Jumaat, 4 Julai 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Ku Nan Mahu Bersihkan KL daripada Pengemis, Bekas Mufti Perlis Tuntut KL Bersihkan Pusat Hiburan

Posted: 03 Jul 2014 08:09 PM PDT

Sekadar hiasan.
[The Malaysian Insider] Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut mencadangkan kerajaan membersihkan Kuala Lumpur daripada pusat hiburan selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu negara.

Asri berkata, bagi menjaga imej negara Islam itu sendiri, ibu negara seharusnya aman dan selamat buat pengunjungnya.

"Kepada pihak yang ingin membersihkan bandaraya Kuala Lumpur daripada peminta dan pemberi sedekah atas alasan ingin elak Kuala Lumpur tercemar serta untuk menjaga nama baik ibu kota negara Islam ini, mohon saya mencadangkan atas hasrat baik pihak tuan agar pihak tuan membersihkan Kuala Lumpur daripada pusat hiburan dan segala aktiviti yang merosak dan meruntuhkan moral dan akhlak manusia," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Dr Maza.com.

Beliau berkata, kerajaan juga seharusnya menunjukkan dakwaan berpegang kepada Islam dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang melambangkan kemakmuran dan kesantunan.

"Jadikanlah ia kota yang selamat dan berkat. Makmurkan ia dengan kesantunan dan kemakmuran yang mendamaikan jiwa setiap pengunjung.

"Jadikanlah ia kota yang setiap orang masuk ke dalamnya merasa aman untuk dirinya, keluarganya dan temannya.

"Buktikanlah dakwaan ini negara yang berpegang kepada Islam dan ibu kotanya juga tentu melambangkan kemakmuran, kedamaian, keluhuran budi dan kesantunan moral selaras dengan kehendak Islam yang membangunkan manusia dan kemanusiaan," katanya.

Tengku Adnan sebelum ini dikritik hebat kerana melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu kota berkenaan.

Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah dan pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.

"Mengenai golongan tidak berumah ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.

"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," katanya.

Tengku Adnan berkata, meskipun tindakan tersebut kelihatan kejam namun ia terpaksa dilakukan untuk mendisplinkan masyarakat.

Katanya, NGO berkenaan juga perlu mencari lokasi lain luar dari pusat bandar sekiranya mahu memberikan makanan percuma.

Tengku Adnan berkata, DBKL juga menetapkan jarak 2km dari pusat bandar bagi NGO untuk memberikan makanan percuma.

"Kalau mereka hendak bagi makan jangan bagi makan dalam bandar paling kurang 2km dari pusat beli-belah Lot 10," katanya. – Mohd Farhan Darwis/ 4 Julai, 2014.


Blogger Mesra UMNO, Kerja Nelayan, Rumah....

Posted: 03 Jul 2014 06:27 PM PDT

Paparan skrin yang tersebar di internet. Disalin dan tampal dari blog Omakkau.
DCM malas nak menulis panjang fasal blogger yang suatu ketika dahulu cukup terkenal dengan kiriman yang berunsur lucah dan fitnah sehingga disaman oleh pelbagai pihak termasuk oleh DSAI. 

Berdasarkan laporan media, blogger ini mendakwa tidak mampu membayar saman yang dikenakan terhadap dirinya oleh mahkamah selepas didapati bersalah menfitnah DSAI. Katanya, dia hanya mampu membayar saman berjumlah lebih RM800 ribu itu secara ansuran sebanyak RM100 sebulan kerana kononnya dia kini bekerja sebagai nelayan.

Namun, sejak semalam, heboh fasal paparan skrin yang didakwa dirakam daripada akaun FB blogger ini. Dalam gambar itu jelas menunjukkan sebuah rumah tiga tingkat dan sebuah kereta SUV. Daripada statusnya, si blogger ini menulis "Ready for renovate next month. Kerja keras." Status itu membayangkan bahawa rumah mewah itu adalah miliknya. Kiriman status tersebut bertarikh 20 Disember 2013.

Oleh itu, dakwaan bahawa kerja-kerja menulis blog sebelum ini dibayar mungkin ada kebenarannya. Yang pasti, seseorang tidak mungkin memiliki rumah semewah ini jika dia hanya nelayan biasa. -DCM

Cerita fasal saman DSAI terhadap blogger ini boleh dibaca di sini, di sini, di sini.


P/s: Juallah rumah dan kereta itu untuk melunaskan saman. Mungkin selepas ini, blogger ini boleh menjadikan nelayan sebagai profesion sepenuh masa.  

Lelaki Pandu Kereta dengan Kaki Ditahan Tanpa Lesen

Posted: 03 Jul 2014 06:10 PM PDT



[Harian Metro] Beijing: Seorang lelaki yang kudung kedua-dua tangan ditahan polis kerana memandu menggunakan kakinya tanpa lesen di Lebuh Raya Shanghai-Chongging.

Lelaki itu dikenali sebagai Guo, 45, sebelum ini mendakwa memandu kenderaannya sehingga 160,000 kilometer (km) tanpa pernah ditahan.

Guo ditahan ketika cuba mengelak pemeriksaan polis di hentian Xiantao di lebuh raya berkenaan dengan memasuki lorong tol yang lebih jauh.

Polis yang mengejarnya terkejut apabila menemu Guo memandu dengan kaki kirinya pada stereng.


GUO sebelum ini sudah memandu 160,000 kilometer dan tidak pernah kemalangan.

Apabila diminta keluar dari kenderaan, Guo menggunakan ibu jari kaki kanan untuk menarik gear kepada neutral sebelum menggunakan kaki kanannya untuk memutarkan kunci dan mematikan enjin.

Difahamkan, Guo hilang kedua-dua tangannya pada usia tujuh tahun selepas tersentuh kabel voltan tinggi ketika memotong rumput.

Sejak kejadian, dia belajar menggunakan kakinya untuk meneruskan kehidupan seharian termasuk membasuh muka dan menggosok gigi, menulis dan memandu.

Guo meraih pendapatan dengan menjual buah bersama-sama isterinya. Dia juga menyara ibu bapanya yang uzur serta anak lelakinya di universiti.

Guo belajar memandu dalam tempoh kurang seminggu namun gagal mendapatkan lesen mengikut undang-undang China. 

Ketika disoal, Guo mengaku pemilik kereta berkenaan malah sudah memandu lebih 160,000km menggunakan kenderaan itu. Dia juga mendakwa tidak pernah kemalangan.

Dia kini disiasat polis kerana memandu tanpa lesen. Dia boleh didenda sehingga 2,000 RMB (RM1,028) dan dipenjara tidak lebih 15 hari jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia dilaporkan hanya mendapat amaran lisan dan didenda 500 RMB (RM257).

Menurut polis, Guo sebenarnya pemandu berhemah malah menghabiskan 4,000 RMB (RM2,057) untuk insurans kenderaannya.

"Kami amat menghormati orang kelainan upaya yang mampu berusaha keras demi mencari rezeki.

"Namun perbuatannya memandu tanpa lesen di lebuh raya amat berbahaya. Kami berharap dia tidak memandu lagi selepas ini," kata polis.- Agensi/4/7/14



Penyanyi Rock Hadapi Tuduhan Pukul Isteri

Posted: 03 Jul 2014 06:05 PM PDT

Gambar dikatakan isteri penyanyi itu.

[Harian Metro] Kuala Lumpur: Penyanyi rock terkenal, Awie akan dituduh di Mahkamah Ampang berhubung dakwaan beliau memukul isterinya Rozana Misbun, 35, hingga cedera teruk, 26 Jun lalu, pagi ini.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, sebelum ini diarah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada 26 Jun lalu untuk diambil keterangan oleh pegawai polis susulan penyebaran gambar wajah isterinya yang cedera. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selepas siasatan berhubung kes berkenaan selesai. 

"Siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Awie akan didakwa di mahkamah esok (hari ini)," katanya.

Katanya, siasatan kes itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana memukul isteri. -Asmah Rusman/4/7/14


[Gambar] Kemalangan Kereta Perisai, 2 Anggota Tentera Maut

Posted: 03 Jul 2014 06:02 PM PDT


[Mstar] IPOH: Dua anggota tentera terbunuh dan dua lagi cedera parah selepas kereta perisai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM ) yang dinaiki mereka terbalik di KM232.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dekat Kuala Kangsar, kira-kira 40km dari sini.

Jurucakap polis berkata pemandu itu dipercayai hilang kawalan terhadap kereta tersebut yang melanggar pembahagi jalan dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang Khamis.

Kereta perisai itu terbalik dan menyebabkan empat anggota tentera di dalamnya terperangkap.

Ketua Balai Bomba Kuala Kangsar Ismail Darus berkata, mereka berjaya menyelamatkan pemandunya, Leftenan Korporal Freaddy Barbalas, dan Koperal Sharifuddin Abdullah.

"Kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan," katanya.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Sarjan Bayong, yang meninggal dunia di tempat kejadian, dan Korperal Che Mohd Patanah Che Ismail, yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. -Chan Li Leen/3/7/14


P/s: TAKZIAH.










Foto: Internet.

Tiada ulasan: