Jumaat, 15 Ogos 2014

.

.


Husam minta Khalid jangan alatkan Pas

Posted: 15 Aug 2014 02:57 AM PDT

KENYATAAN                                                                                   

Husam: Khalid jalan alatkan Pas.
Naib Presiden Pas Husam Musa yang dikenali sebagai tokoh yang "autentik" dan tidak mudah membuat kenyataan mengulas berhubung kemelut di Selangor, akhirnya tampil juga untuk memberi respons terhadap apa yang berlaku. Mungkin beliau sudah tidak boleh "ork" (boleh tahan) dengan apa yang berlaku sekarang ini.

Dengan penuh berhati-hati Husam telah memberi pandangan jilan kepada Abdul Khalid Ibrahim menerusi surat terbuka kepada Khalid dengan apa yang berlaku yang disifatkan MB bebas itu sebagai telah memperalatkan Pas untuk kepentingan politiknya.

Kata Husam, Khalid sebagai seorang insan gentlemen dan berakhlak mulia mesti tahu batas beliau menumpang Pas dan tahu yang Presiden Pas telah menghulurkan "ranting zaitun" kepadanya saat Khalid kelemasan.

Bekas Exco kanan Kerajaan Kelantan itu tidak lupa menyedarkan Khalid bahawa bekas MB Pakatan Rakyat itu sudah hilang legitimasinya sebagai MB apabila tidak mendapat majoriti di Dewan dan tindakannya terus kekal di kerusi MB mencemarkan institusi raja.

Dalam pada itu Husam berpendapat Pas tidak perlu timbul tenggelam dengan Khalid Ibrahim sehingga mengorbankan prinsip dan namanya yang lebih besar dari Khalid. Pas sebagai sebuah parti politik tidak wajar membeli kuda yang kalah lumba untuk dijadikan alat.

Naib Presiden Pas itu lantas menggesa Khalid agar meletak jawatan secara terhormat sambil mengingatkan meletak jawatan dalam keadaan sekarang bukan berakhir sebuah kerjaya politik. Bagi Husam masa depan Khalid dalam politik masih ada kalau pengudurannya dibuat dengan penuh bermaruah.

"Kerjaya politik itu bukan berakhir dengan meletak jawatan, tetapi kerjayaan politik berakhir bila ia dibuat secara tidak terhormat," demikian tegas Husam.

Berikut surat terbuka Husam Musa kepada Khalid yang diemailkan kepada blog saya.

TAN SRI KHALID IBRAHIM CUKUPLAH MEMPERALATKAN PAS

Saya memerhatikan pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan membisu sekian lama. Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia ada sekalipun sekian ramai awak-awak telah mengharu birukan lagi keadaan dengan komen-komen yang sesetengahnya tidak bertanggung jawab, bahkan mencederakan nama baik PAS.

Tikus lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah dari membina.

Namun begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan berakhlak mulia mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS. Beliau boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam lingkungan semangat Pakatan Rakyat. Presiden PAS telah menghulurkan ranting zaitun untuk beliau. Episod itu telah berlalu.

Perkembangan lain telah berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak wajar timbul tenggelam bersekali Tan Sri Khalid dan menggorbankan prinsipnya yang lebih besar, nama baiknya, akhlak politik yang dipegangnya dan amanah atas nama Pakatan rakyat yang ia perolehi dari rakyat Selangor.

Tan Sri telah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum diterima menjadi ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat, ia bukan mewakili PR lagi.

Tan Sri sedar sepenuhnya hal ini?
Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bagaimana seorang ADUN bukan anggota PR boleh terus menjadi MB Pakatan Rakyat?
Tan Sri memecat exconya dari PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAS tidak pernah tahu mengenainya.

Tindakan ini boleh memecah belahkan Pakatan kerana seakan menunjukkan PAS terus mendokong MB yang sudah hilang legitimasi. Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS.

Untuk memecat Exco dari PKR dan DAP dan mengekalkan PAS, ia mesti dibincangkan lebih dahulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS Pusat) dan mendapat persetujuan gabungan yang lain.
Setahu saya, PAS Pusat tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh ini untuk memutuskan kedudukan itu.

Saya selaku salah seorang Naib Presiden tidak pernah dimaklumkan oleh mana-mana pihak tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak pernah memberikan mandat kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini.

Dengan ini, Tan Sri telah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai MB dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor. Ini sangat tidak wajar.

Bagaimana Tan Sri boleh kekal sebagai MB dengan tidak melepaskan jawatan secara bermaruah pada hari sama Tan Sri dipecat sebagai ahli PKR? Sultan menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah kebijaksanaan baginda tetapi Tan Sri mempunyai pilihan untuk menolak perkenan itu atas pilihan Tan Sri sendiri.

Apa lagi bertindak seakan Tan Sri masih berkuasa penuh pada hal asas legitimasi Tan Sri sudah runtuh. Untuk kekal sebagai MB, Tan Sri tidak boleh mencaturkan 15 ADUN PAS untuk menggenapkan cukup bilang bagi pembentukan kerajaan Selangor PAS + UMNO + TSKI + lompat parti DAP/PKR.

Itu sangat tidak bermoral. Itu meniru gaya UMNO di Perak. Perbuatan tersebut amat terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan perkongsian kuasa PAS dan UMNO melanggar banyak prinsip yang dipegang oleh PAS selama ini.

UMNO adalah lawan PAS dan tidak ada mana-mana kuasa dalam PAS boleh mengizinkan PAS berkongsi kuasa dengan UMNO tanpa melalui kelulusan Muktamar Agung PAS.

Ia tidak mungkin dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah ADUN untuk mengekalkan Tan Sri sebagai MB sekarang. Tan Sri sudah tidak mempunyai cukup bilang sekarang.

Jika itu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS menerima hubungan 'sodomy'. 15 ADUN PAS dipilih oleh rakyat Selangor atas tiket kerja sama Pakatan Rakyat. UMNO ditolak oleh majoriti rakyat Selangor kecuali di 13 dun. Kedudukan UMNO adalah sebagai pembangkang dan PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Selangor.

Membawa UMNO dari pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS dengan menolak dua lagi parti gabungan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat adalah perbuatan terkutuk yang tidak dizinkan oleh Islam.

Islam tidak mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah amanah. Dalam hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih Pakatan sebagai kerajaan dan menolak UMNO.

Tan Sri sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 ADUN PAS campur 12 ADUN UMNO dan turut campur Tan Sri, ia hanya berjumlah 28 ADUN dari 56 jumlah ADUN.

50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat simple majority dari awal, sekalipun jika PAS dan UMNO sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari segala-galanya.

Sementalah PAS dan UMNO kedua-duanya, secara pendirian parti yang rasmi, tidak pernah memberikan persetujuan itu sehingga hari ini. Hari Jumaat yang mulia - 15 Ogos 2014 - hari ini.

Jika Tan Sri mengharapkan YB Rodziah dan YB Teng yang disebut-sebut kononnya akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan YB Rodziah berbanding yang lain, namun mereka telah mengambil pendirian insan bermaruah dan pendekar terbilang kerana kekal bersama parti masing-masing.

Syabas! Saya amat bangga dengan mereka dan ia telah memberikan hiburan bagi hati yang gundah di tengah kecenderungan menggunakan 'jual beli kuda taruhan'.

Kentalnya YB Rodziah menolak tawaran kekal dalam Exco sekalipun berkereta besar dan bergaji lumayan adalah satu tamparan yang patut menyedarkan Tan Sri pada saat itu juga.

Legitimasi Tan Sri sebagai MB sudah berakhir.

Harapan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang ADUN untuk mendapatkan simple majority sudah tertutup. Apa lagi bila dua ADUN PAS mengambil langkah bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai MB secara terbuka.

Sekalipun jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan menasihatkan mereka untuk terlebih dahulu mendapat restu parti. Itu yang terbaik.

Tetapi tindakan mereka telah meletakkan usaha pihak mana jua untuk mewujudkan sebuah kerajaan gabungan PAS+UMNO+TSKI+lompat gagal dan mustahil.

Tan Sri tahu ini.

Lantas, apa lagi yang ditunggu?
Tidakkah mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan MB?
Atau Tan Sri kini berfikir untuk membubarkan DUN?
Bukankah tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?
Kenapa tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru ini Tan Sri mencadangkan DUN di bubarkan?

Jika kerana Tan Sri gagal mendapatkan cukup bilang Sultan Selangor mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan istitusi diraja.

Model Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan majoriti dilantik tanpa pembubaran DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah menjadi cermin.

PAS telah mengalami pengalaman yang pahit bila MB Kelantan yang dilantik atas tiket PAS dan hendak ditukar oleh PAS, antara lain bukan kerana kesalahan jenayah rasuah tetapi semata-mata kerana gagal mengikut semangat dan arahan parti, telah mencetuskan krisis disebabkan UMNO melanggar konvensyen urusan parti lain tidak boleh dicampuri oleh parti gabungan yang lain.

Malangnya UMNO melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan jahat UMNO. Dari dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS, ucapan pemimpinnya dan tesis para mahasiswa.

Oleh itu, TAN SRI harus tidak mengheret PAS dalam krisis TAN SRI. Parti TAN SRI berhak menukar TAN SRI dengan calon lain.

PAS boleh memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.
Itulah yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan YAB Ustaz Azizan wajar ditukar sebagai MB.
PKR tidak menjamah urusan itu.

Jika Tan Sri berterusan mengheret PAS, seakan TAN SRI mahu PAS dilihat melanggar konvensyen yang ia telah junjung sejak ia kehilangan kuasa di Kelantan 1978.

Jika budi PAS yang telah menunjukkan setia kawan bersama TAN SRI dihargai, janganlah PAS diseret lebih jauh.

Meletakkan jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.
Namun, bertindak secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan hitamnya rekod kehidupan.

Pada hari Jumaat yang berkat ini, kita memohon panduan Allah swt.

Husam Musa
Naib Presiden PAS
15 Ogos 2014. [wm.kl.5:52 pm 15/08/14]

Sebuah kata dan bukan paksaan untuk Pas

Posted: 14 Aug 2014 05:03 PM PDT

SEBELUM JUMAAT                                                                             

Mungkin catatan ini ramai yang tidak mahu ianya ditulis begini kerana ia boleh menyenak hati dan menyebakan dada. Tetapi untuk menjadikan kita sebagai manusia yang tidak lalai kemudian akan kecewa berat, elok kalau saya membuat catatan ini sebagai persiapan.

Ahli Pas mahukan pendirian yang tegas.
Allah s.w.t. sediri meminta kita mempersiapkan diri untuk mati. Dan dunia ini sebenarnya adalah lebuhraya kepada kematian, maksudnya untuk kembali semula kepadanya. Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali. Atas prinsip bahawa berterus terang itu lebih baik daripada segala-galanya ia perlu diluahkan, juga bagi mengelakkan perut terus kembung.

Sebaliknya pula catatan ini menggembirakan setengah pihak yang lain. Mereka menerimanya dengan perasaan terbuka dan rasa mujur yang tinggi. Mereka tidak perlu berkerja kuat. Kalau mereka seorang petani, seperti mereka menanam ubi kayu (species ubi yang mudah hidup dan berisi). Mereka perlu meriba tangan dan menanti ubinya membesar selepas "memekong" benih ke dalam semak. Ubi kayu akan tumbuh dan berisi walaupun tanpa batas.

Begitulah apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat waktu ini, ia memberi kesempatan dan peluang baik kepada UBN khasnya Umno. Mereka memerhati dengan penuh minat tanpa banyak campur tangan. Sebab itu Mohd Najib Razak yang kebetulan yang sedang berdukacita atas kejadian kapal terbang Mas hilang dan jatuh tidak banyak komen. Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi juga tidak rancak memberi komen, melakukan provokasi dan tidak perlu "menyucuh karak" (pasang api) dipunggung Pakatan Rakyat agar ia terus berkobar dan terbakar.

Pakatan Rakyat sudah dikenakan api dan ia sedang membakar diri, hanya menanti hangus saja.

Bagi Umno Pakatan Rakyat telah ada tanggungjawab tersendiri untuk membesarkan perbalahan mereka atau sebaliknya menutup perbalahan mereka. Jadi Umno hanya perlu mendiamkan diri sahaja dan memerhati percakaran Pakatan Rakyat khasnya Pas dengan PKR bagaikan serigala memerhati perbalahan anak-anak kambing menunggu mana yang cedera untuk dibahamnya.

Saya katakan tadi catatan ini mungkin tidak sedap didengar dan menggerunkan. Tetapi saya perlu memberitahu kerana ianya tanggungjawab saya selaku penulis dan pemerhati kerdil. Saya ada tanggungjaab sosial yang tidak perlu pun diupah. Sebenarnya saya kesian kepada rakyat yang menjadi penyokong dan ahli parti, Pas dan PKR khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.

Bagi saya mereka ikhlas dan sangat pemrih serta akan pasrah kepada takdir yang dilakarkan pemimpin masing-masing. Mereka juga sanggup berkorban masa, tenaga dan harta benda. Sebagai pemberi jasa dan bakti mereka tentu mengharap imbuhan dalam bentuk kemenangan. Apapun perjuangan dan bila mendapat kemenangan rakyat hanya dapat bertepuk tangan, tidak lebih daripada itu.

Mereka yang melihat dengan mata ikan kering terhadap kemelut hari ini meletakkan kesalahan apa yang berlaku kini sepenuhnya kepada musuh parti mereka. Mereka sama sekali tidak cuba menyalahkan peranan atau sikap para pemimpin mereka yang haloba dan egois. Keadaan inilah saya berasakan rakyat seakan tertipu dan teraniaya. Maka perlu saya memberi pendangan dengan mendedahkan apa yang ada menurut firasat saya dan diketahui untuk dijadikan pertimbangan.

Biarlah saya bercerita untuk pengetahuan umum dari pengamatan kolam fikir saya. Saya tidak memaksa untuk mempercayainya, tetapi sebagai bahan renungan pada pagi yang mulia ini agar kita (rakyat penyokong dan ahli parti) tidak terlalu teraniaya dan tertipu dengana apa yang berlaku. Tidak tertipu hidup-hidup dengan pemainan politik penuh bernafsu dan berlambang-lambagan dan dihiasi dengan ayat-ayat Tuhan dan Nabi.

Pertamanya, apa yang perlu difahami ialah, pertikaian Pas dengan PKR (Anwar Ibrahim) bukan berpunca daripada isu Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor. Ia bukan isu politik perlu dipolimekkan sedemikian rupa. Ia cukup mudah diselesaikan kalau itulah isunya. Tetapi kerana ia bukan menjadi inti kepada perbalahan ataupun perncanggahan pendapat yang berlaku kini, maka ia lambat "serek" (berhenti).

Khalid Ibrahim adalah modal sahaja, ia satu kebetulan dan bukan perkara pokok. Isu MB Selangor bukan mauduk besar bagi Pas. Sokongan terhadap Khalid itu adalah simbolik yang perlu difikirkan apakah motif sebaliknya. Pas sebagai parti politik yang juga turut bermain tipu muslihat, bukan ikhlas yang menggunakan ritual agama untuk mencapai matlamat politiknya. Pas bukanlah parti maksum kalau pun tidak sekotor PKR dan Umno.

Jika diperhatikan isu Khalid yang seharus didepani PKR, dan tidak pun perlu menyebabkan berlaku perpecahan dan pergeseran politik dalam Pas yang berpotensi untuk berpecah. Kini wujud dua golongan atau puak dalam Pas, satu golongan yang menyokong Khalid Ibrahim terus menjadi MB atas maslahat menyelamatkan Pakatan Rakyat. Manakala satu lagi tidak bersetuju dan tidak akur dengan keputusan PKR yang mahu memecat Khalid, juga atas maksud dan matlamat yang sama.

Puak yang menyokong memberi alasan kononnya Khalid tidak ada kesalahan dan belum disabitkan kesalahan. Tidak melakukan kesalahan syarie. Manakala pandangan Majlis Syura Ulamak (MSU) dijadikan pandangan qati'e oleh sebahagian ahli Pas untuk mempertahankan Khalid sampai diadakan solat hajat walaupun pendirian MSU itu boleh dipertikaikan.

Manakala pihak yang menyokong melihat dari sudut politik dan implikasi politik serta mengenai masa depan Pakatan Rakyat itu sendiri. Sepatutnya perkara ini diselesaikan di meja mesyuarat oleh para pemimpin Pas. Amalan mesyuawarah patut dipraktikan, tetapi nampaknya dalam hal ianya tidak berlaku. Mereka boleh mencapai kata sepakat terhadap isu yang mudah ini. Kenapa tidak, kerana ia membawa motif lain lebih besar dan hanya menjadikan Khalid sebagai isu pertelingkahan sahaja. Isu Khalid hanyalah umpan atau batu loncatan sahaja.

Apa yang dapat saya suluhkan, konflit mengenai isu Khalid ini adalah konflit dalam Pas itu sendiri. Ia adalah kesenimbungan konflit yang menimpa Pas selepas pilihan raya umum ke-12 lagi berhubung memwujudkan Unity Government (UG). Perkara ini menjadi antara rahsia dengan tidak rahsia. Yang jarang mahu disebut orang dan tidak berani dikatakan secara berterusan terang oleh Pas. Kedua-dua pihak khasnya yang mempertahankan Khalid tidak berani menyatakan apakah maksud mereka sebenar disebalik pengeksplotasian isu berkenaan.

Puak yang mempertahankan Khalid, adalah mereka yang TIDAK SUKAKAN kepada Anwar Ibrahim sebagai pemimpin PKR dan juga pemimpin yang disebut sebagai perdana menteri dalam penantian. Dalam kata mudah mereka tidak mahu Anwar memimpin PKR dan juga menjadi ketua dalam Pakatan Rakyat. Sebab musababnya ialah kerana mereka tidak boleh menerima Anwar kerana moralnya. Dalam kata terus terang, mereka mempercayai segala tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar yang dipersembahkan oleh Umno khasnya mengenai liwat. Orang yang waruk tidak dapat menerima Anwar?

Tuduhan yang setengahnya fitnah mentah-mentah diacarakan Umno ditelan bulat-bulat oleh pemimpin Pas. Apabila pihak KDN menayangkan video sulit Anwar kepada mereka (sesetengahnya) mereka terus menelan dan mempercayai? Mungkin ramai orang tidak tahu KDN telah mengadakan tayangan perdana eksklusif filem mengenai Anwar Ibrahim dan antara penonton kelas pertamanya adalah pemimpin Pas tidak termasuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pendirian dan kebencian golongan ini dalam Pas tidak boleh dinafikan. Kerana itu mereka menyerang dan cuba menyekat agenda Anwar bukan sahaja dengan isu Khalid hendak digugurkan ini dan diganti dengan Dr Wa Azizah Wan Ismail, tetapi menerusi beberapa strategi atau tindakan politik lain sebelum ini. Cukup kalau disebutkan beberapa contoh, misalnya mengenai projek 16 September, Kajang Move dan juga pertemuan dan perbincangan sulit beberapa pemimpin Pas dengan Abdullah Badawi, kemudian dengan Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Klimeks kepada tindakan mereka yang seharusnya sudah diinsafi oleh Anwar, apabila Pas mengemukakan nama Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri bagi menggantikannya menjelang pilihan raya umum ke-13. Tindakan-tindakan berupa "tikam belakang" itu semua adalah cerminan kepada kebencian dan penolakan mereka kepada Anwar. Ramai yang beranggapan agenda menukar Anwar dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai "rekayasa", tetapi saya hendak tegaskan di sini saya mengetahui hal ini dari A sampai Z daripada mulut tuan-tuan tubuh berkenaan sendiri.

Tidak menjadi masalah kalau sesetengah pemimpin Pas menolak Anwar. Itu adalah hak mereka atas keyakinan ilmu dan sumber yang mereka perolehi. Hukum syarak meletakkan keraguan boleh membatalkan niat sesuatu ibadat kita. Misalnya kalau kita meragui akan kewarakan dan akidah imam di depan kita, kita berhak untuk "mufarakah" - meninggalkannya. Dalam konteks ini ada pemimpin Pas yang bimbang kebajikan mereka sia-sia kerana terbatal. Mereka beranggapan pintu syurga bagi mereka ditutup oleh dosa-dosa Anwar, jadi mereka tidak mahu bersubahat.

Tetapi apa yang menjadi pertikiaian, (saya pertikaikan) kenapa Pas tidak berterus terang dalam soal ini. Kenapa Pas melakukan tindakan secara senyap (syaitan bisu) tanpa memberi tahu kepada ahlinya secara terbuka. Kerana hal ini diecerkan ke dalam satu golongan sahaja dan kini digunakan WhatsAap untuk menyebarnya (taboo). Sikap begini tidak cocok dan sesuai dengan Pas sebagai parti mengakui lebih Islamik daripada Umno. Pas harus lebih berani dan bertanggungjawab.

Kalau Pas sudah yakin dari segi syarak dan aktikad yang Anwar tidak layak menjadi pemimpin atau untuk diangkat menjadi pemimpin kerana sebab dan dalil-dalil tertentu, kenapa tidak disebut secara berterusan terang. Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas wajar memberi fatwa dalam hal ini agar ia didengar oleh semua pihak. Apakah MSU pernah bersidang dan membuat ketatapan mengenai peribadi Anwar ini? Atau pun MSU juga berpolitiking?

Begitu juga dengan Abdul Hadi Awang kalau satu masa beliau pernah mengeluarkan amanat, (Amanat Haji Hadi), kenapa tidak berbuat perkara sama tentang Anwar ini. Berterus terang dan beranilah dalam tindakan dan jangan dibincang dan disebarkan sesama ahli sahaja kerana ia boleh meresah dan mengelirukan ahli di luar sana.

Sikap berdolak dalih atau kepuraan-puraan ini mengelirukan ahli dan penyokong bawahan. Rakyat akan jadi bingung dan merasa jijik dengan ulah Pas sebegini. Satu masa mereka lihat pemimpin mereka duduk bersama, tetapi dalam masa lain membantahkan dan mengeji dari belakang. Apakah sikap sebegini tidak boleh dijatuhi hukum munafik? Jangan ada ramai Mandalir dalam Pas.

Sikap seorang muslim tidak berpura-pura dan munafik. Orang yang benar-benar beriman berani menyatakan kebenaran dan sanggup memikul apa saja risiko. Katakanlah kebenaran itu kandatipun pahit. Apakah pemimpin Pas yang menerima keadaan itu bimbang Pas akan hilang undi kalau menolak Anwar secara terang-terangan? Jadi untuk memastikan undi daripada pengundi liberal maka mereka perlu menggunakan Anwar sebagai umpan? Begitukah? Ingatlah kita tidak boleh membawa kucing dan anjing dalam satu tangan.

Pas perlu berbuat sesuatu untuk memuktamadkan perkara ini. Pas kena putuskan secara kolektif (pinjaman istilah Abdul Hadi) mengenai kedudukan ini, dimana ia perlu melibatkan semua ahli. Kalau betul Pas yakin dan percaya berkawan dengan Anwar boleh menutupkan kemenangan kerana dosa, nah, ambil ketatapan dan tegas jangan berbolak balik. Melengah-lengahkan keputusan juga tidak baik kerana ia memberikan peluang untuk syaitan merayap lebih jauh. Kenapa kita perlu rapatkan saf dalam solat kerana tidak mahu memberi peluang syaitan mencelah. Begitu juga dengan pengurusan masa.

Mungkin satu muktamar khas untuk menentukan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat perlu diadakan. Pandangan dan pendapat ahli bawahan perlu diambil kira. Sekiranya Pas telah merasa cukup kuat untuk berdiri sendiri lakukan, dan cara itu lebih dihormati. Begitu juga kalau Pas mengira mereka lebih afdal untuk bersatu dengan Umno untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa, nah, lakukan usah merasa "semen" atau malu alah dengan sesiapa.

Ahli-ahli Pas dan orng ramai tidak akan marah kepada Pas kalau Pas mengambil keputusan meninggalkan Anwar dan Pakatan Rakyat. Pas bebas membuat pilihan dan pendirian politiknya. Dalam hal ini Pas perlu bersikap; tangan yang mencincang bahu kena sanggup memikul. Tidak ada guna Pas hidup dalam keadaan dua alam, siang menyokong dan mengatakan iya kepada Anwar, malam menentang dan mengatakan tidak kepadanya.

Pas perlu mengambil keputusan tegas kalau ianya mahu dihormati sebagai parti agama. [wm.kl.7:37 am 15/08/14]
Catatan: Artikel ini ditulis Jumaat lepas tetapi ditangguhkan penyiarannya.

Tiada ulasan: