Jumaat, 4 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khairy: NGO agih makanan tak kotorkan KL

Posted: 04 Jul 2014 01:12 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kegiatan memberi makan kepada golongan miskin tidak menyebabkan kawasan bandar Kuala Lumpur menjadi kotor.

Khairy berkata, beliau pernah melihat sendiri operasi satu NGO, PERTIWI yang sentiasa menjaga kebersihan ketika memberi makanan kepada golongan itu.

Amalan itu juga ditunjukkan oleh Sekretarian Hal Ehwal Bandar Pemuda Umno, katanya dalam tulisan di Facebook, katanya.

"NGO ibu dan ibu saudara saya, PERTIWI, sudah lama mengendalikan soup kitchen. Sama juga dengan SHEB Pemuda Umno dan NGO lain.

"Yang pernah saya sendiri melihat, sukarelawan PERTIWI sentiasa menjaga kebersihan kawasan di mana mereka membuat program pemberian makanan," katanya lagi.

Beliau seterusnya berharapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan membasmi golongan miskin itu dari pandangan umum, tetapi terus membantu usaha NGO tersebut.

"Harap DBKL memberi kerjasama kepada NGO2 seperti ini untuk terus meneruskan kerja amal mereka.

"Tumpuan perlu diberi untuk membasi kemiskinan. Bukan untuk menghapus orang miskin dari pemandangan orang ramai," katanya.

Beliau berkat demikian bagi mengulas penjelasan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Tengku Adnan dalam satu laporan Astro Awani semalam mendakwa, kegiatan memberi makan kepada golongan itu menyebabkan kawasan sekitar Kuala Lumpur menjadi kotor.

"Ini kawasan tumpuan pelancongan, saya tidak mahu kawasan ini jadi kotor, banyak tikus, ada surat khabar luar negara labelkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Tikus," katanya lagi.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Tengku Adnan berkata masalah golongan gelandangan tersebut "menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi tumpuan pelancong."

"Mereka tidur di tempat yang tidak sesuai di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit," katanya.

JK Hudud: Kelantan serah 12 nama kepada menteri

Posted: 04 Jul 2014 01:09 AM PDT

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan 12 nama calon mewakili negeri itu bagi menganggotai Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) di peringkat persekutuan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat kedua jawatankuasa teknikal di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad yang terlibat sejak awal penggubalan undang-undang tersebut akan mengetuai delegasi itu.

"Kita telah menetapkan 12 nama calon yang akan mewakili Kelantan, ia akan diserahkan kepada menteri.

"Selain itu jawatankuasa juga bersetuju untuk mengadakan kunjungan hormat secara rasmi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam waktu terdekat ini," jelas beliau dipetik Sinar Harian.

Beliau turut memaklumkan, satu sekretariat turut dibentuk di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan dibantu Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Datuk Hassan Mahmood serta Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof.

Selain tiga jawatankuasa kecil ditubuhkan untuk mengawal dan menyusun perlaksanaannya.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal tersebut turut memaklumkan mesyuarat semalam berjalan lancar kecuali Tun Salleh Abas dan Profesor Aziz Bari tidak dapat hadir. -

Bantu kami dengan beri pekerjaan - Gelandangan

Posted: 04 Jul 2014 01:07 AM PDT

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Gelandangan yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur enggan berpindah ke pusat perlindungan yang disediakan kerajaan kecuali sistem di pusat berkenaan ditambah baik.

Malah mereka lebih selesa hidup dalam keadaan serba kekurangan di kaki lima, di celah bangunan dan bawah jambatan berbanding hidup di pusat perlindungan.

Seorang gelandangan berkata, beliau menyedari kerajaan mahu membantu dan mengubah nasib mereka namun sistem perlindungan perlu diperbaiki terutama cara layanan.

Menurutnya, layanan yang diberikan begitu teruk selain dihina bagaikan sampah sehingga menyebabkan mereka tidak mahu tinggal di pusat perlindungan.

Beliau juga tidak mahu hidup terkurung di pusat perlindungan dan lebih selesa tidur di kaki lima apatah lagi mendapat tahu ramai gelandangan yang tinggal di situ sering dihina.

"Kami juga ada hati dan perasaan, jangan layan kami seperti itu. Jika benar kerajaan nak ubah hidup kami dan bantu, beri pekerjaan...biarlah usaha itu dilakukan bersungguh-sungguhdan bukan sekadar melepas batuk ditangga," kata Along dipetik Berita Harian.

Beliau sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawal keselamatan, akhirnya diberhentikan selepas status lampaunya diketahui.

Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menggubal undang-undang bagi menahan peminta sedekah serta mengenakan denda sekurang-kurangnya RM150 terhadap pemberi sedekah bagi mengekang amalan itu.

Terkini, kementerian itu menetapkan aktiviti pemberian bantuan kepada gelandangan tidak lagi dibenarkan di kawasan dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks beli belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang di sini.

Peraturan ini bagi membersihkan ibu negara daripada pengemis dan gelandangan, dan di jangka bermula dua minggu lagi.

Kajian buktikan rakyat Kelantan sokong hudud

Posted: 04 Jul 2014 01:05 AM PDT

WAN NIK WAN YUSSOF





SEMENJAK Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (KJS) diluluskan pada 25 November 1993, usaha ke arah realiti tetap berjalan.

Perkembangan terbaru adalah kerajaan Negeri Kelantan telah membentuk Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan KJS ini seperti yang diumumkan Menteri Besar ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 7 Oktober 2011.

Selepas pilihan raya umum 2013, inisiatif baru terus diambil, selain meneruskan usaha jawatankuasa teknikal, ia turut dibekalkan bajet sebanyak RM 1 juta untuk persiapan dan prasarana jawatankuasa teknikal.

Ia diikuti dengan perkembangan positif ekoran sidang Dewan Negeri Kelantan (4-6 Mac 2014) yang menyaksikan komitmen bersama pihak Kerajaan Negeri dengan pihak Ahli Dewan Negeri (Adun) kalangan BN. Kemudian mendapat respons positif Kerajaan Pusat melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin (MStar Online: 27 April 2014) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (UtusanOnline: 2 Mei 2014).

Sehubungan itu, mesyuarat Perhubungan PAS Negeri Kelantan (pada 14 Mei 2014) berpandangan perlunya satu kajian bagi mengukur tahap sokongan rakyat terhadap inisiatif terbaru Kerajaan Negeri berhubung pelaksanaan KJS.

Tugas kajian itu dimandatkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan (Pejabat Menteri Besar) bersama-sama Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Sehubungan itu, kajian telah dijalankan pada 25-31 Mei 2014 lalu. Tujuannya adalah bagi mendapat maklum balas rakyat Kelantan atas inisiatif Kerajaan Negeri pada masa ini berhubung pelaksanaan KJS.

Kajian ini juga menjawab tiga permasalahan, iaitu sejauh mana keyakinan rakyat kepada usaha pelaksanaan KJS setelah 20 tahun diluluskan Dewan Negeri Kelantan; apakah tahap kepercayaan terhadap usaha semasa Kerajaan Negeri Kelantan; dan apakah langkah penambahbaikan pendekatan pelaksanaan KJS menuju realiti?

Rakyat paling setuju

Kajian yang dijalankan menggunakan pendekatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada responden yang dipilih daripada 24 Dun (tiga kategori – bandar, pinggir bandar dan pedalaman) yang dibahagikan kepada dua SMS.

Pertama untuk 12 Dun dengan SMS-1 berbunyi: "Selepas 20 tahun, sekarang Kanun Jenayah Syariah (Hudud) Kelantan menuju realiti. Setuju/Tidak?" – Pejabat Menteri Besar.

Kedua untuk 12 Dun lagi dengan SMS-2 berbunyi: "Untuk pastikan Kanun Jenayah Syariah (Hudud) Kelantan dapat dilaksanakan perlu kerjasama Kerajaan Pusat. Setuju/Tidak?" – Pejabat Menteri Besar.

Bagi 12 Dun pertama ia melibat 77,382 dikirim SMS-1 dan responden yang menjawab ialah seramai 5,395, tetapi yang sah mengikut tujuan kajian hanya 5,284. Penemuanya adalah seperti mana Jadual 1 yang berikut:

Ternyata pola setuju amat tinggi (keseluruhan 97.94%), menunjukkan tahap keyakinannya amat tinggi di atas usaha yang diambil Kerajaan Negeri pasca 20 tahun.

Demikian pula, bagi 12 Dun kedua ia melibat 78,756 dikirim SMS-2 dan responden yang menjawab ialah seramai 4,259, tetapi yang sah mengikut tujuan kajian hanya 3,656. Penemuanya adalah seperti mana Jadual 2.

Ternyata pola setuju agak tinggi (keseluruhan 85.84%), menunjukkan tahap keyakinannya agak tinggi di atas usaha yang diambil Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan proses pelaksanaan yang tertangguh itu.

Petanda positif

Justeru tahap keyakinan dan persetujuan daripada kajian ini (bagi kedua-dua SMS) menunjukkan nilai purata bersetuju ialah 91.89%. Ia suatu petanda positif mewakili sikap dan harapan rakyat Kelantan.

Sehubungan itu, beberapa perakuan atau cadangan yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan demi KJS (Hudud) ini menuju realiti. Paling utama seperti masa hasrat majoriti rakyat Kelantan adalah inginkan usul meminda Akta 355 dan mana-mana Akta atau Perkara yang berkaitan hendaklah diteruskan.

Demikian juga, usul "private bill" bagi mendapatkan hak mengikut Perkara 76A untuk membolehkan Kelantan menguatkuasakan KJS di negeri ini. Sehubungan itu, bagi memastikan aspek teknikal dan prasarana pelaksanaan, maka Kerajaan Kelantan hendaklah menambahkan bajet bagi tahun 2015 bagi persiapan pelaksanaan KJS di Kelantan.

Rumusan ringkas hasil kajian ini telah menjawab sedikit sebanyak tohmahan sesetengah pihak yang kononnya pelaksanaan KJS berada di persimpangan dan diragui oleh sebahagian masyarakat.

Realitinya, penemuan positif ini bakal menambahkan dorongan untuk Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Dato' Ahmad Yakob terus melangkah ke hadapan merealisasi cita-cita pada 2015 sebagai tahun pelaksanaan (fasa pertama) perundangan jenayah menurut Islam.

Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Sedekah bukan jenayah, Hanipa bidas Ku Nan

Posted: 04 Jul 2014 01:01 AM PDT

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin meminta agar Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor mempelajari undang-undang terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai undang-undang.

Beliau merujuk kepada kenyataan Tengku Adnan yang bertegas ingin melaksanakan bayaran denda serta merta RM150 kepada pemberi sedekah dalam usaha membasmi gelandangan di Kuala Lumpur.

Hanipa yang juga seorang peguam berkata, seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali ia dibuktikan bersalah dan pelaksanaan denda serta-merta itu jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang yang sedia ada.

"Kita tidak boleh terus menjatuhkan hukuman kepada pemberi sedekah ia amat bertentang dengan prinsip undang-undang sekarang.

"Seperti kita kena saman laju, ada bukti kesalahan itu tetapi mahkamah akan memutuskan kita bersalah atau tidak.

"Begitu juga dengan apa yang Tengku Adnan ini lakukan, kita beri sedekah bukan satu kesalahan jenayah dan tidak bertentangan dengan agama jadi tiada sebab untuk kita didenda serta merta," jelasnya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kerajaan perlu meneliti semula dasar yang sedia ada kenapa angka pengemis ini terus meningkat setiap hari.

"Kita tidak boleh salahkan pengemis kenapa mereka mengemis, kerajaan perlu meneliti semula dasar mereka terutama dalam soal kebajikan rakyat miskin.

"Apa yang saya lihat selagi rakyat tertekan dengan keadaan ekonomi sekarang selagi itulah isu pengemis ini tidak akan dapat diselesaikan. Kerajaan jangan salahkan pengemis tetapi salahkan diri sendiri.

"Kerajaan perlu mencari alternatif untuk memastikan taraf hidup rakyat berada pada satu tahap yang lebih baik sehinggakan kadar kemiskinan ini dapat dihapuskan," kata beliau.

Beliau yakin cadangan Tengku Adnan itu bukan satu penyelesaian tetapi menimbulkan kesulitan pada masa akan datang.

Presiden PAS, Anwar tak bincang isu MB S'gor

Posted: 04 Jul 2014 12:56 AM PDT

HARAKAHDAILY


 


KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan laporan sebuah portal kononnya berlaku perbincangan berhubung isu Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Ahmad Samsuri yang turut berada di sisi Presiden PAS ketika pertemuan itu berkata, tiada langsung perbincangan berhubung perkara itu.

"Laporan itu adalah tidak benar sama sekali. Bukan sahaja tidak ada sebarang perbincangan mengenai isu Selangor antara kedua-dua pemimpin itu semasa lawatan ke IJN tempoh hari, malah perkataan 'Selangor' dan 'MB' pun tidak disebut langsung," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Penafian itu merujuk kepada laporan portal Freemalaysiatoday (FMT) hari ini yang melaporkan Tuan Guru Abdul Hadi akhirnya bersetuju dengan cadangan menukar Menteri Besar Selangor yang baharu.

Laporan itu juga menyebut, persetujuan itu dicapai ketika beliau dikunjungi Anwar di IJN baru-baru ini dan menambah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diberhentikan sebagai menteri besar selepas raya Aidilfitri.

Selain itu, laporan itu turut menyebut Adun Kajang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik menjadi menteri besar baharu manakala Adun Bukit Antarabangsa yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan menteri besar.

Tiada ulasan: