Ahad, 24 Ogos 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Tahniah buat Tuan Guru Presiden PAS

Posted: 24 Aug 2014 08:02 AM PDT

OLEH MOHD NASAIE ISMAIL

Gembira bercampur lega dengan pelantikan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai salah seorang Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipimpin oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Beliau dilantik bersama Mufti Oman. Manakala Tuan Guru Abdul Hadi sendiri ulama yang terjun dalam politik kepartian di Malaysia menggambarkan keterbukaan Sheikh Yusuf Al-Qardhawi dan ulama-ulama Islam seluruh dunia yang menyertai muktamar kesatuan tersebut.

Ia berlaku di tengah dunia Islam berada di persimpangan dan sebahagian umat Islam tercari cari identiti. Ketika dunia hampir melupakan fobia Taliban, muncul pula gerakan ISIS@ISIL yang mengundang fitnah baru kepada dunia Islam. Ketika dunia Arab baru menikmati kebebasan demokrasi pasca Arab Spring, penggulingan Mursi di Mesir melahirkan kekecewaan terhadap demokrasi tersebut. Maka muncullah gerakan gerakan persenjataan yang diminati oleh sebahagian anak muda Islam yang kecewa dengan pendekatan demokrasi yang damai tersebut.

Tuan Guru Abdul Hadi mempertahankan pendekatan damai dalam menyelesaikan sebarang konflik dunia khususnya di Syria dan Mesir kini. Namun kadang kala ijtihad beliau dilihat bersendirian, hatta sebahagian kita di Malaysia pun ramai menolak ijtihad beliau dalam hal tersebut tanpa melihat lebih dalam.

Apabila berlaku peperangan, di luarnya dilihat mudah, tetali untuk jangka masa yang panjang kemusnahan akan berlaku dan sukar dibangunkan.

Kemudian suasana perang mudah dimanipulasi oleh kuasa kuasa besar untuk mencatur sesuatu yang akhirnya merugikan dunia Islam. Itulah yang berlaku di Afghanistan dan Iraq serta berpotensi berlaku di Syria.

Kejayaan Tuan Guru merintis perdamaian di Aceh Indonesia setelah berpuluh tahun hidup dalam peperangan adalah satu contoh yang baik untuk diteladani.

Alhamdulillah, anak-anak Aceh hari ini menikmati suasana damai dan fokus mereka membangunkan ummah dan negeri mereka dengan baik.

Cara fikir Tuan Guru ini dikongsi bersama guru beliau Dr Najmuddin Erbakan, anak muridnya juga Erdogan, Dr Kamal Halbawi dan beberapa tokoh lain daripada pelbagai negara dan mazhab.

Namun pasca pemergian Erbakan pada tahun 2011, dilihat ijtihad jalan damai Tuan Guru seolah-olah bersendirian dan terpencil.

Kita bukan bimbang ijtihad ditolak, tetapi bimbangkan dunia Islam terjerumus secara besar ke kancah peperangan dan extremism semakin berleluasa yang menyebabkan mudah kita menjadi bidak catur kuasa kuasa barat.

Namun cadangan Sheikh Yusuf Al Qardhawi dan penerimaan sebulat suara ahli muktamar yang terdiri daripada ulama-ulama Islam seluruh dunia terhadap pencalonan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia memberi satu siar harapan yang cerah.

Sebagaimana Allah memanjangkan usia Dr Yusuf Al Qardhawi sehingga 87 tahun hari ini, begitu juga harapannya agar Allah panjangkan usia Tuan Guru Abdul Hadi yang kini berusia 67 tahun untuk memimpin dan membimbing dunia Islam ke tahap menjadi ummat lebih bermaruah, bukan dipijak dan dihina sebagimana di Palestin dan lain lain wilayah Islam.

Sebagaimana kerajaan Qatar yang menjadikan negaranya sebagai pengkalan dan pejabat kepada Sheikh Qardhawi, begitulah selayaknya kerajaan Malaysia perlu menyediakan sebuah institusi dan pejabat untuk pergerakan Sheikh Abdul Hadi Awang sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bergembiralah orang yang sabar

Posted: 24 Aug 2014 01:25 AM PDT

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN

KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji oleh-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad ayat ke-31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami), dan hingga kami dapat memastikan keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.

Kesemua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah SWT akan menyeksanya. Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya yang bermaksud: Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: …Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar: 10)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam Al-Auza'i: "Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira banyaknya)."

Sentiasa menguji

Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh Allah SWT. Bahkan, Allah sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabad yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (riwayat al-Bukhari)
Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT adalah antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya. (riwayat Muslim)

Bersabar bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang bertakwa. Ia memerlukan semangat dan kefahaman agama yang baik agar ketika ia datang menimpa, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti menyalahkan Allah, membunuh diri dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya besarnya balasan (pahala) tergantung daripada besarnya ujian (yang dihadapi) dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Namun, sesiapa yang murka (marah dengan ujian Allah) maka baginya kemurkaan Allah." (riwayat al-Tirmizi)

4 golongan lelaki ditarik wanita ke neraka

Posted: 24 Aug 2014 12:43 AM PDT

Pertama Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anakanak perempuannya di dunia, dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya, dia membiarkan anakanak perempuannya tidak menutup aurat... tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja, maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua Suaminya
Apabila seorang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya, bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan golongan lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiamkan diri...walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh kepada abang-abang dan juga adikadik lelakinya ...jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat Anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak... nantilah tarikan ibunya.
Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat tarikannya begitu hebat., maka golongan lelaki yang bergelar ayah/ suami/ abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar agar tidak melakukan kesilapan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Lelaki itu pemimpin ke atas wanita" (Al-Maidah:34). Firman- Nya lagi – "Hai anak Adam peliharalah diri kamu serta ahlimu daripada api neraka, di mana bahan pembakarnya ialah manusia dan batu-batu..." "Hai wanita, kasihanilah ayah anda, suami anda, abangabang (adik-adik lelaki) anda serta anak-anak lelaki anda... kasihanilah mereka dan diri kamu sendiri......jalankan perintah Allah SWT dengan bersungguhsungguh dan dengan ikhlas.

Akhir kata, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat daripada ditarik dan tertarik… oleh mana-mana pihak.

Harga seseorang Muslim adalah sangat berharga. Allah SWT nilaikan seseorang Muslim dengan syurga… semua Muslim masuk syurga... janganlah kita membuang atau tidak mengendahkan janji Allah SWT. Semoga kita semua tergolong dari ahli syurga yang memasukinya tanpa hisab.

Tiada ulasan: