Ahad, 10 Ogos 2014

.

.


Pas jangan pecah gara-gara Khalid

Posted: 09 Aug 2014 09:16 PM PDT

ISU KHALID                                                                                       

Apabila PKR telah menggunakan kuasa perlembagaan yang ada kepadanya untuk memecat Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu, Pas sudah tidak ada hak lagi untuk mempertahankan Khalid dalam konteks dia ada hubungan dengan Pakatan Rakyat. Khalid kini bukan lagi warga Pakatan Rakyat. Dia adalah ahli bebas yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti. Posisi Khalid dari segi politik dengan Pas samalah dengan kedudukan Inchek Ibrahim Ali di Pasir Mas.

Bagi orang yang berfikir secara logik dan menghormati perlembagaan dan undang-undang pertubuhan tidak akan memperdulikan lagi kepada Khalid. Hak dan tanggungjawab itu sudah tidak ada. Sebahagian pimpinan Pas sebelum ini mempertahankan Khalid. Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas sampai membuat mesyuarat di Kota Bharu untuk mempertahankan Khalid.

Sebelum mesyuarat, Presiden Pas telah membelakangkan keputusan konsensus majlis presiden mengumumkan sokongan terbuka kepada Khalid. Ia diturut bantu oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz juga mempertahankan Khalid.

Kini kerja-kerja Pas untuk mempertahankan Khalid sudah pun berakhir. Seperti dikatakan tadi dari sudut peraturan sebuah organisasi Khalid tidak ada kaitan apa-apa dengan Pas. Mungkin atas sifat manusia (kawan atau jiran) mungkin orang Pas boleh bersimpati kepadanya tetapi bukan dalam konteks politik.

Tanggungjawab dan fungsi berorganisasi ini patut difahami oleh semua orang. Jangan ada kekeliruan pula ada yang mengatakan pemecatan Khalid itu sebagai satu kezaliman. Kepada sesetengah penyokong Pas yang menyayangi Khalid  mungkin kerana termakan buah tangan perlu faham hakikat ini. Tidak apa-apa kezaliman atas pemecatan itu melainkan ia proses politik yang biasa sahaja.

Semasa Hassan Akidah (Hasan Ahli) dipecat oleh Pas satu masa dahulu, apakah ada mana-mana pihak daripada PKR atau DAP mempertikaikan tindakan Pas memecat Hasan Akidah itu. Walhal pemecatan Hasan Akidah itu dibantah oleh segelitir ahli Pas. Mereka menganggap pemecatan itu sebagai tidak adil dan zalim.

Tetapi tidak ada mana-mana pemimpin PKR mempertikaikan tindakan Pas itu. Kenapa? Sebabnya mereka memahami bahawa urusan memecat Hasan sebagai ahli Pas itu adalah sebagai hak mutlak Pas. Rakan Pas perlu menghormati keputusan Pas itu sebagai urusan rumah tangganya walaupun Hasan itu adalah rakan karib mereka. Kenapa pula bila PKR pecat Khalid ada orang Pas yang iseng mempertahankan Khalid? Dimanakah logik dan asasnya?

Mereka yang bersolat hajat di rumah Khalid kerana mempertahankan Khalid juga wajar menghentikan tindakan mereka. Tindakan mereka membela dan mempertahankan Khalid sudah tidak relevan lagi. Bahkan tindakan itu diketawakan kerana ia satu aksi politik yang dangkal.

Macam kedudukan Hasan Akidah sebagai Exco dahulu, ramai yang sayang dengan kedudukan itu dan mahukan Hasan kekal. Tetapi peraturan dan amalan dalam parti menyebabkan beliau terpaksa berundur sebagai Exco kerajaan apabila sudah tidak mewakili mana-mana parti politik. Dalam kes seumpama ini Hasan lebih bermaruah daripada Khalid, kalau Khalid tidak memunggah barang-barangannya di pejabat MB esok

Dan Pas sendiri terpaksa mengambil keputusan memedihkan itu apabila Hasan telah melanggar peraturan parti. Nah.. begitu jugalah tindakan PKR dalam kasus Khalid itu.

Lainlah kalau Khalid akan memohon menyertai Pas esok dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas. Maka orang-orang Pas termasuk mereka yang bersolat hajat boleh terus berkubu di rumah Khalid untuk solat hajat, bermunajat dan berzikir meminta proses pengekalkan Khalid sebagai MB atas tikit Pas dikekalkan. Apakah Khalid sudah masuk Pas. Abdul Hadi pun dilaporkan ada memberi jaminan kepada Khalid.

Masa tinggal beberapa jam lagi. Mungkin perbincangan mendalam sedang dilakukan ke mana Khalid hendak pergi selepas ini. Sertai Pas atau berjumpa Sultan minta dibubarkan DUN. Mungkin bagi mereka yang waras akan bertanya apakah Pas sedia menerima Khalid sebagai ahli partinya kemudian kekal sebagai MB?

Apakah tindakan Pas itu sebagai bukan pengkhinatan kepada PKR. Kalau Pas menerima Khalid sebagai anggota partinya, ini bermakna Pas telah menghunuskan pedang "perang Salib" kepada PKR dan juga Pakatan Rakyat. Saya tidak fikir PKR reda dan sedia menerima hakikat itu. Sebagai janda yang masih belum habis edah PKR tidak sanggup untuk melihat Khalid tidur bersama suami barunya, Pas.

Jika ini juga berlaku Khalid belum tentu selamat. Suka atau tidak, berjaya atau tidak Khalid akan berdepan dengan undi tidak percaya di DUN Selangor. Impilikasi dan risiko ini seharusnya dikaji dengan teliti oleh Pas. Jangan pula Pas menjadi lebai malang yang dikejar tidak dapat yang dicicir tidak kedapatan.

Sokongan moral yang diberikan Pas kepada Khalid sebelum ini sudah cukup untuk menyakit hati PKR dan mengilankan hati DAP. Pas harus bertindak bijaksana menjaga keutuhan persepakatan. Lainlah kalau Pas sudah membuat keputusan akan berpisah dengan PKR dan DAP dan meninggalkan Pakatan Rakyat kerana untuk bersama BN.

Kalau Pas mengambil keputusan meninggal Pakatan Rakyat dan kembali bersatu sekali lagi dengan Umno menerus BN, tindakan ini juga tidak boleh disalahkan Pas. Ia adalah keputusan Pas secara mutlak. PKR dan DAP tidak boleh memberi apa-apa nasihat atau pun ugutan kepada Pas. Atas politik itu sendiri bukan sesuatu yang "qadim" ia boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Boleh jadi juga selepas ini Pas berpecah dua menyebabkan akan wujud fraksi baru dalam Pas yang akan membentuk sebuah parti baru?

Kita sedang meneliti hal ini dari jam ke jam. Waktu ini semua individu penting dalam ketiga-tiga parti itu Pakatan Rakyat sibuk dan sedang rapat mencari solusi terbaik. [wm.kl.12:06 10/08/14]

Pemecatan Khalid, ada dua kemungkinan berlaku

Posted: 09 Aug 2014 07:36 AM PDT

PEMECATAN KHALID                                                                        

Hari ini dalam sejarah, Khalid Ibrahim yang pada masa ini memegang jawatan MB Selangor telah dicadangkan dipecat oleh Lembaga Disiplin partinya (PKR) yang bersidang hari ini. Alasan untuk memecat Khalid ialah kerana beliau telah melanggar arahan parti. Salah satu pelanggaran dilakukan Khalid ialah enggan berundur dari kerusi MB Selangor walaupun beliau diminta berbuat demikian secara baik.

Pemecatan Khalid daripada PKR sudah diduga tetapi ia tidak difikirkan tindakan itu diambil secara drastik. Sebelum ini Khalid meminta lembaga itu menangguhkan keputusan tindakan ke atasnya atas alasan biarlah siasatan tuduhan ke atasnya selesai dilaksanakan.

Tetapi Lembaga Disiplin parti berkenaan sudah tidak dapat bersabar dan keputusan dibuat agar Khalid dipecat terus dari parti berkenaan.

Dengan perkembangan baru itu kemelut di Selangor memasuki fasal baru yang lebih ditunggu pemerhati dan juga ahli dan parti politik, apakah akan jadi dengan Khalid. Apakah Khalid akan akur dengan keputusan Lembaga Disipilin itu dengan memunggah keluar barangan peribadinya dari pejabat MB atau tidak?

Itulah yang sepatutnya berlaku kalau Khalid seorang yang ada integriti dan ada air muka. Secara amalannya apabila beliau sudah tidak menjadi ahli parti yang mendapat dokongan dalam DUN Selangor beliau sudah hilang kelayakan sebagai MB. Jika dia masih tercokoh di situ ini bermakna Khalid tidak ada air muka dan tahu malu.

Bagaiaman pun kenyataan awal Khalid atas apa yang berlaku menampakkan dia tidak mudah untuk keluar dari pejabat MB. Seakan beliau bersedia untuk berlawan dengan partinya sampai hancur macam pesawat MH17. Dia seolah-olah yakin dia akan dibela oleh rakyat Selangor.

Alasan yang diberikan dia akan menghadap Sultan dan mahu mendapat pandangan daripada Sultan terlebih dahulu. Ertinya Khalid akan mendengar apa yang Sultan katakan kepadanya dan tidak mempedulikan apa yang partinya lakukan. Pemerhatian kini tertumpu kepada apa ulasan pihak Istana. Tindakan Khalid itu menunjukkan dia tidak "berdegis" dengan keputusan lembaga disiplin itu.

Cara Khalid itu juga secara tidak langsung telah meletakkan Istana ke dalam krisis yang berlaku itu. Sekiranya Sultan berpihak kepada Khalid akan timbul persepsi yang Istana juga mencapuri urusan politik.

Untuk malam ini saya melihat ada dua kemungkinan yang bakal dilakukan oleh Khalid. Sekiranya dia menghadap Sultan, dan sultan memberi simpati kepadanya, bererti dia tidak akan keluar dari pejabat MB. Boleh jadi juga dia akan terus membela dirinya dengan membawa pemecatan itu ke mahkamah. Dia akan meminta pengistyharan mahkamah sama keputusan dibuat Lembaga Disipilin yang dikatakan cacat sah atau tidak.

Samentera mahkamah membuat keputusan beliau ada ruang untuk berfikir bagi tindakan selanjutnya. Pelaung itu juga memberi kesempatan untuk parti-parti dalam Pakatan berfikir mencari jalan terbaik. Terutamanya Pas yang sebelum ini menunjukkan simpati kepada Khalid dalam keadaan serba salah.

Ada kemungkinan juga sekiranya Khalid berasakan dia tidak ada kekuatan dan sokongan sebagai jalan keluar beliau akan menasihati Sultan membubar DUN Selangor apabila mendapat signal daripada Sultan? Apakah keadaan ini akan berlaku. Khalid sehingga malam ini masih MB Selangor dan beliau masih ada kuasa untuk menasihati Sultan.

Dalam perkembangan lain tindakan Lembaga Disiplin yang mencadangkan Khalid dipecat menunjukkan lembaga itu tidak mengambil peduli kepada hasrat Majis Syura Ulamak (MSU) Pas yang mahukan Khalid dikekalkan menjadi MB. Keputusan segera lemabaga itu seolah-olah ingin membalas dendam ke atas tindakan MSU Pas yang membuat keputusan tanpa mengambil kira semangat permaufakatan dalam Pakatan Rakyat.

Ulasan dan perkembangan seterusnya akan menyusul. [wm.kl.10:26 pm 09/08/14]

Tiada ulasan: