Selasa, 12 Ogos 2014

.

.


Kerajaan Pakatan masih boleh diselamatkan?

Posted: 11 Aug 2014 09:43 PM PDT

OTAK DINGIN                                                                                   

Azmin diterima baik oleh Pas, hadir rumah terbuka Pas.
Dewan Undang Negeri (DUN) Selangor masih boleh diselamatkan dan pilihan raya semula Selangor boleh dielakkan, duit kerajaan juga boleh diselamatkan sekiranya kesemua pihak bertelagah bertafakur sekejap mencari kejernihan dan kemurian untuk semua. 

Paling utama, ialah dipihak Pas dan PKR. DAP akan akur sahaja kerana parti itu dilihat tidak banyak kuasa tawar menawar. Sekiranya kedua pihak ini berlunak dan ikhlas dalam politik mereka, keadaan yang meruncing dan gawat kini boleh diselamatkan.

Abdul Khalid Ibrahim kini sudah tidak ada apa-apa kuasa dan kesaktian peribadi lagi apabila beliau telah dipecat daripada PKR. Beliau kini persis sekujur jasad yang sudah tidak bernyawa, hanya menanti arahan selanjutnya ke mana dan bagaimana untuk dikebumikan. Laluan atau perkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepadanya semalam hanya bersifat sementara bagi menanti saat pengkebumian akan dilakukan. Mereka yang masih memujanya adalah melakukan perbuatan kurafat.

Anwar harus mengalah untuk tidak lantik Azizah.
Keputusan kini adalah ditangan Pas dengan pertimbangan daripada PKR. Sekiranya kedua pihak ini membuat pertimbangan yang baik, dengan penuh rasa "mahabbah" dan kasih sayang kepada Pakatan Rakyat serta mengambil kira perasaan ahli dan pendokongnya, sudah pasti jasad politik Khalid akan dapat dikubur segera dan perbuatan kurafat boleh dihindarkan. 

Sebaliknya kalau Pas dan PKR tidak dapat kata sepakat, apa lagi berkeras antara satu sama lain untuk merebut pesaka ditinggalkan Khalid, ia menyebabkan jasad MB Selangor itu terus terbiar dan keadaanya akan membusukkan seluruh negara.

Semalam Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan telah terbang ke Terengganu. Anwar terpaksa juga memijak negeri yang alergik baginya itu untuk berjumpa dengan Abdul Hadi Awang. Pemergian dan kunjungan Anwar itu tentulah berkisar kepada perkembangan di Selangor. Agak kontrakdik sedikit dalam hal ini. Kalau sebelum ini Abdul Hadi bersama Mustapa Ali mengunjungi Khalid Ibrahim dirumahnya, tetapi kini Anwar yang berbuat seperti mana Abdul Hadi dan Mustapa Ali lakukan itu. Begitulah dunia politik bila keadaan terdesak soal protokol diketepikan. Adat dan tradisi dilanggar.

Sehingga sekarang ini tidak ada apa-apa kenyataan akhbar dari kedua pihak hasil pertemuan itu. Hanya ada sedikit berita mengatakan Anwar sebagai berkata pertemuan itu sangat bagus. Apakah konteks "kebagusan" dimaksudkan Anwar itu? Apakah beliau dijamu dengan kueh raya oleh Abdul Hadi kerana mungkin kebetulan Abdul Hadi baru selesai berpuasa enam dan mengadakan sambutan mini hari raya? 

Atau pun kebagusan itu menunjukkan ada responsif politik yang baik daripada Presiden Pas itu. Tidak dapat didugakan apakah yang bagus itu. Cuma daripada apa yang sampai ke telinga saya sebelum ini dan dibagitahu oleh orang yang rapat dengan Abdul Hadi, Pas bersikap menyokong Khalid atas kerana Pas tidak senang kalau Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan pengganti Khalid.

"Enta cuba tuliskan yang Pas bukan tidak suka kalau Khalid dipecat, tetapi Pas tidak boleh menerima kalau Dr Wan Azizah dijadikan penggantinya. Bukan soal nepotims tetapi soal kredibiliti Dr Wan Azizah." Itulah kata dan pesan orang yang rapat dengan Abdul Hadi kepada saya menjelaskan situasi dan delima yang berlaku dalam Pas.

Dengan mengambil kira apa dimaksudkan itu, mungkin yang disebutkan Abdul Hadi kepada Anwar dalam pertemuan itu, sebagai "bagus" yang disifatkan Anwar itu, masih ada jalan untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan di Selangor dan mengelakkan pilihan raya semula diadakan. Kalau pilihan raya semula diadakan belum tentu Pakatan Rakyat dapat mengekalkan Selangor. Ini mungkin yang dibentangkan Anwar kepada Abdul Hadi dan dibalas dengan Abdul Hadi dengan cadangan lain.

Apakah Anwar akur dengan kehendak Pas itu, bahawa isterinya tidak pantas diangkat menjadi MB Selangor. Anwar mungkin sedar bahawa Pas juga perlu dilayani dan air muka Pas sebagai rakan yang penting dalam Pakatan Rakyat perlu dijaga. Perlu difahami kondisi Pas dalam Pakatan Rakyat berbeza dengan kedudukan DAP dari sudut perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair. Pas sebagai parti Islam harus menjaga syariat Islam kalau tidak ia tidak akan dilihat sebagai sebuah badan siasah Islam.

Memang ada "kulihaynya" kepada Pas kalau mereka sukar untuk menerima seorang wanita menjadi ketua. Bukan soal gender yang dipertahakan oleh Pas, tetapi soal kecaman dan kritikan yang akan dilempar kepadanya. Sudah tentu kalau Pas menerima Azizah seadanya ia akan dikritik oleh agawaman upahah di dalam Umno dan segelintir ustaz "juz amma" dalam Pas. Pas cuba mengelak parti itu dari dianggap menjadi "keldai belakang lentik" kepada PKR dan DAP oleh para musuhnya. 

Selain itu bagi Pas ia merasakan tidak terdesak untuk melantik wanita menjadi MB kerana masih ada sedozen jantan lain lagi yang berkemampuan menjadi MB Selangor dan lebih berkemampuan berbanding Azizah. Di sinilah mungkin menyebabkan berlaku sedikit percanggahan dan persefahaman antara PKR dengan Pas. Maka timbullah nama-nama dalam Pas sendiri layak untuk diangkat menjadi MB Selangor sebagai mengganti Khalid dinama penonjollan nama itu menyebabkan PKR menjadi "murih". 

Apakah cadangan dan pandangan ikhlas dinyatakan Abdul Hadi dalam pertemuan semalam, itu yang disifatkan bagus oleh Anwar? Bahawa Anwar sedia menerima pandangan Pas demi kemaslahatan bersama. Kalau pun Anwar tidak berkeras untuk membatalkan suara majoriti Adun PKR untuk melantik Azizah sebagai MB ia bukan sesuatu yang menjatuhkan maruah dan darjat politiknya malahan dianggap sebagai bijaksana kerana sanggup mengenepikan kepentingan diri demi hayat Pakatan Rakyat. Dalam situasi menggawatkan sekarang Anwar harus memikirkan soal masa depan Pakatan Rakyat daripada merasa malu dengan kegagalan pelannya untuk menggantikan Khalid dengan Azizah.

Jempol boleh diangkat kepada Anwar kalau beliau mengambil kira pandangan dan permasahan Pas berhubung pengganti Khalid itu. Inilah baru dikatakan persepakatan yang membawa berkat. Di mana saling menegur dan saling menerima pandangan antara satu sama lain. Manakala perbalahan yang meleret-leret akhirnya dapat dituntasi dengan baik. Kejayaan Pakatan Rakyat menyelesaikan kemelut MB Selangor akan dilihat rakyat akan ketulusan dan keprihatinan Pakatan kepada aspirasi mereka.

Sekiranya Anwar akur dengan kehendak Pas yang tidak begitu gemar untuk menerima Azizah menjadi MB Selangor siapakah agaknya orang yang paling layak untuk mengganti Khalid. Sebenarnya jawaban kepada persoalan ini tidak payah mana untuk dijawab. Sekiranya semua pihak dalam Pakatan menerima konsensus, pihak berhak mengganti Khalid ialah daripada PKR, sebab kerusi MB Selangor itu diperuntukan secara konsensus kepada PKR. Secara konsensus, faham elok-elok terutamanya bagi mereka yang berotak kemetot.

Bila menyuluh tokoh atau calon lain daripada PKR pula, selepas Azizah sebagai presiden tidak boleh diterima secara bulat, tentulah orang yang berada dilapisan kedua selepas Azizah. Hari ini tokoh kedua ialah Mohamed Azmin Ali yang merupakan Adun Bukit Antarabangsa dan juga ahli parlimen Gombak. Apabila disebut Azmin bukan bermakna kerana Azmin berhajat kepada jawatan itu, tetapi ia dilihat kepada sinioriti di dalam Pakatan Rakyat, lagi pun Azmin memang dijadikan calon rezeb. Buktinya dalam pilihan raya ke-13 beliau bertanding dua kerusi Dun dan Parlimen sama dengan Khalid. Untuk apa dan kenapa?

Ia makin relevan apabila Azmin sudah diumumkan secara tidak rasmi memenangi jawatan timbalan presiden PKR dengan mengalah Saifuddin Nasution Ismail. Azmin dilaporkan mengutip undi sebanyak 22,557 manakala Saifuddin 10,742. Seorang lagi pencabar jawatan itu Abdul Khalid Ibrahim sudah terbuang secara automatik dari perebutan itu apabila beliau hilang kelayakan mutlak apabila dipecat daripada PKR. Kalau pun beliau masih valiad dengan jawatan itu Khalid juga kalah. 

Dengan kedudukan itu, calon atau tokoh paling layak untuk mengganti Khalid selepas Azizah dinafikan dari segi hierarki parti ialah Mohamed Azmin Ali. 

Memang sebelum ini ada penentangan dari kalangan PKR sendiri terhadap Azmin untuk dilantik menjadi MB. Penentangan itu paling menonjol wujud dalam kalangan penyokong Khalid Ibrahim. Mereka inilah yang "menghalak" dan menghasut Khalid agar merebut jawatan timbalan presiden PKR demi survivel jawatan sebagai MB. Mulanya Khaldi tidak berminat dan sedia menerima percaturan parti, tetapi kerana termakan hasut akhirnya beliau melakukan putaran 360 darjah untuk ikut sama merebut jawatan timbalan presiden. Dan gara-gara mengikut telunjuk akhirnya Khalid jatuh terjelapak kini.

Kini Khalid telah pun tidak ada dalam gelanggang lagi. Apa yang berlaku merupakan satu takdir untuk menyelamatkan PKR sebenarnya. Seluruh ahli PKR termasuk penyokong tegar Khalid yang membaca Yassin dan bersolat hajat di kediaman MB, kena memahami hakikat ini. Orang yang menentang Azmin untuk dilantik menjadi MB juga harus mengakui dan menerima hakikat ini, bahawa manusia boleh berikhtiar tetapi penentunya daripada Allah juga. 

Sekiranya mereka sayang kepada PKR, perubahan dan takdir ini perlu diterima sebagai satu ujian bagi menguatkan perpaduan dalam PKR khasnya dan Pakatan amnya.

Baik dipihak penyokong Wan Azizah penyokong Saifuddin dan penyokong Khalid yang masih menjadi anggota PKR perlu membersihkan diri dan mengendurkan perasaan amarah masing-masing. Mereka perlu menunjukkan semangat kepartian yang tinggi. Kembalikan niat dan nawaitu asal perjuangan untuk mejatuhkan UBN bukannya menjatuhkan sesama sendiri. Dalam konteks ini peranan boleh dimainkan oleh Anwar Ibrahim serta Abdul Hadi Awang.

Baik Anwar atau Abdul Hadi jangan mudah termakan dengan adu domba musuh baik dari dalam parti atau di luar yang ingin melagakan antara satu sama lain agar Azmin tidak dilantik menjadi MB. Memang ada sesetengah pihak yang dijarumi Umno sengaja mencipta isu untuk menafikan hak Azmin. Anwar dan Abdul Hadi yang kini sudah berkayuh dan hanyut ke ujung usia perjuangan jangan sesekali meninggalkan legasi yang menghitamkan dakwat sejarah politik mereka.

Desas desus mengatakan Pas ada menunjukkan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad sebagai menjadi pengganti Khalid perlu dihentikan kerana cara itu juga boleh dianggap sebagai tidak menghormati hak multak PKR. Pas dalam soal ini tidak boleh berdalih untuk tidak menerima Azmin, lagi kerana Azmin bukan seorang wanita seperti Dr Wan Azizah yang dijadikan alasan oleh Pas. Rasanya Pas tidak ada apa-apa masalah dengan Azmin dan timbalan presiden PKR itu juga baik dengan semua pemimpin Pas. 

Jadi formula bagi menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan menghindarkan daripada diadakan pilihan raya semula, ialah dengan mengambil Azmin sebagai calon alternatif sebagai mengganti Khalid Ibrahim. Walaupun Azmin sememang berhak dan layak dari segi kedudukanya, tetapi untuk tidak memperlihatkan Azmin menang dalam pertaruhan dan perkucahan ini, katakanlah bahawa Azmin adalah calon alternatif MB Selangor terbagus untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan. [wm.kl.12.09 t/hari 12/08/14]

Nasib Khalid makin jelas ditangan Pas

Posted: 11 Aug 2014 06:03 AM PDT

TELAHAN MALAM                                                                            

Sultan beri perkenan terus jalankan tugas MB.
[kemaskini] Hari ini kemelut politik dalam PKR Selangor yang merebak ke dalam Pakatan Rakyat sudah hampir ke kemuncaknya dan sudah menampakkan denai-denai penghabisan. Puak yang mendokong Khalid Ibrahim mungkin merasa lega apabila Majlis Dewan Diraja Selangor telah menasihatkan Sultan Selangor supaya memberi laluan kepada Khalid untuk terus jadi MB Selangor.

Dengan mempercayai bahawa Khalid masih mendapat kepercayaan Adun Selangor, Sultan Selangor memberi perkenan supaya Khalid terus menjadi MB Selangor. Tetapi perkenaan itu tidak merupakan sesuatu yang muktamad dan sahih. Ia mungkin berlaku setakat beberapa hari sahaja, paling lama sehingga Pas mengadakan mesyuarat jawatankuasanya yang dijangka 17 Ogos setelah ditunda sebanyak dua kali, 10 dan 13 Ogos.

Pengakuan Khalid kepada Sultan Selangor kononnya dia mendapat kepercayaan Adun Selangor meragukan kerana tidak ada bukti jelas atau pun sebarang pernyataan bertulis. Khalid hanya beranggapan dia mendapat sokongan ahli Dewan dengan berpandukan kepada kenyataan akhbar kononnya empat Exco daripada Pas kekal bersamanya serta pengakuan media yang 12 Adun Umno menyokongnya sebagai bukti beliau masih mendapat sokongan.

Tidak ada apa-apa surat pernyataan yang ditanda tangani oleh ke empat Exco Pas itu menunjukkan apa yang didakwa oleh Khalid tidak sahih. Agak menghairankan juga macam mana Sultan boleh mempercayai Khalid tanpa ada bukti nyata? Barang kali inilah dikatakan budibicara.

Jika dihitung angka-angka yang disebut Khalid itu ini bermakna hanya 16 orang Adun sahaja yang menyokongnya semantara 39 orang Adun lagi masih menjadi tanda tanya. 39 Adun itu 15 daripada DAP, 13 daripada PKR dan 11 daripada Pas. Sekiranya 39 Adun ini tidak menyokongnya macam mana beliau boleh mempersembahkan kononnya beliau mendapat sokongan ahli DUN? Selangor. Bukankan itu satu penipuan atau mempermainkan sultan?

DAP telah menyatakan yang kesemua 15 Adun mereka hilang kepercayaan kepada Khalid. Persoalan kini apakah 13 Adun PKR dan 11 Adun Pas menyokong Khalid atau pun tidak?

Secara gentlemannya Khalid tidak layak untuk memaklumkan kepada Sultan yang beliau masih mendapat sokongan ahli dewan kerana tidak ada pernyataan bersurat berhubung sokongan berkenaan. Kemusykilan juga timbul berhubung hal ini sejauh manak pihak Istana atau Sultan mempertimbangkan keadaan ini yang masih dalam samar-samar ini? Apakah pihak Istana juga berpihak kepada Khalid?

Sementara itu seperti mana yang diduga awal-awal Khalid akan membawa kes pemecatannya ke mahkmah untuk membuka ruang kepadanya bertindak mempertahankan kedudukannya. Tindakan undang-undang ini adalah jalan bagi dia mendapat "tali hayat" untuk tidak berundur walaupun beliau sudah hilang hak dari segi perlembagaan parti.

Tindakan mahkamah atau perundangan adalah untuk melengah-lengahkan masa membolehkah MB itu terus berada di pejabat MB dan bekerja seperti biasa termasuk meluluskan apa-apa projek yang dirancang.

Khalid akan terus berada di pejabat MB sehinggalah mahkamah atau undang-undang memberi penjelasan dan kata putus dalam soal ini. Manakala Sultan pula dipecayai akan memberi kata dua berpandukan kepada perkembangan seterusnya. Langkah ini disengajakan Khalid. Dalam ruang ini juga beliau akan terus mencari pengaruh bagi mendapat sokongan daripada Pas dan juga beberapa Adun PKR.

Perkembangan selanjutnya mengenai nasib Khalid akan ditentukan oleh Pas. Khalid telah eksplotasi kenyataan media Pas dibuat Mustapa Ali menyatakan Exco Pas kekal. Di sinilah Pas menjadi pemegang anak kunci kepada ketentuan nasib Khalid. Pas boleh mengambil kesempatan dalam situasi hari ini termasuk memiliki jawatan MB menerusi Khalid.

Dengan sokongan kesemua ahli Pas 15 dicampur dengan Umno 12 menjadi 27, Khalid boleh kekal sebagai MB dengan mendapat kepercayaan anggota Dewan. Kekurangan dua Adun untuk mendapat majoriti Khalid mungkin akan berusaha untuk mendapat sokongan sekurang-kurang dua anggota Adun PKR.

Umno telah membuat kejutan apabila menyatakan kesemua Adunnya akan memberi sokongan kepada Khalid. Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Mohd Yassin mengatakan sokongan itu adalah ikhlas bukan ada apa-apa udang disebalik batu? Sokongan Umno itu yang dianggap pelik dan diluar moral politik itu sebenarnya tidak memelikkan apabila menyelidik dan membelek politik Umno selama ini.

Dalam tempoh 48 jam ini sangat penting bagi Khalid dan juga PKR khasnya bagi menentukan nasib masing-masing. Sudah tentu mulai semalam Khalid atau agennya sedang berusaha untuk mendapatkan korum bagi mengekalkannya sebagai MB. Harga Adun Pas dan PKR juga ketika ini naik mendadak. Mana-mana Adun yang bersedia untuk mengkhianati Pakatan Rakyat dan memalukan Anwar Ibrahim bakal menerima bayaran lumayan dan boleh berbuat mengikut kehendak sendiri.

Saya tidak mahu maralkan apa-apa di sini, tetapi kita sama-sama tunggu siapakah dalam kalangan 11 Adun Pas dan 11 Adun PKR akan sedia untuk menjual maruah mereka dengan bertindak berpaling tadah atau pun mengkhianati semangat Pakatan Rakyat. Saya yakin kesemua Adun DAP 15 orang akan konsisten dengan pendirian mereka menolak Khalid, termasuk juga tiga Exco mereka akan mengambil tindakan meletak jawatan.

Apakah Pas akan memberi arahan kepada empat Exco dan 11 Adunnya terus menyokong Khalid atau tidak? Perlu diingat Pas akan dinilai oleh seluruh pengundi dan rakyat Malaysia mengenai wibawa politiknya. Dalam pada itu pada pengamatan saya berpandukan senario dalam Pas berhubung kronologi krisis MB ini Pas mungkin akan turut membuat kejutan politik sama dengan Umno, menyokong Khalid? Kalau itu berlaku maka celakalah Pas bagi pencinta Pakatan Rakyat dan mereka berdendam dengan Umno [wkl.kl. 9:02 pm 11/08/14]

Tiada ulasan: