati Sultan agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula. Kalau Khalid ingin berbuat demikian mestilah sebelum beliau dinafikan kedudukannya di DUN dengan usul undi tidak percaya.

Atau ia boleh juga tidak melakukan begitu dengan membiarkan keadaan di Selangor tidak menentu sehingga berlaku undi tidak percaya di DUN Selangor. Bagi pihak PKR pula sekiranya Khalid tetap berdegil, jalan yang ada untuk memastikan Khalid nyah dari kerusi MB ialah dengan mengemukakan undi tidak percaya di DUN Selangor. Khalid boleh menjadi lebih jahat dengan membiarkan usul undi tidak percaya dilakukan ke atasnya. Alang-alang menjadi jahat biar sampai menjadi "maling kemaling gemering".

Kalau pun undi tidak percaya diluluskan, Khalid boleh terus berdegil. Sebagai seorang yang tidak ada moral dan maruah dia boleh jadi MB yang tidak sah dari sisi perlembagaan. Beliau boleh mengheret keadaan menjadi kacau bilau sehinggakan berlaku huruhara di Selangor yang akhirnya satu tindakan meMAGERANkan Selangor boleh dilakukan. Sejarah kolaborasi politik seperti pernah berlaku di Kelantan boleh dicuba di Selangor.

Kalau itulah bakal dilakukan Khalid, elok beliau awal-awal lagi menasihati Sultan membubarkan Dewan. Pasti juga kalangan pakar perlembagaan dan perundangan akan mempertikaikan apakah seorang MB yang sudah tidak sah, masih ada kuasa untuk menasihati Sultan membubarkan dewan? Khalid tidak boleh menasihati setelah beliau hilang hak dan kuasa.

Kemungkinan besar krisis membabitkan Khalid dan kedegilannya itu membawa kepada pembubaran DUN Selangor dan pilhan raya semula diadakan. Hal ini disinggung oleh Anwar Ibrahim. Dalam satu komentar kecilnya Penasihat Umum PKR itu sudah membayangkan akan hal ini dengan menyatakan kesediaan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya di Selangor.

"Jika pilihan raya semula diadakan, Pakatan tetap sedia menghadapi pemilih dan yakin rakyat Selangor akan menyokong kita,". Itulah kenyataan Anwar yang membayangkan kemungkinan itu. Ertinya Anwar tidak yakin yang penyelesaian cara baik dengan Khalid akan berlaku lagi.

Manakala dari satu sumber rapat dengan Khalid yang sampai ke telinga saya beberapa minggu lepas, pernah Khalid membiarkan beberapa kali panggilan telefon daripada Anwar tanpa mengangkatnya. Sikap atau tindakan ini menunjukkan yang Khalid sudah bersedia menderhaka kepada Anwar. Mentafsir kejadian ini Khalid sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Anwar.

Menarik kalau pilihan raya diadakan semula, ke manakah Khalid Ibrahim akan pergi? Semua orang mahu lihat dan mahu tahu. Apakah dia akan meninggal gelanggang politik begitu sahaja tanpa mengambil bahagian dalam pilihan raya? Kalau itulah sikapnya nanti beliau akan menjadi tiga kali jahat dan akan dirakamkan sebagai seorang oportunis. Tidak boleh tidak apa yang patut beliau lakukan ialah ikut sama bertanding.

Kalau bertanding, tidak mungkin atas tikit Umno apa lagi atas tikit Pas atau DAP. Apakah Umno sedia menerima bangkai? Jadi jalan terbaik ialah dengan bertanding atas tikit Bebas. Ayuh... lakukan Khalid kalau anda berasa hebat dan orang-orang yang menyokong dan menasihati anda berasa yakin rakyat berada disebelah anda, apa hendak digeruni, lawanlah.

Sama ada berlaku penyelesaian secara baik atau tidak mengenai krisis dalam PKR di Selangor hari ini Khalid tetap akan dicatat dalam sejarah sebagai seorang watak politik, apakah ianya antogonis atau protogonis, bebal, tolol atau badut terpulang serah kepada penilaian masing-masing. Bagi saya Khalid adalah seekor lembu yang kenyang. [wm.kl.4:35 pm 05/08/14]

Noh tidak bijak kalau hendak menangguk di air keruh

Posted: 04 Aug 2014 06:44 PM PDT

SUSUPAN PAGI                                                                                    

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata pihaknya sedia menghadapi apa saja kemungkinan berkaitan dengan perkembangan di Selangor kini. Nampaknya Noh sedang memerhati penuh minat terhadap apa yang sedang berlaku. Ada tiga kemungkinan yang sedang dihisab oleh Umno, pimilihan MB baru, diadakan pilihan raya semula ataupun undi tidak percaya terhadap Khalid.

Noh Omar
Cara Noh bercakap semacam parti itu konfiden sahaja akan mendapat manfaat daripada kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku itu. Secekap mana Umno hendak menangguk di air keruh kali ini atau menahan lukah di pergentingan, sama-sama kita perhatikan.

Untuk pengetahuan Noh apa dirasakan itu tidak semudah itu. Salah satu kemungkinan itu akan berlaku, dan mungkin juga tidak berlaku namun ia bukan bererti akan memberi untung laba besar kepada Umno Selangor. Noh dan Umno jangan mengharap hujan kerana terdengar guruh di langit.

Apa yang menimpa Pakatan Selangor kini usahlah Noh berangan-angan tinggi akan dapat merampas semula kerajaan negeri Selangor. Ada beberapa perkara yang Noh perlu lakukan sebelum memasang angan-angan itu. Noh kena perkemaskan Umno dahulu. Umno Selangor kini dalam keadaan demam masih belum kebah lagi. Kekuatan Umno tidak dapat dipulihkan selepas kehilangan darah dan tenaga hingga kehilangan kerajaan negeri 2008.

Situasi dihadapi Umno Selangor tidak menentu. Noh sendiri goyah dan tidak konsisten. Satu masa beliau menyerang Khalid dan kini cuba mengubah taktik dengan memuji kerja Khalid sebagai MB sebagai elok. Budak-budak kecil pun tahu taktik itu, ia adalah taktik lama. Bebuat begitu meyerlahkan niat buruk dan sikap oportunis. Bukankah sebelum ini Noh kerah para janda untuk menyerang Khalid? Dah lupakah?

Makanya adalah baik kalau Noh bercakap bagaimana hendak memulihkan kekuatan Umno. Keyakinan rakyat kepada Umno daripada mencari peluang hendak menyambar dari keadaan yang berlaku. Kalau pun berlaku pemilihan MB baru, apa yang Umno dapat lakukan? Umno sendiri tidak mempunyai tokoh berwibawa untuk jadi MB. Itulah masalahnya.

Orang-orang jenis Noh tiak layak untuk jadi MB Selangor. Sejarah MB Selangor semuanya orang mempunyai diplomasi tinggi dan bukan panas baran.

Apakah Noh mengira dengan ketiadaan Khalid menyebabkan kerajaan Pakatan goyah? Iya adalah silap. Tanpa Khalid Pakatan akan menjadi lebih kuat. Perbalahan dan keretakan dalam Pakatan kini, akan kembali kuat selepas ini. Khalid adalah umpama biduk yang akan mempertautkan kiambang.

Begitu juga sekiranya berlaku undi tidak percaya. Apakah Umno akan menyokong Khalid? Tidakkah tindakan itu tidak bermoral dan Umno sendiri tidak ada integriti. Sikap paling baik diambil Umno kalau undi tidak percaya diadakan ialah berkecuali sahaja. Bukan saja dari Umno kalau ada mana-mana Adun Pas bersimpati dengan Khalid mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa melainkan mengambil pendirian berkecuali.

Mengundi menolak usul undi tidak percaya kepada Khalid akan mendedahkan pendirian politik yang lemah tidak berintegriti serta oportunis.

Kesimpulannya baik Noh perkuatkan Umno terlebih dahulu. Cari dan kenal pasti siapa yang hendak jadi MB. Walaupun Noh merasakan dia layak, tetapi kedudukannya sebagai MP tidak mumungkinkan. Rakyat Selangor marah hari ini kerana Pakatan bergomol sesama sendiri. Jangan salah tafsir marah itu bukan bermakna mereka hendak runtuhkan kerajaan Selangor, tetapi marah kerana hendak memperbaikan keadaan.

Kalau dikali campur, didharab dan dibahagikan mereka akan ludah muka Noh dahulu daripada muka pemimin Pakatan. Itulah perasaan dan sikap rakyat Selangor hari ini. Noh dan Umno janganlah berbuat sesuatu yang membuang masa. [wm.kl.9:24 am 05/08/14]


Tiada ulasan: