Sabtu, 5 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Siapa suruh Melayu bersetinggan di KL?

Posted: 04 Jul 2014 04:46 PM PDT




Oleh Subky Latif


YANG terakhir Kampung Chubadak sebagai perkampungan kediaman Melayu cuba dirampas daripada penghuninya untuk disedekahkan kepada taikun YTL yang sudah kaya raya itu.   

Antara isunya pemastautin itu adalah setinggan, bukan waris penduduk asal dan kawasan itu telah dikeluarkan daripada tanah rizab Melayu lama sebelum Jepun datang.
 
Siapa mendiami tanah di situ? Tidak kiralah mereka setinggan atau orang membeli tapak kediaman daripada setinggan atau saki baki waris penduduk di situ sejak Kuala Lumpur itu ada sebelum kedatangan Yap Ah Loy.
   
Jika mereka itu setinggan baik lama atau baru, siapakah yang menyeru supaya orang Melayu selepas merdeka berhijrah ke Kuala Lumpur tidak kira ada pekerjaan atau tidak, tidak kira ada kediaman atau tidak?
   
Tun Razaklah selepas berkuasa sejak kejadian 13 Mei 1969 menyeru orang Melayu jangan tinggal tanpa kerja tetap di kampung. Hijrahlah ke Kuala Lumpur mengisi tanah kosong, mecari apa juga rezeki yang halal di bandar raya itu.
   
Sebelumnya telah ada penduduk tanah haram di Lembah Kelang ini. Masa itu belum diketahui orang gelaran setinggan itu. Telah ada di sana sini orang mendirikan rumah di kawasan kosong dan di celah-celah rumah yang sedia ada.
   
Status mereka adalah penduduk tanah haram. Keberadaan mereka haram atau orang haram.
   


Tetapi setelah diseru oleh Tun Razak (Gambar Atas), datanglah ke Kuala Lumpur untuk bersetinggan, jadilah penduduk sah Kuala Lumpur yang halal berstatus setinggan. Bukan saja tanah kosong kerajaan mereka teroka, tanak milik orang Melayu yang terbiar juga diceroboh setinggan.
   
Pernah bangkit isu kebanjiran setinggan di Kuala Lumpur, lalu apa kata Datuk Bandar masa itu, Almarhum Tan Sri Yaakub Latif, 'Setinggan-setinggan itulah yang menyeri dan mengindahkan kehidupan masyarakat Kuala Lumpur.'
    
Apa ertinya semua perkembangan itu?
    
Betul atau tidak betul seruan Tun Razak itu, dia adalah pencetus Dasar Ekonomi Baru yang menstruktur semula supaya kawasan bandar tidak dikenali sebagai kawasan satu kaum tertentu saja.
  
Dia mahu sekurang-kurang 30 peratus daripada ekuiti negara milik Bumiputera. Sama ada di belakang seruan Tun Razak itu terselit fikiran cauvanis perkauman atau tidak, tetapi dia adalah untuk memecahkan atmosfera yang menjadikan Kuala Lumpur bandar perkauman.
   
Sebelum KL dibanjiri setinggan tidak ada kawasan Parliman yang di dalam tembok Wilayah Persekutuan sekarang berwakilrakyatkan orang Melayu. Jika PRU 1959 memberi peluang kepada Ahmad Boestamam jadi anggota Parimen Melayu tunggal di Kuala Lumpur, masa itu sebahagian kawasan pilihan raya itu berada di luar Wilayah Persekutuan. Hanya Adun Kampung Baru diwakili orang Melayu.
    
Pemimpin Melayu sekarang patut sedar kebanjiran setinggan Melayu itu adalah untuk menjamin dalam waktu yang terdekat Kampung Baru kekal berwakil rakyat Melayu di samping menambah kawasan pengundi Melayu.
    
Banyak tempat di Kuala lumpur jadi kawasan setinggan Melayu. Tetapi Tun Razak pendek umur. Habis kawasan setinggan itu diroboh. Kawasan yang dinamakan Bumi Hijau di kawasan Parlimen Wangsa Maju sekarang, dulunya dihuni setinggan Melayu tetapi kini sebahagiannya jadi kampus Kolej Tunku Abdul Rahman.
  
Yang terakhir hendak dirobohkan ialah Kampung Chubadak. Apabila ia diserahkan kepada YTL, Chubadak yang membangun nanti akan mengurangkan lagi peratus pengundi Melayu kawasan Parlimen Batu. Penghapusan setinggan di KL, termasuk Chubadak adalah mahu mengembalikan Kuala Lumpur dari segi politiknya ke zaman ia kurang peratus pengundi Melayu. Tun Razak hendak meramaikan orang Melayu di Bandar, anaknya hendak mengurangkan peratus orang Melayu di Bandar

Oh! Malaysiaku Negara Islam, Nak Bersedekah Pun Kena Saman..

Posted: 04 Jul 2014 04:21 PM PDT



Oleh Shahbudin Husin


Ramai benar yang marah dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak membenarkan lagi wargakota memberi sebarang jenis sumbangan kepada peminta sedekah dan dalam masa yang sama juga melarang kumpulan NGO Dapur Jalanan memberi makanan kepada golongan kutu rayau, fakir miskin dan gelandangan.

Alasan yang diberikan Tengku Adnan atau Ku Nan ialah untuk membersihkan Kuala Lumpur daripada semua jenis peminta sedekah, kutu rayau dan gelandangan yang disifatkannya sebagai sampah yang mengotorkan imej bandaraya selama ini, selain kononnya program pemberian makanan itu menambah-kotorkan lagi persekitaran ibukota.

Menurutnya lagi, kerana adanya golongan yang murah hati inilah menyebabkan kewujudan golongan sampah itu sukar dihapuskan oleh kerajaan serta menyusahkan usaha membanteras kewujudan mereka. Serentak dengan itu, beliau mensyaratkan jika NGO Dapur Jalanan mahu meneruskan kegiatan memberi makan kepada gelandangan, ia haruslah dilakukan sejauh 2km dari pusat bandar yang dikenalpasti iaitu Kompleks Membeli-belah Lot 10.

Walaupun mungkin niat Ku Nan ini adalah baik tetapi beliau seolah-olah tiada hati perut dalam tindakannya. Ini kerana dalam usahanya membersihkan imej Kuala Lumpur, sampai beliau bukan saja tergamak menghalang orangramai daripada bersedekah dan memberi sumbangan, malah menguatkuasakan undang-undang agar tindakan saman serta-merta dikenakan kepada sesiapa yang menghulurkan sumbangan.

Lebih tidak masuk akal, arahan penguatkuasaan ini pula dilakukan di bulan Ramadan, bulan di mana salah satu kegiatan yang paling digalakkan ialah bersedekah dan membantu golongan yang susah.

Kalau sudah bersedekah pun jadi masalah dan dianggap salah, tidakkah ini juga bertentangan dengan Malaysia sebagai negara Islam yang dilaung dan dibangga-banggakan sebelum ini!

Bagi Ku Nan yang tinggal di kediaman mewah setinggi lima tingkat di Jalan Duta, beliau mungkin tidak cukup memahami derita golongan fakir dan gelandangan ini yang hidup berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit. Sebelum mahu dilarang golongan fakir, peminta sedekah, kutu rayau dan gelandangan di ibu kota daripada menerima sedekah atau sumbangan makanan daripada NGO Dapur Jalanan, Ku Nan patut bertanya, sudahkah kerajaan berbuat sesuatu untuk melindungi dan membantu mereka ini?

Jika kerajaan pun tidak berbuat apa-apa atau tidak mampu melakukah sesuatu, janganlah dihalang orangramai daripada mahu menghulurkan sumbangan dan memberi makanan. Kerajaan melalui DBKL sepatutnya bekerjasama dengan NGO terbabit seperti menyediakan kawasan khas, tong sampah dah kakitangan yang membersihkan kawasan selepas program pemberian makanan itu diadakan.

DBKL juga sepatutnya bersyukur kerana NGO Dapur Jalanan ini tidak meminta sumbangan daripada kerajaan pun untuk menyediakan pemberian makanan itu. Ianya adalah sumbangan orangramai yang bersimpati, ada perasaan dan hati perut terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Di mana-mana bandar besar pun, golongan gelandangan dan peminta sedekah ini tetap ada. Yang penting ialah bagaimana kerajaan menangani dan melindungi mereka ini, bukan cuba menyisihkannya terus dengan menghalang orangramai daripada memberikan sedekah dan menghulurkan bantuan.

Memang benar seperti kata Ku Nan jika orangramai mahu menghulurkan bantuan, mereka boleh berbuat demikian kepada masjid, kuil, gereja dan sebagainya tetapi sedarkah Ku Nan bahawa pilihan memberi sedekah ini berbagai-bagai dan ia umpama kita memilih kedai makan atau pakaian yang selesa untuk dipakai. Ia terpulang kepada pilihan masing-masing dan kerajaan tiada hak untuk menentukan ke mana sedekah seseorang itu harus disalurkan.

Ada orang yang banyak duit, tetapi suka makan di gerai dan ada juga orang yang tak berapa ada banyak duit tapi sering memilih makan di tempat yang mahal. Ada pula yang suka makan KFC, McD, nasi kandar, hidangan Thai, masakan Jepun dan seumpamanya. Lain orang, lain selera dan keselesaannya. Begitu juga dalam hal bersedekah ini, selain ada yang menyumbang melalui masjid, kuil dan gereja, tentulah ada juga yang lebih selesa dapat bersedekah secara langsung dengan memberi wang atau makanan kepada golongan gelandangan ini.

Dalam hal ini, Menteri di JPM sendiri, Shahidan Kassim diketahui adalah penyumbang tetap makanan kepada golongan gelandangan yang berada di Chow Kit, Kuala Lumpur sejak sekian lama. Beliau bersama kenalan rapatnya melakukan bantuan itu secara konsisten sebagai amal jariah dan sedekahnya. Adakah beliau juga salah dan mahu disaman?

Ku Nan seharusnya sedar bahawa kewujudan kutu rayau, peminta sedekah dan gelandangan dengan kemurahan hati orangramai memberi sumbangan dan sedekah adalah dua aspek yang berbeza. Beliau seharusnya fokus kepada tugasnya untuk membersihkan golongan itu melalui peranannya sebagai menteri tetapi selagi golongan itu ada, beliau tidak seharusnya menegah pihak lain daripada menghulurkan sumbangan dan memberi bantuan.

Lainlah jika sekiranya kerajaan sudah menyediakan rumah perlindungan dan makanan untuk gelandangan ini tetapi masih ada NGO yang mahu berbuat demikian, barangkali ada logiknya jika larangan bersedekah dan memberi makanan itu dikuatkuasakan.

Carilah penyelesaian untuk membasmi golongan fakir, pengemis, kutu rayau dan gelandangan ini dengan mewujudkan rumah perlindungan yang secukupnya terlebih dahulu, kemudian barulah jika mahu dilaksanakan pelbagai peraturan dan larangan apa sekali pun.

Lagi pula, selain pengemis, kutu rayau dan gelandangan, banyak lagi aspek yang lebih merupakan sampah dan menjadi kekotoran sebenar kepada wajah ibukota ini. Jenayah, pelacuran, pengedaran dadah, hiburan malam, rumah urut dan segala macam titik-titik noda yang bercambah subur setiap hari di merata-mata Kuala Lumpur adalah sampah sebenar yang perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Sempena bulan Ramadan yang masih awal lagi, didoakan semoga Ku Nan segera mendapat hidayah Allah dah tahu mana keutamaannya dalam menjalankan tugas sebagai menteri.

Asyik-asyik ugutan 13 Mei

Posted: 04 Jul 2014 04:19 PM PDT

OLEH ZULKIFLI YAHAYA


"DAN Islam mengajar kami adalah diperbolehkan untuk menentang kafir harbi dan kaum munafik ini dengan apa sahaja cara yang bersesuaian dan dibenarkan Islam dan undang-undang negara ini!" ugut bekas Timbalan Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin kepada para pemuka Kristian yang beriya-iya mahu menggunakan kalimah Allah.

Agaknya dengan ugutan tersebut terketar-ketarlah pihak berkenaan lantaran ketakutan yang teramat sangat kepada seorang yang dianggap tokoh rasis Melayu itu.

"Kamu hanya sekadar mengundang supaya peristiwa 13 Mei!" katanya. Menulis artikel berjudul "13-Mei 2.0?" dalam blognya, beliau berkata umat Islam diajar bersabar dan bertolak ansur, tetapi hanya kepada mereka yang bertamadun dan mempunyai sikap hormat-menghormati.

"Kalau ini bukan kurang ajar dan biadab, saya tidak tahu nak bagi label apalagi kepada pera ngai pelampau keagamaan dan extremis liberalis ini," ujar seorang pemimpin yang sinonim dengan kenyataan provokosi rasis terhadap pihak lain. Macam kuali dak wa belanga hitam.

Jika ucapan seumpama ini diucapkan oleh DAP yang ditujukan terhadap puak rasis Melayu, maka masa yang diperlukan tidaklah terlalu lama untuk tokoh tersebut diheret ke mahkamah.

Di Malaysia, seorang menteri yang menjaga polis boleh mengeluarkan kenyataan mempertahankan perbuatan jenayah tanpa sebarang tindakan.

Umat Islam di Malaysia dianggap paling "beruntung" dalam dunia ini kerana terdapat sekumpulan pejuang yang ingin mempertahankan kalimah Allah agar tidak digunakan oleh orang kafir sekalipun terpaksa menumpah darah.

Bertuah sungguh rakyat Malaysia kerana di sini ada Umno, Perkasa, Jati, Isma dan rakanrakan seperjuangannya. Di negara lain yang tiada Umno, kalimah Allah bebas digunakan oleh puak Kristian. Perjuangan unggul ini hanya berlaku di Malaysia. Mesir yang mempunyai penduduk Muslim lebih 80 juta dan ratusan ribu ulama juga nampaknya tidak se hebat barisan ulama yang terdapat di Malaysia dalam isu kalimah Allah.

Saya tidak berminat lagi untuk mengulas kontroversi penggunaan kalimah Allah, kerana apa saja hujah yang dikemukakan tidak mampu untuk mengubah pendirian kumpulan ekstremis yang beranggapan bahawa; tuntutan penggunaan kalimah Allah adalah keutamaan dalam perjuangan Islam ala Melayu mereka. Biarkan mereka dengan keper cayaan mereka.

Di saat umat Islam dihina kerana bergantung harap kepada pihak lain sebagai pembekal utama makanan, sehingga perut umat Islam dipenuhi DNA babi, mereka tidak sangat peduli berjuang untuk membangunkan umat Islam. Tetapi keutamaan mereka ialah memupuk kebencian terhadap pihak yang berlainan agama.

Saya tertarik dengan tulisan Dr Ridhuan Tee dalam Sinar Harian baru-baru ini yang memperincikan kelemahan orang Melayu Islam di negara ini dalam segala bidang. Melayu di Malaysia ke tinggalan dalam serba serbi perkara.

Cuma kegagalannya ialah untuk menjumpai bahawa punca terhadap segala kegagalan tersebut adalah kerana Umno sebuah parti Melayu Islam yang mendominasi kerajaan Malaysia lebih separuh abad gagal membangunkan orang Melayu.

Melayu hanya ditarbiyah menjadi masyarakat subsidi yang tiada daya juang, bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan dan mengutamakan isu-isu yang tidak sepatutnya menjadi keutamaan, sehingga sanggup mati kerana isu tersebut.

Apa yang dilakukan oleh para pemuka rasis Melayu itu hakikatnya adalah jalan dekat untuk mengekalkan soko ngan Melayu terhadap kerajaan Umno- BN di mana semangat songsangnya boleh dipupuk dan dibajai dengan isu rasis dan sentimen keagamaan yang sempit.

Umno menyedari hakikat bahawa hanya dengan "memperbodohkan" orang Melayu maka mereka boleh terus berkuasa.

Laluan BN mengekalkan Putrajaya masih lagi melalui jalan kampung dan desa serta kebunkebun getah dan estet kelapa sawit.

Ia berbeza dengan laluan Pakatan ke Putrajaya, yang melalui lebuh raya yang sifatnya urban dan moden. Malangnya laluan tersebut pendek dan terhad berban ding jalan kampung. Umno- BN memenangi 121 dari 158 kerusi luar bandar dalam PRU13 iaitu kira-kira 76 peratus.

Meskipun hanya 30 peratus atau kurang dari sepertiga yang tinggal di kawasan bukan bandar, kerusi Parlimen mereka lebih 70 peratus. Itulah "bijaknya" permainan politik Umno-BN.

Di Malaysia, parti yang berkuasa adalah BN. Parti yang dominan dalam BN ialah Umno.

Se bab itu Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu memilih untuk sertai Umno bukannya MIC, walaupun beliau berhak sertai MIC kerana bapanya berketurunan India. Begitu juga ramai tokoh kacukan India-Melayu, memilih sertai Umno.

Dalam Umno pula, tokoh yang dominan adalah yang dilihat paling lantang perjuang isu rasis Melayu. Sebab itulah masing-masing mereka beriya-iya tonjolkan diri sebagai hero Melayu yang rasis demi mendapat tempat dalam parti dan kerajaan.

Dan "trigger words" yang tidak pernah lekang dari pemuka rasis Melayu ini ialah ugutan 13 Mei. Asyik-asyik 13 Mei untuk takutkan bukan Melayu.

Awie berdepan tuduhan cedera isteri

Posted: 04 Jul 2014 04:12 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Penyanyi Rock, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.

Awie, yang nama sebenarnya Azhar Othman, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Jun di sebuah rumah di Jalan UP 5B, Ukay Bestari, Taman Ukay Perdana, Ampang.

Isterinya, Rozana Misbun yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun, mempunyai tiga orang anak dengan Awie.

Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan ikat jamin RM9,000 dan menetapkan 11 Ogos untuk sebutan seterusnya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
  
Peguam Hazman Harun, yang mewakili Awie memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama semasa proses siasatan dan hadir setiap kali dipanggil pihak polis untuk disiasat.
  
"Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh dan tidak ada sebarang kemungkinan untuk anak guam saya melarikan diri kerana dia merupakan 'public figure' yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.
  
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.     Dia membayar wang jaminan itu.
  
Ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding, Awie berkata beliau tidak menyangka kejadian yang berlaku akan berakhir seperti itu.
  
Namun, penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Sejati' itu tidak dapat mengulas lanjut kejadian yang berlaku kerana tidak mahu mengganggu prosiding kes mahkamah.
  
Ditanya mengenai implikasi kejadian yang berlaku terhadap karier seninya, Awie berkata: "Kalau ada rezeki saya ada la, saya hanya berserah kepada Allah".
  
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah beberapa orang rakan tertuduh termasuk dua anggota kumpulan Wings iaitu Joe dan Eddie.

Menteri: Ku Nan perlu utama gelandangan

Posted: 04 Jul 2014 04:06 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Wilayah Persekutuan diminta mengkaji semula cadangan pelaksanaan tidak membenarkan pemberian bantuan kepada gelandangan di Bukit Bintang.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata aktiviti gelandangan adalah sesuatu yang normal berlaku di bandar besar.

"Kita perlu pertimbangkan mengenai nasib gelandangan ini berbanding kebersihan, bagi saya, selagi mereka tidak melakukan jenayah besar, kita lebih harus prihatin terhadap mereka," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan berbuka puasa dengan kakitangan kementeriannya hari ini.

Akhbar melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan menetapkan bahawa aktiviti pemberian bantuan kepada gelandangan tidak boleh dilakukan dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks membeli-belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dalam usaha membersihkan ibu negara daripada pengemis dan gelandangan, yang dijangka bermula dua minggu lagi.

Beliau juga berpendapat pelaksanaan tersebut perlu ditunda bersama mekanisme lain memandangkan umat Islam kini berada di dalam bulan Ramadan dan cadangan tersebut mendapat kecaman yang hebat daripada orang ramai.

"Kementerian saya dan Wilayah Persekutuan banyak membuat program untuk golongan gelandangan, dan saya faham niat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membantu golongan itu," katanya. - Bernama

M'sia hantar Rizalman ke NZ minggu depan

Posted: 04 Jul 2014 04:04 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail dijangka dihantar balik ke negara itu minggu depan.
  
Bernama melaporkan menurut sumber terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan antara kedua-dua buah negara terlebih dahulu.
  
"Perkara itu PNC (Private and Confidential) untuk dibincangkan bersama media. Perkara itu perlu dibincang bersama dengan pihak di sana (New Zealand) kerana kita tidak mahu sebarang perselisihan faham wujud," katanya kepada Bernama di ibu negara, hari ini.
  
Keputusan untuk menghantar balik Muhammad Rizalman yang dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol, diumumkan oleh Kementerian Luar pada Rabu lepas.
  
Menurut kementerian itu, Malaysia menaruh keyakinan penuh terhadap sistem perundangan New Zealand dan mempunyai kepercayaan penuh bahawa tertuduh akan diberi layanan adil secara bermaruah seperti diperuntukkan di bawah undang-undang.

Sementara itu, tertuduh telah meminta ekstradisinya dilengahkan sehingga akhir Ramadan pada 28 Julai, lapor Straits Times.

Menurut laporan itu, permintaan berkenaan dijangka tidak akan dipenuhi.

"Saya fikir kita tidak mahu satu lagi kemalangan antarabangsa berlaku selepas kehilangan MH370," sumber Kementerian Pertahanan memberitahu dpa, yang meminta untuk tidak dinamakan kerana tidak berkuasa untuk mengulas mengenai isu melibatkan diplomat tersebut.

Berita Kes Pegawai Diplomat Malaysia Cuba Rogol Rakyat New Zealand (Muhammad Rizalman Ismail). Kronologi LENGKAP!

Posted: 04 Jul 2014 03:58 PM PDT

 


Muhammad Rizalman Ismail



Berita Kes Pegawai Diplomat Malaysia Cuba Rogol Rakyat New Zealand (Muhammad Rizalman Ismail). Kronologi LENGKAP! Berita Semasa cukup kasihan nasib yang menimpa isteri anak-anaknya.

Apatah lagi ketika ini sudah berada dalam tempoh berpuasa di bulana Ramadhan. Pejam celik pejam celik Hari Raya Aidilfitri bakal menginjak tiba. Manakala si ayah dan suami bakal berhadapan hukuman di atas "kesilapan & ketelanjuran sendiri".

Yang dituduh cuba rogol bagi kes kali ini bukannya mat rempit, mat ganja, orang yang tiada pendidikan tetapi seorang Diplomat.

Kronologi Pegawai Diplomat Malaysia Cuba Rogol Rakyat New Zealand (Muhammad Rizalman Ismail)

  • 9 Mei 2014 : Polis New Zealand berjaya menangkap Pegawai Diplomatik Malaysia, Muhammad Rizalman Ismail atas tuduhan cubaan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita di Wellington New Zealand
  • 10 Mei 2014 : Muhammad Rizalman Ismail dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan. Menteri Hal Ehwal dan Perdagangan (MFAT) minta kekebalan dan imuniti diplomatik Rizalman digugurkan
  • 12 Mei 2014 : Perjumpaan antara Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Timbalan pengarah protokol MFAT dan pihak polis New Zealand
  • 21 Mei 2014 : Pesuruhjaya Tinggi Malaysia menjawab permintaan MFAT bahawa Malaysia tidak akan gugurkan kekebalan diplomatik dan akan hantar Rizalman pulang ke Malaysia
  • 22 Mei 2014 : Muhammad Rizalman Ismail dan ahli keluarga termasuk isteri dan anak-anak pulang ke Malaysia
  • 29 Mei 2014 : Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas Rizalman. Muhammad Rizalman Ismail memegang pangkat tentera sebagai pegawai waran (seorang kakitangan pembantu dengan portfolio pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia) dirujuk ke Hospital Tentera Tunku MIzan untuk pemeriksaan psikiatrik. Mindef tubuh lembaga penyiasatan. Siasatan masih dijalankan
  • 30 Jun 2014 : Perdana Menteri New Zealand John Key mula buka mulut tentang dakwaan serangan seksual oleh pegawai Diplomatik Malaysia
  • 1 Julai 2014 : Menteri Luar Datuk Anifah Aman adakan sidang akhbar mengenai isu tersebut. New Zealand segera menyangkal versi Anifah dengan mengeluarkan dua surat di antara kedua buah negara

Gambar Muhammad Rizalman Ismail (Diplomat Malaysia) Di New Zealand?

Berita Semasa tiada masalah mengenai bab kekebalan dan imuniti ini. Ini kerana ada sebab juga imuniti diplomatik diberikan kepada wakil-wakil dari negara asing. Sebab utamanya ialah bagi memastikan diplomat yang dihantar tidak tertakluk kepada undang-undang dan adat tempatan, yang mungkin dilihat keterlaluan dan asing bagi kalangan diplomat yang datang. Contohnya?
  • Di Malaysia ni, lintas jalan suka hati tiada masalah, tetapi di sesetengah negara sudah dikira "jaywalking"
  • Di Amerika, jantan betina jumpa, cium pipi, cium mulut, biasa sahaja, tetapi pergi ke negara XXXXXX, sudah dikira mukadimah zina.
  • Seperti kes di Iraq, dia perlu askar-askar Amerika di sana. Tetapi dek kerana Amerika memohon bagi mendapat imuniti diplomatik, ditolak Iraq akhirnya Amerika terpaksa hantar semula tenteranya pulang.
Imuniti Diplomatik adalah perjanjian antara negara di pawah panji PBB untuk tujuan memberikan kekebalan kepada wakil-wakil bagi setiap negara yang mana tertakluk.

Semakan Berita Semasa menunjukkan imuniti diplomatik ini mengikut undang-undang antarabangsa iaitu dibawah Vienna Convention Diplomatic Relation 1963, mana-mana pegawai kedutaan "home country" di "host country" akan diberikan kuasa penuh diplomatik kekebalan. Yang aman jika berlaku sebarang kes yang melibatkan diplomat di host country, undang-undang host country tidak akan sama sekali mendakwa pegawai diplomat home country sebaliknya akan diisytiharkan persona non grata (orang yang tidak dikehendaki dan diusir keluar)
Dalam konteks kes ini:
  • home country – malaysia merujuk negara asal pegawai diplomat
  • host country – New Zealand.
Jadi,perkara itu berlaku dalam negara NZ,pegawai terbabit TIDAK DAPAT DIDAKWA kerana dilindungi undang-undang antarabangsa iaitu di bawah VCDR 1963,United Nation.
Kes telah dirujuk dibawah Article 9 VCDR 1963
The receiving state may at any time and wihout having to explain its decision,notify the sending that the head of the mission or any member diplomatic staff of the mission is persona non grata or that any other member of staff of the mission is not acceptable. In any such case, the sending state shall, as appropriate,either recall the person concerned or TERMINATE his functions with the mission. A person may be declared non grata or not acceptable before arriving in the territory of the receiving state.
Tetapi….ya ada tetapinya, Berita Semasa cukup kesal bagaimana kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negara mengendalikan kes yang sudah pun menaikkan nama Malaysia di pentas dunia
  • Lamanya barulah isu ni dibangkitkan…2 bulan dari tarikh berlakunya kes?
  • Mahu melakukan pemeriksaan samada mental atau tidak sehingga 2 bulan?
  • Mana tidak kerajaan New Zealand panas punggung melihatkan tiada sebarang perkembangan mengenai kes ini
  • Bagi Berita Semasa, kerajaan New Zealand sudah cukup baik tidak mahu membuka pekung Malaysia & memberikan kelonggaran dengan harapan tiada siapa yang tahu mengenai kes ini di sana. Tetapi Malaysia dilihat berpeluk tubuh setelah sekian lama tanpa apa berita terkini dan perkembangan untuk mereka.
  • Adakah New Zealand akan tutup sebelah mata? Oh…tidak. Seperti biasa, New Zealand yang merupakan sebuah negara yang mencatatkan antara kes jenayah terendah di dunia pasti akan cari sehingga lubang cacing sehingga keadilan tertegak
  • Apabila mahu tarik balik larangan barulah mahu "tersedar daripada lena". Menteri Luar pun baru terhegeh-hegeh bagi jaminan untuk menjalankan siasatam
  • Pandai New Zealand tunggu Malaysia keluarkan kenyataan "cover line" dahulu baru mereka "counter" semula dengan surat antara kedua negara yang telah didedahkan seperti di bawah ini :

Kes Pegawai Diplomat Malaysia Cuba Rogol Rakyat New Zealand : Surat Kerajaan Malaysia & New Zealand?

Berdasarkan surat di atas ini, kerajaan New Zealand sudah sehabis baik menjaga hubungan 2 hala antara kedua negara Malaysia New Zealand dengan buat apa yang diminta kerajaan Malaysia berdasarkan "respond" surat di atas :
  1. Mahkamah daerah Wellington New Zealand, terus gugurkan kes terhadap Muhammad Rizalman Ismail
  2. Mahkamah New Zealand, tidak mendedahkan semua dokumen/berita-berita sensasi mengenai Muhammad Rizalman Ismail tetapi akhirnya terpaksa akur dengan permintaan orang awam sejak semalam
  3. Memberikan peluang sekeluarga balik ke Malaysia pada 22 Mei 20142 tanpa dikenakan apa-apa tindakan
  4. Akhirnya selepas 1 bulan berlalu tiada sebarang khabar berita samada Muhammad Rizalman Ismail kena tahan, kena dakwa di Malaysia
  5. Menyebabkan mahkamah New Zealand terpaksa dedahkan kepada media mereka sejak semalam
Nampaknya Berita Semasa perhatikan, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negara masih tidak belajar lagi pengajaran disebalik apa yang berlkau melibatka kes Nursalawai supaya bertindak telus dalam kes-kes yang melibatkan hubungan 2 hala.

Adakah nasibnya 'sebaik' seperti JJ? Sama-sama kita nantikan….

P/S : Berita Semasa sangat risau jikalau selepas ini New Zealand wajibkan orang Malaysia memohon visa disebabkan kes-kes seperti ini

PP/S : Satu peringatan buat semua diplomat di negara asing. Amanah dan beban yang digalas sungguh berat. Menjunjung nama negara di negara asing dengan sebaiknya.


Wan Azizah jadi MB? Anwar kata belum bincang

Posted: 04 Jul 2014 03:48 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis spekulasi bahawa isterinya yang juga presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Isamil akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor selepas sambutan Aidilfitri.

Anwar berkata, isu mengenai kemungkinan Wan Azizah mengetuai pentadbiran Selangor itu masih belum dibincangkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa timbul kebimbangan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diketuai Khalid.

Katanya, perkara itu dijangka akan dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana akan menjejaskan keupayaan Pakatan untuk mentadbir Selangor sekiranya terus berlarutan.

Anwar bagaimanapun enggan menyatakan pendirian sama ada Khalid perlu terus kekal atau berundur dari jawatan menteri besar.

"Terdapat banyak kebimbangan mengenai Selangor, contohnya tiada rundingan dengan pemimpin negeri berhubung isu lebuhraya Kidex dan konsesi air," katanya.

"Saya mempertimbangkan semua pandangan, saya sedar, saya mendengar, dan berbincang dengan rakan kongsi kita, DAP dan PAS, semua ini dijalankan secara baik, melalui persefahaman antara semua parti," kata MP Permatang Pauh itu di satu majlis berbuka puasa di Guar Perahu.

Beliau mengulas laporan media bahawa Khalid akan digantikan dengan Wan Azizah selepas sambutan Aidilfitri.

Chong Wei cedera, mungkin tarik diri Sukan Komanwel

Posted: 04 Jul 2014 03:42 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk mengetuai skuad badminton negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.
  
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau menerima berita yang pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan yang menyebabkannya mungkin tidak dapat menyertai skuad negara ke Scotland.
  
"Saya ada terima berita dari Institut Sukan Negara (ISN) bahawa kecederaan yang dialami Chong Wei mungkin tidak dapat mengizinkan dia bermain di temasya Sukan Komanwel itu," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Pengagihan Zakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Jias di Pasir Mas malam tadi.
  
Beliau berkata jika perkara berkenaan disahkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan strategi terbaik bagi menggantikan Chong Wei.
  
"Saya harap BAM akan dapat buat pilihan terbaik untuk menggantikan beliau dan pemain yang lain mestilah menunjukkan prestasi baik untuk menampung kehilangan Chong Wei terutama dalam acara berpasukan.
  
"Jika perkara ini betul dan disahkan ia merupakan kehilangan besar buat kita sebab kita harapkan beliau untuk dapat satu atau dua pingat emas," katanya.
  
Adalah difahamkan pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pangkal peha ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta bulan lepas dan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan.
  
Adalah dipercayai pihak ISN telah memaklumkan kepada pemain itu bahawa penyertaannya dalam Sukan Komanwel kali ini merupakan 'keputusan yang tidak bijak' kerana beliau memerlukan rawatan secara terperinci.
  
Selepas Sukan Komanwel, Chong Wei juga dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini sebelum menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini. - Bernama
 

Sharifah Aini meninggal dunia

Posted: 04 Jul 2014 03:40 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggal dunia awal pagi ini di Pusat Perubatan Pakar Damansara. Allahyarham berusia 61 tahun.

Sharifah Aini yang lebih mesra dengan panggilan Kak Pah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru, lapor Astro Awani.

Menurutnya, Jenazah akan dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada selepas solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.

Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar.

Kak Pah dimasukkan ke hospital oleh anaknya, Aliff Omar susulan kesukaran bernafas.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.

Menurut laporan itu, Sharifah Aini merakamkan 93 album termasuk tujuh album Inggeris. Antara lagu popularnya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru.

Beliau juga pernah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi terkenal antaranya Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Sudirman Haji Arshad.

Selain menyanyi, beliau juga merupakan pelakon filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal pada tahun lalu.

Bonus Setengah Bulan Gaji @ Minimum RM600 : Habuan Penjawat Awam Penang 2014!

Posted: 04 Jul 2014 03:29 PM PDT

 


bonus setengah bulan gaji



Bonus Setengah Bulan Gaji @ Minimum RM600 penjawat awam : Lain padang, lain ragamnya, lain pendekatannya. Jikalau kerajaan Selangor memberikan bonus satu bulan gaji, kerajaan Malaysia dengan bantuan raya 2014 RM500 (DI SINI) untuk kakitangan awam RM250 bagi pesara kerajaan, kerajaan Pulau Pinang pula memilih… angka setengah bulan gaji sebagai habuan bagi kakitangan awam kerajaan Pulau Pinang.

Butiran Pembayaran Bonus Setengah Bulan Gaji Penjawat Awam Penang

  • Penjawat awam kerajaan negeri Pulau Pinang menikmati bonus setengah bulan gaji ataupun sekurang-kurangnya tunai RM600 sebagai bantuan persediaan untuk mereka menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri
  • Pengumuman bonus setengah bulan gaji diumumkan selepas diadakan mesyuarat exco kerajaan negeri Pulau Pinang
  • Yang pastinya, pembayaran bonus setengah bulan gaji akan mula diberikan sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri
Jikalau seorang penjawat awam kerajaan negeri Penang menerima gaji bulanan sekitar RM4000 sebulan, untuk bonus raya kali ini, beliau akan menikmati habuan sekitar RM2000 contohnya. Begitulah seterusnya.

P/S : Bagaimana pula dengan negeri lain? Kelantan? Johor?

Tiada ulasan: