Khamis, 17 Julai 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Dakwaan Mesut Ozil Derma Wang Bonus Piala Dunia kepada Gaza TIDAK BENAR

Posted: 16 Jul 2014 11:28 PM PDT


Ozil Biayai Pembedahan 23 Kanak-kanak Brazil

[Berita Harian] LONDON: Bintang Piala Dunia Jerman dan Arsenal, Mesut Ozil mendermakan £350,000 (RM1.91 juta) bonus kemenangannya ketika menjulang Piala Dunia untuk membantu 23 kanak-kanak Brazil yang memerlukan pembedahan. 

Wakil kepada pemain berusia 25 tahun itu, Roland Eitel mengesahkan perkara terbabit namun menafikan berita yang tersebar luas sebelum ini mengatakan Ozil turut mendermakan sejumlah wang kemenangannya kepada mangsa serangan Israel di Gaza. 

Begitupun, dia turut tidak menolak Ozil mungkin akan mendermakan wangnya bagi membantu penduduk Gaza mengharungi kemelut itu, selepas ini. 

"Dakwaan yang mengatakan Mesut mendermakan duitnya ke Gaza tidak benar," kata Eitel. 

"Mungkin di masa depan, siapa yang tahu? Dia mendermakan duitnya untuk perkara yang baik di Brazil dan kini dia sedang bercuti." 

Dalam laman Facebook miliknya, Ozil mengumumkan dia membayar caj pembedahan buat 23 kanak-kanak di Brazil selepas muncul juara dunia apabila menewaskan Argentina di final. 

"Ketika Piala Dunia sedang berlangsung, saya menanggung pembedahan untuk 11 kanak-kanak yang sakit di Brazil. Sejak kemenangan Piala Dunia, ia bukan saja membabitkan 11 pemain, namun seluruh pasukan. Saya kini meningkatkannya kepada 23," tulis Ozil. 

Sekalipun sumbangannya kepada Gaza didapati tidak benar, Ozil yang memiliki darah campuran Turki dan beragama Islam dilaporkan pernah mencetus kontroversi apabila enggan bersalam dengan pegawai FIFA dari Israel. 
Sebelum ini, skuad Piala Dunia Algeria mendermakan £5.25 juta (RM28.6 juta) hadiah kejayaan mara ke pusingan kedua Piala Dunia kepada rakyat Gaza. 

Ia disahkan penyerangnya, Islam Slimani yang mengumumkan keseluruhan pasukannya mendermakan wang itu kerana "mereka lebih memerlukan berbanding kami." - Agensi/17/7/14



[Video] Kanak-kanak Dilaporkan Hidup Semula Akhirnya Meninggal Dunia

Posted: 16 Jul 2014 10:52 PM PDT


IBU kanak-kanak berkenaan mengangkat anaknya keluar dari keranda selepas dia dilihat bergerak ketika hendak dikebumikan Sabtu lalu.

[Harian Metro] Zamboanga del Sur: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang terjaga ketika disiapkan untuk dikebumikan, semalam dilapor mati akhirnya.

Kanak-kanak dari Zamboanga del Sur di selatan Filipina itu sebelum ini disahkan mati di sebuah hospital Jumaat lalu akibat demam dan keluarganya segera membuat persiapan untuk mengebumikannya. 

Bagaimanapun, kanak-kanak perempuan itu dilapor bernafas semula ketika mayatnya diletakkan di sebuah gereja untuk upacara keagamaan sebelum dikebumikan. 

Detik dia bernafas semula itu dan ketika dikeluarkan dari keranda dirakam oleh seorang anggota keluarganya yang hadir pada majlis untuk menyiapkan pengebumiannya itu.

Seorang jiran menyedari kepala kanak-kanak itu bergerak ketika menjenguk mayatnya.

Selepas dibawa keluar dari keranda, kanak-kanak berkenaan diberi minum dan dibawa ke hospital sebelum pulang bersama-sama ibu bapanya.

Bagaimanapun, laporan terbaru semalam menyatakan, umur kanak-kanak itu tidak panjang dan disahkan mati sekali lagi.

Ini bukan kes pertama orang yang diisytiharkan mati hidup semula ketika persiapan dilakukan untuk mengebumikan mereka.

Di Zimbabwe, orang ramai bertempiaran lari apabila Brighton Dama Zanthe, 34, dilihat bergerak di dalam kerandanya.

Di Lexington, Mississippi, Walter Williams bangkit ketika mayatnya hendak dikeluarkan dari beg mayat selepas diiystihar mati selepas alat perentak jantungnya terhenti.

Di Belem, utara Brazil pula, seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Kelvin Santos terjaga dan meminta segelas air ketika keluarganya bersiap untuk mengebumikannya. 

Bagaimanapun, dia baring semula dan disahkan mati untuk kali kedua.

Seorang pelayan di Mesir pula bangun sejurus sebelum dikebumikan apabila doktor mengisytiharkan dia mati akibat sakit jantung.- AFP/17/7/14


Enam Suspek Kes "Rogol 38 Ketereh" Masih Diburu

Posted: 16 Jul 2014 10:41 PM PDT


Mangsa dan suspek yang ditahan sebelum ini.

Bachok: Enam suspek berhubung kes dua remaja perempuan dirogol bergilir-gilir oleh 21 individu dalam kejadian di Ketereh 20 Mei lalu masih menjadi buruan polis Kelantan.

Ketua Polis Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya kini giat mengesan enam lelaki yang berusia berusia 18 hingga 25 tahun, sekali gus menyelesaikan kes itu dengan segera Katanya, enam lelaki yang berasal dari kampung berkenaan dipercayai sudah melarikan diri, namun pihaknya sentiasa membuat pemantauan bagi menjejaki mereka.

"Kita sudah menahan 15 individu termasuk tiga beranak yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol itu. Lima daripadanya sudah pun didakwa di mahkamah.

"Namun, kita masih memburu saki baki kumpulan ini iaitu enam individu berkenaan untuk menyelesaikan kes rogol ini," katanya pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa dan penyerahan cek kepada Tabung Kemanusiaan Palestin-Media Prima Berhad.

Cek berjumlah RM1,000 itu disampaikan oleh Ahli Perniagaan Datuk Azham Damiri di Kampung Budi, di sini, semalam kepada wakil Media Prima, Sulaiman Jaafar.

Beliau berkata, kes berkenaan tidak akan ditutup selagi enam suspek tidak diberkas.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dua remaja masing-masing pelajar tingkatan dua dan tiga mendakwa dirogol sekumpulan lelaki di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir.

Rakan lelaki salah seorang mangsa dikatakan dipaksa untuk menyaksikan kejadian itu. Susulan kejadian, 15 individu ditahan termasuk tiga beranak berusia 14 hingga 38 tahun.

Mazlan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan. -17/7/14


Kos Lesen Kekal, Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Pemandu Baharu Ditangguh

Posted: 16 Jul 2014 10:27 PM PDT

Kadar baharu yang dicadangkan sebelum ini.

[Bernama] KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang dijadual bermula pada Ogos ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta untuk menjalankan kajian lanjut bagi menyemak kurikulum termasuk implikasinya terhadap kos.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah amat penting untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia yang dilaporkan masih tinggi.

"Kurikulum baharu penting untuk memupuk pemanduan selamat dan bertanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya. Bagaimanapun, sebarang kos berkaitan pelaksanaan kurikulum baharu perlu mengambil kira kesan kewangan ke atas rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata JPJ telah menjalankan kajian dan penyelidikan yang sewajarnya untuk mewujudkan kurikulum baharu yang akan memastikan standard baharu bagi keselamatan jalan raya di negara ini.

Liow berkata walaupun keperluan rakyat diberi keutamaan, ia perlu diseimbangkan dengan keselamatan pengguna jalan raya.

Sebelum itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan kurikulum baharu yang memberi penekanan kepada usaha melahirkan pemandu yang berhemah dan berdisiplin untuk menggantikan kurikulum lama yang menekankan kepada kemahiran dan pemahaman peraturan jalan raya.

Kurikulum baharu juga termasuk penukaran kepada kenderaan transmisi automatik untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia terutama generasi tua dan wanita, memperoleh lesen memandu yang sah.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju jika kadar untuk mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal dinaikkan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata beliau sudah menyuarakan pandangan Pemuda Umno kepada Menteri Pengangkutan supaya kadar itu tidak dinaikkan selepas menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi tadi.

"Saya maklumkan sebagai Ketua Pemuda bahawa harga untuk memperoleh lesen memandu tidak wajar dinaikkan sebab akan memberi kesan kepada golongan muda terutama mereka yang tidak mampu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi membeli belah baju raya bersama anak yatim dan golongan kurang berkemampuan, di sini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata kesan kedua terhadap kenaikan harga memperoleh lesen akan turut mengakibatkan lebih banyak masalah timbul apabila golongan muda memilih untuk memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen disebabkan terlalu mahal.

Semalam, orang ramai dikejutkan dengan dakwaan bahawa kadar untuk mendapatkan lesen kenderaan dan motor telah dinaikkan kepada RM2,000 bagi lesen kereta kelas D dan RM1,050 bagi lesen motosikal kelas B2 berkuat kuasa 14 Julai lepas.

Terdahulu, Khairy sempat meluangkan masa kira-kira sejam untuk membeli belah baju raya bersama 150 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan terpilih dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Wisma Jakel, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini. -17/7/14




Kiki Peugeot Putih Mohon Maaf

Posted: 16 Jul 2014 10:00 PM PDT


Saya Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia - Kiki

[Mstar] PETALING JAYA: Wanita yang mengamuk selepas keretanya secara tidak sengaja dilanggar warga emas baru-baru ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia pada pagi Khamis.

Dikenali sebagai Kiki, dia meluahkan rasa kesal atas kejadian di Kuantan, Pahang itu menerusi siaran langsung radio Era FM pada pukul 7.45 pagi Khamis.

"Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, itu memang salah saya dan tidak akan buat lagi. Saya belajar dari kesilapan," katanya yang mengakui buat pertama kali membuat permohonan maaf secara terbuka itu ketika dijemput ke studio radio berkenaan.

Kiki atau nama sebenarnya, Siti Fairrah Ashykin dikenali ramai berikutan video beliau mengamuk dan melemparkan kata-kata kesat terhadap seorang warga emas yang secara tidak sengaja melanggar kereta mewahnya menjadi 'Trending' di laman Twitter, Facebook dan Blog.

Kiki juga berharap semua pihak tidak percaya dengan apa yang disiarkan menerusi laman sosial kerana dia kita tidak lagi mempunyai Facebook (FB), Twitter, Instagram atau emel kerana ia digodam pihak tertentu dan bukannya datang dari dirinya.

"Mulanya saya ingat berdiam diri adalah yang terbaik tetapi bila saya dapati ia menyebabkan ramai pihak terus menghentam perbuatan saya yang memang saya akui salah, jadi saya rasa elok saya tampil dan bersuara.

"Sebenarnya, antara saya dan Uncle Sim (Sim Siak Heong) sudah selesai kerana saya sendiri sudah memohon maaf padanya semasa kami bertemu di Balai Polis Trafik Kuantan selepas kejadian itu," katanya.

Menerusi siaran radio itu juga, pengusaha pakej perkahwinan itu juga diberi peluang berbicara dgn warga emas berkenaan dan kedua-duanya memohon maaf dan menerima pengakuan masing-masing.

"Uncle Sim, saya minta maaf sangat-sangat kepada uncle, aunty dan famili," kata Kiki dengan nada sebak berikutan tindakannya umpama pembuli jalan itu.

Memberi responsnya, warga emas berusia 68 tahun itu berkata, beliau memaafkan Kiki atas perbuatannya itu, bagaimanapun sedih kerana pihak polis akan mengambil tindakan terhadap Kiki.

"Saya sedih, walaupun sudah maafkan awak tetapi polis tetap nak ambil tindakan terhadap awak dan saya harap awak tidak anggap ia berlaku kerana saya," katanya yang turut mengucapkan selamat berbuka puasa dan Selamat Hari Raya kepada Kiki.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan akan mengambil tindakan terhadap Kiki. -17/7/14


Tiada ulasan: