Khamis, 14 Ogos 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Puasa enam Syawal hadiah ingatan Nabi

Posted: 12 Aug 2014 07:33 PM PDT

NABI Muhammad s.a.w merupakan rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini, baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifatsifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).

Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun MinALLah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).

Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.
Begitulah halnnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan daripada umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masihi 365 hari.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad )

Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mikraj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjdai lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.

Izin suami untuk puasa enam Walaupun dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapatkan izin suaminya terlebih dahulu, kerana puasa enam tersebut adalah sunat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami reda dengan pelaksanaan puasa tersebut.

Apatah lagi jika seorang isteri yang tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syar'ie, dia digalakkan untuk mengqada'nya pada bulan Syawal diniatkan untuk qada' puasa di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, insya-Allah dengan cara itu dia tidak akan terlepas untuk mendapatkan pahala setahun berpuasa.

Bagaimana dengan sikap kita terhadap baginda Rasulullah? Kalau disebutkan di atas tadi bahawa, baginda sering mengenang dan mengingatkan umatnya dalam segenap tindakannya, bagaimana pula dengan diri kita yang serba kurang dan kerdil apabila berhadapan dengan Allah SWT.

Apakah setiap tindakan, perbuatan, kenyataan, perakuan yang terbit daripada diri lidah kita yang tidak bertulang itu memperlihatkan kita benar-benar mengenang dan mengingati Nabi ajaran Muhammad s.a.w.

Benarkah kita mengingati Nabi ketika membuat keputusan mesyuarat tidak sedikit pun menyingung peribadi atau ajaran baginda.

Dalam banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara kita hari ini termasuk masalah remaja, mereka jarang sekali menyelesaikannya dengan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda menerusi wahyu al- Quran, masalah perzinaan sebagai contoh, apabila sabit kesalahan dengan saksi-saksi yang ada, sepatutnya bagi orang yang berzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan yang belum kahwin disebat, tetapi ajaran Nabi Muhammad s.a.w. ini ditukar kepada undang-undang denda dan penjara.

Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan mereka mendapatkan syafaat (recommend) baginda pada hari kiamat? Tepuk dada tanda iman.

Menghargai erti kemerdekaan

Posted: 12 Aug 2014 07:12 PM PDT

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

UMAT Islam masih lagi berada di bulan Syawal dan masih banyak lagi rumah-rumah terbuka yang akan diadakan sepanjang bulan ini. Tanpa kita sedar juga kita telah memasuki bulan Ogos untuk tahun ini. Ogos adalah bulan di mana negara merayakan ulang tahun kemerdekaan. Perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sesungguhnya telah membawa kepada perubahan negara daripada dijajah kepada pentadbiran sendiri.

Namun setelah 57 tahun mencapai kemerdekaan adakah rakyat negara ini telah mengisi kemerdekaan tersebut dengan sewajarnya? Dalam tempoh 57 tahun ini negara kita bebas daripada sebarang perbalahan besar antara kaum melainkan satu insiden pada 13 Mei 1969. Rekod Malaysia yang amat cemerlang ini merupakan manifestasi susun atur budaya dan kaum di Malaysia berada di jaluran yang betul.

Namun, kebelakangan ini saya melihat rakyat Malaysia sudah terlalu dibahagikan oleh segmen politik kepartian sehingga setiap kali isu berbangkit neraca politik kepartianlah yang akan dicanai ke sana ke mari. Parameter inilah sebenarnya yang telah memecahkan kesepakatan rakyat Malaysia kini. Fenomena ini harus ditangani dengan segera agar ia tidak menjadi barah yang sukar dikawal lagi nanti.

Kemerdekaan negara yang dikecapi melalui rundingan dengan pihak British dan persefahaman antara tiga kaum utama di dalam negara mestilah dihargai. Perjanjian yang disepakati tersebut janganlah dipecahkan. Kelak ia akan memakan diri.

Jati diri negara seperti yang diacu Perlembagaan Persekutuan disulami dengan prinsip-prinsip Rukun Negara juga perlu dipertahankan. Hanya dengan cara ini sahaja kita boleh menggarap suatu negara yang maju, berjaya dan mempunyai jati diri.

Walaupun negara ketika ini sedang diuji dengan pelbagai ujian seperti tragedi MH370 dan MH17, kawalan sempadan di Sabah bolos dang banyak lagi, inilah masanya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengenepikan ideologi politik dan bersatu demi negara.

Jadikanlah tanggal 31 Ogos tahun ini sebagai tarikh untuk kita sama-sama menganjak minda kita untuk berubah mencorak Malaysia yang lebih maju dan saksama. Walaupun terdapat pelbagai usaha sesetengah golongan yang tidak senang dengan kesepakatan rakyat dan susun atur yang telah lama diamalkan ini, rakyat Malaysia arus perdana mestilah mengambil usaha bagi menolak pandangan picisan ini yang akan membawa kepada keruntuhan negara.

Sejarah negara telah terbukti menjadikan Malaysia sebuah negara dihormati dan mendapat pelbagai pujian luar. Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang aman dan maju serta menjadi contoh kepada umat Islam dari negara lain.

Piawaian tinggi Malaysia ini tidak akan dapat dikecapi tanpa formula kesepakatan dan keamanan di dalam negara. Mungkin formula ini yang ingin dirungkai oleh kalangan yang masih tidak berpuas hati dengan kejayaan Malaysia ini.

Tiada ulasan: