Rabu, 9 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Namakan saya, kata wanita 21 tahun NZ

Posted: 09 Jul 2014 01:48 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Wanita 21 tahun yang menuduh diplomat Malaysia Muhammad Rizalman Ismail menyerangnya di rumahnya di Wellington, New Zealand bersedia namanya didedahkan kepada umum.

Identiti pengadu dalam kes-kes seksual di negara itu secara automatik dilindungi di negara itu, lapor stuff.com.nz.

"Tetapi di Mahkamah Daerah Wellington hari ini, Judge Bruce Davidson membenarkan permohonan daripada wanita itu – diwakili melalui sebuah stesen TV – untuk penahanan namanya ditarik balik petang ini," lapor portal itu.

Radio New Zealand juga melaporkan di laman webnya bahawa hakim Davidson berkata, penahanan namanya berakhir pada jam 8.30 petang (waktu tempatan) pada Rabu, apabila beliau mengambil bahagian dalam sebuah rancangan televisyen.

Dalam kes yang mendapat perhatian antarabangsa itu, Rizalman ditahan pada 9 Mei dan dibawa ke mahkamah pada hari berikutnya atas dakwaan cuba memecah rumah dan cuba melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita 21 tahun.

Beliau bagaimanapun belum dibicarakan dan dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei selepas pertikaian isu diplomatik, dan mencetuskan kemarahan ramai di New Zealand selama lebih sebulan selepas dilaporkan pada 28 Jun.

Penahanan nama Rizalman ditarik balik selepas Fairfaz Media menang mencabar perkara itu di mahkamah New Zealand, lapor stuff.com.nz.

Pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat tidak sehebat Khalid Ibrahim

Posted: 09 Jul 2014 01:35 AM PDT

Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic

 
 
[ULASAN] Gabungan hemah, firasat dan kebijaksanaan barisan pemimpin PKR masih belum dapat menandingi "kecerdikan" Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; baik di bidang politik mahupun pengurusan. 
 
Malah akal pengatur siasah terbaik parti itu, Rafizi Ramli yang diangkat menjadi Pengarah Strategi parti reformasi itupun tidak berdaya "melentur" Khalid supaya taat pada keputusan parti. 
Walhal Rafizi sudah lebih lima tahun belajar dan mengkaji pemikiran politik dan cara pengurusan Khalid apabila beliau menjawat tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Ketika menjadi COO Anwar, Rafizi juga bertindak sebagai setiausaha mesyuarat mingguan di antara Khalid dengan Anwar. Seharusnya Rafizi sudah masak dengan cara Khalid menepis dan menghindar nasihat serta arahan Anwar. 
 
Namun keperluan menggantikan Khalid demi menjayakan strategi Langkah Kajang tidak dapat dilaksanakan dengan licin dan teratur. Khalid enggan memberi bekerjasama. Malah beliau mengulangi ikrar mahu menjadi Menteri Besar hingga tamat penggal kedua pemerintahannya di Selangor. 
 
Khalid bijak mengikat perkenan Sultan Selangor untuk terus jadi MB
 
Ikrar itu dibuat pada media dan dipersembahkan juga pada duli Sultan Selangor. Beliau berikrar dengan amat santun dan berlapik. Sesungguhnya Khalid berikrar tidak mahu melanjutkan khidmatnya untuk penggal ketiga; cukup jika beliau dapat menghabiskan "kontrak" penggal kedua. 
 
"Kontrak Khidmat" bagi Khalid ialah, apabila diberi kepercayaan oleh partinya, PKR, DAP dan PAS, untuk menjadi Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua (2013 hingga 2018), itu sudah menjadi tanggungjawab hakikinya. 
Khalid berazam untuk bekerja sehingga kontraknya tamat. Maka tiada sesiapapun dalam parti perlu "mencabar kesahihan" kedudukannya di Selangor selagi "kontrak"nya belum tamat. 
 
Memang herot pemikiran politik Khalid ini. PKR dan Pakatan Rakyat melantiknya, tetapi apabila parti memerlukan sedikit "pengorbanannya" bagi melaksanakan "agenda lebih besar Pakatan Rakyat", beliau enggan tunduk. 
 
Khalid Ibrahim mula makan tuan?
 
Malah pimpinan parti pula disergah Khalid. Beliau yakin keabsahan kedudukannya sebagai Menteri Besar adalah bersandarkan rekodnya mentadbir Selangor sepanjang penggal pertama. Projek Merakyatkan Ekonomi Selangornya meraih simpanan hampir RM 3bilion. 
 
Lebih penting lagi kecemerlangan ini direstui rakyat. Dalilnya, dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, beliau berjaya memimpin Pakatan Rakyat menawan Selangor dengan majoriti bertambah. Umno cuma tinggal 12 daripada 56 kerusi di Selangor. 
 
Rumusan Khalid ialah, ini semua tidak mungkin dicapai jika rakyat tidak percaya padanya. Maksudnya, Khalid yakin beliau lebih faham sentimen dan kemahuan rakyat Selangor. Baik pimpinan PKR mahupun Pakatan rakyat, gagal menyelami hati dan minda rakyat sebaik dirinya. 
 
Lantas Khalid kini berdiri sebagai seorang pemberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin PKR bahawa mereka sebenarnya jahil tentang realiti politik Selangor. 
 
Oleh itu, anak jati Selangor ini melaungkan peringatan -- usah mencampuri urusan pentadbiran negeri Selangor. Beliau lebih tahu. 
 
Mesej ini dilontarkannya bukan secara berselindung. Khalid tergamak menyampaikan pesan ini kepada kepimpinan de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Dengan perkataan lain, Khalid mahu menyelitkan mesej bahawa itulah rasional mengapa beliau tidak sentiasa akur pada nasihat dan arahan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri. Mengapa Rafizi, arkitek Langkah Kajang, tidak faham hakikat ini?
 
Malangnya, Rafizi tidak tajam kepekaannya. Beliau gagal membaca keyakinan diri Khalid. Seharusnya beliau perlu lebih banyak belajar daripada anak Melayu yang berjaya menawan semula syarikat gergasi Guthrie daripada "penjajah" British.
 
ADUN Pelabuhan Klang sedang ajar 'silat politik' pada pemimpin PKR
 
Kini Khalid mengatur strategi untuk menyedar dan mengajar Pakatan Rakyat supaya bersikap lebih bijak dalam berpolitik dengan menunjukkan cara bagaimana beliau akan menghindari desakan supaya meletakkan jawatan. 
 
Seperti dalam perniagaan Khalid perlukan rakan niaga yang boleh dipercayai. Khalid pilih PAS. Malah hubungan yang penuh takzim dengan PAS sejak mula menjadi Menteri Besar, kini menjadi modal strategi pertahanannya. 
Meskipun ada yang dapat membaca strategi Khalid itu, ia sudah terlambat untuk "menekannya" supaya meletak jawatan. Khalid sudahpun menyusun orang-orang kanan PAS Selangor di kedudukan yang strategik di negeri itu. 
 
Sebab itu, walaupun gemuruh politik Anwar Ibrahim, Rafizi, DAP dan segelintir Anwarinas dalam PAS mahu beliau berhenti menjadi Menteri Besar, Khalid tidak peduli. Hasutlah dan fitnahlah. Yang penting pimpinan PAS masih di sebelahnya.  
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad masih memberi sokongan terbuka kepadanya. Malah mesyuarat pimpinan PAS Pusat sendiri masih samar pendirian mereka. Khalid telah "melabur kuasa dengan menempatkan personaliti penting PAS dalam agensi dan konglomerat negeri Selangor".
 
Khalid percaya PAS sendiri insaf tidak mudah memimpin Selangor. Jika PAS boleh dibantu dan diberi kedudukan strategik yang boleh mengembangkan pengaruhnya di Selangor, itu lebih afdhal. 
 
Buat masa ini PAS tentu suka dan selesa jika Khalid boleh membantunya meluaskan pengaruh tanpa dibeban masalah mahu memimpin negeri itu. 
 
Khalid sejak dari awal pasak askar-askar politiknya 
 
Sehubungan itu, Khalid juga ada cara untuk memikat perkenan istana Selangor untuk terus mempertahankan kerusinya. Beliau perlu ada "jurucakap untuk mewar-warkan" prestasi baiknya mentadbir Selangor. Itu sudah diaturnya dan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, sedar hakikat ini.
 
Paling penting ialah Khalid mempunyai pasukan penasihat dan pelaksana strategi rahsianya yang cekap. Komando politiknya telah membuktikan dalam tempoh tiga tahun berstrategi beliau mampu mengalahkan Timbalan Presiden, Azmin, di negeri ini dalam kempen pemilihan PKR yang sedang berlangsung. 
 
Khalid ada Faekah Husin yang cekal menghadapi sesiapa sahaja yang cuba memperkecil kebolehannya. Beliau melengkapkan Faekah dengan kuasa untuk mentadbir Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menguruskan kewangan anak-anak syarikat negeri Selangor. 
 
Faekah juga diberi kuasa politik untuk menjadikan Pelabuhan, kawasan dewan undangan negeri Khalid menjadi pangkalan gerakan politik akar umbi Khalid. 
 
Pendek kata, sebenarnya Khalid sudah lama mempunyai "komando" politiknya dan bersedia menghadapi "kebencian, irihati, fitnah dan kedengkian" musuh-musuh politiknya. Kini masa menggerakkannya. 
 
PKR dan Pakatan Rakyat nampaknya masih bungkam dengan kehebatan Khalid Ibrahim.

Mahfuz cadang lantik menteri jaga tandas awam

Posted: 09 Jul 2014 01:32 AM PDT

Perlantikan menteri kabinet yang memegang portfolio kecil hanya satu pembaziran memandangkan tugas yang sedemikian boleh digalas oleh PBT

 
IMG-20140709-WA0009 (2)


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar menyelar tindakan kerajaan yang menubuhkan kabinet bersaiz XXXL.

Menurutnya, kabinet yang ditubuhkan ini tidak boleh pakai dan jumlah 35 orang menteri yang dilantik tidak sepadan dengan jumlah penduduk negara.

"Jumlah menteri kabinet yang dilantik di negara kita berbeza dengan jumlah menteri yang dilantik di negara luar seperti di Jepun," katanya sewaktu sidang media di Ibu Pejabat PAS, hari ini.

Katanya lagi, dalam keadaan ekonomi negara yang kian menguncup, sepatutnya kerajaan mengecilkan saiz kabinet dan bukan sebaliknya.

"Kabinet yang besar belum tentu dapat menjamin kecerdikan menteri-menterinya," ujar Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut memberikan contoh peristiwa hitam di dalam bidang pendidikan.

"Cuba kita tengok apa yang pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lakukan terhadap cerdik pandai universiti. Mereka telah dipecat.

"Sepatutnya, dengan jumlah kabinet yang besar, mereka berganding bahu dan bersama-sama mencari jalan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.

Jelasnya, kemungkinan pihak kerajaan ingin melantik tokoh pendidikan yang terdiri daripada golongan 'yes man' sahaja.

"Biarlah ahli akademik ini melakukan kajian mereka kerana analisis yang dibuat oleh mereka mampu meningkatkan mutu politik negara. PAS pun sebelum ini turut dikritik tetapi PAS mengambil iktibar dari kritikan tersebut.

"Selain itu juga, ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak boleh menerima kritikan daripada ahli akademik," katanya.

Selain itu, Mahfuz turut menjelaskan bahawa tidak wajar untuk kerajaan melantik seorang menteri seperti Datuk Dr Wee Ka Siong untuk menjaga pembangunan masyarakat Cina di kampung-kampung baharu serta menjaga industri kecil dan sederhana.

"Takkan lantik seorang menteri hanya untuk menjaga masyarakat Cina di kampung baharu, kenapa tidak biarkan pihak kementerian yang lakukan dan biarlah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang jaga.

Ujarnya lagi, sekiranya sampai ke peringkat melantik seorang menteri untuk menjaga satu kampung, ini dinamakan pembaziran.

"Kalau demikian, lebih baik Perdana Menteri Najib Razak melantik juga seorang menteri untuk menjaga tandas awam," katanya.

Pelakon Ifa Raziah selamat bedah payudara

Posted: 09 Jul 2014 01:27 AM PDT

ANTARAPOS.COM
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah telah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketulan di payudaranya akibat virus di Beverly Willshire Medical Centre, Jalan Tun Razak pada jam 12 tengahari semalam.
 
Suaminya, Mohd Yani Abdul Rahman berkata Ifa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan selama tujuh jam semalam.
 
 
"Dia (Ifa) kini sudah berada dalam keadaan stabil cuma masih lagi tidak bermaya.Dia kini sedang menjalani beberapa rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang tiga hingga empat hari lagi," katanya dipetik dari murai.com.my.
 
Ifa Raziah dilaporkan terkena jangkitan virus di bahagian payudara sehingga membuatkan payudaranya  membengkak dan keras seperti ada ketulan sejak tahun 2011.
 
 
Menurut Yani, Ifa kelihatan amat gementar dan takut sebelum pembedahan dilakukan namun ianya terpaksa juga diteruskan selepas dia beberapa kali mengadu sakit.
 
"Dia memang amat takut untuk menjalani pembedahan ini, saya pun pelik kerana dia sebelum ini adalah seorang yang berani.
 
"Tapi syukur semuanya berjalan dengan lancar," jelasnya lagi.
 
 
Ifa kini perlu berehat selama sebulan bagi dan terpaksa menolak segala tawaran show di bulan Ramadan bagi mendapatkan rehat yang secukupnya selepas pembedahan itu dilakukan.

Khalid dakwa 'keputusan 15 Januari' tidak wujud

Posted: 09 Jul 2014 01:22 AM PDT

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic



SUBANG JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim beranggapan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 15 Januari lalu, untuk menggugurkan beliau daripada jawatan Menteri Besar Selangor tidak wujud sementelah Setiausaha Agung parti itu sendiri menafikannya.

Ujarnya, Datuk Saifuddin Nasution sendiri menafikan keputusan seumpama itu malah penafian tersebut turut dilaporkan kebanyakan media tempatan termasuk portal berita.  
 
Justeru Khalid berkata tiada keperluan untuk dirinya mengulas lebih lanjut mengeni khabar angin itu.
 
"Saya tidak merasakan apa-apa keputusan sebab keputusan (15 Januari) itu telah dinafikan oleh Setiausaha Agung PKR dan kenyataan-kenyataan itu telah dinyatakan dalam akhbar pada tarikh-tarikh yang sebegitu.
 
"Oleh sebab itu saya tidak perlu membuat apa-apa komen tentang perkara itu," katanya ketika ditemui Antarapos selepas Majlis berbuka puasa Menteri Besar bersama Media disini, malam tadi.
 
Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie pada Selasa berkata Khalid tetap akan digugurkan daripada jawatannya seperti ketetapan yang dicapai pada mesyuarat parti, 15 Januari lalu.
 
Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani menyatakan perkara yang sama dan menyifatkan Khalid mungkin 'terlupa' akan keputusan yang sudah dicaai itu.
 
Ujarnya, ketika mesyuarat itu berlangsung, Khalid gagal hadirkan diri walaupun ia diadakan khusus untuk membincangkan masalah kepimpinan beliau.
 
Abdullah kemudiannya meminta Khalid merujuk minit mesyuarat pada tarikh tersebut sebelum membuat sebarang penafian berhubung keputusan itu.
 
Gerakan untuk menjatuhkan Khalid bermula setelah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dilihat gagal menangani isu-isu sensitif yang timbul di Selangor.
 
Antaranya isu pengambilalihan industri air di Selangor, rampasan Bible versi Melayu oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan banyak lagi.

Rumah Naib Ketua Muslimat PAS Johor terbakar

Posted: 09 Jul 2014 01:17 AM PDT

HARAKAHDAILY 





KUALA LUMPUR: Kediaman Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Anis Afida Mohd Azli di Bandar Penawar, Kota Tinggi Johor terbakar tengah malam tadi.

Difahamkan kesemua barangan termasuk persiapan Aidilfitri keluarganya juga turut musnah.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiiwa dilaporkan.

Anis Afida juga adalah Pengerusi Gabungan NGO Pengerang dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau bertanding sebagai calon PAS bagi kerusi N38 Dun Penawar.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyrakatan Dewan Muslimat PAS Johor Atiah Ahmad, berkata kerugian dianggarkan sekitar RM40 ribu.

Sehubungan itu, beliau merayu semua pihak prihatin untuk membantu keluarga Anis Afida bagi meringankan beban mereka apatah lagi dalam suasana Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.

Sumbangan boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank Anis Afida di nombor 1510 7125 0524.

Brazil main macam Umno Putrajaya, kata Mahfuz

Posted: 09 Jul 2014 01:14 AM PDT

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Demam piala dunia 2014 semakin hangat dirasai apabila memasuki fasa perlawan separuh akhir bermula awal pagi ini dan akan menentukan pasukan mana bakal ke peringkat akhir bagi merebut piala itu nanti.

Namun, perlawanan separuh akhir antara Brazil menentang Jerman awal pagi tadi mengundang pelbagai reaksi di kalangan peminat bola.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar juga tidak ketinggalan untuk mengulas kekalahan 7-1 pasukan gergasi bola sepak Brazil yang di kaki pemain Jerman awal pagi tadi.

"Brazil yang penuh kontroversi bahkan digelar gergasi bola sepak bermain di tempat sendiri dengan ratus ribu penyokongnya tiba-tiba dilihat dalam keadaan yang memalukan.

"Seperti yang bermain itu bukan Brazil, yang bermain itu ialah Umno Cawangan Putrajaya," katanya berseloroh.

Aksi Jerman membelasah Brazil bagi Mahfuz seperti 'memasak sayur lemak kobis'.

"Begitu senang sahaja. Masak santan dan masakkan kobis sampai lunyai," katanya.

Beliau turut membayangkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pasukan Brazil dan mungkin mempunyai krisis dalaman sehingga corak pemain negara itu sangat memalukan.

"Tidak pernah berlaku dalam masa enam minit pasukan lawan boleh sumbat empat gol. Sangat memalukan," ujarnya.

Brazil dimalukan oleh Jerman 7-1 dalam perlawanan yang pasti akan meninggalkan parut besar kepada negara bolasepak itu. Ia adalah kekalahan paling teruk Brazil dalam sejarah Piala Dunia.

Kassim: Jabatan Peguam Negara kemuka bantahan

Posted: 09 Jul 2014 01:12 AM PDT

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad untuk mencabar keputusan pihak pendakwaan yang mendakwanya menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.
  
Bantahan itu dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Zaleha Yusof dengan dihadiri peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Kassim.
  
Suzana ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memfailkan bantahan awal itu dengan alasan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Kassim berikutan terdapat kes jenayah syariah membabitkannya yang sedang dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.
  
"Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menunjukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa apabila perkara itu adalah dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah," katanya.
  
Suzana berkata mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk keputusan berhubung bantahan awal itu.

Dalam kes ini, Suzana mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kerajaan Malaysia.
  
Sementara itu, Rosli berkata mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula dakwaan salah laku oleh pihak berkuasa.  
  
"Semua pihak berkuasa adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah sivil tidak boleh mengelak mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman hanya kerana ia adalah berkaitan Islam," katanya.
  
Kassim, 81, memfailkan permohonan terhadap kesemua responden pada 26 Jun lepas antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie pada 27 Mac yang mendakwanya terhadap dua pertuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Beliau memohon supaya prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah digantung sehingga permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu diputuskan.
  
Kassim juga memohon suatu perintah membatalkan tindakan dan keputusan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menyerbu, menggeledah dan menyita bahan terbitannya, memeriksa, menahan, menangkap dan mengeluarkannya dari Kedah dan membawanya ke Wilayah Persekutuan.
  
Beliau juga mahu suatu perintah membatalkan apa jua waran tangkap, geledah, sita dan bon yang dikenakan kepadanya.
  
Kassim juga memohon suatu deklarasi bahawa tindakan pencerobohan pegawai Jawi dan pendakwaan terhadapnya adalah ultra vires dan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta-Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen-Enakmen Syariah Kedah.
  
Beliau memohon suatu deklarasi bahawa kesalahan melanggar fatwa Wilayah Persekutuan hanya terpakai kepada pemastautin di Wilayah Persekutuan sahaja. - Bernama

KP Umno Perlis dibebas dengan jaminan polis

Posted: 08 Jul 2014 10:20 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Pemuda Umno Perlis Syed Atif Syed Abu Bakar dan Ketua Penerangan Pemuda Umno Arau Saiful Nizam Othman dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
  
Mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau petang semalam selepas pergi ke sana setelah mendapat tahu mereka dicari polis berhubung dakwaan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kangar mereka mengganggu penjawat awam menjalankan tugas di Bazar Ramadan di Arau  Ahad lepas.
  
Syed Atif berkata:"Saya terus ditahan di IPD Arau sebaik menyerah diri namun akan memberi kerjasama penuh kepada polis yang menjalankan siasatan."
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dibebaskan petang semalam.

Sementara itu, peguam Jamil Mohamed Shafie yang mewakili Syed Atif dan Saiful Nizam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.- Bernama
 

Jerman benam impian Piala Dunia Brazil 7-1

Posted: 08 Jul 2014 10:16 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dalam satu kekalahan yang memalukan, Jerman menjaringkan tujuh gol untuk membenamkan impian negara tuan rumah Brazil untuk memenangi Piala Dunia untuk kali keenam.

Keputusan 7-1 itu adalah yang paling mengejutkan dan
merupakan kekalahan pertama Brazil di tempat sendiri dalam 64 perlawanan ksejak tahun 1975.

Jerman akan bertemu Argentina atau Belanda pada perlawanan akhir di Rio de Janeiro selepas prestasi luar biasanya di mana penyerang Miroslav Klose menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan itu dengan menjaringkan 16 gol dalam Piala Dunia.

"Kami bermula dengan cemerlang," kata Klose dalam temuramah televisyen. "Kami seiya sekata., anda dapat melihatnya ketika kami berlatih. Kami bergerak sebagai satu unit dan itulah yang kami pamerkan di padang hari ini."

Satu-satunya gola sagu hati untuk Brazil ialah melalui jaringan Oscar pada minit-minit terakhir.

"Saya mahu membuat rakyat kami gembira," kata pemain pertahanan Brazil David Luiz. "Malangnya, kami tak mampu. Saya minta maaf, saya minta maaf kepada semua rakyat Brazil".

Mufti: Haram makan ikan makan babi

Posted: 08 Jul 2014 10:06 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata hukum memakan ikan yang diberi makan bangkai babi tanpa kuarantin selama tiga hari adalah haram.

Tambahnya, ikan itu hanya boleh dimakan selepas dikuarantinkan sahaja, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, katanya sekiranya umat Islam tidak mengetahuinya maka perkara itu tidak menjadi kesalahan.

"Bagi ikan makan (bangkai) babi, ikan itu bukan babi tetapi menjadi makanan najis.

"Jika orang Islam tidak tahu maka tiada masalah, tetapi jika tahu tidak boleh dimakan serta-merta, kena kurung tiga hari dan diberi makan makanan lain dan selepas itu baru boleh dimakan.

"Adalah haram hukumnya jika proses kuarantin tidak dilakukan kerana itu menjadi makanan najis," beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas penemuan serpihan tulang dan rangka yang menyerupai babi hasil siasatan Jabatan Perikanan Perak di sebuah kolam ikan patin kering di Ipoh.

Pemimpin Umno pertahan Khalid sebagai MB S'gor

Posted: 08 Jul 2014 10:04 PM PDT

MALAYSIAKINI




 


Jarang pemimpin Umno mempertahankan pemimpin Pakatan Rakyat.

Tetapi begitulah yang ditunjukkan Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee apabila mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim supaya beliau meneruskan tugas menteri besar Selangor.

Mengakui tidak rapat dengan Khalid sekalipun berjiran kawasan parlimen, Syed Ali berkata bekas tokoh korporat itu perlu terus mentadbir kerana rakyat memberi kepercayaan kepadanya bagi penggal kedua.

Khalid (kanan) adalah ahli parlimen Bandar Tun Razak.

"Kalau penggal pertama beliau dah menang. Penggal kedua, beliau masih menang dan (boleh) menjaga Selangor. Maksudnya rakyat ada kepercayaan pada pentadbirannya sebagai menteri besar Selangor.

"Jadi biar beliau buat kerja beliau. Kalau tak betul, biar rakyat buat keputusan," kata setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu dalam wawancara dengan Malaysiakini kelmarin.

Syed Ali menjawab soalan berhubung pandangannya mengenai pentadbiran Khalid dan desakan pemimpin Pakatan Rakyat supaya beliau berundur dari jawatan itu sejak kebelakangan ini.

Terjadi dalam semua parti

Enggan mengulas lanjut mengenainya, Syed Ali berkata setiap parti politik termasuk Umno juga sering berdepan masalah dalaman termasuk sikap tamak kepada jawatan demi kepentingan peribadi yang merugikan rakyat.

"Saya nak komen (terhadap) pembangkang, kadang-kadang dalam Umno pun jadi juga. Ini terjadi kepada semua parti politik. Berlaku dalam PAS.

"Semua parti samalah, yang akan kerugian (adalah) rakyat. Bila kamu buat semua tujuan peribadi, (sebagai contoh) kamu tengok dulu MB Kedah pun ada masalah.

"Kalau kita pentingkan kepentingan peribadi kita, sehingga ketepikan apa dah buat untuk rakyat, saya takut kestabilan di Selangor (terganggu)," katanya.

Pemilihan PKR: Azmin hampiri kemenangan

Posted: 08 Jul 2014 10:01 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Setelah hampir dua bulan tanpa kemaskini keputusan terbaru pemilihan timbalan presiden PKR menunjukkan Azmin Ali melebarkan jurang ke atas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 3,458 undi.

Keputusan rasmi terbaru yang melibatkan 195 cabang seluruh Malaysia menunjukkan Azmin semakin hampir mengekalkan jawatannya dengan 21,066 undi sementara Khalid mengekori dengan 17, 608.

Seorang lagi calon Datuk Saifuddin Nasution Ismail hanya mendapat 9,944 undi setakat ini.

[AD] Bergaya Muslimah Seperti Felixia Yeap

Posted: 08 Jul 2014 09:58 PM PDT

 


fee


[ADVERTORIAL] Kali ni kami ingin kongsikan entry yang istimewa untuk para muslimah semua, jika dahulu, kebanyakkan pakian muslimah meilihatkan seseorang pemakai itu menjadi ketinggalan daripada segi fesyen dan trend. 

Pada zaman ibu bapa kita dahulu, fesyen pada ketika itu tidaklah langsung berkembang dengan pesat seperti hari ni. Oleh itu, mereke tidak terdedah dengan pelbagai fesyen-fesyen muslimah yang trendy. 

Namun kini, generasi kita para muslimah lebih mempunyai banyak pilihan yang menarik untuk dijadikan pilihan walaupun menutup aurat dengan sempurna.

fee2

Terdapat beberapa etika pemakaian mengikut syariat islam kalau ingin bergaya dengan baju muslimah. Jangan berpakaian ketat, longgarkan pakaian anda. Nanti timbul fitnah pada agama dan jadi bahan tatapan pada tempat-tempat tertentu pulak yang tu yang tak elok

Labuhkan shawl atau hijab (kena tutup dada ya).  Ikhlaskan hati mu kerana allah – pasti kehidupan kekal mu di akhirat nanti akan mendapat balasan yang setimpal dengan keikhlasan dan kesabaran mu. Hehe. Mari lihat bagaimana saudara islam yang baru iaitu Felixia Yeap atau nama islamnya Raissah Rania Berpakaian muslimah mengikut syariat Islam.

fee3

Pakaian ini tidak terlalu ketat dan masih mengikut syariat islam. Warna merahnya juga mampu menyerlahkan penampilan si pemakai.
fee4

Jubah Labuh Bertemu merah jambu boleh disuai padankan dengan tas tangan berwarna merah jambu. Ia kelihatan simple tetapi elegant
fee5

Ini Jubah dua tone menggunakan konsep yang hamper sama 2 warna dengan reka bentuk renda pada bahagian pinggang. Ia memberi perasaan menawan seperti seorang puteri. Harganya Cuma RM39.90.

fee6

Dengan menggunakan idea bulu burung merak yang indah, bahagian tengah   pakaian muslimahini adalah titik utama untuk membuat pakaian ini kelihatan cantik. Anda boleh mendapatkannya dengan harga RM39.90

fee7

Berlin Maxi Set ini pula hadir bahagian atas yang longgar dengan warna serta corak yang menarik. Kesemuanya hanya RM42.00 sahaja. Murah tetapi cantik kan?Sebenarnya jika kita pandai memilih, bergaya sebagai seorang muslimah bukanlah satu perkara yang mahal.

Bersempena dengan raya yang bakal hadir,  nile.com.my Malaysia online Shopping kini menawarkan pelbagai reka bentuk   pakaian muslimah , seperti tudung,  jubah to muslimah dress, pada harga yang sangat-sangat berbaloi. Apa lagi….

fee8

Semasa Ramadan ini, anda boleh menikmati PENGHANTARAN PERCUMA dengan pembelian minimum hanya RM48 @ nile.com.my.  Layani pada promo PENGHANTARAN PERCUMA >> di sini<< 

Nak bergaya dengan baju muslimah? Tapi tak nak mahal? Lawat nile.com.my SEKARANG! 

 Selamat Menyambut Ramadhan Al – Mubarak & Selamat Menunaikan Ibadat Puasa

MCA dan Gerakan gagal ujian pertama tugasan kabinet – Lim Kit Siang

Posted: 08 Jul 2014 09:41 PM PDT

lks (1)

Roketkini.com


KUALA LUMPUR,: Dua parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Gerakan gagal ujian pertama setelah seminggu menyertai kabinet apabila tidak langsung menegur atau memisahkan diri daripada kenyataan 'amaran 13 Mei' Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Mah Siew Keong bersetuju bahawa Malaysia berkemungkinan menghadapi senario berulangnya tragedi 13 Mei.

Kit Siang merujuk kenyataan Muhyiddin 5 Julai lalu yang menyatakan kemungkinan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 berulang kembali jika ketegangan kaum tidak dikawal.

"Bukankah ini bukti kecuaian dan ketidakcekapan kerajaan membiarkan negara diheret kembali ke ambang 13 Mei?" kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan Mah dan Liow yang tidak membaca kenyataan Muhyiddin mengikut konteks yang merujuk insiden 13 Mei itu serta menganggap ucapan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai hanya suatu peringatan.

Malah kata Kit Siang, beliau hairan dengan kenyataan Mah yang nampaknya bersungguh-sungguh memperjuangkan Malaysia, namun tidak pasti sama ada mendokong 1Malaysia anjuran Datuk Seri Najib Razak atau Malaysia jenis Muhyiddin yang mengaku 'Melayu dulu, Malaysia kemudian'.

Kata Kit Siang, masa depan Malaysia adalah di tangan mereka yang beraliran sederhana, walaupun wujud kelompok pelampau di Malaysia dalam jumlah yang kecil.

"Jangan kita lupa dalam pilihanraya umum ke-13 Mei lalu, 52 peratus pengundi menyokong Pakatan Rakyat, manakala Barisan Nasional membentuk kerajaan persekutuan dengan sokongan minoriti – kali pertama dalam sejarah.

"Mereka mengundi sama ada DAP, PKR atau PAS, beraliran sederhana yang mahukan perubahan kerajaan secara demokratik dan tidak mahu satu lagi kejadian 13 Mei," katanya.

Namun kata Kit Siang, masih ada kumpulan kecil dengan sikap melampau yang 'banyak mulut', bersikap provokatif yang tak henti-henti mencipta suasana tegang, menghasut kebencian antara kaum dan agama.

Ironinya, kumpulan ini seolah-olah menikmati kekebalan dari pihak berkuasa dan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang lain secara terbuka dengan mengeluarkan ancaman berulangnya 13 Mei.

Tegas Kit Siang, mereka yang menjabat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri tidak layak berada dalam Kabinet jika tidak bersedia memastikan bahawa tidak akan ada lagi insiden 13 Mei di negara ini.

"Adakah Kabinet esok sedia menunjukkan bahawa ia sepenuhnya komited untuk memastikan tidak akan ada lagi rusuhan 13 Mei di negara ini?" soal Kit Siang. – Roketkini.com

Anwar: Jangan lindungi jenayah kerana imej negara

Posted: 08 Jul 2014 09:35 PM PDT

Oleh Nazar Hashim


PENANTI : Kerajaan seharusnya menyedari imuniti yang ada pada diplomat bertujuan mempertahankan kepentingan negara bukannya mempertahankan kesalahan jenayah seseorang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian bagi mengulas tuduhan bahawa komennya terhadap kes ini mencemarkan imej negara.

Anwar menyampaikan sumbangan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Ramadan kepada dua tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Sobri Md Arshad dan Ustaz Abdul Mutalib Maarof dari Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.
Anwar menyampaikan sumbangan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Ramadan kepada dua tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Sobri Md Arshad dan Ustaz Abdul Mutalib Maarof dari Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.

"Sepertimana yang dinyatakan dalam Konvensyen Geneva imuniti tersebut adalah bagi mempertahankan hak negara, kerajaan perlu menyedari apa yang termaktub dalam konvensyen tersebut.

"Tindakan mempertahankan dan melindungi seseorang yang melakukan jenayah adalah suatu pencabulan terhadap undang-undang yang tidak sepatutnya berlaku apabila melibatkan negara," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama dengan penduduk Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Guar Perahu, Penanti pada 4 Julai.

Dakwaan Putrajaya beliau memburukkan imej negara adalah tuduhan yang tidak benar kerana apa yang dinyatakan adalah bagi menjaga imej negara supaya tidak diberi persepsi negatif oleh negara luar seperti New Zealand.

Jelas Anwar lagi, surat yang diberikan oleh kerajaan kepada Kementerian Luar New Zealand supaya tuduhan terhadap bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Pegawai Waran 2, Rizalman Ismail digugurkan adalah suatu tindakan yang boleh mencemarkan nama negara kerana ia melibatkan pencabulan ke atas wanita.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata persoalan yang ditimbulkan mengenai pertuduhan ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, tanpa melindungi mereka yang boleh mencemarkan nama baik negara.

"Kenyataan tersebut bukannya memburukkan negara, sebaliknya kerajaan harus mengambil tindakan segera apabila pandangan diberikan dari membiarkan negara dipandang rendah sepertimana yang berlaku dalam kes kehilangan pesawat MH370.

"Kerajaan perlu menjawab soalan ini tanpa cuba melindungi mana-mana pihak," tambahnya lagi.

Dalam majlis yang sama juga Anwar turut diberi kesempatan untuk menyampaikan sumbangan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Ramadan kepada dua tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Sobri Md Arshad dan Ustaz Abdul Mutalib Maarof dari Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.

Sumbangan berupa barang keperluan harian seperti beras, gula dan sebagainya turut disampaikan kepada penduduk kariah masjid tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Tiada tindakan kepada gelandangan, Pusat patut contohi P Pinang

Posted: 08 Jul 2014 09:32 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Ketua Menteri, Lim Guan Eng menegaskan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang  tidak akan mengambil tindakan terhadap gelandangan atau kumpulan pemberi makanan percuma.

Katanya, Jabatan Kebajikan Negeri juga tidak dibenarkan membuat sebarang operasi terhadap dua golongan itu.

lim-guan-eng"Kerajaan Persekutuan bercakap tentang denda RM150 kepada pemberi sedekah kepada pengemis. Ini tidak dapat diterima sama sekali.

"Pulau Pinang tidak akan mengambil tindakan sama," kata Guan Eng, lapor Malaysiakini.

Semalam, Guan Eng turut mengumumkan akan menyumbang RM20,000 daripada tabung Ketua Menteri kepada aktivis dapur umum di negeri itu.

Isu ini timbul selepas Menteri Wilayah
Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dalam kenyataannya berkata, pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda RM150.

Kementerian itu juga mahu membersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis dan gelandangan. Saranan ini mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Kenyataan Guan Eng itu secara tidak langsung memberi tamparan kepada JKM negeri yang sebelum ini berikrar untuk membersihkan bandar raya itu daripada menjadi sarang kutu rayau, penagih dadah dan pengemis.

Kenyataan itu, seperti dilaporkan Bernama, dikeluarkan pengarah JKM negeri, Zulkifli Ismail selepas operasi "menyelamatkan" 61 gelandangan dalam operasi awal pagi 19 April lalu.

Heret Mekah dalam isu gelandangan, teruknya pemimpin Umno

Posted: 08 Jul 2014 09:30 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Tak boleh digambarkan betapa teruknya Umno apabila ada di kalangan pemimpin mereka mengheret kota suci Mekah dalam isu gelandangan, yang hangat diperkatakan sekarang.

Inilah gambaran yang sangat sesuai ditujukan kepada mereka ekoran Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee menyatakan,  Kuala Lumpur boleh mengikuti jejak langkah Mekah apabila berjaya mengurangkan peminta sedekah dan orang gelandangan, seperti yang dilapor KiniTV.com.

gelandangan

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar sebelum ini berkata, cadangan Menteri Wilayah, Tengku Adnan Mansor yang mahu mengenakan hukuman ke atas peminta dan pemberi sedekah di Kuala Lumpur adalah langkah yang terlalu drastik.

Adnan dalam kenyataannya berkata, pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda sebanyak RM150.

Menurut Nurul Izzah, langkah tersebut tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan dan orang gelandangan yang semakin membarah sebaliknya menonjolkan kegagalan kerajaan dalam menangani masalah orang gelandangan di negara ini.

Sekatan ke atas Malaysiakini, TMI bersifat anti-demokratik

Posted: 08 Jul 2014 09:26 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) digesa menarik balik larangan terhadap Malaysiakini dan The Malaysian Insider (TMI) kerana menghalang dua portal media itu membuat liputan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

FahmiPengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, difahamkan larangan tersebut berkuatkuasa hari ini tanpa sebab dan tarikh larangan akan ditarik balik.

Beliau berkata, larangan terhadap media terbabit bersifat punitif, anti-demokratik dan langsung tidak membantu membangunkan masyarakat madani yang mana salah satu terasnya adalah kebebasan media.

"Najib harus ingat, di zaman media sosial ini, rakyat Malaysia dan juga di seluruh dunia mendahagakan kebenaran dan menolak sebarang penipuan serta usaha untuk mengaburi mata rakyat.

"Beliau juga harus ingat, media yang bebas akan membantu memastikan wujud sekatan dan imbangan (checks and balances) dalam sesebuah pentadbiran," kata Fahmi dalam kenyataan.

Malaysiakini hari ini sekali lagi dilarang daripada membuat liputan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Larangan ini adalah yang kedua dalam tempoh dua minggu.

Portal berita itu mahu membuat liputan sidang media Perdana Menteri pada jam 10 pagi, seperti diumumkan Bernama semalam.

Pemilihan KEADILAN: Lagi tindakan tegas terhadap 4 anggota parti

Posted: 08 Jul 2014 09:24 PM PDT

KEADILAN DAILY


Lembaga Disiplin KEADILAN telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota.

pemilihan keadilan 2014 Kes-kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Biropolitik bertarikh 8 Julai 2014 yang dipengerusikan Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan dihadiri anggota-anggota Biropolitik yang lain.

Berikut adalah keputusan-keputusan yang dicadangkan Lembaga ini dan dipersetujui Biropolitik:

1) Sdr VASANTHA KUMAR A/L KRISHNAN (Cabang Hulu Langat)

Beliau telah didapati membuat tuduhan tidak berasas terhadap beberapa anggota parti sewaktu proses pemilihan Cabang Hulu Langat pada 11 Mei.

Sdr VASANTHA KUMAR A/L KRISHNAN dengan ini digantung keanggotaan selama tiga (3) bulan bermula serta-merta.

2) Sdr SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD (Cabang Hulu Selangor)

Beliau telah membocorkan laporan minit Mesyuarat Biro Politik kepada umum melalui akaun twitter beliau pada 14 Mei 2014.

Sdr SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD dengan ini digantung keanggotaan selama tiga (3) bulan bermula serta-merta.

3) Sdri NOR ASMAH BAHARUDDIN (Cabang Bandar Tun Razak)

Beliau telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap parti melalui laman Facebook beliau pada 26 Jun 2014.

Sdri NOR ASMAH BAHARUDDIN akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan beliau sehingga siasatan selesai.

Lembaga Disiplin mengingatkan semua calon supaya tidak menggunakan anggota-anggota parti yang telah digantung keanggotaan atau telah dipecat untuk berkempen, khusus menuju pusingan akhir pemilihan iaitu pada 10 Ogos 2014.

Tambahan pada itu, Lembaga Disiplin telah mendapati bahawa:

Sdr ABDULLAH SANI ABDUL HAMID (Cabang Kuala Langat) telah mengeluarkan kenyataan dalam akhbar Berita Harian edisi 9 Julai 2014 bertajuk "Abdul Khalid perlu akur 'Langkah Kajang'" yang menyentuh isu kedudukan Menteri Besar Selangor.

Sdr ABDULLAH SANI ABDUL HAMID akan diberi surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan kenyataan media tersebut.

Datuk Dr Tan Kee Kwong
Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN

Bernama TV Kini Tenat?

Posted: 08 Jul 2014 04:41 PM PDT

shahbudindotcom


Menjadi pengacara televisyen dan sering pula muncul menemubual tokoh politik dan pemimpin negara dengan pakaian segak bergaya adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya insan terpilih dan berbakat besar saja berpeluang menceburi bidang seperti itu.

Sekali imbas juga tentulah ramai yang menyangka kehidupan mereka pastilah agak selesa, seiring dengan wajah ceria dan kepetahan berkata-kata yang dizahirkan di kaca televisyen itu.

Namun tidak begitu realitinya bagi beberapa pengacara Bernama TV, sebuah stesen televisyen milik kerajaan yang diletakkan dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana sudah beberapa bulan elaun kemunculan mereka tidak dibayar atas alasan kekangan kewangan yang dihadapi.

Di sebalik wajah cerita, senyum, ketawa dan petah berkata-kata menemubual tokoh politik dan pemimpin negara dalam berbagai isu di Bernama TV, hakikatnya mereka sedang memendam kecewa serta sengsara seolah-olah titik peluh dan bakat mereka langsung tidak dihargai.

Meskipun elaun kemunculan itu sudah tertunggak beberapa bulan, tapi setiap kali pertanyaan dibangkitkan mengenai bayaran, jawapan yang diterima ialah diminta bersabar kerana masih menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji kakitangan.

Menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma ini pun, difahamkan belum ternampak bayang-bayang bayaran elaun tertunggak itu bakal dilangsaikan.

Adalah difahamkan, masalah kewangan yang dihadapi oleh Bernama TV ini adalah berpunca daripada kelemahan pengurusannya mengendalikan syarikat tv di mana mereka seolah-olah hanya bergantung sepenuhnya kepada sejumlah peruntukan yang diberikan oleh kementerian tanpa ada usaha mahu menambah kantung kewangannya melalui pendapatan iklan dan sebagainya.

Ini menjadikan, walaupun Bernama TV adalah milik kerajaan dan membawa imej pemerintah yang sedang berkuasa, tetapi sumber pendapatan daripada iklannya terlalu sedikit, seolah-olah tiada usaha memperkemaskan jabatan iklan dan pemasaran atau melantik syarikat luar untuk menguruskan pencarian iklan. Malah iklan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan lun tidak singgah ke Bernama TV.

Melalui peruntukan khas yang diberikan oleh kementerian itu, Bernama TV pula lebih mengutamakan kepada pembayaran gaji kakitangan tetapnya tanpa memikirkan bahawa pengacara jemputan atau sambilan yang mengendalikan program-program khas itu adalah otai-otai berbakat yang sarat dengah pengalaman dan menjadi nadi kepada stesen itu.

Lebih malang lagi, dalam beberapa kes pula, disebabkan masalah kewangan itu, pengacara-pengacara itu juga sedia bertolak-ansur agar elaun kemunculan dikurangkan daripada kadar biasa. Ironinya, setelah elaun dikurangkan pun tetap tertungak juga.

Dengan kelemahan pengurusan dan ketiadaan pendapatan iklan yang menggalakkan itu, selain berhadapan dengan masalah membayar elaun beberapa pengacaranya, Bernama TV boleh dikatakan masih beroperasi dengan peralatan dan kamera jenis lama serta jauh ketinggalan berbanding stesen-stesen televisyen yang lain.

Sebagai sebuah stesen TV yang membawa berita dan maklumat terkini serta kerap pula menjemput menteri dan pemimpin negara datang ke studionya dan dimiliki pula oleh kerajaan, kedaifan peralatan dan isu pembayaran tertunggak ini tentulah sesuatu yang memalukan dan tidak seharusnya berlaku.

Ia memberi imej seolah-olah kerajaan yang ada sudah tidak tidak berwibawa dan kehilangan upaya.

Lebih dari itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Shabery Cheek juga dikatakan kurang memberi perhatian untuk memajukan lagi Bernama TV sedangkan di luar negara, stesen televisyen yang memfokuskan kepada berita dan maklumat seperti CNN misalnya, amat maju dan berkembang dengan pesat sekali.

Tidak seperti menteri terdahulu, Dr Rais Yatim yang sangat mengambil berat dan memberi perhatian kepada perkembangan Bernama TV, Shabery Cheek sebaliknya dikatakan sangat perlahan mengenainya walaupun Perdana Menteri, Najib Razak kerapkali menyatakan dunia akan datang adalah dunia maklumat dan mahu setiap rakyat memperolehi makluma sebanyak-banyaknya.

Dan ditambah dengan pengurusannya yang lemah itu, Bernama TV seolah-olah selesa berada di takuk lama saja.

Zul Noordin: Tangkap pelampau kaum, agama

Posted: 08 Jul 2014 04:33 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Pelbagai pihak sebelum ini tampil dengan tuntutan agar kerajaan agar bertindak ke atas pihak yang menimbulkan kebencian kaum dan agama.

Kali ini, seruan itu datang dari Datuk Zulkifli Noordin, yang sebelum ini sering dituduh melaga-lagakan antara kaum.

Bekas naib presiden PERKASA itu dalam satu tulisan blog menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas Timbalan Ketua Menteri II Pulai Pinang, P Ramasamy.

Ia berhubung kenyataan balas Ramasamy ke atas satu kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung kemungkinan kejadian satu lagi rusuhan kaum.

Ramasamy antara lainnya berkata, DAP tidak gentar dengan kenyataan tersebut walau GERAKAN, MCA dan MIC mungkin sebaliknya.

Mengulas kenyataan itu, Zulkifli mendakwa, kata-kata tersebut mengandungi elemen hasutan yang menurutnya boleh mengancam keselamatan negara.

"Saya mendesak pihak berkuasa terutamanya SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan Peguam Negara supaya lebih agresif dan tegas dalam... menguatkuasakan undang-undang bagi mengheret para anasir ekstremis, pelampau agama dan perkauman ke muka pengadilan untuk dikenakan hukuman keras jika sabit kesalahan," katanya.

Sokong Muhyiddin

Beliau juga mengingatkan Ramasamy bahawa tragedi beradar 13 Mei 1969 di antara golongan Melayu dan Cina adalah ekoran dari "politik kaum DAP" dan ekstremis agama.

Dalam tulisan di laman zul4kulim.blogspot.com itu, Zulkifli turut menyatakan sokongan ke atas Muhyiddin.

"Sampai bila umat Melayu-Islam boleh bersabar melihat agama, bangsa, negara dan Raja-Raja dihina, diperlekeh, dibangsatkan dan dimaki hamun sebegitu rupa tanpa sebarang tindakan tegas dan jelas terhadap mereka yang terlibat?

"Saya menyokong penuh peringatan TPM yang khuatir peristiwa berdarah 13 Mei 1969 mungkin berulang melihat kepada tindak tanduk dan gelagat anasir ekstremis dan pelampau agama dan perkauman akhir-akhir ini," katanya.

Dakwamya, tindakan provokatif oleh golongan cauvinis dan pelambau agama itu menyebababkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan golonga Melayu dan Islam.

"Setakat ini anasir cauvinis ini bernasib baik kerana umat Melayu-Islam masih lagi bersabar dan bertolak ansur sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan keamanan dan perpaduan."

Parang bengkok sedang menebas, siapa yang menghayun parang itu?

Posted: 08 Jul 2014 04:28 PM PDT



Jika benar TS Khalid akan diberhentikan kerja sebagai Menteri Besar Selangor, ia tidak boleh diselesaikan dengan menggantikan orang lain dalam PKR untuk memegang jawatan penting itu dengan begitu mudah. Pengguguran Khalid itu merupakan kemuncak kepada kemelut PKR dan ia akan membawa masalah sampingan yang leboih besar setelah beliau dilucutkan jawatan itu.

Ia bukan setakat menggantikan dengan Wan Azizah atau Azmin misalnya kerana ia berlaku diatas permainan politik pucuk pimpinan parti itu. Yang bercakap meminta Khalid berhenti ini hanyalah mereka yang di rancang untuk berkata seperti yang kita dengar sekarang. Baik kata-kata dari Rafizi atau pun sesiapa seperti Shamsul Iskandar Akim serta beberapa yang lain itu, ubarat parang bengkok untuk menebas belukar sahaja.

Rafizi dan Shamsul Iskandar itu hanyalah ibarat parang bengkok itu. Yang menghayun parang bengkok itu ialah Anwar sendiri. Maka yang akan menjadi tirus dan nipis mata parangnya ialah Rafizi atau Shamsul setelah begitu hebat hayunan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti itu untuk menebas Khalid dan sesiapa yang bersama dengan Khalid.

Yang boleh memberhentikan hayunan dan tebasan parang-parang bengkok tadi hanyalah yang menghayun parang-parang bengkok itu, iaitu Anwar sendiri. Jika Khalid ditebas licin maka yang menebasnya ialah Anwar pada hakikatnya. Jika Anwar mahu menyimpan parang-parang bengkok itu mudah sahaja, tetapi Anwar mahukan parang bengkok itu terus menebas belukar yang bernama Khalid itu.

Tetapi berjayakah usaha menebas Khalid ini tanpa menghadapi risiko kepada parti itu sendiri? Kalau hendak menebas atau membersihkan belukar ia perlu di hapuskan urat-urat belukar itu sekali, kerana urat-urat yang masih hidup itu akan kembali bercambah dan merimbun.

Sedikit sebanyak TS Khalid telah membina dan mempunyai sokongan akar umbi yang bertambah kuat. Kenyataan PAS yang parti itu tidak terlibat dengan memaksa Khalid berhenti itu adalah tindakan yang bertepatan, kerana jika timbul penolakan kepada PKR itu ia akan membawa padah kepada parti-parti komponen Pakatan Rakyat juga. Shamsul Iskandar telah menempelak Khalid yang Khalid menjadi MB itu ialah kerana sokongan parti-parti dalam PR maka Khalid harus akur kepada kehendak PR jika beliau terpaksa berhenti kerja kali ini.

Apa pun dan siapa pun bersetuju dengan kata-kata Shamsul itu tidak penting kerana hakikatnya Pakatan Rakyat telah mendapat kekuatan dengan rekod Khalid mentadbir Selangor dan itu pun sebabnya PAS dan DAP mendapat sokongan padu sehinggakan UMNO hanya mempunyai 12 kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu.

Memberi notis berhenti kerja kepada Khalid merupakan usaha yang bukan mudah untuk dilakukan. Jika tidak dilakukan dengan cara yang baik, kehilangan sokongan kepada Pakatan Rakyat di Selangor itu akan terjejas dan ia merupakan peluang untuk UMNO dan BN kembali bertapak kembali di Selangor.

Jika akhirnya Khalid diketepikan maka sesiapa dari PKR mengambil alih akan menghadapi masalah besar. Jika benar ada kejujuran dikalangan komponen Pakatan Rakyat maka sesiapa yang menggantikannya tidak perlu datang dari PKR. Ia boleh datang dari PAS kerana di Selangor PAS mempunyai ahli-ahli legislatif yang mempunyai ketokohan besar. Yang perlu seseorang yang mengambil alih jawatan MB itu seorang Melayu Islam seperti yang dikehendaki oleh undang-undang tubuh negeri Selangor itu.

Saya tidak nampak bagaimana PKR boleh memperkuatkan kedudukannya di Selangor dengan mengalih dan menganjak Khalid Ibrahim. 'Consequence' nya dikalangan rakyat akan menjadi besar dan belum tentu ia boleh memperkuatkan PKR jika sokongan akar umbi terjejas. Ia bukan sahaja menjejaskan sokongan terhadap PKR malahan ianya juga menjejaskan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat sendiri di Selangor, malahan ia akan juga membabitkan sokongan terhadap PR di seluruh negara sedikit sebanyak.

Tetapi selalunya apabila sudah bergaduh dan bersalah-salahan jarang diantara mereka yang bersalah-salahan itu mahu dan mampu berfikir sampai ketahap itu. Keegoan dan sifat amarah itu susah untuk dibendung dan lazimnya pertubuhan itu akan jatuh merudum akhirnya.

Mungkin dalam PKR itu ramai yang berpelajaran, tetapi harus diingat, dalam politik itu seperti kata-kata orang tua-tua dahulu, ilmu tanpa akal tidak mencukupi. Akal itu lebih penting. Ada perbilangan 'biar ilmu itu sebelit, asalkan akal itu dua belitnya'. Kita telah melihat dari dulu sehingga sekarang betapa ramainya pemimpin yang berpelajaran yang tinggi  jatuh tersungkur kerana tidak mempunyai 'wisdom' yang tinggi semasa memegang kuasa.

Kita yang ramai-ramai di Selangor sedang melihat pimpinan PKR yang mana satu yang lebih, akal atau ilmu semata-mata.

Mangsa rogol ditinggal di pejabat lama DAP

Posted: 08 Jul 2014 04:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Polis hari ini menyelamatkan seorang wanita mangsa rogol yang ditinggalkan di premis berkunci di Taman Seri Krubong di Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mangsa berusia 22 tahun ditemui di sebuah bilik bangunan pejabat lama DAP cawangan Krubong itu kira-kira 2.30 petang hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata mangsa berasal dari Perak mendakwa dibawa ke premis itu oleh dua lelaki yang baru dikenali sebulan lepas dari rumah sewanya di Rembia, Alor Gajah dengan menaiki kereta sebelum dirogol tiga lelaki lain kira-kira 10 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati ketika dalam perjalanan ke premis tersebut, mangsa diberitahu akan dilacurkan namun dia tidak mahu tetapi sebaik tiba, wanita itu telah dirogol tiga lelaki lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya mangsa yang pernah berkahwin itu kemudian ditinggalkan di premis berkenaan.

Salehhudin berkata mangsa meminta pertolongan orang ramai kira-kira 2 petang tadi setelah dia tidak dapat melarikan diri berikutan pintu pagar premis itu berkunci.

Beliau berkata mangsa yang berada dalam keadaan trauma dihantar ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan.

Katanya polis kini giat memburu kelima-lima lelaki terbabit yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati papan tanda pejabat DAP cawangan Krubong masih berada di bahagian pintu pagar utama premis itu.

Timbalan Pengerusi DAP Melaka Lim Jak Wong ketika dihubungi berkata cawangan itu telah dibubarkan dan pejabatnya ditutup sejak beberapa tahun lepas.

"Pejabat tersebut tidak digunakan lagi tetapi papan tandanya belum diturunkan," katanya.- Bernama

Konflik Syria: Sikap PAS

Posted: 08 Jul 2014 04:07 PM PDT

DR SYED AZMAN SYED AHMAD



Tuan Guru Abdul Hadi ketika berucap dalam persidangan di Istanbul, Jun lalu.


PADA persidangan gerakan Islam yang berlangsung di Istanbul awal Jun lepas, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi membuat penegasan bahawa PAS  bersama dengan gerakan Islam di seluruh dunia bagi mengutuk segala bentuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku di Syria.

Mengikut laporan pelbagai sumber, ribuan orang awam terbunuh akibat dari konflik yang bermula dengan demonstrasi aman yang bertukar menjadi pertempuran bersenjata.

Dianggarkan purata 40 rakyat awam Syria mati dalam tempoh sehari dan sekiranya konflik berdarah ini berterusan tanpa sebarang penyelesaian, angka kematian dan kecederaan akan terus meningkat.

Konflik yang berlangsung hampir tiga tahun itu telah meragut lebih 200,000 nyawa rakyat awam Syria termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Jumlah pelarian rakyat Syria kini melebihi tiga juta yang terpaksa tinggal di khemah-khemah pelarian di Turki, Lubnan, Jordan dan di dalam negara mereka sendiri.

Dalam persidangan tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi juga telah membuat penegasan bahawa semua kuasa asing khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya serta Rusia dan sekutunya, yang masing-masing mempunyai kepentingan strategik di bumi Syria agar segera keluar dari negara yang terus bergolak itu dan menyerahkan penyelesaiannya kepada rakyat Syria sendiri untuk menentukan masa depan negara tersebut.

Namun terlalu banyak persoalan yang timbul dalam konflik Syria yang tidak menampakkan jalan penyelesaian ini. Antaranya;

i. Apakah Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) benar-benar mahu membantu rakyat Syria dan mengembalikan keadilan serta menjadikan Syria sebagi sebuah negara yang Demokratik?

ii. Apa pula peranan negara-negara berfahaman Sunni di Teluk seperti Qatar, Kuwait, UAE dan Arab Saudi dalam konflik Syria ini? Apakah mereka juga benar-benar mahu menumbangkan regim Assad dan melihat Syria menjadi sebuah 'negara Sunni' yang mengamalkan sistem demokrasi tulen dengan membenarkan parti-parti Islam termasuk Ikhwan Muslimin Syria mendapat kuasa secara demokratik seperti mana yang telah berlaku di Tunisia, Maghribi dan Mesir?

iii. Apakah pula peranan negara Zionis Israel yang bersempadan dengan Syria? Apakah mereka juga mahu rejim Assad jatuh dan akan merestui kelompok seperti ISIS, Al Qaeda atau Ikhwan Muslimin Syria mengambil alih kuasa di Syria?

iv. Bagaimana peranan negara Iran (Syiah) yang berjiran dengan Syria yang dilihat banyak memihak kepada kerajaan Bashar Al Assad dalam konflik berdarah ini? Apakah mereka juga akan turut terjebak di dalam konflik yang lebih parah lagi di Syria?

v. Bagaimana pula peranan kelompok-kelompok baru seperti ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) yang begitu terserlah penglibatan mereka sejak akhir-akhir ini di Syria? Apakah asal usul kelompok ini? Dan dari manakah persenjataan serta bantuan kewangan yang mereka dapat sehingga dapat menguasai sebahagian dari Syria?

vi. Dan apakah kesudahan penyelesaian Syria? Akan adakah kesatuan di kalangan rakyatnya, ataupun akan terus merebak menjadi konflik Mazhab Sunni-Syiah yang lebih parah dengan peranan yang dimaikan oleh kelompok yang keras seperti ISIS dan Al Qaeda?

CAMPUR TANGAN ASING

Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita dengan melihat campur tangan Amerika dan sekutunya seperti mana yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan terkini di Libya.
Kebimbangan Barat terhadap aspek kemanusiaan di Syria dan negara-negara umat Islam sebenarnya hanyalah helah mereka untuk mengembangkan pengaruh 'hegemoni' mereka di situ. Adalah jelas mereka kini 'melindungi cita-cita hegemoni' dan 'pecah dan perintah'untuk menguasai Syria di sebalik sikap anti-Assad serta 'ingin membantu' mereka.

Tujuan dan matlamat Amerika Syarikat dan sekutunya adalah jelas. Ia bukan untuk menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel dan sekutunya.

Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Mereka juga bermatlamat bagi menekan, melemah dan menghapuskan gerakan kebangkitan seperti Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah (daripada Syiah).

Tuan Guru Abdul Hadi di dalam persidangan itu juga telah membuat penegasan bahawa bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel.

Pergerakan Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dan bukannya negara-negara Teluk yang kaya seperti seperti Arab Saudi, UAE, Jordan mahupun Kuwait.

"Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat.

"Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya," ujar beliau memberi peringatan.

Seperti penegasan Presiden PAS, langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah di Syria hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan.

"Kalau mahu menghidupkan semula (campur tangan asing) dalam pergolakan di Syria, akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya," tegas beliau.

Dan inilah yang sedang dan terus berlaku di Syria.



(^) Dr. Syed Azman Syed Ahmad ialah Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.

Tiada ulasan: