Khamis, 10 Julai 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Model Warga Estonia Dipercayai Dibunuh, Teman Lelaki Luah Kepiluan di FB, Dua Ditahan

Posted: 10 Jul 2014 01:13 AM PDT


Model Warga Estonia Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

[Mstar] JOHOR BAHRU: Seorang model warga Estonia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang kerabat diraja ditemui dibunuh di Pulau Rawa membangkitkan banyak persoalan.

Model sambilan, Regina Soosalu pada awalnya dikatakan mati lemas apabila mayatnya ditemui di pantai pulau itu pada 1 Julai lalu, pada hari dia tiba di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, polis kini sedang menyiasat kematiannya sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menemui kecederaan "mencurigakan" pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini seramai enam suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka berada di pulau itu pada hari kejadian tetapi saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana kita masih dalam siasatan," katanya.

Menurut sumber yang rapat dengan Soosalu dan teman lelakinya berkata, model itu dilihat kali terakhir oleh kakitangan hotel ketika model itu keluar dari biliknya untuk berjalan dekat jeti. Dia memberitahu bahawa wanita berkenaan tidak pulang selepas itu.

Teman lelaki kepada model itu, Tengku Alang Reza Ibrahim, mendiamkan diri berhubung kematian itu di akaun Facebooknya sehingga Selasa. Sumber memberitahu bahawa dia amat terganggu untuk menceritakan mengenai perkara tersebut.

Tengku Alang Reza menyifatkan insiden itu sebagai "tragedi paling buruk di dalam hidupnya".

"Cinta saya, Regina meninggal dunia pada 1 Julai lalu, di bulan suci Ramadan. Dia adalah cinta hati saya, rakan baik saya, dan saya akan terus menjadi inspirasi buat saya," kata Tengku Alang Reza di Facebooknya.

"Hatinya dipenuhi dengan kehebatan, cinta dan belas kasihan untuk semua mahkluk dan kehidupannya sendiri."

Bagi mengungkapkan kata-kata selamat tinggal, Tengku Alang Reza berkata: "kata-kata tidak dapat meluahkan kekosongan dan kesengsaraan yang saya rasai. Hanya ucapan perpisahan buat masa ini, tidak akan selamat tinggal. Hingga kita berjumpa lagi, saya mencintaimu My Baby, akan sentiasa di hati saya."

Ditanya adakah teman lelaki Soosalu turut dipanggil untuk disiasat, Hasnan berkata, polis belum lagi memanggil lelaki itu bagi siasatan.

"Kita telah memaklumkan Interpol (polis antarabangsa) berhubung insiden ini dan kita menyerahkan kepada mereka untuk menghubungi keluarga wanita itu.

"Saya percaya butiran-butiran mengenainya akan dimaklumkan kepada kedutaan Estonia di Beijing dan mereka sedang berhubung dengan keluarga mangsa mengenai siasatan kita," katanya.

Ditanya mengenai waktu dan lokasi insiden, Hasnan enggan mengulas lanjut dan berkata, polis sedang berusaha untuk mengesan waktu kematian.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu laporan akhir," katanya.

Soosalu di Facebooknya berkata, dia sedang menjalinkan hubungan bersama seorang lelaki bernama Alang Reza sejak 3 Julai 2012. - 10/7/14


Berkaitan:

Dua Ditahan Ada Kaitan Kematian Model Warga Estonia

[Mstar] JOHOR BAHRU: Dua lelaki direman oleh mahkamah Kota Tinggi kerana mempunyai kaitan dengan kematian model sambilan warga Estonia, Regina Soosalu di Pulau Rawa, Mersing pada 1 Julai lalu.

Setakat ini, seramai tujuh individu dibawa untuk membantu siasatan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, polis menyiasat kematian Soosalu sebagai mati lemas tetapi kemudiannya mengubah siasatan itu selepas mendapati terdapat kesan kecederaan mencurigakan di badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Soosalu dilaporkan bersiar-siar di sepanjang pantai di Pulau Rawa dekat sini pada 1 Julai ketika tragedi itu berlaku. -10/7/14


Empat Tahun Gendong Rakan ke Sekolah

Posted: 09 Jul 2014 10:22 PM PDT



[Harian Metro] Hunan (China): Seorang murid mendapat pujian melangit daripada pengguna Internet di China apabila kisahnya menggendong rakan sekelasnya yang lumpuh akibat penyakit polio sekolah selama empat tahun tersebar.

Sejak berusia sembilan tahun, murid berkenaan, He Qin-jiao, 13 menggendong rakan sekelasnya, He Ying-hui setiap hari ke sekolah.

He bertindak demikian kerana keluarga Hui tidak berupaya untuk berbuat demikian.

Tanggungjawab berkenaan dilaksanakan He sehingga akhir tahun lalu apabila rakan sekelasnya menerima kerusi roda daripada kerajaan tempatan.

Walaupun selepas Hui menerima kerusi roda itu, He masih bangun seawal enam pagi setiap hari dan bergegas ke rumah rakannya untuk membantunya duduk di atas kerusi roda dan menolaknya ke sekolah.

Apabila tiba di sekolah, He akan menggendong Hui di belakangnya untuk naik ke kelas mereka yang berada di tingkat dua.

Kedua-dua pelajar ini akan menamatkan sekolah rendah tidak lama lagi.

Bagaimanapun, menurut He, dia akan tetap menjaga rakannya itu apabila mereka memulakan sekolah menengah tahun depan. - Agensi/10/7/14


Budak Didera Turut Tidak Dibenarkan Makan

Posted: 09 Jul 2014 10:13 PM PDT

Sekadar hiasan.
[Harian Metro] Subang Jaya: Menyedihkan apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menjadi mangsa penderaan ibu kandungnya apabila mangsa kerap ditampar dan dipukul berulang kali.

Mangsa turut tidak dibenarkan menjamah makanan ketika berbuka puasa oleh ibunya di rumah didiami di Putra Height, di sini. 

Sumber berkata, dalam kejadian terbaru jam 6 petang Isnin lalu, suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai kerani itu bertindak memukul mangsa kerana mendakwa anaknya didakwa sering menipu. 

"Kecederaan dialami mangsa bagaimanapun menimbulkan tanda tanya guru taska tempat mangsa belajar di Seksyen 27, Shah Alam sebelum memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sumber itu berkata, sepasukan pegawai dan anggota JKM yang bergegas ke rumah mangsa mendapati kanak-kanak malang itu ditinggalkan sendirian.

"Kanak-kanak itu dibawa ke JKM dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu," katanya. 

Susulan laporan itu, suspek yang bekerja di Shah Alam ditahan di rumahnya kira-kira jam 5 petang kelmarin selepas pulang dari kerja. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan suspek direman empat hari. - Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim/10/7/14


Ingat Kes Rogol 38 di Ketereh? Seorang lagi Suspek Ditahan

Posted: 09 Jul 2014 07:40 PM PDT


[Sinar Harian] KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 18 tahun menjadi individu kelima berdepan tuduhan terbabit kejadian rogol 38 di sebuah rumah kosong di Ketereh, 20 Mei lalu.

Remaja dari Bunut Payong, di sini itu mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 17 tahun dan dilakukan dengan kehadiran orang lain, antara jam 7.30 dan 11 malam, 20 Mei 2014.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof memohon sebutan semula pada tarikh singkat dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Hakim, Mohd Yusoff Yunus kemudiannya menetapkan 13 Julai depan dan tidak membenarkan jaminan terhadapnya.

Pada 11 Jun 2014, empat termasuk dua remaja bawah umur di hadapkan ke mahkamah sesyen dan majistret, di sini, atas tuduhan merogol dua remaja perempuan berusia 15 dan 17 tahun pada kejadian sama.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua remaja perempuan berkenaan dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kosong di Ketereh.

Polis dalam satu kenyataan media selepas itu berkata hanya 21 suspek terbabit dalam kejadian berbanding 38 yang dilaporkan sebelumnya. -10/7/14


Kurung dan Lacurkan Wanita: Enam Termasuk Suami Isteri Direman

Posted: 09 Jul 2014 07:32 PM PDT


[Utusan Malaysia] MELAKA 9 Julai - Polis menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang wanita dikurung dan dilacurkan di sebuah premis dua tingkat di Taman Seri Krubong di sini dalam tempoh 13 jam selepas mendapat maklumat tentang kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan antara pukul 6.40 petang semalam hingga 2 pagi ini.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan empat pelanggan termasuk seorang warga emas telah direman sehingga 15 Julai ini.

"Suspek utama seorang lelaki berusia 32 tahun berjaya ditahan pada pukul 6.40 petang disusuli penahanan isteri mangsa berusia 26 tahun yang menyerah diri di Balai Polis Rembia.

"Penahanan pasangan suami isteri itu membolehkan polis memberkas empat pelanggan berusia antara 55 hingga 62 tahun ," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda.

Kata Salehhudin, pasangan suami isteri yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai telah merancang melacurkan mangsa dengan bayaran RM60.

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak yatim piatu dan berasal dari Perak itu telah dibesarkan di rumah kebajikan dan pernah berkahwin sebelum ini.

Salehhudin berkata, suspek utama sebelum ini mempunyai dua rekod lampau iaitu melibatkan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.

Semalam, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia 22 tahun yang dikurung di sebuah premis dua tingkat di Taman Seri Krubong di sini selepas mendapat maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 2.30 petang.

Wanita tersebut dipercayai telah dipaksa melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki setelah dibawa oleh kenalannya ke premis tersebut kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Mangsa ditemui dalam keadaan letih dan lapar kerana tidak diberi makan dan minum selepas dibawa ke premis itu. -10/7/14




[Video] Guru 'Kaki Gaduh' Dipindahkan ke PPD Temerloh

Posted: 09 Jul 2014 07:17 PM PDT


[Utusan Malaysia] KUANTAN 9 Julai Seorang guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mentakab yang menjadi perhatian setelah video dia menengking murid serta guru besar tersebar di laman sosial, telah ditukar bermula hari ini ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh.

Pengarah Pendidikan negeri, Rosdi Ismail berkata, pertukaran itu dibuat bagi memastikan guru berkenaan berada jauh daripada murid kerana dibimbangi dia bertindak lebih agresif selepas ini.

"Melalui tindakan agresif guru ini termasuk menengking murid dan guru besar dalam video yang dapat kita saksikan telah tersebar itu, maka kita ambil keputusan untuk menukar guru ini ke PPD Temerloh.

"Kita hanya letak dia di sana tanpa jawatan dan terserah kepada PPD Temerloh untuk menentukannya, pihak PPD telah pun dimaklumkan dan mereka akur serta terima keputusan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Video yang mula tersebar sejak 6 Julai lalu itu menjadi perhatian ramai pengguna laman sosial yang memberikan pelbagai reaksi terhadap kes tersebut.

Rosdi berkata, Jabatan Pendidikan negeri kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita telah pun ke sekolah tempat guru itu mengajar, berjumpa dengan guru besar dan guru terbabit juga kita telah jumpa.

"Jadi, siasatan kini masih dijalankan dan sementara menunggu siasatan selesai, guru berkenaan akan berada di PPD Temerloh," katanya.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan amat kecewa selain terkejut dengan apa yang berlaku. -10/7/14




Cagar Bayi RM3 500 Untuk Bayar 15 Saman Trafik

Posted: 09 Jul 2014 07:12 PM PDT



[Berita Harian] Ipoh: Sepasang suami isteri mendakwa terpaksa mencagar bayi lelaki mereka berusia lapan bulan kepada seorang wanita untuk mendapatkan pinjaman RM3,500 bagi membayar 15 saman trafik yang tertunggak berjumlah RM2,800. 

Bagaimanapun, pasangan terbabit mendakwa gagal mendapatkan kembali cahaya mata mereka yang diserahkan kepada ahli perniagaan itu, sedangkan bayi berkenaan perlu dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Berikutan itu, pemandu bas, Nages Roa, 38, dan isteri, K Kanagavalli, 31, membuat aduan di Balai Polis Malim Nawar pada 26 Jun lalu. 

Ingin ambil semula bayi 

Kanagavalli berkata, dua hari selepas menyerahkan bayinya sebagai cagaran untuk pinjaman itu, dia ingin mengambil semula bayi berkenaan untuk dibawa menjalani pemeriksaan perubatan bagi mendapatkan vaksin seperti ditetapkan oleh pihak HRPB. 

"Bagaimanapun, wanita itu enggan menyerahkan bayi kami dan sehingga kini, kami gagal mengesannya," katanya pada sidang media, di sini, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan sedang menyiasat dakwaan terbabit termasuk punca kejadian. 

"Kedua-dua pihak, iaitu pihak yang mendakwa menyerahkan bayi mereka dan pihak yang didakwa menerima bayi terbabit, masing-masing membuat laporan polis. Kami menerima empat laporan polis, masing-masing dua dari kedua-dua pihak. 

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan oleh polis termasuk memanggil beberapa saksi. Kami juga akan mendapatkan kenyataan kedua-dua pihak dalam masa terdekat sebelum boleh menyelesaikan kes ini," katanya. -10/7/14


Mangsa Serangan Seksual Diplomat Malaysia Bersuara

Posted: 09 Jul 2014 06:41 PM PDT



[Mstar] PETALING JAYA: Wanita yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh pegawai diplomat warga Malaysia di New Zealand mahu namanya didedahkan supaya dia dapat membantu menangani masalah keganasan seksual di negara itu.

Tania Billingsley, 21, berkata, dia bukanlah "orang yang berada di tempat kejadian" tetapi dia mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan mengenai serangan berkenaan.

"Ini kerana saya berharap dengan mendedahkan siapa saya dan bersemuka untuk meletakkan mangsa yang mendakwa membolehkan saya membantu menangani sebahagian isu berkaitan dengan keganasan seksual di negara ini," katanya dalam satu temuramah bersama saluran berita Channel 3 di New Zealand pada Rabu.

Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail, yang merupakan pembantu pegawai pertahanan bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, didakwa melakukan serangan seksual terhadap Billingsley di kediamannya di Wellington.


Muhammad Rizalman dilaporkan mengikut wanita itu yang pulang ke rumahnya di Brooklun pada malam 9 Mei dan didakwa melakukan serangan dengan niat untuk merogol.

Billingsley berkata, dia hanya menyedari status diplomatik Rizalman pada 11 Mei, pada hari ulang tahun kelahirannya.

"Saya berada di balai polis pada pagi itu dan diberitahu bahawa dia (Rizalman) merupakan seorang diplomat," katanya.

Rizalman, 38, pulang ke Malaysia pada 22 Mei lalu selepas Suruhanjaya Tinggi Malaysia dilaporkan menolak permintaan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand untuk mengetepikan kekebalan diplomatiknya bagi membawanya untuk didakwa di New Zealand.

Billingsley mendapat tahu mengenai Rizalman meninggalkan negara itu pada hari yang sama.

"Saya mendapat tahu bahawa dia akan pulang (ke negaranya) pada hari dia bertolak. Sejak itu, polis begitu bekerjasama untuk memberi maklumat kepada saya, malah bila mereka sendiri tidak tahu untuk apa yang dapat dimaklumkan.

"Saya mendapat panggilan telefon dan seperti, 'Anda hendak tahu bahawa kami baharu sahaja mendapat tahu dia meninggalkan negara hari ini'.

"Sudah tentu saya kecewa dan marah kerana sejak awal lagi berkata yang saya mahu dia berada di New Zealand dan diadili di sini, tambah Billingsley.

Media Dominion Post pula melaporkan bahawa Hakim Bruce Davidson membenarkan permohonan di Mahkamah Daerah Wellington untuk mengetepikan sekatan terhadap namanya pada Rabu, menerusi saluran berita Channel 3.

Rizalman ketika ini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk penilaian perubatan.

Pada 2 Julai lalu, Malaysia memutuskan untuk menghantarnya kembali ke New Zealannd untuk membantu siasatan meskipun tarikh untuk pergi ke negara itu masih belum ditetapkan.

Kementerian Pertahanan menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menyiasat kes tersebut. -10/7/14


Tiada ulasan: