Sabtu, 16 Ogos 2014

.

.


Selain ke mana Khalid, ke manahkah juga Abdul Hadi Awang

Posted: 15 Aug 2014 04:32 PM PDT

DASAR RASA                                                                                   

Abdul Hadi ke manakah selepas ini?
Selain seluruh mata pemerhati politik "menyelar" ke wajah Abdul Khalid Ibrahim, sosok dan wajah Abdul Hadi Awang juga turut dicerlung oleh pemerhati politik dan umum. Perihal Khalid seakan sudah mengendur kini apabila beliau mendakwa mendapat perkenan Sultan Selangor untuk meneruskan menjabat jawatan MB.

Mungkin ramai di kalangan kita dapat membaca sepanjang mana jangka hayat seorang MB yang tidak berparti dan hanya mendapat simpati daripada seorang sultan.



Khalid juga merasa lega apabila keempat-empat orang Exco Pas telah bersamanya dan berpimpinan tangan untuk terus mentadbir kerajaan Selangor. Khalid tidak peduli apakah kerajaannya diselar atau pun tidak diikhtiraf rakyat (Perlembagaan) yang penting dia masih berada di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAA) Shah Alam dan melepaskan rasa dendam dan marahnya kepada Anwar Ibrahim and the geng.

Khalid berasakan dia menang hari ini. Dengan perkenaan Sultan dan dokongi oleh Pas dia dapat membalas dendam atau pun membela dirinya daripada serangan bekas partinya yang mahu mengnyahkan beliau dari kerusi MB sekaligus daripada persada politik tanah air ini. Untuk pusingan ini Khalid menang secara KO dengan berpengadilkan Sultan Selangor.

Berbeza dengan apa yang sedang diperhatikan kepada presiden Pas Abdul Hadi kini. Sambil menanti 17 Ogos dimana Pas dijangka akan mengadakan mesyuarat eksekutifnya, berbagai-bagai ramalan dan telahan dilemparkan terhadap Abdul Hadi. Kelambatan beliau memanggil mesyuarat bagi menghilangkan teka teki berhubung kerjasama Pas dengan PKR dan DAP dilihat kelemahan semulajadi yang ada kepada presiden Pas itu.

Keadaan ini bukan sekali dua tetapi sudah berulang. Akibat kelewatan itu menyebabkan Pas ditimpa masalah dan ada kalanya Pas mengalami kerugian bergantang-gantang disebabkan sikap dan stail presiden itu. Sebagai contohnya ialah krisis dalaman di Kedah menyebabkan Pas Kedah kehilangan sebuah kerajaan di sana. Suka atau tidak suka beliau sebagai presiden harus dipertanggungjawabkan dengan kekalahan Pas di Kedah.

Begitu juga isu-isu lain yang menghunjamkan Pas tidak mudah dileraikan kerana sikap berlengah-lengah dan ketiadaan idea dan proaktif menyelesaikan masalah ini.

Satu lagi contoh ialah mengenai gagasan atau idea untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan (Unity Government ) dengan Umno yang dicetuskan oleh beliau kemudian dihentam lumat termasuk oleh Mursyidul Am Pas Nik Abdul Abdul Aziz sendiri. Walaupun isu itu sudah menelan masa lebih tujuh tahun tetapi UG masih disebut dan didengunkan sampai ke hari ini.

Kepanjangan isu ini menyerlahkan kelemahan Abdul Hadi yang tidak mempunyai air liur masin bagi mengatasinya. Kegagalan beliau mempertahankan UG agar dilaksanakan seharusnya dipikul dengan penuh bermaruah. Malangnya bekas timbalan presiden Pas yang menjadi mediator dan agen kepada projek itu terpaksa menanggung beban asmaranya.

Hari ini perkara paling pokok ditunggu bersabit dengan Abdul Hadi ialah apakah sikap dan pendiriannya dalam mesyuarat pada 17 Ogos nanti. Ini yang sedang ditunggu. Mesyuarat kali ini menjadi perhatian begitu sekali kerana sebelum ini beliau telah awal-awal menyatakan sikap sokongannya kepada Abdul Khalid Ibrahim supaya kekal menjadi MB.

Apakah beliau akan terus mempertahankan Khalid sedang senario atau kapasiti Khalid kini sudah berubah? Khalid kini bukan lagi menjadi ahli PKR sebaliknya dia adalah Adun Bebas yang sama taraf dengan orang di Pasir Mas tidak berapa lama dulu. Orang akan mempersoalkan mengenai integriti politik Abdul Hadi dalam soal ini.

Apabila Khalid sekarang bukan Khalid "dolu-dolu" lagi apakah Abdul Hadi terus menerima Khalid? Inilah masalah dan inilah dilema yang ada dikelilingi diri Abdul Hadi. Sekiranya diikutkan "law" Abdul Hadi perlu meralat pendiriannya daripada menyokong Khalid. Atas hubungan persepakatan dengan DAP dan PKR, beliau tidak boleh lagi memberi sokongan kepada Khalid sehingga mengarahkan empat orang Exco mempertahankan Khalid, walaupun atas apa alasan sekali pun.

Tindakan dilakukan oleh empat Exco Pas hari ini boleh disifatkan tidak menghayati semangat Pakatan Rakyat. Mereka juga boleh cap sebagai pengkhinat kepada rakan sendiri dan lebih mementingkan diri sendiri. Keempat Exco itu berdolak dalih kononnya mereka mengikut apa yang diarahkan oleh parti dan parti pula menggunakan alasan untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat. Mungkin sesetengah ahli Pas terutamanya "ulama juz amma" suka dengan pendirian itu tetapi bukan rakyat banyak.

Sepatutnya mereka membuat pendirian sendiri atas kepentingan Pas Selangor. Pas Selangor harus mengambil ketetapan dan keputusan yang profesional dan bukan mengikut apa yang dikehendaki oleh Presiden secara peribadi. Ironisnya kerajaan Pakatan Rakyat telah diistyharkan oleh Khalid sebagai sudah tidak wujud lagi. Hamlau...

Apakah pendirian empat Exco itu dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dan mengambil kira pandangan semua Yang di-Pertua Kawasan serta kepimpinan lain?  Adalah naif Pas Selangor kalau mereka mengikut arahan seseorang berkepentingan dan sehinggakan meninggalkan semangat setiakawan. Apa yang dilakukan oleh empat Exco itu ia boleh menjadi punca akan berpecah Pakatan Rakyat di Selangor atau pun bakal meletakkan Pas di luar Pakatan Rakyat?

Tindakan empat Exco itu yang mengikut kata presiden ia juga akan dikaitkan dengan pendirian presiden sebelum ini yang tidak sehaluan ataupun menerima semangat mesyuawarah dalam Pas. Abdul Hadi awal-awal lagi telah mengumumkan sokongan kepada Khalid dengan menafikan mesyuarawat Majlis Presiden yang diwakilkan kepada Mohamad Sabu. Sehari selepas Majlis Presiden PR mengeluarkan konsesus berhubung menggugurkan Khalid, Abdul Hadi bangun dari pembaringan menyatakan sokongan kepada Khalid.

Tidak cukup dengan kenyataan bersifat veto itu, bersidang pula Majlis Syura Ulamak (MSU) di Kota Bharu Kelantan mengambil pendirian selari dan seirama dengan pendirian presiden. Lebih mencelarukan lagi dilaporkan Mursyidul Am juga bersetuju. Sehingga kini Musyidul Am membisu apabila dan tidak memberi apa-apa respons selepas Khalid sudah bukan warga Pakatan Rakyat lagi. Apakah beliau tidak dikhabarkan dan mengetahuhi perkembangan ini?

Telatah Abdul Hadi itu tidak lagi dicampur dengan tindakan secara senyap beliau berjumpa dengan Khalid memberi jaminan mengenai masa depan dan kedudukannya sebagai MB. Kalau dicampur itu semua, sikap dan sokongan Abdul Hadi seolah-olah beliau akan sehidup dan semati dengan Khalid Ibrahim.

Situasi inilah meletakkan Abdul Hadi dalam keadaan dilema sekarang ini. Mungkin penangguhan mesyuarat Jawatankuasa keraj Pas beberapa kali itu kerana ia bermasalah. Masalahnya tentulah Abdul Hadi "rohok" atau payah untuk mempertahankan pendiriannya terhadap Khalid di hadapan para eksekutif parti.

Mesyuarat Jawatankuasa kerja yang anggotanya terdiri daripada berbagai lapisan dan latar belakang pendidikan tidak mudah untuk akur begitu sahaja kepada pendirian peribadi presiden. Hal ini sudah tentu akan ada perdebatan hangat. Sekiranya Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya, mempertahankan Khalid sudah tentu dia akan dikeronyok dan diminta alasan apakah munasabah dan logik dari segi Pas sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.

Terdengar juga khabar, kenapa mesyuarat itu ditangguh ialah kerana ia sudah dikesan mesyuarat itu akan mempertikaikan pendirian diambil oleh Abdul Hadi dan juga MSU yang bermesyuarat membuat ketetapan sebelum eksekutif parti melakukannya. Jadi untuk mengelak berlaku pertembungan inilah maka mesyuarat itu ditangguh sementara disamping menjadikan penangguhan itu sebagai perang saraf agar pendirian songsang presiden itu diterima dengan baik.

Persoalan kini setelah kedudukan Khalid sudah berubah menjadi ahli bebas dan Umno pula memberi sokongan tanpa syarat, apakah Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya? Beliau akan berhadapan dengan persoalan besar dalam mesyuarat kali ini. Sekiranya beliau tetap dengan pendirian mahukan Khalid, beliau kena merempuh benteng yang kuat dalam mesyuarat. Kuasa veto seorang presiden yang selalu diberikan laluan sebelum ini mungkin tidak akan berulang lagi.

Khabarnya, apabila berdepan dengan masalah yang rumit dan terbeban ke atas pundaknya, Abdul Hadi akan mengambil jalan keluar untuk meletak jawatan. Sudah lebih dua kali katanya beliau cuba mengelak dan mengugut untuk melepas jawatan apabila timbul sesuatu masalah terdesak. Kali ini kalau beliau menawarkan untuk berbuat demikian (letak jawatan) elok jawatankuasa Pas menerimanya untuk membolehkan beliau berrihat sepenuhnya.

Kesimpulannya ada dua bakal terjawab. Sekiranya Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya menyokong Khalid yang dianggap mengkhianati Pakatan Rakyat, ertinya dia mendedahkan dirinya untuk ditentang dalam muktamar akan datang. Sebaliknya kalau beliau meralat sokongannya, beliau akan dihormati sebagai seorang presiden kepada sebuah parti politik yang dalam perhitungan umum akan menjadi parti politik utama negara ini selepas Umno.

Implikasi lain sekiranya beliau bertegas dengan pendirian dan keputusannya itu ini bermakna beliau sengaja mahu membawa Pas ke jalan jauh yang penuh berduri, dan ia sangat dikesalkan.

Barang kali juga harapan Husam Musa untuk melihat Abdul Hadi menjadi PM walaupun sehari akan tercapai hanya akan terbungkus dalam mimpi tanpa malam. Senario dan perkembangan ini menjadikan orang berteka teki, selepas Khalid akan hayut ke mana selepas ini,  orang juga sedang memerhati ke manakah juga Abdul Hadi akan membawa diri. Ke gunung atau ke lembah. [wm.kl.11:26 am 14/08/14]

Tiada ulasan: