Isnin, 18 Ogos 2014

.

.


Jawab Aziz Bari: Orang politik selalu tukar acara

Posted: 17 Aug 2014 06:50 PM PDT

ULASAN PAGI                                                                                      

Keputusan yang diambil oleh parti agama, Pas semalam masih menjadi sebutan dan percakapan umum. Ada berbagai-bagai versi mengenainya. Ada yang merasa lapang dada dan penuh kesyukuran dengan keputusan dibuat Pas itu, ada yang menerimanya sebagai "buah masam atau kelat" sahaja.

Saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai keputusan yang diambil oleh Pas itu. Catatan ini terpanggil apabila membaca laporan tentangan singgungan bekas pensyarah UIA, Abdul Aziz Bari yang menyinis Pas dengan mengatakan keputusan dibuat Pas semalam tidak bermakna lagi.

Lebih terpanggil apabila beliau meminta Pas kalau tidak pandai bermain bola Pas harus belajar.Agak menikam jantung sedikit.


Dari segi signifikennya memanglah mesyuarat Pas semalam itu tidak memberi makna kalau ianya dilihat untuk membendung kemelut MB Selangor itu bagi menyatakan sokongan kepada PKR, kerana isu Khalid sudah selesai apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mendapat majoriti. Tetapi dari konteks lain keputusan mesyuarat itu masih relevan dan penting.

Aziz tidak boleh melihat dari sudut akademik semata-mata tetapi kena memahami semangat dan juga seni politik. Kalau semuanya dilihat dari kaca mata akademik, politik itu tidak akan hidup seperti mana ia hidup, penuh dengan gelora, ribut, taufan dan tipu daya. Disebabkan seorang akademis melihat politik dengan mata akademik mereka sering gagal atau kecewa. Politik ala-ala Malaysia ini tidak pantas untuk akademis.

Kenapa saya menyatakan keputusan dibuat Pas itu masih bererti, kerana keputusan semalam telah meredahkan kegelisahan ramai orang sebelum ini. Dengan mencapai keptusan sebulat suara terhadap beberapa resolusi dibuat bermakna Pas masih akur kepada maufakat dalam membuat keputusan. Pas masih mengambil kira kepentingan Pakatan Rakyat daripada melayan suara orang-orang tidak mukalaf dalam politik.

Misalnya isu mengenai pencalonan Dr Wan Azizah, Pas mengambil keputusan kontroversi atau bertentangan dengan naluri Presiden dan Majlis Syura Ulamak (MSU), kerana Pas menghormati rakan dalam Pakatan (PKR). Pas telah meletakkan kekejapan Pakatan Rakyat lebih daripada kepentingan lain. Abdul Hadi boleh pertahankan keputusannya dalam mesyuarat semalam walaupun mesyuarat itu akan berkebut, tetapi atas rasa kepentingan politik bersama beliau akur dan rela dipersendakan.

Saya yakin tidak semua ahli jawatankuasa Pas bersetuju, tetapi mereka sedia bersetuju untuk menunjukkan ukhwah. Semangat ini harus dihormati. Apa kata kalau mesyuarat Pas semalam kecoh dan gagal membuat resolusi sedemikian, natijahnya ia akan merosakkan keharmonian Pakatan Rakyat. Jadi apa dibuat Pas semalam adalah satu pengorbanan yang perlu dihormati.

Abdul Aziz tidak perlu mengajar Pas daripada bermain bola kepada bermain ragbi. Politik memang begitu ia tidak berjalan lurus atas garis hukumnya. Sebab itu ia dipanggil politik dan sukar untuk dituruti oleh akademis yang berdisiplin dan berpegang kepada fakta dan sejarah. Dalam politik soal fakta dan sejarah jarang diikuti. Sebaliknya orang politik banyak mencipta sejarah, sama ada hitam atau putih.

Keadaan ini menyebabkan Pas atau sesiapa sahaja menukar bukan saja corak tetapi jenis suka. Adakanya mereka sedang memecut pada acara 1000 meter tetapi boleh bertukar menjadi ke acara 1000 meter lari berhalangan. Demikian juga ada kalanya mereka sedang melompat tinggi, tetapi tiba-tiba ditukar ke acara lompat kijang. Itu dan inilah politik yang penuh dengan seni dan serba kemungkinan.

Hal-hal sebegini tidak mudah untuk difahami oleh akademis seperti Aziz Bari. Saya katakan walaupun tindakan itu salah dan buruk, tetapi itu yang sering berlaku dan orang politik sudah cukup arif mengenainya. Yang mudah gelabah sampai nak tunjuk perasaan, pegang maskot dan sebagainya adalah golongan yang belum baligh politik.

Jadi apa yang diputuskan oleh Pas semalam walaupun dari satu juring menampakkan kelemahan Pas tetapi dari juring lain ia menampak akan kehebatan Pas. Itulah hikmahnya. Dengan apa yang berlaku usahlah dipertikaikan dan perlu menerimanya dengan baik kerana ia akhirnya memberi kemenangan secara bersama.

Yang penting Pas masih lagi kekal dalam Pakatan, menyatakan komitmen mereka untuk bersama Pakatan. Masalah pertukaran MB Selangor adalah salah satu agenda dalam Pakatan, agenda besar masih menunggu tiga atau empat tahun lagi. Semua pihak harus melihat jauh ke depan dengan melupai hal-hal sampingan yang sering kali timbul. Dalam konteks Selangor hari ini perkara paling utama mengekalkan kerajaan yang dibentuk selepas PRU lalu bukan mempersoalkan siapa MB.

Hendaknya keputusan diambil oleh Pas mengenai calon pengganti Khalid yang kemudian diterima baik oleh PKR serta keterbukaan dan keikhlasan Mohamed Azmin Ali untuk akur dengan keputusan partinya, perlu dihormati semua pihak dalam Pakatan. Mana-mana yang merasakan mereka tidak "menang" dengan keputusan yang dibuat harus menerimanya dengan baik.

Tentang Aziz Bari yang mengkritik Pas lebih kepada menegur presiden Pas itu biarkan dan terimalah ia juga sebagai sinis yang akan menyedarkan semua orang untuk membaiki diri ke arah lebih baik dan bermakna lagi. [wm.kl.9:36 am 18/08/14]

Azmin atau Azizah atau bubar DUN ditangan Sultan

Posted: 17 Aug 2014 05:18 AM PDT

STOP PRESS                                                                                      

Azmin calon MB daripada Pas.
Kedudukan dan nasib Dr Wan Azizah Wan Ismail sama ada bakal mencatat sejarah sebagai perempuan pertama negara ini menjad MB Selangor terletak dalam tanggan Sultan Selangor atas ketentuan Allah jua. Bagi pihak Pakatan Rakyat pimpinan pakatan itu sudah memuktamadkan Azizah dipilih sebagai MB bagi menggantikan Khalid.

Mohamed Azmin Ali yang juga dicadang oleh Pas menyokong Azizah menjadi MB seperti mana pendiriannya sebelum ini. Pas dalam mesyuarat pagi tadi menamakan Azmin disamping Azizah sebagai pengganti Khalid.

Yang penting dalam mesyuarat Pas pagi tadi, parti itu sebulat suara menarik sokongan kepada Khalid untuk terus menjadi MB bebas. Kini tidak ada mana-mana parti Pakatan lagi yang menyokongnya. Bagaimana pun empat orang Exco Pas diarahkan terus bersama Khalid duduk dalam kerajaan untuk memastikan kerajaan Selangor kekal.



Pimpinan PKR akan menguruskan proses penggantian Khalid dengan menghadap sultan Selangor dalam masa terdekat. Apa menjadi persoalan apakah sultan Selangor sedia memberi perkenan atau tidak walahu'alam. Mungkin Pas sudah dapat menghidu apa yang berlaku maka parti itu menamakan Azmin sebagai calon alternatif.

Krisis ini akan selesai sekiranya ada toleran daripada pihak tertentu dalam PKR yang beriya-iya mahukan Wan Azizah menjadi MB.

Dalam pada itu apa juga yang tidak boleh dikesampingkan pembubaran DUN Selangor. Perlu diingat Khalid masih ada kuasa untuk memberi nasihat kepada sultan bagi membubarkan DUN Selangor. Pembubaran DUN Selangor dalam keadaan Pakatan Rakyat sudah mendapat kuasa majoriti akan dilihat sebagai satu keputusan yang bertentangan dengan demokrasi dan mengenepikan semangat perlembagaan. [wm.kl.8:14 pm 17/08/14]

Tiada ulasan: